Tarbiah merupakan tiang kepada perjuangan Islam. Perjuangan tanpa tarbiah akan melahirkan pendokong-pendokong perjuangan yang putik dan separuh masak yang tidak tahan diuji mahupun tawaran duniawi.Tentunya kita tidak mahu orang yang kita kenali sebagi pejuang-pejuang Islam berpatah arah dan meninggalkan perjuangan. Kita telah saksikan bagaimana manusia yang tidak punya tarbiah berbuat khianat kepada rakan seperjuangan sehingga runtuhnya sebuah kerajaan di negeri Perak yang baru dibina.Peristiwa itu benar-benar penting diambil iktibar bahawa menjaga sebuah kemenangan memerlukan tarbiah mantap buat pendokong perjuangan.
Buat pemimpin-pemimpin kami yang sedang terbang dengan sayap kasuari, ayuhlah hinggaplah di dahan-dahan tepian padang, paya, sungai dan segenap rimba lalu nyanyikan lagu tarbiah buat genarasi baru yang sedang bangkit menggalas kelangsungan perjuangan.Tinggalkan persengketaan, perdebatan, dan perlumbaan mencari pengaruh serta semua maksud sepele yang tidak menguntungkan perjuangan. Melatalah ke segenap bumi dalam setiap kesempatan dan kemampuan untuk menyemai tarbiah di kalangan pengikut sebuah perjuangan walau sekadar membaca "Ma'thurat".
Ust Abd Ghani Syamsuddin, pemimpin gerakan dari pusat yang turun melebar tarbiah di Kundasang baru-baru ini.
Aku suka sekali kalau kita jangan terlalu mengharapkan untuk berceramah di rapat umum yang menghimpunkan massa yang ramai. Usah menunggu majlis ceramah sempena hi-tea di hotel-hotel terkemuka. Atau saat gempur pilihanraya. Kepada pemimpin-pemimpin kami, datanglah ke secerok rantau negara di mana pengikutmu sedang duduk berqiamullail di masjid, berkhemah dalam tamrin di tepian sungai atau berusrah di pejabat usang berdinding papan berlubang.Datanglah walau sekadar membaca doa rabithoh. Tarbiah tidak memerlukan kebijakan berpidato. Tarbiah tidak memerlukan lidah yang pasih berbahasa bombastik,melankolik atau poematic. Tarbiah memerlukan perkataan yang lemah lembut, kelakuan rendah diri dan hati yang ikhlas.
Sumber kekuatan kita adalah tarbiah. Kebersamaan kita dalam Pakatan adalah strategi. Ia bukan sumber kekuatan kita. Strategi boleh berubah-ubah mengikut keputusan bersama. Namun, tarbiah adalah tuntutan. Tarbiah adalah sunnah yang jika tiada ia, tidaklah dinamakan perjuangan Islam.
Wahai angin yang bertiup tengkujuh.Puputlah membayu membawa dingin tarbiah. Wahai mentari panas terik yang membara, pancarlah sinar duha tarbiah yang menyegarkan. Wahai ombak yang berdebur, bawalah segala pepasir, binalah pantai lebar pentarbiahan.
Kami semut melata...ingin jalan berderetan mengangkat segala hasil mahsul pejuangan ke dalam busut jemaah. Kami ingin melihat busut menjadi pongsu. Kami ingin melihat pongsu menjadi bukit. Kami ingin melihat bukit menjadi gunung. Biar gunung mencakar awan. Kami letih bercakaran. Musuh kami kuat dengan segala kelengkapan. Tenaga kami cukup-cukup untuk menghadapi mereka. Tenaga kami tidak akan mampu menghadapi walau sekelumit beban percakaran dalaman. Kami ingin pejam mata dan berpura-pura tidak minat tentang apa yang dipertikaikan. Walau memang sulit mengabaikan.
Lalu...aku membisikkan buat menstabilkan gejolak sebuah perjuangan...
قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Pemimpin boleh seribu, tetapi perjuangan tetap satu.
1 comments:
Al hamdulillah, perbanyakkan tulisan dan nasihat seperti ini, supaya kita tidak terlalai dan mengingati bahawa tarbiah, tazkirah dan usrah itu adalah ciri penting dan keperluan asas sesebuah harakah Islamiah....
Post a Comment