Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Kasihan keluarga si mati!

December 15, 2010

Ada jemputan solat jenazah di kampung Kerasak hari ini. Malam kelmarin ada orang meninggal di kampung Bagan. Minggu lepas di kampung Sireh. Ketiga-tiga jemputan solat jenazah itu aku gagal menghadirkan diri. Ada baiknya juga aku gagal hadir solat jenazah tersebut. Setiap orang yang hadir solat jenazah dibayar RM5. Terpulang kepada kita sama ada mahu terima atau tidak. Namun, ramai yang datang solat menerima bayaran tersebut atas alasan sedekah daripada keluarga si mati untuk menjadikan pahalanya buat si mati. Untuk yang datang berkereta, jika kereta itu kereta biasa seperti Kancil atau Proton Saga, pemandunya akan diberikan RM10. Jika kereta itu jenis Van, pemandunya diberikan RM20.
 

Demikianlah adat yang diamalkan di kawasan ini. Kawasan lain aku tidak pasti. Namun, yang pasti, adat sebegini aku tak temui di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur maupun Sandakan. Di kampung-kampung di Sabah pun tiada adat kebiasaan seperti ini. Sebenarnya, ini bukan adat semata-mata. Ia telah dikaitkan dengan agama kerana dikatakan sedekah dan tujuannya menambahkan pahala buat si mati.
 

Setiap keluarga yang menghadapi musibah kematian, secara paksa rela perlu memenuhi tuntutan kebiasaan masyarakat sebegini. Jika tidak, secara peribadi keluarga tersebut akan merasa malu. Masyarakat akan membuat pelbagai andaian. Sebahagiannya mungkin positif dan simpatik. Namun sebahagian akan pesimis dan prasangka. Jumlah orang yang datang untuk solat jenazah pun tidak akan ramai.


Masibah di atas musibah. Demikianlah situasi yang dapat kita rasakan bagi keluarga si mati. Dari pengurusan jenazah sehinggalah majlis-majlis tahlil yang diadakan pada malam-malam sesudah kematian, semuanya merupakan tambahan kepada musibah sedia ada yang sedang ditanggung keluarga si mati. Kemudian, ditambah pula dengan amalan upah mengupah dalam amal ibadat untuk dikirimkan pahalanya kepada si mati, semuanya dengan sejumlah harga yang perlu dibayar oleh keluarga si mati. Upah solat sunat hadiah, menjaga kubur, baca Quran di kubur, meratib 70 ribu kali dan banyak lagi tambahan baru yang sedang dijual oleh mereka yang menjanjikan pahala untuk kiriman buat si mati!
 

Siapa yang akan membela penindasan yang ditimpakan kepada masyarakat ini? Ada individu yang membantah amalan sebegini tetapi kuasa dan pengaruh mereka yang mempertahankannya lebih besar. Seperti biasa, penentang amalan seperti ini akan terpalit dengan tuduhan sebagai wahabi. Siapa yang yang berani secara terbuka mengistiharkan bara'ah daripada kebiasaan ini, akan secara terbuka pula dituduh sebagai wahabi.
 

Akal yang sihat boleh mengenal keburukan kebiasaan ini. Namun, akal yang mencetak agama dalam otak dan amalan secara taqlid akan menghalalkannya dan ditambah pula dengan kepentingan pamrih laba duniawi yang sedikit. Aku ingin sekali meringankan beban keluarga si mati, tetapi kekuatan besar diperlukan untuk meruntuhkan legasi songsang yang mencengkam ini. Legasi songsang yang diwarisi melalui restu tokoh agama yang menunjangi masyarakat desa.
 

Setiap kali berlaku peristiwa kematian di kawasan ini, terlintas dalam benakku...Kasihan keluarganya.


Ayohlah para da'i yang punya nama dan kehormatan di desa, jujurlah dengan ilmu dan bantulah masyarakat yang teraniaya.

Doa Akhir dan Awal Tahun Bukanlah Sunnah.

December 6, 2010

Tahun lepas, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun dibuat di Masjid Negara dan diraikan secara rasmi dengan kehadiran Yang Dipertuan Agung serta ramai pimpinan utama negara. Timbul pertanyaan di kalangan tertentu, apakah doa akhir tahun dan awal tahun itu sunnah? Dengan kata lain, apakah nabi Muhammad SAW melakukannya? Atau, apakah para sahabat mengamalkannya?

Jika dicermati dengan minda pencerahan, dengan mudah kita dapat menarik kesimpulan bahawa doa awal dan akhir tahun itu bukanlah sunnah. Ia dikatakan mudah kerana kita maklum bahawa di zaman nabi SAW tidak ada kalender hijrah yang dikira bermula daripada Muharram. Penggunaan taqwim hijrah yang memulakan Muharram sebagai bulan pertama dan tahun hijrah nabi SAW  ke Madinah sebagai tahun pertama hanya bermula pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Justeru bagaimana harus dikatakan ia sebagai sunnah?

Rangkaian doa yang dikatakan doa akhir tahun dan awal tahun itu pula bukanlah daripada nabi. Fadhilat yang dinyatakan untuk mereka yang membacakan doa tersebut di mana di katakan syaitan akan kecewa, diampunkan dosa untuk setahun itu dan aman daripada tipudaya syaitan untuk setahun mendatang adalah satu rekayasa yang tidak bersandarkan nabi SAW. Bagaimana kita boleh mempercayai bahawa nabi  SAW menitipkan satu doa dengan fadhilat tertentu dan ia dikaitkan dengan awal Muharram sedangkan Muharram pada zaman nabi SAW belum lagi dijadikan bulan pertama dalam taqwim Islam?

Berdoa memang bagus. Namun mengamalkan doa akhir tahun dan awal tahun seolah-olah ia adalah sunnah Rasul dan diberi pahala dan fadhilat tertentu bagi yang mengamalkannya adalah satu pencemaran kepada keaslian agama. Hanya Allah dan Rasul sahaja yang boleh menjanjikan fadhilat untuk sesuatu amal. Orang lain hanya membuat rekaan belaka! Rekaan atas nama nabi adalah jenayah!

Umar Al-Khattab meletakkan taqwim Islam bermula daripada bulan Muharram dan menjadikan tahun nabi berhijrah ke Madinah sebagai tahun pertama bukanlah untuk disambut. Lebih-lebih lagi , bukan untuk diritualkan dengan amalan yang disandarkan kepada agama seperti doa akhir tahun dan awal tahun. Ia adalah untuk memperlihatkan kebesaran peristiwa hijrah dan menjadi lambang tajdid hayat bagi setiap Muslim melaui konsep hijrah.

Bukan budaya Islam merayakan awal tahun seperti mana golongan kuffar meraya penghujung Disember dan awal Januari. Justeru, jika ditanya tentang apakah sunnah Rasulullah SAW sempena akhir tahun dan awal tahun, ia adalah persoalan yang perlu diketepikan dan tiada  jawapan untuknya.  Islam tidak menginstitusikan awal dan akhir tahun untuk diritualkan dengan amalan tertentu. Tiada sunnah khusus untuknya!


Tok Wan Li kembali kepada Rabnya

November 16, 2010

Takdir Allah telah menentukan bahawa ajal guru Al-Quranku, Tok Wan Li sampai setakat kelmarin sahaja. Kebetulan juga Allah mentakdirkan aku sempat bertemu dengannya di penghujung usianya biarpun pertemuan itu tidak mengizinkan lagi dia berbual atau bertanya khabar. Saat aku sampai di kampung, aku menziarahi setelah berehat seketika. Aku melihatnya sudah terbaring sakarat. Anak-anaknya dan kaum kerabat silih berganti menziarahinya. 

Petang itu, aku datang melihatnya. Dia terbaring dengan mata terpejam. Dia sedang sakit. Sakit dalam perut. Ibuku kata ada bisul dalam perutnya. Beberapa orang menyebutnya sebagai barah. Abangku kata sakit dalam perut itu kebiasaan untuk orang tua seusianya. Usia Tok Wan Li telah menjangkau lebih 90 tahun. Sungguhpun sebelum ini dia amat sihat tapi, kelmarin dulu yang kulihat, dia telah kurus dan cengkung. Kali terakhir aku dihubungi Tok Wan Li melalui telifon ialah pada bulan Ramadhan yang lalu.  Ketika itu aku masih di Sabah. Dia menceritakan kepadaku tentang puasanya satu hari yang ditinggalkan kerana sakit. Aku mengatakan bahawa Allah memaafkan puasa yang ditinggalkannya itu.

Beberapa minggu yang lalu, ibuku memberitahu tentang sakit Tok Wan Li. Ibuku membayangkan kemungkinan aku tidak akan sempat bertemunya lagi. Aku berserah kepada Allah. Allah yang menentukan ajal. Aku sudah pernah kematian Al-marhum bapaku sewaktu aku di perantauan. Bagiku, pertemuan terakhir tidak lebih penting berbanding pertemuan sebelumnya. Apa yang paling penting ialah pertemuan di hari akhirat. 

Aku pulang daripada ziarah Tok Wan Li petang itu dan merasakan saat dia dipanggil Rabnya tidak lama lagi. Tetapi aku tidak tahu bila saat dan jamnya. Itu adalah rahsia Allah SWT. Namun, dia benar-benar sudah berada di penghujung hayat. Apa yang merungsingkan aku ialah kedudukan baringan Tok Wan Li yang diletakkan oleh anak-anaknya tidak menghadap ke arah kiblat. Aku melihat perlakuan qiam seperti dalam solat dilakukan oleh Tok Wan Li ketika sakitnya itu. Aku mendapat tahu, kedudukan Tok Wan Li tidak dihadapkan ke kiblat oleh anak-anaknya yang menjaganya sejak beberapa lama. Itulah merisaukan aku.

Petang itu aku berdoa kepada Allah agar memberikan aku kekuatan untuk melaksanakan misi penting merentangkan jalan akhir yang berbahagia buat Tok Wan Li. Aku mahu biarlah Tok Wan Li berhijrah meninggalkan dunia ini dalam keadaan berwuduk dan selesai solat yang dilakukan dalam keadaan suci. Sungguhpun perlakuannya memperlihatkan dia seperti solat, dia tidak diwudukkan. 

Selepas solat Maghrib di masjid kampungku, aku terus menziarahi Tok Wan Li sekali lagi. Ketika itu hanya ada  anak beranaknya. Aku duduk di sebelah Tok Wan Li yang kelihatan lali. Aku memberanikan diri untuk meminta izizn mengambilkan wuduk untuknya. Aku minta semangkuk air daripada anaknya. Alhamdulillah, mereka membawakan air tersebut. Aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa aku akan mewudhukkannya. Lalu aku wudukkannya. Aku celupkan tanganku ke dalam air dan sapu di muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki. Aku bisikan kepada Tok Wan Li bahawa aku telah selesai wudukkannya dan meminta kebenaran anaknya untuk mengubah posisi Tok Wan Li agar menghadap kiblat. Setelah itu, aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa dia telah menghadap kiblat dan boleh solat maghrib kerana maghrib sudah masuk.

Kami duduk diam di sisinya, melihatnya menunaikan solat. Aku tidak pasti apakah dia solat atau tidak. Namun, beberapa kali tangannya diletakkan atas dada seperti orang qiam.

Setelah aku rasakan dia selesai solat, aku beritahu Tok Wan Li bahawa aku akan bacakan surah Al-Kahfi dan memintanya mendengar. Setahuku, Tok Wan Li hafal surah itu kerana pada satu ketika dahulu, sewaktu aku membacakan surah itu di sisi datukku yang sakit, dia menegur satu kesalahan baris yang kulakukan. Aku baca beberapa puluh ayat yang aku ingat sahaja. Aku ulang beberapa kali ayat yang menegaskan agar jangan mensyirikkan Tuhan. Mudah-mudahan tipu daya Iblis sirna di perjalanan akhir Tok Wan Li.

Setelah insya telah menghampiri, aku minta diri. Sebelum pergi aku sekali lagi mengingatkan Tok Wan Li tentang masa. Ketika itu jam 8 malam. Sebentar lagi akan masuk  insya. Nanti, kalau sudah masuk insya, solatlah. Aku ingin belikan beberapa keperluan untuk Tok Wan Li di Kuala Nerang.  Aku andaikan bahawa hayat Tok Wan Li ada beberapa hari lagi. Itulah harapanku. Aku mahu beli pampes agar pakaiannya boleh sentiasa dibersihkan. Dengan itu mudah untuknya solat. Solat amat penting terutama di penghujung hayat.

Aku pulang lewat. Sampai di rumahku, aku mendapat panggilan telefon daripada adikku yang berada di rumah Tok Wan Li, bahawa Tok Wan Li telah kembali bertemu Rabnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Jam menunjukkan 10.20 malam. Itulah noktah muktamad untuk hayat seorang Tok Wan Li. Pada usia lebih 90 tahun. Pada khatimah yang baik, insya Allah

Semoga Allah menempatkan Tok Wan Li pada tempat terbaik di akhirat. Dia adalah guruku yang amat berjasa. Mengajarkan aku mengenal Al-Quran. Di kampungku, berapa ramai anak muda sebayaku, lebih muda daripadaku, malah lebih tua daripadaku, pernah punya pengalaman belajar Al-Quran di rumah Tok Wan Li dan bergurukan Tok Wan Li. Dari zaman pelita minyak tanah hinggalah zaman lampu kalimantang. Aku rasa bilangan murid Tok Wan Li amat ramai dan tidak tahu aku menjumlahmnya. Bukan angka puluh malah angka ratusan. Mungkin tidak ribuan. Namun, jika dicampurkan dengan murid kepada murid-muridnya, seperti murid-muridku, mungkin sudah ribuan.

Pagi tadi selepas solat Subuh, dalam remang pagi berembun, aku menziarahi pusara Tok Wan Li. Tidak jauh daripada pusara bapaku. Aku berdiri di sisinya sambil berdoa di kepada Allah...

" Ya Allah, Engkau tahu bahawa hambaMu yang sedang terbujur dalam bumi ini adalah guru yang mengajarkan aku baca Al-Quran. Berama ramai pemuda dalam kempungku, dialah guru mereka. NabiMu bersabda bahawa sebaik-baik orang ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya. Jadikanlah Al-Quran sebagai temannya dalam kubur, pembelanya di hari akhirat. Jadikan kuburnya satu taman syurga dan jauhilah daripada menjadi lubang neraka...amin

Aku bersaksi atas zawahir yang aku kuasai, Tok Wan Li menjalani husnul khatimah. "Wallahu yatawallas sara ir"

Kesatuan hanya ada dalam Islam

November 11, 2010

Firman Allah SWT:


وَلَوْ شَآءَ رَبّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ  إِلاّ مَن رّحِمَ رَبّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ


Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka.

(Surah Hud Ayat 118-119)

Perselisihan di kalangan manusia sering berlaku. Perselisihan itu terjadi dalam pelbagai aspek samada agama, pegangan, mazhab, pendapat dan sebagainya. Ikrimah mengatakan bahawa perselisihan yang dimaksudkan adalah dalam aspek hidayah. Hasan Al Basri menambah, perselisihan itu juga berlaku dalam soal razeki yang tidak sama rata. Namun, dalam konteks ayat sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Kathir, perselisihan itu adalah dalam aspek agama.

Semua manusia berselisih kecuali mereka yang memilih untuk mengambil jalan para rasul dan berpegang dengan perintah agama. Merekalah golongan yang mendapat rahmat Allah SWT sebagaimana ditegaskan dalam ayat. 

Golongan tidak berada di atas landasan petunjuk Allah SWT, walaupun mereka mereka satu negeri, satu bangsa dan satu agama, mereka sebenar berpecah. Kesatuan yang mereka pamerkan kepada kita hanyalah palsu. Namun, golongan yang berada di atas landasan petunjuk Allah, biarpun mereka berbeza negeri, berlainan bangsa dan berbeza mazhab, mereka adalah bersatu. Merekalah golongan yang mendapat rahmat yang mana terkecuali daripada penyakit perpecahan sebagaimana dapat difahami daripada ayat.

Jika dilihat daripada aspek perjuangan, hanya mereka yang berjuang untuk Islam sahaja yang benar-benar bersatu. Perjuangan untuk selain Islam tidak bersatu. Jangan terpesona dengan penampilan bersatu yang ada pada perjuangan selain Islam. Selama perjuangan Islam menjadi manhaj perjuangan, maka selama itulah kesatuan sejati akan menyertai.

Penyatuan dalam Barisan Nasional yang menyerlahkan seolah-olah ada penyatuan yang teguh antara komponen di dalamnya adalah solekan sahaja. Di dalamnya, hakikatnya berbirat dengan retakan dalam segala bentuk rupa. Perlumbaan, dengki, prasangka, pesimis dan opurtunis bergentayangan dalam kesatuan palsu mereka. Ini kerana perjuangan kebangsaan tidak pernah boleh diasosiasikan dengan Islam.

Dengan rahmat Allah, mereka yang berjuang untuk Islam akan diselamatkan daripada perpecahan itu. Peliharalah perjuangan Allah, nescaya Allah akan memelihara perjuangan anda. Inilah renungan yang amat penting buat para pejuang yang bersenandung lagu perjuangan dalam Pas. Biarpun sudah bertahalluf siasi dalam Pakatan Rakyat, Pas tidak boleh mengambil sikap "mudahanah" kerana ia akan meleburkan istiqamah. Bila istiqamah telah lebur, tiadalah lagi karamah dalam perjuangan kerana istiqamahlah semulia-mulia karamah. Jika karamah istiqamah sering mengiringi, rahmat Allah akan sentiasa bersama. Kesatuan pun menjadi mantap.

Manusia tanpa istiqamah dengan perjuangan bukan wali Allah walau sederet khawariqul 'adah dapat dipamerkannya. Demikian juga sebuah jemaah atau parti Islam,  tanpa istiqamah, tidak bermakna siri-siri kemenangan yang diraih atau sokongan padu yang menakjubkan. Tanda sebuah jemaah atau parti Islam itu terpilih menjadi wali Allah di bumi adalah apabila ia kekal istiqamah dengan jalan-jalan hidayah yang digariskan nabi dalam perjuangan.

Kalau begitu, tak perlu minta maaf.

November 10, 2010

Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan “dinosaur-dinosaur” politik termasuk DSAI bersara. Surat terbuka saya jelas dalam hal ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau berkecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Tokyo, Japan
.

Demikianlah penegasan semula Dr. Asri Zainal Abidin terhadap pendapatnya sebelum ini supaya DS Anwar Ibrahim bersara daripada politik. Surat terbuka yang dipaparkan dalam blognya bukanlah bermaksud dia meminta maaf sekaligus menarik semula pendapatnya. Dia masih berpendirian sebagaimana pendapatnya yang mula.

Dengan kata lain surat terbukanya kepada DSAI hanyalah basa basi. Campur tolak darab dan bahagi jawapannya sama. Dia mahukan DSAI berundur daripada politik. Alasannya, itulah jalan untuk melahirkan pembangkang yang kuat. DSAI telah tidak menyengat. Kebangkitan rakyat telah tidak dapat dijana olehnya.

Aku berpendapat Dr. Asri khilaf. Pendapatnya juga mencurigakan banyak pihak. Dengan mudah, dia boleh ditanggap sebagai alat kepada UMNO-BN walaupun dia menafikannya. Ini kerana pendapatnya merupakan serangan kepada jantung Pakatan Rakyat. Tambahan pula, pendapatnya mengenai kerajaan UMNO-BN sebelum ini tidak pula pernah menyentuh jantung UMNO-BN. 

Sebahagian pengkagum Dr. Asri tentunya telah mula memicing mata buatnya. Jika DSAI dikatakan zamannya telah berakhir, maka siapa boleh menyalahkan seseorang yang mengatakan bahawa kembang Dr. Asri telah menjadi kuncup sebelum tengahari. Jika kita boleh menafikan keperluan berlangsungnya denyut nadi politik seorang figur, maka demikianlah orang juga boleh menafikan keperluan seorang ilmuan sepertinya dalam masyarakat. Jika kita senang memberi pandangan tentang orang lain, maka kita jika harus berlapang dada dengan kritikan orang terhadap kita.

Sekarang Dr. Asri telah bermain aci-aci dengan  kelas politik. Khalayak sedang menanti bilakah dia akan menerjuni politik dengan penuh tanggungjawab. Kehidupan seorang ilmuan tidak boleh terpisah daripada politik secara langsung. Ilmuan yang penuh tanggungjawab tidak muzabzab. La ila ha ula' wala ila ha ula'.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Jika tegas dengan pendapat, tidak perlu berbasa basi. Ya, katakan ya. Tidak katakan tidak. Jangan setelah melihat hujan lebat, baru mahu menampal atap. Meminta maaf tetapi menegaskan semula pendapat yang melukai orang yang diminta maaf adalah telunjuk lurus kelingking berkait.

Allah yang memegang hati pengundi

November 7, 2010


Tengku Razaleigh Hamzah mengucapkan terima kasih kepada Pas atas kemenangan bergaya BN di Galas. Orang Pas jangan seronok kerana mendapat ucapan terima kasih daripada Tengku Razaleigh Hamzah  itu. Jangan pula buat muka tak malu merasakan bahawa Pas telah memberi peluang kepada BN memenangi Dun Galas. Sebenarnya, ucapan terima kasih Tengku Razaleigh Hamzah itu perlu dipelajari malah ditiru juga oleh pemimpin politik yang lain. Itulah sikap seorang ahli politik yang baik dan dapat menakluk hati ramai orang. Jika kita lihat komen dan respons Tengku Razaleigh Hamzah sepanjang tempoh berkempen di Galas, dia telah berjaya mempamerkan watak dan penampilan bersihnya. Dengan komen dan respons  berhemahnya, telah memberikan mileage politik untuknya.

Ahli politik Pas perlu belajar berterima kasih walaupun kalah. Yang merubah hati rakyat bukan kempen. Kempen itu cuma usaha. Allah yang merubah hati rakyat. Dialah yang memegang semua hati para pengundi. Kalau mahu Allah membalikkan hati para pengundi agar menyokong perjuangan Islam, kitab hendaklah berakhlak dengan akhlak yang menjemput rahmat Allah. 

Ketika kita menang, kita bersyukur kepada Allah SWT dan tidak pula lupa mengucapkan terima kasih kepada manusia lain yang membantu kemenangan kita. Amat mulia pula kalau boleh ucapkan terima kasih kepada musuh atau lawan politik sebagaimana yang telah dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang berjuang dari pihak parti kebangsaan. Apabila kita kalah, kita hendaklah bersabar dan redha. Jauhkan diri daripada saling salah menyalahkan. Ingatlah bahawa kalah menang itu resam perjuangan. Nabi Muhammad yang menjadi utusan Allah itupun ada masa dia menang dan ada masa dia kalah. Apa lagi kita yang jauh daripada Allah sekalipun berjuang untuk agamanya. Amat mulia kalau masa kita kalah kita boleh menuturkan kata-kata yang baik dan berterimakasih pula kepada lawan politik kita. Kerja menakluk hati manusia itu bukan untuk hari ini tetapi untuk tahun-tahun mendatang.

Ahli politik Pas perlu sedar bahawa bukan ceramah mereka yang menukar hati manusia. Ceramah mereka cuma usaha dan sebab. Allahlah yang menukarkan hati manusia. Sebab itu ceramah perlu disucikan daripada cemuhan, kutukan dan humiliasasi. Itu semua akan menghambat rahmat Allah SWT. Kalau tiada rahmat Allah SWT, bagaimana hati manusia dapat ditakluki. Jangan rasa bosan untuk menceritakan sirah perjuangan Rasul dalam ceramah. Jangan jemu untuk menitipkan mutiara kata para nabi dan auliya dalam ceramah untuk khalayak. Jangan ghairah untuk menghentam BN kerana berapa banyak hentaman dibuat pun, ia bukan jalan untuk menakluk hati manusia yang setia dan mendokong BN.


Saat menang bersyukur. Saat kalah bersabar. Kata-kata yang keluar adalah kata-kata mulia dan penghargaan. Baik kalah maupun menang, rasa menghargai perlu ada. Jangan tersasar menjadi ahli politik yang merasakan kerja keras dan strategi mantap partinyalah yang menentukan kemenangan diraih. Ingatlah....ingatlah...bahawa Allah yang memegang hati manusia. Buatlah apa yang sesuai dengan sifat rahmat Allah SWT.

Kita lihat kedapatan individu tertentu dalam PKR tidak boleh mengambil sikap redha dan bersykur dengan kekalahan di Batu Sapi. Umpamanya Setiausaha Politik DS Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Yusuf dalam facebooknya mendakwa bahawa Pas dan DAP tidak cukup membantu PKR dalam pilihanraya kecil Batu Sapi. Tuduhan seperti ini tentunya menyakitkan hati rakan-rakan dalam PR yang telah berkerja keras siang dalan malam di lokasi. Mereka yang terlibat dengan kerja-kerja di peringkat grassroot sahaja yang mengerti penat lelah parti Pas dan DAP dalam membantu kempen memenangkan PKR.

Namun, Allah SWT belum mentakdirkan pengundi Batu Sapi beramai-ramai meyokong Pakatan Rakyat. Itu perlu diterima dengan redha. Jangan saling meyalahkan. Setelah berusaha, maka berserahlah. Jangan sekali-kali menyalahkan rakyat Batu Sapi. BN menghadiahkan sekalung perhargaan kepada rakyat Batu Sapi yang dikatakan telah membuat pilihan tepat. PR pula hendaklah menghadiahkan berkalung-kalung penghargaan dan pujian kepada rakyat Batu Sapi yang telah mengundi calon mereka. Inilah politik bijaksana dan berhemah yang akan mampu menakluk hati rakyat di masa depan. Bukan politik menyalahkan dan politik putus asa.

Oleh itu, para pejuang yang berjuang untuk memenangkan agama Allah perlu belajar hal ini. Pejuang agama Allah, dalam limpahan pejuang-pejuang politik yang bertali arus menerjunkan diri dalam perjuangan, perlu menunjukkan keunikan. Dengan menyedari penuh bahawa urusan menukarkan hati manusia agar menyokong perjuangan Islam adalah urusan Allah, para pejuang agama Allah SWT dalam politik perlu mengambil jalan paling berhemah. Dalam ceramah-ceramah tidak perlu memasukkan agenda kutuk mengutuk. Tidak perlu agenda serangan peribadi. Setiap yang dibentangkan kepada khalayak biarlah berdasarkan fakta dan biarkan masyarakat membuat kesimpulan. Biar masyarakat yang membuat pilihan sama ada hendak mengutuk pemimpin yang korup itu atau sebaliknya.

Pejuang agama Allah, kalau boleh biar 90 peratus ceramahnya adalah meceritakan tentang kebaikan perjuangan Islam. Mulakan dengan pujian buat Allah SWT dan sudahi dengan pujian kepada Allah SWT. Dalamnya pula penuh kata-kata mulia yang merungkai simpulan di hati manusia. Setelah itu, kalau ditakdirkan menang, ucapkan puji dan syukur. Jangan sekali-kali bongkak. Jangan dakwa inilah hasil kerja keras kita. Jangan bangga dan katakan bahawa rakyat telah menolak pemimpin lawan. Ingatlah bahawa kemenangan itu adalah ujian Allah SWT. Saat kalah pula sabar dan redhalah. Berkatalah yang baik atau diam sahaja. Jangan  tuduh musuh gunakan pelbagai tipu muslihat. Usah diulang sebut tentang penyalahgunaan jentera kerajaan  dan sebagainya. Sudah berapa banyak kemenangan yang Allah berikan dan menjadi bukti bahawa tipu muslihat dan penyalahgunaan jentera kerajaan tidak boleh mengatasi kehendak Allah SWT.

Kita hendaklah mengalahkan amarah yang bersiponggang dalam diri sebelum dapat memadamkan amarah dalam masyarakat. Mampukah kita mengambil sikap dan melakukan hal yang demikian? Inilah mujahadah yang panjang dan tidak ramai dapat meladeninya kecuali mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Batu Sapi: Jika Mereka Kaum Nuh

November 5, 2010

BN berjaya mempertahankan Batu Sapi dan merampas semula Galas. Demikianlah keputusan 2 pilihanraya kecil yang diadakan serentak pada tanggal 4 November, kelmarin. Di Batu Sapi, BN menang besar dengan majoriti 6,359 undi manakala di Galas majoriti BN bertambah iaitu 1,190 undi berbanding majoriti  646 undi yang diperolehi oleh PAS pada pilihanraya umum yang lalu. Fenomena ini tentunya memberikan motivasi kepada para pemimpin BN. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyifatkan ia sebagai petanda rakyat menaruh keyakinan terhadap agenda pembangunan kerajaan dan kedudukan kerajaan BN semakin mantap setelah berdepan dengan cabaran getir pada pilihanraya umum yang lalu.

Kemenangan BN di Batu Sapi sememangnya telah diduga banyak pihak. Kedudukan Sabah sebagai  "fix deposit " untuk mengekalkan BN memerintah Puterajaya tidak mudah digugat.  Keputusan Rakyat Batu Sapi menjadi gambaran tahap kesedaran politik rakyat sabah secara keseluruhannya menjelang pilihanraya umum yang berikutnya.

Isu-isu yang ditimbulkan sepanjang kempen PR di Batu Sapi tidak cukup untuk menggugah pendirian pengundi Batu Sapi. Isu seperti masa depan penempatan mereka yang terancam dengan rancangan pembangunan masa depan di kawasan Batu Sapi tidak dapat menakluk hati mereka. Demikian isu ketidakfasihan calon BN Linda Tsen Thau Lin berbahasa Malaysia juga tidak memberi kesan kepada para pengundi. Soal bangunan 100 tingkat yang dibentangkan dalam bajet kerajaan untuk tahun hadapan telah ditimbulkankan oleh sesetengah  pemimpin PR yang berceramah. Namun, rakyat Batu Sapi tidak sampai kepada memikirkan untung rugi buat mereka tentang projek tersebut.

Rakyat Batu Sapi bukanlah rakyat sebuah kota besar seperti Kuala Lumpur. Mereka adalah rakyat yang daif. Kebanyakan mereka tinggal di rumah-rumah  papan yang dibina di pinggir laut yang mana tidak mendapat hak milik penempatan yang terjamin pun di kawasan mereka. Bagi kampung-kampung tepi laut itu, kemungkinan nasib mereka  akan seperti penduduk kampung BDC yang dinafikan hak mereka. Sebahagian kecil sahaja warga Batu Sapi yang tinggal di perumahan dan memiliki hak milik tanah sendiri.

Di samping kedaifan prasarana kehidupan mereka, rakyat Batu Sapi juga umumnya tidak memiliki prasarana pemikiran yang daif. Kerana kedaifan hidup, undi mereka boleh dibeli dengan harga yang murah. Soal apakah nasib mereka lima tahun akan datang tidak menjadi kepedulian mereka. Yang menjadi persoalan mereka ialah siapa yang boleh memberikan apa yang mereka mahu untuk mengisi perut hari ini dan esok dan memberikan tempat berteduh untuk waktu terdekat ini.

Kerajaan telah datang pada masa tempoh berkempen dengan menawarkan projek bernilai jutaan ringgit. Kepada penduduk Batu Sapi, ditawarkan projek perumahan rakyat dan pecah tanah telah dilakukan beberapa hari menjelang pilihanraya kecil. SMK Batu Sapi 2 diluluskan segera pembinaannya. BN  juga telah memanfaatkan segala prasarana kerajaan untuk memenangi hati rakyat Batu Sapi. Bagi mereka yang bergentayangan di Batu Sapi dalam tempoh kempen dapat menyaksikan sendiri dengan mata kepala bagaimana program-program kerajaan dilaksanakan di Batu Sapi dan dijadikan medan kempen. Para pemimpin BN yang turun ke Batu Sapi dimestikan sambutan massa oleh kakitangan kerajaan. Di dalam kampung-kapung, balairaya telah bertukar menjadi bilik gerakan BN. Kawasan-kawasan lapang di Batu Sapi menjadi tempat BN memasang khemah sebagai tapak program pemimpin bersama rakyat. Bagi PR, untuk melaksanakan perhimpunan bersama rakyat Batu Sapi, terpaksa mencari dewan hotel ataupun dewan komuniti yang menjadi milik kaum Cina. Itu pun di luar kawasan Batu Sapi.

Ceramah-ceramah kelompok dilaksanakan di rumah-rumah penduduk yang boleh dianggap berani dan juga premis Pasti yang dimiliki Pas. Jumlahnya amat terhad dan kehadirannya tidak dapat diramaikan. Ini menyebabkan sebahagian besar warga Batu Sapi tidak tahu apa misi PR. Pergantungan maklumat mereka banyak kepada media TV. Risalah-risalah yang disebar tentunya tidak banyak mempengaruhi mereka kerana mereka, rata-ratanya bukan masyarakat pembaca.

Seorang pemimpin PR berkata, rakyat Batu Sapi lebih memahami bahasa benda lebih baik daripada bahasa minda. Kepada mereka, usah diterangkan falsafah politik, keadilan sosial dan kaitan politik dan agama. Semua itu tidak berbekas buat mereka. Hanya benda, yang menentukan pilihan mereka di penghujungnya. Mereka, membalas budi biarpun balasan yang mereka berikan itu mahal dan tidak setara dengan budi yang ditabur. Politik ala-Semenanjung masih jauh. Keberanian rakyat masih nipis.

Kalangan yang terpelajar, misalnya guru-guru yang menjadi pengundi warisan di Batu Sapi,  ada yang mengambil pendirian  bahawa sebagai kakitangan kerajaan, sokongan hendaklah diberikan kepada BN. Generasi baru tidak mendapat pendedahan politik nasional dan masih menerima petua politik generasi lama. Ini kerana tahap pendidikan yang rendah pada kebanyakan warganya. Perlu diingat juga bahawa kewujudan kilang yang agak banyak di Batu Sapi menjadikan anak muda yang lahir di Batu Sapi, membesar di sana dan bekerja di sana tidak cukup terdedah kepada arus perkembangan luar.

Melihat kepada keputusan  memberasangkan  buat PR di beberapa saluran mengundi di SMK Agama Sandakan, telah boleh dibuat bahawa kalangan yang terpelajar lebih mempunyai keberanian dan memiliki anjakan politik. Ia juga boleh ditafsirkan bahawa masyarakat bukan Melayu lebih cenderung untuk menolak BN dan memilih selain BN. Petanda arus Semenanjung sudah menampakkan riaknya tetapi selagi kawasan perkampungan di  Batu Sapi kekal dengan kedaifannya, selagi iti hagemoni BN sukar dipecahkan.

Sesungguhnya bejatnya kaum nabi Nuh ialah apabila kekufuran bapa diwariskan kepada anak dan cucu, sehingga tiada harapan lagi buat dakwah tegak berdiri. Bapa berpesan kepada anaknya agar menentang nabi Nuh dan berpesan pula kepada anaknya agar mengingatkan anak cucunya untuk menentang nabi Nuh. Jika pada generasi muda Batu Sapi tidak mengikut politik warisan nenek ibu bapa mereka, harapan untuk menang di masa depan tentu ada buat PR. Untuk itu, ilmu perlu dimantapkan. Jika anak-anak Batu sapi mencapai tahap persekolahan paling tidak menamatkan tingkatan lima, mereka akan lahir sebagai generasi baru yang berkesedaran. Namun, jika masih ramai berhenti sekolah pada tahap sekolah rendah, merekalah yang akan kekal menjadi kaum nabi nuh.

Jika mereka kaum Nuh, kekallah mereka dengan  keadaan sekarang sehingga kampung halaman mereka dimusnahkan pembangunan yang hanya mahu memperkayakan golongan kapitalis.Namun, jika mereka bukan kaum Nuh, akan lahir generasi berilmu dari zuriat mereka yang akan mempunyai kebijakan politik dan keteguhan agama buat menancap pendirian mereka. Mudahan saat itu akan tiba. Rancangan Allah itu hebat dan tidak difahami oleh akal kita hari ini!

Hikmah PRK Batu Sapi

October 30, 2010

"Saya tidak tahu apakah sebabnya Tuhan membuat begitu banyak pilihanraya kecil. Saya terlalu kerdil untuk mengetahui apakah misteri di sebalik semua ini...", Tian Chua mengeluh sinis ketika menyampaikan pidatonya dalam sebuah ceramah kelompok di Batu Sapi.

Pilihanraya kecil Batu Sapi menyaksikan bagaimana penduduk Batu Sapi mendapat nikmat. Pemimpin-pemimpin dari pelbagai peringkat bertumpu di sana. Pemimpin kerajaan datang dengan membawa pelbagai kelulusan segera projek yang kekadang menelan angka jutaan. Banyak jambatan uzur di perkampungan nelayan diluluskan peruntukan semerta untuk pembaikan. Rumah-rumah penduduk yang bocor atap dan memerlukan zink baru  segera dibantu. Projek pembinaan jalan Batu Sapi yang sebelum ini bergerak lambat, kini rancak dijalankan. 

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri meluluskan projek pembinaan SMK Batu Sapi 2 ketika berucap kepada kakitangan awam di SMK Agama Taman Mawar, Sandakan.

Barangkali inilah misteri yang sukar dimengerti oleh Tian Chua mengapa Allah menjadikan banyak sekali pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum yang lalu. Apabila berlaku pilihanraya kecil, dengan keadaan terpaksa, wang rakyat dikembalikan kepada rakyat. Perkampungan miskin yang terabai selama puluhan tahun diberi perhatian oleh pihak pemerintah. Rintihan kaum marahen dan keluhan mereka dilunaskan segera.

Andainya rakyat meminta jambatan emas di kampung mereka, para pemerintah yang menagih sokongan itu akan berharap untuk menunaikannya. Mintalah apa sahaja, mereka tidak berani menolak mentah-mentah sebagaimana sebelum pilihanraya kecil ini diumumkan. Kelihatan benar kuasa rakyat. Betapa rakyat boleh membuatkan para pemimpin meleleh air liur menagih simpati rakyat.

Jika ada satu-satu kawasan miskin dan mundur, usahakan agar MP atau ADUNnya meninggal, nanti akan datang pembangunan melimpah. Rakyat, berdoalah kepada Allah agar mengambil nyawa MP atau ADUN kawasannya yang daif dan mundur. Setelah itu, akan bergentayanganlah para pemimpin dengan membawa projek jutaan untuk dilonggokkan di kawasan tersebut.

Rakyat perlu bijak berpolitik di depan ahli politik yang menjadikan pembangunan sebagai modalnya.

PKR wakili PR di Batu Sapi

October 19, 2010

Petikan:  Harakahdaily

Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan untuk meletakkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah bermesyuarat dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah.

“Atas cadangan Pakatan Rakyat Sabah, untuk pilihan raya kecil kawasan Batu Sapi mereka bersetuju dan kemukakan kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk Parti Keadilan meletakkan calon mewakili Pakatan Rakyat,” kata Anwar dalam sidang media di lobi Parlimen pagi ini.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ketua Pembangkang di Parlimen itu juga berkata, senarai calon akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

“Pakatan Rakyat meletakkan calon-calon dari PKR dan kita akan letakkan nama dalam masa yang singkat setelah saya dan pimpinan PKR berunding dengan (Datuk Seri) Abdul Hadi dan Lim Kit Siang.

Tambah Anwar lagi, Pakatan turut berharap agar Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) tidak bertanding bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu.

“Kita harap SUPP tidak bertanding bagi membolehkan kita lawan satu lawan satu dengan Barisan Nasional,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu adalah pada 26 Oktober dan jika ada pertandingan pengundian diadakan pada 4 November.

PRK itu diadakan berikutan kematian wakil Parlimennya daripada Barisan Nasional (BN) Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Oktober lepas.

Ulasan:

Biarpun parlimen Batu Sapi menjadi sasaran PAS Sabah sebagai kawasan tanding dalam pilhanraya ke-13, keputusan meletakkan PKR untuk bertanding di parlimen Batu Sapi dalam PRK kali ini hendaklah diterima dengan hati terbuka oleh warga PAS Sabah. Pada tanggal 4 November, PAS terpaksa menumpukan perhatian di Galas, Kelantan. Adalah sukar malahan tidak cantik kalau pada tanggal yang sama PAS terpaksa berhempas pulas pulak di Batu Sapi. Dipandang dari skop nasional. adalah wajar PKR bertanding di Batu Sapi memandangkan Galas ditandingi oleh PAS. Justeru, tidak perlu menyemai kekecewaan.

Lagi pula, masa belum sampai untuk PAS difokuskan oleh seluruh negara untuk pertandingan di Batu Sapi. Jika PAS gagal memperlihatkan pengurusan cemerlang dalam PRK Batu Sapi (andainya PAS bertanding) ia akan memberi gambaran buruk kepada PAS. Kalau PRU, lainlah. Waktu itu tumpuan nasional tidak kepada satu kawasan sahaja.

Bagi warga PAS Sabah umumnya dan Sandakan dan Batu Sapi khasnya, tentunya dapat mengukur baju di badan sendiri. Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Batu Sapi-Satu lagi pilihanraya kecil.

October 9, 2010

Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah terlibat dalam kemalangan yang membawa maut hari ini. Kemalangan berlaku ketika beliau memandu sebuah motosikal berkuasa besar, Kawasaki 750 di jalan Sembulan Tanjong Aru, Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira jam 11.40 pagi tadi. Kemalangan melibatkan pertembungan antara motosikalnya dengan sebuah kereta mercedez. YB Edmund  Chong dilaporkan mati di tempat kejadian. (Sumber: Mstar Online)

YB Edmund Chong

Mendiang Edmund Chong merupakan ahli parlimen Batu Sapi, Sandakan sejak beliau memenangi kerusi tersebut pada pilihanraya tahun 2004. Beliau juga merupakan bendahari Parti Bersatu Sabah merangkap ketua bahagian Elopura.

Sebuah pilihan raya kecil akan diumumkan oleh pihak SPR selepas selesai pilihanraya kecil DUN Galas yang akan diadakan pada 4 November. Buat masa ini, Parlimen Batu Sapi merupakan kawasan tanding yang disasarkan oleh PAS pada pilihanraya umum akan datang. Apakah PAS mampu menggalas amanah terjun ke dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan atau bakal menjadi perebutan antara komponen PR, sama-samalah kita saksikan.

Abu Lu'lu'ah pembunuh Umar Al-Khattab disanjung di Iran

October 8, 2010




Menjelajah kubur Abu Lu'lu'ah di Kashan Iran. Beliau ialah pembunuh Saidina Umar r.a. Pembunuhan ini adalah hasil dari konspirasi Farsi Majusi yang mahu cahaya Islam padam. Malangnya, pembunuh Umar r.a. ini disanjung dan dipuja oleh penganut Syiah Imamiyah. Mereka mengunjungi dan menghormati kuburnya kerana telah berjaya membunuh Umar r.a. Malah beliau digelar Baba Syuja'uddin (Sang pembela agama yang gagah berani).
Tak ramai di kalangan kita yang sedar bahawa negara Iran menyimpan kubur sang pembunuh khalifah Umar Al-Khattab, Abu Lu'luah dan menyanjungnya serta menjadi kuburnya sebagai tempat ziarah. Sesunguhnya menyanjung pembunuh yang yang nista itu adalah terang-terangan menista sahabat Rasulullah SAW. Di mana lagi titik yang boleh dipertemukan antara sekte Syiah dengan jama'atul muslimin jika mereka tidak menghormati sahabat??


Pimpinan front ulama Al-Azhar Dr. Muhammad Al-Barri menyatakan pembatalan wawancara Syaikhul Azhar Dr. Ahmad At-Tayyib dengan perwakilan dari presiden Iran, Hamid Baqi dan menegaskan kepuasan atas pembatalan tersebut, mencatat bahwa Iran tidak memberikan dasar yang jelas untuk pemulihan hubungan antara sekte Islam khususnya pembongkaran terhadap kuburan yang menjadi tempat ziarah kaum Syi'ah yang juga pembunuh khalifah Umar bin Khattab, Abu Lu'lu'ah.

Al-Barri menyatakan penolakan tegas untuk membangun jembatan dialog dengan Iran sebelum ulama Iran menghapus segala sesuatu yang menghina Sunni dan kepercayaannya dan menambahkan bahwa keberadaan tempat ziarah kaum Syi'ah berupa kuburan Abu Lu'lu'ah pembunuh khalifah Umar bin Khattab, serta sikap dan pernyataan para ulama Syi'ah yang menentang dan menghina para sahabat Rasulullah menjadi alasan kuat untuk tidak berdialog dengan Iran, seperti dilaporkan surat kabar Kuwait Al-Wathan.

Seorang juru bicara-Azhar At-Thahthawi telah membenarkan pembatalan wawancara Syaikhul Azhar dengan delegasi Iran, menambahkan bahwa delegasi Iran tinggal di Kairo selama empat hari dan akan menghadiri protokol kerjasama antara Mesir dan Iran di bidang penerbangan serta mengunjungi sejumlah masjid, termasuk Masjid Ahl Bayt Zainab, masjid Sayyida Nafisa dan Masjid Imam Hussein

Sumber berita: eramuslim

Ganjaran dua qirat

October 2, 2010

Hari ini, Ust Wan Helmi telah ditimpa musibah. Anaknya yang lahir selepas tengah malam tadi telah meninggal kerana dilahirkan dalam keadaan songsang. Kita mengatakan dia  meninggal disebabkan lemas, namun semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Sepagi ini, sebahagian sahabat-sahabat Taman Fajar dan sekitarnya berada di rumahnya. Jenazah anaknya diuruskan sendiri  dengan bantuan sahabat ahli jema'ah surau Al-Fajr. Kemudian, solat jenazah dilakukan pada jam 11 pagi. Sebelum Zohor, urusan pengebumian di perkuburan Islam jalan Aman selesai. Maka bersemadilah seorang bayi tanpa dosa yang baru dilahirkan. Bayi diberi  nama Ahmad Mubassyirin.

Sahabat-sahabat yang menyertai bersama, semoga Allah memberi ganjaran. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadis marfu’ katanya:


من شهد الجنازة حتى يصلى عليها فله قيراط ومن شهدها حتى تدفن كان له قيراطان قيل وما القيراطان قال مثل الجبلين العظيمين


“ Sesiapa melawat jenazah dan solat ke atasnya, maka baginya satu Qirat dan sesiapa yang menziarahinya sehingga ke majlis  pengebumiannya, maka baginya dua Qirat.  Maka dikatakan : Berapa dua Qirat itu? Lalu katanya: Sumpama dua gunung yang besar”.

(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Kepada Ust Wan Helmi, semoga Allah melimpahkan kesabaran buatnya. Sesungguhnya, ibu bapa yang bersabar atas musibah kematian anaknya, akan diganti oleh Allah dengan nikmat yang lain di dunia. Pada hari akhirat, anak itu akan menjadi deposit buatnya dan juga benteng daripada api neraka.


Allahumma amin...Fasobrun Jamill...Wallahul Musta'an...


Wang sumber judi dipulangkan

September 30, 2010

Warga emas di Pulau Pinang yang hidup bukanlah kaya sangat, menjadi tunggangan politik pemimpin UMNO negeri yang menggesa sumbangan yang mereka terima dari kerajaan negeri dikembalikan. Hari ini, sejumlah 40 orang penerima sumbangan tersebut telah mengembalikan wang yang telah diterima  itu kepada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim yang juga merupakan Adun Penanga. Wang tersebut dimasukan semula ke dalam tabung yang disediakan dan katanya akan dikembalika kepada kerajaan negeri sebagai isyarat bahawa warga emas terbabit tidak rela makan duit haram. Pendedahan sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guang Eng telah menerima sejumlah RM500,000.00 daripada sebuah syarikat lumba kuda untuk tujuan membasmi kemiskinan. Di antara jumlah tersebut, program sumbangan RM100.00 kepada warga emas telah dilaksanakan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO telah menghebohkan isu tersebut dan menuduh kerajaan PR di Pulau Pinang memberikan wang haram kepada rakyat. 

Sebelum ini, telah pun dijelaskan bahawa wang tersebut tidak haram menurut perspektif feqah kerana ia adalah wang bantuan dan tidak membabitkan transaksi judi. Namun, oppurtunis politik enggan tunduk kepada hukum malah mencari ruang untuk memanipulasinya. Sehingga ke tahap ini, para penerima dikempen pulangkan wang yang telah diterima.

Sebenarnya, kita semua pun maklum bahawa wang haram bukan sahaja datang daripada perjudian. Banyak sumber wang haram yang lain seperti riba, rasuah, pecah amanah, penipuan dan lain-lain. Pernahkah kita mendengar pemimpin-pemimpin yang memetik tali kecapi halal haram itu meminta rakyat memulangkan wang riba yang rakyat dapat daripada bank? Rasuah pula menjadi penyakit kronik dalam negara, terutama melibatkan pemimpin-pemimpin negara di setiap peringkat. Apakah para pemimpin tersebut dengan suara malaikat menyeru wang tersebut diserahkan kepada negara yang berhak semula. Pecah amanah, usah dibicarakan lagi. Soal ketirian dalam menguruskan wang negara adalah angkara ketidakamanahan pemimpin. Rakyat ditipu dan wang rakyat diambil. Adakah sang jurubicara itu mengumandangkannya?

Aku rakyat Malaysia. Ketika mereka yang diberikan amanah menguruskan minyak negara menaikan harga minyak dengan alasan mengurangkan sabsidi, maka setiap sen yang mereka dapat itu adalah rompakan. Wang keuntungan yang berganda-ganda dihasilkan oleh Petronas itu adalah wang haram kerana ia direbut secara paksarela daripada rakyat. Lalu, sebahagiannya dimasukkan ke dalam khazanah negara dan dibayar gaji kepada kakitangan kerajaan. Ia bercampur pula dengan wang cukai judi kasinao terbesar di Asia yang bertahta di Cameron Highland. Demikian cukai-cukai kelab malam, rumah urut, pelacuran, kilang arak, ladang babi dan lain-lain sumber haram. Adakah pemimpin-pemimpin yang menganiaya warga emas Pulau Pinang itu pernah mengempen kakitangan awam di Malaysia memulangkan gaji mereka kepada kerajaan Malaysia atas dasar ia wang haram.

Sesungguhnya yang diburu oleh para YB yang berkehendakkan kuasa kerana mahu projek dan kemewahan itu adalah wang haram. Jumlah yang mereka songlap, lebih besar berkali ganda daripada nilai RM100.00 yang warga emas dapat.  Kegelapan dalam hati mereka disebabkan makan wang haram lebih pekat zulmat daripada kemungkinan pekatnya hati pakcik-pakcik tua itu.

Mereka cuma beretorik. Kerana di sana ada pergentingan, mereka suka menahan lukah. Kerana air keruh, mereka ghairah menangguk!

Bantuan dari wang judi, halal.

September 27, 2010


Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, rakyat yang menerima bantuan kerajaan sebenarnya tidak haram walaupun dana yang diperoleh pihak berkuasa adalah daripada pelbagai sumber termasuk judi — yang menjadi amalan kerajaan pusat dan sesetengah kerajaan negeri.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram, sebabnya mereka bukan berjudi... mereka (hanya) mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.

“Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Asri menjelaskan kesalahan akibat penajaan wang hasil perjuadian ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.

“Sama dengan mereka yang mendapat gaji daripada kerajaan, atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi.

“Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi yang berniaga makanan,” kata beliau mengulas kontroversi terbaru terbabitkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang berhadapan dengan serangan Umno bahawa pentadbiran negeri Pakatan Rakyat menggunakan sumber judi untuk membayar wang ihsan RM100 kepada warga emas.




Dr. Asri telah mengulas mengenai bantuan kepada warga emas dan fakir miskin yang dikatakan hasil dari judi. Katanya, wang hasil jadi yang diterima oleh penerima itu tidak haram kerana transaksi yang berlaku antara pemberi dan penerima adalah bantuan dan bukan perjudian. Kesalahan adalah ditanggung oleh kerajaan atau syarikat perjudian tersebut. Penerima tidak berdosa. Dengan kata lain wang itu halal kerana penerima bukan berjudi tetapi penerima melakukan aktiviti mencari razeki yang halal.

Kalau sumber haram mahu diambil kira, gaji yang diterima oleh kakitangan kerajaan itu, termasuk di dalam sumber-sumber haram seperti judi, arak, kelab malam, pusat penternakan babi dan sebagainya. Tetapi, kakitangan awam menerima gaji itu adalah halal kerana gaji tersebut diterima atas pekerjaan mereka. Samalah juga dengan warga emas yang menerima wang yang didakwa sebagai hasil judi itu. Ia diterima atas nama bantuan dan bantuan adalah transaksi yang tidak bertentangan dengan syarak!

Inilah jawapan yang cukup faqih sejak beberapa hari ini aku dengar. Dalam kebisuan para mufti dan kebingungan ramai orang untuk mengulas isu ini dari segi hukum, kenyataan Dr. Asri itu menjadi tamparan kepada pemuda UMNO yang hebat mewar-warkan isu itu.

Maka kesalahan adalah ke atas kerajaan dan syarikat perjudian yang terlibat dengan transaksi judi. Dosa syarikat perjudian adalah kerana mencari razeki dengan cara haram iaitu berjudi.  Manakala dosa kerajaan adalah menerima sumbangan dari sebuah syarikat perjudian. Kalau kerajaan itu terlibat sekali dalam perniagaan judi seperti meluluskan lesennya, maka bertambahlah dosanya.

Dalam konteks kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guang Eng yang kita maklum bahawa dia bukanlah seorang muslim, masakan kita mahu katakan dia telah berdosa. Orang bukan Islam mana boleh dituduh berdosa? Hanya orang Islam sahaja yang terikat dengan hukum dosa dan pahala! Yang berdosa adalah perdana menteri Malaysia dan menteri berkenaan, yang beragama Islam  tetapi meluluskan  lesen syarikat perjudian dan dengan itu negara menerima cukai-cukai perjudian. Demikian mereka yang meluluskan kilang-kilang arak dan mendapatkan cukai untuk negara dari kilang-kilang arak tersebut. Yang menjalankan perniagaan berasaskan judi dan arak berdosa. Yang menerima bayaran atau sumbangan dari syarikat perjudian dan arak juga haram. Setelah wang itu menjadi hak milik kerajaan dengan tanggungan dosanya, penerima ketiga tidak menanggung dosanya jika transaksi yang berlaku adalah halal. Umpamanya transaksi melalui bayaran gaji, hadiah, sumbangan, bantuan dan sebagainya.

Kalau kita seorang petani yang menjual sayur, lalu datang kepada kita seorang taukeh judi mahu beli sayur, apakah kita haram menjual sayur kepadanya sekalipun sayur untuk makanannya sekeluraga? Kita sedia maklum bahawa bayaran harga sayur itu tentunya daripada pendapatanya dalam perniagaan judi. Dalam kes ini, bayaran yang kita terima tidak ada sangkut paut dengan judi. Transaksi kita adalah jual beli. Kalau kita pergi ke pasaraya membeli sesuatu barang dan kemudian beratur untuk membayar harga barang yang kita mahu beli. Tiba-tiba di depan kita ada seorang cina dengan troli yang penuh dengan arak. Dia pun nak bayar harga arak yang dibelinya. Kita nampak dia bayar dengan wang pelbagai not. Kemudian kita pula membayar harga barangan yang kita mahu beli. Juru jual di kaunter menerima wang kita dan mengembalikan wang baki yang di antara kita pasti diambil daripada wang yang dibayar oleh cina pembeli arak tadi. Apakah kita akan menolak duit tersebut dan minat duit lain  kerana duit itu haram?

Kita tak berdosa kerana terima duit itu. Yang berdosa adalah 10 golongan yang terlibat dengan perniagaan arak yang nabi sebut dalam hadis termasuk juru jual di kaunter tersebut. Kalaupun kita berdosa, bukan kerana terima wang baki dari transaksi arak yang kita tidak terlibat di dalamnya. Kita berdosa kerana melihat kemungkaran tetapi tidak mencegahnya, sekalipun dengan benci dalam hati!

Dalam dompet anda ada duit. Dalam bank juga ada duit. Apakah anda berani mengatakan duit dalam dompet dan bank anda tidak pernah melintasi satu proses transaksi haram seperti perjudian, jual beli arak, jual beli babi dan sebagainya?

Buat Pemuda UMNO, tak perlulah pukul gendang halal haram kalau diri sendiri bergelumang dengan perjuangan yang menghalalkan perniagaan judi dan arak di peringkat Persekutuan. Ibarat ayam jantan, berkokok berderai-derai tetapi ekor berlumuran najis.

First Lady atau Ummul Watan?

September 26, 2010

Datin Sri Rosmah Mansur, isteri Perdana Menteri mendakwa dirinya sebagai wanita pertama (First lady)  negara Malaysia apabila dia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 pada 11 hingga 13 Oktober ini. Status "wanita pertama' yang cuba dilebelkan kepada diri sendiri oleh Datin Sri Rosmah Mansur itu boleh dipertikaikan kerana dari segi keutamaan menurut perlembagaan Malaysia, ada lagi wanita yang lebih utama daripadanya iaitu isteri Yang Dipertuan Agung. 

 Raja Permaisuri Agung lebih cocok menjadi Ummul Watan


Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan bahawa Datin Sri Rosmah Mansur bukanlah wanita pertama. Dia hanya isteri perdana menteri. Kalau mahu menggunakan juga nama "wanita pertama" maka Isteri DYMM yang berhak mendapat gelaran itu. Kelayakannya untuk mendapat gelaran itu disokong oleh perlembagaan.

Aku berpendapat, istilah "First Lady" ini tidak sesuai. Tidak sesuai buat Datin Sri Rosmah Mansur dan tidak perlu pula ditempelkan kepada isteri Yang Dipertuan Agung. Islam tidak mengesahkan istilah ini sebaliknya menggunakan satu istilah yang lain yang lebih mulia. Kalau di kalangan ummat Islam, para isteri nabi Muhammad SAW, merekalah wanita yang paling utama. Mereka ramai dan oleh itu tidak ada istilah wanita pertama. Mereka digelar "Ummahatul Mukminin". 

Malaysia, sebagai sebuah negara bangsa, boleh mempunyai wanita utama sebagaimana Islam mempunyai wanita-wanita utama yang digelar "Ummahatul Mukminin".Namun, menggunakan istilah wanita utama itu tidak cocok dengan nilai Islam dan tidak pernah dalam budaya Melayu. Terdapat unsur "womanisme" dalam pengistilahan itu. Di barat, istilah ini dipakai dan didokong oleh mereka yang memperjuangkan emansipasi wanita. Justeru pemimpin negara lelaki, mereka akan mengangkat kaum sejenis mereka untuk menjadi setaraf dengan lelaki dan dia dinamakan "First Lady". 

Gerakan Womans Libration ini tidak perlu dianut oleh wanita muslimah. Maka tidak perlu mengumandangkan istilah "First Lady".

Mungkin, kalau ketegar juga mahu letakkan wanita dibaris yang boleh dilihat dalam kepimpinan negara, gunakan nama lain. Tak payah meniru budaya wanita barat. Kalau Islam ada "ummahatul mukminin", Malaysia boleh ada "Ummul Watan" (Ibu Pertiwi). Istilah ini tidak popular dan tidak digunakan orang untuk merujuk kepada individu. Sebut Ibu Pertiwi, ia merujuk kepada sebuah negara. Namun, kalau kita menggunakannya, lama-kelamaan masyarakat akan tahu mahu ibu pertiwi itu adalah ibu bagi rakyat negara Malaysia. Itulah wanita idola rakyat dan dia menjadi ibu yang penuh kasih sayang, membelai dan mendidik rakyat negara. 

Namun, Datin Sri Rosmah Mansur belum berkelayakan untuk mendapat gelaran "Ummul Waton" (Ibu Pertiwi) kerana ada wanita yang lebih utama daripadanya. 

Merantaulah: Kata Imam Syafie

ما في المقامِ لذي عقلٍ وذي أدبِ مِنْ رَاحَة ٍ فَدعِ الأَوْطَانَ واغْتَرِبِ

سافر تجد عوضاً عمَّن تفارقهُ وَانْصِبْ فَإنَّ لَذِيذَ الْعَيْشِ فِي النَّصَبِ

إني رأيتُ وقوفَ الماء يفسدهُ إِنْ سَاحَ طَابَ وَإنْ لَمْ يَجْرِ لَمْ يَطِبِ

والأسدُ لولا فراقُ الأرض ما افترست والسَّهمُ لولا فراقُ القوسِ لم يصب

والشمس لو وقفت في الفلكِ دائمة ً لَمَلَّهَا النَّاسُ مِنْ عُجْمٍ وَمِنَ عَرَبِ

والتَّبْرَ كالتُّرْبَ مُلْقَى ً في أَمَاكِنِهِ والعودُ في أرضه نوعً من الحطب

فإن تغرَّب هذا عزَّ مطلبهُ وإنْ تَغَرَّبَ ذَاكَ عَزَّ كالذَّهَبِ

Menetap di tempat sendiri  bukan hal yang menyenangkan bagi mereka  yang berakal dan memilik tatakerama mulia maka tinggalkan tanah airmu dan merantaulah !

Pergilah bermusafir, pasti kamu akan mendapat ganti apa yang kau tinggalkan dan bersusah payahlah kerana sesungguhnya lazatnya hidup itu apabila bersusah payah.

Sesungguhnya kulihat berhentinya mengalir air itu akan  merosakkannya, sebaliknya bening dan segar ia jika terus mengalir.

Singa tak akan mendapat  mangsanya  kalau ia hanya tetap di gubuknya dan anak panah tak akan mengenai sasarannya kalau tak lepas dari busurnya

Matahari, andaikan tetap tersangkut di dada langit, tentulah  jemu kepadanya oleh orang Arab maupun Ajam.
 Lombong emas cuma ketulan tanah di tempatnya, sementara kayu terbiar di bumi hanyalah sejenis bahan bakar.

Jika seseorang ini tinggalkan tempatnya akan menjadi mulia dapatannya dan jika seseorang itu  tinggalkan tempatnya akan menjadi mulia seperti emas.

FIDYAH BERGANDA

September 23, 2010

Anekdot 

Seseorang telah menceritakan masalahnya. Sejak umurnya baligh dan selalu pengsan di bulan Ramadhan. Menurutnya, secara purata dia telah pingsan 5 hari pada setiap Ramadhan. Kini usianya telah 36 tahun. Kebiasaan terus berlaku sebagaimana seawal usia balighnya. Dia mengatakan dia mula baligh pada usia 13 tahun. Dari umur tersebut sehingga kini, sudah berlalu 23 tahun. Bermakna selama 23 tahun dia tinggalkan puasa sebanyak  115 hari. Oleh kerana dia seorang perempuan, dia juga telah meninggalkan puasa pada hari-hari di mana dia uzur syar'i. Puasa yang ditinggalkan pada hari-hari uzur syar'inya, Alhamdulilah telah diqadhakannya secara konsisten sebaik sahaja selesai Ramadhan setiap tahun sebelum menjelang Ramadhan berikutnya.

Namun, puasa yang ditinggalkan dengan sebab pengsan tidak pernah diqadhakannya. Itulah 115 hari yang telah dihitungkan dengan anggaran 5 hari setiap bulan sejak usia 13 tahun.

Seharusnya dia harus tahu bahawa pengsan di bulan Ramadhan tidaklah membatalkan puasa kecuali jika dia pengsan sepanjang hari. Dari sebelum terbit fajar sehinggalah tenggelam matahari. Namun, mungkin pelbagai faktor, tidak tahu, sakit atau sebagainya, dia telah tidak berpuasa bagi sisa hari yang dia ada selepas bangun dari pingsannya. Maka sememangnya, menjadi kawajipanlah baginya untuk mengqadhakannya.

Apa yang menjadi masalahnya ialah pandangan feqah yang mengatakan bersama dengan qadha puasa dia perlu membayar fidyah berganda.  Setiap selang setahun, gandaan bagi setiap hari yang ditinggalkannya adalah secupak beras. Jika dihitung jumlah cupak beras yang perlu difidyahkannya bagi setiap hari yang ditinggalkan sehingga usianya 36 tahu, jadilah semuanya 1180 cupak. Jika mahu ditukarkan kepada nilai, hitungan 4 cupak dewasa ini menyamai RM6.80 (Kadar wajib zakat). Ini bermakna dia perlu membayar fidyah sebanyak RM2006.00. 

Ulasan:
Jika seorang yang mampu, mungkin angka ini bukan masalah baginya. Namun, bagaimana untuk mereka yang tidak mampu? Tentu timbul kesulitan buatnya. Dia perlu qadha puasa sebanyak 115 hari dan bayar pulak fidyah sebanyak itu. 

Ini tentu menyulitkan sedangkan Allah telah menegaskan di hujung ayat yang menjelaskan tentang keadaan di mana fidyah menjadi ganti kepada puasa dengan firmannya:

يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر

"Allah menghendaki kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahu menyusahkan kamu".
(Surah Al-Baqarah: Ayat 185)



Sebab itu, aku suka membentangkan sudut padangan ini untuk merealisasikan dasar hukum dalam Islam yang menjadikan nas sebagai dalil di samping berpegang dengan feqah taysir yang menjadi sikap kebanyakan muhaqqiqun pada zaman ini dan sebelumnya.

Seseorang yang gagal mengqadhakan puasan Ramadhanya dalam sebelas bulan selepas Ramadhan, lalu masuk Ramadhan berikutnya, sesetengah ulama berpendapat bahawa dia perlu mengqadhakan puasanya yang lalu itu selepas Ramadhan yang kedua dengan fidyah secupak beras. Jika berlalu sebelas bulan berikut dan gagal juga mengqadhakannya, maka fidyah digandakan. Demikianlah seterusnya. Setiap selang setahun, digandakan fidyahnya. 

Padangan ini diambil oleh ulama mazhab Syafiyyah dan Hambaliah berdasarkan amalan beberapa orang kalangan sahabat. Sementara ulama mazhab lain tidak mensyaratkan fidyah. Hanya memadailah dengan qadha sahaja.

Ketika mengulas situasi ini, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan bahawa pandangan yang mewajibkan fidyah dibayar bersama dengan qadha tidak punya sandaran saheh daripada nabi SAW. Apa yang wajib secara pasti ialah mengqadhakan puasa yang ditinggalkannya tak kira berselang berapa tahun sekalipun.  Jika seseorang itu mahu memberi fidyah, itu adalah baik kerana meraikan pandangan sebahagian ulama mazhab yang berdalilkan amalan sesetengah sahabat. Menurut kebanyakan ulama salaf, termasuk imam Abu Hanifah, memberi fidyah berganda ini hanyalah sunat dan bukannya wajib.

Perlu diingat bahawa untuk mewajibkan sesuatu, kita memerlukan dalil dari Al-Quran maupun hadis nabi SAW. Riwayat mengenai nabi SAW itu perlulah pula saheh. Amalan sebahagian sahabat tidak boleh dijadikan asas untuk menetapkan sesuatu kewajipan.

Rujukan: Al-Qaradhawi

Sabah dan kesultanan Sulu

September 21, 2010

Sekitar era 1450an, seorang Arab dari Johor iaitu Shari'ful Hashem Syed Abu Bakr tiba di Sulu. Pada tahun 1457, beliau menubuhkan Kesultanan Sulu dan memakai gelaran "Paduka Maulana Mahasari Sharif Sultan Hashem Abu Bakr". Gelaran "Paduka" adalah gelaran tempatan yang bermaksud tuan manakala "Mahasari" bermaksud Yang DiPertuan.

Pada tahun 1703, Kesultanan Brunei menganugerahkan Sabah Timur kepada Kesultanan Sulu kerana di atas bantuan mereka menumpaskan pemberontakkan di Brunei. Pada tahun yang sama, Kesultanan Sulu menganugerahkan Pulau Palawan kepada Sultan Qudarat dari Kesultanan Maguindanao sebagai hadiah perkahwinan Sultan Qudarat dengan puteri Sulu dan juga sebagai hadiah persekutuan Maguindanao dengan Sulu. Sultan Qudarat kemudiannya menyerahkan Palawan kepada Sepanyol.

Ketika penjajahan Inggeris, Sandakan telah dipajakkan oleh Sultan Sulu kepada Inggeris. Pajakan tersebut  dikatakan untuk satu tempoh tanpa had yang diungkap dalam serangkai ayat "selagi ada bulan dan bintang".Ketika Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, Sabah dimerdekakan daripada Inggeris dan dimasukkan ke dalam persekutuan Malaysia. Dengan itu, pajakan kepada Inggeris itu pun beralih tangan kepada Malaysia pula. Dikatakan sehingga kini harga pajakan itu dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada waris Sultan Sulu sebanyak RM5300.00 setahun. Namun, berikutan terdapat beberapa individu yang mendakwa dirinya sebagai pewaris sah kesultanan Sulu, bayaran tersebut diserah kepada pemegang amanah.

Beberapa tahun yang lalu kerajaan Malaysia dikejutkan oleh tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu itu ke atas negeri Sabah. Sehingga kini, kerajaan Filipina sendiri mendakwa punya hak  ke  atas Sabah dan menuntutnya daripada kerajaan Malaysia.

Rantau pemerintahan Sulu yang menganjur dari pulau Mindanau sehingga ke wilayah-wilayah pantai Barat negeri Sabah, kini hanya tinggal kenangan sejarah. Pusat pemerintahannya di kepulauan Sulu telah dijajah oleh kerajaan Filipina. Rakya Sulu telah bertebaran. Sebahagiannya menjadi pelarian ke Sabah, dan sebahagian tinggal di negeri dalam keadaan dijajah. Sebahagian yang lain pula bangkit memikul senjata dan membentuk kumpulan pejuang. Sementara Sabah, telah tertulis dalam undang-undang antarabangsa sebagai milik Malaysia. Sekurang-kurangnya demikianlah yang diterima oleh masyarakat dunia sehingga kini.

Kini, individu-individu yang mendakwa sebagai waris sah kesultanan Sulu itu tidak punya wilayah pemerintahan sendiri. Ada yang memegang pasport Filipina dan ada yang memegang Maykad Malaysia. Sungguhpun mereka tidak punya negeri, mereka masih bercita-cita untuk mendapat hak pemerintahan ke atas Sabah. Tuntutan mereka ke atas Sabah menjadi bahan tawa ramai orang termasuk rakyat Sabah sendiri kerana negeri pusat pemerintahan mereka pun masih dicengkam pemerintahan kerajaan Filipina, tiba-tiba mereka melontarkan tuntutan ke atas negeri Sabah.

Ada cadangan agar sultan Sulu itu diterima menjadi Sultan Sabah. Dengan itu, sabah akan jadi sepertimana negeri-negeri Melayu di Semenanjung yang ada sultan masing-masing Namun, cadangan ini hanyalah cakap-cakap kedai kopi. Kerajaan Malaysia sendiri tidak pernah punya minat terhadap idea sebegini.

Zaman kesultanan sudah berlalu. Sultan yang ada dewasa ini hanyalah warisan yang dikekalkan dan tidak tahu selama mana ia akan terus kekal. Tidak akan berlaku lagi sebagaimana zaman dahulu di mana seorang sultan bagi wilayah dan empayar baru dinobatkan. Rakyat sesebuah negara dalam dunia hari ini sudah mendapat pendedahan ilmu pengetahuan dan bukan lagi berjiwa hamba yang menjadi ciri utama rakyat yang bersultan. Rakyat lebih suka memilih pemimpin dari kalangan mereka sendiri berdasarkan hukum merit.

Sekarang bukan lagi zaman antara dua darjat untuk menentukan siapa yang berkuasa. Ada rakyat yang lebih kaya dari Sultan yang bertahta dalam istananya. Ada rakyat yang lebih pintar dan belajar lebih tinggi dari kalangan kerabat istana. Ada rakyat yang lebih berpengaruh dari Sultan yang dilantik. Dulu, puteri rajalah wanita isteri paling berprestij dan menjadi impian mat jenin  untuk dikahwini rakyat. Kini  wanita-wanita penyanyi lebih diminati para dato' berbanding puteri para sultan!

Apa untungnya buat rakyat untuk melantik Sultan Sulu menjadi Sultan Sabah? Selain ia membazirkan wang negara, ia hanya tindakan pusing belakang. Faedahnya pula, kalau pun ada, hanya sekadar teori. Ada dakwaan mengatakan bahawa dengan adanya Sultan ia menjadi lambang bahawa tanah ini milik siapa. Sekadar berbangga siapa milik tanah ini, apalah gunanya. Semua orang tahu kaum Red-Indian adalah pemilik asal bumi Amerika Syarikat. Tapi, apalah gunanya title pemilik asal tersebut kalau merempat di bumi sendiri. Sesetengah orang memberi alasan wujudnya sultan akan menjadi pelindung kepada ketuanan bangsa.  Kononnya, akan  terpeliharalah hak milik tanah-tanah di Sabah dan tidaklah berjatuhan ke tangan Cina sebagaimana sekarang. Dakwaan sebegini boleh dipertikaikan. Jika kita melihat kepada negeri-negeri di Semenanjung yang ada Sultan sekalipun, pindah milik tanah kepada bangsa asing tetap berlaku. Di negeri Pahang, sudah berapa banyak puncak bukit di Cameron Highland yang menjadi milik taukeh judi Cina. Di negeri Johor, tanah yang luasnya berekar-ekar diperuntukkan untuk dibangunkan sebagai bandar Iskandar yang pemiliknya tentu bukan lagi Melayu. Sesetengahnya, kerabat istanalah yang membuat angkara menyebabkan hilangnya pegangan pribumi terhadap tanah negeri mereka sendiri.

Islam menyuruh kita memilih orang yang paling  mempunyai keahlian untuk memimpin. Apabila pemimpin yang dipilih bukan ahlinya, kata Nabi SAW dalam hadisnya, tunggulah sa'at kemusnahan dan kehancuran.  Keahlian kepimpinan bukan dinilai berdasarkan darah dan keturunan. Apa yang hendak dibanggakan dengan keturunan dan darah Sultan. Keturunan tetap dari bani Adam. Darah tetap merah juga. Dari satu sudut yang lain, keturunan sultan tidak lebih baik daripada rakyat biasa. Jika ditoleh asal muasal macam mana seorang sultan mula wujud dalam masyarakat Melayu, ia bermula dari sejarah yang penuh konflik. Pada zaman manusia menggunakan hukum rimba, siapa kuat dialah yang menang, siapa kaya dialah yang berkuasa, muncullah para pemuka pelbagai kumpulan menguasai dan kadang-kadang menindas rakyat.

Para pemuka tersebut, disokong oleh para pendokongnya yang disuap dengan harta atau  didorong oleh kepentingan ataupun ketakutan. Barangkali pemuka itu hanya ketua sekumpulan peneroka yang memugar tanah baru. Barangkali dia adalah ketua sekumpulan perompak dan lanun yang merampas dan merompak rakyat. Rakyat takut kepada mereka dan memerlukan perlindungan daripada mereka. Untuk kemananan,  ditumpahkan taat setia kepada mereka. Proses sejarah telah menukar status pemuka-pemuka 'gedebe' dalam masyarakat ini menjadi bangsawan yang kemudiannya dirajakan. Kedatangan Islam mempermolek mereka dengan lebel kesultanan.

Justeru, para sultan bukan makhluk dewata yang turun dari langit. Itulah gambaran golongan istana  pada zaman hindu di alam Melayu. Dewata itu hanya metos orang Hindu. Kemudian, setelah Islam, dibina metos baru.Kononnya asal-usul keturunan  raja-raja Melayu  adalah dari Bukit Sigungtang Mahameru. Dari keturunan Sang Sapurba yang dikatakan berketurunan dari Iskandar Zulkarnain  dan puteri Aqtabul Bahri dari negara sebelah India sana. Hikayat itu rekayasa pembodek istana buat mengangkat darjat tuannya.

Justeru, kalau mahu melantik Sultan, carilah orang paling tinggi merit dalam masyarakat. Realiti politik dunia hari ini, orang yang sebegini tidak lagi dinamakan sultan. Sultan itu datang daripada keturunan tertentu. Kerana bukan mulia dan hebat keturunan yang melahirkan salasilah sultan-sultan, dasar apa untuk kita memenjarakan akal fikiran kita mencari-cari titis keturunan sultan Sulu buat dinobatkan di Sabah. Kalaupun nenek moyang mereka pernah menjabat kedudukan istimewa di rantau Sulu, nenek moyang mereka jugalah yang menjual, memajak dan melepaskan pegangangan ke atas tanah Sabah ini. Lagipun, nenek moyang mereka itu bukanlah peribumi yang lahir di bumi Sulu.

Bukankah pengasas kerajaan Sulu pertama itu adalah bangsa Arab dan dari Johor pula? Siapa dia, sejarah tidak mendetailkan. Barangkali pedagang. Barangkali orang buangan. Asalnya nama Arab, orang Melayu zaman dulu sangat kagum dan hormat. Kita lebih mengenali watak dan perangai orang Arab dalam dunia terbuka pada hari ini.

Kesimpulannya, kisah kesultanan Sulu itu kisah sejarah. Kita sedang melangkah ke hadapan dan tidak perlu berpatah balik ke belakang. Negeri kita telah merdeka dan bebas. Bebas dari cengkaman penjajah. Bebas juga dari pemerintahan kuku besi yang menggunakan nama kesultanan. Rakyat telah mendapat hak bersuara dan memilih pemimpin pilihannya sendiri. Usahlah kita terhimbau dengan sekerat cerita hikayat yang diriwayatkan penulis-penulis silam yang menggambarkan kegemilangan pemerintahan kesultanan. Ia bukan kegemilangan rakyat, tetapi kegemilangan elit pemerintah yang terpilih dan membanggakan kerabat dan keturunan mereka.

Sabah tidak memerlukan seorang Sultan.

Pemerintahan Ala-Firaun

September 19, 2010


ونادى فرعون في قومه قال يا قوم أليس لي ملك مصر وهذه الأنهار تجري من تحتي أفلا تبصرون

Dan Fir'aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir Ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai Ini mengalir di bawahku; Maka apakah kamu tidak melihat(nya)?
(Surah Az-Zukhruf: Ayat 51)

Mesir pada zaman nabi Musa A.S diutuskan sebagai Rasul diperintah oleh  Firaun dan elit pemerintahannya. Dalam Al-Quran, Allah menggambarkan beberapa ciri pemerintahan elit penguasa tersebut. Mereka menggunakan kaedah pecah dan perintah. Rakyat tidak dibiarkan berpecah kepada puak dan kelompok agar dengan itu kekuasaan elit tersebut tidak akan dicabar. Selain tu, rakyat juga sering ditakut-takutkan. Dalam pemerintahan Firaun, Ahli Sihir menjadi jentera penting pemerintahan untuk menimbulkan kehebatan pemerintah.

Tulisan ringkas kali ini ingin mengulas mengenai satu perangai pemerintahan Firaun dan elitnya sebagaimana dinyatakan dalam Surah Az-Zukhruf ayat 51 di atas. Allah menegaskan bahawa Firaun, dengan kekuasaan yang diberikan kepadanya dan anugerah negeri Mesir yang diberikan tanah yang subur lantaran sungai Nil mengalir merentasinya, mendakwa dialah pemilik sungai Nil tersebut. 

Dia mewar-warkan kepada rakyatnya, jasanya mengairi negeri Mesir dengan tali air yang dialirkan dari sungai Nil untuk mengairi ladang-ladang penduduk negeri Mesir sehingga mereka mampu menikmati kehidupan makmur dan mewah hasil perladangan itu. Pemerintahan Firaun ini penuh dengan rasa riak dan sombong  dengan melebelkan namanya pada projek tali air tersebut. Dengan cara tersebut, dia mengharapkan rakyat Mesir akan sentiasa ingat pergantungan mereka kepada kerajaannya.

Memang itulah projek utama ekonomi Mesir pada masa itu. Membina tali air untuk mengairi ladang-ladang rakyat. 

Bagi sebuah kerajaan tentunyan ada projek-projek yang dibuat kepada rakyat. Umpamanya jalanraya, sekolah, kompleks bangunan, perumahan dan sebagainya. Kerajaan Malaysia yang diperintah oleh elit pemerintahan UMNO-BN dewasa ini  menggunakan kaedah yang serupa dengan kaedah elit pemerintahan Firaun. 


Pada setiap projek yang sedang atau akan dijalankan, anda akan saksikan papan tanda besar tertulis "SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL". Seolah-olahnya kerajaan yang memerintah itu ingin memberitahu rakyat sebagaimana gaya Firaun mewar-warkan kepada rakyatnya. Tidakkah kamu lihat berapa banyak projek yang kami lakukan buat kamu!Maka hendaklah kamu menyokong pemerintahan kami kerana hanya kami yang pandai memerintah untuk kamu.

Pemerintahan yang penuh riak itu adalah pemerintahan ala-Firaun. Pemerintahan yang baik tidak mengamalkan sikap riak tersebut. Kalau buat apa-apa projek rakyat, kerajaan yang baik akan memuji dan mensyukuri Allah kerana memberikan kemakmuran tersebut dan bukan melantunkan nama sendiri dengan bongkak dan sombong pada papan tanda besar. Sebuah kerajaan hanya melaksanakan amanah Yang Maha Esa. Pada saatnya, Dia berhak menarik balik pemerintahan bila-bila masa sahaja yang Dia mahu!

Kutipan JARYAH 50

September 14, 2010

Alhamdulillah, Jaryah 50 yang telah dilancarkan  pada bulan Ramadhan baru-baru ini telah berjaya memungut sejumlah RM11, 361.00. Kerjasama daripada penyelaras dan wakil-wakil serta kemurahan hati serta semangat berlumba-lumba menyumbang semasa Ramadhan daripada para penderma telah membawa kepada terkumpulnya jumlah tersebut. Walaupun jumlah yang disasarkan ialah RM20,000.00, insya Allah jumlah tersebut dapat dipergunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan projek pembaikan yang dirancangkan.

Semoga Allah melipatgandakan ganjaran di dunia dan akhirat bagi mereka yang telah terlibat dalam menyumbang. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan setiap yang diinfaqkan dengan ikhlas. Yang murah hati akan mendapat sesuai dengan kemurahan hatinya. Yang kikir dan bakhil akan mendapat sesuai dengan apa yang dikikirkannya.  

Allahu waliyyut taufiq wal hidayah...allahumma waffiqna lir rashad!

Bapa borek anak tak rintik

Omar bin Laden dan isterinya Zaina

Ossama bin Laden seorang yang hebat. Dia menggegarkan negara kuasa besar Amerika Syarikat dan menjadi buruan negara polis dunia itu. Dia dicap sebagai teroris. Di kalangan pejuang Islam yang mengangkat senjata, dan menjadikan peperangan jihad sebagai manhaj menegakkan Islam,  dia menjadi kebangaan dan inspirasi.

Namun, anaknya Omar Ossama bin Laden tidak sepertinya. Ia dikenali juga Omar bin laden atau Omar Awwad bin Laden. Anak ke 4 daripada 11 anak Ossama bin Laden itu, sungguhpun telah menghadapi pahit getir bersama ayahnya dalam buangan di Sudan antara tahun 1991-1996 dan telah mendapat latihan dalam kem Al-Qaeda  di Afghanistan selama 6 tahun semenjak usianya 14 tahun,  dia tidak mewarisi dan meneruskan corak perjuangan ayahnya. Dia juga pernah tinggal serumah dengan pemimpin kedua Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri. Pada tahun 2000, dia telah meninggalkan kumpulan Al-Qaeda dengan alasan tidak mahu dikaitkan dengan pembunuhan orang awam dan bapanya Osama bin Laden.

Omar kembali ke Arab Saudi dan tinggal di sana serta terlibat dengan perniagaan  Saudi Binladen Group, syarikat perniagaan keluarganya sehinggalah berlakunya peristiwa 11 September.

Omar bin Laden telah berkahwin dengan  Jane Felix-Browne atau nama Islamnya Zaina Mohamed Al-Sabah  pada April 2007 di United Kingdom dan perkawinan mereka dikendurikan di Arab Saudi dan Mesir. Sebelum berkahwin dengan Omar bin Laden, Zaina dikatakan telah berkahwin sebanyak 5 kali dengan beberapa orang bermula dengan seorang lelaki Arab Saudi pada usia 16 tahun. Zaina telah mempunyai 5 cucu dan 24 tahun lebih tua daripada Omar ketika mereka berkahwin. Omar pula sudah berkahwin dan dengan isteri pertamanya mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Dengan Zaina, Omar tidak dikurniakan anak. Mereka telah menyewa rahim Louise Pollard, sahabat baik Zaina, untuk mengandungkan anak mereka secara pemanian beradas. 

Allah punya kuasa. Allah menjaga maruah Ossama bin Laden dan tidak menghendaki keturunannya dilahirkan oleh wanita kafir. Louise Pollard, yang sudah mengandungkan anak pasangan tersebut selama 10 minggu telah diserang dan ditumbuk oleh orang yang tidak dikenali ketika berada di Syria. Serangan tersebut menyebabkannya keguguran.

Sebelum itu, Omar bin laden dan Zaina telah pun diberitakan bercerai.


Sumber: Wikipedia, Harian Metro