Mus'ab bin Az-Zubair adalah saudara lelaki kepada Abdullah bin Az-Zubair yang diangkat sebagai khalifah setelah peristiwa pembunuhan Saidina Hussain di Karbala'. Ketika itu, di tanah Syam, Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkuasa dan beliau dibantu oleh panglima tenteranya yang bernama Hajjaj bin Yusuf As-Thaqafi. Di Iraq pula seorang pemimpin Rafidhah bernama Mukhtar As-Tsaqafi yang mencapai kemenangan dalam peperangan mengalahkan Ubaidillah bin Ziyad yang memimpin pasukan membantai Saidina Hussain di Karbala. Ubaidillah bin Ziyad dibantu oleh orang kuatnya bernama bernama Syimr bin Ziljausyan manakala Mukhtar As-Tsaqafi dibantu oleh Ibrahim bin Malik Al-Asytar.
Tentera Ibrahim bin Malik Al-Asytar telah berjaya membunuh Ubaidillah bin Ziyad dan Syimr bin Zil-Jausyan. Namun, Mukhtar As-Tsaqafi kemudiannya melampau dan melebihi pemimpinnya sendiri iaitu Muhammad Al-Hanafiah yang merupakan anak kepada Ali bin Abi Talib dengan isterinya Khaulah binti Ja'far bin Qais Al-Hanafiyyah. Malah, Mukhtar As-Tsaqafi sampai ke peringkat mengaku mendapat wahyu kenabian sehingga beliau ditinggalkan oleh orang kuatnya sendiri iaitu Ibrahim bin Malik Al-Asytar.
Ketika Mukhtar As-Tsaqafi sudah melampau di tanah Iraq, Abdullah bin Az-Zubair yang dibai'ah oleh penduduk Makkah sebagai khalifah mengirimkan adiknya Mus'ab bin Az-Zubair untuk merampas wilayah kekuasaan di Iraq. Mus'ab berjaya dan Mukhtar As-Tsaqafi dapat dibunuh. Setelah itu Mus'ab menyusun cita-cita yang lebih besar untuk menguasai Syam dengan memerangi Abdul malik bin Marwan. Ketika berlaku pertembungan itu, kalahlah tentera Mus'ab dan Mus'ab sendiri telah dipenggal kepalanya oleh Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi, panglima tentera Abdul Malik bin Marwan. Kepalanya dihantar balik kepada abangnya Abdullah bin Az-Zubair di Makkah.
Tidak lama kemudian, Hajjaj bin Yusuf As-Tsaqafi menyerang kota Makkah dan Abdullah bin Az-Zubair dapat dikalahkan dan beliau terbunuh. Stelah itu, kekuasaan wilayah Islam bersatu di bawah Abdul Malik bin Marwan, khalifah daripada Bani Umayyah.
*Catatan kisah ini akan disemak untuk penambahbaikan.
0 comments:
Post a Comment