Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Ibn Jauzi dengan jawapan aras tinggi

October 25, 2016

Ibnu Jauzi, nama sebenarnya adalah Abu Al-Faraj Abdul Rahman bin Abi Al-Hasan bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Hummadi bin Ahmad bin Jaafar Al-Jauzi Al-Qursyi At-Tayyimi Al-Bakri Al-Baghdadi, Faqih Hambali dan sasterawan dengan nama pena Jamaluddin.

Pada zaman Ibn Jauzi telah berlaku satu perbalahan antara kelompok Syiah dengan kelompok Sunni. Isunya ialah siapa yang lebih afdhal? Abu Bakar atau Ali bin Abi Talib. Ibn Jauzi telah menjawab dengan satu jawapan yang membuatkan kedua-dua pihak boleh menerima jawapan tersebut. Baik kelompok Syiah maupun kelompok sunni.
Katanya:
أفضلهما من كانت إبنته تحته
" Yang paling afdhal antara keduanya ialah siapa yang anak perempuanya di bawahnya".
Ibn Jauzi tidak menunggu pertanyaan susulan. Dia terus tinggalkan majlis itu selepas mengungkapkan jawapannya. Puak Syiah kata jawapan Ibn Jauzi bermaksud Ali yang lebih Afdhal kerana anak perempuan Rasulullah SAW iaitu Fatimah Az-Zahraa berada di bawah Ali bgin Abi Tali, iaitu sebagai isterinya. Tetapi kalangan Sunni pula berkata bahawa jawapan Ibn Jauzi itu bermaksud Abu Bakar yang lebi Afdhal kerana ana perempuan Abu Bakar iaitu Aisyah ummul mukminin yang berada di bawah Rasulullah SAW, iaitu sebagai isteri baginda.
Maka, jawapan Ibn jauzi tersebut mengandungi dua kemungkinan. Dan kemungkinan itu dipulangkan kepada yang bertanya untuk memahaminya. Jika dia menjawab secara terus, sudah tentulah akan ada pihak yang tidka berpuas hati. Sebuah pertikaian klasik yang tidak menampakkan hujungnya, tidak guna dijawab. Jawapan tidak akan menyelesaikan.

Namun, jika dinilai daripada aspek bahawa, iaitu dhomir "ha" dalam jawapan itu, tentulah Ibn jauzi bermaksud Abu Bakar As-Siddiq yang lebih afdhol kerana pertanyaan adalah antara Abu Bakar dan Ali dan bukan Rasulullullah SAW. Dalam jawapan tersebut ada dua dua kali ulangan dhomir "ha". Dhomir "ha' yang pertamalah merujuk kepada kepada maksud "siapa yang" yang menjadi pokok kepada jawapan yang dikehendaki.

Namun, kerana orang Syiah adalah kelompok bodoh yang otak fikiran mereka telah masuk ketaasuban melampau terhadap Ali, aspek ini tidka terlihat oleh pemikiran mereka.

Berlaku satu peristiwa yang lain, sebagaimana disebutkan oleh Ibn Khalikan. Satu pertanyaan dilontarkan kepada Ibn Jauzi.

" Manakah yang afdhol? Tasbih atau Istighfar?

Maka dijawab oleh Ibn Jauzi: " Pakaian kotor  lebih memerlukan sabun daripada wap!(strika lah tu)

Di samping kepintaran menjawab soalan-soalan dengan jawapan yang luar biasa, Ibn jauzi diriwayatkan ada satu kelemahan. Kata Ibn Rajab, itulah satu keaibannya. Dia seorang yang suka puji diri, angkat bakul sendiri dan memuliakan diri. Pun begitu, kata Ibn Rajab, dia memang ada apa yang dia banggakan itu bukan mengada-ada.

Antara ungkapan Syairnya yang mengandungi pujian terhadap diri ialah:
لو كان هذا  العلم شخصا  ناطقا....وسألته هل زار مثلى؟ قال : لا

" Kalaulah ilmu itu seorang yang dapat bercakap....lalu aku tanya diapernahkah dia dilawati orang sepertiku? Akan dia jawab: tidak pernah!

Kama Tudin Tudan

July 26, 2016

 
Begitulah hari-hari yang berlalu, kita jarang sekali sedar. Bagaimana kita buat kepada orang lain, demikianlah kita akan mendapat layanan daripada orang lain. Kata pujangga bangsa kita, buat baik dibalas baik. Jika lalang yang disemai, mengapa padi yang diharapkan tumbuh?

Ada satu cerita. Seorang peniaga gandum, telah datang kepadanya seorang perempuan untuk membeli gandumnya. Tetapi kerana tertarik dengan kecantikan perempuan itu, dia telah memegang tangan perempuan itu dan mengajaknya masuk ke dalam stornya untuk melihat gandum yang lebih bermutu. Perempuan itu tidak rela tangannya dipegang dan merasakan ada maksud jahat sang peniaga itu. Dia pun pulang tanpa membeli gandum.


Apa yang lelaki peniaga itu cuba lakukan terhadap perempuan itu, telah berlaku pula kepada isterinya di rumah. Setiap hari ada lelaki yang menghantar air ke rumahnya. Isterinya tidak pernah lihat lelaki penghantar air itu dan demikian juga lelaki peghantar air. Tetapi, hari itu dia telah memandang isteri peniaga yang keseorangan di rumah. Dia pun tertarik dan memegang tangannya. Isteri peniaga itu mencegah dan lelaki penghantar air itu pun sedar. Dia melepaskan tangan perempuan itu dan berlalu.

Ketika kisah itu diceritakan oleh isterinya apabila pulang dari urusannya di kedai, lelaki peniaga itu sedarlah benarnya kata-kata" Kama Tudin Tudan".

"Kalau aku lebihkan perbuatanku itu, tentulah lelaki yang menggoda isteriku juga akan melebihkannya".

Sehari-hari kita membuat makar dan tipudaya dalam hidup. Makar dan tipudaya itu mengena banyak pihak. Ibu orang lain, anak orang lain, isteri orang lain dan macam-macam orang lain. Perhatikanlah bagaimana ia berpatah balik kepada kita sedang kita tidak sedar.

Demikanlah, jika kita berbuat baik kepada orang lain, kita akan mendapat kebaikan itu tanpa kita sedar.

Jika kita menghina seseorang, kita akan dihina oleh orang lain. Tetapi ingat...jangan kita pula jadi penghina orang lain yang menghina orang lain. Jika demikian kita telah terperangkap dalam putaran kisas dan karma yang merugikan diri. Keluar dan bebaskan diri daripada berada dalam putaran itu.

Qais bin Mulawwah

May 23, 2016

Seorang lelaki pencinta wanita telah terkorban kerana cintanya.  Itulah Qais bin Mulawwah yang hidup antara tahun 24 H hingga 68 H. Tempoh itu adalah zaman pemerintahan khalifah Marwan bin Al-Hakam dan Abdul Malik bin Marwan daripada dinasti Bani Umayyah. Kerana sangat mencintai Laila ِAl-'Amiriah, sepupunya yang membesar bersamanya sejak kecil, dia digelar sebagai Majnun Laila.

Cinta Qais dan Laila terhalang oleh kerana ayah Laila tidak menyetujuinya. Sebab kenapa ayah Laila tidak menyetujui percintaan dua kekasih itu adalah dikatakan berhubung dengan adat jahiliah yang masih diamalkan di kalangan kaum Badwi ketika itu yang memandnag hina kepada perkahwinan yang diasaskan atas cinta. Adalah satu keaiban buat ibu bapa gadis jika anak gadis mereka dicintai oleh seorang lelaki dan berkahwin kerananya. Menjadi satu kehebatan pula jika ibu bapa mengahwinkan anak gadis mereka mengikut pilihan merek.

Ada juga yang mengaitkan kengganan ayah Laila merestui hungan Qais dengan Laila adalah berkaitan permusuhan keluarga antara ayah Qais dan ayah Laila sendiri.Permusuhan tersebut berkaitan dengan harta pusaka yang mana ayah Laila menuduh ayah Qais mengambil haknya.

Maka cinta Qais tidak kesampaian. Laila dikahwinkan oleh ayahnya dengan seorang lelaki lain bernama Warad bin Muhammad Uqaili dari Bani Tsaqif  berasal dari Taif  Maka setelah berkahwin, Laila dibawa ke Taif dan tinggal di sana. Qais menjadi tidak menentu seperti orang gila dan berkelana antara Najad, Syam dan sekitar Hijaz. Pada akhirnya Qais didapati mati tergeletak di antara batuan di padang pasir.

Syair Qais bun Mulawwah yang menggambarkan cintanya yang amat sangat buat Laila:


أمر على الديــــــار ديار ليـلى ... أقبل ذا الـــــــجدار وذا الجـدارا
وما حب الديار شـــــغفن قلبي ... ولكن حب من ســـــــكن الديارا


Aku lalui negeri-negeri yang merupakan negeri Laila
Aku kucupi dinding-dindingnya
Bukanlah kerana cintakan negeri itu yang memenuhi hatiku
Namun hanya cintakan orang yang menghuni negeri itu.

Disebutkan  oleh periwayat cerita Qais, bahawa pada satu musim haji, beliau telah dibawa oleh ayahnya pergi mengerjakan haji di Makkah. Ayahnya memintanya berdoa di sana agar disembuhkan daripada penyakit cintanya.  Di sana , ayahnya suruh Qais bergayut di kelambu Kaabah dan memohon kepada Allah agar menyembuhkannya. Akan tetapi, lain pula yang diminta oleh Qais. Qais malah berdoa:


اللهم زدني لليلي حبًا وبها كلفًا ولا تنسني ذكرها أبدًا


" Ya Allah, tambahkan beban cintaku kepada Laila dan janganlah buatkan aku melupainya selamanya".





GURU BERNESAN ZAMAN (EDISI REVISED)

May 16, 2016

Insan bernama guru
Telah berdiri sebagai gapura ilmu
Untuk manusia menggapai apa mahu.
Untuk membuang jahil menjadi tahu
Dari meraba-raba lalu pasti tempat tuju.
Mengajar lurus pasak nawaitu
Memercik semerbak harum gaharu
Membawa ke puncak ke atas awan biru.

Insan bernama guru
Telah mengalirkan sungai bijaksana
dari legeh para pendeta .
Telah menyemaikan sebendang saujana mata
ilmu warisan para cendekia
Telah menanam taman rimbun merimba
buat teduh musafir kelana di dunia.

Insan bernama guru
Telah membangunkan kota perkasa
untuk mengepung sejahtera pewaris citra.
Telah meluncurkan bahtera merdeka
agar generasi muka berdiri penuh maruah di dada
Telah mengajar para si buta
bangaimana mengenal semua panca indera
telah melukis sejarah bangsa dan nusa
Agar bangkit menguasai dunia.

Berkata bijak pendeta
ilmu lebih mulia daripada harta

ilmu menjaga kita
kita pula kalut menjaga harta

Ilmu bertambah jika disebar
Harta musnah bila terbiar

Ilmu mengangkatmu ke harkat malaikat
Harta menyaratkanmu ke karat bejat.

ilmu menggapai Sidratul Muntaha
sedang harta melata bersalut noda.

Tuan ilmu itulah guru
Tuan harta itulah juta

Guru bersila di langit pendeta
menghidu semerbak harum syurga
di atas dari angkasa raya
bargayut di bawah arasy mulia

Juta bergelut di kumbahan sengketa
Merebut harta membangun istana
Agar diri mewah ternama
Harta melimpah lanai berjela.

Tak akan sama guru tuan ilmu
Dengan si juta tuan harta!

Guru itu insan mulia
jiwa bersinar memancar citra
menyebar idealisma hidup berbangsa
mengangkat yang hina jadi mulia
memimpin yang mulia menyempurna karma
membuka jalan menuju syurga.

Harta mengalir melimpah dunia
legehnya datang dari ajaran guru
Empayar besar tegak beribu tahun
di garis pertama guru melakar
Manusia memanjat mikraj malaikat
gurulah meletak takah-takahnya

Guru terbenam di perut bumi
Nama didendang di sana sini

Walau jasad telah sirna
tidaklah makrifat hilang bersama.

Nama orang tertulis di nesan?
nama guru ditempa zaman.

Yang mati namanya dilupa
nama guru masih diwarta

Orang lain mati bergalang tanah
Guru mati didendang madah.

Wahai guru 
pacakkan nesanmu di dada zaman
sebutir benih yang kau tanam hari ini
Kan tumbuh sebagai pokok sidrah
Akarnya mencengkam pucuknya mengawan
akan berjuntai dahannya berabad
Daunnya bertunas tertulis namamu
Buahnya tidak luak dimakan berzaman.

Biar ringgitmu sekeping cuma
dengannya kelak kau rantaikan pahala
Terbujur engkau di Barzah sana
Bertemali jariah engkau terima
sebagai kalung bahagia di hari muka.

Wahai murid
pencakkan tarimu dengan gemalai cinta
pada guru yang menuntun tulis baca
mengajar hitung kira
mencanai minda bijaksana
menghiaskanmu akhlak calon syurga
satu masa jangan kau lupa
di mana langkahmu bermula
sebelum kau berdiri di menara jaya
Itulah pada sabarnya guru mulia.

Gurumu tidak bernesan dua
Dia bernesan zaman
Selagi ada roda masa
Akan kau baca namanya
Yang ditempa pada nesannnya….

Hasil Karya: Ust Kama

Dideklamasikan pada 16 Mei 2016 Sempena Sambutan hari Guru Peringkat SKSS


KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TIDAK AKAN BERSAMA

May 7, 2016

Mereka yang banyak duit
berlumba menaja jutaan ringgit
untuk pasukan bola yang tenat sakit
dengan tujuan bingkas bangkit.


Setengah daripada kita mungkin rasa hairan. Apalah harganya menaja pasukan bola sepak dengan angka jutaan ringgit. semua itu hanyalah untuk permainan yang tidak menjanjikan pahala yang lumayan, apatah lagi untuk menjadi jariah yang berkekalan di hari kemudian. mengapalah tidak disalurkan semua itu untuk membangunkan rumah-rumah anak yatim seantero negeri, atau memantapkan infrastruktur maahad tahfiz, masjid-masjid atau seribu satu macam amal soleh jariah yang dipuji agama?


Mengapa jalan terang tidak dipilih tetapi jalan kabur berkabus juga yang dikelih. Jalan orang soleh tidak diraih, tetapi ditatih jalan orang safih.


Apa sudah jadi dengan hartawan dan jutawan kita?


Sejenak aku tersentak menyemak sepotong Firman:


لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ


Supaya Allah memisahkan golongan yang buruk daripada yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu ditumpukkan satu sama lain dan dijadikannya isi neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.
(Surah al-anfal:37)


Disebutkan dalam tafseer Ibn Kathir bahawa Abu Sufian yang pulang membawa keuntungan dagangan setelah mengelakkan daripada disergap oleh kaum Muslimin telah berkempen kepada pemegang-pemegang sahamnya di Makkah agar mendermakan harta itu untuk menuntut bela kematian pemuka Quraisy dalam perang Badar. Lantas, mereka pun mendermakan harta mereka untuk melengkapkan upaya memerangi Rasulullah yang membawa kepada peperangan Uhud.


Allah mencela usaha mereka dan menggambarkan bahawa harta mereka yang digunakan untuk derma peperangan itu adalah dari sumber yang buruk dan kerana itu tidak akan pergi melainkan kepada yang buruk juga. Mereka memperolehinya daripada harta kaum muslimin yang dirampas setelah orang Islam berhijrah lalu mereka niagakan di Syam. Harta yang jelek itu kemudian akan tumpah kepada kerja-kerja memerangi Islam. Al-hasil wal mahsul tidak mendatangkan apa-apa kebaikan untuk mereka di dunia, apa lagi di akhirat!


Maka, falsafah harta, jika dicermati, kita akan mendapati perhitungan sedemikian. Jika harta itu baik, Allah akan lorongkan ia dibelanjakan ke jalan yang baik. Sementara, Jika harta itu jelek, ke tempat jeleklah ia dibelanjakan. Jika harta itu 'lagha', ke medan 'lagha'lah ia ditaburkan.


Tidak perlu hairan kenapa begitu mudah jutaan ringgit digunakan untuk kerja-kerja yang tidak berfaedah.Ya...apalah faedahnya bola sepak untuk agama? Malah, apalah faedahnya untuk bangsa dan negara. Belanjakan jutaan ringgit untuk permainan yang melalaikan itu tidak akan mendapat keuntungan hari akhirat. Ia mungkin nampak untung dalam dunia, tetapi dunia hanyalah fatamorgana.


Jika asalnya tanah, akan kembali kepada tanah. Barang yang rendah nilainya jatuh ke bawah. Jika tinggi mutunya, akan terbang hingga atas langit ke tujuh.

MENCOTENG HIKAYAT

May 5, 2016

Diceritakan oleh para penghikayat.

Pada satu ketika,Syeikh Ahmad Ar-Rifai telah menziarahi kubur nabi SAW di Madinah lalu di sisi kubur baginda , beliau berbicara sepotong kalam Syair:
 

إن قيل زرتم بما رجعتم يا أشرف الرسل ما نقول

" Jika ditanya kamu telah ziarah kubur nabi, apa yang kamu bawa pulang...Apakah akan kukatakan wahai Rasul termulia?

Lalu tiba-tiba kedengaran suara dari kubur nabi SAW, Rasulullah menjawab:

قولوا رجعنا بكل خير واجتمع الفرع والأصول

"Kamu pulang membawa kebaikan yang banyak...Dan telah berhimpun bersama keturunan dan leluhur"

Kemudian, diceritakan bahawa Syeikh Ahmad Rifa'i bersyair lagi:

فامدد يمينك كي تحظى بها شفتي

" Maka hulurkan tangan kananmu agar dua bibirku mendapat keberuntungan dengan menciumnya".

Lalu keluarlah tangan baginda Rasulullah SAW dari dalam kubur dan disalami serta dicium oleh Syeikh Ahmad Rifa'i. Menurut Sayyid Muhammad Abul Huda As-Soyadi dalam kitabnya Qiladah Al-Jawahir, peristiwa itu disaksikan oleh 90 ribu orang yang hadir bersama termasuk Syeikh Abdul Qadir Jailani.

Inilah di antara cerita ajaib yang dirwayatkan oleh kalangan yang menisbahkan diri sebagai ahli Sufi. Cerita ini juga turut dihikayatkan oleh penceramah-penceramah kita atas nama karamat para wali. Tanpa mahu merendahkan kemuliaan Syeikh Ahmad Ar-Rifai yang disebutkan dengan sebutan mulia oleh para ahli sejarah Islam seperti Az-Zahabi, Ibn Kathir, Ibn Khalikan serta lainnya, cerita tersebut sangat pelik dan cacat dalam banyak aspek.

Cerita itu adalah rekaan para pentaksub kepada Syeikh Ahmad Ar-Rifa'i (Qaddasallahu Ruhahu). Antara alasannya adalah kerana dalam cerita ini digambarkan bahawa nabi bersyair sedangkan nabi tidak pernah mengungkapkan bait syair semasa hayatnya. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah dan diriwayatkan oleh Ahmad, Baihaqi, Toyalisi dan lain-lain, beliau menyatakan bahawa:

كان الشعر أبغض الحديث إليه

"Syair merupakan bicara yang paling tidak disukai oleh Rasulullah SAW".

Bagaimana pula Rasulullah boleh berbahasa Syair dengan Ahmad Ar-Rifa'i sedangkan semasa hayat baginda, tidak pula baginda berbual dengan irama syair atau sajak dengan sahabatnya? Sementelahan ungkapan syair itu , jika dinilai oleh para ahli dalam bahasa Arab, akan mendapati ada "lahn' dan "syaz". Kelihatannya syair itu dikarang oleh orang yang lemah dari aspek bahasa.

Selain itu, catatan bahawa peristiwa itu disaksikan oleh 90 ribu orang saksi yang hadir bersama, juga adalah satu yang berlebih-lebihan. Kapasiti Masjid Nabawi, lebih-lebih lagi pada zaman tersebut, tidak mampu menampung sejumlah itu. Kalau pun dapat sejumlah itu, sudah tentu akan bersesak dan berhimpit dan tentunya tidak semua dapat melihat keajaiban itu. Ironinya, cerita nabi keluarkan tangan dan bersalam dengannya itu tidak masyhur dan tidak diriwayatkan secara meluas di kalangan ulama. Kalau 90 ribu menyaksikannya, tentulah kita akan mendapat cerita itu dalam bayak riwayat serta karya para ulama.

Maka, selain Syiah yang suka mengada-adakan cerita kehebatan para imam maksum mereka, kalangan melampau daripada ahli tasawwuf juga mengambil jalan yang sama. Banyak cerita ajaib mengenai syeikh direka dan ditokok tambah. Sedangkan tentang nabi SAW pun ada cubaan " memaudhu'kan", apatah lagi para ulama dan auliya selepasnya. Mujurlah nabi SAW dipagari dengan ketat oleh ilmu periwayatan hadis, maka kecederaan pada keperibadian nabi dapat dikurangkan. Tetapi, tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam, tidak dapat dikawal tuntas oleh ilmu periwayatan. Maka cerita bohong dan dusta berlegar-legar.

Tinggal lagi kita berfikir sebelum menelan cerita. Jangan asal berkilau disangka permata!

ABU DHAM DHAM

March 23, 2016


عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ((أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَكُونَ كَأَبِي ضَمْضَمٍ؟))، قَالُوا: مَنْ أَبُو ضَمْضَمٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: ((كَانَ إِذَا أَصْبَحَ قَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي قَدْ وَهَبْتُ نَفْسِي وَعِرْضِي لَكَ، فَلَا يَشْتُمُ مَنْ شَتَمَهُ، وَلَا يَظْلِمُ مَنْ ظَلَمَهُ، وَلَا يَضْرِبُ مَنْ ضَرَبَهُ)).

Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Apakah kamu tidak mampu meniru Abu Dham Dham? Mereka( Sahabat) bertanya:Siaakah Abu Dham Dham itu Ya Rasulullah? Baginda menjawab: Sesungguhnya dia, apabila bangun pagi, dia berdoa: Ya Allahsesungguhnya aku telah serahkan diriku dan kehormatanku kepadamu. Maka aku tidak akan  mencela orang yang mencelaku, tidak akan menzalimi orang yang menzalimiku dan tidak akan memukul orang yang memukulku".
( Riwayat Ibn Sunni dalam Amal Al-Yaum Walailah dengan sanad yang daif) 

Para ulama hadis berkhilaf tentang siapakah Abu Dham Dham. Ada yang mengatakan beliau adalah seorang sahabat Rasulullah dan ada yang mengatakan beliau adalah seseorang yang hidup pada zaman sebelumnya Rasulullah SAW.

Namun, apa yang penting daripada mesej hadis ini ialah, kemiskinan bukan alasan untuk tidak bersedekah. Watak bernama Abu Dham Dham ini tidak punya apa-apa tetapi beliau tetap bersedekah dengan cara dan kemampuan yang dia ada iaitu maruah dan kehormatan dirinya. Dia mengambil jalan mengalah walaupun dengan mengalah itu orang akan memandang rendah dan hina kepadanya. Biarlah dirinya diperlekehkan samada melalui tutur bicara orang atau kezaliman tangan orang, dia bersabar dan menganggap kemaafannya adalah sebagai sedekah.

Kalau demikian cara sedekah, tentulah ramai yang mampu lakukan. Bahkan semua orang holeh lakukannya. Maka nama melontarkan pertanyaan: Apakah begitupun kamu tiudak mampu lakukan? Itulah cara sedekah yang tidak memerlukan matabenda dan wang ringgit. Ia adalah sedekah yang maknawi dan abstrak!

Muhammad Bin Al-Qasim, pembuka wilayah Sind dan India.

March 22, 2016

Muhammad bin Al-Qasim adalah anak saudara kepada Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Sungguhpun sejarah hidup Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi berlumuran dengan riwayat berdarah, beliau telah memacakkan jasa yang bukan sedikit untuk kemuliaan Islam di persada alam. Atas pilihannya, Muhammad bin Al-Qasim dilantik mengetuai misi membuka wilayah Sind dan India. Padahal usia Muhammad bin Al-Qasim di kala itu baru menginjak 17 tahun.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, keberanian yang jitu serta keikhlasan fi sabilillah, Muhammad bin Al-Qasim membawa tentera Islam menerjah ke wilayah Sind hingga India. Raja-raja hebat di tanah India waktu itu kalah di tanganya. Dengan kesantunan yang tinggi, ramai warga memilih untuk menjadi muslim.

Sesungguhnya keislaman di bumi Sind dan India adalah jasa Muhammad bin Al-Qasim. Bila demikian, ia bersangkut pula dengan jasa Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi yang mentauliahkan Muhammad bin Al-Qasim untuk tugasan itu. Masing-masing mencicip pahala bagi jasanya, sementara dosa dan kezaliman yang dilakukan, Allah maha pengampun. 

Selepas Al-Walid bin Abdul Malik meninggal, jawatan khalifah diambil alih oleh adiknya Sulaiman bin Abdul Malik. Sulaiman punya rasa terkilan dengan Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi kerana pada ketika Al-Walid berura-ura untuk melucutkannya dari posisi putera mahkota dan menggantikannya dengan Abdul Aziz bin Al-Walid (Bapa umar bin Abdul Aziz), Hajjaj bin Yusuf menyokong cadangan itu. Kerana itu, dia menyimpan dendam kepada Hajjaj. 

Apabila dia dilantik sebagai Khalifah, dia menyimpan kebencian itu terhadap Hajjaj. Namun, Hajjaj telah dijemput Allah sebelum dendamnya menyentuh Hajjaj. Beliau melantik seorang musuh Hajjaj bernama Saleh bin Abdul Rahman sebagai Gabenor Iraq. Saleh bin Abdul Rahman marahkan Hajjaj kerana saudaranya pernah dibunuh Hajjaj. 

Tidak dapat membalas ke atas Hajjaj, dia mencari siapa yang paling dekat dengan Hajjaj. Tidak lain ialah Muhammad bin Al-Qasim. Soleh bin Abdul Rahman memecat Muhamad bin Al-Qasim daripada penguasa wilayah Sind dan India, lalu digantikan dengan Orang pilihannya iaitu Yazid bin Abi Kabsyah.  Yazid bin Kabsyah diperintahkan menangkap Muhammad bin Al-Qasim dihantar ke Iraq sebagai tawanan. 

Muhammad bin Al-Qasim, walau sangat berpengaruh di wilayah Sind dan India serta disayangi rakyatnya, dia patuh dengan arahan dan merelakan dirinnya ditawan di hantar ke Iraq untuk dihakimi oleh Soleh bin Abd Rahman. Namun, dia dipenjarakan di Wasit, dalam wilayah Iraq, disiksa hingga mati dalam penjara.

Berakhir riwayat pahlawan yang berjasa itu. Namanya ditinggal harum dan disebut dengan pujian. Dia memang telah dibunuh tetapi dia terus hidup hingga hari ini. Mereka yang membunuhnya mungkin rasa puas dan menang, tetapi sebenarnya mereka telah mati terlebih dahulu daripada yang dibunuh itu. 

Barangkali, mereka sangka kekuasaan boleh buatkan mereka kekal, tetapi mereka telah mati sebelum masanya. Nama penzalim dilupakan sedangkan nama pahlawan berjasa abadi sehingga akhir zaman.


Abdul Malik bin Umar bin Abdul Aziz

Putera Umar bin Abd Aziz bernama Abdul Malik. Kendati usianya masih muda remaja, catatan ahli sirah menyebutkan kesolehannya dan wawasan takwanya dalam pemerintahan bapanya. Hari ini orang menyanjung Umar bin Abdul Aziz kerana pemerintahannya yang menjadi contoh. Namun, ramai orang yang tidak tahu bahawa di belakangnya ada seorang remaja yang merupakan anaknya betrtindak sebagai wazir baginya. Memang begitulah ragam hidup. Orang menyanjung sultan tetapi tidak menyebut wazirnya. 
Dalam keadaan tertentu, Umar Bin Abdul Aziz menyifatkan anaknya itu lebih faqih daripadanya dan jika Abdul malik itu bukan anaknya, tentulah dia lebih layak menjabat sebagai khalifah. Sirah mencatatkan lahirnya Abdul malik pada tahun 82H dan meninggal pada tahun 101 H pada usia 19 tahun.

Sesungguhnya bapa yang terbaik adalah yang yang melahirkan anak yang lebih baik daripadanya.

Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Al-Isobah Fi Tamyiz As-Sahabah memetik riwayat oleh Ibn Al-Athir bahawa Abdul Malik bin Umar menyebut bahawa dia telah melihat Ubaidillah bin Ziyad telah datang membawa kepada Hussain bin Ali, kemudian Mukhtar As-Tsaqafi membawa kepada Ubadillah bin Ziyad. Setelah itu kepada Mukhtar As-Tsaqafi dibawa pula oleh Mus'ab bin Az-Zubair. Seterusnya kepala Mus'ab bin Az-Zubair dibawa pula kepada Abdul Malik bin Marwan.

Hari bersilih ganti bagaimana Allah menimpakan putaran ke atas manusia menjadi pengamatannya yang menambahkan kecerdikannya pada usia yang begitu muda.

Rahmat Allah ke atas Abdul Malik bin Umar.

MUKHTAR BIN ABI UBAID AS-TSAQAFI

Mukhtar bin Abi Ubaid bin Mas'ud As-Tsaqafi dilahirkan di Taif pada tahun 1 H. Bapanya Abu Ubaid adalah tergolong kalangan sahabat nabi dan telah mati syahid dalam peperangan "Al-Jisr" yang menyaksikan kemasukan Islam ke bumi Iraq. Mukhtar telah dibela oleh bapa saudaranya, Sa'id bin Mas'ud As-Tsaqafi yang menjabat jawatan gabenor Kufah pada masa kekhalifahan Ali bin Abi Talib. Mukhtar As-Tsaqafi telah membesar dengan cita-cita politik yang bersulam tipudaya dan menunggangi semangat Syiah yang mencintai Ahli Bait demi menggapai cita-cita sendiri.

Mukhtar As-Tsaqafi digelar Kaisan.Beliau telah bertembung dengan pasukan yang mendokong Abdullah bin Az-Zubair di Iraq dan beliau mencapai beberapa siri kemenangan. Maka, timbul perasaan ujub dalam dirinya sehingga sampai ke peringkat beliau mendakwa mendapat wahyu dan mengeluarkan kata-kata bernada sajak untuk menipu pengikutnya bahawa dia adalah nabi utusan Allah.

Asma' binti Abu Bakar meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasullah SAW telah bersabda:


سيكون في ثقيف كذاب ومبير

" Akan lahir dari Tsaqif sang pendusta dan penumpah darah". (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang dilakukan oleh Mukhtar As-Tsaqafi memberi jawapan kepada maksud hadis tersebut kerana dialah sang pendusta daripada puak Tsaqif (Taif) kerana dakwaannya sebagai nabi yang mendapat wahyu. Manakalah "mubir" itu pula dapat difahami daripada satu watak lain yang juga daripada puak Tsaqif di Taif iaitu Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi. Sejarah mencatakan kezalimannya dan penumpahan darah yang dilakukannya. Telah nyata dalam catatan sirah bahawa beliaulah yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Said bin Jubair, yang menjadi titik penyesalan dan kehitaman yang pekat dalam hidupnya.

Namun, di kalangan Syiah, dia dianggap pahlawan pembela ahli Bait dan dipadamkan dari sejarah mereka kebohongan yang dilakukan oleh Mukhtar . Dakwaan kenabian yang dilakukannya itu tidak penting buat golongan Syiah kerana yang paling penting untuk kelompok yang disesatkan ini adalah apa yang dibuatkannya untuk menunjukkan kecintaan kepada keturunan Rasulullah SAW atau Saidina Ali r.a. Pada hari ini, di Kufah, mereka bangunkan maqam yang dibesarkan untuk Mukhtar As-Tsaqafi dan dikunjung oleh penziarah kalangan penganut Syiah.








SELENGKAR KISAH-TERBUNUHNYA MUS'AB BIN AZ-ZUBAIR

Mus'ab bin Az-Zubair adalah saudara lelaki kepada Abdullah bin Az-Zubair yang diangkat sebagai khalifah setelah peristiwa pembunuhan Saidina Hussain di Karbala'. Ketika itu, di tanah Syam, Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkuasa dan beliau dibantu oleh panglima tenteranya yang bernama Hajjaj bin Yusuf As-Thaqafi. Di Iraq pula seorang pemimpin Rafidhah bernama Mukhtar As-Tsaqafi yang mencapai kemenangan dalam peperangan mengalahkan Ubaidillah bin Ziyad yang memimpin pasukan membantai Saidina Hussain di Karbala. Ubaidillah bin Ziyad dibantu oleh orang kuatnya bernama bernama Syimr bin Ziljausyan manakala Mukhtar As-Tsaqafi dibantu oleh Ibrahim bin Malik Al-Asytar. 

Tentera Ibrahim bin Malik Al-Asytar telah berjaya membunuh Ubaidillah bin Ziyad dan Syimr bin Zil-Jausyan. Namun, Mukhtar As-Tsaqafi kemudiannya melampau dan melebihi pemimpinnya sendiri iaitu Muhammad Al-Hanafiah yang merupakan anak  kepada Ali bin Abi Talib dengan isterinya Khaulah binti Ja'far bin Qais Al-Hanafiyyah. Malah, Mukhtar As-Tsaqafi sampai ke peringkat mengaku mendapat wahyu kenabian sehingga beliau ditinggalkan oleh orang kuatnya sendiri iaitu Ibrahim bin Malik Al-Asytar.

Ketika Mukhtar As-Tsaqafi sudah melampau di tanah Iraq, Abdullah bin Az-Zubair yang dibai'ah oleh penduduk Makkah sebagai khalifah mengirimkan adiknya Mus'ab bin Az-Zubair untuk merampas wilayah kekuasaan di Iraq. Mus'ab berjaya dan Mukhtar As-Tsaqafi dapat dibunuh. Setelah itu Mus'ab menyusun cita-cita yang lebih besar untuk menguasai Syam dengan memerangi Abdul malik bin Marwan. Ketika berlaku pertembungan itu, kalahlah tentera Mus'ab dan Mus'ab sendiri telah dipenggal kepalanya oleh Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi, panglima tentera Abdul Malik bin Marwan. Kepalanya dihantar balik kepada abangnya Abdullah bin Az-Zubair di Makkah. 

Tidak lama kemudian, Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi menyerang kota Makkah dan Abdullah bin Az-Zubair dapat dikalahkan dan beliau terbunuh. Stelah itu, kekuasaan wilayah Islam bersatu di bawah Abdul Malik bin Marwan, khalifah daripada Bani Umayyah.

*Catatan kisah ini akan disemak untuk penambahbaikan.

Cuti Cuaca Panas


Cuaca panas melampau di utara Semenanjung menyebabkan pihak kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan cuti untuk murid-murid sekolah selama dua hari iaitu esok dan lusa. Cuti tersebut hanya untuk murid-murid dan tidak melibatkan guru dan kakitangan bukan guru di sekolah. Mereka perlu hadir ke sekolah seperti biasa dan menjalankan tugas-tugas rutin yang lain selain daripada mengajar.

Pemberian cuti sekolah tersebut hanya khusus untuk negeri Kedah dan Perlis. Negeri-negeri lain tidak diberikan pelepasan tersebut.Keputusan mengenai cuti pada hari-hari seterusnya( jika panas tidka berkurangan) akan di maklumkan dari semasa ke semasa.

Sekian dipanjangkan makluman...

DOA KETIKA BERUSIA 40 TAHUN

February 28, 2016

Ketika berumur 40 tahun, banyak perubahan mula terasa pada sekujur tubuh. Kekuatan tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Kata orang, akal pun semakin matang. Memang benar. Kerana itu, pada usia 40 tahun, Allah menyebutkan sikap yang perlu kita miliki sekaligus doa yang wajar menjadi sebutan kita setiap masa.

Allah berfirman:



وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * أُولَئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَنَتَجَاوَزُ عَنْ سَيِّئَاتِهِمْ فِي أَصْحَابِ الْجَنَّةِ وَعْدَ الصِّدْقِ الَّذِي كَانُوا يُوعَدُونَ


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah, sedangkan tempoh mengandungnya serta tempoh cerai susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaku dan juga kepada ibu bapaku. Dan kurniakan juga kepadaku supaya aku tetap kuat mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan jadikanlah zuriatku dari kalangan orang yang soleh. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)". Mereka (yang bersifat Dengan sifat-sifat Yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (Mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji Yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka.


(Surah Al-Ahqaf:Ayat 15-16)



Banyakkan berdoa dengan doa ini di kala umurmu mencecah 40 tahun: 


 رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Kata Imam As-Syaukani dalam tafsirnya: Dalam ayat di atas ada dalil bahawa sepatutnya seseorang yang telah berumur 40 tahun memperbanyakkan doa yang dinyatakan.