Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label Sajak. Show all posts
Showing posts with label Sajak. Show all posts

JIKA KAU BUKAN BANDUAN

May 11, 2019

 
 
 
 
 
 Tahukan engkau?

Nabi Danial seorang banduan!
Dipenjara di Babilon


Nabi Yusuf seorang banduan!
Dipenjara di Mesir

Iman Abu Hanifah pernah jadi banduan!
Iman Syafie pernah jadi banduan!
Iman Ahmad bin Hambal seorang banduan!
Imam Ibn Taimiyyah pernah jadi banduan!
Imam Ibn Qayyim pernah jadi banduan!
Imam Hasan Al-Banna pernah jadi banduan!
Sayyed Qutub pernah jadi banduan!
Prof Hamka pernah jadi banduan!
Adenan Menderes pun banduan!
Presiden Mursi pun Banduan!
Salman Odah ulama Arab pun masuk penjara jadi banduan!
Ramai sekali ulama dan pemimpin ummat jadi banduan
Tak mampu dihitung dengan sepuluh jadi
Sepanjang zaman, mereka seperti rantaian mutiara yang bersambung
Berjuang ditangkap, difitnah dan dipenjara
adalah sunnah kehidupan mereka

Menjadi banduan
bukan satu kehinaan dalam berjuang
tapi kelecehan bagi yang berjuang dan tidak pernah menjadi banduan.

Yang mengaku sebagai pejuang
tidak pernah merasa jeriji penjara
malulah mengakui diri sebaris pejuang yang mencipta nama
di kanvas sejarah!

Yang tidak pernah ditulis nama sebagai banduan
jangan merasa diri mulia terhormat

Jika seorang yang berjuang
tanpa nama banduan
ia cacat dalam episod perjuangan!

Allah tidak anugerah kepada semua orang
gelaran banduan walau ramai yang meniti kerikil perjuangan
Kerana Allah tahu niat masing-masing
juga kudrat jiwa yang tidak mampan.

Bezakan....
banduan bukan semuanya cela
Bukan golongan aysqiyaa
bahkan ada yang mulia
maqam ambiya dan auliya.

Jika kau bukan banduan
kau belum menjadi rantaian perjuang terkanan.

AYUHLAH KITA BERGANDING BINA NEGARA INI

May 13, 2018

Rupanya
ombak kebencian yang mendebur
tebing-tebing pahala
pada hari kelmarin
sebelum sayembara pilihanraya ini
belum juga memberhentikan hakisannya.

Telah berapa banyak timbunan pahala tersimpan
menjadi dagangan rugi hari kemudian
kerana kita terlanjur ucap
dijelma dalam tulisan di sini
mencipta ramai tokoh bankrapsi
di hari perhitungan

Hari itu
sebelum pesta memilih
banyak sudah kita berselisih
menuduh orang lain hitam sedang kita mengaku putih
banyak orang yang ditajrih
pahala-pahala enam purnama habis disapih.

Kini
pihak menang dan kalah telah dipilih
tapi lidah-lidah masih bertasbih
mengucap zikir-zikir pedih
mengundang debat panjang tapi pahala meleleh.

Peristiwa kelmarin
cukuplah sekadar ambil ibrah
berilah peringatan untuk esok.

Yang sudah menggapai kuasa
percayalah mereka
biarkan mereka melakar masa depan
tanpa ada keji nista
tidak perlu menebar syak wasangka
sebelum benar-benar nyata.

Semua yang bersayembara
dalam perebutan kuasa
tidak pernah bertukar menjadi malaikat mulia
tetaplah mereka manusia juga
silap langkah jatuh hina berdosa

Semua yang bersayembara
bukan gerombolan para wali suci
yang hidup persis nabi
putih hati tiada hasrat durjana tersembunyi
manusia terlihat mulia hari ini
esok boleh jadi
berubah lagi
dari sayang jadi benci.

Mereka telah mendapat pamrih dunia
biarkan mereka meladanginya
untuk dibawa sebagai pahala atau dosa

Kita rakyat biasa
yang telah membuat pilihan
dengan sangka berat atau keyakinan
bahawa mereka mampu manggalas amanah
tidak menanggung dosa mereka yang berpaling tadah

Janganlah kita di dunia tidak dapat seberapa
di akhirat pula lebih muflis daripada mereka.

Percayalah...tidak memilih untuk kejahatan
kecuali manusia-manusia jelmaan setan
sedang rakyat yang membuat pilihan
banyaknya yang mengharap kebaikan
mereka diberi ganjaran
atas niat mulia yang disimpan.

Kita berhenti bertikam lidah
kita berganding bina negara indah
kita hiasi negeri diberkati Allah
kita maafkan segala yang sudah
kita basuh segala ludah
kita tinggalkan lingkungan bedebah
berpaculah ke depan tanpa mengunjing orang sebelah
biar hati kita jangan berbarah
merebak benci berbaur amarah
sampai ke mati tak tahu lelah
untung tiada rugi yang ditadah.
biar demam pilihanraya jadi kebah

walau ada musuh jahat mencelah
umpan musuh usah dikesah
siasat jahat  mereka  akan kalah
mereka melempar rasa gundah
mereka menanam bimbang gelabah
mereka mengarang banyak madah
menelah ke depan barang yang dalam ilmu Allah
agar hati kita dihantui resah
racun hasutan jangan dijamah
jangan diangkat untuk ditelaah
jangan disebar kepada ummah
biarkan ia terselit  di bahagian bawah
lama-lama mereput dalam air kumbah.

Negara ini di ambang musnah
hutang bertimbun dilangsai payah
biar pakar yang mengolah
jalan keluar dari musibah
usah diganggu dengan masalah
sorak bising teriak jerkah
gaduh tengkar  hobi berbalah

Jangan kerana coklat gula getah
dibiar rosak  nasi sekawah
negara ini bisa rebah
kerana ekonomi yang kian parah
kerana sistem dijangkiti rasuah
di situlah kita membulatkan wehdah
menumpukan fokus menjalin ukhuwah
menyingkir segala punca balah
tentang soal yang bukan hidup mati sebuah daulah
jika rebah ini negara bertuah
semua citra  tersungkur  musnah
negara yang  diredhai Allah
tidak dapat lagi dicanang megah
punca kuasa telah punah
tolak bahagi dikira payah

Marilah kita berfikir dengan otak yang hikmah.


Apa cerita ummat ini?

January 4, 2018

Salah orang nampak terang
Salah sendiri tidak dibilang

Ketika musibah menimpa orang
dikatakan itulah balasan petualang

Ketika diri ditimpa malang
dikatakan itu ujian orang berjuang.

Bahtera orang dilambung gelombang
Ditafsir itulah waktunya untuk menyemberang

Bahtera sendiri berkocak goyang
Ditafsir itulah proses saringan bertandang.

Bicara sabda memercik api perang
Mantera cacamarba menitiskan embun tenang.

Para wali melahirkan orang curang
Syaitan-syaitan terbahak riang
Kafir durhaka melahirkan orang terbilang
Para malaikat hairan tercengang.

Apa cerita ummat ini?

Orang lain negaranya lestari
Negara sendiri bertaburan duri
Hati orang suci berseri
Hati sendiri hitam kuali
Orang bergaduh cuma sehari
Kita di sini bergaduh sampai mati

Kala berdagang agama ditunggang
Kala berpolitik bersaing licik
Kala berdakwah asyik seranah
Kala berpangkat lupa berkhidmat
Kala kaya mendabik dada.

Kalau begini
bukan ummatnya nabi.
yang diseru ummati ummati
di pinggir Haud di akhirat nanti.

Jangan dikau heran!

May 25, 2017

Apa nak heran
Jika penagih arak
Pernah bertukar menjadi wali.

Jika seorang faqih Madinah
Bertukar menjadi penguasa penumpah darah.

Jika leluhurnya syeikh Tariqat
Cicit biutnya jadi ketua qabilah yang bejat.

Di kanvas sejarah
Terlukis aneka rupa
Singa ganas menjadi domba culas
bebiri dunggu menjadi serigala hati batu.

Dulu seorang sanjungan terbilang
Kini seorang pasungan terbuang.

Apa nak heran
Kau dengar tentang dia
Dulunya mengobar api
hari ini sibuk memadamnya kembali!

Dulunya dia menuding jari
mengangkat sang kepala negeri
tapi kini...
menjilat ludah sendiri
demi mantera menjadi
menumbangkan puri para pencuri.

Bukankah?
telah kau dengar kisah
Sang Barsisa wali Allah
Bisa tersungkur rebah
Menemui Suul khatimah...

Bukankah?
Telah kau dengar riwayat
Seorang lelaki bejat
100 nyawa dicabut hayat
akhirnya bertaubat
menjadi pilihan malaikat rahmat....

Jangan kau heran apa yang terjadi
Bimbangkan tentang dirimu nanti.

SAJAK: GURUMU AGONG

May 16, 2017

Gurumu Agong
Tidak mesti ilmunya menggunung
Yang membuatmu mendaki tidak bepenghujung.

Tidak mesti juga seperti nabi
Yang menyampaikan wahyu ilahi

Tidak mesti juga seperti imam ghazali
Yang mendidik jiwa para santri

Tidak mesti juga seperti Imam Hanafi,
Maliki , Syafie, Hambali
Yang menjadi ikutan orang kemudian hari

Gurumu Agong
Walau yang dijarnya cuma kenal ABC
Atau satu huruf alif dan sekecil adab diri

Gurumu Agong
Walau kau putera raja anak bangsawan
Sedang dia cuma rakyat bawahan

Walau kau kemudiannya menjadi orang berpangkat
YB atau pemimpin atasan sebaris ningrat
Sedang gurumu cuma orang tua bertungkat
Hidup susah sebagai orang melarat.

Gurumu Agong
Walau di saat kamu kaya berharta
Kamu memandu kereta harga berjuta
Memintas guru yang sedang berkapcai tua
Jangan lupa di satu masa
di depan guru, kamu menakah tangga.

Gurumu Agong
Walau saat kau petah bicara
Menjadi peguam ternama
Walau saat kau sudah jadi ulama
Anak murid di mana-mana
Sekalipun kau jadi seorang raja
Gurumu tetap agong jua

Gurumu Agong
Guru yang pernah mengajar mula-mua
Atau yang memahamkan pelbagai formula
Sama sahaja yang mengajarmu menjadi cendikia

Agongkan gurumu di hatimu
Itulah rahsia hidupmu bahagia.
 Disampaikan oleh Ust Kama sempena sambutan Hari Guru Peringkat SK. Sungai Seluang, Lunas, Kedah pada 16 Mei 2017.

GURU BERNESAN ZAMAN (EDISI REVISED)

May 16, 2016

Insan bernama guru
Telah berdiri sebagai gapura ilmu
Untuk manusia menggapai apa mahu.
Untuk membuang jahil menjadi tahu
Dari meraba-raba lalu pasti tempat tuju.
Mengajar lurus pasak nawaitu
Memercik semerbak harum gaharu
Membawa ke puncak ke atas awan biru.

Insan bernama guru
Telah mengalirkan sungai bijaksana
dari legeh para pendeta .
Telah menyemaikan sebendang saujana mata
ilmu warisan para cendekia
Telah menanam taman rimbun merimba
buat teduh musafir kelana di dunia.

Insan bernama guru
Telah membangunkan kota perkasa
untuk mengepung sejahtera pewaris citra.
Telah meluncurkan bahtera merdeka
agar generasi muka berdiri penuh maruah di dada
Telah mengajar para si buta
bangaimana mengenal semua panca indera
telah melukis sejarah bangsa dan nusa
Agar bangkit menguasai dunia.

Berkata bijak pendeta
ilmu lebih mulia daripada harta

ilmu menjaga kita
kita pula kalut menjaga harta

Ilmu bertambah jika disebar
Harta musnah bila terbiar

Ilmu mengangkatmu ke harkat malaikat
Harta menyaratkanmu ke karat bejat.

ilmu menggapai Sidratul Muntaha
sedang harta melata bersalut noda.

Tuan ilmu itulah guru
Tuan harta itulah juta

Guru bersila di langit pendeta
menghidu semerbak harum syurga
di atas dari angkasa raya
bargayut di bawah arasy mulia

Juta bergelut di kumbahan sengketa
Merebut harta membangun istana
Agar diri mewah ternama
Harta melimpah lanai berjela.

Tak akan sama guru tuan ilmu
Dengan si juta tuan harta!

Guru itu insan mulia
jiwa bersinar memancar citra
menyebar idealisma hidup berbangsa
mengangkat yang hina jadi mulia
memimpin yang mulia menyempurna karma
membuka jalan menuju syurga.

Harta mengalir melimpah dunia
legehnya datang dari ajaran guru
Empayar besar tegak beribu tahun
di garis pertama guru melakar
Manusia memanjat mikraj malaikat
gurulah meletak takah-takahnya

Guru terbenam di perut bumi
Nama didendang di sana sini

Walau jasad telah sirna
tidaklah makrifat hilang bersama.

Nama orang tertulis di nesan?
nama guru ditempa zaman.

Yang mati namanya dilupa
nama guru masih diwarta

Orang lain mati bergalang tanah
Guru mati didendang madah.

Wahai guru 
pacakkan nesanmu di dada zaman
sebutir benih yang kau tanam hari ini
Kan tumbuh sebagai pokok sidrah
Akarnya mencengkam pucuknya mengawan
akan berjuntai dahannya berabad
Daunnya bertunas tertulis namamu
Buahnya tidak luak dimakan berzaman.

Biar ringgitmu sekeping cuma
dengannya kelak kau rantaikan pahala
Terbujur engkau di Barzah sana
Bertemali jariah engkau terima
sebagai kalung bahagia di hari muka.

Wahai murid
pencakkan tarimu dengan gemalai cinta
pada guru yang menuntun tulis baca
mengajar hitung kira
mencanai minda bijaksana
menghiaskanmu akhlak calon syurga
satu masa jangan kau lupa
di mana langkahmu bermula
sebelum kau berdiri di menara jaya
Itulah pada sabarnya guru mulia.

Gurumu tidak bernesan dua
Dia bernesan zaman
Selagi ada roda masa
Akan kau baca namanya
Yang ditempa pada nesannnya….

Hasil Karya: Ust Kama

Dideklamasikan pada 16 Mei 2016 Sempena Sambutan hari Guru Peringkat SKSS


Kala kebun kita dijilat api.

June 12, 2015

Kebun subur nan hijau dulu
telah hancur lunyai dedaunnya
diserang belalang juta yang menyerbu
pada waktu kita enak beradu
disuruh bangun kita tak mahu
tidur jangan diganggu
mimpi indah belum berakhir.


Ketika kita mula cemas
batang dan dahan kering disambar api
menyala dan membakar
panasnya mula menyentuh perbaringan
kita segera laungkan
tolong panggil bomba
selamatkan ladang kita
padamlah api segera
sebelum musnah segala.

Mana dia bomba?
bomba sedang lena....

Dosa semalam masih berdarah.

Kantung yang sarat
dengan mantera laknat
kini jadi beban berat
untuk mendaki langit malaikat.


Langkah jadi lambat
roda pun telah berkarat
kafilah rasa penat
melirik tempat istirehat.

Satu kata cemuh musibat
yang pernah jadi ayat
waktu rancak bersilat
akan dibawa ke akhirat.

Setelah ditanggal selendang berdarah
kemudian memakai tanjak Pak Lurah
dosa semalam tetap berbarah
taubat lidah tidak mudah.

Telah terluka banyak jiwa
dalam dunia tiada penawarnya
membawa cerita ke hari muka
di sanalah cuba diri kau bela.

Buana pucat.

February 13, 2015



Pejuang rakyat
dalam masyarakat
sebagai ubat
untuk jagat
dialah berkat.




Telah gerhana ufuk siasah
kala aktornya dihukum bersalah
atau bertukar jadi gemulah
buana pucat tidak berdarah.

Telah direnggut mutiara negara
seorang dihumban ke dalam penjara
setelah berbuat banyak perkara
merubah lanskap politik negara

Seorang dijemput ke langit tinggi
meninggalkan harum semerbak setanggi
di bawah langit selaku murabbi
dunia siasah menanggung rugi.

Walau ketawa dubuk lapar
atau menangis segala camar
mutiara hilang yang disambar
jadi musibah meninggalkan calar

Buana ini bertambah pucat
kemarin mega merah di langit barat
semalam gerhana di balik awan larat
hari ini kami terduduk menanggung sarat
esok menunggu jalan berselirat.

Lunas,
13.02.2015

Dedikasi pilu kehilangan TGNA.


Berpulanglah sudah
Seorang ulama terbilang
Guru siasah nan cemerlang
Hati ini berkeluh walang
Mendepani kemelut hari mendatang.


Memang demikianlah hamba pilihan
Bila habis tugasan Tuhan
Memimpin negeri bernama Kelantan
Hidup berbaki dalam bilangan.
Pahala memimpin sudah berkurangan
Maka hayat bertemu kesudahan.

Adapun manusia bukan pilihan
Walau telah lepas jawatan
Umur masih lagi berlanjutan
Baki hidup menambah beban
Dosa bertambah siang dan malam.

Dia ulama berakal cemerlang
Cermat ijtihad menambah terang
Gelap ragu dapat dibuang
Dapat menambah yakinnya orang

Kehilangan ini di waktu berkabus
Sukar dicari seorang penerus
Sebuah legasi setegak turus
Tegak simbul bijak urus.

Esok belum dapat dipasti
Apakah kabus sirna sebelum dini
Atau berlanjut hingga pagi
Tiba-tiba kita hilang seorang murabbi

Semoga Allah bawakan pengganti
Pacakkan harapan walau seratus tahun lagi.

Alpa sang 'ubbad.

November 22, 2014


Khabarnya GST akan dihempapkan
ke pundak rakyat bawahanan
mulai tahun depan.


Disember menjelang
Subsidi minyak akan hilang
biar rakyat sendiri berjuang
kerajaan tak mahu tanggung lagi walau sekupang.

Jangan bertanya kenapa teganya mereka yang berkuasa
tanyalah mengapa alpanya yang menjadi mangsa!




 " Usah bertanya kenapa para taghut berbuat durja,
Tanyalah mengapa para abid bersujud cuma".

Bangkai 13 Mei

May 24, 2014

Setelah lebih tiga dekad
bangkai 13 Mei dikuburkan
mengapa masih mencari pusaranya,
untuk dibongkar menghidu busuknya?

Generasi yang mengusung kerandanya
membenamkan ia ke lahad sejarah
telah berkhilaf di mana nesannya
telah lupa di perkuburan mana
tiada kemboja tumbuh mewangi
tiada maqam bertulis pasti

Hanya cerita bersulam ceriti
mayatnya tersimpan di belukar semak
mungkin terbenam di tanah rata
mungkin karam di selat Melaka.

Generasi pasca merdeka
yang hanya mendengar lara tua
mengapa menggali kubur lama?
mencari bangkai 13 Mei
untuk apa?
buat menghidu busuknya?
jemukah sudah haruman bunga
semerbak di taman paduan bangsa.

anak muda berbangsa ungka
rimbun rendang rimba belantara
mengapa dahan dikekah patah?
mengapa direjang runtuh teduh?

Bangkai 13 Mei
telah lama dikuburkan nenda
di pusara tidak bernama
cunda masih membaca mantera
menyeru kembali ruh durja
cunda menyelongkar kota lama
mencari bangkai busuk luka.

Apa guna jadi manusia
baik hidup sebagai panda!

KHIANAT PARA LALAT

August 21, 2013


يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

Khianat itu dapat dilihat mata
ada yang tersembunyi dalam sukma

Ketika lidah bicara bergula
mata nyalang misteri serigala

Waktu diri belum berkuasa
tatapan redup sesejuk senja
kala sudah kuasa bertahta
khianat menari berentak dansa

Ada khianat tidak nyata
tidak zahir kerlingan mata
dalam dada diam bertapa
hanya muncul di saat leka

Sudah menjadi sunnah berzaman
dalam kecamuk medan peperangan
khianat datang laksana bayangan
mengilas menyambar gagalkan perjuangan.

Ketika berebut laba ghanimah
khianat menyusup menyebar namimah
menghasut mujahid korbankan istiqamah
mengajak istirehat duduk di rumah.

Rebah tersungkur Kota Baghdad
Kerana khianat Rafidhah laknat

mati terbunuh Husain di Karbala'
kerana khianat Pengikut Ibn Saba'

Othmaniah tersungkur diinjak penjajah
kerana khianat At-Tartuk anak mukah

Melaka jatuh ke tangan Portugis
khianat Si Kitol Melayu menangis

Baru bangkit Mesir baru
rebah mundur ke zaman dulu
Pemerintahan Mursi memercik gaharu
dituduh makar pilih bulu
khianat As-Sisi kepala soldadu
mengulang kisah khianat lalu

Khianat itu zahir di mata
dari dalam dada ia bertapa

terbang berlegar umpama lalat
mencari tahi menyebar mudarat!

Allah mengatahui semuanya
Usah jadi pengkhianat durja.

Ananiah

August 19, 2013

Mengenang merdekanya tanah pertiwi ini
kita diajak mensyukuri nikmat keamanan
kita diseru pelihara keamanan
jangan digadai sebuah kedamaian
untuk  menggapai impian
di luar kemampuan.

ya...syukurlah negara kita masih aman
Tidak bergolak seperti Mesir dan Syria

Itulah akibat jika menjadi pelampau agama
Syu'ara Utusan penasaran tiba-tiba mengilas kesimpulan.

Pada saat saudara menderita
masih mampukah kita berbahasa bangga

Ya Salam...
Bukan kamu melakarkan keamanan
Allahlah yang menguji kamu untuk mesyukuri
dengan rasa rendah diri.

Jangan membangunkan ananiah
dalam dunia bergolak
kelak bila roda kita di bawah
kita menjerit mohon prihatin.

Jika As-Sisi mimpikan taubat

August 18, 2013

Jika As-Sisi mimpikan taubat
Akan aku katakan padanya
tunggulah sahaja dawair
Setelah tanganmu berlumuran darah
Setelah kibriya' menjulang liwa'
apa diharap insaf teriak?

Memang Tuhan Huwal Ghafur
namun Firaun mati takbur
darah bani Israil dialah penghambur

Kalau Firaun bisa bertaubat
Kalau Firaun telah bertaubat
Kalau Firaun diterima taubat

barulah rela aku
berdoa agar As-Sisi bertaubat
mendapat hidayah wal-inayat

Namun...doaku kini
kehancuran dan azab
celaka dan neraka
buat para penzalim
beliakkan bola mata mereka
sebelum tiba hari Tashkhasu Fihil Absar!

KALIAN ANAK-ANAK TAMARRUD

July 4, 2013

Anak-anak Tamarrud

zuriat kaum Tsamud
tentera-tentera Namrud
penganut ajaran Talmud

Kalian diam menjilat Mubarak
kini menjadi hamba para fulul
30 tahun sanggup meratib angguk
sami'na wa ato'na
2 tahun  Mursi berkuasa
menjalin tenun koyak rabak
kalian gelisah memberontak
abaina wa asoina

Jangan kalian berhikayat
mendabik diri bangsa hebat
kalau hanya mengenal piramid
namun tidak mengenali Al-Azhar.

Kalianlah anak-anak tamarrud
yang bertajassud membela Lahud
nafsu sebuas  yakjud makjud
menyembunyikan nifaq di perut Uhud
di puncaknya galak bertasyahhud

Musa menangis pilu
Amru Al-As menjadi kelu


HIZBULLAT DAN NASRULLAT

June 17, 2013





Bukan Hizbullah tapi Hizbullat
Bukan Nasrullah tapi Nasrullat
menyebar mimpi buat ummat
lagak tampil sang penyelamat
menentang Zionis yang dilaknat
namun bermain siasat khianat
telunjuk lurus kelingkin berlipat.

Dengan Yahudi bermain acah
kejar sembunyi sang bocah

dengan Sunni menumpah darah
taghut Bashar mereka sembah
nama Husain dilagu burdah
namun Aishah dicemar maruah
sahabat bertiga habis disumpah.

Kilauan sinar bukan rembulan
tersungkur pesona pengkagum Nasrullat
rupanya dia hanya seorang penjilat
sedarlah seluruh ummat
afrit disangka malaikat.

Tiada kebangganan pada tanah Parsi
jika masih mewarisi sesat majusi
Ahlul Iraq kembali beraksi
Hussain dikhianat berpura tangisi
di mana juga Rafidhah berdiri
lebih aman di bawah Romawi
sebelum Islam tegak lestari.

Mereka gemar mengalirkan darah
tidak dapat Sunni untuk dikekah
diri sendiri ditabuh berdarah.
10 Muharam menipu sejarah.

Jika bangsaku menjadi Syiah
jika sahabatku memilih Rafidhah
hiruplah selaut darah
bunuhlah Ahlus Sunnah
seperti yang mereka lakukah di bumi Kinanah.

Jeritkan sahaja cerca makimu
dalam bahasa para pendahulumu
usah menampil wajah berseri
di balik pekat hitam kalbu
taqiah sudah tidak laku.

Kini bukan masa bersilat kata
angkara Hizbullat dan Nasrullat
serta durjana tanah sekangkang dajal terlaknat
sudah membusuk bau khianat
masihkah perlu mencari muafakat
mendendang lagu menyeru akhawat

Setelah terpampang depan mata
tiada persaudaraan dalam agama
antara pemuja lata
tak akan bersaduara pemuja Allah Tuhan semesta.

SAJAK SEMPENA HARI GURU 2013

May 23, 2013

GURU BERNESAN ZAMAN 

Hasil Karya: Ust Kama  

 

Insan bernama guru
telah menanam semai sebendang saujana mata
menumbuhkan  padi di tanah rata
menjadi ruji manusia berjuta
telah menanam benih seladang rimbun merimba
menumbuhkan hijau generasi warga
menjadi teduh panas derita
telah menternak berkandang manusia domba
membiakkan manusia semahal harga
mamanjat tangga harkat malaikat.

Berkata bijak pendeta
ilmu itu berbanding harta
lebih mulia berkali ganda
jika diganding dua perkara
ilmu menggapai Sidratul Muntaha
sedang harta melata bersalut noda


Tuan ilmu itulah guru
tuan harta itulah juta
guru bersila di langit pendeta
menghidu semerbak harum syurga
di atas dari angkasa raya
bargayut di bawah arasy mulia
Juta bergelumang rebut sengketa
siapa paling menjadi kaya
harta siapa lanai berjela.

Manakan sama antara guru dan juta.

Guru itu insan mulia
jiwa bersinar memancar citra
menyebar idealisma hidup berbangsa
mengangkat yang hina jadi mulia
memimpin yang mulia menyempurna karma
membuka jalan menuju syurga.

Harta mengalir melimpah dunia
legihnya datang dari ajaran guru
Empayar besar tegak beribu tahun
di garis pertama guru melakar
Manusia memanjat mikraj malaikat
gurulah meletak takah-takahnya


Guru terbenam di perut bumi
Nama didendang di sana sini
walau jasad telah sirna
tidaklah makrifat hilang bersama.
nama orang tertulis di nesan?
nama guru ditempa zaman.
seribu tahun nama dilupa
nama guru masih diwarta
orang lain mati menjadi tanah
namun guru mati menjadi madah.


Wahai guru 
pacakkan nesanmu di dada zaman
sebutir benih yang kau tanam hari ini
berjuntai dahan pohon abad
daunnya tertulis namamu
biar ringgitmu sekeping cuma
dengannya kau rantaikan pahala
sebagai kalung bahagia di hari muka.


Wahai murid
pencakkan tarimu dengan gemalai cinta
pada guru yang menuntun tulis baca
mengajar hitung kira
mencanai minda bijaksana
menghias akhlak calon syurga
satu masa jangan lupa
di mana langkah mula
sebelum kau berdiri di menara jaya
kalau bukan pada sabarnya guru mulia.


*Dideklamasikan sempena sambutan Hari Guru peringkat Sk. Sibugal Besar bagi tahun 2013.

SUMPAH BERDAULAT

May 9, 2013


Tahta yang kau  panjat
dari makar berlipat makar
dibajai tipudaya berlingkar
dari siasat nista musibat.

Lantas
aku ucap sumpah berdaulat
sebelum senja menjadi rapat
runtuhlah tahtamu ke kaki rakyat
tak akan tegak kuasa bejat
di lingkung berpagar kuasa keramat.

Sumpahku yang berdaulat
bukan dari lidah ningrat
hanya hamba rakyat
yang terpukul khianat
oleh siasat cemar berkarat.

Tidak akan tegak selamat
kuasa berdiri penuh muslihat
sebelum senja merapat
rebahlah kamu miskin inayat
berkecai berpuing terkulat-kulat.

Inilah sumpahku yang berdaulat
menggengam bendul langit malaikat
menjulang amarah ke rantau hadrat

Tuhan...berikan kami doa keramat.

Jangan Meniru Perangai Dubuk

May 8, 2013


Di kala Allah berikan kuasa
hendaklah sentosa tadbir negara
jangan berperangai dubuk durjana
bangkai direbut saling sengketa.

Rakyat di bawah sedang memerhati
pemimpin jangan banggakan diri
kuasa bukan bersimpul mati
salah langkah hilanglah negeri.

Pemimpin diberi kuasa memerintah
janganlah bergaduh saling bertingkah
rakyat bawahan merasa gelisah
melihat pemimpin berebut sampah.

Kuasa bukan barang peribadi
ia hanya pinjaman ilahi
pemilik kuasa alam ini
boleh sahaja bertukar ganti.

Wahai YB ingatlah diri
waktu anda tegak berdiri
jangan lupa satu hari
di mana anda tinggal sendiri.

Masa menang janganlah mewah
takut nanti di masa kalah
hidup menjadi amat susah
habis tergadai rumah dan tanah.

Jadi pemimpin hendaklah ingat
jawatan bukan menjadi ningrat
membantu bela hanya kerabat
nasib rakyat dibiar melarat.

Kalau hendak kaya berharta
menjadi pemimpin bukan jalannya
baik terjun dunia niaga
di sanalah dapat dikumpulkan laba.

Janganlah kuasa jadi kerjaya
untuk diri kaya raya
amanah kuasa sangat bahaya
kelak di akhirat akan ditanya.

uruslah negeri sebagai manusia
dipandu akal yang bijaksana
jangan diikut nafsu durja
riuh sengketa bak dubuk celaka.