Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Alpa sang 'ubbad.

November 22, 2014


Khabarnya GST akan dihempapkan
ke pundak rakyat bawahanan
mulai tahun depan.


Disember menjelang
Subsidi minyak akan hilang
biar rakyat sendiri berjuang
kerajaan tak mahu tanggung lagi walau sekupang.

Jangan bertanya kenapa teganya mereka yang berkuasa
tanyalah mengapa alpanya yang menjadi mangsa!




 " Usah bertanya kenapa para taghut berbuat durja,
Tanyalah mengapa para abid bersujud cuma".

Menyampaikan kuliah jalan menancap istiqamah.

November 13, 2014

Kali ini, saya ingin membawa saudara-saudari merenung sepotong ayat firman Allah dalam surah Fussilat, ayat 30:


إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu".

Dalam ayat ini, Allah mengisyaratkan tentang "berkata" iaitu perkataan " Tuhan kami adalah Allah!". Dengan berkata demikian, ia akan menancap dalam hati dan kemudian akan menambahkan istiqamah si pengucapnya dalam keyakinan ketauhidannya.

Maka, percakapan itu penting. Melalui percakapan, seseorang akan meluruskan hatinya. Ratib tahlil itu diucapkan berkali-kali untuk menancapkan ia dalam hati. Jika seseorang itu banyak bercakap agama, maka hatinya akan terarah kepada agama.

Inilah sebab mengapa amal zahir itu penting. Memang Allah melihat kepada hati seseorang dan bukan kepada zahirnya. Namun, untuk mencapai hati yang lurus dan diterima Allah, hati memerlukan sokongan dan dokongan daripada amal zahir.

Berkaitan dengan pentingnya bercakap ini, saya menasihatkan sahabat-sahabat yang ingin menancapkan ilmu agama dalam dirinya, tidak cukup dengan membaca coretan agama di FB dan buku-buku sahaja. Pada saat yang sesuai, luahkan ia. Sebab itu, para ustaz dan ulama, perlu punya masa untuk menyampaikan kuliah dan syarahan agama di mana-mana sahaja. Ia bukan semata-mata untuk menyampaikan ta'lim kepada masyarakat, tetapi juga untuk menancapkan istiqamah ilmu itu dalam diri.

Kalau keyakinan kepada Allah itu perlu diungkapkan dan diluahkan, maka demikianlah ilmu yang bersemadi dalam dada kita. Ia perlu dibicarakan. Dengan cara demikian, ilmu itu akan kekal (istiqamah) dalam dada. ia akan segar bugar sebagaimana layaknya watak sebuah kalimah yang disebut istiqamah.

Kerana itu, saya memilih untuk menyampaikan kuliah di masjid atau surau maupun bercakap dalam usrah dan tidak mahu berdiam di rumah. Miski di daerah ini ramai sekali pakar dan ilmuan hebat, saya menyelit di celah semarak mereka. Demi menjadikan diri kerdil ini istiqamah dalam agama melalui penyampaian kuliah, tazkirah dan seumpamanya.


Jangan mencela yang menentangmu

November 9, 2014

Para pembela Islam,

Akan banyak yang menentangmu. Demikianlah sunnah yang dihadapi oleh setiap yang mahu membela Islam. Penentangmu itu sama ada dari kalangan yang kafir, munafiq ataupun sahabat-sahabat seperjuanganmu sendiri. Namun, dalam menghadapi mereka, janganlah kamu mencela mereka, kerana kelak mereka akan turut mencelamu. Kalau mereka tidak mencelamu sedang kamu mencela mereka, itu ertinya kamu berada di atas jalan yang salah, kalaupun mereka tidak berada atas jalan yang benar.

Orang yang benar akan dicela kembali bila dicela. Kalau dicela walau tidak pernah mencela, itulah tanda kebenaran yang berganda.

Allah memperingatkan menerusi firmanNya:

وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

" Janganlah kamu mencela mereka yang menyeru selain Allah kerana nanti kelak mereka akan mencela Allah kerana semangat permusuhan tanpa dasar ilmu pengetahuan".

Dalam konteks semasa, perbuatan menghakimi mereka yang memusuhi jalan yang kita yakini benar dengan tindakan undang-undang akan mengundang tindakbalas. Sepertimana cela dibalas cela, Maka hukuman (undang-undang) akan dibalas undang-undang. Inilah yang kita sedang saksikan dewasa ini.

Kelompok yang mendokong liberalisme sonsang telah menggunakan undang-undang pula untuk membalas penggunaan undang-undang ke atas mereka. Akhirnya mereka berjaya mengenepikan keputusan enekmen Syariah yang melarang golongan transgender berpakaian perempuan. Sebelumnya, SIS telah dijatuhkan hukuman sesat oleh Majlis Fatwa Selangor.

Bukan mempersoalkan hukum transgender berpakaian wanita. Itu sudah jelas haram berdasarkan hadis-hadis. Bukan, bahkan jauh sekali membela SIS. Mereka memang membawa kesongsangan dalam pemikiran. Bahkan, mereka umpama budak-budak nakal yang banyak olah. Pun begitu, mereka mendapat kelebihan ketika merintih belas kepada khalayak rakyat kerana dihukum sesat yang menurut mereka tanpa siasat. Lalu, mereka menghunus undang-undang juga dan bersenjatakannya untuk membuat serangan balas.

Kerana itu, menangani kelompok degil dalam masyarakat, pemakaian undang-undang bukan penyelesaiannya. Terlebih pula kalau kedegilan itu dalam wacana pemikiran. Undang-undnag tidak akan mampu mengepung pemikiran dan memenjarakannya. Mujadalah akan menjadi racun serangga buat pemikiran songsang.

Kini kita lihat kelompok liberal bangkit membalas dengan lontaran yang sama seperti mana dilontarkan kepada mereka.

Undang-undang!

GUNAKAN AKAL UNTUK MENGOLAH KHABAR.

November 6, 2014


Jika akal kita berfungsi dengan baik, kita tidak akan mudah percaya setiap khabar masa kini yang dilaporkan oleh media yang beragam jenis. Khabar tentang apa yang berlaku pada masa kini pun banyak pembohongan, apatah lagi khabar tentang satu yang telah jadi sejarah. Lebih-lebih lagi kalau sejarah itu telah berlalu ratusan dan malahan ribuan tahun.

Malangnya, kerana akal tidak berfungsi dengan baik, orang mudah percaya sesuatu cerita. Imunisasi akal sangat lemah dan dengan itu virus khabar dusta mudah menerobos. Kegagalan memaksimakan fungsi akal ini telah menyebabkan ramai orang dipersendakankan oleh cerita-cerita kontemporari yang didengarnya. Orang yang sebegini, tatkala gagal menepis permainan khabar berita masakini, ketika menggulati riwayat sejarah, dia akan lebih tak mampu dan gagal dalam menepis permainannya.

Sebab itu, hari ini kita lihat ramai orang berkelahi hanya disebabkan berita yang didengar.  Para "namimah" yang terlatih dan menjadikan adu domba sebagai kerjayanya berjaya men'tafriq'kan hati-hati mangsa. Jika adu domba itu hanya dosa kecil, kesan daripada adu domba itu menjejerkan sebaris dosa besar yang berliku.

Mereka yang lemah akallah yang percaya riwayat bulat-bulat bahawa Hussin bin Ali telah dibunuh atas arahan Yazid bin Mu'awiyah.  Lalu, 10 Muharam saban tahun meratapi kematian Hussin dan mengulangi cercaan ke atas Yazid. Riwayat sejarah pembunuhan Hussin itu telah berbaur tinta orang-orang yang berkepentingan dan menyimpan hasad dalam hati mereka. Lalu, apakah kita yang menerima lipur lara sejarah pada masa kini mahu meneguk mabuk semuanya?

Belum lama masa berlalu, cerita sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita ini pun banyak putarbelitnya. Anda akan dapati bagaimana mereka yang bercerita tentang pejuang kemerdekaan melenyapkan sekian banyak nama tokoh pejuang dan mengangkat tokoh tertentu sahaja. Sejarah kemerdekaan yang belum pun seratus tahun berlalu telah dicemari virus pembohongan. Apatah lagi sejarah-sejarah yang menjangkau masa panjang sebelum kita.

Kerana itu, saya katakan, kita hendaklah berfikir ketika berta'amul dengan khabar. Tidak kiralah khabar kontemporeri atau khabar zaman bahari. Jangan terlalu percaya dan jangan tidak mahu percaya sama sekali. Ber'tawassut'lah dalam menelannya atau menjeluakkannya. Orang yang berfungsi akalnya, akan sentiasa berwaspada mengenai kemungkinan penyerapan anasir dusta dalam periwayatan.

Sedangkan hadis nabi pun orang berbuat dusta. Apalah hendak dihairankan dengan catatan para wartawan dalam surat khabar. Apalah  mustahilnya riwayat para sejarawan untuk didustakan oleh para pendusta durja. Maka, jadilah orang berakal. Berakallah seperti para pengumpul hadis nabi yang menguras jerih membahas sanad dan matan.

Marilah menapis khabar dengan akal yang berfikir.


Umpan Pluralisme

November 5, 2014

Kalimah pluralisme itu kalimah moden yang tiada pada zaman nabi. Tiada juga pada zaman sahabat dan tabi'in. Kalimah itu baru muncul dan berkembang penggunaannya pada zaman ini. Zaman ini pun, seingatku hanya pada alaf 2000 ini. Masa zaman aku kecil, remaja, zaman belajar universiti hingga awal tahun 2000, aku tidak dengar kalimah itu dikumandangkan. Mungkin ada terselit celah lembaran kamus tetapi ia tidak berdengung macam sekarang.

Rasanya, kalimah-kalimah seperti Jabariah, muktazilah, qadariah dan rafidhah juga seperti itu. Kalimah tersebut tiada pada zaman nabi dan salaf. Ia muncul kemudian dan hangat diperdebatkan pada zaman lampau. Kemudian, pada zaman kini, kalimah itu telah tidak diratibkan orang lagi dan hanya ada dalam kitab-kitab klasik.

Kalimah pluralisme, liberalisme, sekularisme dan aneka ragam lagi mengambil tempat. Semua ini adalah cetusan pemikiran manusia. Pada setiap zaman, ada buah fikiran yang dilemparkan ke tengah masyarakat dan dibahaskan. Lalu, ia dijenamakan.

Menjenamakan sesuatu memang tabiat semulajadi manusia. Bahkan, penjenamaanlah mekanisma yang digunapakai oleh Iblis untuk memperdaya manusia. Iblis pernah menjenamakan buah larangan dalam syurga sebagai" khuldi" agar disangka oleh Adam dengan mamakannya dia akan kekal abadi dalam syurga.

Ramai orang tidak faham kalimah-kalimah yang dijenamakan. Seperti kebanyakan pelajar agama. Mereka menghafal kalimah Jabariah, Qodariah dan Muktazilah dari guru mereka dan mencelanya tanpa mengetahui ragam pemikiran golongan itu. Hanya kerana mendengar guru menyesatkannya, maka memadailah dengan itu untuk mereka melanjutkan penghakiman sesat itu.

Tabiat sedemikian juga berlaku terhadap istilah-istilah masakini. Ramai menyesatkan wahabi tanpa mengetahui apa itu wahabi. Kerana orang kata Syiah sesat, maka disesatkan jugalah. Hanya mengingati nama dan istilah dan meratibkan sebagaimana yang diwaradkan.

Saya kira pluralisme pun demikianlah halnya. Sidang para ulama memutuskan pluralisme itu kefahaman yang sesat. Maka, resolusi itu diambil dan dipacakkan tanpa mengetahui intinya. Sehingga kini, ada tokoh-tokoh pemikiran yang cuba menjelaskan banding beza antara pluralisme dengan relativisme. Kebanyakan orang tidak mahu tahu bandingbeza itu kerana istilah pluralisme telah pun diproklamasikan sebagai sesat.

Seharusnya kita tidak memusuhi istilah. Kita perlu memahami substance dan pecahan dalam istilah itu barulah membuat kesimpulan. Dalam Syiah pun ada pecahannya. Demikian juga dalam Ahli Sunnah ada pecahannya. Maka berpecahlah kepada pelbagai pecahan dari satu cetusan.

Di alam Melayu, kita berpantang amat dengan komunis. Ironinya, ada tokoh agama dan pejuang kemerdekaan kita yang dicop sebagai komunis. Walaupun mereka bersama komunis, mereka solat 5 waktu dan masih percayakan Allah. Lalu, komunis jenis apakah mereka? Kalau kita musuhi istilah komunis, maka kita hukum pukal sahaja. Siapa bersama komunis, sesatlah dia.

Saya dengar ada ahli jemaah parti Islam marah kepada Khalid Samad, Mujahid dan Hanifa berhubung isu pluralisme. Mereka dituduh mendokong pluralisme. Malang sekali, tuduhan itu berkembang dari sumber pemberitaan liberal seperti Malaysiakini dan akhbar yang bukan Jemaah bangunkan. Mereka yang mencemuh 3 pimpinan jemaah itu tidak pun mendengar dari lisan mereka sendiri. Mereka tidak cuba memahami sudut pandangan rakan dalam jemaah tetapi percaya bulat-bulat racun tuba yang dilemparkan oleh media fasiq. Begitu senang menelan prasangka. Begitu mudah diadu domba.


Mengapa mereka tidak berkata sebagaimana kata Abu Ayub Al-Ansori kepada isterinya tatkala dihadapkan berita dusta tentang Aishah?

Prasangka itu telah ada. Kebanyakan prasangka adalah dosa. Lemparan syair pluralisme menambahkan prasangka dalam dada. Semoga kita tidak menjadi manusia pejuang yang ditunggang prasangka. Tetapkanlah pendirian setelah mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata. Jangan mencedok riwayat lalu menghukum sahabat.

Dedikasi buat yang pernah terpenjara.

November 4, 2014



Entah macam manalah rasanya masuk penjara. Dalam catatan sejarah, ramai tokoh besar yang dipenjara. Diceritakan dalam kitab tafsir tentang seorang nabi yang dipenjarakan dalam perigi di Hadhramaut. Nabi Yusuf, kisahnya dipenjarakan memang terkenal diceritakan dalam Al-Quran. Banyak nabi dipenjara. Ulama-ulama mujahidin pun banyak menempuh jalan dipenjara. Imam Ahmad bin Hambal, Imam Syafie, Ibn Taimiyyah dan Prof. Dr. Hamka adalah sebahagian nama besar yang diuji dengan mehnah penjara.


Mereka yang dipenjara itu kebanyakannya bukan salah apa-apa. Hanya kerana berkata seperti  "Tuhan Kami Adalah Allah", kemudian mereka istiqamah dengan penegasan itu. bagi yang punya keyakinan, mereka menancapkan keyakinan itu dan istiqamah dengan keyakinannya. Hanya kerana itu mereka dipenjara.

Kemudian datang zaman berikutnya, setelah kebenaran terserlah, orang yang memenjarakan mereka telah dibaham oleh "dawaair". Nama penzalim itu dilupakan dan nama dihumban ke kumbahan zaman. Nama yang dipenjarakan pula dimahkotakan di puncak tugu kemuliaan.

Dalam pada itu, mereka yang tidak pernah merasai pemenjaraan, tega pula mencela tokoh yang dipenjarakan. Maka jadilah mereka bersama kelompok penzalim itu di kemudian hari.

Kita yang tidak pernah merasai penjara, padahal mengaku pejuang Islam, tanyalah kenapa Allah tidak uji kita dengannya. Apakah benar kita pejuang kecintaan Allah kalau kita tidak mencicip sekelumit resam para pejuang terdahulu yang dihukum penjara. Kerdilnya kita ini...usahlah bercakap gegar seumpama berhayat mujahid kalau belum pernah termanggu di balik jeriji.

Menyiksa diri untuk taqarrub bukan jalan Islam.

November 3, 2014

 
 
 Pada 'Asyura ini, kita sekali lagi melihat kaum Rafidhah memukul diri dengan senjata, rantai dan sebagainya. Mereka meratapi kematian Hussin bin Ali di Karbala lebih 1000 tahun yang lalu. Melalui cara itu, mereka berharap boleh menzahirkan cinta kepada Ali Bait dan dengan itu mereka bertaqarrub kepada Allah.

Demikianlah saban tahun...

Dasar kefahaman mereka adalah menyiksa diri untuk memanjat tangga taqarrub. Sebenarnya, amalan ini pun bukan asli Rafidhah. Ia adalah kelangsungan ajaran kependetaan yang mengambil jalan menghukum diri untuk taqarrub kepada Allah. Kesamian dalam ajaran Hindu dan Budha juga menempuh jalan yqng sama. Kepadrian dalam sistem gereja juga menyeksa diri dengan menghukum fitrah seksual manusia. Bahkan, banyak ajaran yang menempa jalan menyeksa diri, termasuklah tariqat-tariqat sufi menyimpang yang menghukum para 'salik'nya dengan penyisihan duniawi.

Semua itu bukan lahir dari rahim Islam. Itu semua adalah bikinan para ahli bid'ah yang muncul sepanjang zaman.

Islam tidak mengajar jalan menyiksa diri. Bahkan nabi SAW amat suka menjadikan kemudahan itu sebagai jalan agama para penganutnya. Agama bukan ditegakkan atas puncak yang sempit tetapi ia ditegakkan atas dataran yang lapang dan luas.