يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), Maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung".
(Surah Al-Anfal: Ayat 45)
Menjaga akhlak bukan sahaja masa aman, tetapi juga masa perang. Bukan sahaja masa disanjung, tetapi juga masa dihina. Tidak masa dimuliakan, tetapi juga masa dihina.
Tidak hebat sangat kalau seseorang boleh berakhlak mulia masa dia hidup selesa dan disanjung mulia. Hebatnya kalau boleh kekal berakhlak mulia kalau masa miskin melarat, sempit dan pada saat dipandang hina. Inilah saat yang amat sukar dan amat besar pancarobanya untuk kekal berakhlak mulia.
Sebab itu Allah memperingatkan kita agar menjaga akhlak sekalipun ketika berada di medan juang. Ketika para pendakwah atau mujahid sedang berdepan lawan yang menetang Islam, kemuliaan akhlak hendaklah dijaga. Tetap istiqamah dengan akhlak mulia akan menjaga kemuliaan perjuangan yang benar.
Perjuangan yang benar akan dinista jika dipandu dan dikendali oleh para pejuang yang berakhlak buruk. Ketika berhempas pulas menggapai kemenangan, akhlak perlu diutamakan. Bila kemenangan juga sudah digenggam, akhlak tetapi menjadi ukuran.
Demi mengekalkan aroma akhlak dalam perjuangan, maka Allah SWT memperingatkan kita agar mengingati Allah sewaktu dalam perjuangan. Para pejuang akan sentiasa mengamalkan wirid ma'thur, bangun malam, dan mengungkapkan kata-kata zikir sewaktu dihumbankan provokasi cela oleh lawan.
Jika perjuangan dalam pilihanraya itu sebuah perjuangan, sewaktu berkempen hendaklah dijaga akhlak. Janganlah provokasi dibalas provokasi. Jangan fitnah dibalas fitnah. Kemenangan milik Allah dan ia tidak akan datang dengan strategi yang melanggar batas akhlak.
Semoga kita semua boleh berimamkan akhlak dalam mengendalikan pedati kecil merentas liku perjuangan yang begini jauh.
0 comments:
Post a Comment