Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Penguasa mengungkit jasa

April 27, 2012


قَالَ أَلَمْ نُرَبّكَ فِينَا وَلِيداً وَلَبِثْتَ فِينَا مِنْ عُمُرِكَ سِنِينَ وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ الّتِي فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Fir'aun menjawab: "Bukankah kami Telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu. Dan kamu Telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas budi.
(Surah As-Syu’araa: Ayat 18-19)


Ketika nabi Musa mendatangi Firaun dan mendakwahkan Islam kepadanya, Firaun segera mengungkitkan jasanya yang memelihara dan membesarkan nabi Musa dalam istananya dengan penuh kesenangan. Sambil itu dia mengingatkan pula nabi Musa tentang perbuatannya yang dianggap lambang tidak bersyukur atas nikmat yang diberikan olehnya kepada nabi Musa, iaitu membunuh seorang lelaki Qibti yang sebangsa dengan Firaun. Dengan mengingatkan kebaikannya itu kepada nabi Musa serta menyebut perbuatan yang dianggapnya sebagai jenayah lampau nabi Musa, dia meletakkan nabi Musa sebagai orangnya yang tidak layak untuk mendakwahnya. Bagaimana seorang yang tidak tahu bersyukur atas jasa dan budi orang lain akan diikuti?

Mengungkit budi dan jasa adalah tabiat para penguasa yang haprak. Firaun telah menunjukkan contoh bagaimana dia cuba menampilkan dirinya sebagai pihak yang benar dan nabi Musa di pihak yang salah dengan menyebut jasanya yang tidak dibalas dengan baik. 

Tabiat Firaun itu adalah cerminan sejarah untuk kita mengenalpasti tabiat penguasa yang zalim sepanjang zaman. Wajah penguasa zalim, di zaman manapun akan tetap sama. Mereka akan mengambil jalan yang serupa. Hanya perkembangan zaman yang membezakan. 

Para penguasa zalim di zaman lampau menjadikan ahli sihir sebagai pendokong yang memperteguh kerajaannya. Demikianlah yang telah dilakukan oleh Firaun dan raja-raja taghut di zaman dulu. Kini, zaman sudah berubah. Ahli sihir wujud dalam bentuk yang lain. Jika kita renung dan bandingkan, peranan yang dimainkan oleh pengamal media massa dewasa ini, mereka menempati kedudukan ahli sihir di zaman lampau. Dengan manipulasi berita yang diamalkan, mereka dapat mempertahankan kerajaan yang didokongi dan memanjangkan hayat pemerintahannya.

Demikian wajah para penguasa yang menindas rakyat sepanjang zaman. Tidak ada beza. Samalah juga dengan pejuang kebenaran. Wajah mereka sama sepanjang zaman. Apa yang dideritai oleh pejuang di zaman lampau, itulah juga yang dideritai oleh pejuang masa kini. Mereka akan mencicip jalan yang sama.

Hari ini, kita sering dengar penguasa yang mengambil pemerintahan Firaun sebagai sunnahnya, mereka mengungkit jasa dan kebaikan mereka. Mereka sebutkan  apa yang telah mereka lakukan selama lebih 50 tahun. Mereka menuntut rakyat membalas budi dengan memilih mereka untuk ditahtakan terus di singgahsana kekuasaan kerana itu cara membalas budi dan jasa mereka. Ungkitan itu pada hakikatnya tidak perlu kerana apabila sekelompok orang menjadi pemimpin, bermakna mereka telah bersedia untuk menjalankan tugas membela rakyat. Menuntut rakyat membalas budi adalah sifat pemimpin tamak yang sayangkan kekuasaan dan meletakkan kekuasaan mereka untuk kepentingan tertentu.

Perbuatan mengungkit budi adalah perangai pemerintahan Firaun!

Ilmu Putih dan Bedah Batin

April 24, 2012

"Ustaz, bolehkah mengamalkan ilmu putih?", tiba-tiba seorang murid bertanyaku dalam kelas agama pada hari itu. 

Murid tersebut, dalam sesi kelas agama, dia sering menunjukkan minat yang tinggi. Sering pula bertanya soalan apabila selesai proses PNP. 

" Ilmu putih itu kononnya berlawanan dengan ilmu hitam....", aku mengumpan perhatiannya dan perhatian murid-murid yang lain. " Kita tahu bahawa ilmu hitam itu menggunakan unsur jin dan syaitan.Ilmu hitam digunakan untuk tujuan jahat seperti menyantau, santet dan mencuri harta orang lain", aku sebutkan contoh-contoh bagaimana ilmu hitam digunapakai.

" Kita orang Islam yang beriman dengan Allah dan Rasulullah SAW, jika dibunuh, mati. Dibakar hangus. Direndam  lemas. Ditembak tembus. Kita tak dapat ghaibkan diri. Kita tak dapat terbang seperti burung. Kita tak dapat berjalan di atas air. Kalau berperang, kita luka berdarah dan akan mati sebagai syahid. Nabi SAW sendiri dalam perang Uhud, patah giginya...", aku menjelaskan kedudukan seorang muslim yang menurut jalan nabi Muhammad SAW.

"Maka, pengamal ilmu yang dikatakan ilmu putih itu, mereka ada keupayaan yang luar biasa. Mereka boleh ghaib, ditembak tidak lut, boleh tukarkan daun jadi duit, boleh pandang tembus, boleh berada di dua tempat dalam satu masa dan berbagai-bagai lagi. Ilmu itu tidak diajar nabi dan para sahabat...", 

" Sebenarnya, mereka dibantu oleh jin dalam mencapai kemampuan luar biasa itu. Bantuan jin adalah dasar ilmu sihir. Ilmu hitam maupun ilmu putih hanya jenama yang dibezakan,  kerana tujuan ilmu yang berbeza. Ilmu hitam untuk tujuan jahat sedangkan ilmu putih untuk tujuan baik. Padahal, sumber kedua-duanya sama.  Sumber ilmu itu adalah haram kerana ia merupakan sejenis ilmu sihir yang mendapat pertolongan jin....", aku membuat kesimpulan.

" Ilmu putih tiada dalam Islam. Ia adalah pesona syaitan!", aku menegaskan.

Murid yang bertanya soalan menceritakan. Di kampungnya ada seorang yang mereka kenali sebagai imam. Orangnya kuat solat dan rajin ke masjid. Dia sering menolong orang kampung dengan ilmunya. Orang sakit selalu pergi minta ubat penawar kepadanya. Dia juga mampu menjampi pada air dalam gelas sehingga air dalam gelas itu boleh menunjukkan bayang wajah orang yang dikehendaki. Bacaannya semua Al-Quran dari awal hingga akhir. Kata imam itu, dia memanggil malaikat membantunya.

Cerita muridku itu hampir tidak ada salahnya mengenai amalan imam itu. Tetapi, apabila dikatakan dia memanggil malaikat, di situlah persoalannya dan titik kesalahannya. Mana mungkin manusia memanggil malaikat untuk membantunya. Lagipun, bukan kerja malaikat membantu manusia dalam perbomohan atau melaksanakan sesuatu hajat. Malaikat hanya melaksanakan perintah Allah SWT. 

Maka, ilmu yang diamalkan itu mengandungi kekeliruan. Ada syubhat di sana. Ilmu yang syubhat itu hukumnya haram. Siapapun yang mengamalkannya, jika ada konsep-konsep yang bertentangan dengan Islam, dia telah membawa ilmu yang syubhat. Saya menduga bukan malaikat yang dipanggil. Sebaliknya yang dipanggil adalah jin-jin yang memperdaya dirinya dengan mengaku sebagai malaikat.

Sewaktu bual-bual agama dan politik di masjid semalam, seorang sahabat jemaah masjid menimbulkan cerita mengenai Bedah Batin. Ada saudaranya di kampung yang mengalami penyakit kerosakan organ hati telah dibawa oleh keluarganya menemui seorang ahli Bedah Batin. Menurut apa yang diceritakan kepadanya, proses Bedah Batin tersebut telah dilakukan dalam bilik bercermin dan dapat dilihat oleh kaum keluarga dari luar bilik. Mereka dapat saksikan bagaimana hati pesakit dikeluarkan melalui proses pembedahan yang tidak menggunakan alat-alat pembedahan. Pembedahan dilakukan dengan tangan kosong dan organ hati orang yang dibedah dibersihkan sebelum dimasukkan semula.

Orang yang menjalani pembedahan tersebut mengakui keberkesanan kaedah itu dan merasa diri bertambah sihat selepas dibedah. Persoalannya apakah amalan Bedah Batin ini ada asasnya dalam Islam. 

Sebenarnya, sebuah cerita mengenai ilmu-ilmu luar biasa ini kita tidak dapat putuskan statusnya sehinggalah kita memahami seluruh praktikal ilmu tersebut dan konsepnya. Seperti ilmu putih yang sering didakwa orang sebagai ilmu orang soleh, dipandang secara sepintas lalu memang tidak akan menemui kesalahannya. Namun, setelah dinilai daripada pelbagai aspek, barulah kita akan temui ketempangannya. Aku percaya, amalan Bedah Batin itu juga mempunyai ketempangan dari sudut pandangan agama jika kita menilai seluruh konsepnya.

Aku berkeyakinan bawa ada unsur jin di sana. Tipu daya jin dan syaitan amat seni. Dalam sepuluh kebaikan, jin dan syaitan akan selitkan hanya satu atau dua kejahatan. Dalam rangkaian ayat suci, diselitnya konsep syirik secara halus. Memanggil khadam, jin dan malaikat adalah amalan syirik.  Maka, kita hendaklah berwaspada dengan tipudaya ilmu yang mengelirukan itu.

Mengenai ilmu Bedah Batin ini, kulampirkan apa yang telah dibicarakan Abu Anas Madani hasil Liqa 'Asatizahnyanya:

Pendirian Liqa’ Asatizah berkenaan pembedahan batin.

Selepas meneliti unsur-unsur yang terdapat dalam pembedahan batin yang diamalkan sesetengah perawat seperti membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, pengubatan jarak jauh dan seumpamanya, dapat disimpulkan seperti berikut:

1) Pembedahan batin adalah suatu hakikat yang kabur kerana tidak boleh dibuktikan dengan naql, aql dan sains.

2) Pembedahan batin tidak mempunyai sandaran hukum daripada Kitab dan Sunnah Nabi SAW mahupun amalan salafussoleh.

3) Hujah mengaitkan pembedahan batin dgn pembelahan dada Nabi SAW sebelum diangkat menjadi nabi dan Isra’ adalah batil kerana perkara tersebut adalah irhas/mu’jizat yg tidak boleh dikiaskan kepada bukan nabi.

4) Pembedahan batin telah diamalkan dalam agama lain dengan begitu berleluasa seperti Kristian atas nama spiritual healing, psychic surgery @ operation, jirahah gharbiyyah atau jirahah ruhaniyyah. Ini menunjukkan, Islam, iman dan taqwa bukanlah syarat utama pembedahan batin boleh dilakukan seperti dakwaan sesetengah pihak.

5) Tokoh-tokoh awal perubatan alopati Islam seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Ibn al-Haytham, al-Razi, Ibn Rusyd dll menunjukkan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam (bukan sahaja al-tibb al-nabawi) sekaligus menafikan jenis-jenis perubatan yang mencarik adat.

6) Pembedahan batin diyakini menggunakan khidmat jin @ qarin yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik berdasarkan nas-nas al-Qur’an dalam surah al-Jin ayat 6 dan surah al-Zukhruf ayat 36.

7) Pembedahan batin termasuk perkara mencarik adat yang mampu dipelajari dan boleh dilakukan secara berterusan, ini menunjukkan ia bukan karamah atau ma’unah sebaliknya lebih dekat kepada unsur-unsur sihir dan sya’wazah.

8) Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin dan kembali kepada al-tibb al-nabawi spt menggunakan ayat-ayat syifa’, doa ma’thur dll atau kembali kepada perubatan alopati (moden) yang tidak bercanggah dengan hukum syara’.

21 Julai 2011.

Ahli liqa’:

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid Liqa’)

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi/ Moderator)

Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,

Ustaz Dr Zahazan Muhammed,

Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,

Ustaz Hj Aizam Mas’ud,

Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,

Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,

Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, (Tidak Hadir)

Ustaz Ramadhan Fitri Elias, (Tidak hadir)

Ustaz Dr. Maszlee Malik,

Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,

Ustaz Syed Mohd Norhisyam

Ustaz Zamri Zainuldin ‘Mantop’

Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Ustaz Shauqi Othman

Disahkan dalam liqa’ pada 18 Ramadhan 1432.

Sumber asal: http://mufakkir-islami.blogspot.com/2011/08/pendirian-liqa-asatizah-berkenaan.html

Lihat beberapa maklumat lain di; http://www.youtube.com/watch?v=sxMGxz6-oTs

Akhukum, Abu Anas Madani, 6 Syawal 1432H.




Kepimpinan bukanlah dakwaan

April 19, 2012

Ramai orang mengaku pemimpin, tetapi mereka sebenarnya bukanlah pemimpin. Hanya kerana mendakwa diri sebagai pemimpin atau didakwa oleh orang lain sebagai pemimpin, tidak menjadikan seseorang itu sebagai pemimpin. Boleh sahaja dikarangkah biografi tebal menceritakan kepimpinannya, tetapi semua itu tidak menjadikannya sebagai pemimpin. Mungkin sahaja dia menjadi orang besar (kibar) tetapi bukan seorang  pemimpin (imam).

Pemimpin adalah satu kedudukan yang dianugerahkan Allah SWT.  Seorang syeikh sufi bernama Al-Qusyairi Abul Qasim menyebut bahawa kepimpinan bukanlah dengan dakwa tetapi kepimpinan adalah dengan doa. Kerana itu Allah SWT mengajarkan kita sepotong doa yang diabadikan dalam Al-Quran dan menjadi sifat hamba Ar-Rahman mengungkapkan doa tersebut:

 
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

 "Dan orang-orang yang (menjadi hamba Ar-Rahman) itu adalah mereka yang berkata (dalam doa) mereka, wahai Tuhan kami, berikanlah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata dan jadikan kami pemimpin kepada orang yang bertakwa".
(Surah Al-Furqan: Ayat 74)

Jika Allah makbulkan doa kita itu, kita akan menjadi pemimpin. Sungguhpun dalam kehidupan kita di dunia kita cuma orang biasa, jika kita menjadi ikutan dan tauladan orang lain dalam ketakwaan, kitalah pemimpin yang kepimpinan kita itu merupakan anugerah Allah SWT kepada kita.  Menjadi pemimpin kepada orang bertakwa sangat menguntungkan. Tidak ada guna menjadi pemimpin kepada orang yang tidak bertakwa kerana kelak di akhirat, orang yang tidak bertakwa itu akan menjadikan pemimpin mereka sebagai kambing hitam di atas kederhakaan mereka kepada Allah SWT.

Pemimpin hendaklah diikuti. Sebaik-baik ikutan adalah ikutan dalam ketakwaan. Ada juga orang yang diikuti dalam kejahatan. Maka orang itu juga kita sebut sebagai pemimpin, tetapi pemimpin buat kaum pendosa (mujrimin). Apa yang kita harapkan adalah menjadi pemimpin kepada orang yang bertakwa kerana dengan menjadi pemimpin mereka, kita akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT atas ketakwaan mereka. 

Orang-orang besar, sultan dan raja-raja serta kalangan orang yang dianggap pemimpin dalam dunia, jika tidak dikuti, mereka hanyalah para pembesar. Dalam Al-Quran, kelompok sebegitu disebut sebagai kubara' dan al-mala'. Mereka bukanlah pemimpin kerana mereka tidak ditauladani oleh orang lain.Kerana keturunan mereka bangsawan dan harta mereka banyak, mereka dihormati. Dihormati bukan bermakna diikuti. Tanpa ikutan, tidaklah mereka menjadi pemimpin.

Semoga Allah anugerahkan kita imamah. Sebaik-baik imamah adalah imamah kepada orang bertakwa...


Tidur malam sujud dan qiam

April 18, 2012

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً

" Dan orang-orang yang bermalam dalam keadaan sujud dan berdiri (beribadat kepada Allah)".
(Surah Al-Furqan: Ayat 64)

Menjadi salah satu ciri hamba Allah yang istemewa dan dinamakan Hamba Ar-Rahman, ialah tidur di malam hari dalam keadaan sujud dan berdiri kerana beribadat kepada Allah. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan tidur dalam keadaan sujud dan berdiri untuk beribadat kepada Allah SWT? Siapa yang begitu sabar untuk sujud dan qiam sepanjang malam? Kalaupun ada yang boleh melakukannya, tetapi berapa lama? Mungkin semalam atau dua malam sahaja. Justeru, tidur dalam keadaan sujud dan qiam tersebut bukanlah secara fizikalnya seseorang itu tidur dalam sujud dan qiam. 

Ibn Abbas menyebutkan:

 
من صلى ركعتين أو أكثر بعد العشاء فقد بات لله ساجدا وقائما

" Siapa yang solat dua rakaat atau lebih selepas solat fardhu Insya', maka sesungguhnya dia tidur malam itu dalam keadaan sujud dan qiam".
(Tafsir Al-Qurtubi)

 Al-Kalbi pula menambah:

من أقام ركعتين بعد المغرب وأربعا بعد العشاء فقد بات ساجدا وقائما

" Siapa yang solat sunat dua rakaat selepas  solat fardhu Maghrib dan enpat rakaat selepas solat fardhu Insya', maka sesungguhnya dia tidur malam itu dalam sujud dan qiam".
(Tafsir Al-Qurtubi)


Sungguhpun fadhilat bermalam dalam keadaan sujud dan qiam boleh didapati dengan mudah hanya melakukan solat sunat selpas maghrib dan insya, terdapat kelebihan yang amat besar jika seseorang itu bangun beribadat pada sebagaian akhir dari malamnya. Ia menjadi amalan Rasulullah SAW dan para salafus soleh.

Allah berfirman:

كانوا قليلاً من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون

" Mereka adalah orang yang tidur hanya sedikirt daripada malam mereka. Pada waktu sahur mereka bangun memohon keampunan dari Tuhan".
(Surah Adzariyat: Ayat 17-18)

Semoga kita tergolong dari kalangan orang yang bangun sedikit daripada malam yang menghampiri penghujungnya untuk beribadat kepada Allah SWT. Itulah da'bas solihin yang perlu dilazimi oleh mereka yang mencari redha ilahi. Terlebih penting bagi para pejuang yang mengaku memperjuangkan agama Allah SWT kerana ia juga menjadi faktor mempercepatkan kemenangan. 

Tetapi...kalau subuh tidak kelihatan di mana-mana masjid dan surau, usah berbicara mengenai bangun malam!

Awang Pusung...pulanglah!

April 16, 2012

Nama ibu tua itu Sahara Kamlum. Usianya sudah lebih 60 tahun dan tinggal di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan. Dia memelihara dua orang cucunya bernama Saidatul Nor Umairah dan Mohd Sharizan yang masing-masing sudah berada di tahun enam Sk. Sibugal Besar. Selain itu terdapat tiga lagi cucunya yang sudah tidak bersekolah tinggal bersamanya. Pn. Sahara Kamlum menyara hidup keluarganya dengan kerja-kerja kampung yang tidak menentu. Katanya, dia mengambil upah mengupas kelapa dan jika ada jemputan, dia juga membidankan ibu yang melahirkan anak.

Pn Sahara  Kamlum.
Anak lelakinya bernama Awang Pusung sudah menghilang lebih  sepuluh tahun yang lalu. Menurut cerita Pn Sahara Kamlum, anak lelakinya itu yang kini berumur sekitar 40-an adalah seorang lelaki yang banyak berkahwin. Dia menghitung dalam pengetahuannya, Awang Pusung telah berkahwin dengan 7 orang perempuan dan meninggalkan anak dengan bekas-bekas isterinya. Lebih malang, ada kalangan isterinya yang ditinggalkan gantung tidak bertali. Dua cucu yang dipeliharanya sekarang ada dari ibu yang berbeza.

Kasihan kepada isteri-isteri Awang Pusung yang ditinggalkan tanpa nafkah dan digantung tidak bertali, Pn. Sahara Kamlum menawarkan jaminan untuk menyokong mana-mana isterinya yang berhajat untuk membuat tuntutan cerai di mahkamah. Dengan sokongannya, seorang isteri Awang Pusung yang disebutnya sebagai ibu Si Mala, telah berjaya mendapat penceraian di mahkamah dan kini telah berkahwin lain.

Saidatul Nor Umairah

Mohd Sharizan
Menurut Pn Sahara Kamlum selama lebih sepuluh tahun Awang Pusung menghilang, tiada sebarang khabar berita sampai kepadanya. Sejak cucunya baru lahir, Awang Pusung telah meninggalkannya. Pada mulanya Awang Pusung memberitahu tekadnya pergi merantau adalah untuk membantunya membina rumah baru. Dia pergi bekerja di Singapura dan kemudian daripada itu hilang khabar berita hinggalah hari ini.

"Saya sabar sahaja menghadapi kesusahan ini...", keluh Pn. Sahara Kamlum.

Awang Pusung,  kembalilah kepada ibumu serta anak-anakmu!


Kembara Dakwah Tanjong Batu

April 14, 2012

Lebih tiga tahun lalu, aku telah meninggalkan Tanjong Batu. Tanjong Batu merupakan tempat pertama aku berkhidmat sebagai guru. Di Tanjong Batu, aku mencedok ragam pengalaman yang amat berharga terutama dalam medan dakwah. Banyak memori pahit manis yang terselit di celah perkhidmatanku sebagai guru agama di sana. Ia sukar untuk dilupakan dan ia membuka ruang perkenalanku dengan aneka ragam rencah kefahaman tempatan dan liku dakwah mengenainya.

Setelah lebih tiga tahun bumi Tanjong Batu aku tingalkan, siang tadi aku jejaki semula ke sana. Aku bergabung bersama sahabat-sahabat seperjuangan dari badan amal yang kami namakan sebagai Unit Amal dan berusahasama dengan Syarikat Takaful Ikhlas menyampaikan sumbangan kepada penduduk. Syarikat Takaful Ikhlas menyediakan sejumlah peruntukan zakat untuk penduduk pendalaman yang miskin dan pemuda dari Unit Amal membantu melestarikannya.

Siiru 'Ala Barkatillah!
Kebanyakan peserta adalah dari Kinabatangan dan dibantu oleh guru-guru Sk. Tanjong Batu. Aku menyertai kumpulan amal Islami tersebut hanya selepas selesai urusan persekolahan hari Sabtu yang nampaknya tahun ini kian sarat. Seperti yang pernah kualami dahulu, menunggu bot kapal penambang ke Tanjong Batu adalah amat melelahkan. Pergi sendirian, terpaksalah mengharapkan kapal penambang. Aku hampir memutuskan untuk tidak pergi sahaja apabila tiba-tiba ada sahabat memaklumkan ada bot yang disewa khas sedang keluar berurusan ke bandar. Dengan bot tersebut aku ke Tanjong Batu. Kebetulan pula ada seorang pegawai JHEAINS Kinabatangan ikut serta kerana beliau dijemput untuk mengendalikan Kursus Pengurusan Jenazah.

Tanjong Batu sudah banyak berubah. Kerajaan telah berjaya membina beberapa unit rumah PPRT untuk penduduk. Tenaga elektrik bersumberkan Janakuasa Solar juga sudah beroperasi. Penduduk sudah menikmati bekalan tenaga elektrik 24 jam. Tidak seperti zaman aku berkhidmat di sana dahulu, tenaga elektrik hanya diandalkan kepada genset yang memerlukan petrol sebagai bahan api. 

Rumah PPRT

Ketika aku tanya En. Jumadul, Ketua JKK Tanjong Batu Laut mengenai kadar bil yang perlu dibayarnya setiap bulan, katanya sekitar RM40 hingga RM50. Ia jauh lebih murah berbanding zaman menggunakan genset dahulu yang mana setiap bulan perlu dibelanjakan sekitar RM300. Aku tumpang gembira dengan senyum senang orang kampung merasai nikmat pembangunan itu. 

Stesen Janakuasa Solar

Bersama sahabat-sahabat penyampai sumbangan, aku singgah di rumah Syarif Osman. Rupanya anak gadisnya yang dulunya sangat tegar watak tomboynya telah berkahwin dan beranak. Alhamdulillah. Manusia berubah dan dia berubah kepada fitrahnya. Kebanyakan warga Tanjong Batu masih ingat memori bersamaku di sana. Lima tahun aku bergaul bersama mereka dan mentarbiah anak-anak mereka di sekolah dan bersama mereka dalam pelbagai acara. Mereka menyambut mesra kehadiran kami.

Ust Wan Jemizan menyerahkan sumbangan.

Imam Hasan sudah meninggal. Demikian orang kampung mengkhabarkan ketika aku tanyakan tentang imam Hasan. Semoga Allah merahmatinya. Selain itu, Imam Abdul juga sudah meninggal. Pak Mail juga sudah meninggal ketika ditahan di Rumah Merah (PTS).Fazli, kawan yang agak akrab denganku semasa di Tanjong Batu dulu juga sudah tidak bermastautin di sana lagi. Menurut jiran rumahnya di Tanjong Batu, dia telah pindah ke Kota Kinabalu dan tinggal di sana. Rumah dihuni oleh orang lain. Mungkin adik isterinya.

Antara sekian ramai warga Tanjong Batu, aku paling merasa kasih kepada keluarga Pak Loman. Terutama sekali anaknya Rami yang menjadi pengikut setiaku pada usaha mengimarah surau Tanjong Batu pada masa lalu. Pada hematku, anak-anak Pak Loman itulah yang paling mudah dicanai untuk hidup beragama, terutamanya Rami. Sayang sekali aku tidak punya banyak kesempatan untuk itu. Ketika aku menemuinya di rumahnya, aku masih melihat potensi itu pada dirinya. Hanya kepada Allah aku berdoa agar membetulkan jalannya. 

Namun, tugas membangkitkan kesedaran agama di Tanjong Batu masih jauh sayup mata. Tentu Allah SWT ada pembela agamanya yang tidak pernah putus. Aku bersangka baik mengenai nasib Tanjong Batu. Setelah berganti generasi, generasi berikutnya akan menjadi lebih baik. Itulah harapanku. Guru-guru agama di Tanjong Batu mempunyai peranan untuk memandu perjalanan mencari kebaikan ini. Kita akan berkongsi ganjaran pada mata rantai dakwah yang berkesinambungan. 

Tanjong Batu memerlukan kesedaran agama. Kesedaran agama akan melahirkan watak rakyat yang merdeka kerana agama sentiasa memerdekakan manusia. Manusia beragama tidak akan menjadi hamba dunia dan tidak akan menjadi hamba kepada sogokan kebendaan. Perjuangan memberi kefahaman agama yang tepat adalah sama susahnya dengan perjuangan memerdekakan pemikiran manusia daripada perhambaan yang salah.

Allahummahdina!

Watak Qarun Zaman Kini.

April 1, 2012



Watak manusia sama sepanjang zaman. Watak orang jahat dewasa ini sama sahaja dengan watak jahat orang zaman lampau. Demikian pula watak orang baik di zaman kini ia sama dengan watak orang baik di zaman lampau. Raja dan pemimpin yang jahat di zaman kini tidak jauh beza dengan raja Firaun, Namrud dan lain-lainya di zaman lampau. Demikian pula,watak orang kaya dewasa ini tidaklah berbeza dengan perangai orang kaya di zaman dahulu.

Lihat sahaja perangai Qarun, seorang hartawan zaman lampau. Dengan angkuh dia berkata, sebagaimana firman Allah SWT:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِندِي


“Berkata Qarun, sesungguhnya aku dikurniakan harta yang banyak ini adalah hasil daripada pengetahuanku”
(Surah Al-Qasas: Ayat 78)

Kita dengar bagaimana orang kaya hari ini dengan angkuh berkata bahawa kekayaannya adalah kerana kemahirannya menguruskan ekonomi. Masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya bagaimana satu ketika dulu, pemimpin negara mendakwa kemakmuran negara adalah hasil pengurusan ekonomi yang cekap.Dakwan bahawa kekayaan, kemakmuran diri atau organisasi adalah disebabkan kelebihan diri adalah pernqagai Qarun. Perangai itu akan terus menjadi tauladan sepanjang zaman bagi orang kaya yang kupa diri.

Lihat kepada skop yang lebih spesifik, ada kalangan kita yang mendakwa kerjaya yang kita perolehi adalah hasil pelajaran yang dimiliki.

"Saya dapat kerja ini kerana saya ada ijazah!", dakwa seorang mahasiswa yang menjadi eksekutif syraikat Petronas.

"Pendapatan yang banyak saya dapat ini kerana kerajinan saya bekerja!", balas seorang yang berjaya dalam kerja sampingan sebagai peniaga jualan langsung.

Watak Qarun terus wujud dalam pelbagai versi sepanjang zaman. Waspadalah diri agar tidak menjejaki Qarun dalam memahami kekayaan dunia yang diperolehi.