Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

KEMUSTAJABAN DOA SAAD BIN ABI WAQQAS

March 10, 2019

Saad bin Abi Waqqas telah dilantik menjadi gabenor di Iraq. Memang sesuailah dia berada pada posisi itu. Banyak kelebihannya yang melayakkannya menjawat jawatan sebagai gabenor di negeri Iraq. Selain dia termasuk 10 orang yang diberi khabar gembira tentang syurga, dia juga tergolong As-Sabiqunal Awwalun. Dia juga terkenal sebagai mustajabud doa kerana didoakan nabi SAW untuk itu. Dia juga panglima yang memimpin penyerbuan mujahid Islam sehingga terbuka negeri Irak yang menjadi sebahagian daripada bumi Mada-in. Sementelahan, hubungan kerabatnya yang rapat dengan Rasulullah SAW iaitu bapa saudara nabi SAW (Khal-sebelah ibunya).

Maka, berlakulah satu kisah semasa Saad bin Abi Waqqas menjadi gabenor di sana. Sampai ke pengetahuan Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Amirul Mukminin aduan-aduan rakyat tentang Saad bin Abi Waqqas. Aduan tersebut berkisar mengenai solat yang dia pimpin. Barangkali macam  dikatakan solatnya jadi imam tak bagus. Suara perlahan, panjang bacaan atau suara tak dengar. Begitulah, macam-macamlah masalah yang ditimbulkan kalau imam itu tidak disukai.

Umar Al-Khattab panggil Saad bin Abi Waqqas dan gantung tugasnya. Penyiasat dihantar ke Irak dan dia pergi ke setiap masjid untuk tanyakan bagaimana keadaan Saad bin Abi Waqqas ini. Semuanya cakap elok belaka. Kecuali ada satu masjid yang dinamakan sebagai Masjid bagi Bani Abbas.  Dalam masjid itu seorang lelaki bangun dan menyatakan sikapnya kepada Saad bin Abi Waqqas. Dikatakan namanya Abu Sa'dah.

Katanya:


أما إذ نشدتنا فإن سعدا كان لا يسير بالسرية، ولا يقسم بالسوية، ولا يعدل في القضية

" Adapun, bila kami ditanya mengenai masalah itu, maka kami katakan sesungguhnya Saad itu jenis yang tidak ikut serta dalam peperangan, tidak samarata dalam pembahagian dan tidak adil dalam penghakiman".

Saad bin  Abi Waqqas ketika mengetahui tuduhan tersebut, beliau berdoa dengan katanya:

 أما والله، لأدعون بثلاث: اللهم إن كان عبدك هذا كاذبا، قام رياءا وسمعة، فأطل عمره، وأطل فقره، وعرضه للفتن

Adapun demi Allah! Aku akan berdoa dengan tiga perkara:

Ya Allah, jika hambamu itu berbohong dan menimbulkan tuduhan itu hanya kerana riyak dan sum'ah maka:

1) Panjangkan umurnya

2) Panjangkan kefakirannya

3) Timpakan atasnya fitnah.
Hadis mengenai cerita ini ada dalam Saheh Bukhari dan Muslim (Muttafaq alaih) dan perawinya (Abdul Malik bin Umair yang meriwayatkan daripada Jabir bin Samrah) berkata bahawa  dia menyaksikan sesudah itu lelaki itu hidup panjang umurnya sehingga dua keningnya jatuh sampai menutup pandangan matanya dan dia menjadi geladangan jalanan yang diejek oleh orang lalu lalang.

Demikianlah akibat daripada doa Saad bin Abi Waqqas. Disebutkan dalam hadis ini bahawa kalimah yang selalu dikeluhkan lelaki tersebut ialah:

شيخ كبير مفتون، أصابتني دعوة سعد
" Aku orang yang sangat tua, menimpa atasku doa Saad".

Catatan Tambahan:

1) Silsilah Saad bin Abi Waqqas:
-Abu Ishak Saad bin Abi Waqqas(Malik) bin Uhaib bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'i

-Saad adalah daripada Bani Zuhrah. Ayahnya Abu Waqqas adalah anak kepada pakcik Aminah bt Wahab, ibu Rasulullah SAW.


2) Saad adalah salah satu daripada 6 Ahli Syura yang dilantik Umar Al-Khattab untuk menentukan penggantinya. Enam Ahli syura itu ialah:
  1. Uthman bin Affan
  2. Ali bin Abi Tolib
  3. Abd Rahman bin Auf
  4. Zubair bin Al-'Awwam
  5. Saad bin Abi Waqqas
  6. Talhah bin Ubaidillah

3) Al-Hakim meriwayatkan dalam Mustadraknya satu hadis dengan sanadnya daripada Abdullah bin Umar, katanya:
كنا جلوسًا عند النبي صلى الله عليه وسلم فقال: "يدخل عليكم من هذا الباب رجل من أهل الجنة" فطلع سعد بن أبي وقاص 


" Kami sedang duduk satu hari di sisi nabi SAW lalu baginda bersabda sambil menunjukkan ke arash satu pintu: Akan masuk daripada pintu ini satu orang lelaki daripada ahli Syurga. Tiba-tiba muncul daripada pintu itu Saad bin Abi Waqqas."

4) Saadlah lelaki yang berkata kepada ibunya yang memaksakannya untuk kembali kafir:

يا أمَّهْ، تعلمين والله لو كان لك مائة نفس فخرجت نفسًا نفسًا ما تركت ديني. إن شئتِ فكلي أو لا تأكلي
" Wahai ibu, kamu perlu tahu, demi Allah, jika ibu ada 100 nyawa lalu keluar nyawa itu satu demi satu supaya aku tinggalkan agama ini, aku tetap tidak akan tinggalkan. Jika ibu mahu makan, makanlah. Jika masih tak mahu makan, ikut sukalah."

Saad berkata demikian kerana ibunya mengugutnya dengan boikot makan. Dia mahu Saad kembali kepada kesyirikan. Tetapi Saad seorang yang tegas imannya. Disebutkan dalam tafsir, daripada peristiwa inilah turunnya ayat Quran:
 وإن جاهداك لتُشْرك بي ما ليس لك به علم فلا تُطِعْهما
(Al-Ankabut: 8)



5) Nabi SAW pernah berdoa untuk Saad:

اللهم سَدّدْ رميته وأجب دعوته


(Ya Allah, tepatkan panahannya dan mustajabkan doanya)


Maka para sahabat selalu berhati-hati bila berdepan dengan Saad. Mereka tidak menentangnya kerana waspada pada donya yang mustajab. Antara kisah orang yang terkena doanya adalah Abu Sa'dah sepertimana yang diceritakan di atas. Selain itu, berlaku juga satu kisah lain yang menunjukkan mustajabnya doa Saad bin Abi Waqqas. Kisah itu disebutkan oleh Imam Az-Zahabi dalam Siyar A'lam dengan riwayat daripada Ibn Jad'an daripada Said Al-Musayyib bahawa ada seorang lelaki suka mencela Ali bin Abi Talib, Talhah dan Zubair, lalu Saad melarangnya tapi tidak diendahkan. Saad pun solat dua rakaat dan bedoa. Tak semena-mena seekor unta datang meluru dan menabraknya hingga mati. Said Al-Musayyib menceritakan bahawa dia melihat orang ramai mengekori Saad sambil mengucapkan tahniah kepadanya kerana doanya telah mustajab dan membunuh sang pencela sahabat nabi itu.



Dalam Sirah dicatatkan bahawa Saad adalah orang pertama yang memanah untuk jihad fi Sabilillah dalam Islam. Dia mendapat tahap ketepatan yang tinggi dalam memanah. Disebutkan dalam Siyar A'lam An-Nubala' bagaimana ligatnya Saad memanah dalam perang Uhud. Dengan satu mata panah, dia memanah musuh tiga kali dan semuanya kena sasaran yang mematikan musuh sehingga orang Islam ta'ajub dengan kebolehan Saad itu.

Rujuk: Darulfatwa



RIWAYAT BERPENYAKIT MENJADI PUNCA PENGHINAAN ATAS NABI

March 9, 2019

Manusia hebat selalu diumpat orang. Biar lama masa, orang masih memperdebatkannya. Pencintanya tidak terpermanai banyaknya. Namun dalam laut luas para muhibbin, terkontang kanting beberapa ketul duri mukrihin.

Demikianlah sosok yang bernama Muhammad SAW, nabi akhir zaman. Telah berlalu lebih 1400 tahun kewafatannya. Namun, jerih musuh yang cuba mentajrih kanvas hidupnya yang suci tidak pernah letih. Mereka sentiasa membelek catatan-catan durja dalam pelbagai sumber untuk menjadi sandaran mereka.

Kekadang mereka mendapat bola tanggung. Riwayat yang dimanipulasi ada dalam sumber soheh ummat Islam seperti Saheh Bukhari dan Muslim. Dengan manipulasi pemahaman dan tafsiran semasa yang tiada realistik mengikut zaman, mereka menuduh nabi SAW sebagai lelaki tua yang bernafsu pada kanak-kanak.

Satu perkara yang tidak dipermasalahkan pada zaman berlakunya, lalu dipersoalkan di zaman kemudian. Apa maksudnya? Sama ada riwayat bermasalah atau otak yang gagal berfungsi.

Kerana bernafsu mencari poin-poin yang boleh boleh dijadikan panah beracun, catatan-catatan dalam sumber sampah di pungut. para ulama ISlam dengan disiplin ilmu naqal riwayat yang kukuh telah menapis riwayat kabur tersebut. Namun, ia masih dikutip oleh mereka yang berpenyakit hati.

Nabi digambarkan pembunuh kejam dalam kisah Ummu Qirfah. Kisah yang dinaqal dalam kitab sirah Ibn Hisyam, Tobaqat Ibn Saad, Al-Muntazim dan lain-lain. Kerana cerita itu, nama nabi jadi mainan dan celaan.

Tidak tahulah siapa yang berdosa? pencela nabi atau periwayat cerita? Atau apakah kesalahan itu perlu dibebankan juga kepada ulama-ulama yang mengangkat riwayat-riwayat palsu dan menyimpan dalam karya mereka? Jika para ulama yang menulis hanya sebagai pembawa riwayat yang bertujuan mengkhabarkan kepalsuannya, mereka mungkin dapat dimaafkan dan diwajarkan. Itulah sikap para ulama nuqqad terkemudian. Ketokohan At-Tobari tidak diremehkan. Namun, para pendusta di dada sejarah, mereka akan menanggung akibat cerita bohong mereka.

Setiap yang mencela nabi kerana riwayat bohong yang sampai dengan jalan mereka, maka pendusta itu akan menuai dosa juga. Berlipur lara mungkin menyeronokkan mereka pada zaman itu. Orang berkeliling mereka mendengar kisah-kisah pelik yang mereka ukir. Kisah yang entah di mana diambil lalu diceritakan kepada masyarakat.

Sebab itu para ulama rijal tanpa silu menggelar orang ini pendusta, tiada nilai, tak diambil perkataannya dan macam-macam lagi lebel. Memang mereka layak dilebelkan kerana mereka menconteng arang di wajah agama.Nama-nama seperti Al-Waqidi, Muqatil, Ibn Lahi'ah, Abu Mikhnaf, Ibn Ishak dan ramai lagi ditahzir dan ditajrih oleh para ulama kerana banyaknya dusta yang dikatakan mereka. Mereka akan menghadapi Allah dengan jasa dan dosa mereka yang bakal ditimbangkan.

Pun begitu, para penulis sejarah yang menaqalkan perkataan mereka mungkin dengan niat agar jadi bahan kajian orang terkemudian. Namun musuh-musuh Islam yang tidak mengerti alat tapisan pusaka ulama menganggap cerita itu benar-benar terjadi dan mereka sandarkan untuk mencela nabi Muhamamd SAW. Senjata di tangan hulubalang bakal berguna buat mempertahankan diri. Tapi jika di tangan kanak-kanak hinggusan, ia akan melukakan. Begitulah bahan-bahan yang diambil daripada kitab. Nilai dan nilai. Lihat apa kata para ulama yang diberi basiroh mengenainya. Ambil yang jernih dan singkirkan yang keruh.

Demikianlah sikap kita di hari ini. Jangan asal ada dalam kitab, terima bulat-bulat. Masa telah lama berputar. Air jernih yang mengalir dari gunung pun bertukar warna bila melintasi hutan dan belantara. Bila melintasi desa dan kampung, makin banyak pencemarannya. Apatah lagi bila masuk kota-kota-kota.

Tidak yang kau sangka ilmu itu berguna, andai jatuh ke dada orang yang tidak berfikir.

HADIS PALSU-KEMARAHAN LANGIT, BUMI, LAUT DAN GUNUNG KEPADA MANUSIA.

March 2, 2019

Celakalah orang yang menciptakan hadis palsu lalu melemparkannya ke tengah kelompok ummat ini. Sangka mereka , mereka menabur budi dan jasa kerana meneyemai keinsafan dalam jiwa ummat Muhamamd SAW. Akan tetapi, mereka memandai-mandai membuat dusta dalam agama yang disampaikannya. Maka, celakalah para pembuat hadis palsu. Siapapun mereka. Mereka yang telah menitikkan noda dalam kanvas sejarah.

Jangan jadi seperti mereka. Bila sampai kepada anda satu hadis, persoalkan. Sahehkah hadis ini. Mempersoalkan kesahehan adalah sifat terpuji walaupun ia merimaskan sebahagian orang. Dulu, masa kita mengaji bertalaqqi dengan Tok Guru di pondok-pondok tua, kita tidka berani tanya hadis yang kita jumpa dalam kitab. Kita difahamkan secara tersirat, apa yang tertulis dalam kitab, semua benar belaka. Apa yang Tok Guru beritahu, itulah bingkisan agama yang diwarisi secara benar sehingga kepada kanjeng nabi SAW.

Itulah zaman dulu. Zaman aku belajar sekolah agama dulu, tahun-tahun 80-an hingga 90-an. AKu tidka pernah dengar bab ustaz bincangkan bab ini. Balik kampung menadah kitab Al-Jawahirul Mauhub yang dibaca oleh gemulah imam kampung, tak telintas nak bertanya saheh atau tidaknya satu hadis di dalamnya. 

Kini zaman itu sudah berlalu. Jaguh-jaguh pembela sunnah nabi kian bercempera. yang balik dari bumi India, Jordan, Syria , Yaman, Madinah dan bahkan dalam negara ini sendiri kian kencang menempelak kepalsuan hadis serta sikap sambil lewa merewayatkan hadis. Guru-guru agama, penceramah dan pentazkirah kian bimbang dengan lidah sendiri. Ilmu perlu dimantapkan untuk mengelakkan diri dianggap pendusta atas nama Rasulullah SAW.

Alangkah bagusnya perkembangan ini. Ia tentunya lebih baik daripada apa yang ada 10 atau 20 tahun dulu. Cara mengaji pun banyak berubah. Kaedah belajar pun kian pantas. Kemudahan sains dan teknologi banyak membantu mempercepatkan melatanya ilmu ke tengah masyarakat. 

Kali ini, aku ingin titipkan selepas leteran ini satu hadis yang galak disebarkan dalam media sosial. Terutama pada waktu bencana berlaku beberapa waktu dulu. Ketika bumi Palu dilanda Tsunami, ada gempa  dan letusan gunung berapi berlaku di beberapa daerah di pelusuk dunia, tersebarlah satu hadis. Hadis palsu tetapi kedengarannya macam bagus. 

Ini Hadisnya. Hadis Qudsi yang palsu. Bukan lagi bohong atas nama Rasulullah. Tapi bohong atas nama Allah pula. Besar sekali jenayah ini:



قال الله سبحانه وتعالى في الحديث القُدُسي: كل يوم تقول الأرض: دعني يا رب أبتلع ابن آدم, إنه أكل من رزقك ولم يشكرك.وتقول البحار: يارب دعني أغرق ابن أدم إنه أكل من رزقك ولم يشكرك.وتقول الجبال: يا رب دعني أطبق على ابن آدم إنه أكل من رزقك ولم يشكرك.وتقول السماء: يا رب دعني أنزل كسفاً على ابن آدم إنه أكل من رزقك ولم يشكرك.فيقول الله عز وجل لهم: يا مخلوقاتي أأنتم خلقتموهم؟ يقولوا: لا يا ربنا, قال الله: لو خلقتموهم لرحمتموهم.دعوني وعبادي من تاب إلي منهم فأنا حبيبهم, ومن لم يتب فأنا طبيبهم, وأنا إليهم أرحم من الأم بأولادها.فمن جاءني منهم تائباً تلقيته من بعيد مرحباً بالتائبين.ومن ذهب منهم عاصياً ناديته من قريب إلى أين تذهب؟ أوجدت رباً غيري؟ أم وجدت رحيماً سواي




Allah SWT berkata dalam sebuah hadis Qudsi:


Setiap hari bumi berkata: Wahai Tuhan...biarkan daku telah anak-anak Adam itu. Dia makan razekiMu tetapi tidak mahu bersyukur kepadaMu!

Laut pula berkata: Wahai Tuhan, biarkan daku lemaskan anak Adam itu. Sesungguhnya dia makan razekiMu tapi tidak mahu bersyukur kepadamu!

Gunung ganang pula berkata: Wahai Tuhan, biarkan daku hempap anak Adam itu, dia makan razekiMU tetapi tidak mahu bersyukur kepadaMu!

Langit pula berkata: Wahai Tuhan, biarkan aku turunkan bencana atas anak Adam, dia makan razekiMu tetapi tidak mahu bersyukur kepadaMu!

Allah SWT pun berkata : Wahai makhluk ciptaanku, kamukah yang menciptakan mereka?

Mereka menjawab: Tidak wahai Tuhan.

Allah berkata: Kalau kamu yang menciptakan mereka, tentu kamu pun merasa belas kepada mereka. Biarkan Aku dengan hambaku. Siapa di kalangan mereka yang bertaubat kepadaku, Aku adalah kekasih mereka. Siapa tyang tidak mahu bertaubat, akulah doktor yang merawat mereka. Aku lebih berbelas kasihan kepada mereka berbanding ibu terhadap anaknya.

Siapa yang datang kepadaku dalam keadaan bertaubat, aku menyambut mereka daripada jauh dengan alu-aluan buat orang yang bertaubat. Siapa yang berlalu pergi dengan maksiatnya, aku seru mereka: ke mana kamu nak pergi? Kamu ada Tuhan selain aku atau adakah yang lebih penyanyang daripadaku?

Demikian itu hadis palsu. Jangan sebarkan kecuali untuk beritahu kepalsuannya. Macam hadis yang saya tulis ini, jangan dicopy paste kecuali untuk beritahu kepalsuannya. 

Hadis palsu lebih bahaya daripada berzina dengan ibu sendiri. Lebih besar dosanya daripada membunuh manusia yang tidak bersalah. Lebih besar daripada jenayah-jenayah lain yang boleh kau hitungkan. Itu kerana hadis palsu merosakkan keaslian agama. Lantas rosaklah ummatan jamia'n. Sedangkan jenayah yang dilakukan seperti zina, bunuh dan lain-lain kejahatan, itu hanya merosakkan dirimu atau sekumpulan orang. Kehormatan agama di atas semua kehormatan lain.

Hubaya...hubaya...