Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

ALQURAN DAN HADIS DIKAWAL LAPIS-LAPIS PEPRTAHANAN.

February 24, 2014

As-Sayuthi dalam kitabnya "Al-Itqan" menyebutkan bahawa yang masyhur dalam ilmu tafsir dari kalangan sahabat ada 10 orang iaitu:
a) 4 orang Khalifah Ar-Rasyidin
b) Ibn Mas'ud
c) Ibn Abbas
d) Ubai bin Ka'ab
e) Zaid bin Tsabit
f) Abu Musa Al-Asy'ari
g) Ibn Zubair

Terdapat juga riwayat-riwayat tafsir Al-Quran dalam dalam jumlah yang sedikit dari kalangan sahabat lain seperti Anas bin Malik, Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Jabir bin Abdullah, Abdullah bin Amru bin Al-'As dan Ai'shah radiallahu anhum ajma'in.

Di atas semua, yang paling cemerlang dalam menafsirkan Al-Quran adalah Ibn Abbas. Beliaulah yang digelar sebagai "Turjumanul Quran", Hibrul Ummah dan Bahrul Ummah kerana penguasaannya yang hebat dana seni ilmu menafsirkan Al-Quran.

Goldziher pernah cuba mendiskreditkan Ibn Abbas dengan membawakan bukti-bukti bahawa Ibn Abbas itu telah menciplak perkataan Ahlil Kitab dalam menafsirkan Al-Quran dan bukan dari sumber Islam sendiri. Dakwaan tersebut tidak lain adalah cubaan untuk meruntuhkan keutuhan Al-Quran melalui fitnah terhadap para penafsir Al-Quran yang berotoriti di mata ummat. Namun, dakwaan Goldziher tersebut tidaklah menjejaskan reputasi Ibn Abbas sedikit pun. Kedudukannya telah dimuliakan Allah dan seluruh ummat mengakuinya sebagaimana generasi sahabat terawal mengakui keupayaannya.

Justeru, kalangan yang dalam hati mereka ada penyakit sering melemparkan panah beracun agar mengenai dua sumber Islam yang diperakui sebagai teras keaslian agama iaitu Al-Quran dan Hadis. Namun, sejauh ini, lemparan serangan mereka sering bertabrakan sebelum sempat mengenai tubuh Al-Quran maupun hadis. Ada banyak pengawal yang menjaganya. Banyak juwara yang mendidndinginya.

Untuk itu, mereka yang memusuhi Islam mengikut runtunan penyakit dalam jiwanya telah mengalihkan serangan kepada juara-juara yang membentengi dua sumber Islam tersebut. Goldziher tidak mampu menyerang keutuhan Al-Quran. Lalu diserangnya para penafsirnya.

Demikianlah juga dengan apa yang cuba dilakukan Kasim Ahmad yang sefikrah dengannya. Mereka cuba merobek hadis tetapi kudrat tidak tergapai. Lantas mahu diserang ahli dalam bidang Hadis seperti Bukhari dan Muslim. Juga tidak tergapai kerana kesarjanaanya jauh lebih rendah dari Goldziher yang melontarkan peluru terhadap tokoh-tokoh penafsir Al-Quran.Maka, yang mampu dicubanya adalah menembak benteng-benteng jauh yang memagari Hadis iaitu para ulama.

Dia pun mencipta satu tanggapan bahawa kemunduran Islam adalah kerana kawalan "kasta Padri" yang disebut ulama. Padahal dia mahu meruntuhkan Istitusi Ulama supaya dengan itu dia mampu menembakki dinding-dinding utama Al-Hadis seperti Imam Bukhari dan Muslim serta lainnya. Setelah itu, barulah dapat dipugar pergantungan ummat kepada hadis. Pasti sesudah itu, sasarannya adalah sepertimana sasaran Goldziher.

Sayang sekali umurnya tidak cukup untuk itu. Kini sudah mencapai 80 tahun. Umur 80 tahun adalah umur yang penuh kebosanan sebagaimana disyairkan oleh seorang penyair zaman Jahiliah, Zuhair bin Abi Salma. Dalam kebosanan itulah dia kembali mendagangkan apa yang selama ini gagal dilaksanakannya. Sayang sekali jiga lantunan kebosanan itu yang diambil orang dan diseminarkan.

سئمت تكاليف الحيـاة ومن يعش*****ثمانين حولا لا أبـا لك يسأم

" Aku telah jemu denga bebanan hidup dan siapapun yang hidup sepanjang 80 tahun sudah tentu akan dihimpit rasa kejemuan"

Para ilmuan logika yang bertempel dengan Islam di Malaysia sangat suka memetik buah kebosanan lelaki tua di hujung usia seperti itu. Siapakah para ilmuan penasaran tersebut?

Kalimatun Sawa'

January 11, 2013



قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئاً وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ


Katakanlah: "Hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah". jika mereka berpaling Maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)".

(Surah Ali Imran: Ayat 64)


Kalimatun Sawa' di antara kaum muslimin dengan Yahudi dan Nasrani adalah Allah. Iaitu Allah yang disembah tanpa kesyirikan. Allah yang disembah tanpa andadan yang menghantui. Allah perintahkan nabi agar mengajak para Yahudi dan Nasrani kembali kepada persamaan tradisi itu. Janganlah bersengketa yang tidak berkesudahan.

Apa ertinya seruan untuk berpaksi kepada kalimatun sawa' jika kalimah Allah tidak dibenarkan penggunaannya di kalangan ummat Kristian. Bertemu atas kalimah Allah adalah langkah ke arah menjernihkan kalimah tersebut dari kesyirikan. Jalan dakwah terbentang di sebalik kesatuan Tuhan di kalangan semua manusia. Jika ada manusia kafir yang mahu bertuhankan Allah, maka di pundak ummat Islamlah tanggungjawab menjelaskan siapa Allah yang sebenarnya. 

Allah adalah Tuhan sekelian alam. Tuhan manusia, haiwan, jamad dan juga Tuhan kepada para malaikat dan syaitan!

Pembela kebaikan dan kejahatan tak pernah berpadu.

June 12, 2010

Jika kita menjadi pembela kebaikan, Alhamduillah! Allah telah memilih kita untuk berada dalam partinya. Berada dalam parti Allah secara prinsip sudah cukup baik dan bertuah,  tetapi tidak cukup. Pembela kebaikan juga hendaklah berada dalam parti Allah secara' intima' total mencakupi prinsip, pemikiran,sikap dan tindakan.

Jika ada yang menjadi pembela kebaikan, maka demikianlah kejahatan juga ada pembelanya.Dalam dunia ini, kebaikan dan kejahatan pasti saling bersaing. Satu ketika kejahatan akan mendominasi  keadaan dan pada satu ketika yang lain kebaikan akan mendominasi keadaan.

Selama bernama dunia, syurga tidak akan menjelma dalam seluruh kehidupan di dunia. Syurga mungkin ada pada setengah tempat dan tidak mungkin di semua tempat. Syurga mungkin wujud dalam setengah masa dan tidak mungkin semua masa. Syurga bagi semua tempat dan masa cuma ada di akhirat. Itulah syurga yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.

Persaingan antara kebaikan dan kejahatan ini adalah satu yang pasti. Dalam Al-Quran Allah SWT menyebutkan istilah 'wali Allah' dan 'wali syaitan'. Kedua-duanya mengikuti dua jalan berbeza yang penghujung tidak mungkin akan bertemu. 

Anda telah berjaya mengkaderkan sekian ramai pendokong parti Allah. Namun anda jangan lupa bahawa dalam masa yang sama, sekian banyak juga pendokong parti syaitan telah berjaya dikaderkan. Persaingan ini akan terus berlanjutan sehingga ke hari kiamat. Tak usah keluh kesah menghadapi realiti ini. Janganlah berharap bahawa pengkaderan pendokong parti syaitan akan bantut dan tidak lagi berhasil mengeluarkan sebarang produksi. Itu tak mungkin kerana sunnah Allah menentukan bahawa ada dua jalan.

Hanya, buat anda yang terpilih untuk mendokong perjuangan kebaikan dan bernaung di bawah parti Allah serta terselamat daripada perjuangan kejahatan dan tersisih daripada parti syaitan, bersyukurlah dan istiqamahlah.

Saat seluruh dunia seperti sepakat mengutuk kezaliman Yahudi Zionis, ada beberapa kelompok masyarakat dunia yang mendokongnya. Ada juga negeri yang menzahirkan sokongan nyata buatnya. Kalaupun tidak menyatakan dokongan terbuka, ada yang masih bersikap lunak terhadap Yahudi Zionis.

Sebuah negara bernama Finland yang terletak di semenanjung Scandinavia, utara benua Eropah dan dihuni bangsa Nordik secara terang-terangan membuat demontrasi menyatakan sokongan kepada negara haram Israil dan membela tindakan Yahudi Zionis menawan kapal bantuan kemanusiaan Mavi Marmarra dan Rachael Corry.

Ribuan berdemontrasi di Helsinki, Filandia menyatakan sokongan kepada Israil

Demikianlah, jika ada yang membenci, mencela, mengutuk dan mencemuh Yahudi Zionis, maka adalah yang akan membela, memuji, menyanjung dan mempertahankan Yahudi Zionis!

Kalau negara Finland, muncul kelompok ramai yang membelaYahudi Zionis,itu tidak cukup menghairankan. Dalam kekagetan dengan corak berfikir dan bertindak melawan warga Finland kita mungkin boleh mengandaikan bahawa pengaruh Yahudi Zionis kuat berakar umbi di sana. Tidak hairanlah mengapa talifon bimbit jenama Nokia yang merupakan salah satu produk yang dikaitkan dengan Yahudi dikeluarkan dari sana (pengguna handphone seharusnya berusaha mengelakkan memilih jenama nokia sejajar dengan kempen boikot barangan Yahudi).

Namun, kenyataan Mahmud Abbas, presiden negara Palestin di New York sewaktu bersidang bersama para pemimpin Yahudi baru-baru ini bahawa beliau tidak menolak hak Yahudi Zionis untuk membina negara di bumi Palestin adalah kenyataan janggal daripada seorang pemimpin yang mewakili rakyat Palestin sendiri. Dalam keadaan dunia mengutuk Yahudi, dia masih bersikap lunak kepada Yahudi Zionis itu.

Islam terfitnah oleh pemimpinya.

Apa boleh buat, jika ada yang tidak Yahudi Zionis, ada yang mencintainya. Meredhai kekejaman Yahudi tidak beza dengan mereka yang mencintainya!

Pembela kebaikan dan kejahatan saling bersaing. Jika demikian halnya dalam isu Palestin yang cukup jelas untuk diputuskan oleh akal yang waras, maka jangan hairan kalau di Malaysia akan ada pembela kejahatan. Di saat suara-suara membantah judi bola sepak rancak dan kelihatan suara sepakat ramai orang, jangan takjub kalau ada suara-suara yang membelanya.

Gambar hiasan-sumber oh!Tidak

Demikian kerana setiap kebaikan ada pembelanya. Kejahatan juga ada pembelanya. Pembela kebaikan, secara prinsipnya mereka di pihak parti Allah siapa pun mereka. Sekalipun mereka bukan Islam. Namun, keberadaan dalam parti Allah menuntut intima'. Pembela kejahatan secara prinsip atau tidak, mereka tetap dan pasti dalam parti syaitan. 

Menyelongkar sentimen penyatuan

January 4, 2010

Beberapa waktu dahulu, sentimen bangsa melayu dimainkan untuk menyeru ke arah perpaduan. Waktu itu, ada sekelompok melayu yang berdemo di depan Komtar,Pulau Pinang membantah dasar kerajaan negeri yang dikatakan mencabar DEB. Kemudian, beberapa kenyataan yang mengkritik sultan oleh beberapa individu bukan Melayu tertentu dilebelkan sebagai cobaan mencabar kesabaran orang Melayu. Bermacam-macam khazanah kebanggaan melayu dibongkar untuk menyeru penyatuan Melayu. Dengan ertikata lain bersatu di bawah satu semangat kemelayuan yang diperjuangkan oleh pertubuhan terunggul Melayu sejak beberapa dekad terdahulu.

Namun, segala pusaka kemelayuan yang dikeluar dan diperasap kemeyan untuk memanggil ruh penyatuan atas semangat melayu itu tidak berjaya.Pak dukun penyeru penyatuan dengan perdupaan kemelayuan itu tidak juga berjaya memanggil segala ruh dan kuasa-kuasa  baik dan jahat serta jin-jin untuk menyatu dalam dalam dirinya.

Setelah fomula kemelayuan gagal dimainkan, kini fomula penyatuan atas isu agama pula dimanipulasi. Inilah eksperimen-eksperimen politik untuk mengaut penyatuan. Bukan demi agama yang mahu dimartabatkan kerana selama ini agama banyak dimampatkan.

Sebab itu, persoalan isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam ini hanya menjadi alat.Alat untuk mencuba ramuan penyatuan melayu. Apabila timbul isu ini, keluarlah seruan, "mari kita bersatu mempertahankan Islam dan buang perbezaan fahaman politik...".PAS, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, melalui sesetengah pimpinannya terus mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai rasmi, bahawa PAS berdiri di belakang JPM dalam mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Isu penggunaan nama Allah itu sepele. Kemahuan sesetengah pihak agar nama Allah dilarang untuk digunakan oleh bukan Islam adalah berdasarkan kebimbangan yang bermain dalam andaian wujudnya agenda musuh Islam. Musuh Islam selamanya menyusun agenda dan umat Islam tidak sayugia tinggal dalam kebimbangan semata-mata.

Untuk menghukumkan sesuatu itu haram atau harus tidak boleh didasarkan kepada andaian dan teori. Apalagi untuk didasarkan kepada peruntukan perlembagaan yang dicipta oleh manusia. Penetapan haramnya penggunaan nama Allah oleh orang kafir hendaklah dihujahkan dengan dalil. Sesuatu itu bermula dengan harus dan hanya dalil Al-Quran dan Hadis sahaja yang boleh mengharamkannya. Kita seharusnya jujur dalam menegakkan prinsip penetapan hukum dalam Islam. Kita tidak seharusnya bermain dengan pesona kemungkinan itu ini yang dikaitkan dengan waqi' , kebimbangan dan sebagainya.

Aku tidak suka meloncat bersama orang yang meloncat dalam isu ini. Aku mahu tahu kerana apa aku perlu meloncat.Adakah perloncatan itu diperintahkan oleh Allah melalui Al-Quran maupun gesaan nabi Muhammad melalui as-Sunnah.Orang yang suka meloncat, kemungkinan besar, tanpa sedar dijadikan batu loncatan.Sesetengah yang meloncat itu lebih kepada memperlihatkan dirinya sebagai juara perjuangan Islam sedangkan perjuangan Islam bukan bersifat tindakbalas terhadap isu. Perjuangan Islam bukan bermusim dan muncul bila ada isu dan senyap menyepi bila tiada isu.

Inilah pandanganku...wala ubali...

Perjuangan mempopularkan Allah.

January 3, 2010

Perjuangan Islam bukan pada persoalan menjadikan nama Allah sebagai milik mutlak orang Islam serta melarang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah agung nama Tuhan segala makhluk tersebut. Bukan satu yang mengkagumkan di kala melihat sekumpulan orang berarak berdemontrasi menuntut supaya penggunaan nama Allah dilarang di kalangan orang kafir. Bukan satu yang mengharukan melihat semangat kalangan ini dalam mempertahankan agamanya. Mempertahankan agamanya dalam rupa eksklusif yang terpisah daripada mendakwahkannya keluar dari kelompok sendiri.

Persoalan penggunaan nama Allah kelihatan membingungkan banyak pihak. Ada yang  mengambil pendekatan tertutup, muktamad dan "lawan habis-habisan' serta melarang secara mutlak penggunaan nama Allah di kalangan orang bukan Islam. Ada yang mengambil pendekatan terbuka dan rasional dalam isu ini dengan mengatakan 'Allah for All', Allah Tuhan untuk semua dan sebagainya.

Memang membingungkan. Isunya bukan besar.Isunya,  berebut hak menggunakan nama Allah.

Islam bukan agama monopoli. Hal ini perlu disedari oleh semua orang yang mengaku Islam.  Seorang yang telah lama menganut Islam, jangan merasakan Islam itu agama miliknya. Orang yang tidak atau belum masuk Islam dilihatnya sebagai orang luar dan akan kekal luar Islam selamanya. Sesunguhnya Islam itu milik Allah semata-mata. Dia berhak memberikan Islam kepada siapa sahaja. Sebagaimana Islam itu milik Allah, demikian pulalah nama Tuhan yang disembah dalam Islam. Nama Allah. Ia bukan milik orang Islam tetapi milik Allah. Yang menjadi hamba kepada Allah bukan orang Islam semata-mata. Semua makhluk adalah hamba kepada Allah hatta haiwan dan tumbuhan. Apa lagi kalangan manusia, kendatipun enggan beriman kepada Allah.

Perjuangan sebenar adalah mempopularkan Allah. Allah sebagaimana yang tertancap dalam akidah kita. Inilah seruan nabi Muhammad kepada golongan Yahudi dan Nasara. Kita mencari titik persamaan agama kita dengan agama-agama lain. Allahlah titik persamaannya. Agama Islam berbeza dengan Yahudi  dan Nasara pada keimanan terhadap nabi Muhammad tetapi bersatu dalam mempertuhankan Allah. Itulah yang akan kita serukan. Itulah yang kita harus popularkan. Biar semua orang kenal Allah. Biar Allah menjadi jambatan yang menghubungkan antara agama. Biar semua orang bila sebut Tuhan, dia tahu itulah Allah. Biar semua orang bila dengan perkataan 'God', itulah Allah.

Setelah itu, bermula pada mempertuhankan Allah, kita dakwahkan hakikat Allah yang sebenar. Usah bimbang dengan agenda kristianisasi dalam soal penggunaan nama Allah. Sama ada mereka mahu menggunakan nama Allah atau tidak mereka tetap merancang agenda mereka. Orang kafir sentiasa merancang dan menyusun agenda mereka. Allah juga punya perancangan dan agenda. Buang masa kita menyimpan bimbang tentang agenda mereka. Buang masa kita memikirkan agenda mereka. Lebih baik fikiri agenda kita. Apakah kita beragenda ? Atau berbuat menurut sekehendak hati sahaja? Apakah kita punya agenda yang terancang dalam soal penggunaan nama Allah atau sekadar melepas emosi dan kemarahan?

Kita bimbang tentang agenda kristianisasi tetapi kita tidak bimbang dengan kontangnya agenda kita. Apakah selamanya kita bersikap defensif dalam soal dakwah agama?

Sebab itu, aku tidak tertarik dengan isu penggunaan nama Allah ini. Kalau mahkamah dah putuskan begitu, biarlah. Keputusan mahkamah itu nampak luarannya memenangkan pihak gereja. Namun, siapa boleh tahu, satu keputusan yang kita tidak suka bakal menguntungkan kita untuk jangka masa panjang.  Jadikan perasaan rugi para sahabat terhadap terma berat sebelah perjanjian hudaibiyyah yang akhirnya menguntungkan  Islam sebagai iktibar dalam peristiwa masa kini.

Banyak perkara lain yang boleh kita buat daripada bermerah muka dan mengeringkan halkum menyuarakan bantahan. Perjuangan mempopularkan Allah lebih utama daripada perjuangan mengeksklusifkan Allah.

Inilah pandanganku. Sekian.


Zakat untuk anak yatim?

September 14, 2009

Di kampungku, jawatankuasa masjid diberi kuasa oleh Majlis Ugama untuk memungut zakat fitrah dan membahagikannya. Kutipan zakat fitrah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan dan biasanya pada malam-malam penghujung Ramadhan, satu majlis akan diadakan untuk membahagi-bahagikan zakat kepada mereka yang layak. Pihak yang layak menerima zakat berdasarkan nas ada lapan sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran:

إنما الصدقات للفقراء والمساكين والعاملين عليها والمؤلفة قلوبهم وفي الرقاب والغارمين وفي سبيل الله وابن السبيل فريضة من الله والله عليم حكيم‏

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

(At-Taubah: Ayat 60)


Jawatankuasa masjid diketuai imam telah memutuskan untuk memberikan zakat kepada anak-anak yatim. Semua anak yatim telah dijemput untuk menerima pembahagian zakat pada tarikh yang telah ditentukan. Aku menegur imam mengenai kriteria pemilihan tersebut. Aku menjelaskan bahawa anak yatim bukanlah mustahaqqin zakat. Justeru, memberikan zakat kepada anak yatim adalah salah.

Banyak pihak bermurah hati kepada anak yatim. Sememangnya membela anak yatim amat digalakkan oleh agama. Dalam banyak ayat al-Quran, perintah berbuat baik kepada anak yatim ditekankan dan dilarang keras memakan harta-harta anak yatim. Termasuk yang menunjukkan kemurahan hati kepada anak-anak yatim adalah badan-badan pengurusan zakat di negeri-negeri di Malaysia.

Utusan Malaysia bertarikh 13 September 2009 melaporkan bahawa kira-kira 100 orang anak yatim dari Asrama Penyayang Nur Iman dan Teratak Nur Insan dari Setapak telah dibawa membeli belah keperluan raya oleh PPZ-MAIWP. Setiap anak yatim tersebut diberikan kouta RM300.00 seorang untuk membeli keperluan mereka. (Rujuk berita: Utusan)

Tentunya membantu anak yatim adalah terpuji. Cuma tindakan memperuntukan wang zakat kepada kumpulan tertentu atas kapasiti sebagai anak yatim adalah terkeluar dari panduan hukum pembahagian zakat yang telah disebutkan dalam al-Quran.

Memberikan zakat kepada anak yatim tidak salah jika anak yatim tersebut dari kalangan faqir miskin. Tidak semua anak yatim faqir miskin. Malah ada kalangan anak yatim yang menghuni rumah-rumah anak yatim adalah dari keluarga yang berada. Jika begitu, mereka tidaklah layak menerima zakat.

Perlu dijelaskan bahawa zakat tersebut bukan untuk anak yatim tetapi faqir miskin di kalangan anak yatim. Ini adalah agar masyarakat tidak tersalah faham mengatakan anak yatim berhak menerima zakat.

Rujuk fatwa:Islamweb
ٌ

Membina replika pemimpin adalah haram

August 11, 2009

Baru-baru ini, timbul isu replika gergasi perdana menteri DS Najib Tun Abd razak di perkarangan kompleks kuil Batu Caves. Ia ditimbulkan oleh ADUN Batu Caves Amirudin Shari yang mempertikaikan pihak-pihak yang membantah keras replika DS Anwar Ibrahim yang dibina di kawasan yang sama sebelum ini. Ketika replika DS Anwar ditegakkan di sana, kalangan UMNO dan juga Mufti Negeri Perlis pada masa itu menyifatkannya sebagai tradisi keberhalaan yang diharamkan Islam. Akibat respon sepontan dan pantas tidak datang ketika replika DS Najib dibangunkan, ADUN batu Caves tersebut mempertikaikan sikap dualism itu.

Sama ada replika DS Anwar Ibrahim atau DS Najib Tun Abd Razak, kedua-duanya adalah tidak wajar dibangunkan. Membina replika pemimpin akan membawa kepada unsur pemujaan berlebihan yang akhirnya menghidupkan amalan keberhalaan.


Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Islam mengharamkan membina patung bagi makhluk yang hidup seperti manusia dan haiwan. Keharaman itru bertambah bersar jika makhluk tersebut adalah makhluk yang diagungkan dan dimuliakan seperti raja-raja, nabi-nabi, binatang-binatang sembahan agama tertentu seperti lembu dan sebagainya. Dalam situasi tersebut ia menjadi bertambah haram dan kekadang dekat kepada kufur. Barangsiapa menghalalkannya, dia adalah kafir.

Islam amat menjaga ketauhidan. Setiap sesuatu yang boleh menggugat akidah tauhid, maka Islam melarangnya termasuk pintu-pinttu yang boleh membawa kepadanya.

Sesetengah orang memberi alasan untuk membolehkan membina patung dengan mengatakan pengharaman membina patung adalah ketika zaman manusia menyembah berhala dan zaman itu telah berlalu. Keadaan telah aman sehingga membina patung tidak membawa manusia kepada menyembahnya. Dakwaan sebegini adalah tidak boleh diterima. Realiti yang di depan mata kita, ramai lagi manusia yang menyembah patung. Penganut hindu masih menyembah patung dewa dewi dan menyembah lembu-lembu. Mereka yang tidak menyembah patung, menyembah tangkal-tangkal azimat yang digantung pada badan dan dalam kereta. Mereka memepercayai benda-benda yang lain selain Allah. Justeru, justifikasi apa yang mengatakan manusia zaman ini tidak akan kembali menyembah patung?

Islam menjaga dan mengharamkan semua jalan yang membawa kepada keberhalaan sekalipun bau-bau keberhalaan. Inilah sebab mengapa membina patung diaramkan.

Hanya patung mainan anak-anak yang dihalalkan. Selain itu haram belaka.

Justeru, patung siapa pun yang dibina di Negara kita, kita sifatkan ia sebagai haram. Darjat keharaman itu terletak kepada arca siapa yang dibina. Membina replika pemimpin pujaan adalah di antara keharaman tertinggi.

Kalau kita menoleh sejarah muncul amalan keberhalaan di kalangan manusia, ia berpunca daripada membangunkan arca pemimpin, ulama dan orang soleh. Pada zaman anak cucu nabi Adam, terdapat 5 orang soleh yang dinamakan Wadda, Suwa’, Yaghus, Ya’uq dan Nasra. Mereka adalah sanjunngan zaman tersebut disebabkan kesolehan mereka. Apabila mereka meninggal, didorong rasa cinta orang-orang sesudahnya, ditambah dengan pesona Iblis yang sentiasa berusaha menggelincirkan manusia, mereka bangunkan arca 5 orang tersebut. Arca yang pada mulanya sekadar sebagai tatapan melepas rindu dan inspirasi agar mencontohi dan meneladani kesolehan mereka, akhirnya bertukar menjadi pujaan dan sembahan di kalangan generasi berikutnya.

Hal ini boleh difahami dengan melihat kepada firman Allah SWT:

و قالوا لا تذرنّ آلهتكم و لا تذرنّ ودّا و لا سواعا و لا يغوث و يعوق و نسرا و قد أضلّوا كثيرا و لا تزد الظالمين إلا ضلالا

Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasra. Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.

(Surah Nuh: Ayat 23-24)

Sebab itu, Islam mengharamkan membina patung.Semua jenis patung tidak harus dibangunkan dalam sebuah negara umat Islam. Patung-patung pemimpin yang menjadi sanjungan paling dilarang kerana ia paling dekat dengan pemujaan. Patung-patung lain juga diharamkan mengikut tahap masing-masing.

Patung-patung yang menjadi hiasan di bandar-bandar utama di seluruh negara kita adalah berhala-berhala kecil yang tidak wajar ditegakkan. Keharamannya tidaklah sebesar membangunkan patung-patung pemimpin negara, namun ia tetap diharamkan oleh Islam.

Arca helang di bulatan helang Taman fajar Sandakan.


Arca Burung di Bulatan Burung, Sandakan.


Patung Al-Khawarizmi

Patung Ibnu Rusydi

Patung Salehuddin Al-Ayubi.


Patung-patung tokoh-tokoh sanjungan bukan sahaja dibangunkan oleh orang-orang kafir tetapi dibangunkan juga oleh orang-orang Islam. Entah justifikasi apakah, maka patung ulama-ulama Islam dibina dalam sesetengah negara yang mempunyai tradisi keislaman yang yang telah lama dan berabad.

Islam mengharamkan pembinaan patung sebegini kerana ia akan mendedahkan ummat kepada memuja atau sekurang-kurangnya bertafakur di depan patung-patung binaan tersebut. Lihatlah bagaimana sambutan hari pahlawan di Malaysia membawa amalan bertafakur di Tugu Negara yang terpacak atasnya patung-patung askar-askar yang tak dikenali rupa wajahnya.

Tugu Negara yang menjadi berhala sembahan atas nama semangat patriotik

Apatah lagi jika patung yang dikenali wajahnya!

Memahami Isu rusuhan etnik di Urumqi, Xinjiang, China.

July 9, 2009

Negara China punya sejarah tamadun yang panjang. China sebagai sebuah republik sebagaimana yang ada hari ini, telah diasaskan oleh Mao Zhedong pada 1 Oktober 1949. Ia diberi nama Republik rakyat China (RCC).

Dalam dunia ini, RRC adalah negara yang paling ramai penduduknya iaitu berjumlah 1.3 bilion. Mungkin kita boleh bayangkan betapa ramainya rakyat China jika kita terjemahkan dalam bentuk angka yang lebih panjang iaitu 1300,000, 000. Bandingkanlah dengan rakyat malaysia yang berjumlah sekitar 27,000,000.

Dalam jumlah penduduk yang begitu ramai, kira-kira 95 % adalah dari etnik Han. Di China terdapat tidak kurang daripada 56 etnik utama. Ini bermakna lebih daripada 1.2 bilion adalah daripada etnik Han.

Etnik Han dikenali juga sebagai Huaxia. Mereka mempunyai sejarah panjang kira-kira 5000 tahun dalam jatuh bangun sesebuah kerajaan yang memerintah China.

Dalam sebuah negara Republik Rakyat china hari ini, terdapat 2 wilayah yang diberikan kuasa autonomi pemerentahan etnik yang boleh dikatakan kawasan panas iaitu Tibet dan Xinjiang.

Di Xinjiang, pasa asalnya etnik Uighur merupakan etnik paling ramai. Mereka beragama islam. Akibat migrasi dari etnik-etnik lain di China, terutamanya Han, dominasi mereka sudah berkurangan. Di samping mojoriti mereka telah merosot, mereka juga menghadapi ancaman asimilasi dengan etnik yang berpindah ke Xinjiang yang tidak beragama Islam.

Sebagai contoh, dulunya bahasa Uighur menggunakan bahasa huruf-huruf Arab, tetapi disak oleh asimilasi dengan etnik-etnik lain, kini bahasa Uighur ditulis dalam tulusan latin. Mungkin kesnya sama dengan tulisan bahasa Melayu yang asalnya jawi, kini lebih popular ditulis dalam tulisan rumi.

Pemerintah RRC yang berideologi komunis pada era awal dahulu banyak mengambil langkah menutup sejumlah masjid dan melarang aktiviti sekolah-sekolah agama. Rakyat dipaksa menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan yang mengajarkan fahaman komunis marxis.
Masjid banyak terdapat di wilayah Xianjiang
Tiba-tiba...

Bumi Xinjiang bergolak. Mungkin arusnya sudah lama berolak di bawah permukaan yang nampak tenang. Cuma sekarang baru timbul.Lalu terjadilah rusuhan antara etnik Uighur dan etnik Han.

Ia menarik perhatian dunia Islam kerana walaupun Xinjiang berada dalam RRC, ia adalah wilayah yang paling ramai rakyat Islamnya di Cina. Kita perlu memandang berat perkembangan di sana sebagaimana kita mendang berat isu-isu berkaitan Palestin.

Terdapat khabar-khabar angin yang menceritakan bagaimana rusuhan ini boleh tercetus.

Rusuhan itu bermula semasa satu demonstrasi jalanan selepas pembunuhan dua pekerja Uyghurs oleh etnik Han di Shaoguan, Guangdong dalam satu pertandingan antara pekerja-pekerja Uyghur dan Han pada 25 Jun 2009 dan bertukar menjadi ganas dan kejam. Pembunuhan di Guangdong berpunca apabila berlaku gangguan seksual terhadap pekerja wanita oleh rakan sejawatan Uyghur dan khabar angin bahawa ada lelaki Uyghur yang merogol wanita Han di sebuah kilang Shaoguan. Rusuhan Urumqi bermula selepas satu bantahan diadakan di pasar Besar dan mereka mengecam pengendalian kerajaan terhadap insiden itu. Ramai pihak mendesak polis China melakukan siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan itu. Orang Uyghur mengatakan pihak berkuasa gagal melindungi pekerja-pekerja Uyghur, atau menahan mana-mana Cina Han yang terlibat dalam jenayah itu.

Pegawai kerajaan pusat menyanggah dakwaan perusuh. Mereka dianggap cuba "menghalang dan melakukan keganasan jenayah terancang", "memulakan dan diarah dari luar negara, dan menjalankan pemberontakan dalam negara". Ini ada kaitan dengan Pergerakan kemerdekaan Turkestan timur dan kuasa-kuasa luar menyokong kemerdekaan Uyghur dipimpin oleh pembangkang Uyghur Rebiya Kadeer yang tinggal di luar negara. Nur Bekri, pengerusi kerajaan serantau Xinjiang, berkata dalam satu ucapan pada pagi 6 Julai bahawa "sesetengah kuasa-kuasa pembangkang luar negara" mengambil kesempatan bagi pembunuhan Shaoguan untuk "melaga-lagakan pergolakan Ahad dan menghakis perpaduan etnik dan kestabilan sosial dalam negeri bebas, dengan satu tujuan untuk berpecah negara". Kongres Dunia Uyghur yang baru diadakan dikatakan cuba menghasut dan menimbulkan kegelisahan melalui Internet. Mereka menjadi lebih berani untuk 'melakukan sesuatu yang besar],' tetapi Rebiya Kadeer telah menafikan tuduhan-tuduhan itu dengan menyatakan dirinya tiada kena-mengena.


Sumber: Wikipedia




Sehingga 8 Julai, dilaporkan 156 maut dan lebih 1000 telah ditahan. (Rujuk: Utusan Malaysia)



Pihak kerajaan mendakwa rusuhan tersebut didalangi oleh pemisah Kongres Uighur Sedunia diketuai Rebiya Kadeer. Tindakan keras telah diambil dengan menangkap pihak-pihak yang dirasakan bertanggungjawab.Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, sikap keras pemerintah China dalam menanngani konflik ini amat dikesali. (Berita harakahdaily)
Rebiya Kadeer

Petikan Dari:Utusan Malaysia

Oleh Ismail Hasyim Yahaya(Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia)

KEGANASAN pihak berkuasa China ke atas masyarakat Islam etnik Uighur di Urumchi, ibu negeri Xinjiang seolah-olah tidak menggambarkan hubungan China dengan sejarah dan negara-negara Islam.

Masih tidak pasti berapa ramaikah yang meninggal dunia dalam keganasan tersebut tetapi sekurang-kurang 158 orang mati dan lebih 800 lagi mengalami kecederaan. Beratus lagi telah ditahan.

Ia mungkin merupakan tindakan paling kejam terhadap pembangkang sejak tindakan di Tiananmen Square lebih 20 tahun lalu.

Tindakan ini menyebabkan umat Islam mempunyai pandangan negatif terhadap China.

Menurut media kerajaan China, pertembungan pada Ahad lalu tercetus selepas demonstrasi menentang kerajaan yang didakwa tidak mengendalikan pertikaian industri dengan adil hingga bertukar menjadi ganas.

Para aktivis berkata pertembungan bermula apabila pihak polis cuba meleraikan suatu demonstrasi aman selepas kematian dua orang pekerja Uighur di sebuah kilang alat permainan dalam perkelahian dengan kakitangan etnik Han Cina pada bulan lalu.

Pekerja kilang etnik Uighur mahukan keadilan ditegakkan dalam kes tersebut.

Menurut Al Jazeera, protes di Urumqi dilakukan secara aman dan bukan ganas seperti mana yang didakwa oleh pihak berkuasa China.

Kerajaan China mendakwa seorang pemimpin wanita dalam buangan, Rebiya Kadeer dan seorang ahli perniagaan Uighur sebagai perancang di sebalik tabir kepada rusuhan yang berlaku.

Beliau telah dipenjarakan selama bertahun-tahun di China sebelum dibebaskan dan tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat (AS) di mana beliau sekarang mengetuai Kongres Uighur Sedunia.

Dalam kenyataan yang dipetik oleh Al-Jazeera, Gabenor wilayah Xinjiang, Nur Bekri berkata: "Pada 5 Julai, Rebiya telah berbual melalui telefon sebagai usaha mencetuskan rusuhan dan laman-laman web seperti Uighurbiz.com dan Diyarim.com digunakan bagi menghasut dan propaganda.

Rebiya, 62 tahun, ibu kepada 11 orang anak menolak tuduhan yang dianggap palsu itu.

"Saya tidak menganjurkan sebarang bantahan atau menggesa penduduk supaya mengadakan demonstrasi," katanya.

Sebaliknya, menurut Rebiya, beliau menelefon abangnya di Xinjiang apabila mengetahui berlakunya keganasan di Uumqi dan menasihati saudara-maranya supaya menjauhkan diri daripada demonstrasi itu.

Masyarakat Islam Turkic Uighur adalah penduduk asal Xinjiang. Mereka pernah menikmati kebebasan singkat dalam pentadbiran dan pemerintahan. Tetapi sejak 20 tahun lalu dasar-dasar Beijing telah melahirkan ketidakpuasan kepada mereka terutamanya berkaitan dengan penempatan semula jutaan etnik Han Cina ke wilayah mereka.

Seperti yang dialami masyarakat Palestin, rumah-rumah etnik Uighur telah dimusnah untuk memberi laluan kepada kemasukan etnik Han malah budaya mereka di kesampingkan dan kini menjadi minoriti di wilayah sendiri.

Banyak pekerjaan telah dikuasai etnik Han. Di sinilah bermula kegiatan memperjuangkan nasib bangsa yang dikategorikan pihak berkuasa China sebagai pengganas.

Kumpulan-kumpulan Uighur mengatakan dasar-dasar kerajaan yang menindas demi memberikan tempat kepada penghijrahan etnik terbesar China, kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan.

Kejadian rusuhan dan ketidakpuasan etnik Uighur tidak mendapat liputan meluas di persada media antarabangsa. Malah lebih menyedihkan umat Islam serata dunia tidak mempedulikan penindasan yang dialami masyarakat Turkic Uighur ini.

Apa yang dilakukan oleh China dan pihak berkuasanya seolah-olah menyamai apa yang dilakukan Yahudi Zionis ke atas penduduk Palestin.

China tidak boleh memberikan alasan bahawa apa yang berlaku adalah urusan dalam negaranya dan dunia tidak boleh masuk campur. Dunia bukan seperti dahulu dan China harus sedar bahawa dalam era globalisasi apa yang dilakukan dan cuba ditutupnya akhirnya akan diketahui kelak.

Tindakan Presiden China, Hu Jintao yang tidak menghadiri Sidang Kemuncak G8 di Itali dan kembali ke Beijing menunjukkan peri penting kejadian yang berlaku itu.

Etnik Islam Uighur mahukan keadilan serta laungan mereka harus mendapat pembelaan daripada kerajaan China. Pihak berkuasa China tidak harus menyalahkan etnik Islam Uighur sahaja dalam setiap rusuhan yang berlaku.