Ahli jemaah surau Al-Fajr, mungkin ada yang terkejut dengan pengisian kuliah maghrib 2 malam lepas. Tajuknya berkisar mengenai tuntutan bertariqat. Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyyah, demikianlah nama tariqat yang diperkenalkan oleh Hj. Abd Manaf, seorang guru tariqat yang dibawa khas dari daerah Tawau. Beliau menyampaikan kuliah tentang tariqat dengan menghuraikan hadis berkaitan Iman, Islam dan Ehsan. Menurutnya, Ehsan yang disebutkan dalam hadis itu menjadi dalil wajibnya seseorang bertariqat. Beliau juga membacakan sepotong ayat Al-Quran untuk menjadi dalil tentang wajibnya bertariqat. Firman Allah SWT:
وَأَلّوِ اسْتَقَامُواْ عَلَى الطّرِيقَةِ لأسْقَيْنَاهُم مّآءً غَدَقاً
Dan bahwasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak).
(Surah Al-Jin: Ayat 16)
Menurutnya ada 42 tariqat yang benar tetapi malangnya tariqat yang ditayangkan dalam tv selalu menggambarkan kesesatan sehingga masyarakat menjadi takut bertariqat. Beliau mengaitkan proses belah dada Rasulullah sebagai satu proses tersirat menggambarkan penyucian diri Rasulullah SAW. yang menjadi tujuan bertariqat. Seterusnya beliau menekankan pentingnya berzikir dengan kalimah tayyibah 'la ilaha illallah' setiap lepas solat. Zikir itu adalah zikir afdhal manakala zikir subhanallah, alhamdulilah dan Allahu akbar adalah zikir hasanah. Kalimah tersebut hendaklah disebut dengan cara betul dengan meletakkan ditempat yang sepatutnya agar dapat menutup 7 latifah yang menjadi jalan masuk syaitan. Menyebut dengan kaedah yang betul menurut cara Saidina Ali KW disebutkan sebagai tariqat Qadiriyyah. Cara tersebut diterima dengan salsilah berterusan sebingga mursyid yang disebutkannya dengan gelaran "abah".
Hj. Abd Manaf
Aku mendengar penerangan guru tariqat tersebut sebagaimana ramai ahli jemaah yang lain. Ramai juga kalangan jemaah yang aku tidak kenali dan mereka itu seperti murid muridnya yang ada di Sandakan. Seorang sahabat yang mengenali beberapa orang dari kalangan mereka menyebutkan beberapa orang adalah kalangan guru silat. Aku berpuas hati pada sessi kuliah maghrib tersebut kerana penjelasannya yang sederhana dengan membawakan dalil-dali Al-Quran dan Hadis. Ia banyak berkisar tentang pentingnya melazimi sebutan kalimah la ilaha illallah yang di sememangnya diterima oleh mana-mana orang islam yang mengetahui kedudukannya..
Kemudian, solat Insya didirikan dengan seorang muridnya mengimamkan solat. Selepas solat, dilanjutkan dengan zikir la ilaha illallah sebanyak 165 kali kerana jumlah itu yang menjadi jumlah yang dikehendaki sebagaimana telah disebutkan oleh guru tariqat tersebut. Zikir diucapkan dengan suara yang keras, terutama oleh ahli jemaah yang aku kira murid-muridnya. Selepas selesai berdoa, ada satu sesi yang lain pula. Aku tidak sempat duduk lama kerana ada urusan lain. Sahabat jemaah surau menyebutkan tentang pengisian kedua itu kepadaku keesokannya. Antara lain, zikir kalimah tayyibah diajar untuk diucapkan dengan cara tertentu dengan menfokuskan kepada latifah-latifah yang yang tersebut. Ia sukar difahami, kata sahabat jemaah itu.
"Akan datang, dia akan hadir lagi dengan membawa sebuah buku rahsia...memperjelaskan ajaran itu", sahabat ahli jemaah itu menceritakan.
Aku mencari tahu maklumat tentang tariqat ini. Ternyata , salah satunya , ia dibawa masuk melalui Pesentren Suryalaya di Tasikmalaya, Indonesia. Sila baca mengenainya di sini.
* Tulisan ini hanya sebuah catatan dan tidak mengandungi apa-apa unsur komentar.
1 comments:
Post a Comment