Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI


Waktu Malaysia

TUKAR PASWORD YES

Sinar Harian

LOGIN AKAUN YES

Sinar Harian

e-Operasi

Sinar Harian

LOGIN SPLG

Sinar Harian

SAPS NKRA

Sinar Harian

HRMIS

Sinar Harian

APDM

Sinar Harian

e-Penyata Gaji

Sinar Harian

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket

Rujukan

RESAH WARGA KARAMUNTING LAUT

November 11, 2013

"Kenapa dia dibantu sedangkan dia bukannya ada IC?", Junaidi, seorang warga kampung Karamunting Laut yang kutemui menyatakan rasa tidak puas hatinya. Beberapa kaum ibu yang melepak bersamanya di beranda rumah tepian jambatan kampung itu turut mengiyakan persoalannya. 

" Itu bukan bantuan untuknya, tetapi untuk anak-anak di sini", aku menjelaskan. 

" Kau lihat rumah saya, sudah mahu roboh, itu hari masa pilihanraya YB Hamzah janji mahu bina rumah baru untuk saya, tapi dia pun tak menang...", Junaidi mengeluh. 

" Kami dah semak keputusan pilihanraya baru-baru ini, orang kampung lebih memilih Linda Tsen, sekarang di mana dia? Hanya penduduk kawasan perumahan yang banyak menyokong YB Hamzah. Kenapa tidak minta bantuan daripada Datin Linda?", aku menempelak.

" Huh, apa diminta bantuannya, menang sahaja dia sudah pergi luar negara, tidak nampak mukannya lagi", Junaidi mencebir.

Seorang lelaki separuh baya pula masuk mencelah perbualan kami.  Namanya Rumal. katanya dia bekas tentera yang berhenti awal daripada profesion tentera. Dia mengaku penyokong kuat pembangkang dan turut menyuarakan harapan agar rumahnya dibaiki. 

Aku menjelaskan bahawa membaiki rumah orang kampung bukan tugas kami. Kedatangan kami pada hari itu hanyalah untuk kerja kebajikan mengecat dinding sekolah rakyat yang disebut "Madraza Untuk Kanak-kanak " yang dibangunkan oleh Hj. Yasin, warga tanpa IC di situ.

" Kalau tidak banyak pun, sedikit jadilah...", Rumala masih tidak berputus asa dan menyatakan hasratnya sambil menunjukkan sekeping kad calon kepunyaan Hj. Hamzah yang disimpannya  sewaktu pilihanraya lalu.

" Insya Allah, lain kali kita bantu...", aku melemparkan senyum pahit. 

Warga kampung yang hanya memikirkan isi perut sendiri.  Minta bantuan baiki rumah sendiri. Merekalah yang menjual undi senilai RM50 atau RM100 pada musim pilihanraya. Kini, ketika mereka diabaikan sesudah pilihanraya, kembali menggenggam amarah dan menyimpul tekad untuk menghukum penguasa leka bila pilihanraya ke-14 tiba kelak.

Aku mendengar sahaja azam mereka itu tanpa menyimpan harapan. Generasi mereka sudah lemah untuk menginjakkan tindakan. Hanya sekadar menggetap bibir menyata dendam dan tekad yang kemudiannya bakal sirna dengan bau not-not  yang ditabur di malam pilihanraya.


Add caption

Hj. Yasin, pemilik Madraza.

Sukarelawan bersama Hj. Yasin
Generasi baru berpalit tahi judi



Gagal menduga riak

September 28, 2013


Ada kalangan yang bersikeras memproklamirkan bahawa Mat Sabu adalah Syiah. Malaysian Insider hari ini mendedahkan buat pertama kali (seingat saya) penafian Mat Sabu bahawa dia adalah seorang Syiah. Mat Sabu menjelaskan duduk perkara mengenai kekagumannya kepada Iran dan asal usul konsep kepimpinan ulama dan penubuhan Unit Amal yang berawal dari ilham di Iran.

Saya kira orang yang masih menekankan kesyiahan Mat Sabu tidak mensucikan hatinya. Merasa diri cukup baik dan hanya mahu menampilkan keahlian diri dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menidakkan kelayakan orang lain, hanya berdasarkan keraguan yang beralun riak dalam hati, dia bersikeras melebelkan Mat Sabu sebagai Syiah.

Anda tidak menjadi Ahli Sunnah dengan galak menentang Syiah. Bukan watak Ahli Sunnah menuduh orang sebagai Syiah hanya kerana minatnya kepada seni kepimpinan para Ayatullah dan kejayaan Revolusi Iran. Padahal, ketika seseorang meminati falsafah Socrates, Aristotal dan Pluto apakah seseorang itu dituduh sebagai penganut sembahan Zeus?

Saya memang tidak suka Syiah. Tetapi mendengar galak gempita dangdut anti syiah, membuatkan saya mahu termuntah. Kalau mahu anti syiah, biar berpada-pada. Tidak perlu pasang sticker "saya benci Syiah!". Tidak perlu meratib zikir "nehe syiah". Tidak perlu syak wasangka kesyiahan orang hanya berdasarkan riak yang gagal dibaca sendiri. Air berpusar di permukaan, dikatakan berputar sampa ke dasar.

Saya tidak perlu bersilat sunda kelapa untuk menjelaskan maksud saya. Saya melihat kalangan tokoh yang mendakwa Salafi paling asyik dengan perjuangan menetang Syiah. Kalangan pendokong kebangsaan Melayu tumpang sekaki kerana ada keuntungan politik. Baguslah menentang Syiah dan jelaskan kesesatan Syiah kepada masyarakat. Ia boleh disifatkan ikhlas jika di dalam lingkungan itu. Tetapi kalau sudah galak mensyiahkan orang hanya berdasarkan tafsiran samar-samar, itu sudah mencurigakan keikhlasannya.

Saya curiga jika mereka yang menghamburkan minyak panas mensyiahkan Mat Sabu ini dari kalangan keluarga pejuang Islam sendiri. Seperti dua tahun lalu, di kala hampir muktamar, isu Mat Sabu Syiah kembali berkumandang. Isu ulama profesional kembali bergenderang. Jika ada kalangan anggota gerakan yang menjadi penyimbah minyak ke atas api, celakalah dia. Apakah kegilaan jawatan sudah mewarna pemilihan kali ini?

Saya berlepas diri dari pemimpin gelojoh kuasa. Saya juga berlepas diri dari ulama yang menapak maju mundur ragu takut tidak menentu. Saya tidak berwala kepada rahib dan rahban yang mengangkat diri sebagai andadan umma. Saya mencintai para Rabbani yang bijak membaca riak dan mensucikan prasangka nista noda. Yakin menapak memimpin ummat dan tidak menciptakan kegelisahan yang mendunggukan.

Wallahu waliyyu taufiq walhidayah!

UST AZIZAN ABD RAZAK KEMBALI KE RAHMATULLAH

September 26, 2013



Hari ini, Ust Azizan Abd Razak yang merupakan bekas MB Kedah merangkap Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah kembali ke rahmatullah. Beliau telah menunaikan janjinya setelah bertarung dengan penyakit yang merenggut pergi kedua belah kakinya. Janji yang kita semua akan turut menemuinya. Namun, beliau telah pergi sebagai seornag yang yang telah menginfaqkan sebahagian besar umurnya buat perjuangan Islam. Semoga Allah menghitung amalnya dan menggandakannya serta menjadikan kami sebagai penjejak keberuntungan perjuangannya.

Aku tidka mampu mengungkap belasungkawa panjang berjela menceritakan pengalamanku bersamanya. Sememangnya, aku tiada kenangan istimewa bersamanya kecuali aku adalah rakyat negeri yang pernah dimenanginya sebagai menteri besar. Selain itu, apa yang kutahu, dia adalah barisan pejuang lama selama ayah mentuaku. Malah, dia dan ayah mentuaku sering berlegar di pentas ceramah yangs ama di daerahku, Padang terap sebelum berhasil merebut rayah negeri, biarpun hanya sekadar sepenggal.

Ya Allah...ampunkan dan damaikan Ust Azizan bersama limpahan kurniamu buatnya. Jangan Kau rugikan kami dari meneladani sirah perjuangan Islamnya. Allahumasyhad!


MAKKAH DIGELAR UMMUL QURA

September 24, 2013

Allah berfirman:

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا وَتُنْذِرَ يَوْمَ الْجَمْعِ لَا رَيْبَ فِيهِ فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

Demikianlah kami wahyukan kepadamu Al Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingny serta memberi peringatan (pula) tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. segolongan masuk surga, dan segolongan masuk jahannam.
(Surah As-Syura: Ayat7)

Gelaran Ummul Quran yang bermaksud ibu kepada segala kota memang sesuai untuk sebuah kota bernama Makkah. Kelebihan Kota Makkah berbanding seluruh kota manapun di serata dunia adalah pasti dan tsabit berdasarkan nas Al-Quran maupun hadis. Antara kelebihan Kota Makkah adalah:

a) Rumah ibadat pertama yang dibina adalah di Makkah.
b) Tanah Makkah adalah haram sejak zaman sebelum nabi Muhammad lagi.
c) Kaabah yang terdapat di Kota Makkah adalah pusat kepada bumi.
d) Makkah telah didoakan keberkatannya dan kedamaiannya oleh nabi Ibrahim.
e) Solat di Masjidil Haram menyamai 100 ribu rakaat di masjid yang lain.
f) Kota kelahiran nabi Muhammad rasul yang terakhir.
g) Hadis menyatakan Kota Makkah dan Kota Madinah adalah dua kota yang tidak mampu dimasuki dajal.

Semua kota lain, betapa hebat pun tidak dapat menandingi kemuliaan Kota Makkah. Di Kota Makkah nabi memulakan dakwahnya. Di sanalah baginda menghabiskan bahagian terabanyak dalam hidup kenabiannya. Malah, nabi SAW mengungkapkan cintanya buat bumi Makkah dalam keluhan sebagaimana disebutkan dalam hadis:

ما أطيبك من بلد، وأحبك إليَّ، ولولا أن قومي أخرجوني منكِ ما سكنتُ غيرَك

"Alangkah baiknya kamu sebagai negeri dan alangkah cintanya daku kepadamu. Kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, tidaklah aku mahu menghuni satu kota selain kamu".
(Hadis Riwayat Turmizi dan disahehkan oleh Albani dalam Sahih Al-Jami')

MALAIKAT MOHON AMPUN HANYA BUAT ORANG BERIMAN

Dalam Surah As-Syura, Allah meyebutkan bahawa para malaikat memohon keampunan buat penghuni bumi. Telah maklum bahawa penghuni bumi terdiri daripada pelbagai makhluk termasuk manusia yang tidak beriman dan juga jin serta syaitan yang kafir kepada Allah SWT. Apakah para malaikat memohon kemapunan untuk mereka juga?

Firman Allah SWT:

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ وَالْمَلَائِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِي الْأَرْضِ أَلَا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Hampir saja langit itu pecah dari sebelah atas (karena kebesaran Tuhan) dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhan-nya dan memohonkan ampun bagi orang-orang yang ada di bumi. Ingatlah, bahwa Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

(Surah As-Syura: Ayat 5)

Ayat di atas sebenarnya adalah umum. Ada ayat lain yang mentakhsiskannya (mengkhususkan) iaitu ayat 7 daripada Surah Ghafir/Mukmin:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْماً فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): "Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, Maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala.

(Surah Ghafir: Ayat 7)

Al-Mawardi menambah sudut pandangan lain yang mentafsirkan makna Istighfar para malaikat itu sebagai "memohon keluasan razeki" untuk penghuni bumi. Jika demikian, tarangkum di dalamnya semua jenis yang tinggal di bumi dan bukan sahaja hamba-hamba Allah yang beriman.

Wallahu A'lam!

FEUDALISME YANG MENINDAS FIKIR

September 22, 2013

Sebuah pertarungan epik antara Hang Tuah dan Hang Jebat boleh dilihat daripada perspektif pertembungan politik Melayu dewasa ini. Sebahagian Melayu yang masih tebal dengan semangat kebangsaan Melayunya, cenderung untuk melihat eksetiaan Hang Tuah sebagai model dalam membentuk sikap rakyat kepada pemerintah. Manakala, sebagahian yang lain pula cenderung untuk menjadikan Hang Jebat sebagai ikon watak baru yang berjiwa merdeka dan terlepas dari hempap feudalisme yang sekian abad mewarnai pemikiran Melayu.

Hang Tuah berbisik untuk diri sendiri tatkala misinya membunuh hang Jebat telah berjaya diselesaikannya:

" Tuah yang salah atau Jebat yang benar"

Keraguan Tuah sebenarnya kegelisahan Melayu yang terus bersiponggang sepanjang zaman. Namun, setiap bangkit jiwa ksatria Melayu untuk hidup sebagai manusia yang berfikiran, ada sahaja kelompok mandom yang cuba menindas otak fikir dan memulangkan Melayu ke status qou budaya fikir bangsanya.

" Melayu bangsa bersopan, Melayu tidak pernah derhaka raja...dari mana kalian petik budaya demonstrasi ini", seorang pelawak rasis cuba mengimbau saat-saat manis feudal dan menangisi kehilangan daulat Melaka kerana pengkhianatan Si Kitol.

Ya, Melayu yang tidak pernah menjelajah dunia seperti zaman Sultan Mansur Syah, memang tidak tahu erti kebebasan bersuara. Suara kerajaan Melaka hanya diwakili oleh kelompok istana dan suara itu bergenderang sampai ke Tanah Sunda sehingga memungkin kerajaan Majapahit sudi menyerahkan ratu Galoh Cendera Kirana buat menjadi isteri sultan.

Itu adalah zaman sungai fikir manusia berhenti mengalir. Zaman feudal memang mengajar rakyat supaya berfikir dalam kerangka yang sudah dirangka. Berfikir di luar kerangka itu akan dianggap jenayah. Sementara kerangka fikir yang diberikan buat bangsa Melayu itu pula kerangka yang terbatas.

Dunia barat pada zaman feudal menguasai mereka, pun tidak boleh berfikir. Tetapi feudal Barat bukan macam feudal Melayu. Feudal Barat lebih kompleks dengan pengusaan gereja yang merajai para raja. Mereka dihalang berfikir oleh kelompok agamawan yang menggunakan feudalisme rakyat untuk melestarikan pengharaman berfikir.

Apakah zaman moden ini orang perlu kembali semula ke awal zaman untuk jadi baik? Lantas, berfikir dianggap jenayah?

KELAK MANUSIA TUMBUH DARI AJABU ZANAB

September 19, 2013

Manusia yang berada dalam dunia ini dilahirkan dari rahim seorang ibu, kecuali nabi Adam A.S. Kemudian, semua manusia dimatikan dan tinggallah dunia yang sifatnya fana ini. Semua bahagian tubuh musnah menjadi tanah kembali kerana memang tanahlah asal kejadian manusia.

Kecuali Ajabu Zanab. Ia adalah satu tulang seni yang berada dalam tubuh di bahagian hujung tulang belakang. Ada orang menyebutnya "tongkeng". Tulang itu tidak musnah sekalipun seluruh jasad telah hancur lebur. Ada ahli sains buat kajian dengan meleburkan tulang tersebut dalam ketuhar yang berkepanasan tinggi dan mampu meleburkan segala logam maupun batu. Tetapi Ajabu Zanab tidak dapat dileburkan. Benarlah sabda baginda Rasul dalam hadis bahawa semua bahagian tubuh musnah kecuali Ajabu Zanab.

Disebutkan dalam hadis muslim riwayat Abu Hurairah, beliau berkata:

ما بين النفختين أربعون قالوا: يا أبا هريرة أربعون يومًا؟ قال: أبيت ، قالوا: أربعون شهرًا ؟ قال: أبيت ، قالوا: أربعون سنة ؟ قال: أبيت ، قال: ثم يُنْزِل الله من السماء ماء فينبتون ، كما ينبت البقل ، ليس من الإنسان شيء إلا يبلى ، إلا عظمًا واحدًا وهو عجب الذنب ، ومنه يركب الخلق يوم القيامة

"(Abu Hurairah menceritakan)Di antara dua tiupan itu ada 40. Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, adakah 40 hari? Katanya: Aku tidak tahu. Mereka bertanya lagi: Apakah 40 bulan? Katanya: Aku tidak tahu. Mereka bertanya lagi: Atau 40 tahun? Katanya: Aku tidak tahu. Lantas beliau (abu Hurairah) melanjutkan ceritanya: Kemudian Allah menurunkan air dari langit dan ia menumbuhkan manusia sebagaimana tumbuhnya rumput. Tiada bahagian manusia melainkan musnah semuanya. Hanya satu tulang sahaja yang tidak musnah iaitu Ajabu Zanab. Daripadanya terbit kejadian baru di hari kiamat".

BELAJAR BAHASA ARAB ADALAH WAJIB

September 18, 2013



Para pencinta ilmu agama wajib menjadikan pembelajaran bahasa Arab sebagai agenda penting dalam menuntut ilmu. Ilmu bahasa Arab dari ketiga-tiga cabangnya iaitu Saraf, Nahu dan Balaghah hendaklah dikuasai sebaik mungkin dalam upaya dan daya yang tercakup. Ini kerana agama Islam sangat bersangkut paut dengan bahasa disebabkan sumber agama Islam adalah Al-Quran dan Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab tulin yang tiada cemaran bahasa-bahasa pelbagai.


Maka, memepelajari bahasa Arab adalah wajib sebagaimana wajibnya mendalami ilmu agama. Keghairahan sesetengah pihak menekankan pentingnya bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan melupakan keperluan mempelajari bahasa Arab adalah ketempangan pemikiran. Betapa ramai ornag mengalami konflik pemikiran dalam agama lantara memetik Islam dari sumber bahasa yang tidka berakarkan wahyu.

Allah berfirman dalam Al-Quran:


وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللّهُ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Kami tidak mengutus seorang rasulpun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang dia kehendaki dan Dia-lah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah Ibrahim: Ayat 4)


Semua nabi diutuskan kepada kaumnya dengan membawa pengajaran Islam menerusi bahasa kaumnya. Nabi-nabi yang diberikan kitab, kitab mereka diturunkan dalam bahasa kaum mereka.

1) Taurat dalam bahasa Ibarni
2) Injil dalam bahasa Suryani
3) Zabur dalam bahasa Qibti
4) Al-Quran dalam bahasa Arab.

Bahasa kaum merupakan ciri sesebuah kitab diturunkan. Telah termaklum bahawa nabi-nabi sebelum nabi Muhammad diutuskan kepada satu kaum sahaja iaitu kaum mereka atau kaum yang mereka diutuskan berdakwah. Sementara nabi Muhammad diutuskan kepada seluruh manusia dan jin. Maka seluruh manusia dan jin adalah kaum kepada nabi Muhammad SAW.


Seluruh manusia dan jin punya bahasa yang berbagai-bagai. Apakah munasabah Al-Quran diturunkan dalam semua bahasa yang ada dalam dunia? Maka, bagaimana kita memahami ayat Al-Quran yang mensifatkan bahawa semua nabi diutuskan mengikut bahasa kaumnya dalam konteks perutusan nabi Muhammad SAW?


Di sinilah kita perlu mencermati maksud tersirat mengenai kewajipan mempelajari bahasa Arab. Jika kita kaum nabi Muhammad, kita berlu mengetahui bahasa Arab kerana Al-quran diturunkan dalam bahasa Arab. Sedangkan Al-Quran diturunkan mengikut bahasa kaum nabi Muhammad. 


Dengan kata lain, kaum nabi Muhammad adalah kaum yang berbahasa Arab. Kilas makna tersiratnya, semua orang perlu mempelajari bahasa Arab.


Siapa yang mengetahui bahasa Arab, dialah bangsa Arab. Konsep ini disebutkan dalam sebuah hadis yang daif:


عن أبي سلمة بن عبد الرحمن قال : جاء قيس بن مطاطية إلى حلقة فيها صهيب الرومي وسلمان الفارسي وبلال الحبشي , فقال : هذا الأوس والخزرج قد قاموا بنصرة هذا الرجل , فما بال هؤلاء ؟
فقام معاذ بن جبل , فأخذ بتلابيبه ثم أتى به إلى النبي صلى الله عليه وسلم فأخبره بمقالته , فقام النبي صلى الله عليه وسلم مغضباً يجر رداءه , حتى دخل المسجد ثم نودي : إن الصلاة جامعة , فصعد المنبر فحمد الله وأثنى عليه ثم قال : أما بعد :
أيها الناس إن الرب رب واحد , والأب أب واحد , والدين دين واحد , وإن العربية ليست لأحدكم بأب ولا أم , إنما هي لسان , فمن تكلم بالعربية فهو عربي , فقام معاذ بن جبل فقال : بم تأمرنا في هذا المنافق ؟
فقال : دعه إلى النار , فكان قيس ممن ارتدَّ فقتل في الردة


Sesungguhnya Islam telah melahirkan banyak tokoh pelbagai bangsa dalam dunia sehingga penguasaan bahasa Arab mereka mengatasi orang yang berketurunan Arab dari segi biologi.  Siapa tidak kenal Sibawaih, tokoh besar dalam ilmu nahu Arab yang berbangsa Parsi? Zamakhsyari, Imam Muslim, Bukhari dan ramai lagi yang menguasai bahasa Arab dengan baik dalam bidang mereka, bukan ebrbahasa Arab. Karya mereka dalam bahasa Arab hatta kita pun beranggapan mereka adalah bangsa Arab lantaran bahasa Arab yang menonggak kehidupan ilmu mereka.


Siapa pengarang kamus Al-Muhit yang terkenal itu? Al-Fairuzzabadi seorang berbangsa hindi. 


Begitu banyak tokoh ilmuan Islam dan karya mereka dalam bahasa Arab yang hebat. 


Sungguhlah rugi sesiapa yang mensia-siakan umurnya daripada mempelajari bahasa agung ini. Bertambah malang kalau mendewakan bahasa Inggeris yang hanya digembar gemburkan kehebatannya oleh pemuja materialisme. Tidak salah belajar bahasa Inggeris, malah bahasa apapun, tetapi jangan lupa mempelajari bahasa Arab. Betapa payah, jatuh bangun dan patah tongkat bertompang dagu, belajarlah bahasa Arab sehingga ke akhir hayat. 


Terjunlah ke dalam ilmu Islam menerusi pintunya.

MEMBENCI SEJARAH

September 17, 2013


Chin Peng sudah mati. Kisahnya dan perjuangan komunisnya telah menjadi sejarah. Ura-ura pihak tertentu mahu membawa balik mayatnya ke Malaysia menjemput amarah para gombang patriotisme. Lantaran kebencian berlumut terhadap komunis, mendengar nama Chin Peng pun sudah berbulu dirasakannya. Maka, terbitlah fatwa-fatwa mengharamkan Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

Chin Peng adalah bapa pengganas. Chin Peng bukan warga negara Malaysia. Chin Peng pengkhianat.  Berbagai-bagai letusan kebencian muncul dan dihumbankan kepada Chin Peng.  Sangat takut kepada taghut bernama Chin Peng walaupun dia sudah mati? Sungguh melucukan.

Seharusnya, kerajaan melihat Chin Peng sebagai bahan sejarah. Dunia Islam dan Melayu khasnya kehilangan banyak tinggalan sejarah. Hari ini, kalau nak mencetak sejarah bangsa, terpaksa pergi ke London untuk mencarinya. Penjajah telah bawa balik tinggalan sejarah kita dan mereka jadikan sebagai keuntungan material buat mereka. Kita punya sejarah, tetapi kita terpaksa mengemis ke negara bekas penjajah kita!

Kisah Chin Peng dan komunismenya sudah jadi sejarah. Apalah faedahnya memusuhi sejarah? Sejarah harus dilihat dengan jiwa yang bijaksana dan bukan mengobar emosi. Kalau emosi yang menjadi jurupandu dalam menilai sejarah, jadilah kita seperti kelompok Syiah.

Syiah memusuhi sejarah. Mereka mengkafirkan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab yang telah pun menjadi sejarah. Kebencian  itu menggangu mereka, menjadi igauan mimpi mereka sehingga kini. Hatta, jadilah mereka pengingau yang tidak pernah sedar. Mereka jadikan sejarah Karbala sebagai pengganggu emosi mereka. Cinta berlebihan kepada Hussin menyenbabkan amarah mereka ditumpahkan kepada Muawiyah dan keluarganya.

Membenci sejarah...Itulah sebenarnya perangai Syiah. Apakah kita juga harus membenci sejarah. Segunung kebencian kepada komunis yang sudah jadi sejarah, apakah faedahnya. Ambilah sejarah hitam dan jadikan ia sebagai aset negara untuk tatapan generasi hari muka.

Kita boleh jadikan kesan penjajah sebagai memorial untuk generasi muda mempelarinya dalam negara kita. Mengapa kita mahu padamkan sejarah hitam komunis lalu memadamkannya dari bumi Malaysia? Padahal, komunis dan penjajah Inggeris sama-sama membawa bahana kepada bumi pertiwi kita.

Menatap kanvas penjajah Inggeris, kita melihatnya sebagai sejarah. Mengapa melihat lembaran komunis, kita menggengam amarah?

Kesatuan Sikap Menanggapi Golongan Munafiqin

September 7, 2013

(Ekstrak Ayat Tadarus Usrah-Surah An-Nisak: Ayat 88)

Orang-orang beriman tidak perlu berbaik sangka dengan orang-orang yang menzahirkan nifaq terhadap perjuangan Islam. Semasa nifaq tersebut terpendam dalam batinnya, bolehlah menyimpan sangka baik kepadanya. Sememangnya sikap orang beriman suka bersangka baik. Apa yang bersenandung dalam hati seseorang tidak dapat diketahui oleh orang lain. Begitulah dengan nifaq. Tetapi, nifaq itu umpama biawak dalam lubang. Pada satu ketika, si munafoq tidak akan tahan memendam rasa permusuhannya terhadap Islam dan pejuangnya. Ketika itu akan zahirlah apa yang disemat dalam batinnya.

Ketika telah zahir nifaqnya, tidak perlu lagi bersangka baik buatnya. Menzahirkan nifaq adalah pengisytiharan perang terhadap orang-orang yang beriman.

Allah berfirman:
فَمَا لَكُمْ فِي الْمُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ وَاللَّهُ أَرْكَسَهُمْ بِمَا كَسَبُوا ۚ أَتُرِيدُونَ أَنْ تَهْدُوا مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ ۖ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلًا

“Maka Mengapa kamu (terpecah) menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang munafik, padahal Allah Telah membalikkan mereka kepada kekafiran, disebabkan usaha mereka sendiri ? apakah kamu bermaksud memberi petunjuk kepada orang-orang yang Telah disesatkan Allah? barangsiapa yang disesatkan Allah, sekali-kali kamu tidak mendapatkan jalan (untuk memberi petunjuk) kepadanya”.
(Surah An-Nisa’: Ayat 88)

Ayat di atas diturunkan sebagai teguran Allah terhadap orang beriman yang berbelah bagi dalam menetapkan sikap terhadap golongan yang menzairkan nifaq mereka. Dalam perang Uhud, Rasulullah telah memimpin 1000 orang tentera ke luar Madinah untuk mempertahankan Kota Madinah dari serangan Musyrikin Makkah. Medan Uhud adalah sasarannya. Tetapi, dalam perjalanan, Abdullah bin Ubai bin Salul yang digelar sebagai bapa munafiq madinah telah berjaya menyebarkan keraguan di kalangan tentera Rasulullah SAW itu. Akibatnya, sejumlah 300 orang menarik diri dari menyertai peperangan. Tinggal lagi 700 orang yang setia untuk terjun ke medan Uhud.

Kalangan sahabat setia Rasulullah berbeza pandangan tentang mereka yang menarik diri saat-saat genting itu. Sebahagian berkata bahawa mereka itu perlu dibunuh kerana telah khianat. Tetapi, sebahagian yang lain mengatakan bahawa mereka adalah kalangan orang beriman juga dan tidak boleh dibunuh.

Maka turun ayat ini menegaskan agar orang beriman tidak boleh berpecah sikap dalam menaggapi para munafiqin. Perbalahan akan melemahkan orang beriman. Ketegasan dan kesatuan sikap akan menyebabkan orang munafiq menjadi gerun, sekaligus membenamkan potensi nifaq untuk berkembang biak.

Situasi tidak mengizinkan Rasulullah SAW bertindak. Perang sudah di depan mata dan munafiqin berbuat onar. Misi utama harus diutamakan. Olah munafiqin akan ditangani kemudian. Rasulullah SAW telah bersabda mengenai mereka:

إنها طيبة وإنها تنفي الخبث كما ينفي الكير خبث الحديد

" Sesungguhnya ini adalah Madinah. Madinah akan menyingkirkan kekotoran sebagaimana kekotoran bijih besi disaring keluar oleh penyaringnya".
(Hadis Riwayat Syaikhan)

Nifaq dan munafiq terus ada. Pada zaman kini, golongan munafiq terus berkembang dengan pelbagai jenama dan kelab. Syiarnya adalah menentang hukum Allah dan rasulnya serta benci kepada orang-orang beriman yang berjuang untuk agama Allah. Pelbagai tipudaya dibuat sehingga kekadang mempesonakan khalayak hatta mungkin dia sendiri dianggap pejuang Islam menggelamkan pejuang Islam yang sebenar.

Neraca kita adalah ulama al-amilin al-mujahidin. Mereka umpama Al-Kiir (penapis kekotoran bijih besi) dan Jemaah perjuangan adalah laksana Tiibah (Madinah).

Bernaunglah di bawah kebijaksanaan Al-Kiir dan berkotalah di balik pagar Tiibah!

AKHLAK DALAM BERJUANG



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), Maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung".
(Surah Al-Anfal: Ayat 45)

Menjaga akhlak bukan sahaja masa aman, tetapi juga masa perang. Bukan sahaja masa disanjung, tetapi juga masa dihina. Tidak masa dimuliakan, tetapi juga masa dihina.

Tidak hebat sangat kalau seseorang boleh berakhlak mulia masa dia hidup selesa dan disanjung mulia. Hebatnya kalau boleh kekal berakhlak mulia kalau masa miskin melarat, sempit dan pada saat dipandang hina. Inilah saat yang amat sukar dan amat besar pancarobanya untuk kekal berakhlak mulia.

Sebab itu Allah memperingatkan kita agar menjaga akhlak sekalipun ketika berada di medan juang. Ketika para pendakwah atau mujahid sedang berdepan lawan yang menetang Islam, kemuliaan akhlak hendaklah dijaga. Tetap istiqamah dengan akhlak mulia akan menjaga kemuliaan perjuangan yang benar.

Perjuangan yang benar akan dinista jika dipandu dan dikendali oleh para pejuang yang berakhlak buruk. Ketika berhempas pulas menggapai kemenangan, akhlak perlu diutamakan. Bila kemenangan juga sudah digenggam, akhlak tetapi menjadi ukuran.

Demi mengekalkan aroma akhlak dalam perjuangan, maka Allah SWT memperingatkan kita agar mengingati Allah sewaktu dalam perjuangan. Para pejuang akan sentiasa mengamalkan wirid ma'thur, bangun malam, dan mengungkapkan kata-kata zikir sewaktu dihumbankan provokasi cela oleh lawan.

Jika perjuangan dalam pilihanraya itu sebuah perjuangan, sewaktu berkempen hendaklah dijaga akhlak. Janganlah provokasi dibalas provokasi. Jangan fitnah dibalas fitnah. Kemenangan milik Allah dan ia tidak akan datang dengan strategi yang melanggar batas akhlak.

Semoga kita semua boleh berimamkan akhlak dalam mengendalikan pedati kecil merentas liku perjuangan yang begini jauh.

PEJUANG TIDAK BERNAMA

September 5, 2013

(Renungan Daurah 476)


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مّن قَبْلِكَ مِنْهُم مّن قَصَصْنَا عَلَيْكَ وَمِنْهُمْ مّن لّمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِيَ بِآيَةٍ إِلاّ بِإِذْنِ اللّهِ فَإِذَا جَـآءَ أَمْرُ اللّهِ قُضِيَ بِالْحَقّ وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْمُبْطِلُونَ


Dan Sesungguhnya telah kami utus beberapa orang Rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada (pula) yang tidak kami ceritakan kepadamu. Tidak dapat bagi seorang Rasul membawa suatu mukjizat, melainkan dengan izin Allah. Maka apabila Telah datang perintah Allah, diputuskan (semua perkara) dengan adil. dan ketika itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada yang batil.
(Surah Ghafir: Ayat 78)


Bukan semua pejuang dikenali namanya. Hanya sedikit pejuang yang namanya ditinta sejarah dan orang menyebut namanya. Dalam riuh rendah orang menyebut riwayat tokoh hebat dalam sejarah kerana perjuangannya, masih ramai lagi pejuang yang namanya terpendam namanya bersama jasadnya dan ornag melupakannya. Manusia mungkin melupakannya, tetapi Allah SWT tidak sekali-kali akan melupakannya.

Sebagaimana ramainya pejuang tidak bernama, demikianlah juga para nabi utusan Allah. Nabi yang dikenali namanya dan disebut nama mereka dalam Al-Quran dan hadis bukanlah ramai. Para ulama sepakat untuk membilang jumlah 25 Rasul sahaja yang nama mereka dirakam dalam Al-Quran. Ada beberapa nama yang dikhilafkan mengenai siapa mereka sekalipun nama disebut dengan pujian dalam gerakerja dakwah menerusi Al-Quran. Nama-nama seperti Zukqarnain, Tubba' dan Khaidhir diperselisihkan ulama tentang siapa mereka. Apakah mereka itu nabi atau tidak. Tentu mereka bukan Rasul. Ada yang Zulqarnain hanya seorang raja adil. Tubba' dikatakan sebagai nabi. Khaidir lebih tepat dikatakan nabi.

Dalam hadis disebutkan juga nama nabi Syith yang mana digelar Hibbatullah. Kepadanya diberikan 50 Suhuf( Saheh Ibn Hibban). Nabi SAW juga menyebutkan tentang Yusya' bin Nun sebagaimana diriwayatkan dalam Saheh Muslim bahawa beliau merupakan nabi yang telah berkata kepada matahari:

" Kamu diperintahkan dan aku pun diperintahkan...", lantas baginda memohon kepada Allah agar ditangguhkan waktu tenggelamnya matahari.

Cerita mengenai nabi-nabi masa lalu merupakan sebahagian daripada perkara ghaib. Apabila disebut perkara ghaib, nas yang menjadi pergantungan kita. Kita tidak wajar membuat rekayasa cerita mengenai kisah sejarah untuk diyakini. Hanya riwayat sejarah yang tsabit dalam nas sahaja mendapat tempat untuk diyakini sepenuhnya. Sebab itu, banyak kisah para nabi yang telah hilang dari riwayat sejarah untuk manusia di hari ini.


Memang pejuang yang tidak didendangkan namanya lebih ramai dari pejuang yang namanya didendangkan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban disebutkan bahawa Abu Zar Al-Ghifari telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

يا رسول الله ، كم الأنبياء ؟ قال : ( مائة ألف وأربعة وعشرون ألفًاً ) ، قلت : يا رسول الله ، كم الرسل منهم ؟ قال : ( ثلاثمائة وثلاثة عشر جَمّ غَفِير) ، قلت : يا رسول الله ، من كان أولهم ؟ قال : آدم

" Wahai Rasulullah, berapakah jumlah para nabi? Rasulullah menjawab: Seratus dua puluh empat ribu. Aku Berkata: Ya Rasulullah, berapakah Rasul dari kalangan mereka? Baginda menyatakan: Tiga ratus tiga belas banyaknya. Aku bertanya lagi: Ya Rasulullah, siapakah yang paling awal? Baginda bersabda: Adam a.s.

( Hadis ini dikhilafkan kesahehannya. Ibn Jauzi menganggapnya maudhu' makzub tetapi Albani menyifatkannya saheh dalam Misykatul Masabih)

Jika boleh diambil contoh hadis di atas untuk dilihat kepada angka 124 ribu nabi dan 313 Rasul, jelaslah bahawa Rasul yang namanya disebut hanya sejumlah yang kecil. 25 orang rasul daripada 124 ribu nabi...Ia adalah jumlah yang amat sedikit.

Mengertilah kita bahawa perjuangan tidak harus mengejar nama. Siapa berjuang mengejar nama, maka tidaklah dinamakan orang berjuang. Sedangkan nabi-nabi pun hilang tidak bernama, siapalah kita untuk dibandingkan dengan nabi? Jika kita mendapat nama, itu adalah anugerah Allah. Namun, bernama atau tidak, bukan satu hal yang penting di akhirat. Allah memberi ganjaran berdasarkan amal gerakerjanya untuk Islam dan bukan berdasarkan namanya yang ditinggalkannya.


ALLAH PASTI MENOLONG ORANG YANG MENOLONG AGAMANYA.

August 29, 2013

(Ekstrak Daurah 473)

Allah Berfirman:

إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ

Sesungguhnya kami pasti akan menolong rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman semasa dalam dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).
(Surah Ghafir: Ayat 51)

Pembela agama Allah akan diberi pertolongan oleh Allah. Benarkah? Kalau begitu, mengapa sampai nabi Zakaria dan Yahya boleh terbunuh oleh makar jahat orang-orang kafir. Mengapa Nabi Ibrahim sampai keluar meninggalkan negeri Babylon dan mengapa nabi Isa ditentang sehingga dianggap telah disalib oleh ummat Kristian? Apakah Allah SWT telah menolong mereka dan bagaimana pula pertolongan yang dimaksudkan itu?

Dalam menguraikan kemusykilan ini, Imam Ibn Jarir membawakan dua dimensi jawapan:-

1) Allah menyebut semua Rasul dan orang beriman ditolong oleh Allah tetapi apa yang dimaksudkan adalah sebahagian daripada mereka. Cara begini sudah masyhur dalam seni bahasa Arab. Menyebutkan Am tetapi yang dimaksudkan adalah khusus.

2) Allah memang membantu Para Rasul dan orang beriman semuanya sama ada semasa mereka hidup atau selepas mereka sudah meninggal. Nabi Zakaria dan Yahya yang telah dibunuh itu, Allah telah datang hukuman kepada penguasa yang terlibat dengan mendatangkan tentera raja Nebuchadnezzar dari Babylon merampas negeri kaum Bani Israil dan menjadikan mereka tawanan. Nabi Ibrahim ditolong oleh Allah walaupun dia terpaksa keluar meninggalkan negeri kelahirannya dengan dimusnahkan kerajaan Namrud sesudah itu. Mereka yang merencanakan pembunuhan nabi Isa, akhirnya kerajaan Rom menjajah dna menjadikan mereka hina.

Sesetengah ulama menjelaskan lagi maksud pertolongan Allah itu ialah dengan menjadikan sebutan nama Rasul dan orang yang beriman itu mulia dan disanjung di kemudian harinya. Sementara para penentang Rasul dan orang beriman akan dicela oleh generasi kemudian. Nama baik dan sanjungan itu adalah kemenangan moral yang lebih besar dari kemenangan fizikal yang sering dilihat orang.

Mengenang baris-baris pejuang Islam sepanjang zaman, kita akan melihat ramai sekali tokoh-tokoh yang terbunuh dan bagaikan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam. Dalam sejarah moden ini, kita lihat bagaimana Imam Hasan Al-Banna terbunuh. Syed Qutub Abdul Qadir Audah serta ramai tokoh besar Ikhwan menemui pengakiran hayat ke tali gantung oleh penguasa taghut yang zalim.

Apakah mereka tidak ditolong? Apakah mereka kalah?

Kalau kematian itu ditafsirkan kalah, musuh yang membunuh mereka juga sudah mati kini. Mereka tidak terus hidup untuk merajai kezaliman mereka. Namun, matinya pahlawan agama disanjung sebagai As-Syahid sedangkan matinya pengkhianat agama dicemuh, dilupakan namanya dan ada yang digelar "laknatullah". Justeru, siapa sebenarnya yang menang?

Dalam kes terbaru yang sedang melanda Mesir, kelihatannya As-Sisi si pengkhianat memenangi permainan setakat ini dan para pejuang Ikhwan dikalahkan. Ramai yang terbunuh dan para pemimpin ditangkap. Tetapi, cerita belum tamat. Ada lanjutan yang sedang kita nantikan. Apa yang pasti. pejuang agama Allah akan ditolong. Sama ada As-Sisi akan menderita kekalahan fizik atau dia akan menanggung kekalahan moral yang pasti menantinya di belakang hari.

Allah menjanjikan kemenangan untuk orang beriman melalui pertolongannya apabila perjuangan orang beriman telah mencapai puncak kepayahan dan kesukaran sehingga jalan buntu sahaja berada di hadapan. Ketikalah biasanya pertolongan Allah datang mengembirakan perasaan orang yang beriman.

KHIANAT PARA LALAT

August 21, 2013


يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

Khianat itu dapat dilihat mata
ada yang tersembunyi dalam sukma

Ketika lidah bicara bergula
mata nyalang misteri serigala

Waktu diri belum berkuasa
tatapan redup sesejuk senja
kala sudah kuasa bertahta
khianat menari berentak dansa

Ada khianat tidak nyata
tidak zahir kerlingan mata
dalam dada diam bertapa
hanya muncul di saat leka

Sudah menjadi sunnah berzaman
dalam kecamuk medan peperangan
khianat datang laksana bayangan
mengilas menyambar gagalkan perjuangan.

Ketika berebut laba ghanimah
khianat menyusup menyebar namimah
menghasut mujahid korbankan istiqamah
mengajak istirehat duduk di rumah.

Rebah tersungkur Kota Baghdad
Kerana khianat Rafidhah laknat

mati terbunuh Husain di Karbala'
kerana khianat Pengikut Ibn Saba'

Othmaniah tersungkur diinjak penjajah
kerana khianat At-Tartuk anak mukah

Melaka jatuh ke tangan Portugis
khianat Si Kitol Melayu menangis

Baru bangkit Mesir baru
rebah mundur ke zaman dulu
Pemerintahan Mursi memercik gaharu
dituduh makar pilih bulu
khianat As-Sisi kepala soldadu
mengulang kisah khianat lalu

Khianat itu zahir di mata
dari dalam dada ia bertapa

terbang berlegar umpama lalat
mencari tahi menyebar mudarat!

Allah mengatahui semuanya
Usah jadi pengkhianat durja.

KHAINATUL A'YUN- MATA YANG BERKHIANAT



عن سعد بن أبي وقّاص رضي الله عنه قال : " لما كان يوم فتح مكة اختبأ عبد الله بن سعد بن أبي سرح عند عثمان بن عفان ، فجاء به حتى أوقفه على النبي -صلى الله عليه وسلم- فقال: يا رسول الله، بايع عبد الله ، فرفع رأسه فنظر إليه ثلاثاً كل ذلك يأبى، فبايعه بعد ثلاث، ثم أقبل على أصحابه فقال: (أما كان فيكم رجل رشيد يقوم إلى هذا حيث رآني كففت يدي عن بيعته فيقتله؟) فقالوا: ما ندري يا رسول الله ما في نفسك، ألا أومأت إلينا بعينك؟، قال: (إنه لا ينبغي لنبي أن تكون له خائنة الأعين) " رواه أبو داود و البيهقي .

Saad bin Abi Waqas R.A menceritakan: Ketika hari Kota Makkah telah dibuka, Abdullah bin Sa'ad bin Abi Sarh telah lari bersembunyi di sisi Uthman bin Affan. Lantas Uthman bin Affan telah datang bertemu Rasulullah SAW bersamanya lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah, Abdullah datang menyatakan bai'at terhadapmu". Baginda mengangkat kepalanya dan melihat ke arahnya sebanyak 3 kali dan baginda enggan dibai'ah. Lalu selepas kali ketiga, baginda pun menerima bai'ahnya. Setelah Abdullah berlalu, baginda berpaling kepada para sahabat di sekelilingnya dan bersabda: " Tidak adakah kalangan kamu semua orang yang cerdik yang dapat melihat ketika aku enggan dibai'ahkan olehnya lalu bangun membunuhnya?". Para sahabatberkata:" Kami tidak tahu apa yang ada dalam hatimu wahai Rasulullah. Kenapa Tuan tidak isyaratkan dengan kerlingan mata kepada kami?". Lantas bersabda nabi SAW: Sesungguhnya tidak patut bagi nabi untuk memiliki pandangan mata yang khianat".
(Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Mata yang khianat, sesunguhnya bukan sikap ornag mulia. Ketika mulut berbicara mulia atau senyum kelihatan di bibir, pada sepasang mata kelihatan isyarat yang berlainan. Seringkali kita melihat riak sedemikian ketika berdepan dengan orang. Kekadang, kita sendiri pun bermain dengan jelingan mata khianat ini.

Nabi SAW, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis tidak suka bermain mata dengan sahabatnya. Ketika hatinya tidak suka kepada Abdullah bin Saad bin Abi Sarh yang telah digazetkan halal darahnya bersama empat orang kafir yang lain di hari pembukaan Kota Makkah, dia menerima bai'ahnya dengan hati yang berat. Harapannya, jika pada saat dia menunjukkan keberatan menerima bai'ah itu, ada kalangan sahabat yang tampil bingkas meringkus dan membunuh Abdullah bin Sa'ad bin Abi Sarh.

Namun, sahabat baginda tidaklah secekap itu untuk membaca apa yang bersenandung dalam hati Rasulullah. Sementara Rasulullah pula tidak berlagu dua bahasa dalam satu masa. Bahasa lidah danb bahasa mata. Jika lidah berbicara mulia, maka mulialah juga bahasa mata. Jangan bicara manis sedangkan mata menngerdip berbau khianat dan perlecehan.

Dalam sejarah, Abdullah bin Saad bin Abi Sarh telah menjadi muslim yang baik dan telah mencatatkan jasa kepada Islam. Khalifah Amirul Mukminin Umar Al-Khattab pernah melantiknya menjalankan beberapa tugas semasa pemerintahannya. Beliau juga menyertai misi pembebasan Mesir yang dipimpin Amru bin Al-'As. Semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, dia diberi tugas memimpin pasukan untuk membuka wilayah Afrika Utara. Beliau telah menamatkan hayatnya dengan catatan yang baik dan maut menjemputnya ketika beliau sedang solat Subuh.

Selain daripada pengertian mata yang khianat seperti digambarkan dalam hadis, menurut Ibn Abbas, mata yang khianat itu juga adalah merujuk kepada mata yang berpura-pura terpelihara. Ketika melihat perempuan cantik, mata itu gemar menajaminya. Namun, saat orang memperhatikannya, mata itu pun tunduk dan memelihara pandangannya. Bila merasakan tidak ada orang menyedari gelagatnya, mata itu kembali menelanjangi perempuan itu. Itulah mata yang khianat menurut tafsiran Ibn Abbas.

Allah SWT mengetahui apa yang dilihat melalui mata yang khianat dan apa yang tersembunyi dalam dada manusia!

يعلم خائنة الأعين وما تخفي الصدور

" Dia mengetahui apa yang dilihat oleh mata yang khianat dan apa yang tersembunyi dalam dada".
(Surah Ghafir: Ayat 19)

Ananiah

August 19, 2013

Mengenang merdekanya tanah pertiwi ini
kita diajak mensyukuri nikmat keamanan
kita diseru pelihara keamanan
jangan digadai sebuah kedamaian
untuk  menggapai impian
di luar kemampuan.

ya...syukurlah negara kita masih aman
Tidak bergolak seperti Mesir dan Syria

Itulah akibat jika menjadi pelampau agama
Syu'ara Utusan penasaran tiba-tiba mengilas kesimpulan.

Pada saat saudara menderita
masih mampukah kita berbahasa bangga

Ya Salam...
Bukan kamu melakarkan keamanan
Allahlah yang menguji kamu untuk mesyukuri
dengan rasa rendah diri.

Jangan membangunkan ananiah
dalam dunia bergolak
kelak bila roda kita di bawah
kita menjerit mohon prihatin.

Jika As-Sisi mimpikan taubat

August 18, 2013

Jika As-Sisi mimpikan taubat
Akan aku katakan padanya
tunggulah sahaja dawair
Setelah tanganmu berlumuran darah
Setelah kibriya' menjulang liwa'
apa diharap insaf teriak?

Memang Tuhan Huwal Ghafur
namun Firaun mati takbur
darah bani Israil dialah penghambur

Kalau Firaun bisa bertaubat
Kalau Firaun telah bertaubat
Kalau Firaun diterima taubat

barulah rela aku
berdoa agar As-Sisi bertaubat
mendapat hidayah wal-inayat

Namun...doaku kini
kehancuran dan azab
celaka dan neraka
buat para penzalim
beliakkan bola mata mereka
sebelum tiba hari Tashkhasu Fihil Absar!

Menuduh Orang Sebagai Syiah besar implikasinya.

July 31, 2013

Menuduh orang sebagai Syiah tanpa bukti yang jelas, sama seperti melemparkan tuduhan kafir kepada seseorang. Kekafiran Syiah telah dihujjahkan dengan hujah-hujah yang banyak. Maka menuduh seseorang sebagai Syiah bermakna mengkafirkannya.

Ada orang menuduh Mat Sabu sebagai Syiah. Ada yang mengatakan Mahfuz Omar sebagai Syiah. Yang menuduh itu pastikah dirinya bukan Syiah? Tanpa sedar, amalan Syiah jadi makanannya. Syiah meratapi kematian Hussin dan menyambut ulang tahun kematiannya di Karbala. Apakah anda tidak meratapi kematian nenek moyang dan saudara mara yang sudah mati serta menyambut ulang tahun kematiannya? Syiah mengungkapkan syair memuji Ali, Fatimah Az-Zahraa, Hussin, Zainab dan Ahlul Bait, anda pun mengarang syair memuji tokoh tertentu tak ubah seperti perangai Syiah. Syiah melampau mecintai Ahlul Bait. Syiah percaya roh orang mati balik rumah. Syiah meninggalkan sahabat utama dan mewalikan orang soleh terkemudian lalu bertawassul dengan nama mereka.

Tanpa sedar, banyak bid'ah sesat anak cucu Abdullah bin Saba' menjadi amalan dan anutan orang yang mengaku Ahli Sunnah dan mencemuh Syiah.

Kalau hanya mengunjungi Iran, Hizbullah dan rapat dengan pemimpin mereka dikatakan Syiah, katakan juga sesiapa yang mengunjungi Amerika Syarikat dan duduk bersama Obama itu sebagai kafir. Pernahkah anda mengkafirkan pemimpin negara yang melawat Amerika Syarikat? Atau...pernahkah anda mengkomuniskan pemimpin negara yang melawat China dan punya hubungan dengan pemimpin negara itu? Lebih dari itu....tegakah anda mengkafirkan umat Islam yang meniru amalan bid'ah serapan Syiah?

Sesiapa yang mensyiahkan orang tanpa bukti, orang menuduh itu jadi syiah...miskipun bermatian dia menafikan dirinya Syiah. Ini kerana pada iktikad si penuduh dan iktikad kebanyakan orang yang sudah mengenali Syiah, bahawa syiah itu bukan Islam.

Nabi Saw bersabda dalam sebuah hadis ang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahehnya:





إذا كفر الرجل أخاه فقد باء بها أحدهما



"Apabila seseorang lelaki mengkafirkan saudara Islamnya, maka tuduhan kafir iu akan tepalit kepada salah satu antara mereka"

Sementara, apa yang ada dalam hati orang yang dilebelkan Syiah itu, siapa yang tahu? Seringkali si penuduh bersandarkan akidah taqiah penganut Syiah untuk mengatakan si fulan itu menyembunyikan kesyiahannya. Mereka menuduh Mat Sabu bertaqiah. Mahfuz bertaqiah.

Bagaimana kalau orang lain pula kata anda bertaqiah dari kesesatan anda. Orang kata anda sekular tapi bertaqiah sebagai muslim. Orang kata anda pluralis tapi bertaqiah sebagai islamis. Orang kata anda leberalis tapi bertaqiah sebagai mukmin.

Tentu anda tidak boleh menerimanya bukan?

Jangan cuba bongkar apa yang dalam hati orang. Nanti Allah bongkarkan apa yan dalam hati anda. Apa yang tersema dalam hat orang, hanya Allah ang tahu. Apa yang terluah di lidah, itu yang kita pegang. Selagi penganut Syiah tidak mengakui berakidah Syiah, tidak mencela para sahabat, tidak mengungkapkan kalimah-kalimah kufur dan amalan kufur Syiah, maka apa hak kita untuk melebelkannya sebagai Syiah?

Allah berfirman:


وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ



"Dan ketahuilah bahawa Allah sahaja yang menguasai apa yan disimpan seseorang dalam hatinya. KepadaNyalah kamu akan dikembalikan kelak"
(Surah Al-Anfal:Ayat 24)


Berhentilah menuduh tanpa bukti yang menjadi makanan haram rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini. Menuduh orang zina tanpa bukti. Tuduh orang liwta tanpa bukti. Tuduh orang Wahabi dan dikatakan sesat atas dasar yang lemah dan longgar. Semua ini budaya jelek yang sedang melanda dan perintisnya adalah golongan fajir, ahli bid'ad yang sesat dan manusia hina dalam masyarakat. Mengapa kita harus meniru sunnah buruk mereka, sedangkan Sunnah mulia Rasul terbentang di depan kita?