Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label kritikan. Show all posts
Showing posts with label kritikan. Show all posts

MIMPI LIHAT NABI BERJANGGUT PUTIH?

April 5, 2020

Rasulullah SAW berjanggut hitam

Imam Bukhari meriwayatkan hadis dalam Adabil Mufrad, daripada Abu Hurairah RA menyifatkan tentang nabi SAW:

كان أسود اللحية، حسن الثغر


" Rasulullah itu janggutnya hitam dan gigi depannya elok"

Janggut nabi SAW tidak putih. Hanya ada beberapa urat (tak lebih daripada 7 helai) yang berwarna putih di helaian "anfaqah" (bahagian bahawa bibir dan atas janggut)

Kisah yang tersebar beberapa hari ini dan dikongsikan orang, seorang wanita Turki bermimpi jumpa Rasulullah di Bukit Aljudi. Rasulullah berikan kepadanya penawar Convid19 iaitu dengan cara minum "Sumac". Ramai yang terus percaya cerita ini tanpa cermat dalam meneliti faktanya.

Disebutkan dalam mimpi tersebut, wanita Turki itu melihat Rasulullah SAW berpakaian serba putih, berjanggut putih dengan wajah yang bercahaya. Sifat yang digambarkan itu telah menyalahi ciri fizikal Rasulullah SAW, khususnya janggut baginda. Baginda bukan berjanggut putih bak pendeta bertapa atau seperti Gandalf dalam filem Lord Of The Ring.

Memang Syaitan tak boleh menyerupai Rasulullah, tetapi syaitan boleh menyerupai satu watak lain yang punya kehaibatan di hati orang lalu mengaku dirinya nabi SAW. Ramai orang yang bermimpi dan mendakwa dia bertemu Rasulullah SAW. Sifat Rasulullah yang dilihatnya dalam mimpi itu perlu dibentangkan dengan sifat-sifat yang diterangkan dalam syamail nabi. Jika benar, bolehlah diterima.

Namun, perlu diingat, zaman kini banyak para dajjal yang menggunakan mimpi jumpa nabi untuk menguatkan kebohongannya. Jangan mudah tertarik atau percaya. Apa lagi "share" sesuatu yang tidak dipastikan kebenarannya.

Apakah Rasulullah datang kepada seorang wanita yang tidak punya kedudukan untuk diyakini perkataannya mengenai "sumac" sebagai penawar Convic19? Lebih baik datang dalam mimpi saintis Islam lalu beritahunya khasiat "sumac" itu. Saintis itu boleh mencipta ubatan yang menjadi vaksin berguna buat menyelamatkan ummat seluruhnya daripada bahaya Convid19!

Lebih daripada itu, di zaman Khalifah Umar dulu, telah terjadi wabak taun yang teruk sehingga meragut nyawa sahabat nabi bernama Abu Ubaidah, Muaz bin Jabal dan Syurahbil bin Hasanah. Namun tiada pula Rasulullah datang dalam mimpi khalifah Umar Al-Khattab ketika itu memberikan penawar. Apakah Umar Al-Khattab lebih rendah kepentingan dan hajatnya berbanding wnaita Turki yang tidak dikenali itu?

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TIDAK AKAN BERSAMA

May 7, 2016

Mereka yang banyak duit
berlumba menaja jutaan ringgit
untuk pasukan bola yang tenat sakit
dengan tujuan bingkas bangkit.


Setengah daripada kita mungkin rasa hairan. Apalah harganya menaja pasukan bola sepak dengan angka jutaan ringgit. semua itu hanyalah untuk permainan yang tidak menjanjikan pahala yang lumayan, apatah lagi untuk menjadi jariah yang berkekalan di hari kemudian. mengapalah tidak disalurkan semua itu untuk membangunkan rumah-rumah anak yatim seantero negeri, atau memantapkan infrastruktur maahad tahfiz, masjid-masjid atau seribu satu macam amal soleh jariah yang dipuji agama?


Mengapa jalan terang tidak dipilih tetapi jalan kabur berkabus juga yang dikelih. Jalan orang soleh tidak diraih, tetapi ditatih jalan orang safih.


Apa sudah jadi dengan hartawan dan jutawan kita?


Sejenak aku tersentak menyemak sepotong Firman:


لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ


Supaya Allah memisahkan golongan yang buruk daripada yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu ditumpukkan satu sama lain dan dijadikannya isi neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.
(Surah al-anfal:37)


Disebutkan dalam tafseer Ibn Kathir bahawa Abu Sufian yang pulang membawa keuntungan dagangan setelah mengelakkan daripada disergap oleh kaum Muslimin telah berkempen kepada pemegang-pemegang sahamnya di Makkah agar mendermakan harta itu untuk menuntut bela kematian pemuka Quraisy dalam perang Badar. Lantas, mereka pun mendermakan harta mereka untuk melengkapkan upaya memerangi Rasulullah yang membawa kepada peperangan Uhud.


Allah mencela usaha mereka dan menggambarkan bahawa harta mereka yang digunakan untuk derma peperangan itu adalah dari sumber yang buruk dan kerana itu tidak akan pergi melainkan kepada yang buruk juga. Mereka memperolehinya daripada harta kaum muslimin yang dirampas setelah orang Islam berhijrah lalu mereka niagakan di Syam. Harta yang jelek itu kemudian akan tumpah kepada kerja-kerja memerangi Islam. Al-hasil wal mahsul tidak mendatangkan apa-apa kebaikan untuk mereka di dunia, apa lagi di akhirat!


Maka, falsafah harta, jika dicermati, kita akan mendapati perhitungan sedemikian. Jika harta itu baik, Allah akan lorongkan ia dibelanjakan ke jalan yang baik. Sementara, Jika harta itu jelek, ke tempat jeleklah ia dibelanjakan. Jika harta itu 'lagha', ke medan 'lagha'lah ia ditaburkan.


Tidak perlu hairan kenapa begitu mudah jutaan ringgit digunakan untuk kerja-kerja yang tidak berfaedah.Ya...apalah faedahnya bola sepak untuk agama? Malah, apalah faedahnya untuk bangsa dan negara. Belanjakan jutaan ringgit untuk permainan yang melalaikan itu tidak akan mendapat keuntungan hari akhirat. Ia mungkin nampak untung dalam dunia, tetapi dunia hanyalah fatamorgana.


Jika asalnya tanah, akan kembali kepada tanah. Barang yang rendah nilainya jatuh ke bawah. Jika tinggi mutunya, akan terbang hingga atas langit ke tujuh.

MENCOTENG HIKAYAT

May 5, 2016

Diceritakan oleh para penghikayat.

Pada satu ketika,Syeikh Ahmad Ar-Rifai telah menziarahi kubur nabi SAW di Madinah lalu di sisi kubur baginda , beliau berbicara sepotong kalam Syair:
 

إن قيل زرتم بما رجعتم يا أشرف الرسل ما نقول

" Jika ditanya kamu telah ziarah kubur nabi, apa yang kamu bawa pulang...Apakah akan kukatakan wahai Rasul termulia?

Lalu tiba-tiba kedengaran suara dari kubur nabi SAW, Rasulullah menjawab:

قولوا رجعنا بكل خير واجتمع الفرع والأصول

"Kamu pulang membawa kebaikan yang banyak...Dan telah berhimpun bersama keturunan dan leluhur"

Kemudian, diceritakan bahawa Syeikh Ahmad Rifa'i bersyair lagi:

فامدد يمينك كي تحظى بها شفتي

" Maka hulurkan tangan kananmu agar dua bibirku mendapat keberuntungan dengan menciumnya".

Lalu keluarlah tangan baginda Rasulullah SAW dari dalam kubur dan disalami serta dicium oleh Syeikh Ahmad Rifa'i. Menurut Sayyid Muhammad Abul Huda As-Soyadi dalam kitabnya Qiladah Al-Jawahir, peristiwa itu disaksikan oleh 90 ribu orang yang hadir bersama termasuk Syeikh Abdul Qadir Jailani.

Inilah di antara cerita ajaib yang dirwayatkan oleh kalangan yang menisbahkan diri sebagai ahli Sufi. Cerita ini juga turut dihikayatkan oleh penceramah-penceramah kita atas nama karamat para wali. Tanpa mahu merendahkan kemuliaan Syeikh Ahmad Ar-Rifai yang disebutkan dengan sebutan mulia oleh para ahli sejarah Islam seperti Az-Zahabi, Ibn Kathir, Ibn Khalikan serta lainnya, cerita tersebut sangat pelik dan cacat dalam banyak aspek.

Cerita itu adalah rekaan para pentaksub kepada Syeikh Ahmad Ar-Rifa'i (Qaddasallahu Ruhahu). Antara alasannya adalah kerana dalam cerita ini digambarkan bahawa nabi bersyair sedangkan nabi tidak pernah mengungkapkan bait syair semasa hayatnya. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah dan diriwayatkan oleh Ahmad, Baihaqi, Toyalisi dan lain-lain, beliau menyatakan bahawa:

كان الشعر أبغض الحديث إليه

"Syair merupakan bicara yang paling tidak disukai oleh Rasulullah SAW".

Bagaimana pula Rasulullah boleh berbahasa Syair dengan Ahmad Ar-Rifa'i sedangkan semasa hayat baginda, tidak pula baginda berbual dengan irama syair atau sajak dengan sahabatnya? Sementelahan ungkapan syair itu , jika dinilai oleh para ahli dalam bahasa Arab, akan mendapati ada "lahn' dan "syaz". Kelihatannya syair itu dikarang oleh orang yang lemah dari aspek bahasa.

Selain itu, catatan bahawa peristiwa itu disaksikan oleh 90 ribu orang saksi yang hadir bersama, juga adalah satu yang berlebih-lebihan. Kapasiti Masjid Nabawi, lebih-lebih lagi pada zaman tersebut, tidak mampu menampung sejumlah itu. Kalau pun dapat sejumlah itu, sudah tentu akan bersesak dan berhimpit dan tentunya tidak semua dapat melihat keajaiban itu. Ironinya, cerita nabi keluarkan tangan dan bersalam dengannya itu tidak masyhur dan tidak diriwayatkan secara meluas di kalangan ulama. Kalau 90 ribu menyaksikannya, tentulah kita akan mendapat cerita itu dalam bayak riwayat serta karya para ulama.

Maka, selain Syiah yang suka mengada-adakan cerita kehebatan para imam maksum mereka, kalangan melampau daripada ahli tasawwuf juga mengambil jalan yang sama. Banyak cerita ajaib mengenai syeikh direka dan ditokok tambah. Sedangkan tentang nabi SAW pun ada cubaan " memaudhu'kan", apatah lagi para ulama dan auliya selepasnya. Mujurlah nabi SAW dipagari dengan ketat oleh ilmu periwayatan hadis, maka kecederaan pada keperibadian nabi dapat dikurangkan. Tetapi, tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam, tidak dapat dikawal tuntas oleh ilmu periwayatan. Maka cerita bohong dan dusta berlegar-legar.

Tinggal lagi kita berfikir sebelum menelan cerita. Jangan asal berkilau disangka permata!

Menyiksa diri untuk taqarrub bukan jalan Islam.

November 3, 2014

 
 
 Pada 'Asyura ini, kita sekali lagi melihat kaum Rafidhah memukul diri dengan senjata, rantai dan sebagainya. Mereka meratapi kematian Hussin bin Ali di Karbala lebih 1000 tahun yang lalu. Melalui cara itu, mereka berharap boleh menzahirkan cinta kepada Ali Bait dan dengan itu mereka bertaqarrub kepada Allah.

Demikianlah saban tahun...

Dasar kefahaman mereka adalah menyiksa diri untuk memanjat tangga taqarrub. Sebenarnya, amalan ini pun bukan asli Rafidhah. Ia adalah kelangsungan ajaran kependetaan yang mengambil jalan menghukum diri untuk taqarrub kepada Allah. Kesamian dalam ajaran Hindu dan Budha juga menempuh jalan yqng sama. Kepadrian dalam sistem gereja juga menyeksa diri dengan menghukum fitrah seksual manusia. Bahkan, banyak ajaran yang menempa jalan menyeksa diri, termasuklah tariqat-tariqat sufi menyimpang yang menghukum para 'salik'nya dengan penyisihan duniawi.

Semua itu bukan lahir dari rahim Islam. Itu semua adalah bikinan para ahli bid'ah yang muncul sepanjang zaman.

Islam tidak mengajar jalan menyiksa diri. Bahkan nabi SAW amat suka menjadikan kemudahan itu sebagai jalan agama para penganutnya. Agama bukan ditegakkan atas puncak yang sempit tetapi ia ditegakkan atas dataran yang lapang dan luas.

Keharusan jangan dipestakan.

October 20, 2014

 
Pagi ni teringat pasal pegang anjing. Selama hayatku memang belum pernah aku pegang ajing. Bukan kerana merasakan pegang anjing itu haram. Memang tak haram pun pegang anjing. Peluk anjing pun tak haram. Tapi, tidak ada keperluan nak pegang anjing. Macam juga biawak, tenggiling, tupai, landak dan binatang-binatang lain. Aku tak pegang sebab tak ada keperluan nak pegang.

Malah, pegang babi pun bukan haram. Dengan kata lain, tak dosa pun kalau pegang anjing dan babi walaupun binatang itu dilihat najis mughallazah oleh sebahagian pendapat.


Kalau nak kira, pegang tahi lagi jelek. Tapi, hari-hari kita pegang tahi. Kita ada keperluan pegang tahi sebab kena basuh berak hari-hari. Kalau pegang tahi, ittifaq ulama kena basuh sebab tahi itu najis. Tak sama dalam hal pegang anjing dan babi. Ada khilaf di kalangan mereka.

Tapi, kalau buat kempen pegang tahi sebab nak beritahu orang bahawa ia tidak haram dan tahi perlu dilayani dengan baik, itu memang kerja pelik dan ajaib. Alias kerja gila. Orang boleh tahu ketidakharaman pegang tahi melalui pendidikan ilmu sahaja. Bukan semua benda perlu dipraktikalkan untuk membuktikannya.

Orang dah tahu peluk bini bukannnya haram. Tak payah praktikal dan tunjukkan depan orang ramai. Kalau peluk depan orang, jadilah haram. Banyak perkara juga kalau sudah riak, jadi haram. Menunjuk-nunjuk itu kan petanda nifak? Jadi, kalau nak beritahu khalayak bahawa pegang anjing tak haram, tak perlu buat pesta. Para ulama yang muslih dan mujaddid telah bertungkus lumus menjelaskan dimensi ilmu kepada masyarakat agar tidak tertambat dengan pengaruh adat.

Orang kafir nak minum arak, itu tak boleh kata haram. Agamanya mungkin tak haramkan. Tapi, kalau buat pesta minum arak, ini sudah lain. Perkara yang tidak haram bagi satu kelompok, boleh jadi diharamkan, kalau dipestakan.

Bahkan, boleh makan nasi masa bulan puasa kalau sakit atau uzur. Tapi makan dalam rumah. Apa halnya sampai nak beritahu orang yang saya uzur dan sakit maka lihatlah saya makan nasi. Lantas hidang nasi di beranda rumah dan makan di tepi laluan orang. Itu sudah mempestakan keharusan. Ini tidak baik dan tidak wajar dibuat. Ini bukan cara Islam menjelaskan keharusan.

Saya memang tidak setuju membuat semacam pesta pegang anjing. Ia seperti contoh-contoh berselerak yang saya sebutkan yang mana asalnya harus tetapi pestakannya akan menukar hukum.

"Boo" mantera syaitan.

September 20, 2014


Saya tidak hadir muktamar. Tapi riuh dalam media sosial meriwayatkan beberapa pimpinan di"boo" oleh sebahagian perwakilan. Kerana kenyataan pimpinan itu tidak sebagaimana yang dikehendaki, sekumpulan perwakilan melemparkan cemohan dalam bentuk ungkapan "boo". Saya sedih ada budaya sedemikian dalam jemaah yang mengaku memperjuangkan Islam.

Gelagat mem"boo" orang adalah gelagat orang-orang bodoh dan tidak berakhlak. Dalam dunia barat yang sistemnya yang diwarnai kekufuran pun akan mentafsirkannya sebagai perbuatan biadap dan rendah akhlak, apatah lagi dalam dunia Islam. Sementelahan dalam lingkungan gerakan Islam.

Islam mengajak mujadalah dengan cara yang baik (wajadilhum billati hiya ahsan) dengan mereka yang menentang Islam dari menolak dakwahnya. Tiada akal yang sempurna akan mentafsirkan perbuatan mem"boo" rakan seperjuangan itu sebagai mujadalah yang elok. Bahkan mem'boo" musuh pun boleh dihukumkan sebagai kebejatan akhlak dan peribadi.

Entah budaya siapa yang dicedok Melayu Islam dalam hal mem"boo" ini. Saya tidak percaya ada dalam thurath Islam walau sedakwat ajaran sedemikian. Saya juga yakin bahawa gerakan Islam tidak pernah mengajar hal yang sedemikian.

Menyongsang kepimpinan itu adalah menyalahi adab berjema'ah. Walau bagaimanapun, kejadian menyongsang kepimpinan itu sering terjadi dalam setiap episod sejarah perjuangan Islam. Sahabat-sahabat pemanah di bukit Uhud pun tega menyongsang arahan nabi. Itu lumrah tabiat manusia dalam menyusun organisasi. Tiada yang sempurna.

Namun mem"boo" pemimpin semasa berucap, ia bukan lumrah manusia. Ia bukan kesilapan rutin dalam menyusun ketertiban organisasi. Ia adalah mantera yang dirangka syaitan dan dilemparkan ke kelompak domba untuk diragut lahap.

Bagaimana para dunggu boleh menjadi perwakilan dan membawa suara akar umbi. Kalau demikian, ia tidak menggambarkan kebangkitan generasi kepimpinan masa depan yang berilmu dan beradab. ia tidak menawarkan pilihan yang menenangkan hati buat rakyat. Hati sanubari manusia mudah tersentuh dan benci dengan kejelikan peribadi. Orang lebih sanggup membela serigala yang bersih daripada membela kucing yang kotor cemar.

Hanya orang yang tiada idea besar, tiada gagasan bermakna, tiada hujah sahaja, melawan musuh dengan "boo". Kaum nabi Nuh, apakala sudah tidak larat mem"boo" hujah dakwah nabi Nuh, akhirnya mereka menutup telinga-telinga mereka dengan jemari mereka, bahkan menyerudung kepala mereka dengan pakaian mereka. Itulah penyakit orang yang kehilangan hujah. Kehilangan hujah bermakna kejahilan dan tiada ilmu.

Sahabat-sahabat saya dalam perjuangan, hubaya-hubayalah agar tidak menganut mantera durja itu. Bertertiblah dan jadilah pendengar yang bijak sekalipun terhadap ucapan musuh. Apatah lagi ucapan rakan seperjuagan. Rakyat sedang memerhati. Allah dan malaikat di langit terlebih memerhati gelagat kita yang mendakwa pembela agama Allah.

Apakah perkataan "celaka" satu jenayah?

May 22, 2014

Dalam masyarakat Melayu, mengatakan kalimah "celaka" kepada seseorang sangat dipantangi. Kepantangan itu samalah seperti makan babi. Sedangkan makan rasuah tidak pula dipantangi. Seteruk-teruk Melayu, peminum arak, penjudi dan penzina sekalipun, kalau bab makan babi, dia pantang sekali.

Maka, hati Melayu itu begitu sakit bila dikatakan "celaka". Sedangkan celaka itu tidaklah lebih enak didengar daripada bangsat, haramjadah atau haprak sekalipun. Tetapi, kerana jiwa Melayu sudah dilatih sensitif dengan kata" celaka", maka dirasakan kata itu sangat berat dan lebih berat dari gunung yang menghempap.

Kalau kita menala'ah Al-Quran sejenak, kata-kata "laknat" sebenarnya lebih berat dari celaka. Pun begitu, Allah melemparkan kata-kata itu kepada sejenis manusia yang disebut sebagai pendusta. Firman Allah dalam Al-Quran:

وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

"Dan sumpah kali yang kelima ialah Laknat Allah ke atas orang yang bercakap dusta".
(Surah An-Nur: Ayat 7)

Orang yang menjadikan dusta sebagai makanannya, wajar dilaknat. Janji dimungkiri, bohong di sana disini dan cakap tidak serupa bikin, adalah wata-watak pendusta yang dilaknat. Jika seseorang itu rasa dirinya ditipu, dimungkiri, dipermainkan, lantas dia pun mengatakan "celakalah si pendusta itu", maka itu adalah panggilan yang wajar. Allah telah menyebutnya dan apakah Allah itu kasar dan biadab dalam berkata-kata?

Oleh itu, perkataan "celaka" bukanlah satu yang besar sehingga lupa perbuatan lain yang lebih besar. Ia seperti makan daging babi, tidak lebih berdosa daripada makan rasuah. Makan rasuah lebih besar kejinya daripada makan daging babi. Kalau makan daging babi, nak bertaubat, minta ampun kepada Allah sahaja. Tapi, kalau sudah makan rasuah, makan harta orang lain secara salah, apakah cukup bertaubat minta ampun kepada Allah? Dibasuh dengan air tanah sekali dan air bersih 6 kali, sucilah najis babi. Tetapi najis rasuah tidak akan bersih walau berendam dalam 7 lautan.

Maka, yang lebih dahsyat daripada kalimah "celaka" itu adalah penipuan, khianat dan pecah amanah.


Onar Aladdul Khisom

April 20, 2014

Ada orang mengenangkan kembali perkataan Karpal Singh ketika menolak hukum hudud yang pertama kalinya dulu dikanunkan, di zaman TG Nik Abd Aziz. Enekmen berkenaan Hukum Hudud tersebut gagal dilaksanakan kerana masalah teknikal yang dikatakan berkaitan dengan perlembagaan dan kuasa kerajaan persekutuan. Karpal Singh adalah antara tokoh politik dan ahli perundangan yang membantah hukum hudud dan berkata "langkah mayat saya" sebelum melaksanakan hukum hudud.

Penentangan Karpal Singh terhadap hukum hudud adalah normal dan tidak luar biasa. Ia tidak merenggut hati para pencinta hukum hudud yang telah berhempas pulas mahu ia dilaksanakan di Kelantan. Ini kerana karpal Singh adalah seorang bukan Islam dan pula bantahannya bukan penentu kepada keputusan untuk melaksanakannya atau tidak.

Kata-kata Karpal Singh tersebut selalu didendangkan oleh musuh politiknya dan masih berbunyi walaupun setelah beliau menjadi mendiang baru-maru ini. Ironinya, ada orang yang merasa lega dengan kematiannya. Seolah-olah, dengan ketiadaanya, hukum hudud pun dapat ditegakkan di Kelantan.

Sambil memberi semangat agar kerajaan Kelantan meneruskan agenda hudud tersebut, pujian dilonjak kepada kerajaan persekutuan yang diyakini tidak menghalang. Usaha gigih kerajaan Kelantan mahu merealisasikannya diterjemahkan sebagai kecintaan kepada hukum Allah oleh kerajaan Persekutuan. Aneh sungguh cara berfikir orang yang boleh berfikir sedemikian!

Ada 12 negeri lagi dalam persekutuan yang tidak pernah berusaha pun meluluskan undang-undang hudud dalam dewan undangan negeri. Malah ada negeri yang sudah menyatakan sikap melalui DUN bahawa undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan di negeri itu. Hal tersebut tidak pula difahami sebagai kebencian kepada hukum Allah.

Seluruh rakyat perlu mencermati polimik hukum hudud di tanah sekangkang kera anugerah Allah buat kita rakyat Malaysia ini. Sebenarnya, siapa yang paling sengit menentang tegaknya hukum Allah di bumi Malaysia? Sesiapa yang selama ini menuduh Karpal Singh sebagai penghalang utama, ketahuilah bahawa beliau telah tiada. Siapa yang menghalang lagi sesudahnya?

Sesungguhnya penghalangnya itu adalah "Aladdul Khisom".


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras.
(Surah Al-Baqarah: 204)

Berhikayat Bagai Mahabrata Ramayana.

March 4, 2014


Ajaran yang sesat selalu menjadikan cerita luar biasa sebagai daya penarik untuk mempengaruhi para pengikut. Kepada para pengikut, diriwayatkan cerita hebatnya sang guru, syeikh dan pimpinan jemaah. Memang itulah modal pendokong jalan sesat untuk memperdaya para pengikut.

Salah satu ajaran sesat berskala besar dewasa ini adalah ajaran Syiah. Dalam dunia Syiah, akan kita temui banyak sekali cerita luar biasa mengenai imam-imam mereka. Cerita luar biasa itu adalah untuk menjadi justifikasi kebenaran ajaran Syiah.

Dalam sebuah kitab Syiah bertajuk Madinah Ma'ajiz karya Sayyid Hasyim Al-Bahrani, diriwayatkan sebuah cerita ajaib lagi pelik mengenai salah seorang imam mereka bernama Al-Baqir. Beliau diceritakan telah membuat gajah dari tanah dan ia hidup lalu boleh terbang. Al-Baqir telah naik gajah terbang itu ke Makkah.

Begitulah kalau ajaran sudah sesat. Akan banyak cerita ajaib berlegar. Ajaran Ayah Pin juga kaya dengan cerita luar biasa. Membaca hikayat Mahabrata dan Ramayana, kita akan melihat bagaimana putera raja digambarkan dengan kuasa kesaktian yang hebat.

Demikian, kita akan lihat bagaimana kalangan sufi menyimpang, banyak sekali bergantung hayat gerakan mereka dengan cerita keramat wali sehingga kekadang mencapai tahap fantasi dewa dewi. Para wali digambarkan pelbagai tingkat dan punya kerajaan para wali yang mentadbir alam.

Kita boleh lihat bagaimana tumbangnya jema'ah Al-Arqam gara-gara keyakinan salahnya mengenai imam mahdi, bertemu Rasulullah secara yaqazah dan sebagainya. Hatta, selepas Ust. Ash'ari meninggal pun, dikatakan beliau masih hidup.

Kerana itu, kita perlu sentiasa waspada dengan dongeng keramat yang sering diriwayatkan oleh para qushas. Ia tidak lebih dari manhaj golongan sesat yang cuba mempengaruhi masyarakat. Kita akan lihat bagaimana cerita ajaib itu kekadang dikisahkan melebihi ajaibnya kisah sirah Rasulullah sendiri. Kerana kisah Rasulullah telah ditambat dirayah dan riwayahnya dengan kriteria kesahihan, mereka sukar memutarbelitkannya.

Namun, kisah-kisah orang soleh dengan mudah dicemar dengan cerita ajaib kerana tiada pagar ilmu dirayah dan riwayah mengawalnya. Maka, tapislah cerita yang sampai ke telinga anda dan jangan termakan dengan pesona hikayat bak Mahabrata dan Ramayana.

KE MANA ARAH QASIDAH?

February 8, 2014

Terpulanglah kalau ada orang mahu mendekatkan diri kepada agama melalui jalan berqasidah dan berkumpul bersama-sama ahli qasidah. Lagu-lagu qasidah tidak setanding dengan lagu tarannum tilawah Al-Quran. Membaca Al-Quran itu telah pasti menjadi ibadah berdasarkan sokongan dari dalil hadis dan Al-Quran. Malah, membaca Al-Quran itu merupakan zikir yang pasti dan diganjari pahala bermula dari satu huruf sehinggalah kalimat dan ayat.

Namun, berqasidah, apakah ada dalil untuk mengatakan huruf, kalimat dan ayat dalamnya diganjari pahala. Agak melampau kalau dikatakan tiada pahala langsung dengan cara berqasidah. Namun, perlu dilihat apakah senikata dalam qasidah. Apakah senikata itu menjulang kebenaran atau menebar khayal yang tidak berasas. Dalam lantunan Qasidah, ada macam-macam. Sejarah Qasidah tidak harus dipisahkan daripada perkembangan syair zaman Arab Jahiliyyah dahulu kala.

Kita pernah baca Syair Nabighah Az-Zubyani yang membodek penguasa. Namun, kita juga membaca Syair Zuhair Ibn Salma yang mengandungi siraman kerahonaian yang lemas dikepung himpitan zaman jahiliyyah. Kita patut bersifat terbuka dalam menilai syair-syair tokoh pada zaman Jahiliyyah. Syair yang baik kita jadikan khazanah kesusasteraan yang berharga. Namun, membaca Syair itu tidak lebih baik daripada membaca Al-Quran.

Sama sekali tidak. Ada Syair yang baik dan ada yang buruk. Ada yang membangkitkan semangat dan ada yang mengkhayalkan dan melemahkan semangat juang. Yang membangkitkan semangat dan menyedarkan manusia lalai, ia menjadi saham buat pengarangnya kerana mengungkapkan kata-kata baik. Memang berkata baik itu berpahala sebagaimana sebaliknya berkata nista itu adalah dosa.

Di zaman Pasca Islam, kesusasteraan yang pernah memberanakkan syair di zaman jahiliyyah, menembahkan zuriatnya dengan memberanakkan beraneka ragam seni termasuklah apa yang sebut sebagai Qasidah. Qasidah itu istilah Arab. Ia semacam lagu-lagu. Lagu penyanyi-penyanyi kaum bangsa kita pun banyak. Ada lagu yang sangat baik senikatanya. Macam lagu M.Nasir seperti "Tanya sama burung hud-hud". Senikatanya baik dan membawa mesej ketuhanan. 

Sebenarnya, qasidah yang digilai orang dewasa ini tidak berbeza dengan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh para penyanyi yang menjunjung citra seni mulia dalam karya mereka. Cuma, oleh kerana Qasidah itu dipelopori oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Habaib', ia dilihat sebagai bahagian dari agama. Ia dirasakan cabang dari zikir sehingga ia dilagukan dalam semua keadaan. Ia dikumandangkan dalam masjid dan diiringi paluan gendang dan rebana.

Cuba kalau lagu-lagu Mahir Zain dinyanyikan dalam masjid dan diringi dengan alatan muziknya. Barangkali gempitalah masyarakat pendokong agama dan melebelkannya sebagai salah dan pencemaran kepada agama. Penghinaan kepada masjid dan menyalahgunakan masjid.

Cuba bawa M.Nasir dengan lagu-lagu ketuhanannya untuk dikumandangkan dalam masjid. Apakah ia boleh diterima sebagaimana para pengkagum Qasidah menerima qasidah dilagukan dalam masjid?Kiranya, pecahlah heboh seantero negara mendakwa bahawa para penyanyi telah menyebarkan hedonisme dalam masjid.

Andainya M.Nasir mengenakan serban dan jubah. Andainya Maher Zain meletakkan gelaran Syeikh atau Sayyid di awal namanya. Barangkali itu boleh mengubah persepsi orang lalu membenarkan pula mereka mempromosikan lagu-lagu mereka dalam masjid. Sungguh...penampilan luaran sering mempesonakan manusia!

Para pengkagum manhaj qasidah...cubalah bermenung sejenuk. Apakah keghairahan sebahagian orang kepada qasidah itu boleh membantu kebangkitan Islam atau sebaliknya? Apakah ia boleh memacu lincah perjuangan atau menambahkan gemalai asyiq makhsyuk? Jangan terpesona dengan perasaan damai dan syahdu yang diteguk semasa tenggelam dalam qasidah, akan tetapi sesudah itu tidak mampu pula bingkas bangkit menjulang harakat diri sebagai muslim yang bermaruah. Dunia Islam dan negara kian dicengkam oleh permainan musuh Islam yang berseni ribu-ribu. Padahal kita masih melenggok tari dalam alunan dan khayal dalam pujian lampau yang tidak mendorong tindakan yang berpijak di bumi nyata.

Saya tidak menyimpan amarah...tetapi menyimpan bimbang. Kecenderungan lewat terakhir ini agak membimbangkan. Saya rasa Islam tidak perlu dilukiskan  di kanvas hidup dengan lakaran abstrak yang mengkagumkan mata. Islam juga tidak perlu dilagukan dengan instrumental lagu albaladi, padang pasir, petikan gambus, paluan kompang dan "pitching" irama Qasidah.

Demikianlah yang bersenandung dalam kalbuku di masa ini....

Gagal menduga riak

September 28, 2013


Ada kalangan yang bersikeras memproklamirkan bahawa Mat Sabu adalah Syiah. Malaysian Insider hari ini mendedahkan buat pertama kali (seingat saya) penafian Mat Sabu bahawa dia adalah seorang Syiah. Mat Sabu menjelaskan duduk perkara mengenai kekagumannya kepada Iran dan asal usul konsep kepimpinan ulama dan penubuhan Unit Amal yang berawal dari ilham di Iran.

Saya kira orang yang masih menekankan kesyiahan Mat Sabu tidak mensucikan hatinya. Merasa diri cukup baik dan hanya mahu menampilkan keahlian diri dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menidakkan kelayakan orang lain, hanya berdasarkan keraguan yang beralun riak dalam hati, dia bersikeras melebelkan Mat Sabu sebagai Syiah.

Anda tidak menjadi Ahli Sunnah dengan galak menentang Syiah. Bukan watak Ahli Sunnah menuduh orang sebagai Syiah hanya kerana minatnya kepada seni kepimpinan para Ayatullah dan kejayaan Revolusi Iran. Padahal, ketika seseorang meminati falsafah Socrates, Aristotal dan Pluto apakah seseorang itu dituduh sebagai penganut sembahan Zeus?

Saya memang tidak suka Syiah. Tetapi mendengar galak gempita dangdut anti syiah, membuatkan saya mahu termuntah. Kalau mahu anti syiah, biar berpada-pada. Tidak perlu pasang sticker "saya benci Syiah!". Tidak perlu meratib zikir "nehe syiah". Tidak perlu syak wasangka kesyiahan orang hanya berdasarkan riak yang gagal dibaca sendiri. Air berpusar di permukaan, dikatakan berputar sampa ke dasar.

Saya tidak perlu bersilat sunda kelapa untuk menjelaskan maksud saya. Saya melihat kalangan tokoh yang mendakwa Salafi paling asyik dengan perjuangan menetang Syiah. Kalangan pendokong kebangsaan Melayu tumpang sekaki kerana ada keuntungan politik. Baguslah menentang Syiah dan jelaskan kesesatan Syiah kepada masyarakat. Ia boleh disifatkan ikhlas jika di dalam lingkungan itu. Tetapi kalau sudah galak mensyiahkan orang hanya berdasarkan tafsiran samar-samar, itu sudah mencurigakan keikhlasannya.

Saya curiga jika mereka yang menghamburkan minyak panas mensyiahkan Mat Sabu ini dari kalangan keluarga pejuang Islam sendiri. Seperti dua tahun lalu, di kala hampir muktamar, isu Mat Sabu Syiah kembali berkumandang. Isu ulama profesional kembali bergenderang. Jika ada kalangan anggota gerakan yang menjadi penyimbah minyak ke atas api, celakalah dia. Apakah kegilaan jawatan sudah mewarna pemilihan kali ini?

Saya berlepas diri dari pemimpin gelojoh kuasa. Saya juga berlepas diri dari ulama yang menapak maju mundur ragu takut tidak menentu. Saya tidak berwala kepada rahib dan rahban yang mengangkat diri sebagai andadan umma. Saya mencintai para Rabbani yang bijak membaca riak dan mensucikan prasangka nista noda. Yakin menapak memimpin ummat dan tidak menciptakan kegelisahan yang mendunggukan.

Wallahu waliyyu taufiq walhidayah!

MEMBENCI SEJARAH

September 17, 2013


Chin Peng sudah mati. Kisahnya dan perjuangan komunisnya telah menjadi sejarah. Ura-ura pihak tertentu mahu membawa balik mayatnya ke Malaysia menjemput amarah para gombang patriotisme. Lantaran kebencian berlumut terhadap komunis, mendengar nama Chin Peng pun sudah berbulu dirasakannya. Maka, terbitlah fatwa-fatwa mengharamkan Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

Chin Peng adalah bapa pengganas. Chin Peng bukan warga negara Malaysia. Chin Peng pengkhianat.  Berbagai-bagai letusan kebencian muncul dan dihumbankan kepada Chin Peng.  Sangat takut kepada taghut bernama Chin Peng walaupun dia sudah mati? Sungguh melucukan.

Seharusnya, kerajaan melihat Chin Peng sebagai bahan sejarah. Dunia Islam dan Melayu khasnya kehilangan banyak tinggalan sejarah. Hari ini, kalau nak mencetak sejarah bangsa, terpaksa pergi ke London untuk mencarinya. Penjajah telah bawa balik tinggalan sejarah kita dan mereka jadikan sebagai keuntungan material buat mereka. Kita punya sejarah, tetapi kita terpaksa mengemis ke negara bekas penjajah kita!

Kisah Chin Peng dan komunismenya sudah jadi sejarah. Apalah faedahnya memusuhi sejarah? Sejarah harus dilihat dengan jiwa yang bijaksana dan bukan mengobar emosi. Kalau emosi yang menjadi jurupandu dalam menilai sejarah, jadilah kita seperti kelompok Syiah.

Syiah memusuhi sejarah. Mereka mengkafirkan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab yang telah pun menjadi sejarah. Kebencian  itu menggangu mereka, menjadi igauan mimpi mereka sehingga kini. Hatta, jadilah mereka pengingau yang tidak pernah sedar. Mereka jadikan sejarah Karbala sebagai pengganggu emosi mereka. Cinta berlebihan kepada Hussin menyenbabkan amarah mereka ditumpahkan kepada Muawiyah dan keluarganya.

Membenci sejarah...Itulah sebenarnya perangai Syiah. Apakah kita juga harus membenci sejarah. Segunung kebencian kepada komunis yang sudah jadi sejarah, apakah faedahnya. Ambilah sejarah hitam dan jadikan ia sebagai aset negara untuk tatapan generasi hari muka.

Kita boleh jadikan kesan penjajah sebagai memorial untuk generasi muda mempelarinya dalam negara kita. Mengapa kita mahu padamkan sejarah hitam komunis lalu memadamkannya dari bumi Malaysia? Padahal, komunis dan penjajah Inggeris sama-sama membawa bahana kepada bumi pertiwi kita.

Menatap kanvas penjajah Inggeris, kita melihatnya sebagai sejarah. Mengapa melihat lembaran komunis, kita menggengam amarah?

KEPERCAYAAN KARUT ROH PULANG KE RUMAH

July 17, 2013


Pertama sekali, ditegaskan bahawa masalah roh adalah masalah ghaibiyyat yang mana ilmu kita tidak akan menggapainya melainkan sedikit. Gapaian yang sedikit itulah apa yang diceritakan dalam nas, baik Al-Quran maupun hadis  mengenai persoalan roh. Maka, manusia tidak dapat memandai-mandai mencipta teori sendiri mengenai roh atau mendapat ilmu dengan jalan yang lain mengenainya. Ilmu mengenai roh tidak boleh dicapai melalui renung tafakur, khayalan fantasi atau melalui mimpi. Apabila disebutkan sahaja sesuatu persoalan ghaibiyyat, ia hanya dapat diketahui dengan jalan wahyu, samada wahyu itu datang dalam bentuk nas Al-Quran maupun hadis nabi SAW.

Maka, kecenderungan sesetengah pihak menghuraikan maslah roh menurut kefahaman sendiri dengan bersandarkan cerita-cerita yang boleh disifatkan lipur lara, mimpi, kisah para wali dan sebagainya adalah cubaan menerobos hal ghaib melebihi kadar yang dibenarkan.  Allah telah memberi peringatan dalam Al-Quran melalui firmaNya:


وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً


Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit".
(Surah Al-Isra’: Ayat 85)

Perihal mengenai roh telah diceritakan oleh Allah dan RasulNya sekadar yang perlu untuk diimani oleh orang-orang yang beriman. Roh yang berpindah dari satu alam ke satu alam lain tidak pernah dapat kembali ke alam sebelumnya. Justeru, cerita yang menggambarkan roh orang yang telah mati pulang bergentayangan di dunia adalah sangat tidak boleh diterima akal, apa lagi untuk disokong oleh nas-nas syarak. Sekadar hendak menceritakan mengenai kepulangan roh tanpa dalil syarak, kepercayaan Firaun, hindu dan pagan juga banyak menceritakan hal yang seumpama itu.

Apa yang saya curigai, kemungkinan kepercayaan roh ornag mati pulang menjengah keluarganya ini adalah resapan dari kepercayaan karut marut agama Syiah. Sememangnya dunia Ahli Sunnah banyak sekali dicemari kepercayaan karut agama Syiah terutama yang berhubung dengan kematian dan roh. Jika kita merujuk kepada kitab hadis agama Syiah yang terkenal iaitu Al-Kafi, pada Jil.3 MS230 disebutkan hadis-hadis mengenai kepulangan roh antaranya:


عَلِيُّ بْنُ إِبْرَاهِيمَ عَنْ أَبِيهِ عَنِ ابْنِ أَبِي عُمَيْرٍ عَنْ حَفْصِ بْنِ الْبَخْتَرِيِّ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ (ع) قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَيَزُورُ أَهْلَهُ فَيَرَى مَا يُحِبُّ وَ يُسْتَرُ عَنْهُ مَا يَكْرَهُ وَ إِنَّ الْكَافِرَ لَيَزُورُ أَهْلَهُ فَيَرَى مَا يَكْرَهُ وَ يُسْتَرُ عَنْهُ مَا يُحِبُّ قَالَ وَ مِنْهُمْ مَنْ يَزُورُ كُلَّ جُمْعَةٍ وَ مِنْهُمْ مَنْ يَزُورُ عَلَى قَدْرِ عَمَلِهِ

" Ali bin Ibrahim meriwayatkan daripada bapanya dari Ibn Abi Umair daripada Hafs bin Al-bakhtari daripada Abi Abdillah (a.s) berkata olehnya: Sesungguhnya seorang (roh) mukmin akan menziarahi keluarganya dan akan melihat apa yang disukainya dan dilindungkan daripadanya apa yang dibencinya. Sedangkan roh orang kafir akan menziarahi keluarganya dan akan melihat apa yang dibencinya dna ditutup daripada penglihatannya apa yang disukainya. Berkata lagi (Abu Abdullah): "Di kalangan mereka ada yang menziarahi setiap Jumuat dan dari kalangan mereka ada yang menziarahi mengikut kadar amalan mereka".

Di mana mahu ditemui dalam khazanah hadis Ahli Sunnah Wal Jamaah hadis-hadis yang jelas menyatakan kepulangan roh seperti yang terdapat dalam kitab besar saheh agama Syiah itu?

Dalam Al-Quran Allah telah berfirman:





وَحَرَامٌ عَلَى قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ
 


Sungguh tidak mungkin atas (penduduk) suatu negeri yang Telah kami binasakan, bahwa mereka tidak akan kembali (kepada Kami).
(surah Al-Ambiyaa: Ayat 95)



Ayat di atas menjelaskan kepada kita satu sunnah Allah iaitu apabila sesuatu itu telah dimusnahkan oleh Allah SWT, ia tidak akan kembali lagi. Allah telah musnahkan banyak negeri yang penduduknya derhaka kepada Allah, lalu tidak ada satu negeri pun yang kembali bangkit semula sebagaimana sebelumnya. Ia adalah satu ibarat dan bandingan. Kemusnahan akan kekal musnah selamanya. Kematian itu satu kemusnahan. Orang yang telah dicabutkan roh dari badannya, dunianya telah musnah buatnya. Maka, bagaimana roh yang telah musnah dunianya yang dijunjung masa hayatnya, akan kembali semula ke dunia. Itu tidak mungkin dan itu menyalahi sunnah Allah SWT. Begitulah cara kita beristidlal dengan ayat di atas dan mengaitkannya dengan penafian kepulangan roh ke dunia semula.

Dalam hadis Rasulullah :


عن جابر بن عبد الله بن حرام ـ رضي الله عنهما ـ قال: لقيني النبي صلى الله عليه وسلم فقال لي: يا جابر ما لي أراك منكسراً؟ فقلت يا رسول الله استشهد أبي وترك عيالاً وديناً، فقال: ألا أبشرك بما لقي الله به أباك؟ قلت: بلى يا رسول الله، قال: ما كلم الله أحداً قط إلا من وراء حجاب، وإن الله أحيا أباك فكلمه كفاحا فقال: يا عبدي تمن أعطك، قال: تحييني فأقتل قتلة ثانية، قال الله: إني قضيت أنهم لا يرجعون

" Daripada Jaber bin Abdullah bin Haram (R.A) berkata : Aku telah ditemui oleh nabi SAW pada satu hari dan baginda bertanya kepadaku: Wahai Jaber, kenapa aku lihat kamu kelihatan sangat longlai? Lalu aku menjawab: Wahai Rasulullah, bapaku telah mati syahid dan meninggalkan keluarga dan hutang piutang. Baginda lantas bersabda: Mahukah aku khabarkan berita gembira buatmu mengenai apa yang diperolehi oleh bapamu daripada Allah? Kataku: Sudah tentu wahai Rasulullah!. Baginda bersabda: Allah tidak bercakap dengan seorang pun melainkan di belakang hijab. Sesungguhnya Allah telah menghidupkan bapamu dan bercakap dengannya secara berhadapan. Allah  berkata kepadanya: Mintalah apa yang kamu inginkan akan aku berikan kepada kamu. Lalu berkata (bapamu): Hidupkan aku semula lalu aku berperang dan mati syahid kali kedua. Allah berfirman: Sesungguhnya aku telah menetapkan bahawa mereka yang telah mati tidak akan kembali lagi".
(Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahehnya dan menurut Arnut Sanadnya Jayyid)

Kalau roh itu boleh pulang semula ke dunia, maka roh orang Syahid itu lebih patut pulang dari roh-roh manusia biasa yang tidak punya jasa besar kepada agama. Roh Pak leman , roh Mak Bedah, roh atok dan roh nenek.

Hadis-hadis yang menceritakan mengenai kembalinya roh untuk mendengar salam orang yang mengucapkannya sewaktu menziarahi kubur, menjawab soalan mungkar dan nakir dan mendengar bunyi detapan kasut orang yang meninggalkan tanah perkuburan bukan dalil untuk mengatakan roh pulang ke dunia. Kita mengimani sekadar yang diceritakan nas dan tidak berlebih-lebihan dalam mengqiaskannya.Malah, tidak ada qias dalam soal ghaibiyyat.  Khabar alam barzah yang tsabit daripada nabi SAW adalah Qat'i dan tidak ada tokok tambah dengan jalan qias. 

Alam kubur bukan alam dunia yang boleh kita jangkau dengan daya fikiran kita.  Roh kembali ke alam kubur tidak boleh ditafsirkan pulang ke dunia. Alam kubur bukan boleh ditafsirkan secara gamblang lubang di bawah tanah yang terpacak dua nesan itu. Kalau begitu, tiadakah alam kubur buat mereka yang mati hancur lebur kerana dibom oleh C4 atau yang hangus rentung dalam kebakaran? Sedangkan alam kubur itu lintasan alam yang pasti dilalui oleh setiap yang meninggalkan alam dunia. 

Jika ada orang berkata dia nampak roh neneknya pulang ke rumah, kita katakan itu adalah jelmaan Syaitan dalam sedar atau khayalmu. Roh nenekmu tidak akan pulang lagi bergentanyangan di dunia. Sekalipun pulang untuk mengambil pahala di bulan Sya'ban atau bulan Ramadhan  sebagaimana yang dikhayalkan oleh sesetengah orang. Kalau roh boleh pulang ambil pahala, apa pasal pula ulama berkhilaf pandangan mengenai keharusan mengirim pahala kepada si mati. Jadi sepakatlah semua ulama bahawa pahala boleh dikirimkan kepada si mati. Bukan lagi kirim, malah roh si mati sendiri pulang ambil pahala. Hakikatnya, ada ulama berselisih pandangan mengenai sampai atau tidak pahala yang dikirimkan menlalui bacaan Al-Quran kepada si mati. Dalam perselisihan ini tidak pernah pula ada kalangan mereka berhujah bahawa roh pulang mengambil pahala, maka tentu pahala yang dihadiahkan ornag hidup boleh diambil si mati.


Dakwaan ruh pulang ke kubur, pulang ke rumah sanak saudara, melihat perkembangan harta pusaka yang ditinggalkan dulu, semua ini adalah khurafat yang tidak berasas. Saya bimbang jika ia cedokan dari agama Syiah. Kalau sebut pasal Syiah, semangat anti Syiah membuak membara. Marahkan Syiah dan bencikan Syiah. Tapi kepercayaan Syiah pula yang dikendong tanpa sedar. Syiah memasukkan walijah ke dalam otak orang Islam Ahli Sunnah Wal-Jamaah, sehingga tanpa sedar menganut karut marut mereka.

Lebih malang kalau kefahaman roh pulang ke rumah itu adalah warisan karat purba paganisme yang bermuasal dari zaman Firaun sehinggalah ke dunia hindu, kependitaan sami dan kini tidak terpupus sepenuhnya dan masih bersarang dalam amalan orang Islam sebagaimna banyak amalan lain. Asalnya hindu tapi dengan sedikit modified kelihatan Islamnya. Mandi menyucikan dosa diIslamisasi jadi mandi tolak bala. Bersading bertepung tawar dikemaskini jadi makan berhidang dan sebagainya.



TV Malaysia mendokong Taghut Bashar Al-Assad

June 15, 2013



Orang-orang bodoh hanya akan menyokong orang bodoh sahaja. Itulah sahaja yang mampu aku katakan kepada pengamal media songsang di Malaysia yang menyebutkan bahawa para mujahidin di Syria sebagai pemberontak. Sungguh memalukan apabila tentera Bashar Al-Asad itu dinamakan sebagai tentera kerajaan dan yang berjihad menentang kezaliman Bashar Al-Asad itu sebagai pemberontak. Apa yang sebenarnya pengamal media songsang itu ingin tanamkan dalam minda rakyat? Mereka tidak akan berjaya. Berita mereka akan disepak berkecai oleh rakyat yang telah sedar dan terdedah kepada maklumat.

"Pemberontak" . Demikianlah mereka namakan perjuangan rakyat. Di Syria mereka namakan begitu. Di Turki, para demonstran mabuk yang gila arak dan penagih sekularisma yang diperam Kamal Attarturk (Allah melaknatnya) itu pula diberitakan sebagai kebangkitan rakyat. Berita yang bernada pesimis pula terhadap kepimpinan Mursi di Mesir. Keadaan tidak stabil di Mesir cuba digambarkan sebagai bahana akibat menentang kerajaan dan menumbangkan kerajaan Mubarak terdahulu.

Media massa yang memihak kepada durjana ummat itu amat celaka. Para penyebar tinta berita sedemikian akan menanggung beban berat di mahsyar kelak. Para penyembur air liur berita khianat buat ummat itu akan hina malahap dosa sendiri di akhirat. Penulis berita yang menghina ummat itu akan menyapu nanah dosa dengan dengan tangan berdosa itu. Jangan jadikan tugas sebagai alasan. Setiap orang diberi akal dan harga diri serta maruah akan menentukan keputusan apa yang terbaik. Menjadi pasukan media massa penjilat dan bergabung bersama mereka dalam keadaan terpaksa demi sesuap razeki, itu lebih hina daripada hidup menjalar kaki lima mengemis simpati dari derma orang.

Sampai bila hendak diungkapkan kata-kata: "kami orang bawahan yang tidak berdaya....bos kamilah yang punca semua ini...". Kalau tidak mampu menegakkan harkat diri dan membantah kemaksiatan, maka keberadaan bersama media sedemikiann bukan lagi ibadah.

Allah tidak sekali-kali menerima escapisme manusia seperti ini. Para penerbit, pembaca berita, penulis,  editor dan semua penyokong agenda memperbodohkan umat akan jawab di depan Tuhan kelak. Jangan harap boleh lari. Allah berfirman dalam Al-Quran:


إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا


Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, malaikat bertanya kepada mereka : "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?". mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang lemah tidak berdaya di negeri (Mekah)". para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?". orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.
(Susrah An-Nisak: Ayat 97)

Dalam saat genting seperti ini, masih lagi berpihak kepada Bashar Al-Asad taghut Nusairiah. Boleh biarkan ummat tertanya-tanya apa yang demonstran di dataran Taksim Turki mahukan. Sengaja pula disenyapkan muslihat tersembumyi mereka itu yang mahu mempertahankan najis sekularisma yang kian terkikis. Tidak diwar-warkan botol arak yang mereka puja dan dengki cemburu mereka kepada sejarah gemerlap khalifah Othmaniah di Turki. Boleh pula dendangkan kegagalan revolusi rakyat Mesir apabila terjadi apa yang sedang terjadi di Mesir.

Memang semua ular kepalanya sama. Sifat ular semuanya membelit. Kalau sudah sifatnya musang suka makan ayam, tak guna diajar minum susu. TV dan akhbar pembelit akan terdedah juga terbelangnya walau dihias dengan pelbagai program dan berita yang muluk. Saudara Bashar akan berbahasa seperti Bashar walau di mana berada. Jika Islam ada pendokongnya, para taghut juga akan ada penyokongnya.

Hancurlah para taghut dan para penyokong mereka. Allahumma ameen.

Masjid Al-Fajr Kurnia Allah buat orang beriman.

April 11, 2013

Ura-ura Ds Anwar Ibrahim akan dibawa solat Jumuat di Masjid Al-Fajr esok menjadi kegelisahan musuh politiknya peringkat tempatan. Hanya dengan tanggapan bahawa masjid Al-Fajr dibina dengan duit Barisan  Nasional dan secara gamblang mengatakan tiada satu sen pun duit orang Pas, halangan cuba dilakukan agar beliau tidak solat di masjid Al-Fajr. Tentu sekali tindakan tersebut adalah tindakan politik secara terdesak dan dakwaan masjid Al-Fajr terbina dari duit Barisan Nasional  dan tidak ada satu sen pun duit orang Pas adalah dakwaan semberono, angkuh dan tidak berpijak nyata.

Riwayat serta sejarah Masjid Al-Fajr bukan disimpan oleh seorang. Sejarah bermulanya gerakan membina masjid Al-Fajr disimpan oleh warga veteran yang menghuni Taman Al-Fajr.  Ia tidak dapat dibohongi oleh riwayat seorang. Untuk mengatakan hanya duit Barisan Nasional yang menegakkannya seperti hari ini juga adalah perbuatan masuk bakul angkat diri yang akhirnya akan terhempas pulas.

Aku tidak perlu menyebut siapa yang membuat onar. Ahli Jamaah Al-Fajr semuanya mengetahui dan kebanyakannya tidak mengambil sikap seperti mana yang diambil oleh pemimpin tempatan yang sangat berusaha mencengkam perkembangan masjid Al-Fajr. Cengkaman yang mahu memenjarakan masjid di balik jeriji politik tertutup. Politik era 70-an.

Siapakah yang mula menggerakkan usaha untuk membina Masjid Al-Fajr telah menjadi sejarah.  Pemastautin baru hari ini kebanyakan tidak mengetahui tentang itu. Aku tidak suka mendengar cerita angkat bakul yang disuarakan yang dikamandangkan oleh individu  tertentu. Zaman sekarang bukan macam zaman lampau yang  hanya ada tiga mazhab media elektronik. Percaya secara totok kepada maklumat yang disalurkan TV1, TV2 dan TV3. Masyarakat telah terdedah kepada sumber maklumat yang pelbagai. Maka cerita sebenar tentang pembinaan masjid Al-Fajr akan menjadi cerita yang boleh dikongsi dan disebarkan buat tatapan masyarakat dengan mudah.

Awalnya, usaha membina masjid Al-Fajr dicetus dan digerakkan oleh beberapa ustaz dari Semenanjung. Antaranya adalah Ust. Abd Wahab dari Kedah, Ust Zul dn Ust. Nasir.  Sebelum jawatan pengerusi  surau dipegang oleh Hj. Ayong Hasan, Ust Abd Wahab yang menjadi pengerusinya. Dalam masa itu, kerjasama dengan pemimpin-pemimpin tempatan diperlukan untuk memperkukuhkan lagi legasi surau yang sebenarnya ditentang oleh sebahagian kecil masyarakat bukan Islam. Tambahan pula surau dibina di atas tanah yang menjadi tapak taman permainan dan tidak mendapat hak wakaf sehingga kini pun Cerita ini ada bersama Ust. Mahadzir Madon yang menjadi orang lama di Sandakan. Sudah lebih 20 tahun beliau di sini dan sebahagian besarnya berada di taman Fajar.

Ust. Mahadzir Madon, pemastautin lama.

Dana permulaan untuk membina masjid yang khabarnya RM15,000 dari peruntukan DUN, itu cerita lama. Ia bukan satu justifikasi untuk mengatakan masjid Al-Fajr terbina dari wang Barisan Nasional. Peruntukan  DUN adalah wang kerajaan. Wang kerajaan adalah wang pembayar cukai. Wang rakyat yang tidak mengira bangsa, agama, warna kulit, parti  politik dan sebagainya. Jauh sekali untuk mengatakan ia adalah wang milik seorang YB. Ia adalah wang saya, kamu dan mereka.

Aku, secara peribadi, sentiasa ingat usaha gigih yang dilakukan untuk mengumpul dana memperbaiki surau Al-Fajr. Dari surau yang daif, tidak selesa dan tidak terurus, sehinggalah kini menjadi sebuah masjid. Dananya datang dari sumber derma orang ramai yang pelbagai. Di samping itu ia juga datang dari kesedaran dan kegigihan pengerusi Hj. Ayong bin Hasan yang sanggup bertukang sendiri dan mencari tukang yang sanggup melakukan kerja dengan harga terendah.
Kempen Infaq  2009
Jaryah 30


Kempen Infaq 2010

Beberapa Ramadhan, bersama jemaah masjid, sahabat-sahabat ustaz, guru dan pekerja pejabat berhempas pulas mengumpul dana melalui Kempen Jaryah untuk memperbaiki surau secara berperingkat. Pengorbanan mereka yang terlibat membawa pamplet-pamplet ke sekolah, pejabat dan lorong-lorong kejiranan bukan boleh dinafikan. Puluhan ribu dapat dikumpulkan dari sumbangan poket-poket guru sekolah, kakitangan pejabat dan masyarakat di kejiranan.

Kempen Infaq Ramadhan 2009 menghasilkan dana sebanyak RM6207.10. Jaryah 50 yang dilancarkan pada Ramadhan 2010 mengumpulkan dana sebanyak RM11,361.00. Jaryah Isyrin yang dilancarkan pada Ramadhan 2011 mengumpulkan RM16431.00. Pada tahun 2012 kempen infaq tidak dibuat kerana kewangan masjid sudah semakin kukuh berikutan naik taraf sebagai masjid. Ada kutipan derma setiap jumaat yang dapat dimanfaatkan untuk menampung pengurusan masjid.

Atas Inisiatif para ustaz dan guru khasnya dari Semenanjung  yang tinggal dalam "qaryah" taman Fajar serta  dibantu jemaah tempatan yang ikhlas, majlis korban dapat dilaksanakan tahun 2011 dan 2012 dengan jayanya. Bukan sahaja ia memudahkan masyarakat beribdat korban, malah ia juga menghasilkan pulangan dana lebihan korban untuk masjid. Sebanyak RM5657.00 telah dimasukkan ke dalam akaun masjid.

Selain daripada kempen dan jumlah dana terkumpul seperti di atas, terdapat kempen-kempen khusus lain. Pada satu ketika, ketika masjid memerlukan LCD, dibuat kempen khusus untuk membeli peralatan tersebut. Hasilnya sebanyak RM2120.00 telah berjaya dikumpul untuk menyediakan peralatan tersebut di sumbangan skrin LCD daripada individu. Terdapat individu yang mendermakan penghawa dingin. Ada yang sanggup mendermakan mosac untuk lantai dewan. Derma permaidani solat dan berbagai bagai lagi.

Siapakah semua penderma itu?

Menghitung secara kasar jumlah-jumlah yang telah disenaraikan itu, maka jumlah semua adalah RM31776.10. Tidaklah berlebih-lebihan untuk dikatakan bahawa wang tersebutlah yang digunakan untuk menambah baik keadaan masjid sehingga terlihat hari ini. Derma orang ramai yang penuh berkat, dari usaha gigih para guru membawa risalah kempen ke sekolah masing-masing, kakitangan pejabat ke pejabat mereka, serta anggota jemaah kerdil yang membawanya untuk jiran-jiran telah melestarikan kerja pembaikan surau. Duit siapakah semua itu? Duit parti tertentu atau orang tertentukah atau duit pelbagai insan?

Sementara itu, projek pembaikan atap surau yang kononnya RM50, 000 dan disalurkan dari projek tender kerajaan hanya melahirkan atap yang selalu bocor dan terpaksa ditampal semula oleh pengerusi. Jumlah yang banyak tetapi keberkatannya kurang akibat pecah amanah dan khianat dalam perlaksanaan.

Aku menyenaraikan semua ini agar orang tahu bahawa tidak ada pihak  yang boleh bermegah-megah bahawa keberadaan masjid Al-Fajr di tahap sekarang adalah dari usahanya. Segala perkembangan mengenai masjid Al-Fajr untuk tempoh beberapa tahun terakhir ini, samada kempen kutipan dana maupun program telah aku abadikan dalam blog Dauratul Quran. Ia, agar menjadi bukti yang tidak boleh dibohongi sesiapa.Sementara apa yang berlaku sebelumnya adalah pengetahuan orang-orang lama di Taman Fajar.

Kutipan dermalah yang menyokong pembangunan masjid Al-Fajr.  Derma datang dari poket orang UMNO, PKR, PAS atau lain-lain parti maupun yang tidak berparti. Inilah hakikat dan tidak boleh ada yang mendakwa bahawa duit aku atau parti aku yang digunakan. Maka, atas justifikasi apa untuk menghalang individu tertentu dari solat di masjid Al-Fajr? Orang itu sama ada dari parti kerajaan, pembangkang atau tidak berparti, tidak ada individu tertentu yang ada wewenang untuk menghalangnya.

Hari ini Surau Al-Fajr sudah diangkat menjadi masjid. Pengangkatan taraf dari surau kepada masjid juga bukan kerja seorang. Siapa yang siapkan kertas kerja dan siapkan surat-surat untuk diangkat kepada mufti bukanlah fakta boleh disembunyikan. Menyelit di celah kerja gigih kolektif tidak menjadi seorang individu sahaja bernama.

Lalu datang janji mahu membina masjid baru menggantikan masjid sedia ada. Kosnya pada awalnya dikatakan RM2.5 juta. Gembira dan tersenyum lebarlah sesiapa yang mahu bergembira dan tersenyum lebar. Hari ini janji membina masjid baru bernilai juta ringgit tidak lagi didendangkan. Terakhir, hanya sejumlah RM700 ribu yang khabarnya diluluskan. Sampai kini janji itu entah ke mana. Selepas pilihanraya, harapan untuk membuktikan janji itu lebih sukar berbanding sebelum pilihanraya. Umum sudah tahu betapa sukarnya kelulusan peruntukan pembinaan masjid di Sandakan khasnya dan Sabah umumnya. Proses membina gereja lebih cepat berbanding masjid. Gereja melambak sepanjang jalan tetapi masjid boleh dibilang dengan jari. Tambahan pula, kos RM700 ribu, jika pun berjaya turun ke bawah untuk pembinaan masjid, akan jadilah hanya beberapa ratus ribu sahaja. Buka kita tidak pernah saksikan bagaimana angkara murka yang sebegini. Kes-kes seperti ini banyak sekali.

Membangunkan sebuah masjid bukanlah satu kerja hebat. Mengimarahkan masjid, itulah kerja sukar yang menuntut jerih payah yang bukan sedikit. Banyak masjid bersepah di seluruh negara namun kekadang cicak di dinding lebih banyak dari orang yang datang solat berjemaah. Bunyi cicak lebih kerap daripada bunyi kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian. Orang politik tak akan mampu mengimarahkan masjid. Tanpa kerjasama para ustaz, juga akan menyebabkan masjid itu sunyi dari kelas pengajian ilmu.

Perbuatan pihak tertentu yang mempersoalkan kebolehan para ustaz menyampaikan ilmu dan menuntut ada tauliah dan sebagainya sangat membosankan. Akhirnya kini, keghairahan para ustaz untuk menyampaikan kuliah di masjid Al-Fajr sudah merosot.Untuk menjemput ustaz luar pula perlu diselidiki pendirian politiknya. Jika dia cenderung kepada pembangkang, kemasukannya dihalang. Masalahnya, tiada pula ustaz yang yang cenderung kepada Barisan Nasioanal yang mampu berkuliah. Akhirnya jadilah aktiviti masjid hanya datang solat jamaah dan pulang. Masyarakat tidak hidup dalam suasana sinar ilmu dan gemerlapan kealiman. Orang jahil solat dan mengepalai aktiviti solat, lantas akan mendorong ke arah perpecahan. Jama'ah bepecah dan jadilah solat jamaah berperingkat-peringkat. Salah siapa? Siapa yang menghalang aktiviti ilmu atau sekurang-kurangnya mempersulitkannya?

Jika belajar agama hanya dari TV3, RTM atau Utusan Malaysia,  ia belum cukup untuk memperlekehkan para ustaz yang telah meladeni dunia ilmu agama sehingga ke universiti, samada dalam atau luar negara.  Alat-alat fasiq itu menjadi guru, tidak akan mengalimkan diri. Guru-guru pondok yang terbuang dari masyarakat setempatnya lalu mendakwa diri sebagai ulama, itu yang disedut fatwanya? Ia sama sekali tidak melahirkan cemerlang agama dalam akal dan watak diri. Para mufti "shuzuz" yang berfatwa tanpa hujah konkrit, itukah yang mahu disucikan? Mahu diidolakan?

Maaf, telah lama aku menahan diri dari menulis hal ini. Namun, nampaknya keadaan tidak bertambah baik. Tidak perlu aku sebut  buat siapa tulisan ini. Tulisan ini jika dibaca oleh warga yang berdomisil di taman Al-Fajr pada masa mendatang, ingatlah bahawa sejarah sering disembunyikan. Berhati-hatilah menerima adunan cerita yang melonjakkan asap ke udara kerana asap pastinya akan sirna lenyap. Hanya amal baik yang ikhlas akan dibawa malaikat melepasi lapisan langit hingga ke Illiyin. Jika dibaca yang berkenaan, ingatlah bahawa bukan dirinya sahaja memiliki cerita. Insan terpelajar melata di ceruk rantau. Hakikat akan sentiasa diangkat walau disekat. Umur singkat yang diberikan jangan diabadikan untuk menjemput taburan abu di atas pasara sendiri. Berlaku baiklah kepada orang dan berlapang dadalah jika mahu orang menghargai dan berlapang dada dengan kita.

Sekian wassalam.



Menyalahkan orang lain tabiat nifaq

April 5, 2013

Seorang ahli politik yang pernah berucap memberi tazkirah berbau penghinaan terhadap agama lain telah didedahkan baru-baru ini. Tidak perlu disembunyikan lagi namanya. Beliau adalah YB Zulkifli Nordin yang merupakan ahli parlimen yang mendapat tuah lambang PKR untuk parlimen Kulim, tetapi kemudiannya mengkhianati parti yang mengangkat harkatnya. Sepanjang tempoh beliau dipecat sehinggalah kini, telah banyak serangan yang dihumbankannya kepada parti asalnya itu. Tidak terkecuali juga parti-parti yang bersepakat dalam Pakatan Rakyat.

Tulisan ini tidak bermaksud membicarakan watak perangainya kerana tidak ada guna mengata tentang dirinya. Hanya, tulisan ini mengajak para pembaca khasnya kalangan ummat Islam agar mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi melibatkan individu seperti Zulkifli Nordin. Sesunguhnya, telah jelas bahawa beliau adalah insan yang berkelana dari sebuah parti ke sebuah parti dan dari sebuah pertubuhan kepada sebuah pertubuhan sehinggalah kelananya itu akan terhenti pada satu ketentuan. Lebih dari itu, menurut hemat seorang aku, dia telahpun tergelincir dan membicarakan terlalu banyak mengenai peribadi orang tergelincir bukanlah menjadi tradisi orang beriman. Cukuplah bicara sekadar apa pengajaran yang boleh dipetik, agar dapat menjadi sempadan dalam kehidupan kita seterusnya.

Perbuatan menghina agama lain bukanlah akhlak orang Islam. Allah SWT dengan jelas telah melarang di dalam Al-Quran agar orang Islam menyisihkan diri dari mencela agama orang bukan Islam termasuk sembahan mereka sebagaimana yang difirmankan:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, Karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.
(Surah Al-An’am: Ayat 108)


Begitu indahnya akhlak kaum muslimin sehingga menghina sembahan kaum bukan Islam pun dilarang. Tabiat suka menghina sembahan orang adalah tabiat kaum munafiq. Merekalah yang selalu menggunakan keceluparan lidah mereka untuk memperlihatkan kesungguhan mereka mencintai Islam, padahal dalam hati, mereka menyimpan permusuhan terhadap Islam dan perjuangannya. Orang yang mengaku dirinya sebagai Islam perlu berwaspada daripada memiliki sifat ini.

Lantas, amat melucukan pula apabila satu kesalahan yang meluncur keluar dari lidah sendiri, dipikulkan kesalahannya kepada pihak yang lain. Zulkifli Nordin  menyifatkan apa yang diucapkan dirinya itu adalah watak parti Pas kerana pada masa tersebut beliau adalah orang Pas dan sedang bertazkirah kepada para pendengar dari parti Pas. Sifat escapisme seperti ini meletakkan dirinya seperti tidak bersalah walaupun ungkapan celupar tersebut adalah keluar daripada lidahnya sendiri.

Dalam Islam, seseorang itu tidak menanggung dosa orang lain. Kesalahan seorang pencabul akhlak peribadi muslim dan menghina sembahan agama lain tidak ditanggung oleh rakan-rakannya, kampung halamannya, negerinya maupun partinya. 

Allah SWT berfirman:



وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرى

Dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.
(Surah An-Najmu: Ayat 38)




Justeru, melelehkan kesalahan diri kepada pihak yang lain adalah lambang seorang yang enggan mengaku kesalahan diri secara ikhlas, berjiwa kerdil dan jauh sekali memiliki watak murabbi. Bagaimana hendak dikatakan berjiwa besar jika meletakkan diri ditarbiah secara salah oleh parti menyebabkan diri terlahir berakhlak buruk. Seorang berjiwa besar akan mendidik manusia lain dan bukan mengharapkan diri dididik oleh pihak lain. Gagal meladeni kehidupan mulia dan terhormat, berakhlak tinggi dan terpuji, orang lain dipersalahkan. Sahabat handai dipersalahkan. Parti dipersalahkan.


Kenapa ada sekian banyak orang yang terlahir menjadi baik, santun lidah dan menghadam agenda tarbiah yang dibekalkan, sedangkan diri tidak? Itu yang perlu ditanya. Bukan semua ustaz dalam Pas menjadi pencela sembahan orang kafir. Mereka yang menjadi faqih melalui pendidikan agama yang menelusuri dakwah Al-Quran tidak berpolitik pencela. Hanya segelintir, termasuk orang seumpama Zulkifli Nordin sahaja yang gagal memahami uslub dakwah Al-Quran. Maka, jangan disalahkan Pas kerana kebrutalan diri.

Perkara yang sama juga sedang dimainkan oleh seorang bernama CN Afghani yang mendakwa pernah dihinggapi semangat melampau dalam Pas sehingga merancang untuk membunuh Dr. Mahathir Muhammad semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia. Lantas, kelancangan sikapnya itu dibebankan kepada Pas. Pas yang mentarbiahnya menjadi pembunuh kerana kebencian politik.


Sekali lagi ditegaskan bahawa berapa ramai pahlawan Pas yang hebat berpolitik tetapi tidak pernah terlintas sampai membunuh musuh politik. Kenapa lahir orang seperti CN Afghani tersebut. Apakah ia hasil tarbiah Pas ataupun tarbiah kesyaitanan yang bersarang dalam diri yang tidak ikhlas ketika menyertai perjuangan?

Hari ini, kita menyaksikan orang-orang pernah berjuang dalam parti Islam tersebut dan membawa watak algojo, sombong bongkak, keras dan penuh kebencian serta budaya mengkafirkan telah berjejeran masuk menyertai parti yang satu ketika sangat dibenci di matanya. Maka, para pendokong muda perjuangan Islam hari ini harus beringat, kemelampauan yang maksima akan menatijahkan keciciran dan kegelinciran. Mereka yang bertukar arah tersebut adalah gerombolan melampau dalam Pas satu masa dulu dan kini Allah SWT mencabut mereka dan tipudaya yang mereka rancangkan dalam perjuangan dulu kini makan diri sendiri.

وَلا يَحِيْقُ المَكْرُ السَّيِّئُ إلا بَأَهْلِه

Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri.
(Surah Fathir: Ayat 43)



Allah menceritakan bagaimana  sikap dan perangai para "mujrimin" di akhirat kelak. Mereka suka mencari jalan melepaskan diri dan melemparkan kesalahan kepada orang lain.


وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا

Dan mereka berkata;:"Ya Tuhan kami, Sesungguhnya kami Telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).
(Surah Al-Ahzab: Ayat 67)

Marilah kita istiqamahkan diri dan berdoalah agar ditetapka hati. Orang yang tergelincir dari perjuangan yang diladeninya bertahun-tahun akan menemui pelbagai ketempangan dalam tindak kelakuan maupun perkataan. Kita sedang menyaksikan peristiwa dan ambillah pengajaran dan insafilah untuk diri sendiri. 

Allahumma Sallimna !