Seketika, saat menyelak lembaran nostalgia masa lalu, aku terkenang bapaku. Waktu aku kecilku, bapaku sering menghantarkan aku ke sekolah dengan basikal tuanya. Saban pagi, begitulah. Mengenang saat-saat itu, air mataku tergenang di kelopak. Dalam kesusahan hidup, bapaku bertekad kental menyekolahkan aku dan semua adik beradikku yang lapan orang. Hanya sebagai penoreh dan pesawah kecil, di samping ada membela beberapa ekor kerbau dan lembu, kami adik beradik disekolahkan. Dalam tatih rebah menempuh belukar kehidupan, bapaku mahu agar kami berpelajaran dan memberi kebanggan kepadanya dalam pelajaran.
Di sebuah kampung yang ulu, sebelum kemajuan melebar sayap, aku dibesarkan. Tiada api elektrik, hanya bergantung kepada pelita minyak gas. Tiada air paip, hanya air perigi sebagai sumber minum dan bersuci. Hutan rimba dan belukar yang berkeridau margastua adalah latar sebuah kehidupan. Bapaku, menebang dan menebas belantara menjadi huma, untuk dijadikan kebun getah. Aku masih ingat, tangan kerdilku waktu kecil dan remaja melibas parang cangkuk ke batang-batang pokok sebesar lengan dan paha, membantu bapa, membina sebuah perhumaan, yang kelak menjadi kebun-kebun yang melatari sumber kehidupan kami sekeluarga.
Aku terkenang bapaku...
Saat air sungai surut di musim kemarau, bapa mengajakku mencari gondang. Bapaku mengajar aku menyelam dan meraba-raba mencari gondang di celah-celah batang kayu dan reba yang mendap di dasar sungai. Aku sering mendapat hasil yang tidak dapat menandingi bapaku. Gondang yang terkumpul, kami bawa pulang dan amat sedap dimasak goreng.
Pada musim banjir, bapaku telah siap dengan bubu yang dibuatnya dengan jalinan rotan atau bambu. Berumpan anak kongkiak atau kerengga, bapaku melukah di pinggiran sungai. Aku tidak berani turun ke sungai yang berarus deras berpusar, hanya menyaksi keberanian bapa menyelam dan berenang memasang bubu. Kekadang, razeki baik datang, ikan keli memenuhi bubu. Kenduri satu kampung bapa buatkan. Di batas-batas sawah yang melimpah air, bapa buatkan gelung-gelung dan sat diletakkan. Jika razeki baik, di pagi hari bapa bawa balik ikan puyu dan udang sawah. Ibu buat kering atau layur dalam daun palas.
Aku terkenang bapaku...
Saat aku meningkat dewasa, bapaku ajar menyapu sampah dan menghampar tikar di masjid. Aku dikenali sebagai anak seorang siak. Aku mendapat banyak faedah dari tadrib dan ta'dib bapa. Aku menghitung harapan dalam agama dan akademik bersama sampah sarap yang aku kuis dan saat membersihkan tahi ayam yang menunjuk durhaka mencemari lantai masjid. Aku menjadikan episod itu sebagai satu dalil buat membisikan kata-kata "jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu!". Kepada adik-adik remaja sekampung sesudahku, aku memberitahu mereka bahawa didikan masjid memberikan kita kejayaan.
Saat aku menggapai kaki di astar kartaksis, bapa menjual kerbaunya buat membayar yuran pengajian dan menghantarkan aku ke sana. Bapa hanya berselipar jepun dengan baju kemeja lusuh.Itulah kali pertama bapa menjejaki kaki ke ibu kota. Mengenang keadaan bapa waktu itu, aku sering terpekur sendu dan sebak.
Saat aku graduate dan tidak punya perkerjaan tetap, bapa tetap sabar. Bapa hanya mendengar, entah apa katanya dalam hati, sewaktu aku mengungkapkan idealisma perjuangan untuk menjadikan tanah datuk dipinggir masjid kampung kami sebagai markas pengkaderan. Bapa tidak pernah mengeluh tentang pencapaianku dalam dunia. Tetapi, bapa amat perihatin tentang perjalanan akhiratku. Kendati, aku telah melewati umur 27 tahun, saat aku balik kampung, di kala azan subuh berkumandang, bapa akan megejutkan untuk solat subuh berjemaah di masjid.
Aku terkenang bapaku....
Pada saat aku terlempar jauh ke bumi Sabah, melanjutkan pelajaran dalam dunia pendidikan dalam kursus KPLI, aku tidak tahu bahawa itulah tahun terakhir bapaku di dunia ini. Aku sudah menyusun tekad untuk menghadiahkan bapaku sebuah kereta jenama klasik dutson sunny kepadanya. Ibuku pernah berkata bahawa bapaku tak berminat dengan kereta tetapi itulah cita-citaku.
Tetapi...penghujung tahun itu, tahun 2003, aku mendapat panggilan talifon dari kampung mengatakan bapaku meninggal dunia. Bapaku meninggal setelah demam biasa yang tidak dijangkan asbab sebuah kematian. Saat itu aku terkesima dan usahaku untuk pulang buat menatap bapaku kali terakhir tidak kesampaian kerana masalah jadual perjalanan tiket penerbangan yang tidak memungkinkan aku tiba pada waktunya. Aku pulang beberapa hari kemudian dan hanya melihat dua nisan yang terpacak di atas tanah yang masih merah. Aku membisikan buat diriku, agar menyingkir gundah, bahawa melihat kali terakhir bukanlah penting kerana selama ini aku telah pun melihatnya dan telah berusaha dan berbakti kepadanya.Orang sering mementingkan menatap kali terakhir tetapi lupa di awal dan pertengahannya.
Bapaku almarhum saat aku di perantauan. Biarpun aku belum puas memberikannya kesenangan dunia, aku gantikan dengan doaku buatnya saban usai solat dan kebaktian seorang anak dalam beragama yang menjadi saham buatnya di alam sana. Aku berusaha berbakti kepada ibuku yang ditinggalkannya kerana berbakti kepada ibu sudah tentu harapan bapa untukku.
-->
رب اغفر لي ولوالدي وارحمهما كم ربياني صغيرا
Kini, sudah 6 tahun bapaku berpulang menemui Rabnya. Aku sudah berkeluarga dan punya anak. Aku tidak menceritakan kepada anakku apa yang aku lakukan kepada bapaku. Apakah kebaktian yang aku telah abadikan dan harapan apakah yang telah aku panjatkan. Aku pulangkan kepada Tuhan yang mengamati perjalanan insan sepanjang zaman agar memberikan aku sesuai dengan bakti dan cinta kasih aku kepada orang tuaku.
Kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNya aku mengharap.
1 comments:
Kini, usiaku pun telah menjangkau setengah abad. Ibuku telah oun meninggal menyusuli bapaku pad atahun 2018. Tidaklah aku tahu sampai bila aku akan mengatur langkah dalam dunia ini. Namun, yang pasti, satu hari yang entah bila, aku akan menyusul bapaku dan ibuku. Cuma, doakau agar aku dihidupkan sebagai orang soleh dan kelak mati sebagai ornag soleh....
Post a Comment