Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI


Waktu Malaysia

TUKAR PASWORD YES

Sinar Harian

LOGIN AKAUN YES

Sinar Harian

e-Operasi

Sinar Harian

LOGIN SPLG

Sinar Harian

SAPS NKRA

Sinar Harian

HRMIS

Sinar Harian

APDM

Sinar Harian

e-Penyata Gaji

Sinar Harian

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket

Rujukan

Doa orang yang dizalimi

November 19, 2012


Sebuah cerita menggambarkan doa orang yang dizalimi. Bukanlah satu jenayah untuk mendoakam agar si penzalim diberi balasan. Si penzalim tidak akan dibela sekalipun dia muslim dan yang dizalimi itu kafir. Oleh itu, janganlah para penzalim merasa selamat.
 
Seorang nelayan miskin yang hidupnya menanggung keluarga dengan hasil tangkapan ikan. Malangnya tangkapan ikannya selalu tiada. Hanya menggunakan jala, dia menebarkannya di tepian pantai dengan harapan akan ada ikan yang tersangkut.Beberapa kali dicuba, nampaknya tiada razeki buatnya. Begitulah beberapa hari dan dia tidak berputus asa. Dia mempunyai kesabaran dan tekad berusaha yang tinggi.

Pada suatu hari, dia ke pantai lagi, menebar jala dengan harapan ada ikan yang tersangkut. Beberapa kali dicuba, namun tiada. Namun, dia mencuba juga dengan longlai dan penuh harapan. Lalu, Allah mentakdirkan seekor ikan besar terperangkap dalam jalanya. Alangkah gembiranya melihat ikan besar itu. Sambil menarik ikan tersebut, dia pun membayangkan apa yang akan dilakukan dengan ikan itu.

Akan aku beri makan kepada keluargaku sehingga kenyang. Kepada jiranku juga harus diberikan. Selebihnya barulah aku jualkan. Demikian nelayan itu merencanakan apa yang akan dibuatnya terhadap ikan itu. Razeki yang begitu sukar diperolehi.

Malangnya, ketika itu lalu seorang raja dengan askarnya. Raja itu sangat tertarik melihat ikan besar yang baru diperolehi nelayan itu. Lantas, disuruhnya pengawalnya mendapatkan ikan tersebut dari nelayan. Sudah tentu nelayan itu sangat keberatan. Setelah merasakan bahawa dia tidak dapat mempertahankan ikannya itu dari diambil oleh raja, dia pun meminta harga sebagai bayaran. Dengan angkuh pengawal itu merampas ikan itu dan mengatakan raja tidak membayar harga daripada apa yang dikehendakinya.

Maka, ikan itupun dibawa pergi. Bergenang air mata sang nelayan miskin yang daif dan tak mampu berbuat apa-apa. Haknya dirampas. Kepada siapa hendak dia mengadu? Hanya kepada Allah Tuhan yang satu. Dia pun  menadahkan tangan dan berdoa.

Sementara raja itu, dengan senang hati kerana dapat ikan, disuruhnya tukang masak istana segera masakan ikan itu. Ikan besar itu dia seorang yang makan.

Malangnya, beberpa hari setelah makan ikan itu, raja telah dijangkiti satu penyakit aneh. Penyakit itu pada mulanya hanya berupa bengkak pada ibu jarinya. Bengkak itu disertai dengan sakit yang sangat mengganggu keselesaannya. Lama-lama mula bernanah. Tabib istana dipanggil dan setelah dicermati, dia menasihatkan supaya ibu jari kaki raja itu dipotong. Raja enggan menerima nasihat tabib istana dan disuruh carikan ubat untuk sakitnya. Namun ubat tidak ditemui juga walau bermacam ikhtiar diusahakan. Beberapa hari kemudian, tabib istana yang merawatnya memberitahu bahawa penyakit itu telah merebak hingga ke buku lali. Kakinya hendaklah dipotong supaya penyakit tidak merebak ke atas. Raja masih enggan menenerima nasihat tersebut kerana dia sayangkan kakinya. Dia memerintahkan agar dicari tabib lain yang lebih handal. 

Seorang tabib dari luar di bawa. Setelah melihat penyakit di kaki raja, dia pun memberitahu bahawa penyakit di kaki raja itu telah merebak hingga ke betis. Kalau tidak dipotong betis, ia akan merebak ke atas lagi. Ketika itu, akurlah sang raja. Lantas betisnya itu pun dipotonglah.

Raja sangat sedih atas kehilangan betisnya. Namun, kesedihannya tidak tamat di situ. Dalam keadaan sugul kerana kehilangan kakinya, tiba-tiba negerinya dilanda gempa. Harta benda dan jiwa banyak yang musnah. Keadaan ini membuatkan raja sangat hairan.Lalu, raja memanggil seorang ulama dan bertanyakan maksud di sebalik semua musibah yang menimpanya itu.

" Tuanku telah menzalimi seseorang", ulama itu membuat rumusan.
" Seingat beta,  tidak pernah beta zalimi sesiapa", ujar raja.
" Cuba Tuanku ingat betul-betul, pernahkah tuanku zalimi seseorang?", ulama itu tetap dengan rumusannya.

Maka, ketika mengimbau kembali apa yang telah dilakukannya, raja pun teringat perihal ikan yang dirampasnya dari nelayan. Ketika dia merampas ikan itu, dia tidak merasakan itu satu kezaliman. Apalah harganya seekor ikan.

" Perkara kecil di mata tuanku adalah besar di mata nelayan itu", ulama itu mengingatkan.
 
Raja itu memerintahkan agar nelayan itu dicari dan dibawa mengadapnya.
 
" Apa yang telah kamu lakukan setelah ikanmu beta rampas?", raja bertanya kepada nelayan itu.
" Saya tidak lakukan apa-apa", jawab nelayan ketakutan.
" Ceritakan terus terang, kamu tidak akan beta apa-apakan", raja memujuk dan menenangkan nelayan yang ketakutan itu.
 
Akhirnya nelayan itu pun berkata...
 
"Setelah ikan itu tuanku rampas, saya hanya mampu berdoa..." 
 
"Apa doamu?", soal raja 
 
 Nelayan pun berkata: "Aku hadapkan wajahku kepada Allah dan berkata...

اللهم قد اراني قوته عليّ .. فأرني قوتك عليه


“Ya Allah, sesungguhnya dia telah memperlihatkan kekuatannya atasku...Maka tunjukkanlah kekuatanmu ke atasnya”.
 
 



لا تظلمن إذا ما كنت مقتدرا * * * فالظلم ترجع عقباه إلى الندم
تنام عينك والمظلوم منتبه * * * يدعو عليك وعين الله لم تنم
 
Janganlah kamu berbuat zalim saat kamu berkuasa***Maka kezaliman itu membawa akibat penyesalan
Kamu boleh lenakan mata tetapi yang dizalimi sentiasa berjaga***Dia berdoa ke atasmu dan mata Allah tidak pernah lena.
 
 


Derita serupa

November 18, 2012

Memang Gaza itu jantung ummat Islam. Apa yang menimpa warganya turut mencemaskan nurani ummat Islam. Apa derita yang ditanggung warga Gaza, ia turut dideritai oleh ummat Islam seluruh dunia. Namun, tidak banyak perkara yang dapat dilakukan oleh kebanyakan kaum muslimin. 

Tentera Sahyuni kini sedang menghimpun angkatan di sempadan Gaza. Peperangan terbuka mungkin meletus. Anggota Hamas dari briged Al-Qassam adalah pasukan yang hebat. Beratus-ratus roket dilepaskan menghentam daerah jajahan Israel sehingga ke Tel Aviv. Sebagai balasan, Israel dengan segala kelengkapan tenteranya mengirimkan serangan udara. Ramai syuhada dilaporkan gugur di pihak muslimin. Sungguh sedih mendengar khabar terbunuhnya saudara kaum muslimin.

Ia memang membuatkan hati kita sakit. Buat kita semua ummat Islam, dan khususnya penduduk Gaza yang diserang, marilah kita bacakan ayat firman Allah SWT:


وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيماً حَكِيماً


Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan,  dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(Surah An-Nisaa’: Ayat 104)


Semoga Allah tambahkan kesabaran buat kita. Semoga Allah tingkatkan keberanian mereka di medan. Semoga Allah bangkitkan gergasi ummat Islam. Mesir dan Turki dua negara harapan. Tumbanglah Basyar Al-Asad dan merdekalah Syria. Rantau sekitar yang lestari akan mengajar tentera Sahyuni itu.



KHUTBAH JUMUAT: ERTI HIJRAH BUAT UMMAT

November 16, 2012


SEDUTAN KHUTBAH JUMUAT:(Klik Untuk Teks Penuh)

Melaksanakan hijrah bukan mudah. Ia adalah langkah yang penuh ujian dan cabaran. Apabila langkah hijrah mahu dimulakan, syaitan akan menebarkan was-was.

Apakah kamu mahu tinggalkan negaramu yang di dalamnya kamu dilahirkan dan dibesarkan?
Apakah kamu tidak sayangkan bangsamu lagi?
Apakah kamu ingin putuskan hubungan kerabat?
Aduh, sayangnya harta yang telah kau usahakan.
Rumah yang kau bangunkan dan perniagaan yang kau giatkan…
Kekasih-kekasih yang kau tinggalkan…
Kebiasaan hidupmu…
Rutin harianmu…

Para Muhajirin di zaman Rasulullah telah berjaya menepis was-was syaitan itu. Mereka tetap berhijrah biarpun diancam dan digoda dengan semua macam gugatan dan rayuan perasaan itu. Akhirnya mereka berjaya. Apa yang hilang dari Kota Makkah, Allah gantikan dengan yang lebih baik di Kota Madinah.

Tiada cinta Negara kalau bukan kerana Islam!
Tiada bangsa yang diperjuangkan kalau bukan untuk Islam!
Tiada kemuliaan pada menjaga hubungan kerabat kalau bukan demi Islam!
Harta dan usaha itu hina kalau bukan untuk Islam!
Rumah dan perniagaan yang dibina itu tiada nilai kalau tiada Islam!
Semua kekasih menjadi musuh jika tidak Islam!
Kebiasaan hidup biar bersendikan Islam.
Rutin hidup buar di atas garis Islam.

Sesiapa yang mengejar kemuliaan, maka ketahuilah bahawa kemuliaan itu semuanya milik Allah SWT.

Allah berfirman:

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi Ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, Kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), Maka sungguh Telah tetap pahalanya di sisi Allah. dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah An-Nisaa’:Ayat 100)

Kita ingin menegaskan bahawa mereka yang bertekad untuk melaksanakan hijrah dalam kehidupan, jangan takut mengenai razekinya. Allah menjanjikan limpahan kurnia bagi mereka yang bersedia mengambil jalan hijrah menuju Allah. 


Sebagai contoh, hari ini, kita berdepan dengan fenomena para artis yang berhijrah meninggalkan kehidupan sebagai artis yang lalai dan tidak bermatlamat agama dalam kerjaya mereka. Sesetengah orang beranggapan bahawa bila seorang artis wanita yang dulunya berpakaian seksi, kemudian berjilbab, manalah lagi akan ada peluangnya untuk meraih razeki dari bidangnya itu. Dunianya akan dilihat makin menyempit. Tetapi, ketahuilah dan yakinlah dengan janji Allah. Allah pasti meluaskan untuknya. Siapa yang menegakkan kehidupannya berasaskan takwa, Allah akan berikannya jalan keluar serta mengurniakan kepadanya razeki tanpa diduga.


Keyakinan yang sama juga harus tersemat dalam semua mereka yang masih ragu-ragu meninggalkan kehidupan lalunya yang berdosa. Siapa yang masih ragu-ragu meninggalkan alam jahiliahnya kepada kehidupan Islam yang sejati hendaklah meyakini janji Allah untuk meluaskan dunianya sesudah hijrah. Para pemakan rasuah hendaklah yakin bahawa kehidpannya akan lebih baik tanpa rasuah. Para pemakan riba hendaklah yakin bahawa dia akan lebih senang jika meninggalkan riba. Para penipu dalam urusniaga hendaklah meyakini bahawa dia akan semakin kaya jika berniaga dengan jujur dan amanah. Pemuja Barat dengan segala hagemoninya hendaklah yakin bahawa memilih Islam akan mengangkat darjatnya. Meninggalkan sistem yang tidak Islam dan berpindah kepada sistem Islam akan menambahkan keluasan hidup dan bukan mempersempitkan.


Inilah keyakinan yang wajib dipasakkan dalam hati sanubari setiap muslim yang meyakini Islam sebagai gaya hidup. Sebagaimana indah lafaz syahadah di bibir, biarlah demikian cantik pula tindakan dan perilaku. Kesyumulan Islam, kehebatan Islam dan keindahannya hendaklah diterjemahkan kepada tindakan dan tidak ada gunanya pada madah dan bicara semata-mata.


Semua orang hendaklah melangkah dengan yakin untuk berhijrah sebagaimana keyakinan para sahabat meninggalkan tanah air tercinta dan harta serta keluarga di Makkah. Demi Islam, kita berhijrah. Dunia tidak akan hilang sebaliknya ia datang mempersembahkan diri. 


Nasib Pemimpin ke enam

November 13, 2012

Imam As-Sayuthi menyebutkan dalam karyanya Tarikh Al-Khulafa' bahawa Ibn Al-Jauzi memetik perkatan Abu Bakar As-Suli di mana dia telah berkata:

Ada orang berkata bahawa sesiapa yang menjadi pemimpin keenam akan berdepan dengan pemecatan (disingkirkan dari jawatannya).

Petikan yang sama juga diturunkan oleh Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah .

Ibn Al-Jauzi berkata bahawa dia telah meneliti hal tersebut dan mendapati ia sangat menakjubkan. Beliau membawa contoh pemerintahan Islam yang bermula dengan nabi SAW dan khalifah yang yang ke enam adalah Hasan bin Ali. Jawatannya dicabut dan diambil oleh Mu'awiyah. Lalu selepas itu dalam kekhalifahan umaiyyah, dengan meletakkan Ibn Zubair sebagai khalifah ke enam, beliau juga dicabut kekhalifahannya apabila terbunuh dalam serangan Hajjaj bin Yusuf As-Tsqafi ke atas kota Makkah. Setelah itu, bermula khalifah Al-Walid, Sulaiman, Umar Abd Aziz, Yazid, Hisyam dan Al-Walid sebagai yang ke enam, dia juga hilang kekuasaan dan tamatlah pemerintahan Umaiyyah.

Dalam dinasti Abbasiyyah,bermula khalifah As-Saffah, Al-Mansur, Al-Mahdi, Al-Hadi, Ar-Rasyid dan yang ke enamnya adalah Al-Amin. Dia ditewaskan abangnya Al- Makmun yang merebut jawatan khalifah daripadanya. Selepas itu, bermula dengan Al-Makmun dan disusuli dengan Al-Mu'tasim, Al-Wathiq, Al-Mutawakkil, Al-Muntasir dan yang ke enamnya Al-Musta'in juga mengalami nasib yang sama.

Dapat disimpulkan, meneliti perjalanan khalifah-khalifah seterusnya, yang ke enam setelah proses rampasan kuasa, pemecatan, penggulingan atau apa sahaja seumpamanya juga akan mendapat nasib yang sama atau hampir sama. Ia memberi satu kesimpulan hasil pemerhatian (tajarrub) bahawa pemimpin ke enam akan berdepan pemecatan. 
 
Komen penulis:

Teringat pula pemimpin ke enam Malaysia iaitu DS Abdullah Ahmad Badawi, elok-olok dah jadi perdana menteri, datang badai kemerosotan reputasi partinya dalam pilihanraya 2008, lalu dia didesak letak jawatan. Dia pun letak jawatan dan diambil aleh oleh DS Najib Tun Abd Razak. Tidak tahulah apakah boleh dikatakan kiraan seterusnya bermula dengan DS najib atau tunggu sehingga pilihanraya terdekat kerana pemerintahan sekarang adalah masih penggal DS Abdullah Ahmad Badawi. DS Najib walaupun kini memegang jawatan Perdana Menteri, beliau belum dibai'ah rakyat melaui undian dalam pilihanraya.Sesetengah orang mengatakan bahawa penggal ini masih penggal Perdana menteri ke enam.

Kalau apa yang dihuraikan oleh Ibn Al-Jauzi itu boleh diambil kira, maka hubaya-hubaya wahai sesiapa yang dipilih jadi pemimpin ke enam. Tidak kira pemimpin peringkat manapun. Nombor enam seperti punya rahsia Allah yang masih perlu ditadabburkan.  Sesetengah orang menyebutkannya sebagai keajaiban takdir.

Mungkinkah ada kaitan dengan penciptaan langit dan bumi dalam masa enam hari?

HIJRAH MEMBINA KERAJAAN


Tahun 1433 telah sampai ke penghujungnya. 2 hari lagi Zulhijjah akan melabuhkan tirai dan akan bermulalah bulan pertama dlam kiraan kalender Islam iaitu Muharram. Sungguhpun hijrah nabi dari Kota Makkah ke Madinah berlaku dalam bulan Rabiul Awal, ia tidaklah dijadikan bulan pertama dalam kiraan kalender hijri yang dirintis mulanya pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab r.a. Para sahabat telah sepakat menjadikan Muharram sebagi bulan pertama kerana ia telahpun dikenali sebagai bulan pertama dalam susunan mereka. Menghargai susunan yang telah sedia ada itulah maka bulan Muharram diambil. Ini menjadi iktibar kepada kita bahawa Islam menghargai khazanah tamaddun dan kebudayaan ummat yang tidak bertentangan dengan Islam. Selain itu, pengambilan bulan Muharram sebagai bulan pertama juga disandarkan kepada kedudukannya sebagai bulan haram dan juga bulan pertama selepas selesai ibadah haji. BUkankah ibadah haji itu membersihkan seseorang dari dosa dan amatlah elok jika tahun baru bermula dengan kebersihan dari dosa.

Di Malaysia, sambutan awal tahun Hijri dipopularkan dengan nama Ma'al hijrah. Ini kerana, sungguhpun bulan di mana nabi berhijrah iaitu Rabiul Awal tidak menjadi bulan pertama dalam kalender, tetapi tahun hijrah nabi itu dikira sebagai tahun pertama. Ini kerana perinstiwa Hijrah itu juga mempunyai impak besar dalam kebangkitan Islam sebagai tamaddun besar yang kemudiannya menguasai dunia.

Hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah bukan satu proses perpindahan biasa. Ia adalah simbolik kepada langkah dan tekad membina kerajaan baru yang adil dan saksama. Kerajaan yang mendapat redha Allah SWT. Nabi-nabi sebelum nabi Muhammad juga berhijrah tetapi hijrah mereka bukan membina kerajaan. Hijrah mereka adalah kerana faktor-faktor yang boleh disimpulkan sebagi menjauhikan diri dari azab.

Nabi Ibrahim umpamanya, berhijrah dan menetap serta wafat dan dikebumikan di Palastin kerana ingin lebih dekat kepada Allah sebagaimana firman ALlah SWT:

 
وقال إني ذاهب إلى ربي سيهدين



Dan Ibrahim berkata:"Sesungguhnya Aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan dia akan memberi petunjuk kepadaku.

(Surah As-Saffat: Ayat 99)

 Nabi Musa pula berhijrah meninggalkan Mesir semas belum pun menjadi nabi dan hijrah itu pulah adalah kerana lari dari kezaliman Firaun dan pembesar-pembesarnya. Firman Allah SWT:


إن الملأ يأتمرون بك ليقتلوك فاخرج إني لك من الناصحين ، فخرج منها خائفاً يترقب قال رب نجني من القوم الظالمين


Dan datanglah seorang laki-laki dari ujung kota bergegas-gegas seraya berkata: "Hai Musa, Sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang memberi nasehat kepadamu. Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut dan waspada, dia berdoa: "Ya Tuhanku, selamatkanlah Aku dari orang-orang yang zalim itu".

(Surah Al-Qasas: Ayat 20-21)

Sementara hijrah Nabi Muhammad SAW bukan seperti hijrah para pendahulunya. Istimewanya hijrah nabi adalah kerana ia perpindahan dari hidup tidak memerintah kepada memerintah. Daripada tidak punya kerajaan kepada adanya kerajaan. Islam yang didakwahkannya sebelum hijrah diperintah sedangkan Islam yang didakwahkannya selepas hijrah adalah Islam yang memerintah.

Maka sambutan ma'al hijrah yang kita sambut saban tahun, jangan hanya jadi acara tahunan yang melalikan. Biarlah sambutan hijrah kali ini membawa kita mengimbau keberhasilan nabi SAW membina kerajaan  hasil dari hijrah tersebut. Lantas, kita pasakkan tekad agar Islam meraih kekuasan dan menjadi pengatur dalam pencak di persada kekuasaan. Sudah lama dan jemu kita mendengar Islam diatur demi kepentingan kekuasaan.

Sementelahan, pilihanraya yang bakal diadakan tidak lama lagi jatuh pada tahun baru Hijri. Maka, ia merupakan langkah terbaik menggarap pembinaan kerajaan madani yang mencontohi kerajaan nabi. Mungkin memiripi acuannya adalah mustahil, namun mengambil dasar-dasarnya adalah mungkin. Paling utama, kerajaan Islam hendaklah menjunjung keadilan dan hak-hak rakyat. Rakyat tidak harus ditindas, dipermalukan dan dianggap dunggu dengan hidangan maklumat senget yang membingungkan. Kerajaan juga hendaklah ditadbir oleh penguasa yang bersendikan kepada kekuatan dan amanah dalam menegakkan tuntutan bernegara. Sementara khianat dan hilang jatidiri sebagai kerajaan yang membela rakyat menjadi justifikasi jelas bahawa ia sudah tidak diperlukan.

Kerajaan manusia boleh bertukar silih berganti. Ia bukan hal yang menakutkan. Bukan juga hal yang perlu congak sukar. Hanya kerajaan Allah sahaja yang kekal abadi. Dialah Allah pemilik sejati semua kerajaan dan Dialah juga yang mengatur kekuasaan kerajaan negeri dan negara di dunia, ke pundak siapa hendak diberi pinjamkan.