Kini, dalam negeriku yang tak bertanah, luas tanpa sempadan ini, aku memberinya nama "PERENUNG LANGIT".
Dalam negeriku ini, aku tidak bersultan kepada sesiapa. Tiada raja yang menghambatku dengan bayangan "pantang derhaka". Di sini aku tidak beriman dengan dengan khurafat warisan itu. Aku menganut satu prinsip yang ditancapkan oleh Rub'i bin 'Amir di depan Panglima Rustum dari kerajaan Rom:
جئنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله ومن ضيق الدنيا إلى سعتها ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام
"Kami datang untuk membebaskan sesiapa yang mahu, dari memperhambakan diri kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam".
Pertarungan epik antara Hang Tuah dan Hang Jebat menunjuk dua jalan pemikiran.
Pemikiran feudal yang taatkan raja membuta tuli dan pemikiran baru yang merdeka berasaskan kebenaran.
Zaman pemikiran pertama sudah digoncang oleh tindak tanduk Hang Jebat yang membawa analogi zaman baru di mana rakyat berfikiran bebas dan tidak lagi dibayangi khurafat "jangan derhaka". Demi sebuah kebenaran, membela kanda seperjuangannya yang dibunuh secara aniaya, Hang Jebat menongkah arus pemikiran dominasi zamannya yang bertunjang stigma "taatkan raja, pantang derhaka".
Itulah titik pertama kebangkitan Melayu yang menjadi ilham sehinga hari ini. Kemerdekaan pemikiran ini terus berkembang dan akan terus berkembang . Sehingga satu takdir Allah yang akan menentukan nasib mereka yang menggelarkan diri mereka "raja-raja" untuk menjadi anutan pula rakyat terbanyak.
Kelangsungan dan survival angkatan raja melayu hanya bergantung kepada ehsan rakyat melayu. Jika rakyat melayu sudah enggan memberi ehsannya, berkuburlah raja-raja dengan segala khurafat yang bertempelan. Para raja wajar sedar bahawa mereka bukan berada di atas rakyat melayu sebagaimana sangkaan. Orang yang hidup dengan ehsan si pemberi ehsan, perlu banyak bersyukur kerana satu saat hati si pemberi ehsan terguris, maka segala pemberiannya akan ditarik balik.
Aku berbangsa Melayu sejati. Itulah yang aku tahu bila menyemak leluhurku yang tidak terlalu jauh di atasku. Lebih jauh, aku tak tahu. Pada masa-masa tertentu aku bertanya diri sendiri, apakah aku seorang rakyat yang beraja. Ia menjadi polimik dalam jiwaku dan aku percaya juga menjadi polimik dalam jiwa ramai generasi sezamanku. Akhirnya aku melupakan persoalan itu kerana jawapannya tidak merubah apa-apa.
Yang pasti, aku rakyat Melayu yang tidak kenal rajaku. Aku lebih kenal seorang pengemis di kaki lima. Bila raja itu ditabalkan dan bila dia mangkat, aku tak pernah tahu. Kalaupun aku tahu, aku tak ambil tahu. Aku tidak menggantung masa depanku dan bangsaku kepada mereka. Aku tak percaya bangsaku selamat di tangan mereka.
Nostalgia pahit kehilangan tanah Singa masih tak terlupakan. Tragedi jatuhnya Pulau Pinang ke tangan Francis Light tak akan terpadam dari sejarah. Nama Sandakan adalah bukti sejarah betapa sebuah negeri digadai kepada penjajah demi kepentingan sempit segolongan manusia.
Anda sendiri menjawab, apakah rakyat Melayu sepertiku menjual negeriku atau siapa?
Maafkan aku kerana aku berpendapat begini. Aku tidak mengusul anda semua menganutnya bersamaku.
Di negeri ini aku tak beraja.
0 comments:
Post a Comment