Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

Untuk dihubungi:

Email:
kama_wahba99@yahoo.com


Waktu Malaysia

Media

Sinar Harian Harakah Harian Metro Online Malaysiadateline Warta Darulaman Bernama News Bernama News Suara Kontemporari The Star Melayu Nst Online Malay Mail The Star Sinar Harian Utusan Online Berita Harian Online Tranungkite Sabahkini Sabahdaily Menarik TV3 Yahoo News Utaranews Aljazeera English Republika Online CNN News Eramuslim Al-Arabi Islamtoday Islamtoday BBC News BBC News BBC News WorldNewsNetwork Al-Ayyam Al-Ayyam UtaraNews dailymail Al-Monitor Islampedia

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

Online Services

maybank2u iRakyat CIMBcliks Ambank Airasia Airasia Airasia Airasia Airasia Airasia MAS TRANSNASIONAL MALINDO AIR TM TM

TV ONLINE

TV Malaysia TV Pas TV3 Al-Muttaqin Malaysiakini TV

KULIAH ONLINE

Maybank2U CIMBcliks Ambank Airasia MAS TM Airasia Airasia

AKSESORI

Facebook Youtube Photobucket Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET

Yahoo Messenger

Rujukan

Al-Nadhar bin Al-Harith-Cedikiawan Malang

April 28, 2010


وَإِذَا تُتْلَىَ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا قَالُواْ قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَآءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَـَذَا إِنْ هَـَذَآ إِلاّ أَسَاطِيرُ الأوّلِينَ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami Telah mendengar (ayat-ayat yang seperti ini), kalau kami menhendaki niscaya kami dapat membacakan yang seperti ini, (Al Quran) Ini tidak lain hanyalah dongeng-dongengan orang-orang purbakala".
(Surah Al-Anfal: Ayat 31)
Ayat di atas diturunkan berkaitan seorang lelaki bangsawan Quraisy yang musyrik lagi amat memusuhi Islam bernama An-Nadhar bin Al-Harith. Sememangnya dia punya banyak pengetahuan hasil pembacaannya. Sebelum perutusan nabi Muhammad sebagai Rasul Allah, Nadhar banyak menghabiskan masanya di Hirah kerana beliau seorang ahli perniagaan. Di Hirah yang berada dibawah jajahan Parsi, beliau banyak membaca karya-karya orang Parsi dan berita-berita mengenai raja-raja mereka. Hasil pembacaannya, banyaklah cerita purbakala orang-orang Parsi yang dihafalnya.
Ketika dia telah pulang ke Makkah dan mendapati Rasulullah SAW sedang giat menjalankan dakwah baginda. An-Nadhar acap mengganggu majlis penyampaian Rasulullah SAW. Ketika Rasulullah SAW membaca ayat-ayat Al-Quran yang ditrunkan kepada baginda, An-Nadhar bangun mencelah dan menceritakan kepada orang ramai kisah-kisah yang dibacanya dulu.
 Lalu dia bertanya kepada khalayak:”cerita siapa yang lebih baik?Ceritaku atau cerita Muhammad?”.
Dia bermaksud mempersenda nabi Muhammad SAW dan mahu menyamakan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca Rasulullah dengan cerita dongeng yang diceritakannya. Maha suci Allah yang telah menurunkan Al-Quran sebagai wahyu kepada nabi Muhammad. Manakan sama ayat-ayat suci Allah dengan cerita dogeng khayalan itu!
An-Nadhar mencemburui Rasulullah SAW yang dapatkan membacakan ayat-ayat yang merebahkan ketinggian sastera masyarakat Arab pada masa itu. Dia melihat Muhammad dapat mempengaruhi orang ramai dengan ayat-ayat sastera dan cerita-cerita lalu dia merasakan dia lebih layak mendominasi masyarakat dalam aspek tersebut kerana perjalanannya lebih jauh dari Muhammad.  Dia banyak mempelajari sosio budaya masyarakat bertamadun  dari kerajaan besar Parsi dewasa itu. Sedang Muhammad hanya mengenal Makkah dan sekitarnya.
Aku lebih pandai!
Inilah penyakit yang menjangkiti ramai orang cerdik. Mentang-mentang belajar tinggi, sampai United Kingdom atau US, dua buah Negara yang menjadi idola tamadun yang pelbagai dewasa ini, orang itu bercakap menggunakan bahasa tinggi yang sukar difahami masyarakat. Bercakap pula asyik dalam bahasa Inggeris sahaja. Kepada masyarakat awam ini, dilihatnya golongan tidak berpendidikan. Ketika mereka mendengar kalam dakwah dan cerita agama daripada para ulama, mereka lantas mengatakana:
“Apa ini cerita lapuk…orang tidak lagi bercakap soal halal haram dan agama…ini dunia moden dan masyarakat Barat telkah menempa kemajuan sednagkan kita masih di takuk lama…”,
Golongan yang merasakan dirinya pintar hasil pembelajaran di Negara-negara maju ini dengan angkuh memperlecehkan nilai-nilai agama.
Inilah watak sejarah dalam diri Nadhar bin Al-Harith!
Ketika perang Badar meletus dan ramai tentera Musyrikin Makkah yang terbunuh dan ramai pula yang tertawan, Nadhar bin Al-Harith adalah salah seorang yang tertawan.  Dia merupakan tawanan seorang sahabat bernama Al-Miqdad bin Al-Aswad r.a. Rasulullah SAW memerintahkan supaya Nadhar bin Al-Harith dihukum bunuh. Dalam perang Badar ada tiga tawanan yang dihukum bunuh kerana jenayah mereka tidak dapat dimaafkan. Mereka adalah Uqbah bin Abi Mu’it, To’imah bin  ‘Adiy dan An-Nadhar bin Al-Harith. Sahabat bernama Al-Miqadad berkata:
“Dia tawananku ya Rasulullah!”
Rasulullah tetap memerintahkan agar An-Nadhar dihukum bunuh. Tiga kali Al-Miqdad mengulangkan kata-katanya dan akhirnya Rasulullah SAW mendoakan buat Al-Miqdad dengakan katanya:
اللهم أغن المقداد من فضلك
“Ya Allah, kayakan Al-Miqdad dengan limpah kurniamu”.
Maka, Al-Miqdad menyambut dengan mengatakan bahawa itulah yang sebenarnya dia inginkan daripada Rasulullah SAW. Dia mahu Rasulullah mendoakan untuknya.
Sungguh hebat akhlak sahabat. Mahu sesuatu daripada Rasulullah SAW tetapi tidak meminta. Sungguh hebat pula Rasulullah yang dapat memahami keinginan sahabatnya.
Kesimpulan daripada kisah ini, janganlah kita menentang Islam dengan pengetahuan dan pengalaman yang kita perolehi. Pengetahuan yang diberikan itu adalah anugerah Allah SWT dan betapa hebat pun pengetahuan itu tidak dapat menandingi sedikitpun daripada ayat-ayat Allah yang teramat hebat.

Rujukan: Tafsir Ibn Kathir

Mengapa bermimpi bulan turun ke riba?

April 27, 2010

Orang kita, khususnya yang berbangsa Malayu ini, begitu kuat tarikannya kepada perkara yang mengajaibkan minda. Jika seseorang itu boleh menzahirkan hal-hal yang memukau dengan sebab keajaibannya, itulah yang menjadikan seseorang itu dikerumuni dan dikagumi. Kalau tidak, mengapa di tengah Kota Raya, sekitar masjid India begitu ramai orang mengerumuni penjual ubat yang membuat demonstrasi memukau minda orang ramai.

Mungkin suka melihat benda ajaib dan luar biasa ini sudah menjadi tabiat asal manusia. Maka, sebab itu, semua Rasul utusan Allah dibekali dengan mukjizat hissi yang melunaskan kedahagaan manusia agar menjadi jambatan keyakinan buat rasul.

Rasa suka kepada perkara ajaib ini berterusan sehinggalah ke zaman kini. Kini, kita sering menyaksikan orang terpengaruh kepada seseorang dengan sebab keajaiban yang dapat ditimbulkannya.

Orang-orang jahil banyak disesatkan oleh guru-guru ajaran sesat yang memukau pengikutnya dengan perkara luar biasa. Guru silat kebatinan lebih diminati daripada guru silat olahraga. Bomoh-bomoh masih dikerumumuni orang untuk menyelesaikan pelbagai persoalan. Ketika sakit kerana kayap, ada kalangan yang lebih suka memilih bomoh berbanding jumpa doktor sebab dr beri ubat sedangkan bomoh cuma hembus. Ajaib. Sewaktu benda milik sendiri hilang, ada yang lebih suka bertemu tukang tuduh agarkan barang yang hilang dapat ditemukan semua.  Tukang tuduh cuma perlu menyusun formasi tertentu bilah-bilah lidi atau membilang-bilang jarinya untuk mengatakan tempat beradanya barang hilang itu. Ajaib.

Dari perkara yang berkaitan kehidupan harian, sehinggalah hal-hal ibadat dan taqarrub, kebergantungan kepada keajaiban  terus berlagsung.

Ada orang berzikir untuk merasai kejaiban pada hatinya. Hati yang disucikan dengan zikir diharap dapat menyuluh kemajhulan malakut. Ada yang suka bangun solat malam kerana terdorong mahu melihat keajaiban dalam hidupnya. Razeki murah, wajah berseri dan kalamnya ditaati. Terdapat tanggapan salah tentang kewalian apabila wali Allah dikaitkan dengan keajaiban. Seseorang yang berada dalam 2 tempat berasingan dalam satu masa dikatakan sebagai wali Allah. Seseorang yang mengatakan sesuatu lalu terjadi apa yang dikatakan, dikatakan wali Allah. Banyak orang dikatakan wali Allah semasa hidupnya kerana kemampuannya menimbulkan khawariqul 'adah!.

Seseorang pernah bertanya kepadaku dalam cbox perbualan blog ini mengenai cara apakah untuk bangun awal dini sebelum subuh. Aku katakan kita tanamkan saja keazaman yang kuat untuk bangun. Kuatnya keazaman tersebut mungkin boleh disertai dengan bantuan jam lonceng. Sekarang, handphone pun boleh berperanan mengejutkan tuannya untuk bangun solat subuh dengan cara berjemaah di masjid.

Soalan yang ditanya, apakah ayat atau doa yang boleh diandalkan agar dapat bangun awal?Aku tegaskan bahawa pergantungan kepada ayat dan doa sebagai penyelesaian kepada masalah tidak dapat bangun awal adalah jalur pemikiran yang addicted kepada keajaiban. Berusahalah dengan cara yang ikhtiyari seperti, berazam dan dengan bantuan alat-alat, itu adalah lebih praktikal. Berdoa tidak menjadi kesalahan, malah amat terpuji tetapi jangan menggantungkan keberhasilan hanya kepada doa. Berhenti sekadar doa adalah ciri orang yang suka bergantung kepada keajaiban.

Banyak sekali orang percaya bahawa menampalkan ayat Quran di dinding rumahnya boleh menghalang hantu dan syaitan daripada masuk mengganggu ahli rumahnya. Misalnya ada yang menampal ayat kursi di pintu rumah dengan keyakinan bahawa rumahnya akan selamat daripada kemasukan pencuri. Pernah seketika dahulu seorang kenalan menghulurkan kepadaku sebuah risalah yang mengandungi testimoni pelanggan tentang kejaiban beberapa barang yang dijual dalam bentuk tangkal azimat. Ia adalah khatamun nubuwwah dan histogram ashabul kahfi dan anjing mereka. Kononnya rumah akan selamat daripada pencuri  dan kebakaran dengan menyimpan tangkal azimat tersebut dan kereta pula  akan selamat daripada kemalangan. 

Sesungguhnya inilah kecenderungan kepada keajaiban yang sering menghantui ummat Muhamamd. Bukankah kalau mahu selamat daripada pencuri, kunci dan mangga rumah. Kalau pencuri masuk juga, itu kerana Allah menghendaki dia masuk. Kalau terbakar, itu kehendaklah juga. Kalau hendak minta supaya Allah selamatkan rumah kita daripada kecurian atau kebakaran, berdoalah kepadaNya. Apa perlunya bersimpang siur dengan kaedah dan kaifiat yang membingungkan sedangkan sebenarnya ia adalah mudah.
Malang sekali kalau dalam keadaan kita tak sedar, kita telah menyekutukan Allah!

Malam Jumaat, ramai datang baca Yasin di masjid. Di sesetengah tempat, botol air bersusun di depan 'khalifah' bacaan yasin. Air dalam botol itu ditakzimkan dan ditaqdiskan. Ia dianggap penawar banyak masalah dan penyakit. Sungguh menghairankan pula, ada masjid di sebuah kota besar seperti Kuala Lumpur, ada ahli jemaahnya yang dari kelas menengah berfikiran seperti ini.

Sesungguhnya nabi Muhammad SAW adalah manusia terbaik dalam dunia ini.Di lempar batu,  dia luka berdarah. Dia, disihir, kena. Dia berpeluh dan merasa penat perjalanan. Hidupnya berpijak di bumi nyata. Dia berusaha gigih melebar dakwah dengan segala mehnah dan cabarannya. Dia tidak mengajar kita takluk kepada kejaiban. 

Kita hendaklah realistik dan praktikal! Inilah sunnah baginda Rasul.Sesungguhnya bulan tidak akan turun ke riba. Usahlah bermimpi....

Tariqat Qadiriyyah-Naqsyabandiyyah.

Ahli jemaah surau Al-Fajr, mungkin ada yang terkejut dengan pengisian kuliah maghrib 2 malam lepas. Tajuknya berkisar mengenai tuntutan bertariqat. Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyyah, demikianlah nama tariqat yang diperkenalkan oleh Hj. Abd Manaf, seorang guru tariqat yang dibawa khas dari daerah Tawau. Beliau menyampaikan kuliah tentang tariqat dengan menghuraikan hadis berkaitan Iman, Islam dan Ehsan. Menurutnya,  Ehsan yang disebutkan dalam hadis itu menjadi dalil wajibnya seseorang bertariqat. Beliau juga membacakan sepotong ayat Al-Quran untuk menjadi dalil tentang wajibnya bertariqat. Firman Allah SWT:


وَأَلّوِ اسْتَقَامُواْ عَلَى الطّرِيقَةِ لأسْقَيْنَاهُم مّآءً غَدَقاً
Dan bahwasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak).
(Surah Al-Jin: Ayat 16)

Menurutnya ada 42 tariqat yang benar tetapi malangnya tariqat yang ditayangkan dalam tv selalu menggambarkan kesesatan sehingga masyarakat menjadi takut bertariqat. Beliau mengaitkan proses belah dada Rasulullah sebagai satu proses tersirat menggambarkan penyucian diri Rasulullah SAW. yang menjadi  tujuan bertariqat.   Seterusnya beliau menekankan pentingnya berzikir dengan kalimah tayyibah 'la ilaha illallah' setiap lepas solat. Zikir itu adalah zikir afdhal manakala zikir subhanallah, alhamdulilah dan Allahu akbar adalah zikir hasanah. Kalimah tersebut hendaklah disebut dengan cara betul dengan meletakkan ditempat yang sepatutnya agar dapat menutup 7 latifah yang menjadi jalan masuk syaitan. Menyebut dengan kaedah  yang betul menurut cara Saidina  Ali KW disebutkan sebagai tariqat Qadiriyyah. Cara tersebut diterima dengan salsilah berterusan sebingga mursyid yang disebutkannya dengan gelaran "abah".

 Hj. Abd Manaf

Aku mendengar penerangan guru tariqat tersebut sebagaimana ramai ahli jemaah yang lain. Ramai juga kalangan jemaah yang aku tidak kenali dan mereka itu seperti murid muridnya yang ada di Sandakan.  Seorang sahabat yang mengenali beberapa orang dari kalangan mereka menyebutkan beberapa orang adalah kalangan guru silat. Aku berpuas hati pada sessi kuliah maghrib tersebut kerana penjelasannya yang sederhana dengan membawakan dalil-dali Al-Quran dan Hadis. Ia banyak berkisar tentang pentingnya melazimi sebutan kalimah la ilaha illallah yang di sememangnya diterima oleh mana-mana orang islam yang mengetahui kedudukannya..

Kemudian, solat Insya didirikan dengan seorang muridnya mengimamkan solat. Selepas solat, dilanjutkan dengan zikir la  ilaha illallah sebanyak 165 kali kerana jumlah itu yang menjadi jumlah yang dikehendaki sebagaimana telah disebutkan oleh guru tariqat tersebut. Zikir diucapkan dengan suara yang keras, terutama oleh ahli jemaah yang aku kira murid-muridnya. Selepas selesai berdoa, ada satu sesi yang lain pula. Aku tidak sempat duduk lama kerana ada urusan lain. Sahabat jemaah surau menyebutkan tentang pengisian kedua itu kepadaku keesokannya. Antara lain, zikir kalimah tayyibah diajar untuk diucapkan dengan cara tertentu dengan menfokuskan kepada latifah-latifah yang yang tersebut. Ia sukar difahami, kata sahabat jemaah itu.


"Akan datang, dia akan hadir lagi dengan membawa sebuah buku rahsia...memperjelaskan ajaran itu", sahabat ahli jemaah itu menceritakan.


Aku mencari tahu maklumat tentang tariqat ini. Ternyata , salah satunya , ia dibawa masuk melalui  Pesentren Suryalaya di Tasikmalaya, Indonesia. Sila baca mengenainya di sini.

* Tulisan ini hanya sebuah catatan dan tidak mengandungi apa-apa unsur komentar. 


Lebih Baik Merasa Berdosa

April 19, 2010

" Saya sudah insaf dan memohon keampunan Tuhan...", demikian Mstar melaporkan Zaid Ibrahim, calon PKR bagi pilihanraya  Kecil Ulu Selangor sebagai berkata berhubung dengan dakwaan bahawa dia pernah menjadi peminum arak tegar.
Apakah yang lebih baik daripada mengakui kesalahan setelah berbuat salah. Setiap orang berbuat salah. Sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah. 

Lebih baik menjadi orang berdosa yang memohon keampunan daripada menjadi orang soleh yang tidak teringat untuk memohon keampunan. Buruk sekali orang yang berdosa tetapi merasakan diri tidak berdosa serta tidak mahu pulak memohon keampunan.

Sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW adalah insan-insan terutama dalam agama. Mereka telah memeluk Islam setelah meninggalkan latarbelakang hidup masa lalu yang gelap bernoda. Lalu mereka telah menjadi insan terbaik sesudah Rasulullah SAW. Mereka jauh beribu kali laebih baik daripada kalangan kita yang hidupnya bersih semenjak sebelum baligh sehinggalah mati. Pahala kita tidak akan menandingi pahala mereka biarpun kita menjaga kesucian diri sepanjang usia yang kita ada.

Apa nak dihairankan dengan masa lalu seseorang. Jika dulu dia seorang penyamun, itu adalah kisah masa lalu. Jika dahulu dia seorang penzina, itu adalah kisah masa lalu. Jika dia seorang penagih arak ,penggemar judi,itu adalah masa lalu. Orang yang masa lalunya pekat, belum tentu akan menjalani hidup pekat sepanjang usianya. 

Ramai orang jahat menjadi baik, malah lebih baik daripada yang sedia baik. Sebaliknya, ramai pula orang baik menjadi jahat malah ada yang menjadi jahat lebih jahat daripada yang sedia jahat.
Amat malang seorang yang baik lalu merasa diri baik dan yakin bahawa dia akan ke syurga Allah sedangkan dia tidak mahu bertaubat. Lebih baik menjadi orang jahat yang sentiasa merintih kedaifannya dan lemahnya diri serta sentiasa mengungkapkan taubat.

Hubaya...hubaya wahai orang yang sedang menjalani kehidupan soleh....rasailah dirimu berdosa..Jangan merasa dirimu suci dari dosa!

Kelajuan Internet Malaysia Memalukan

April 16, 2010


Melihat kedudukan kelajuan internet negara kita Malaysia, aku merasa sungguh terhina dan dipermainkan oleh syarikat TM. Inikah jalur Lebar yang sering dibanggakan?Apa yang boleh dibanggakan dengan kelajuan serendah itu? Cubalah bayangkan bagaimanalah rasanya berada di sebiah negara seperti Korea yang kelajuan downloadnya adalah 20.70 mbs/s (20.70 Megabite setiap saat). Bandingkan dengan apa yang TM berikan kepada kita. 1.87 Mbs/s. 

Sebab itu monopoli tidak perlu dibela. Monopoli perlu ditentang. Selama TM memonopoli penyediaan jalur lebar di Malaysia, selama itulah kita diperbudakkan.  Keuntungan dikaut setiap hari tetapi servis yang diberikan berada di tahap caca marba.

Hari itu, pencawang TM rosak dan pelanggan tidak dapat menggunakan internet beberapa hari. Cukup bulan sampai bil. TM memungut bil-bil dengan memasukkan hari-hari yang perkhidmatannya tidak diberikan. Tanpa rasa malu dan tanpa  rasa bersalah merompak wang rakyat secara tersembunyi. Seharusnya, setiap kemerosotan perkhidmatan hendaklah dibayar dengan rebet dan potongan. Itulah sebuah syarikat yang punya maruah dan harga diri. Hanya syarikat seperti itu memiliki keberkatan dan akan teguh berdiri di muka bumi.

Aku tidak mencintai sebuah syarikat yang mengautkan keuntungan sendiri dan tidak mengutamakan rakyat!

Ada Barzakh Antara Lautan

April 11, 2010


Apabila Allah berfirman dalam Al-Quran:


 مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ * بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لَّا يَبْغِيَانِ

Dia membiarkan dua lautan mengalir yang keduanya Kemudian bertemu, Antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui masing-masing
(Surah Ar-Rahman: Ayat 19-20)


Ayat ini menjadi bukti betapa benarnya Al-Quran dari sudut ilmiah. Manusia baru mencapai kemajuan dalam ilmu oceanology dan mengatahui adanya sempadan-sempadan antara lautan di dunia. Mereka baru menemukan hakikat yang menakjubkan bahawa antara lautan itu saling terpisah dan tidak bercampur airnya. Selain penemuan yang dibuat oleh para ahli dalam ilmu kelautan,  gambar satelite seperti di atas juga  membuktikan kewujudan sempadan tersebut. 

Namun, Al-Quran telah mendahului penemuan ilmu moden lebih seribu tahun apabila menyebutkan bahawa antara lautan itu 'barzakh' (pemisah) yang mendidingi antara lautan.

Subhanallah...maha suci Allah yang menurunkan Quran....

Islam Sebagai Cara Hidup

Tidak perlu membicarakan Islam sebagai sebuah cara hidup dalam ruanglingkup falsafah yang sukar dimengerti. Memadailah melaksanakan Islam dalam sudut-sudut kehidupan yang kita miliki, itulah makna sebuah terma, "Islam sebagai cara hidup'.

Ramai yang berbangga kerana dia adalah muslim. Tetapi apakah dia telah menjadi muslim yang mengambil Islam sebagai cara hidup?Inilah persoalan yang lebih penting daripada hanya mengakui sebagai muslim.

Kita lihat orang-orang kafir keluar bekerja mencari razeki di pagi hari. Kita juga keluar mencari razeki.Malah burung-burung dan segala hidupan liar dalam rimba juga keluar mencari razeki.Apakah yang membezakan kita daripada golongan kafir itu? Apa pula yang membezakan kita daripada haiwan-haiwan itu?

Orang kafir itu bekerja secara halal. Mereka tidak merompak bank. Mereka tidak menipu dalam perniagaan. Mereka juga menolak rasuah. Mereka  mencari harta mengikut lunas-lunas undang-undang. Apa istimewa kita sebagai muslim berbanding mereka. Kita jadi guru, orang kafir juga ada yang menjadi guru. Dapat razeki daripada kerjaya guru. Kita jadi pegawai kerajaan, orang kafir  juga ada yang jadi pegawai kerajaan.Dapat razeki daripada kerjaya masing-masing. Dalam hal bekerja mencari razeki, kita dan orang kafir mempunya banyak persamaan. Sukar dibezakan. 


Kita katakan kita ada Islam sebagai 'the way of life'!. Apa maknanya ini? Apakah sembahyang lima waktu itu cara hidup yang kita maksudkan. Apakah puasa bulan Ramadhan itu yang memberi makna islam sebagai 'the way of life'?Kemudian bayar zakat setahun sekali. Kemudian pergi haji sekali seumur hidup. Orang kafir pun sembahyang. Orang kafir menderma. Orang kafir pun buat haji, seperti kaum Hindu berkumpul di batu cave di hari Thaipusan.

Justeru, apa beza kita dengan mereka? Kita katakan kita muslim yang menjadikan Islam sebagai the way of life!

Tapi cara hidup kita sama sahaja dengan orang kafir. Orang kafir ada yang jahat ada yang baik. Kalangan kita pun ada yang jahat dan ada yang baik. 

Yang baik di kalangan kita, apakah yang membezakan dengan yang baik di kalangan orang kafir?

Ada kalangan kita yang rutin hariannya sama sahaja dengan rutin harian si Ah Kaw, jiran sebelah rumahnya. Keluar pagi pulang senja. Hari-hari subuk bekerja. Malam hari berkurung dalam rumah, tengok tv atau tidur. Esok, sebelum matahari terbit, sudah keluar bekerja. Hidup membangunkan diri dan keluarga. Kata hidup dan mati untuk Allah, tetapi masa mana Allah diperjuangkan?Diri dan keluarga lebih banyak diperjuangkan. Sama juga dengan Ah Kaw, dia pun perjuangkan dirinya dan keluarganya.

Di manalah untuk dikatakan islam sebagai 'the way of life'?

Satu waktu dahulu, ramai yang memburu palaburan saham internet. Mengejar kekayaan dunia. Muslim dan kafir sama-sama menggali sumber kekayaan yang sama itu. Tiba-tiba ia diharamkan oleh kerajaan dan diharamkan pula oleh Majlis Fatwa. Terkesimalah para pelabur, muslim maupun kafir. 

Kalau razeki kita melimpah ruah, razeki orang kafir juga melimpah ruah. Maka, untuk membezakan dengan orang kafir, belanjakan razeki itu untuk fi sabilillah. Jangan jadi kedekut dengan mengatakan beri anak isteri makan itulah fi sabilillah. Tukar sport rim kereta atau renovate rumah, dihujahkan sebagai fi sabilillah.Nak tahu makna fi sabilillah lihat bagaimana para sahabat nabi mengamalkannya. Untuk perang Tabuk, Saidina  Abu Bakar mendermakan seluruh hartanya. Saidina Uthman Affan mendermakan sebahagian besar hartanya bagi menjayakan misi itu. Misi itu untuk Islam dan ummat. Bukan misi peribadi.

Hari ini, perjuangan untuk Islam dan ummat masih terus berlangsung dan sedang dipikul oleh mereka yang menjunjung fikrah perjuangan. Islam dan taghut sedang bersaing dan akan terus bersaing sepanjang zaman. Menjadi tanggungjawab kita membantu Islam dengan mengorbankan razeki kurniaan Allah kepada kita untuk perjuangan.

Jika kita boleh membelanjakan harta kita fi sabilillah, kita telah jmengambil alan yang membezakan kita dengan orang kafir dalam pengurusan kekayaan!

Banyak perkara yang harus kita lakukan untuk membezakan kita dengan orang kafir. Nabi tak suka melihat kita sama dengan kalangan kafir.


Ulama jahat tidak diselamatkan

April 10, 2010


فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُواْ الْكِتَابَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَـَذَا الأدْنَىَ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِن يَأْتِهِمْ عَرَضٌ مّثْلُهُ يَأْخُذُوهُ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِمْ مّيثَاقُ الْكِتَابِ أَن لاّ يِقُولُواْ عَلَى اللّهِ إِلاّ الْحَقّ وَدَرَسُواْ مَا فِيهِ وَالدّارُ الاَخِرَةُ خَيْرٌ لّلّذِينَ يَتّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ
Maka datanglah sesudah mereka generasi (yang jahat) yang mewarisi Taurat, yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini, dan berkata: "Kami akan diberi ampun". dan kelak jika datang kepada mereka harta benda dunia sebanyak itu (pula), niscaya mereka akan mengambilnya (juga). Bukankah perjanjian Taurat sudah diambil dari mereka, iaitu bahwa mereka tidak akan mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar, padahal mereka Telah mempelajari apa yang tersebut di dalamnya?. dan kampung akhirat itu lebih bagi mereka yang bertakwa. Maka apakah kamu sekalian tidak mengerti?
(Surah Al-A’raf: Ayat 169)
Sabda Rasulullah SAW:
لاتعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولالتماروا به السفهاء ولاتخيروا بالمجالس فمن فعل ذلك فالنار النار
“Janganlah kamu menuntut ilmu kerana hendak bermegah-megah di kalangan cerdik pandai,  menunjuk-nujuk di kalangan orang-orang bodoh dan dipilih dalam sesuatu majlis. Sesiapa yang menuntut ilmu kerana tujuan tersebut, maka nerakalah…nerakalah”.

“Ustaz…kenapa apabila sesuatu bala bencana menimpa, termasuk yang dimusnahkan adalah para ulama? Bukankah para ulama adalah golongan yang baik-baik?”, Seseorang melontarkan persoalan itu di hujung Daurah Quran yang diadakan pada satu malam beberapa minggu yang lalu.
Lantas, aku bacakan firman Allah:
فَلَماّ نَسُواْ مَا ذُكّرُواْ بِهِ أَنجَيْنَا الّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنِ السُوَءِ وَأَخَذْنَا الّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُواْ يَفْسُقُونَ

Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik.
(Surah Al-A’raf: Ayat 165)

Terdapat satu cerita yang diketahui oleh kaum Yahudi tetapi mereka mkenyembunyikan cerita tersebut kerana ia memalukan bangsa mereka. Kisah itu adalah kisah ‘ashabus sabt’. Segolongan Yahudi yang menghuni sebuah negeri persisiran laut telah melanggar larangan Allah agar tidak bekerja pada hari Sabtu. Ini kerana, menurut ajaran Taurat, hari Sabtu adalah hari beramal. Pada hari itu, dkhusukan untuk beramal ibadat sahaja.
Allah telah menguji penduduk persisiran pantai tersebut yang mana menangkap ikan merupakan aktiviti utama mereka. Allah datangkan ikan yang banyak ke tepi pantai pada hari Sabtu dan pada hari-hari lain, ikan pun tiada. Keadaan ini telah menggoda kaum Yahudi tersebut menyebabkan mereka menggunakan ‘helah’ iaitu dengan menahan perangkap pada hari Jumuat dan memungut hasilnya pada hari Ahad. Perbuatan mereka dinasihati oleh sekelompok yang punyai kesedaran, bahawa apa yang mereka lakukan adalah satu kederhakaan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Sekelompok yang lain mengambil jalan menyisih dan berdiam diri.
Lalu, golongan Yahudi derhaka tersebut, lama kelamaan semakin melampau. Dari mencicipi rasa, mula melahap semua. Mereka dengan terang-terangan menceroboh kehormatan hari Sabtu. Lantas, Allah menimpa hukuman buat mereka. Mereka telah di’transform’ (masakh) menjadi kera-kera yang hina.Sesetengah ahli tafsir menyebutkan bahawa para pemuda menjadi kera manakala kalangan yang tua menjadi babi.
Transformasi itu berlaku secara fizikal. Ia merupakan satu azab yang menghina kerana dari manusia yang mulia, jatuh darjat menjadi kera yang hina.
Golongan pendakwah Allah selamatkan. Golongan yang tidak berdakwah Allah diamkan mengenai kesudahan mereka. Sebahagian ahli tafsir memahami bahawa mereka termasuk golongan yang dibinasakan dan sebahagian mengatakan mereka turut terselamat. Wallahu a’lam.
Justeru, menjelaskan persoalan kenapa ada kalangan ulama yang turut musnah dalam sesuatu bencana yang menimpa, pertamanya, kita srahkan kepada Allah hikmahnya. Namun, berdasarkan beberapa dalil yang boleh difahami, sesiapa yang menjalankan amar ma’ruf  dan nahi mungkar, dia akan diselamatkan oleh Allah. Bukan semua ulama menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Sebahagian ulama, ada yang dipanggil ulama’ suu’ (jahat). Hadis nabi menyebutkan bahawa mereka yang menuntut ilmu kerana hendak bermegah dai kalangan orang pandai, menunjuk-nujuk kepada orang bodoh dan supaya menjadi pilihan dalam sesuatu majlis, maka dia di dalam neraka. Dalam erti kata lain, menuntut ilmu dengan tujuan duniawi, akan memnbawa tuannya ke dalam neraka. Biarpun tuannya itu, dengan usaha menuntut ilmu telah lahir sebagai ulama yang hebat.
Sebahagian ulama sanggup menjual agama dengan harga yang murah. Demi memenuhi kehendak penguasa dan pamrih dunia buat diri sendiri, dia mempergunakan ilmunya untuk tujuan tersebut. Tuntutan agama diketepikan. Ulama jahat seumppama ini banyak sekali bergentayangan di merata tempat dan mudah dikenal.
Ulama yang tidak menjalankan tugas dakwah juga termasuk ulama yang jahat. Dengan sebab itu Allah binasakan mereka dalam sesuatu bencana. Maka jangan merasa hairan kalau ada ulama yang binasa dalam sesuatu bencana yang menimpa.

Renungkan sebuah firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. dan Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.
(Surah Al-Anfal: Ayat 25)

Renungan Subuh (090410)

April 9, 2010

Hidup ini tidak lama. Cuma umpama sepagi atau keparuh hari. Allah berfirman:

كانهم يوم يرونها لم يلبثوا الا عشية او ضحها


" Seolah-olah mereka itu apabila melihatnya (azab Allah), merasakan bahawa mereka tidak pernah hidup di dunia dahulu melainkan sepetang atau sepagi".
(Surah An-Nazi'at: Ayat 46)

Perasaan singkatnya hidup ini amat dirasai apabila menemui penghujung sengsara yang bersulam kesal. Di waktu hilang segala nikmat yang pernah dicicipi, barulah terasa sekejap sungguh tempoh mencicip nikmat.Perasaan ini akan amat dirasai apabila nikmat hidup ini telah benar-benar meninggalkan kita dan menggung rasa kesal kerana salah menguruskan kehidupan dunia menyebabkan kita terpaksa memikul beban azab akhirat.

Marilah kita hayati kependekan  hayat dunia ini...

Rasanya, baru kelmarin aku menjadi kanak-kanak yang berlarian di balik senduduk dan kemunting, bersembunyi sambil bermain tempak menembak bedil bambbu dengan kawan-kawan. Baru kelmarin, mandi di lubuk dan berterjunan dari dahan berjuntai. Baru kelmarin...segala kelihaian kanak-kanak aku lalui...

Tetapi kini...aku telah menginjak melepasi takah-takah dewasa menghapiri ketuaan. Sungguh singkat umur ini. Terasa sekejap sekali...Tidak lama lagi, tentu hidup ini akan aku mufaraqahkan. Dunia ini akan aku  hijirkan.

Aku akan mendepani hidup baru yang kabur. Sengsara atau bahagia.

Satu kepastian yang tidak diragui, dunia akan kita tinggalkan. Mengapa harus kita sibuk memburu dunia sehingga lupa persediaan lengkap buat hidup sesudah mati?Betapa ramai manusia yang hidup di dunia seolah-olah tidak akan bersapa kematian. Otak fikir selalu berputar mencari jalan meningkatkan pencapaian dunia. Harta, degree dan pangkat dikejar siang dan malam. Tindak laku berpencak tari mengikut tuntutan dunia semata!

Ayuhlah melipatganda ganjaran...kita solat di masjid, kita bangun qiam di malam sunyi, kita menahan lapar di hari abyadh, kita mengorbankan harta buat perjuangan, kita ratibkan zikir dalam khulwah nafsiyyah, kita mujahadah membuang cinta dunia, kita pendamkan segala mazmumah di hati, kita gilap akhlak nabi dalam diri dan semua itu...di bawah motto, hidupku dan matiku bagi Tuhan sekalian alam. Semua itu disejajarkan prinsip ittiba' nabiy.

Sesungguhnya aku lemah...bantulah aku wahai Tuhan!

Allahumma taqabbal minna...

Islam, Satu Malaysia & Perkasa

April 6, 2010

Aku tidak berminat untuk mengulas tentang Satu Malaysia. Aku beranggapan bahawa satu Malaysia cuma sebuah retorik yang satu ketika nanti kendur dan akhirnya berkubur sebagaimana telah kendur dan berkubur sejejeran retorik yang terdahulu. Pada satu ketika, kita mendengar tentang Islam Hadhari, tetapi, kini Islam Hadhari telah kendur dan tak lama lagi berkuburlah ia. Orang pun akan melupakannya.

Namun, seseorang telah melontarkan pertanyaan kepadaku dalam Daurah Quran semalam tentang konsep Satu Malaysia dan pandangan Islam terhadapnya dari sudut tolong menolong dalam perkara yang melibatkan praktis keagamaan. Dia membawa misal, pada satu ketika kita dibantu oleh rakan beragama kristian untuk menumpangkan kita pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, maka pada satu ketika yang lain dia meminta kita untuk membantunya melancarkan pula aktiviti kegerejaannya. Si penanya menegaskan bahawa saling tolong menolong seumpama ini amat bersesuaian dan selari dengan konsep Satu Malaysia.

Aku katakan bahawa konsep yang berbunyi Satu Malaysia ini hendaklah dicerminkan dengan agama. Ia hendaklah selari dengan Islam sebagai agama anutan kita. Islam menegaskan bahawa kita hendaklah bertolongan dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah bertolongan dalam perkara dosa dan permusuhan. Sebesar-besar dosa adalah kesyirikan kepada Allah SWT. Justeru, kita tidak harus sama sekali membantu penganut agama lain untuk melancarkan aktiviti agamanya yang berbaur kesyirikan itu.

Islam memberi ruang untuk kebebasa agama tetapi tidak menggalakkan penganutnya untuk menggalakkan dan menyumburkan amalan keagamaan penganut agama lain.

Mengambil jalan sederhana, aku menegaskan bahawa konsep satu Malaysia membabi buta adalah salah. Satu Malaysia dalam wajah pluralisma adalah ditolak. Satu Malaysia hendaklah dilihat berdasarkan cermin islam sebagai agama yang satu-satunya diterima di sisi Allah SWT.

Kosep satu Malaysia bukan pertama kali diadakan bagi sebuah negara yang sedang merancang agenda penyatuan kaum di kalangan penduduknya. Terdahulu, ratusan tahun lampau, semasa pemerintahan Maharaja Monggol di India yang bernama Akbar, orang menyebutnya Akbar Yang Agung, dia memperkenalkan konsep Satu India. Dalam menjayakan konsep ini, dia telah mencipta satu agama penyatuan pelbagai agama yang diberi nama "Den Ilahi". Dia berharap rakyat India yang sering bergaduh kerana berbeza agama itu dapat disatukan di bawah agama "Den Ilahi". 

Satu India yang Akbar lakukan tidak berjaya. Apabila dia mati, berkuburlah apa yang dibuatnya. Satu India tidak lagi disebut orang. Apa yang dilakukan Akbar menjadi kutukan orang-orang Islam terkemudian.

Kepelbagaian adalah fitrah manusia. Kepelbagaian tidak boleh dipadamkan dengan konsep ciptaan manusia. Namun. kepelbagaian bukan alasan untuk manusia bergaduh. Banyak cara untuk menyatukan manusia  dan sememangnya rakyat Malaysia hidup bersatu sebelum pun Satu Malaysia kumandangkan. Krisis-krisis antara kaum yang terjadi sebelum ini adalah angkara manusia yang berkepentingan yang sering menjadi batu api atau suka mengapi-apikan sentimen tidak bertempat.

Kewujudan PERKASA yang menjadikan sentimen pribumi sebagai agenda perjuangan adalah satu contoh kelompok orang yang membakar kepelbagaian menjadi api permusuhan. Bagi mereka yang mendokong idea Satu Malaysia  tidak munasabah bermain gendang persilatan PERKASA. Islam di atas Satu Malaysia. Mungkin Satu Malaysia boleh dinilai positif pada beberapa ideanya tetapi tidak pada kesemuanya.  Satu Malaysia dalam kerangka ideanya yang mendokong pluralisme agama adalah tidak boleh diterima. Mereka yang sering mendewakan demokrasi pun mahu agar demokrasi diamalkan bukan dalam erti kebebasan mutlak, maka demikian pula Satu Malaysia. Demokrasi perlu dicerminkan kepada keberadaan kita sebagai hamba Allah di samping maslahah-maslahah lain. Maka...demikian Satu Malaysia.

Sementara PERKASA, ia sama sekali tidak cocok dengan Satu Malaysia dalam kerangka ideanya yang manapun. Dengan Islam, PERKASA  lebih lagi tidak punya tempat.

Sampai waktu...berkuburlah. Islam akan terus kekal berdiri menongkah zaman!


Terkenang Masa Lalu: Ahmad Najmi

April 4, 2010

Sewaktu aku bergelar mahasiswa di Universiti Malaya, aku ada seorang sahabat bernama Ahmad Najmi. Dia berasal dari negeri Kelantan. Aku tidak tahu di mana dia sekarang. Kali terakhir, aku mendapat tahu dia bertugas sebagai PTD di Puterajaya. Kami sama-sama dari kuliah Syariah dan menginap di Asrama Pantai Puri yang terletak di sebelah Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Ahmad Najmi Muhammad(Gambar dari facebook)

Beliau adalah antara sahabat rapatku. Banyak kenangan bersamanya. 

Sewaktu Demostrasi membantah kemasukan pasukan kriket Israel ke Malaysia, ramai mahasiswa yang terlibat. Ada mahasiswa ditangkap dan ramai yang diburu. Polis telah menceroboh masuk ke asrama dan mencari mahasiswa yang terlibat. Sesiapa yang matanya kemerahan dek air pemedih mata dari water canon, adalah sasaran pihak polis. Hari itu, aku solat jumaat di masjid Ar-Rahman. Ahmad najmi juga solat di sana. Selepas Jumaat, tiba-tiba ada laungan bersulam takbir. Aku dan Ahmad Najmi menggabungkan diri dalam arus mahasiswa di pintu gerbang masuk Universiti Malaya. Ketibaan polis dengan water canon agak cepat. Aku menyusup menjauh. Akhirnya lari pulang ke asrama. Setelah kejadian itu, Ahmad Najmi menunjukkan kepadaku penampilan beraninya dalam sekeping gambar. Dia berdiri di depan water canon sambil mendepangkan tangannya. Aku salute kepadanya atas keberaniannya serta semangatnya. Dalam hal ini ternyata dia lebih berani. Namun, dalam kejadian itu, dia tidak tertangkap.

Sebenarnya, sewaktu zaman pengajianku, banyak sekali siri demonstrasi. Pantang ada isu, para mahasiswa dan mahasiswi akan bangkit berdemostrasi di masjid dan juga simpang jalan. Mahasiswa zamanku itu, agresif dan responsif.

Pada satu ketika, aku membocengnya dengan motosikal miliknya pulang dari kuliah. Waktu itu, Akademi Pengajian Islam bernama Akademi Islam dan terletak di sebelah Fakulti Undang-Undang. Ketika kami melintas di depan perpustakaan, Ahmad Najmi memberitahuku supaya memperlahankan motosikal kerana ada sebuah kereta polis di depan kami. Katanya, polis dalam kereta itu tidak memakai tali pinggang kaleder. Dia mahu menegur polis-polis itu. Aku memotong kereta polis itu dan  kemudian Ahmad najmi memberitahu bahawa dia telah memberi isyarat tali pinggang kaleder kepada polis itu. Kami ketawa kerana puas dapat menegur polis. Polis selalu menyaman orang kerana tak pakai tali pinggang kaleder tetapi mereka sendiri tak memakainya. 

Aku memandu motosikal sehingga melepas Dewan TNC. Tiba-tiba sebuah kereta membunyikan hon di belakang. Ahmad Najmi memberitahuku bahawa kereta polis tadi sedang mengejar kami. Tak sempat nak memecut motosikal, kereta polis itu membuat potongan dan memberhentikan kereta di depan kami. Dua pegawai polis keluar dan menahan kami. 

"Apa kamu buat tadi?", salah seorang pegawai polis yang agak berusia dan gempal menyergah kami. Dia menyuruh aku mematikan enjin motisikal.

Enjin motosikal aku matikan. Aku terdiam. Kecut perut.

"Apa isyarat yang kamu buat tadi?, sekali lagi polis itu menyergah.

"Saya tegur encik tak pakai tali pingang keleder...", Ahmad Najmi bersuara. Mungkin antara berani dan takut juga.

"Ooo...kamu tahu ke undang-undang polis?, tanya pegawai polis itu dengan nada mengherdik.

Kami terdiam. Sejak kanak-kanak lagi polis adalah manusia yang aku takuti. Aku terbayang kertas-kertas saman di muka polis kerana pengalaman zaman remajaku menjurus ke arah itu.

"Kuliah apa kamu ni?"soal pegawai polis itu.

"Syariah perundangan encik",sahutku.

"Dah baca akta polis ka?"tanya pegawai polis itu lagi.

"Belum encik"aku cepat menjawab. Harapanku agar kami segera dilepaskan untuk meneruskan perjalanan. 

Disoal oleh polis amat merimaskan.

"Kalau tak tahu buat cara tahu...untuk  pengetahuan kamu, kalau polis naik kereta resmi, polis tidak terikat dengan undnag-undang jalan raya. Polis boleh tak memakai tali pinggang kaleder kalau ia mmenyusahkannya...mungkin menghalang kelancarannya memburu penjenayah....", pegawai polis itu menjelaskan.

Dia meminta lesen. Mujur aku ada lesen. Setelah puas berleter dia pun berlalu. 

Pengalaman itu tak dapat kulupakan. Sesekali, ketika mengenangkan, aku terseenyum sendirian. 

Apakah Ahmad Najmi masih ingat peristiwa itu?

Mengingat Ahmad Najmi, aku teringat kereta volkswagen putihnya yang di gelar si Kumbang Durjana. Dalam masa yang sama, aku dikaitkan dengan Si Belalang Padi oleh sesetengah teman kerana mempunyai sebuah motsikal hurricane. Motosikal tersebut masih aku simpan di kampung dan masih boleh dinaiki biarpun sudah  lebih 12 tahun berlalu. Aku sayangkannya kerana ada nostalgia padanya.

Mengingat Ahmad Najmi aku teringat keluhannya kepadaku pada satu ketika bahawa dia telah jatuh hati kepada seorang siswi teman sekuliah bernama Zainab, seorang gadis Kedah. Luahannya itu di saat kami sedang sibuk menyiapkan tesis akhir di tahun empat. Ahmad Najmi memintaku karangkan sebuah surat untuk diberikan kepada Zainab. Aku pun karangkan dengan ayat-ayat metafora dan rayuan cinta. Ahmad Najmi menambahkan beberapa perkataan yang ingin ditambahkan. Dia menulis tambah...dari Perindu Mimpi. Surat itu dimasukkan dalam sampul dan keesokan harinya dia mengajakku mencari motosikal Zainab. Selepas Kuliah, dia meberitahuklu bahawa surat itu telah diletakkan dalam raga motosikal Zainab.

Hari-hari sesudah itu, aku mendapat tahu mereka telah saling menerima satu sama lain. Selepas tamat pengajian, mereka telah berkahwin. Ahmad Najmi mendapat tawaran jawatan PTD sementara aku berkelana ke Pahang memikul idealisma perjuanganku. Sesekali turun ke Kuala Lumpur, aku singgah bertandang menziarahi pasangan sahabat sekuliahku itu.

Kini setelah sekian tahun berliku yang bersilih ganti, kami telah saling menjauh. Aku telah terhumban pula ke Sabah dalam tugas keguruan.

Kini, dalam masa terluang dan menjernihkan memori, aku mengenang sahabat silam  itu yang pernah berpencak tari denganku dalam secebis episod kehidupan.

Renungan Subuh (040410)

Sesekali...ketika melihat tapak tanganmu yang putih kemerahan, bersih....kenangkanlah saat saat ia mungkin menjadi hangit hitam di bakar api neraka. Alangkah sayangnya tanganmu itu! Lihat jemarimu yang runcing, kuku-kukunya yang bersih dan cantik...kenangkan saat ia menjadi hangus kerana dibakar api neraka.

Oh Tuhan...saat merenung anugerah ciptaanMu pada sekujur tubuhku...aku menjadi bimbang sekali kalau semua anugerah ini tidak selamat daripada siksaan api nerakaMu.

Dalam hening subuh sebentar tadi...aku terhimbau segala episod masa yang telah dikurniakan Tuhan buatku. Dari zaman kanak-kanak yang kecil suci dari dosa sehingga kini zaman dewasa bergelut pelbagai noda dunia. Terpalit nista dosa. Terumbang ambing antara syurga dan neraka.

Aku mengenangkan kehancuran tubuhku saat dimamah tanah dan cacing dalam kubur. Kulitku yang cantik akan berburat membusuk dan hancur. Dia hari akhirat, jika aku ke neraka, kulit yang cantik ini akan menghitam dibakar panas api neraka.

Rasanya, mejadi kerdil sekali diri dalam bayangan ini. Menjadi hina segala kecantikan diri. Menjadi rendah segala rasa kebanggaan pada kesempurnan anugera ilahi.

Wahai Tuhan...dosaku berkata; "Akan kuhumbankan kamu ke neraka!"
Wahai Tuhan...pahalaku merintih: "Aku kecil tak berdaya menerbangkanmu ke syurga!"

Wahai Tuhan...bantulah daku...

TAHNIKLAH ANAKMU...

April 3, 2010

Semalam, sahabatku bernama Ust Luqman menjemputku menghadiri majlis kesyukuran atas kelahiran anak ketiganya. Seorang putera dan diberi nama Muhammad Baihaqi. Antara lain, majlis semalam juga  adalah majlis mentahnik anaknya itu. Semoga Allah memberkati kelahiran baru dalam keluarganya tersebut dan menjadikan ia sumber kebahagian keluarga dalam dunia dan akhirat.

 gambar hiasan

Ketika Asma' binti Abu Bakar mengandungkan Abdullah bin Zubair, beliau telah berhijrah meninggalkan Makkah. Kandungannya waktu itu sudah mencapai umur sembilan bulan. Beliau berhenti di Quba' dan di sanalah Abdullah dilahirkan. Setelah itu, puteranya itu dibawa bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah meminta agar buah tamar dibawakan kepadanya. Buah tamar tersebut dikunyah dan kemudian dimasukkan ke dalam mulut putera Asma' itu. Baginda membaca doa buatnya dan Allah memberi barakat kepada nya. Kelahiran Abdullah dicatat sebagai kelahiran pertama selepas hijrah dan ia mengembirakan orang-orang Islam kerana ia membatalkan omongan Yahudi yang mendakwa orang-orang Islam tidak akan melahirkan anak kerana telah disihir oleh Yahudi.

Imam An-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Al-Muhazzab:

"Adalah sunnat ditahnikkan anak yang baru dilahirkan dengan buah kurma iaitu dengan mengunyahnya dan memasukkan ke dalam mulut anak tersebut sehingga masuklah rasa manis itu ke dalam perutnya.Berkata sahabat-sahabat kami (syafi'iyyah), jika tidak ada kurma, maka boleh apa sahaja yang manis rasanya. Petunjuk tahnik dan menggunakan kurma adalah bersandarkan hadis yang soheh.intaha".


Pada zaman Rasululullah SAW, para sahabat selalu membawa anak-anak  yang baru lahir kepada Rasulullah untuk ditahnik dan mendapat berkat daripada baginda. Mengambil berkat daripada Rasulullah adalah wajar kerana baginda adalah manusia pilihan Allah yang dibekali dengan keberkatan. Sebahagian ulama menolak konsep mengambil berkat terhadap individu selain Rasulullah SAW. Dengan kata lain, nas-nas yang membuktikan amalan tabarruk dengan Rasulullah SAW daripada para sahabat, adalah khusus untuk Rasululah SAW sahaja.

Maka, dalam soal tahnik, tidak perlu lagi mencari orang lain sebagaimana para sahabat mencari Rasulullah SAW. Cukuplah ia dilakukan oleh ibu atau bapanya sendiri.

Namun sebahagian kalangan orang Islam lebih selesa menyerahkan urusan tahnik kepada orang-orang yang dikenal soleh dalam masyarakat.

Apa yang penting, dalam amalan tahnik sebagai sunnah ialah menyerapkan rasa manis buah tamar ke dalam pori-pori mulut bayi dan membiarkan ia ditelan. Kalau tiada tamar, maka boleh juga apa sahaja yang manis seperti madu atau gula. Bertahnik dengan bahan-bahan lain seperti garam, asam jawa dan air zamzam yang terdapat dalam amalan tradisi masyarakat Melayu adalah tidak punya asas sunnah.

Kajian sains moden telah membuktikan rahsia kelebihan tahnik dengan makanan yang manis. Antara lain ia mengaktifkan sistem penghadaman seorang anak yang baru lahir sehingga kesediaannya menerima susu ibu berada pada tahap yang  baik dan memperkuatkan sistem penghadapamnya. Rasa  manis itu sendiri sebenarnya akan membentuk satu psikologi positif buat anak tersebut.

Nabi melakukan tahnik dan kemudian berdoa. Tidak warad apakah doa yang nabi ucapkan. Tentunya doa untuk kebaikan anak tersebut.

Sebahgian orang menyarankan agar dibacakan ayat  surah Al-Insyirah pada jari dan kemudian mencalitkan kurma yang sudah dikunyah ke jari itu lalu di masukkan jari itu ke dalam mulut bayi  sambil membacakan ayat Al-Quran berikut:


فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنثَى وَاللّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالأُنثَى وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وِإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya Tuhanku, Sesunguhnya Aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya Aku Telah menamai dia Maryam dan Aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk."
(Surah Ali Imran: Ayat 36)

 Setelah itu berdoa untuk bayi tersebut dengan apa-apa doa yang sesuai.


ROKOK ADA DARAH BABI!

April 1, 2010

Para perokok perlu membaca hal ini dan merasa bimbang. Kalau benar sebagaimana yang dilaporkan, alangkah dahsyatnya apa yang sedang dilakukan oleh para perokok. Secara tidak sedar, para perokok menyedut saripati darah babi untuk masuk ke paru-parunya. Penemuan ini tentu patut menjadi alasan yang memperkuatkan lagi alasan "KENAPA AKU PERLU BERHENTI DARIPADA TABIAT MEROKOK?".

Petikan daripada Kosmo Online:

KUALA LUMPUR - Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.

Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.

Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.

Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.