Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Bangsa Arab ada keutamaan

July 26, 2017

Marah dengan perangai negara Arab yang sering bercakaran satu sama lain, jangan menjadikan kita meluat dengan bangsa Arab dan mencemuh bangsa itu. Bangsa Arab punya kelebihan istimewa berbanding bangsa lain. Kerana lebihnya bangsa Arab itulah, maka Allah memilih nabi terakhir untuk umat manusia daripada bangsa Arab.

Untuk menjelaskan kelebihan bangsa Arab ini, Ibn Hajar Al-Haitami telah mempersembahkan sebuah karya bertajuk " Mablaghul Arbi Fi Fakril "Arab" dan memuatkan di dalamnya pelbagai hadis yang menyebutkan kelebihan bangsa Arab.

Dalam sebuah hadis disebutkan:

 حب العرب إيمان ، وبغضهم نفاق

" Cintakan bangsa Arab itu tanda keimanan dan bencikan mereka tanda nifaq"

Cinta dan benci ini adalah dalam bentuk kolektif. Dengan erti kata lain, ia bukanlah bermaksud tidak boleh membenci individu dalam bangsa Arab. Bukankah Abu Jahal dan musuh-musuh nabi Muhammad SAW itu adalah bangsa Arab? Bahkah bila kita membaca surah "Al-Masad", kita turut melaknat Abu Lahab sedangkan dia berbangsa Arab. Bahkan dia dari kaum Quraisy, iaitu saripati termulia di antara semua kaum dalam bangsa Arab.

Imam Ibnu Taimiyyah menjelaskan dalam "Majmuk Al-Fatawa" :


تفضيل الجملة على الجملة لا يستلزم أن يكون كل فرد أفضل من كل فرد ، فإن في غير العرب خلقا كثيرا خيرا من أكثر العرب ، وفي غير قريش من المهاجرين والأنصار من هو خير من أكثر قريش ، وفي غير بني هاشم من قريش وغير قريش من هو خير من أكثر بني هاشم
" Kelebihan umum sesuatu bangsa atas bangsa lain bukanlah bermakna lebihnya setiap individu bangsa itu di atas bangsa lain. Sesungguhnya ada ramai ornag yang bukan bangsa Arab lebih baik daripada bangsa Arab. Bahkan ada kalangan yang bukan orang Quraisy dari kalangan Muhajirin dan Ansar yang lebih baik daripada orang-orang dalam kaum Quraisy itu. Lebih daripada itu, ada yang bukan berketurunan Bani Hasyim lebih baik daripada orang berketurunan Bani Hasyim."
(Majmuk Fatawa-29:19-30)

Kekadang kita bercakap dan menulis tidak sedar telah menunjukkan kebencian total kepada bangsa Arab. Apabila melihat kes terbaru melibatkan Arab Saudi dan Qatar, kita pun terluncur lidah mengucapkan kata-kata menghina bangsa Arab. Terlupa atau buat-buat lupa bahawa nabi Muhammad dan para sahabat besar dan utama adalah berbangsa Arab. 

" Itulah perangai Arab!" luahan penuh kecewa.
" Arab memang tak boleh harap!", tambah berputus arang dengan Arab.
"Arab memang teruk", keluh tambah mengandung marah.

Sebenarnya, itu bukan masalah Arab. Itu masalah orang tertentu kalangan bangsa Arab. Bangsa Arab secara umum adalah mulia. Bangsa yang diangkat namanya oleh Allah dan Rasul. 

Hal yang sama juga kita perlu ada dalam memahami kemuliaan bangsa Bani Israil.  Kalangan mereka ramai yang derhaka. Tetapi, bangsa itu keturunan nabi Yaakob yang dimuliakan Allah SWT. 

Justeru jangan menghina satu bangsa secara umum. Lebih-lebih lagi bangsa Arab.

Orang Melayu pun apa kurang jahatnya? Tidak ada pun hadis yang menyebutkan kelebihan bangsa Melayu sebagaimana bangsa Arab. Jika orang Melayu bertakwa, tentunya dia lebih baik daripada orang Arab yang tidak bertakwa. Namun, jika orang Arab bertakwa dibangdingkan dengan orang Melayu yang bertakwa, lebihlah orang Arab itu kerana baginya dua perkara iaitu takwa dan keutamaan bangsa.

Gelaran dunia ilmiah jangan direndahkan

July 25, 2017

Dulu, entah di mana terjadinya, ada seekor serigala di bawah segugus anggur. Hari sangat panas. Serigala pun dahaga amat. Dia melompat mahu gapai gugusan anggur. Tak dapat. Berkali-kali dicuba, tak juga dapat. Anggur itu tinggi. Bila sudah gagal beberapa kali, serigala pun berkata: "Ah anggur itu masam...!".

Cerita ini sebuah perumpamaan untuk seseorang yang gagal mencapai sesuatu, lalu dia mengutuk sesuatu itu. Lumrah manusia memang begitu. Kalau yang ada bersamanya, dipuji habis. Kalau yang ada di tangan orang lain, dipandang rendah. Watak begini merayap rata dalam pelbagai dimensi kehidupan. 

Kalau bangsaku, bangsa hebat!
Bangsa orang lain ada sahaja masalahnya.
Kalau universiti aku, hebat sekali. Universiti ornag lain tidak terlawan dengan universitiku.
Guruku paling alim, guru lain mana boleh lawan guru aku?

Seperti serigala yang gagal menggapai buah anggur di hujung dahan, lalu dikatakan anggur itu masam.

Baru-baru ini orang banyak perkatakan tentang PHD. Ada komen-komen kebudak-budakan yang mengtakan PHD bukan tanda sesorang itu alim. Ada PHD bukan lesen untuk mencabar kandungan karya para ulama silam. PHD itu hanya spesifik bidang tertentu dan tidak setanding dengan ulama yang menguasai pelbagai bidang.

Kata-kata ini tidak harus diucapkan oleh orang yang mencari kebaikan. Kemampuan seseorang untuk menggapai PHD dalam dunia pencarian ilmunya harus dipuji dan bukan diperlekehkan. Bukan senang untuk dapat PHD. Nak dapat "master" pun susah, apa lagi PHD. Apatah lagi yang memperlecehkan PHD itu tidak menggenggam ditangannya segulung ijazah sarjana muda sekalipun. 

Hanya berandalkan belajar talaqi sana sini dengan ulama itu dan ini, sekali sekala pergi dengan ceramah, seminar dan memondok, ia dijadikan fondasi untuk memperkecilkan nilai sebuah PHD. Ini tidak patut.  Ini memalukan. 

Pencapaian dalam dunia ilmu tidak harus atas dakwaan sendiri. Ia patut dinilai. Bukan diri sendiri yang menilai. Bukan juga para muridin yang menilai. Biar orang lain yang menilai. Baru tahu duduknya diri. Biar kawan-kawan seperjuangan dan kelompok bijak pandai menilai. Barulah layak dianugerahkan gelaran yang mewakili tingkat keilmuan dunia ilmiah.

Gelaran ustaz siapa yang beri? Gelaran Tuan Guru siapa yang beri? Gelaran Tuan Syeikh siapa yang beri? Semua itu tidak melalui proses akredetasi. Boleh sendiri letak kemudian orang ramai taklid. Tidak dapat dibuktikan secara disiplin. Namun gelaran PHD diberikan oleh institusi ilmu melaui proses ketat.

Ramai orang  bukan akaun dalam FB, letak di depan namanya Syeikh Folan, Ustaz Folan, Tuan Guru Folan dan sebagainya. Bolehlah letak tetapi ia bukan sebuah pencapaian Ia sebuah dakwaan. Ia bukan sebuah perakuan, tetapi ia sebuah aku-akuan. Maka, jika tidak setuju dengan seseornag pemegang PHD, hendaklah dilawan hujahnya secara ilmiah.

Masyarakat hari ini sudah boleh menjadi penilai hujah dalam dunia ilmu. Jangan diperkecilkan keupayaan masyarakat.

JAWAPANMU MENJADI UKURAN AKALMU

Panjangnya akal seseorang dapat dilihat pada caranya dia menjawab sesuatu persoalan yang yang diutarakan orang. Orang yang mengerti akan tahu menebak tahap pemikiran berdasarkan jawapan yang diberikan. Kata orang bijak pandainya, jika seseorang itu banyak diam, nampaklah bijaksananya. Bila banyak cakap, akan terdedahlah kejahilannya. Namun, tidak bercakap langsung akan menjerumuskan pula kepada kebodohan dan diperbodohkan.


Maka, kebijaksanaan dilihat kepada percakapan. Diam hanya untuk penilaian sementara. Sementara belum bercakap, orang akan merasakan seseorang itu bikjaksana. bagaimana cakapnya kemudiannya, itulah yang akan menjadi justifikasi kebijaksanaan.


Kerana itu, jika kita tidak cukup fayham sesuatu isu, diam adalah lebih baik. Kalau kita terlibat dan mengulas,akan terzahirlah kebodohan kita di mata orang kerana pastinya ulasan yang tidak didasari pengetahuan yang mantap akan menempa salah silap yang banyak.


Dalam Al-Quran, Allah menceritakan bagaimana jawapan penuh bijaksana seorang ratu yang dinamakan kalangan mufassirin sebagai Saba'. ianya ada dalam kisah Raja dan nabi Allah Sulaiman A.S dan Puteri Balqis iaitu ratu negeri Saba'. Apabila nabi Allah Sulaiman telah berjaya membawa singgahsananya dari Yaman ke Palestin, ratu Balqis pun tiba mengadap nabi Sulaiman, soalan pun ditanya kepada ratu Saba' itu.


فَلَمَّا جَاءَتْ قِيلَ أَهَٰكَذَا عَرْشُكِ ۖ قَالَتْ كَأَنَّهُ هُوَ

"Ketika ratu Balqis sudah tiba, lalu dikatakan kepadanya: Adakah ini singgahsanamu? Dia pun berkata: Seolah-olah ia singgahsanaku".

(Surah An-Namlu: Ayat 42)



Nabi Sulaiman bertanya soalan kepada Ratu Balqis dengan pertanyaan yang mengelirukan. Keliru kerana bagaimanakah mungkin singgahsana yang ada di tempat yang jauh boleh berada di situ. Sudah tentu Ratu itu akan bingung dan keliru. Tidak percaya dan merasa tidka logik. Cubaan untuk mengelirukannya itu di balas dengan jawapan yang mengelirukan pula iaitu: "Seolah-olah ia singgahsanaku".


Sebenarnya, apa jawapan muktamad Ratu Balqis? Tiada. Dia tidak kata ia adalah singgahsananya. Jawapan sedemikian tidak boleh mengundang tempelakkan balas dari nabi Sulaiman dan pengikutnya. Umpamanya kalau Ratu Balqis menjawab: " Ia...memenag ini singgahsanaku!", maka boleh sahaja dibalas oleh para orang sekeliling nabi Sulaiman dengan berkata:" bagaimana kamu bisa mengaku ini singgahsanamu sedangkan sebelumnya kau tinggalkan ia selamat di negerimu yang jauh beribu-ribu batu?",


Jawapan Ratu Balqis itu, menurut kalangan mufassirin, seperti yang disebutkan juga oleh Dr. Wahbah Zuhaili dalam Tafsirnya "Al-Munir", melambangkan sempurnanya akal Ratu Balqis. Dalam tafsir Al-Qurtubi juga dihuraikan asal kisah "transfer" singgahsana dan pertanyaan serta jawapan daripada pihak Sulaiman dan Ratu Balqis. Ia adalah untuk mengukur tahap akal Ratu Balqis yang dikatakan kononnya tidak sempurna akalnya oleh kaum jin. Untuk membukti kesempurnaan akal Ratu itu, dipertanyaan soalan dan jawapan itu cukup sempurna.


Dalam hidup kita, kita sering berdepan dengan situasi yang menuntut kita memberi reaksi kata. Berhati-hatilah sebelum menuturkan. Termasuk juga sebelum menulis kerana menulis itu mewakili kata. Jika kata atau tulisan itu semberono, akan terdedahlah kebodohan yang kita sembunyikan. Jangan biar orang tahu kita bodoh sungguhpun kita ini benar-benar bodoh.

PEMBODOHAN MELAHIRKAN KEBODOHAN

July 5, 2017

Keluasan Islam telah disempitkan oleh ketaasuban. Bagi pentaksub mazhab, pendapat di luar mazhab akan dianggap sebagai terkeluar daripada keluarga Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Bagi pengikut alirah Ayairah, alirah Salafiah ditafsirkan sebagai wahabi. Demikian juga, ketaksuban Wahabi telah membid'ahkan perkara-perkara yang masih boleh diterima sebagai amalan maqbul dalam Islam. Bahkan sampai menyesatkan dan mengkafirkan.

Ini semua adalah pembodohan dan akibat daripada pembodohan itu bangkitlah manusia-manusia bodoh yang bercakap bagaikan orang bodoh. Telah maraklah pengobar libaralisme. Telah tampil dengan berani penyebar ajaran sesat. Wanita-wanita kepala jambul petah bercakap mendakwa sebagai ulama. Ini semua hasil daripada pembodohan.

Pembodohan menghasilkan tindakan reaksionasasi orang-orang bodoh.