Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label Kritikan berkias. Show all posts
Showing posts with label Kritikan berkias. Show all posts

DILANGGAR TODAK

June 7, 2015

Dulu masa Singapura masih bersultankan Melayu, datang Tun Jana Khatib melawat Singapura. Tetapi kerana cemburu yang tidak tentu hujung pangkal, Tun Jana Khatib dihukum bunuh. Maka matilah seorang ulama berakhlak mulia dan saudagar yang bertualang meninggalkan keluarganya Di Pasai. Matinya di Singapura, hilang mayatnya, timbul di Langkawi. Demikianlah disebut cerita oleh sahibul Hikayat.

Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

Sebelum matinya, Tun Jana Khatib bersumpah, raja zalim bakal dihukum. Singapura akan ditimpa bencana. Itulah, maka berlakunya peristiwa ikan todak melanggar Singapura. Oleh raja yang dunggu itu, rakyat diperintah berkubukan betis sendiri. Datang Hang Nadim, kana-kanak pintar berusia 7 tahun. Cadangan kubu batang pisang dia kemukakan. Barulah selamat negeri dan rakyat dari mangsa kebodohan sang raja.

Ketika Hang Nadim mahu dianugerahkan kerana kepintarannya, para pembesar jadi cemburu. Raja dihasut supaya budak pintar jangan dibiar hidup. Sebelum besar cantas segera, kerana bila besar kelak negeri akan dikuasainya. Raja bakal hilang tahta dan para pembesar berputih mata.

Sang raja yang bodoh pun percaya. Menurut sebahagian cerita, hang Nadim dikaramkan di laut. lalu matilah dia. Habis cerita. Singapura pun tiada lagi orang pintar.

Sejarah sama sahaja. Ia berputar laksana roda. Apa yang berlaku di zaman purbakala, akan berulang semula di zaman kita. Hanya watak dan nama tidak serupa. Plotnya sama sahaja.

Para pencantas orang-orang cerdik selalu membuat angkara.Kerana cemburu dan wasangka, orang cerdik difitnah segala. Ramailah pula orang percaya. Akhirnya batu disangka permata. Permata sejati dianggap tidak berharga.

Bila orang cerdik disingkir dari persadanya,
maka akan mengambil tempat pula orang-orang yang haloba.
Apa yang diinginkan hanya pamrih dunia.
Memang bahasa muluk mulia.
Akan mengaku pewaris ambiya.
Akan memakai pakaian auliya.
Bahasa malaikat meniti bicara.
Walau sebelumnya berbicara durja.
Dosa setahun cuba dilupa
muncul semula menutur kalam sabda.

Begitulah permainan lumba-lumba.
dalam dunia penuh tipudaya
Orang secerdik Hang Nadim lurus pula.
Kalah dek permainan para penasihat raja yang haloba.
Yang rugi rakyat jelata.
Singapura tidak bangkit juga
Hingga diambil penjajah durjana.

Aku sengaja cerita pasal Singapura
Itu kisah dulu kala
buat iktibar kita semua
bahawa bukan senang menempa jaya
banyak halangan di depan sana
iri hati fitnah adu domba
dalam sekam ia membara
akhirnya membakar api menyala
runtuhlah dinding kota
musuh datang menyerbu segera
rakyat biasa lari bercempera
hendak lawan tidak bersedia

Pendekar laksamana sudah tiada
pendeta rahib tak pandai main senjata
menikam ke depan tertusuk dada
melibas ke kiri kanan yang kena
kanan ditebas ke kiri pula
Senjata dijulang terkena kepala
ditikam ke bumi berbatu lada
arah belakang pula leka
musuh datang hantuk kepala.

Inilah sebuah kisah
Todak menyerang habis dibelasah
Anak tidak lagi percaya ayah
mengharap ayah cepat gemulah
ayah pula asyik marah
anak jadi mangsa seranah
bini pula keluh kesah
bimbang laki nak tambah nikah
laki pula asyik jerkah
itu salah ini salah
rumah besar hilang berkah
tidur malam berpeluh basah
pintu ada tingkap dilangkah
alang dan bendul dipatah-patah.

Setelah berlalu masa susah
todak pun sudah merasa lelah
Yang cerdik pun sudah gemulah
tinggallah negeri yang dijajah
buat anak cucu sebagai sebuah kisah
bahawa kita pernah terbang setinggi sewah
untuk kebanggan dalam sejarah.



Kias Berkilas: Sedarlah puyuh bukan jalak.

March 7, 2014

Kerana mahu dilihat seperti Si jalak, maka burung puyuh pun memakai taji dari duri. Agar ada balung seperti jalak, maka dikepalanya disimpan bunga kertas warna kemerahan. Lalu, berjalanlah ke sana sini lagak bagai jalak dan meniru kokok jalak. Sudah tentunya siulan puyuh tak setanding kokokan si jalak. Namun, ia tidak peduli.

Puyuh yang mahu meniru jalak cuba memadamkan hakikat dirinya. Pengalamannya dalam pertarungan laga pun belum pernah ada. Senjata yang dipakainya pun hanya tiruan belaka. tetapi, kerana keghairahan mahu jadi seperti jalak dan mencabar jalak, puyuh cuba juga.

Sehinggalah ketika dia melihat jalak melintas, puyuh pun menayang dirinya depan jalak sambil mengais kakinya ke tanah dan mempamerka taji duri yang diikat di kaki. Kepala berbunga kertas disondol ke udara kiri kanan buat menimbulkan gerun di hati jalak.

Sungguh kasihan sang puyuh. Sudahlah suara hanya decip bak bunyi anak tikus di celah lubang dapur, tapi dirasakannya sudah bagai gempita guruh di langit. Jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan lantunan suara kokokan jalak yang menggegarkan hening subuh dan memulakan keberkatan hari.

Lantas...seekor burung malas yang sedang lepak dicelah lalang serumpun berkata kepada puyuh yang bermimpi menjadi jalak...

" Sudahkah kau hafal syair Arab dan mengerti balaghah dan ma'aninya?".

Puyuh terperangah tidak mengerti erti di sebalik persoalan.

Renungan:Demokrasi ditunggangi bukan menunggangi.

July 5, 2013

Zaman itu belum ada jentera pembajak. Petani membajak sawah menggunakan kerbau. Bila zaman berubah, jentera pembajak pun mula mengambil alih tugas membajak. Para petani pun meninggalkan kebiasaan menggunakan kerbau dalam kerja pembajakan. Tapi bukan semua petani mampu sewa jentera. Yang tidak mampu, kerbau masih jadi pilihan. Kelak sampai masanya, kerbau pun tidak digunakan lagi. Kerbau pembajak kalau disimpan juga masa itu, tiada faedahnya. Lantas, sembelih buah kenduri makan daging sahaja.

Itu cerita kerbau bajak. Itu kiasan sahaja. Sebenarnya aku mahu cerita pasal demokrasi. Ada orang salahkan Dr. Mursi kerana naik tahta kepimpinan dengan jalan demokrasi. Bila dia jatuh, maka dikatakan:"itulah akibatnya kalau bersenda dengan demokrasi, kerana demokrasi itu sistem ciptaan kafir yang ganas. Ia tidak sesuai buat meraih kekuasaan".

Seperti halnya dengan kerbau bajak. Pada satu masa, kerbau bajak amat releven. Namun, bila zaman berubah, jentera bajak yang releven. Tapi, jentera bajak pun bukan releven selamanya.

Kerbau bajak yag berjasa itu, ada masanya dia marah dan menanduk tuannya. Jentera pun sama. Adsa masa ia mudaratkan tuannya. Begitulah demokrasi. Demokrasi hanya pilihan zaman, bukan ketentuan selamanya. Kalau ada cara lain yang dapat ditunggangi buat memenangkan pihak yang benar, tiada salahnya ia menjadi pilihan seterusnya. Tapi bukan semua cara. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Tidak ada kerbau bajak bukan bermakna babi bajak boleh digunakan.

Pihak yang mengungkit kejatuhan Mursi sebagai kegagalan demokrasi, silalah ciptakan jalan pilihan yang boleh menangkan Islam. Tidak ada jalan mudah. Semua jalan menuntut korban. Jalan jihad Al-Qital pun perlu terkorban. Justeru, mengapa ketewasan di medan dmokrasi harus jadi persoalan lalu merendahkan pelarinya.

Nabi SAW memperingatkan perinsip Islam untuk memilih yang paling ringan antara yang berat. Demokrasi ialah jalan ringan buat kebanyakan orang. Bentangkan buat mereka jalan ringan sebagai pilihan sungguh pun ada sekelompok kecil yang mampu merentas jalan payah berduri.

Kita tunggangi demokrasi sebagaimana kita tunggangi kerbau bajak di zaman sebelum jentera bajak...

Tak Senonoh

January 10, 2012

Tak senonoh itu perangai kebanyakan  budak-budak. Orang dewasa jarang tak senonoh. Bila seseorang dewasa tak berbuat sesuatu mengikut adab susiala, orang tua itu pun boleh dipanggil tak senonoh.  Kekadang, orang tiga suku disebut juga tak senonoh. Panggilan tak senonoh ini, pendek katanya adalah panggilan yang memalukan.

Anak yang tidak ikut perauran yang ditunjukajar ibu bapa adalah tidak senonoh. Murid-murid yang melanggar disiplin di sekolah, juga tidak senonoh. Demikian pula, ahli parti yang tidak mengikut peraturan berjemaah, adalah tidak senonoh.

Orang yang tidak senonoh, kalau sudah habis nasihat diberikan, tidak makan nasihat juga, memang patut dihalau. Bukan senang nak ubat perangai tak senonoh. Sekira-kiranya, tak senonoh itu menghampiri penyakit gila. Hilang kawalan emosi menyebabkan akal tidak ada kendali. Ketika itu, tidak senonoh menyerupa kegilaan.

Sungguh tak senonoh kalau anak lawan bapa. Kalau murid lawan guru. Kalau pengikut lawan amirnya.

Janji Ibn Ubai

November 19, 2011

Abdullah bin Ubai itu bapa munafiqin Madinah. Dia adalah musang berbulu ayam. Dia laksana buah Utrujjah. Rupanya cantik tetapi isinya mengandungi rasa yang dibenci orang untuk memakannya. Di atas segalanya, dia disebut munafiqin kerana bergelumang dengan pembohongan. Pembohongan terkejinya adalah pembohongan akidah.

Hari ini aku ingin menulis sedikit tentang Ibn Ubai ini. Aku bukan bermaksud Ibn Ubai yang ada dalam sejarah nabi di Madinah itu kerana dia telah pun mati dan sedang mencicipi balasan atas apa yang dia lakukan kepada nabi SAW. Apa yang aku maksudkan adalah Ibn Ubai yang bergentayangan dalam episod masa yang zamannya bersilih sehingga kini.

Para pembohong itu sebenarnya Ibn Ubai. 

Beberapa bulan lalu, kita didendangkan dengan janji daripada Perdana Menteri bahawa ISA akan dimansukhkan. Maka, bertepuk tanganlah para pendokongnya. Seribu harapan dipanjatkan untuk memulih kembali sokongan rakyat setelah melalui tempoh masa yang banyak mencalar. Malah, dengan nada bakhil dan kedekut, sesetengah pak menteri berkata kepada pembangkang yang sengit menentang ISA sebelum ini, "Jangan cuba meraih kredit daripada pemansuhan ISA itu!".

Pemansuhan ISA adalah kesedaran dari lubuk suci sanubari penguasa kerajaan persekutuan. Mungkin demikian yang tersirat dari bahasa bakhil dan kedekut reputasi itu. 

Tetapi, rupanya indah khabar dari rupa. Tiba-tiba dilaporkan 13 orang ditahan di bawah ISA di Tawau, Sabah. Kata Menteri yang berkenaan, mereka ditahan kerana ada cubaan menghidupkan gerakan militan di Sabah. 

Dalam keadaan ISA telah dikumadangkan pemansuhannya, ia masih digunapakai. Apa maknanya semua ini? Apa maknanya pengisytiharan pemansuhan yang dibuat oleh PM?

Soal tuduhan sebagai militan, bukan mudah untuk dipercayai. Tuduhan itu boleh dibuat kepada siapa sahaja. Seorang ulama tersohor boleh dicop sebagai militan untuk menghalalkan ISA.  Seorang pondan dan darai juga boleh dicop sebagai militan kalau mereka mahu. Pokoknya musuh boleh dilebelkan apa sahaja.

ISA itu haram. Haram menurut nilai manusiawi maupun nilai agama. Manusia memerlukan kemerdekaan. Kemerdekaan tidak tegak tanpa pembelaan. Sedangkan agama pula berdiri atas hujjah. 

Itulah...apabila Ibn Ubai berjanji...sukar untuk dipercayai lagi.

Perkasa

October 26, 2011

"Siapa nama kamu?", aku tanya budak yang berhinggus itu. Pakaian nampak comot sekali. Barangkali baru lepas bermain dan berkubang lumpur sawah. 

"Perkasa", jawabnya penuh bangga.

"Oh, dah berapa umur? ", tanyaku sambil duduk mencangkung agar ketinggianku sama dengannya. 

" Empat tahun", balasnya petah sambil hinggusnya keluar masuk dari lubang hidungnya mengikut nafasnya yang termengah-mengah.

"Siapa nama bapa?", tanyaku lagi.

Dia tidak menjawab. Mungkin dia keberatan memberitahu siapa nama bapanya.Aku menduga tentu bapanya bukan seorang ulama. Tiada ciri-ciri keturunan ulama pada wajahnya. Bukan juga anak bangsawan kerana kalau anak bangsawan masakan berkubang lumpur comot sebegitu sekali. Paling mungkin adalah anak terbiar yang tidak ketahuan ibu bapanya.

"Mungkin anak lanun", guman hatiku sendiri.

Budak bernama perkasa itu kelihatan membibit satu uncang. Di dalamnya seperti ada isi. Bergerak-gerak dan ada bunyi

" Apa isinya tu?", aku bertanya.

"Katak!", jawabnya selamba sambil tersengeh menampakkan gigi yang ronggak.

Aku menggeleng kepala lucu dengan  telatah budak bernama Perkasa itu.

Tikus-tikus yang mati

October 23, 2011

Kelmarin dan beberapa hari sebelumnya , aku dapat tangkap 5 ekor tikus dengan perangkap gam melekit yang diciptakan khusus buat memperdaya tikus. Aku pasang malam hari dan paginya aku lihat tikus itu terkapai-kapai cuba melepaskan diri daripada gam getah yang melekit memerangkapnya. Tikus-tikus itu aku  bawa ke luar rumah dan di sanalah aku menjatuhkan hukuman eksekusi. Ketika hati dipagut belas, aku teguhkan hati untuk meringankan beban hujung hayatnya dengan menyegerakan ajalnya. Sebatang kayu menjadi algojo pencabut nyawa buatnya.



Aku berikan nama 5 ekor tikus itu dengan nama masing-masing.

Tikus pertama kunamakan ia sebagai Ben Ali. Ia tikus kecil tetapi sebelumnya amat ligat di dapur rumahku. Seringkali, bila aku masuk ke dapur, dia menyelit lincah di celah balang-balang  dan kemudian hilang di bawah almari. Bila terkena perangkap gam getaku, aku bawa ia dan letak di luar rumah waktu pagi. Tengahari, pulang dari kerja aku lihat dia mati kering dekat tong sampah. Rupanya isteriku buangkan ia di situ. Nampaknya, terjemurlah dia sehingga mati dipanah matahari.  

Tikus kedua kunamakan Mubarak. Ini tikus besar. Aku rasa macam bapa tikus. Aku bawa ia dan letak di luar rumah. Aku lipat perangkat gam getah yang dibuat daripada kertas itu dan biarkan ia sebelum aku pergi kerja. Bila pulang dari kerja, aku dengar bunyi cit-cit tikus. Aku selak lipatan kertas, rupanya masih hidup. Nampak sudah melecun dalam pintalan getah perangkap. Kasihan...aku ambil kayu, balun atas kertas dan matilah ia.

Tikus ketiga kunamakan  Ghadafi. Tikus keempat kunamakan Ali Abdullah Saleh dan yang kelima kunamakan ia Basyar Assad.  semua itu tikus sederhana besar. Mungkin tikus-tikus remaja yang masih belum puas merempit di celah-celah lorong dapur rumahku. Nasib malang, terkena perangkap getah yang aku letakkan. Nasiblah. Aku terpaksa menjadi pembunuh berdarah dingin. Kalau aku tak bunuh, akan panjang pula sengsara yang terpaksa mereka tanggung. Getah perangkap tikus itu, kalau dah mengena, tidak akan terlepas lagi. Daripada menderita azab, baik aku katok. Tamat riwayat, habis cerita.

 Ben Ali, Mubarak, Ghadafi, Ali Abdullah Saleh dan Bashar Assad adalah lima tikus bersaudara.

Demikian berlalunya khatimah lima tikus yang selama ini bermaharajalela. Segala kecurangan mereka dapat ditamatkan. Tapi, namanya tikus, ia tetap ada dan muncul membuat kacau ganggu. Aku masih dengar ada suara rempitan tikus di dapur. Mungkin ada beberapa ekor lagi. 

Perjuangan belum selesai. Tikus-tikus tersebut perlu dibasmi. Selain suka mencuri harta yang bukan haknya, ia juga membawa penyakit hawar. Setelah itu, ia juga suka berak di sana sini.  Aku berazam untuk membersihkan kerajaan dapurku daripada makhluk tikus.

Tazkiah diri perangai Iblis

July 2, 2011

SEREMBAN, 2 Julai – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa perkauman di Malaysia menjadi lebih buruk selepas kelahiran Pakatan Rakyat (PR) susulan pilihan raya umum 2008, menyebabkan begitu banyak kenyataan berbaur perkauman muncul.

Sebaliknya menurut bekas perdana menteri (gambar), sistem integrasi unik di kalangan pelbagai kaum yang dibawa kerajaan pusat memerintah telah membawa kepada kejayaan Malaysia.

“Saya telah memantau dan kita kena ingat bahawa sekarang hubungan antara kaum menjadi semakin buruk, lebih teruk daripada dulu. Pakatan Rakyat lahir, tetapi pada umumnya, lebih banyak kenyataan perkauman wujud,” kata Dr Mahathir.(Sumber: malaysiakini)

Kata Iblis, dia jadi derhaka selepas Tuhan menciptakan manusia. Kerana manusia diciptalah, dia dilaknat Tuhan, dia gelar "ar-rajim". Padahal sebelumnya dia adalah kalangan "muqarrabin" bersama-sama malaikat yang berkedudukan. Apa yang menimpanya dan apa yang bakal dilakukannya, adalah gara-gara terciptanya manusia. 

"alangkah baiknya kalau manusia tidak pernah dicipta!", mungkin demikianlah Iblis mengeluhkan kekesalannya.

Kejahatan dirinya dikambinghitamkan ke atas manusia. Itu memang perangai Iblis.  Kesalahan diri sendiri tidak mahu dimuhasabahkan. Perasaan bangga diri itu menyebabkan dia merasa dia cukup sempurna. hanya dia yang layak menjadi khalifah dunia dan bukan manusia. Manusia tidak mampu mentadbir dunia kerana yang pandai mentadbir dunia hanya dia, Iblis.

"Aku lebih baik daripada manusia!", sekali, melantun dakwaan lupa diri sang Iblis.

"Siapa paling pandai menguruskan negara?",
"Siapa paling pandai harmonikan hubungan antara kaum?",
"Hanya kami yang tahu memerintah",
"Kamilah yang terbaik!",

Nada-nada senada lantunan Iblis di langit ke tujuh masih bersiponggang di cerok rantau buana.

Buaya di bawah riak

September 5, 2010


Sekumpulan rakyat Indonesia berdemontrasi di depan keduataan Malaysia di Jakarta. Mereka menginjak bendera Malaysia, membakarnya dan melemparkan najis ke dalam kawasan kedutaan. Kain rentang berisi kata-kata kesat dan pedas serta menyerukan perang fizikal dibawa. Melihat perkembangan ini, tidak sedikit rakyat Malaysia yang naik angin. Darah naik ke muka dan hati pun mula panas. Kata-kata kesat dibalas dengan kata-kata kesat. Sesetengah menulis dalam media mencadangkan kepada kerajaan menghalau pulang semua rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Rakyat Malaysia yang sejurus beberapa waktu sebelumnya berpecah diseru bersatu menyatakan sokongan kepada kerajaan dalam menangani isu ini. rakyat dituntut menunjukkan patriotik. Sebagaimana gagal menghimpun patriotisme rakyat melalau kibaran bendera sempena hari kebangsaan, isu ini juga tidak mampu menarik patriotisme rakyat untuk berdiri bersaf-saf di belakang kepimpinan yang ada sekarang atas nama membela Malaysia.

Benarkah kedaulatan Malaysia sedang dicabar? Siapa pula yang sedang mencabar itu? 

Dunia ini kecil pada zaman ini. Politik telah merentas sempadan. Perancangan politik dalam sebuah negara, kekadang merentas sempadan ke negara tetangga. 

Amatilah dengan cermat perkembangan mutakhir mengenai kelompok rakyat Indonesia yang diwar-warkan sedang mengoyak kehormatan Malaysia. Malaysia? Atau siapa?

Boleh jadi, di bawah riak ada buaya merejam...

Siapa Mufti Negeri Itu?

March 6, 2010

Sejenak, tatkala melihat rancangan-rancangan agama yang diterbitkan di TV, artikal-artikal berkaitan agama dalam kolum khas dalam akhbar arus perdana, ceramah-ceramah, kuliah-kuliah umum, tazkirah dan sebagainya, timbul pertanyaan dalam diri, ke manakah perginya para mufti? Ke mana pergi para pegawai agama jabatan-jabatan agama yang memegang posisi dakwah? 

Ramai anak muda hari ini tidak mengenal para mufti. Malah ramai yang tidak peduli tentang wujudnya seorang yang bergelar mufti. Mufti menjadi insan yang amat sedikit faedahnya kepada masyarakat berbanding para ustaz da'i yang tidak punya jawatan apa-apa tetapi selalu keluar tv dan selalu tulis makalah dalam akhbar maupun internet. Buku-buku karangan mufti hampir tak ada dalam masyarakat. Kalau pun ada tidak diminati oleh khalayak. Mufti lebih banyak membicarakan fatwa-fatwa hukum nikah kawin dan hal-hal sepele yang boleh diselesaikan di kedai kopi.

Sang mufti... duduklah di atas kerusi empuk dan dalam bilik berhawa dinginmu!

Sesekali, keluar menjunjung sembah batu jemala sang sultan yang dirimu bernaung di bawah dulinya! Lalu, kumandangkan lagu perpaduan, demi agama, bangsa dan negara.Agar namamu tercatat sebagai patriot.

Siapa mufti negeri itu? Tanya seseorang. Aku tak tahu dan tak rasa perlu tahu. Jawabku. Aku memetik ilmu dan mutiara hikmah dari sifulan bin sifulan yang bukan siapa-siapa. Cuma seorang ulama tua yang sering dialpakan. Atau cuma seorang anak muda yang tidak berjawatan dan tidak berkedudukan.Mereka dekat dengan rumput rampai yang melata. Bukan bergemerlap laksana bintang di langit sana! Bukan megah laksana bulan purnama!

Lebih baik menjadi pelita 
Usah dimimpi menjadi purnama
Pelita menerang cahaya sentiasa
Bulan terbit sekali sekala.

Biar pelita asap berjelaga
Dalam rumah ialah pendeta
Menyebar cahaya menghalau gelita
Membuat penghuni rasa selesa.

Apa dilihat pada purnama
Pungguk merindu sebatang kara

Tatkala bulan ditutup awan 
Pungguk terkabil berhati rawan

Tatkala malam menjelang dini
Bulan hilang membawa diri.