Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Masjid Al-Fajr Kurnia Allah buat orang beriman.

April 11, 2013

Ura-ura Ds Anwar Ibrahim akan dibawa solat Jumuat di Masjid Al-Fajr esok menjadi kegelisahan musuh politiknya peringkat tempatan. Hanya dengan tanggapan bahawa masjid Al-Fajr dibina dengan duit Barisan  Nasional dan secara gamblang mengatakan tiada satu sen pun duit orang Pas, halangan cuba dilakukan agar beliau tidak solat di masjid Al-Fajr. Tentu sekali tindakan tersebut adalah tindakan politik secara terdesak dan dakwaan masjid Al-Fajr terbina dari duit Barisan Nasional  dan tidak ada satu sen pun duit orang Pas adalah dakwaan semberono, angkuh dan tidak berpijak nyata.

Riwayat serta sejarah Masjid Al-Fajr bukan disimpan oleh seorang. Sejarah bermulanya gerakan membina masjid Al-Fajr disimpan oleh warga veteran yang menghuni Taman Al-Fajr.  Ia tidak dapat dibohongi oleh riwayat seorang. Untuk mengatakan hanya duit Barisan Nasional yang menegakkannya seperti hari ini juga adalah perbuatan masuk bakul angkat diri yang akhirnya akan terhempas pulas.

Aku tidak perlu menyebut siapa yang membuat onar. Ahli Jamaah Al-Fajr semuanya mengetahui dan kebanyakannya tidak mengambil sikap seperti mana yang diambil oleh pemimpin tempatan yang sangat berusaha mencengkam perkembangan masjid Al-Fajr. Cengkaman yang mahu memenjarakan masjid di balik jeriji politik tertutup. Politik era 70-an.

Siapakah yang mula menggerakkan usaha untuk membina Masjid Al-Fajr telah menjadi sejarah.  Pemastautin baru hari ini kebanyakan tidak mengetahui tentang itu. Aku tidak suka mendengar cerita angkat bakul yang disuarakan yang dikamandangkan oleh individu  tertentu. Zaman sekarang bukan macam zaman lampau yang  hanya ada tiga mazhab media elektronik. Percaya secara totok kepada maklumat yang disalurkan TV1, TV2 dan TV3. Masyarakat telah terdedah kepada sumber maklumat yang pelbagai. Maka cerita sebenar tentang pembinaan masjid Al-Fajr akan menjadi cerita yang boleh dikongsi dan disebarkan buat tatapan masyarakat dengan mudah.

Awalnya, usaha membina masjid Al-Fajr dicetus dan digerakkan oleh beberapa ustaz dari Semenanjung. Antaranya adalah Ust. Abd Wahab dari Kedah, Ust Zul dn Ust. Nasir.  Sebelum jawatan pengerusi  surau dipegang oleh Hj. Ayong Hasan, Ust Abd Wahab yang menjadi pengerusinya. Dalam masa itu, kerjasama dengan pemimpin-pemimpin tempatan diperlukan untuk memperkukuhkan lagi legasi surau yang sebenarnya ditentang oleh sebahagian kecil masyarakat bukan Islam. Tambahan pula surau dibina di atas tanah yang menjadi tapak taman permainan dan tidak mendapat hak wakaf sehingga kini pun Cerita ini ada bersama Ust. Mahadzir Madon yang menjadi orang lama di Sandakan. Sudah lebih 20 tahun beliau di sini dan sebahagian besarnya berada di taman Fajar.

Ust. Mahadzir Madon, pemastautin lama.

Dana permulaan untuk membina masjid yang khabarnya RM15,000 dari peruntukan DUN, itu cerita lama. Ia bukan satu justifikasi untuk mengatakan masjid Al-Fajr terbina dari wang Barisan Nasional. Peruntukan  DUN adalah wang kerajaan. Wang kerajaan adalah wang pembayar cukai. Wang rakyat yang tidak mengira bangsa, agama, warna kulit, parti  politik dan sebagainya. Jauh sekali untuk mengatakan ia adalah wang milik seorang YB. Ia adalah wang saya, kamu dan mereka.

Aku, secara peribadi, sentiasa ingat usaha gigih yang dilakukan untuk mengumpul dana memperbaiki surau Al-Fajr. Dari surau yang daif, tidak selesa dan tidak terurus, sehinggalah kini menjadi sebuah masjid. Dananya datang dari sumber derma orang ramai yang pelbagai. Di samping itu ia juga datang dari kesedaran dan kegigihan pengerusi Hj. Ayong bin Hasan yang sanggup bertukang sendiri dan mencari tukang yang sanggup melakukan kerja dengan harga terendah.
Kempen Infaq  2009
Jaryah 30


Kempen Infaq 2010

Beberapa Ramadhan, bersama jemaah masjid, sahabat-sahabat ustaz, guru dan pekerja pejabat berhempas pulas mengumpul dana melalui Kempen Jaryah untuk memperbaiki surau secara berperingkat. Pengorbanan mereka yang terlibat membawa pamplet-pamplet ke sekolah, pejabat dan lorong-lorong kejiranan bukan boleh dinafikan. Puluhan ribu dapat dikumpulkan dari sumbangan poket-poket guru sekolah, kakitangan pejabat dan masyarakat di kejiranan.

Kempen Infaq Ramadhan 2009 menghasilkan dana sebanyak RM6207.10. Jaryah 50 yang dilancarkan pada Ramadhan 2010 mengumpulkan dana sebanyak RM11,361.00. Jaryah Isyrin yang dilancarkan pada Ramadhan 2011 mengumpulkan RM16431.00. Pada tahun 2012 kempen infaq tidak dibuat kerana kewangan masjid sudah semakin kukuh berikutan naik taraf sebagai masjid. Ada kutipan derma setiap jumaat yang dapat dimanfaatkan untuk menampung pengurusan masjid.

Atas Inisiatif para ustaz dan guru khasnya dari Semenanjung  yang tinggal dalam "qaryah" taman Fajar serta  dibantu jemaah tempatan yang ikhlas, majlis korban dapat dilaksanakan tahun 2011 dan 2012 dengan jayanya. Bukan sahaja ia memudahkan masyarakat beribdat korban, malah ia juga menghasilkan pulangan dana lebihan korban untuk masjid. Sebanyak RM5657.00 telah dimasukkan ke dalam akaun masjid.

Selain daripada kempen dan jumlah dana terkumpul seperti di atas, terdapat kempen-kempen khusus lain. Pada satu ketika, ketika masjid memerlukan LCD, dibuat kempen khusus untuk membeli peralatan tersebut. Hasilnya sebanyak RM2120.00 telah berjaya dikumpul untuk menyediakan peralatan tersebut di sumbangan skrin LCD daripada individu. Terdapat individu yang mendermakan penghawa dingin. Ada yang sanggup mendermakan mosac untuk lantai dewan. Derma permaidani solat dan berbagai bagai lagi.

Siapakah semua penderma itu?

Menghitung secara kasar jumlah-jumlah yang telah disenaraikan itu, maka jumlah semua adalah RM31776.10. Tidaklah berlebih-lebihan untuk dikatakan bahawa wang tersebutlah yang digunakan untuk menambah baik keadaan masjid sehingga terlihat hari ini. Derma orang ramai yang penuh berkat, dari usaha gigih para guru membawa risalah kempen ke sekolah masing-masing, kakitangan pejabat ke pejabat mereka, serta anggota jemaah kerdil yang membawanya untuk jiran-jiran telah melestarikan kerja pembaikan surau. Duit siapakah semua itu? Duit parti tertentu atau orang tertentukah atau duit pelbagai insan?

Sementara itu, projek pembaikan atap surau yang kononnya RM50, 000 dan disalurkan dari projek tender kerajaan hanya melahirkan atap yang selalu bocor dan terpaksa ditampal semula oleh pengerusi. Jumlah yang banyak tetapi keberkatannya kurang akibat pecah amanah dan khianat dalam perlaksanaan.

Aku menyenaraikan semua ini agar orang tahu bahawa tidak ada pihak  yang boleh bermegah-megah bahawa keberadaan masjid Al-Fajr di tahap sekarang adalah dari usahanya. Segala perkembangan mengenai masjid Al-Fajr untuk tempoh beberapa tahun terakhir ini, samada kempen kutipan dana maupun program telah aku abadikan dalam blog Dauratul Quran. Ia, agar menjadi bukti yang tidak boleh dibohongi sesiapa.Sementara apa yang berlaku sebelumnya adalah pengetahuan orang-orang lama di Taman Fajar.

Kutipan dermalah yang menyokong pembangunan masjid Al-Fajr.  Derma datang dari poket orang UMNO, PKR, PAS atau lain-lain parti maupun yang tidak berparti. Inilah hakikat dan tidak boleh ada yang mendakwa bahawa duit aku atau parti aku yang digunakan. Maka, atas justifikasi apa untuk menghalang individu tertentu dari solat di masjid Al-Fajr? Orang itu sama ada dari parti kerajaan, pembangkang atau tidak berparti, tidak ada individu tertentu yang ada wewenang untuk menghalangnya.

Hari ini Surau Al-Fajr sudah diangkat menjadi masjid. Pengangkatan taraf dari surau kepada masjid juga bukan kerja seorang. Siapa yang siapkan kertas kerja dan siapkan surat-surat untuk diangkat kepada mufti bukanlah fakta boleh disembunyikan. Menyelit di celah kerja gigih kolektif tidak menjadi seorang individu sahaja bernama.

Lalu datang janji mahu membina masjid baru menggantikan masjid sedia ada. Kosnya pada awalnya dikatakan RM2.5 juta. Gembira dan tersenyum lebarlah sesiapa yang mahu bergembira dan tersenyum lebar. Hari ini janji membina masjid baru bernilai juta ringgit tidak lagi didendangkan. Terakhir, hanya sejumlah RM700 ribu yang khabarnya diluluskan. Sampai kini janji itu entah ke mana. Selepas pilihanraya, harapan untuk membuktikan janji itu lebih sukar berbanding sebelum pilihanraya. Umum sudah tahu betapa sukarnya kelulusan peruntukan pembinaan masjid di Sandakan khasnya dan Sabah umumnya. Proses membina gereja lebih cepat berbanding masjid. Gereja melambak sepanjang jalan tetapi masjid boleh dibilang dengan jari. Tambahan pula, kos RM700 ribu, jika pun berjaya turun ke bawah untuk pembinaan masjid, akan jadilah hanya beberapa ratus ribu sahaja. Buka kita tidak pernah saksikan bagaimana angkara murka yang sebegini. Kes-kes seperti ini banyak sekali.

Membangunkan sebuah masjid bukanlah satu kerja hebat. Mengimarahkan masjid, itulah kerja sukar yang menuntut jerih payah yang bukan sedikit. Banyak masjid bersepah di seluruh negara namun kekadang cicak di dinding lebih banyak dari orang yang datang solat berjemaah. Bunyi cicak lebih kerap daripada bunyi kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian. Orang politik tak akan mampu mengimarahkan masjid. Tanpa kerjasama para ustaz, juga akan menyebabkan masjid itu sunyi dari kelas pengajian ilmu.

Perbuatan pihak tertentu yang mempersoalkan kebolehan para ustaz menyampaikan ilmu dan menuntut ada tauliah dan sebagainya sangat membosankan. Akhirnya kini, keghairahan para ustaz untuk menyampaikan kuliah di masjid Al-Fajr sudah merosot.Untuk menjemput ustaz luar pula perlu diselidiki pendirian politiknya. Jika dia cenderung kepada pembangkang, kemasukannya dihalang. Masalahnya, tiada pula ustaz yang yang cenderung kepada Barisan Nasioanal yang mampu berkuliah. Akhirnya jadilah aktiviti masjid hanya datang solat jamaah dan pulang. Masyarakat tidak hidup dalam suasana sinar ilmu dan gemerlapan kealiman. Orang jahil solat dan mengepalai aktiviti solat, lantas akan mendorong ke arah perpecahan. Jama'ah bepecah dan jadilah solat jamaah berperingkat-peringkat. Salah siapa? Siapa yang menghalang aktiviti ilmu atau sekurang-kurangnya mempersulitkannya?

Jika belajar agama hanya dari TV3, RTM atau Utusan Malaysia,  ia belum cukup untuk memperlekehkan para ustaz yang telah meladeni dunia ilmu agama sehingga ke universiti, samada dalam atau luar negara.  Alat-alat fasiq itu menjadi guru, tidak akan mengalimkan diri. Guru-guru pondok yang terbuang dari masyarakat setempatnya lalu mendakwa diri sebagai ulama, itu yang disedut fatwanya? Ia sama sekali tidak melahirkan cemerlang agama dalam akal dan watak diri. Para mufti "shuzuz" yang berfatwa tanpa hujah konkrit, itukah yang mahu disucikan? Mahu diidolakan?

Maaf, telah lama aku menahan diri dari menulis hal ini. Namun, nampaknya keadaan tidak bertambah baik. Tidak perlu aku sebut  buat siapa tulisan ini. Tulisan ini jika dibaca oleh warga yang berdomisil di taman Al-Fajr pada masa mendatang, ingatlah bahawa sejarah sering disembunyikan. Berhati-hatilah menerima adunan cerita yang melonjakkan asap ke udara kerana asap pastinya akan sirna lenyap. Hanya amal baik yang ikhlas akan dibawa malaikat melepasi lapisan langit hingga ke Illiyin. Jika dibaca yang berkenaan, ingatlah bahawa bukan dirinya sahaja memiliki cerita. Insan terpelajar melata di ceruk rantau. Hakikat akan sentiasa diangkat walau disekat. Umur singkat yang diberikan jangan diabadikan untuk menjemput taburan abu di atas pasara sendiri. Berlaku baiklah kepada orang dan berlapang dadalah jika mahu orang menghargai dan berlapang dada dengan kita.

Sekian wassalam.



0 comments:

Post a Comment