Empat perkara siapa yang ada padanya, Allah akan pelihara dia daripada tipudaya Syaitan dan dia diselamatkan daripada neraka:-
Siapa yang dapat menguasai dirnya ketika suka sesuatu
Siapa yang dapat menguasai dirinya ketika takut sesuatu
Siapa yang dapat menguasai direinya ketika syahwatnya meinta sesuatu.
Siapa yang dapat menguasai dirinya ketika marah.
Empat perkara yang disebutkan oleh Al-Hasan ini merupakan prinsip asas semua kejahatan.
JIka seseorang itu suka kepada sesuatu, dia akan berusaha untuk mendapatkannya, Akan digunakanlah segala jalan yang difikirkannya boleh membawanya kepada kejayaan mencapai kesukaannya itu. Sebahagian daripadanya adalah menerusi jalan haram , bahkan apa yang disukainya itu kekadang benda yang haram.
Sementara takut atau disebut sebagai rahbah, apabila seseornag manusia takut sesuatu, dia akan gunakan jalan yang pelbagai untuk elak daripada apa yang ditakutinya. Sebahagian daripada cara yang digunakan itu adalah haram.
Syahwat pula ialah apa nafsu cenderung kepadanya. Nafsu seronok melakukannya. Banyak yang syahwat suka itu haram seperti zina, minum arak, mencuri dan minum arak. Bahkan kekadang syahwat mendorong membuat perkara kufur, sihir, nifaq dan bid'ah.
Marah adalah gejolak api dalam jiwa. Kerana marah,banyaklah pantang larang agama dilanggar. Kekadang jiwa manusia direnggut kerana marah. Haram halal tidak lagi jadi perhitungan.
Sesuatu yang Allah rahsiakan untuk kita lebih besar daripada apa yang didedahkannya. Kita hendaklah menyakini hal itu. Itulah manifestasi sifat Rahim, Ghani, dan wadud Allah SWT. Apa yang Allah dedahkan untuk kita hanya kecil berbanding yang dia rahsiakan.
Ada satu kisah bagi menjelaskan hal ini. Kisah ini diceritakan sebagai iktibar dan pengajaran bagi orang yang merasa berat menanggung ujian Allah dalam kehidupan.
Ada seorang bapa dan anak sedang berpergian ke sebuah negeri. Mereka dalam perjalanan niaga sambil membawa barang dagangan. Perjalanan ke negeri yang mereka tuju itu makan masa selama dua hari. Dalam perjalanan, tiba-tiba sang bapa ditimpa musibah yang perjalanan mereka menjadi lambat. Kaki sang bapa tiba-tiba tidak dapat melangkah dengan baik. Dia kena serangan gout. Kerana itu anaknya terpaksa membawa barangan bapanya dan membantu bapanya. Perjalanan jadi lambat. Anaknya mengejar masa agar mereka sampai ke negeri yang dituju dalam tempoh yang dirancangkan.
Sang bapa berkata: "Apa yang Allah simpankan untuk kita lebih besar!".
Sang anak menyimpan dalam hati ketidakpuasan hatinya. Dia menganggap bapanya meremehkan sasaran mereka dalam perjalanan niaga itu.
Malang jatuh bertimpa. Berlaku kejadian yang lebih menyusahkan selepas itu. Pada satu malam, sang anak digigit jala jengking. Kerana itu, sang anak terlantar menderita selama tiga hari. Mereka singgah mencari ubat dalam perjalanan itu. Perjalanan dua hari berubah jadi lebih seminggu.
Sang bapa tetap berkata kepada anaknya: " Anakku...apa yang Allah simpankan untuk kita adalah lebih besar, bersabarlah".
Sang anak yang sememangnya tidka puas hati dengan segala musibah yang menimpa pun menempelak bapanya sambil berkata: "Bapa...apakah ada musibha yang lebih besar daripada apa yang sednag kita hadapi ini?"
Sang bapa tersenyum sambil mengulang katanya dengan penuh yakin. " Apa yang Allah simpan untuk kita lebih besar".
Setelah sang anak sembuh, perjalanan diteruskan. Mereka sampai pada hari yang ke 10. Ketika mereka sampai ke negeri yang dituju, keadaan negeri itu sangat menyedihkan. Negeri itu baru dilanda gempa bumi. Ramai yang terkorban. Yang selamat cedera parah. Rumah dan bangunan banyak yang runtuh.
Melihat hal keadaan demikian, sang bapa pun mengeluh mengucapkan syukur kepada Allah.
" Anakku, jika kita sampai dalam tempoh dua hari sebagaimana yang kita rancangkan, tentulah kita termasuk mangsa yang binasa...demikianlah apa yang Allah rahsiakan untuk kita lebih besar daripada apa yang dia berikan untuk kita".
Dulu masa Singapura masih bersultankan Melayu, datang Tun Jana Khatib melawat Singapura. Tetapi kerana cemburu yang tidak tentu hujung pangkal, Tun Jana Khatib dihukum bunuh. Maka matilah seorang ulama berakhlak mulia dan saudagar yang bertualang meninggalkan keluarganya Di Pasai. Matinya di Singapura, hilang mayatnya, timbul di Langkawi. Demikianlah disebut cerita oleh sahibul Hikayat.
Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.
Sebelum matinya, Tun Jana Khatib bersumpah, raja zalim bakal dihukum. Singapura akan ditimpa bencana. Itulah, maka berlakunya peristiwa ikan todak melanggar Singapura. Oleh raja yang dunggu itu, rakyat diperintah berkubukan betis sendiri. Datang Hang Nadim, kana-kanak pintar berusia 7 tahun. Cadangan kubu batang pisang dia kemukakan. Barulah selamat negeri dan rakyat dari mangsa kebodohan sang raja.
Ketika Hang Nadim mahu dianugerahkan kerana kepintarannya, para pembesar jadi cemburu. Raja dihasut supaya budak pintar jangan dibiar hidup. Sebelum besar cantas segera, kerana bila besar kelak negeri akan dikuasainya. Raja bakal hilang tahta dan para pembesar berputih mata.
Sang raja yang bodoh pun percaya. Menurut sebahagian cerita, hang Nadim dikaramkan di laut. lalu matilah dia. Habis cerita. Singapura pun tiada lagi orang pintar.
Sejarah sama sahaja. Ia berputar laksana roda. Apa yang berlaku di zaman purbakala, akan berulang semula di zaman kita. Hanya watak dan nama tidak serupa. Plotnya sama sahaja.
Para pencantas orang-orang cerdik selalu membuat angkara.Kerana cemburu dan wasangka, orang cerdik difitnah segala. Ramailah pula orang percaya. Akhirnya batu disangka permata. Permata sejati dianggap tidak berharga.
Bila orang cerdik disingkir dari persadanya,
maka akan mengambil tempat pula orang-orang yang haloba.
Apa yang diinginkan hanya pamrih dunia.
Memang bahasa muluk mulia.
Akan mengaku pewaris ambiya.
Akan memakai pakaian auliya.
Bahasa malaikat meniti bicara.
Walau sebelumnya berbicara durja.
Dosa setahun cuba dilupa
muncul semula menutur kalam sabda.
Begitulah permainan lumba-lumba.
dalam dunia penuh tipudaya
Orang secerdik Hang Nadim lurus pula.
Kalah dek permainan para penasihat raja yang haloba.
Yang rugi rakyat jelata.
Singapura tidak bangkit juga
Hingga diambil penjajah durjana.
Aku sengaja cerita pasal Singapura
Itu kisah dulu kala
buat iktibar kita semua
bahawa bukan senang menempa jaya
banyak halangan di depan sana
iri hati fitnah adu domba
dalam sekam ia membara
akhirnya membakar api menyala
runtuhlah dinding kota
musuh datang menyerbu segera
rakyat biasa lari bercempera
hendak lawan tidak bersedia
Pendekar laksamana sudah tiada
pendeta rahib tak pandai main senjata
menikam ke depan tertusuk dada
melibas ke kiri kanan yang kena
kanan ditebas ke kiri pula
Senjata dijulang terkena kepala
ditikam ke bumi berbatu lada
arah belakang pula leka
musuh datang hantuk kepala.
Inilah sebuah kisah
Todak menyerang habis dibelasah
Anak tidak lagi percaya ayah
mengharap ayah cepat gemulah
ayah pula asyik marah
anak jadi mangsa seranah
bini pula keluh kesah
bimbang laki nak tambah nikah
laki pula asyik jerkah
itu salah ini salah
rumah besar hilang berkah
tidur malam berpeluh basah
pintu ada tingkap dilangkah
alang dan bendul dipatah-patah.
Setelah berlalu masa susah
todak pun sudah merasa lelah
Yang cerdik pun sudah gemulah
tinggallah negeri yang dijajah
buat anak cucu sebagai sebuah kisah
bahawa kita pernah terbang setinggi sewah
untuk kebanggan dalam sejarah.
Allah adalah pemberi hidayah yang
satu dan tiada dua. Sekalipun dosa menyapu arasy, jika diberi hidayah
oleh Allah SWT, akan terbungkam juga sujud taubat ke dasar tawadhuk.
Andainya kekufuran melewati ketakburan Azazil, jika disentuh hidayah
Allah, iman akan tumbuh menyelubungi diri.
Ia umpama
seorang pembunuh upahan yang durjana. Diutus oleh sang durjana. Membawa
segala helah muslihat durjana. Menerjah masuk ke perkampungan damai yang
dihuni ummat bernama muslimin. Ia menunjuk baik dan jasa. Ia mempamer
prihatin dan sifat membela. Ia menyebar sifat terpuji dan mengangkat
harga diri warga. Tapi muslihatnya durja dan membawa utusan para durja.
Ia laksana singa yang keluar dari rimba. Ia umpama gangster yang datang
dari lorong gelap yang ganas.
Ulama Islam banyak sekali
cendikianya. Hemah tinggi dan bijaksana menjadikan ganster bertukar
lunak. Jika datang penuh dendam kesumat, ia bertukar menjadi pengikut
yang berkhidmat. Singa dalam rimba memang ganas. Tetapi jika berada
dalam sangkar sarkas, jadilah ia jinak dapat dimanfatkan.
Semua
kafir boleh diislamkan. Jika ada Firaun di zaman ini, harapan agar ia
menjadi Islam tetap perlu ditancap dalam sanubari dan diusahakan dengan
penuh kebijaksanaan. Jangan menyombong diri lalu berkata: "Firaun itu
kafir dan selamanya kafir dan akan mati sebagai kafir". Selagi Firaun
itu belum mati sebagai kafir, hendaklah kita menaruh harapan dna
menggencar bijaksana dakwah agar dia menjadi Islam.
Siapa
hebat dalam kekafiran, ketika Islam mengambil tempat dalam hatinya,
jadilah dia hebat dalam Islam. Hebatnya itu akan melebihi muslim yang
telah Islam sebelumnya.
Ya...demokrasi itu memang
sistem yang dibuat oleh orang kafir. Ia algojo kuffar yang dilepaskan
masuk ke dunia Islam. Ia nampak baik tapi ganas menyimpan durja. Jika
orang durjana boleh bertukar menjadi pembela Islam, mengapa tidak dengan
demokrasi. Demokrasi itu seganas singa, tetapi bijakasana seorang ahli
sarkas dapat menjinakkan singa. Hanya ulama faqih yang mampu memahami
rahsia mengapa Allah campakkan sistem durjana bikinan orang kafir ke
dunia Islam. Hanya mereka yang mampu menukar yang jahat menjadi baik.
Sedangkan yang terjaga dari tidur, terpinga dan menjerit cemas, penuh
amaran dan melarikan diri. Sebenarnya tidak akan dapat lari orang yang
bencikan dunia yang penuh tipudaya kerana dirinya sendiri pun adalah
dunia yang memperdaya.
Objek tidak akan pernah
meninggalkan bebayangnya. Mungkin bebayang hilang tetapi ia tetap
menyusul ke mana sahaja bila cahaya menyimbah sinar.
Memang
tidak mudah menakluki demokrasi yang dilahirkan dari rahim ibu yang
penuh makar. Tetapi, orang berjiwa besar tidak akan mengalah. Orang
berjiwa kerdil akan lari sejauh-jauhnya. Mereka akan memanjat gunung,
bertapa, sambil sesekali keluar muka gua menghambur nista celaka buat
demokrasi durja. Ketika demokrasi bermaharaja lela meratah lembah,
mereka akan akan menyeru memanggil warga desa memanjat gunung berdataran
sempit untuk menyelamatkan diri.
Pendekar yang berjiwa
besar, akan mempertahankan lembah. Kalau lembah jadi neraka, mereka
berjuang jadikan syurga. Kalau demokrasi itu durja, mereka berusaha
menaklukinya dan jadikan ia kesempatan buat membangunkan ummat. Ummat
yang bangun akan dapat melepaskan ikatan yang membelenggu.
Telah
lama dan telah banyak sistem algojo durja yang manusia cipta.
Sebahagian dapat diadaptasi dengan Islam kerana Islam itu sifat menakluk
dan bukan ditakluk. Dulu sistem Autokrasi merata dalam dunia. Dari
Timur menganjur ke Barat. Islam menakluk dan menjadikan sistem itu
pembela buat Islam. Raja-raja alam Melayu yang hari ini disebut pembela
Islam, berdiri atas warisan leluhur mereka yang diberanakkan autokrasi.
Zaman
autokrasi kian pudar. Demokrasi pula mengambil tempat. Kehebatan pencak
juang beraneka kita di zaman autokrasi mencengkam taringnya, kini kita
pamerkan pula di zaman demokrasi. Kita adalah gergasi bijaksana yang
membawa sistem cakerawala yang tidak akan mati akal dengan sistem kecil
sekangkang kera ciptaan manusia.
Saya letih dan jemu
mendengar orang mencemuh hulubalang Islam yang berjuang di medan
demokrasi. Terlalu banyak bisa lidah yang dijilatkan ke atas pemimpin
Islam yang siang malam berjuang menyelamatkan nasib ummat. Dr. Mursi di
Mesir, Rashid Ghanushi di Tunisa, Erdorgan di Turki, TG Nik Aziz Nik Mat
dan TG haji Hadi di Malaysia serta ramai lagi tokoh Gerakan Islam
seantero dunia, mereka dicemuh kerana bersenda dalam pencak silat
demokrasi.
Kita ummat hebat dan khazanah zaman kita
sarat untuk dipelajari. Orang yang tergolong dalam umat ini semestinya
mengambil berat dengan nasib ummat ini. Menyelamatkan ummat daripada
diratah pelakon yang bersenjatakan demokrasi adalah kewajipan dan
petanda kebesamaan dengan ummat. Enggan bersenjatakan demokrasi tetapi
menawarkan senjata warisan yang tiada di tangan, akan menyebatkan ramai
korban tidak terbela angkara pelakun antagonis demokrasi.
Doakan
kejayaan buat Dr. Mursi dan Erdorgan. Juga buat pahlawan seumpama
mereka di negara kita. Biarpun banyak halangan dan banyak kegagalan, itu
adalah tradisi kepada perjuangan sepanjang zaman. Kita juga menghargai
dan menyanjung tekad palawan jihad peperangan di bumi berdarah seperti
Syria, Afghanistan, Somalia, Selatan Patani, Selatan Filipina dan serata
ceruk rantau dunia yang menuntut peperangan. Di bahagian yang tiada
peperangan, kita tidak boleh sesekali mencipta peperangan. Namun, jika
meletus peperangan, kita tidak boleh sekali-kali mundur.
Saya mengerti kegundahan hati kamu wahai sabahat...
Umur kerajaan Mesir pimpinan Mursi masih sangat pendek sebelum datang bencana coup d'état oleh tentera Mesir. Harapan yang sedang berbunga, tiba-tiba layu tidak bermaya. Bukan sedikit manusia seluruh dunia yang menyimpan harapan buat Mursi mengembalikan kegemilangan Mesir yang bersejarah. Namun, nampaknya sesuatu yang hebat jalan berganda-ganda payah.
Namun, memang demikian sunnatullah. Perjuangan itu satu sangat payah. Apa yang kita bicarakan di Malaysia ini barangkali sekelumit cuma daripada apa yang telah dipugar dan dikobarkan di Mesir bumi yang bertuah. Korban pewaris semangat nabi Musa dan kebijaksanaan Amru bin Al-Ass di Mesir bukan alang kepalang. Jemari tangan dan kaki sudah tidak mampu menjadi alat pembilang lagi.
Dulu, sebelum nabi Yusuf berkuasa di Mesir, petualang penjajah Romawi menghisap kekayaan Mesir. Qibti bukan apa-apa walau bumi tumpah darah sendiri yang dipijak. Nabi Yusuf yang dikatakan mengangkat harkat peribumi. Maka, hasil pengorbanan nabi Yusuf, dapatlah bangsa Bani Israel menumpang tuah. Namun, di kala Firaun mengambil kekuasaan, Bani Israel menjadi hamba suruhan.
Allah tumbangkan Firaun. Pelbagai kuasa bertukar ganti di Mesir. Yang datang menjarah dan kemudian pergi atau dipaksa pergi. Berapa tahun pun masa berkuasa, tetap ada hujungnya.
Mubarak sahaja berkuasa sekitar 30 tahun. Pendahulunya juga punya dosa yang serupa. Kezaliman mereka ke atas pemuda-pemuda Ikhwan bukan lagi rahsia. Tetapi, kekuasaan mereka tetap ada akhirnya. Memerintah 30 tahun bukan satu tempoh masa yang panjang buat Mubarak. Memerintah hanya 2 tahun buat Mursi bukanlah satu masa yang pendek buat para fulul yang gelisah itu.
Allamah Iqbal pernah bermadah:
Umur bukan hitungan tahun, Hidup bukan bilangan masa. Sehari hidup singa di rimba, Seribu tahun hitungan domba.
Usah tenggelam dan karam dalam kesedihan wahai sahabat...
Memang sudah sunnatullah begitu. Allah menciptakan pusingan roda dalam negeri untuk menjadikan tanah subur dalam negeri menumbuhkan bunga mekar yang akan mengharumkan syurgawi. Mungkin kita menderita kerana kehilangan sebuah kerajaan harapan buat ummat. Tetapi, penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang benci melihat fajar Islam bersinar itu adalah lebih parah. Derita kita berbayar pahala sedang derita mereka menambah sengsara.
Setelah tersengguk seketika dalam rasa terpukul, kita kembali sedar dan berserah serta yakin dengan seni takdir Allah SWT. Jangan terpedaya dengan kembalinya berkuasa soldadu syaitan kerana itu hanyalah sebuah "ghurur".
Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Karena itu janganlah kamu terpedaya kerana melihat mereka berulang-lang menjarah di dalam negeri.
Sebelum mereka, kaum Nuh dan golongan-golongan yang bersekutu sesudah mereka telah mendustakan (rasul) dan tiap-tiap umat Telah merencanakan makar terhadap Rasul mereka untuk menawannya dan mereka membantah dengan (alasan) yang batil untuk melenyapkan kebenaran dengan yang batil itu. Karena itu Aku azab mereka. Maka betapa (pedihnya) azab-Ku?
(Surah Ghafir: Ayat 4-5)
Menela'ah jatuh bangun soldadu kesyaitanan sepanjang zaman memberikan kita ketenangan. Ia menghilangkan duka nestapa dan mengembalikan semula kita ke persada perjuangan dengan siasat baru dan seni lenggok silat perjuangan yang lebih kekar. Insya Allah, sebelum puas sang algojo menghirup selesa keberhasilannya, akan datang pusingan ke atasnya.
Iftor Wida', demikianlah dinamakan untuk sebuah majlis berbuka puasa yang diadakan di masjid Al-Fajr pada hari ini. Wida' dalam bahasa Arab bermaksud selamat tinggal. Untuk siapa siapa selamat tinggal tersebut? Untuk Ramadhan, tentunya. Ramadhan adalah tetamu agung yang datang sebagai murabbi, melatih kita selama sebulan. Esok adalah hari Eidul Fitri. Maka berakhirlah kebersamaan kita dengan Ramadhan pada tahun ini. Tahun 1433. Entahkan dapat lagi kita memesrai Ramadhan pada tahun hadapan.
Dengan kerjasama padu para asatizah masjid Al-Fajr, majlis Iftor Wida' senja terakhir Ramadhan ini berjalan dengan lancar. Menu nasi hujan panas dengan lauk ayam masak kari serta pelbagai kuih muih dan buah-buahan menjadi santapan yang hadir. Apa yang menarik, para asatizah bekerjasama menyiapkan juadah. Ada yang mengambil tanggungjawab memasak sendiri untuk mendapat pahala berganda menyediakan jamuan berbuka buat orang berpuasa.
Majlis seumpama ini akan menjadi kenangan manis buat manusia yang sentiasa merindui Ramadhan. Kerjasama yang sebegini juga adalah antara mayyizah para perantau yang kelak sukar dilakukan di kampung halaman sendiri. Marilah sama-sama kita hargai nilai baik pada takdir Tuhan buat para perantau berpuasa dan seterusnya berhari raya di perantauan.
Ketika seorang penceramah hebat dari semberang bertandang menyampaikan ceramah di masjid-masjid Sandakan baru-baru ini, ramai orang yang berduyun-duyun mendatangi masjid untuk mendengar ceramahnya. Alhamdulillah. Rupanya penceramah agama juga boleh menarik ramai khalayak.Tentunya permandangan ini lebih menyenangkan hati kita berbanding melihat orang berbondong-bondong ke konsert dan pertunjukan artis-artis yang terkinja-kinja dengan pakaian tidak senonoh di atas pentas. Mendatangi majlis penceramah adalah petanda kesolehan manakala mendatangi majlis para artis adalah petanda ketolehan.
Namun, sebahagian besar mereka datang ke masjid bukan kerana menyahut seruan Allah. Mereka datang kerana menyahut seruan penceramah terbilang itu.
Ketika Ramadhan mula menyapa kita minggu hadapan, kita akan melihat orang ramai berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk solat sunat taraweh. Alhamdulillah. Rupanya orang yang mengunjungi masjid dan surau tidak kalah daripada ramainya orang yang mengunjungi pasaraya di hujung bulan sewaktu gaji sudah diterima. Wajah-wajah yang kita pernah saksikan Ramadhan musim lalu akan kita saksikan semula di Ramadhan musim ini. Kita wajar bersyukur. Pertamanya kerana kita sendiri masih sempat melihat mereka. Keduanya, kerana mereka masih diberi kesempatan untuk dilihat di masjid dan surau.
Setelah hampir setahun berkelana di muka bumi, jalan ke masjid dan surau tidak ditemui. Seruan-seruan kalimah mengagungkan Allah tidak dapat menjadi panggilan yang memikat hati. Barangkali, sama sahaja antara laungan azan dengan lagu burung tukang di malam hari buat mereka yang penasaran tidak menemui jalan kembali ke masjid dan surau itu. Mujurlah seruan Ramadhan dapat memikat mereka.
Mereka yang hampir setahun meraba tidak menemui jalan pulang terpanggil dengan seruan Ramadhan seperti mana sebahagian orang terpanggil dengan kemasyhuran nama si penceramah terbilang.
Cuma, satu persoalan buat renungan kita semua. Mereka yang mengerumuni si penceramah, hamba siapakah mereka? Hamba si pencermah atau Allah? Mereka yang mengerumuni Ramadhan, hamba siapakah mereka? Hamba Ramadhan atau Allah?
Kalau tidak kerana ada penceramah di masjid, apakah kita tidak perlu datang ke masjid dan surau? Kalau tidak kerana Ramadhan, apakah kita tidak disuruh datang ke masjid dan surau. Siapakah pujaan hati kita. Kalau penceramah dan Ramadhan itu pujaan hati, ia pergi dan datang. Tetapi, kalau Allah itu pujaan hati, dia tetap ada di masjid dan Surau!
Si penceramah tak salah. Demikian juga Ramadhan. Malah semua yang disembah selain Allah itu tidak harus dipersalahkan. Mereka yang tidak pernah berkata 'sembahlah aku", tidak patut dikambinghitamkan lantaran disembah para pemujanya. Mereka yang tidak meredai dirinya disembah, tidak terpalit dengan dosa para penyembahnya. Sebagaimana pengikut kristian menyembah Jesus, bukan nabi Isa A.S yang salah! Yang salah adalah penyembah yang mengabdikan diri kepada yang lain selain Allah.
Ramadhan tahun ini, mari kita muhasabah diri. Hamba Allahkah kita atau hamba Ramadhan? Jika kita hanya rajin beribadat, mengunjungi masjid dan surau cuma pada bulan Ramadhan, itu tandanya kita hamba Ramadhan. Menginsafi hal ini, jadikan Ramadhan tahun ini sebagai bulan mengubah diri agar kembali memperhambakan diri kepada Allah. Lalu buktikannya dengan kelangsungan amal Ramadhan sesudah Ramadhan.
"Asslamualaikum....Kaifa haluk?", aku melontarkan pertanyaan kepada seorang bekas muridku yang kutemui di surau.Di kala kami sudah selesai solat subuh berjemaah dan mencapai motosikal masing-masing untuk pulang.
"Apa maknanya tu ustaz?", dia bertanya kembali.
"Maknanya how are you lah", balasku.
"Oh...fine..fine..",dia menjawab.
"Inilah...bahasa penjajah dapat dikausai..bahasa Islam, bahasa Al-Quran tidak dapat...belajar dan kuasailah bahasa Arab ya..", nasihatku
"Saya cuma tahu satu ja...bismuka,"ujarnya.
"Apa ?",aku tidak jelas.
"Bismuka", ualangnya.
"Yang satu itu pun salah...",
"Jadi?",
"Masmuka, " aku memperbetulkan.
Semoga dia akan mengingati apa yang aku katakan. Semoga teguranku berbekas di hatinya. Hari ini aku banyak mengingati apa yang telah guru-guruku tegur dan katakan dahulu. Banyak juga apa guruku tegur dan ajar dahulu sirna dan tidak berbekas.
Kadang-kadang, perkara yang mudah dan kecil memberi kesan kepada jiwa untuk satu jangka masa yang panjang. Kadang-kadang pula suatu perkara penting yang kita anggap besar, tidak pula memberi bekas kepada orang lain.
Berapa banyak pelajaran yang kita lontarkan dalam kelas, ia masuk ke telinga kanan dan keluar ke tinga kiri. Ironinya, satu pengajaran yang kita lontarkan sepintas lalu di kala duduk di stesen bas, berbual bual di tangga surau atau dalam tegur sapa di tepi jalan, lebih berkesan.
Mengajar ini seperti menjala di laut lepas!
Samalah juga menebar hidayah. Telah ramai yang kutemui, orang yang dulunya tak kusangka akan jadi orang yang menjalani kehidupan soleh, kini sedang menjalani kehidupan soleh. Ada muridku, dulu aku tidak merasakan dia akan jadi seorang yang kuat bergama kerana beberapa faktor. Tiba-tiba aku temui dalam suasana kehidupan yang sungguh membanggakan. Punya kesedaran agama yang tinggi.
Ramai pula murid harapanku yang tidak menjadi sebagaimana diharapkan.
Bukan aku yang memberi hidayah. Bukan. Dialah Allah yang sebenar 'alhadi'. Cuma, antara kita semua, siapa yang akan menjadi sebab kepada terpautnya seseorang di dahan hidayah Allah.
Dunia ini penuh dengan kemelut yang tidak pernah habis. Aku telah hidup menjangkau lebih sepertiga abad. Ramai kawan-kawanku telah mencapai dunia setakat yang mereka telah capai. Pencapaianku tak seberapa kalau hendak dibandingkan dengan mereka. Ada kalangan sahabat sepengajianku dahulu, kini telah menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan. Tidak kurang juga yang berkerja sendiri dan berjaya dalam perniagaan.
Mungkin ada juga yang masih mengais-mengais mencari keberuntungan nasib dalam dunia yang sementara ini.
Aku? Setakat ini sekadar seorang guru biasa. Aku bersyukur dan setakat ini merasa puas menjadi seorang pendidik. Lebih-lebih lagi pendidik yang diamanahkan untuk melebarkan sayap kefahaman agama di kalangan generasi baru negeri di bawah bayu. Aku tidak menaruh harapan tinggi tentang dunia ini. Aku tidak bercita-cita untuk menjadi seorang jutawan. Aku juga tidak bercita-cita untuk menjadi orang besar yang menjawat pos penting dalam pemerintahan. Aku bercukupan dengan kehidupan serba sederhana yang aku miliki sekarang.
Aku membayangkan hari tuaku. Aku ingin sekali mencari satu daerah terpencil buat menetap dan berkampung halaman. Aku membayangkan, alangkah indah sekiranya aku dapat bermastautin di perkampungan berkabus di kaki banjaran titiwangsa. Aku membayangkan flora dan fauna serta sungai dan bau hutan bakaran huma. Jauh dari kesibukan kota dan sengketa manusia, aku menghabiskan hujung usia dalam taqarrub kepada Tuhan dalam satu koloni pendalaman sunyi dan bahagia.
Itu Cuma impian. Aku tidak pasti ke mana Allah akan lontarkan aku. Apakah amanah dan beban khilafah yang akan Allah pikulkan buatku. Malah, apakah aku berkesempatan mencicipi usia tua dalam kehdupan singkat ini.
Justeru, hari ini, dalam usia muda yang diberikan Allah SWT, aku cuba memanjat gunung tajalli. Merasai kebesaran Tuhan dalam hidup dan kehinaan dunia, adalah satu perjuangan nurani yang bukan sedikit memerlukan mujahadah. Kenangkan firman Allah SWT:
تلك الدر الآخرة نجعلها للذين لا يريدون علوا في الأرض و لا فسادا و العاقبة للمتقين
Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerusakan di (muka) bumi. dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-Qashas: 83)
Tanpa merasakan kebesaran Allah, akan berkaratlah rasa cinta kepada rumah sendiri melebihi rumah Allah. Akan bergelumanglah diri dalam cinta asmara dengan isteri melebihi cinta kepada perjuangan. Ketika azan dilaungkan, hati yang dipalit duniawi akan membisikkan, solatlah di rumah bersama isterimu. Ketika seruan perjuangan dikumandangkan, akan bersilih ganti alasan-alasan yang disandarkan.
Alangkah sukarnya memanjat gunung tajalli.
Di kemuncak gunung tajalli, akan merasai nikmat takhlli. Itulah kemanisan madu keimanan yang selama ini dituturkan di lidah tetapi jarang sekali dirasai dengan jiwa. Apalagi untuk dibuktikan dengan raga.
Bukan mudah mencicipi madu takhalli!
Bebahagialah mereka yang diberi nikmat mecicipinya. Mereka yang telah diberi nikmat takhalli akan terjun ke tengah masyarakat, menjadi contoh tauladan kepada ummat, sebagai qudwah yang akan berjalan di atas toriq nubuwwah. Mereka memperlihatkan keindahan tahalli, menjadi kekaguman buat orang yang menyaksi.
Bukan senang menyarungkan pakaian tahalli!
Wahai Tuhan…kurniakan kami tajalli…takhalli dan tahalli…
Seketika, saat menyelak lembaran nostalgia masa lalu, aku terkenang bapaku. Waktu aku kecilku, bapaku sering menghantarkan aku ke sekolah dengan basikal tuanya. Saban pagi, begitulah. Mengenang saat-saat itu, air mataku tergenang di kelopak. Dalam kesusahan hidup, bapaku bertekad kental menyekolahkan aku dan semua adik beradikku yang lapan orang. Hanya sebagai penoreh dan pesawah kecil, di samping ada membela beberapa ekor kerbau dan lembu, kami adik beradik disekolahkan. Dalam tatih rebah menempuh belukar kehidupan, bapaku mahu agar kami berpelajaran dan memberi kebanggan kepadanya dalam pelajaran.
Di sebuah kampung yang ulu, sebelum kemajuan melebar sayap, aku dibesarkan. Tiada api elektrik, hanya bergantung kepada pelita minyak gas. Tiada air paip, hanya air perigi sebagai sumber minum dan bersuci. Hutan rimba dan belukar yang berkeridau margastua adalah latar sebuah kehidupan. Bapaku, menebang dan menebas belantara menjadi huma, untuk dijadikan kebun getah. Aku masih ingat, tangan kerdilku waktu kecil dan remaja melibas parang cangkuk ke batang-batang pokok sebesar lengan dan paha, membantu bapa, membina sebuah perhumaan, yang kelak menjadi kebun-kebun yang melatari sumber kehidupan kami sekeluarga.
Aku terkenang bapaku...
Saat air sungai surut di musim kemarau, bapa mengajakku mencari gondang. Bapaku mengajar aku menyelam dan meraba-raba mencari gondang di celah-celah batang kayu dan reba yang mendap di dasar sungai. Aku sering mendapat hasil yang tidak dapat menandingi bapaku. Gondang yang terkumpul, kami bawa pulang dan amat sedap dimasak goreng.
Pada musim banjir, bapaku telah siap dengan bubu yang dibuatnya dengan jalinan rotan atau bambu. Berumpan anak kongkiak atau kerengga, bapaku melukah di pinggiran sungai. Aku tidak berani turun ke sungai yang berarus deras berpusar, hanya menyaksi keberanian bapa menyelam dan berenang memasang bubu. Kekadang, razeki baik datang, ikan keli memenuhi bubu. Kenduri satu kampung bapa buatkan. Di batas-batas sawah yang melimpah air, bapa buatkan gelung-gelung dan sat diletakkan. Jika razeki baik, di pagi hari bapa bawa balik ikan puyu dan udang sawah. Ibu buat kering atau layur dalam daun palas.
Aku terkenang bapaku...
Saat aku meningkat dewasa, bapaku ajar menyapu sampah dan menghampar tikar di masjid. Aku dikenali sebagai anak seorang siak. Aku mendapat banyak faedah dari tadrib dan ta'dib bapa. Aku menghitung harapan dalam agama dan akademik bersama sampah sarap yang aku kuis dan saat membersihkan tahi ayam yang menunjuk durhaka mencemari lantai masjid. Aku menjadikan episod itu sebagai satu dalil buat membisikan kata-kata "jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu!". Kepada adik-adik remaja sekampung sesudahku, aku memberitahu mereka bahawa didikan masjid memberikan kita kejayaan.
Saat aku menggapai kaki di astar kartaksis, bapa menjual kerbaunya buat membayar yuran pengajian dan menghantarkan aku ke sana. Bapa hanya berselipar jepun dengan baju kemeja lusuh.Itulah kali pertama bapa menjejaki kaki ke ibu kota. Mengenang keadaan bapa waktu itu, aku sering terpekur sendu dan sebak.
Saat aku graduate dan tidak punya perkerjaan tetap, bapa tetap sabar. Bapa hanya mendengar, entah apa katanya dalam hati, sewaktu aku mengungkapkan idealisma perjuangan untuk menjadikan tanah datuk dipinggir masjid kampung kami sebagai markas pengkaderan. Bapa tidak pernah mengeluh tentang pencapaianku dalam dunia. Tetapi, bapa amat perihatin tentang perjalanan akhiratku. Kendati, aku telah melewati umur 27 tahun, saat aku balik kampung, di kala azan subuh berkumandang, bapa akan megejutkan untuk solat subuh berjemaah di masjid.
Aku terkenang bapaku....
Pada saat aku terlempar jauh ke bumi Sabah, melanjutkan pelajaran dalam dunia pendidikan dalam kursus KPLI, aku tidak tahu bahawa itulah tahun terakhir bapaku di dunia ini. Aku sudah menyusun tekad untuk menghadiahkan bapaku sebuah kereta jenama klasik dutson sunny kepadanya. Ibuku pernah berkata bahawa bapaku tak berminat dengan kereta tetapi itulah cita-citaku.
Tetapi...penghujung tahun itu, tahun 2003, aku mendapat panggilan talifon dari kampung mengatakan bapaku meninggal dunia. Bapaku meninggal setelah demam biasa yang tidak dijangkan asbab sebuah kematian. Saat itu aku terkesima dan usahaku untuk pulang buat menatap bapaku kali terakhir tidak kesampaian kerana masalah jadual perjalanan tiket penerbangan yang tidak memungkinkan aku tiba pada waktunya. Aku pulang beberapa hari kemudian dan hanya melihat dua nisan yang terpacak di atas tanah yang masih merah. Aku membisikan buat diriku, agar menyingkir gundah, bahawa melihat kali terakhir bukanlah penting kerana selama ini aku telah pun melihatnya dan telah berusaha dan berbakti kepadanya.Orang sering mementingkan menatap kali terakhir tetapi lupa di awal dan pertengahannya.
Bapaku almarhum saat aku di perantauan. Biarpun aku belum puas memberikannya kesenangan dunia, aku gantikan dengan doaku buatnya saban usai solat dan kebaktian seorang anak dalam beragama yang menjadi saham buatnya di alam sana. Aku berusaha berbakti kepada ibuku yang ditinggalkannya kerana berbakti kepada ibu sudah tentu harapan bapa untukku.
-->
رب اغفر لي ولوالدي وارحمهما كم ربياني صغيرا
Kini, sudah 6 tahun bapaku berpulang menemui Rabnya. Aku sudah berkeluarga dan punya anak. Aku tidak menceritakan kepada anakku apa yang aku lakukan kepada bapaku. Apakah kebaktian yang aku telah abadikan dan harapan apakah yang telah aku panjatkan. Aku pulangkan kepada Tuhan yang mengamati perjalanan insan sepanjang zaman agar memberikan aku sesuai dengan bakti dan cinta kasih aku kepada orang tuaku.
Kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNya aku mengharap.
Bandar Indah, Sandakan, antara kawasan yang meriah di malam hari terutama pada malam minggu. Di sana, beroperasinya kelab-kelab malam yang penuh dengan wanita-wanita kupu-kupu malam dan lelaki-lelaki pemburu hiburan bebas.Ketika aku melintasi lorong-lorong di bandar Indah, berkereta dengan anak isteriku, aku melihat di beberapa wanita berpakaian seksi berdiri dalam gelap samar di beberapa lokasi. Seperti menanti sesuatu. Pada fikiranku, mereka sedang menunggu pelanggan.
"Kadang-kadang abg ingin pergi kepada wanita itu...bersiul dan memanggilnya masuk kereta...menjalani kehidupan lelaki pemburu hiburan...tapi...", aku berujar kepada isteriku."abg takutkan Allah...", lanjutku. Aku cuba menghayati kata-kata itu.
Apakah aku mampu mengatakan:
"Aku takutkan Allah!"
Di saat ada wanita jelita,punya tubuh arca, menggoda sukma, mampukah aku menuturkan kalimah, "aku takutkan Allah!?
Lelaki yang mampu menjulang kata-kata tersebut di saat nafsu bahimiah cuba menakluknya, adalah lelaki yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW mengenai tujuh golongan yang diberikan perlindungan di hari mahsyar yang tiada perlindungan kecuali lindungan Allah:
رجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إنى اخاف الله
"Lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan tinggi dan punya kecantikan, lalu dia berkata:"sesungguhnya aku takutkan Allah".
Akukah lelaki itu? Lelaki gagah yang teguh waqar dan mampu mengucapkan kalimah yang mahal itu. Wanita pelacur itu bukanlah wanita berkedudukan tinggi. Kalau wanita itu tidak mampu diucapkan kalimah itu, apalah kiranya kalau berdepan dengan wanita berkedudukan tinggi yang punya kejelitaan.
Setiap orang akan berbuat apa yang dipermudahkan baginya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW diriwayatkan:
" Berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: Apakah dapat dikenal ahli syurga dan ahli neraka?
Jawab Rasulullah SAW: Ya!.
Kata lelaki tersebut: Kalau begitu, apalah gunanya amal orang yang beramal?
Jawab baginda: Setiap orang akan beramal mengikut apa yang dijadikan baginya atau mengikut apa yang dipermudahkan baginya.
(Saheh Bukhari dan Muslim)
Orang yang disukarkan Allah, amatlah payah hendak mendekati para pelacur itu. Apa lagi melanggannya. Dengan rahmat Allah juga dia disukarkan untuk berbuat begitu. Bersyukurlah jika anda disukarkan ke arah itu. Mungkin satu-satu waktu anda teringin sekali lalu menjalani jalan ke arah jalan tersebut. tetapi anda adalah orang yang disukarkan Allah. Anda rasa malu, takut-takut dan bimbang dilihat orang.
Perasaan malu, takut dan bimbang sehingga anda pun tidak jadi mendekati kehidupan lelaki pemburu hiburan itu, adalah tanda anda disukarkan Allah. Anda, insya Allah, ahli syurga.
Anda dipermudahkan untuk berbuat baik. Anda mudah sekali pergi ke surau, usrah, majlis ilmu, program-program jema'ah, itulah tanda anda dimudahkan ke arah kebaikan. Anda, Insya Allah, ahli syurga.
Aku hairan sekali bagaimana ada sesetengah orang membangunkan laman web atau blog yang di dalamnya terkandung celaan, penghinaan, gelaran-gelaran keji terhadap ulama-ulama yang terdahulu yang telah pun meninggal dunia. Ulama-ulama tersebut telah pun menaburkan jasa pada zamannya dan sebahagian ummat Islam zaman sekarang memetik jasa bakti yang telah dibuatnya. Hanya bergantung kepada tulisan dan karya musuh-musuh ulama tersebut, pembangun laman web dan blog ini memetik sandaran. Dengan hanyir bau pesimisme yang maung, ulama-ulama tersebut dituduh dengan pelbagai tuduhan. Lidah berlumuran darah ghibah, namimah, humazah dan lumazah.
Dengan jalan apalah kemaafan atas segala kalam nista itu dapat dipanjatkan?
Mereka yang dinista telahpun berpulang menemui Tuhan mereka dan mendapat balasan sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan di dunia. Tidaklah kita mengetahui hal ehwal mereka di alam baqa'. Sedangkan kita, masih bergelut dengan nasib yang tidak menentu. Apakah kita berada di jalan yang lurus atau jalan yang disimpangkan Syaitan? Apakah kita akan menemui kesudahan yang bernama husnul khatimah atau tersungkur dilopak hanyir su'ul khatimah? Siapa yang dapat menjamin nasib kesudahan kita?
Justeru, atas hak apa kita dengan berani meludahi ulama-ulama yang telah melakukan apa yang telah mereka lakukan? Lebih-lebih lagi kita belum pun melakukan apa-apa buat memperteguh agama ini!
Lihat sahaja bagaimana mereka mencela seorang ulama silam bernama Ibnu Taimiyyah?
Imam Ibnu Taimiyyah yang telah mengarang berjilid-jilid karya ilmiah, berjuang melawan Tar-Tar pada zamanya, telah dilemparkan nista dan dilebelkan sebagai mujassimah. Kemuncak dari tuduhan tersebut, menuju kepada mengkafirkannya. Orang yang mencela dan menghinanya itu tidak pula mampu mengarang sebuah kitab pun, apa lagi berjilid-jilid kitab sebagaimana Ibn Taimiyyah. Malah sebuah risalah pun tidak mampu diterbitkan. Kalaupun ada risalah yang diterbitkan, ia hanya merupakan risalah cedokan dan lebih malang pula risalah yang mengandungi celaan dan penghinaan.
Para penghina ulama terdahulu mahupun ulama sekarang adalah manusia-manusia hina yang cuba melekatkan topeng ilmuan di wajahnya. Penghinaan yang mereka muntahkan itu tidak sedikitpun memperteguhkan agama ini. Penghinaan itu,malah meruntuhranapkan akhlak diri dan juga kesucian dan kebersihan hati dalam beragama.
Jika kita melayari laman-laman web, termasuk laman-laman blog ini, mereka mengasosiasikan diri mereka dengan nama Ahli Sunnah Wal Jam'ah. Sesungguhnya jauh sekali mereka dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jam'ah. Menjadi Ahli Sunnah Wal Jam'ah bukan ditopangkan atas falsafah dan pemikiran yang didokong semata-mata. Dengan mengatakan Allah laisa lahu makan, bukan sudah cukup untuk menamakan diri sebagai Ahli Sunnah Wal Jam'ah. Dengan mengatakan "mari bertahakim dengan kitab Allah" sebagai yang didendangkan oleh puak penentang Saidina Ali, belum cukup melayakkan mereka digelar Ahli Sunnah Wal Jam'ah.
Ahli Sunnah Wal Jam'ah perlu difahami baik-baik. Ia tidak harus dipenjara dalam dogma-dogma yang diperselisihkan. Sebagaimana namanya, Ahli Sunnah Wal Jam'ah adalah golongan yang mendokong sunnah Rasulullah dan berjalan di atas manhaj al-Jama'ah yakni para sahabat Ridhwanullah alaihim. Bukan Ahli Sunnah golongan pencela.
Bukan!
Golongan ahli sunnah adalah golongan yang punya akidah yang besih, amalan yang betul dan akhlak yang terpuji. Sementara golongan pencela adalah golongan yang rendah akhlaknya.
Malah, mencela orang yang telah meninggal adalah perbuatan bacul dan menjatuhkan diri ke lembah kefasikan. Kita dilarang mencela orang yang telah meninggal dunia sekalipun dia kafir. Kecuali mereka yang telah dicela Allah SWT atau celaan tersebut ada faedahnya dan menjadi peringatan. Amat dilarang sama sekali jika celaan itu akan melukakan hati orang yang masih hidup. Sabda nabi SAW:
لا تسبوا الأموات فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا - وزاد الترميزي - وتؤذوا الأحياء .
Ertinnya:
Jangan kamu mencela orang yang telah mati, maka sesungguhnya mereka telah mendapat apa yang mereka lakukan didunia. (Turmizi menambah dalam riwayatnya) Dan (dengan celaan itu) kamu akan menyakiti orang yang hidup.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Satu hari , Orang-orang Yahudi telah masuk menemui Rasulullah dan mengucapkan kepada Rasulullah SAW:
السام عليك
"Mati ke atasmu"
Lalu Rasulullah membalas:
وعليكم
“ Dan ke atas kamu (juga)”
Aishah, isteri Rasulullah SAW marah mendengar cara Yahudi memberi ucapan yang mengelirukan dan bermaksud jahat tersebut, lalu dia membalas dengan katanya: “Bahkan atas kamulah kematian dan laknat wahai para sahabat kera-kera”. Rasulullah menegur Aishah dengan sabdanya:
انما بعثت رحمة. ولم أبعث لعّانا
“Sesunguhnya aku dibangkitkan sebagai rahmat, bukan dibangkitkan sebagai pelaknat”.
Jawapan Rasulullah buat Aishah ini membayangkan kepada kita kemuliaan akhlak Rasulullah SAW. Biarpun orang-orang Yahudi mengucapkan satu ucapan yang jelas menghina nabi, baginda tidak mebalasnya melainkan dengan ucapan “dan ke atasmu juga”. Rasulullah tidak melatah, jauh sekali melaknat golongan Yahudi tersebut. Malah Rasulullah SAW membetulkan kekhilafan Aishah yang melemparkan celaan dan laknat kepada Yahudi-Yahudi itu dan menggelarkan mereka sebagai sahabat-sahabat kera.
Kalau demikian akhlak Rasulullah SAW kepada Yahudi, bagimanalah kiranya akhlak baginda kepada sesama Islam? Mengapa puak yang mengakui sebagai Ahli Sunnah Wal Jama'ah tidak dapat menuruti sunnah baginda ini?
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menegaskan:
ليس المؤمن بطعان ولا لعان ولا فاحش ولا بذيء
“Bukan sifat orang mukmin, yang suka mencemarkan kehormatan, mengutuk, buruk akhlak dan yang berbicara kotor”.
Dalam Saheh Bukhari dinyatakan sebuah hadis yang cukup menjadi peringatan buat sang pencela. Sabda Rasulullah SAW:
سباب المسلم فسوق وقتاله كفر
"Mencela seorang muslim itu perbuatan fasiq sedangkan memeranginya adalah perbuatan kufur."
Jika mahu didatangkan nas-nas yang memberi peringatan mengenai perbuatan cela ini, ada banyak lagi. Apa yang jelas, mencela dan mengatakan yang bukan-bukan kepada ulama-ulama terdahulu adalah perbuatan fasiq. Bagi yang memelihara diri, jauhi sifat tersebut dan berkatalah yang baik atau diam sahaja.
Aku bukan kenal Ibnu Taimiyyah kerana aku tidak hidup sezaman dengannya. Aku Cuma membaca karyanya. Itupun sekadar yang mampu terbaca. Aku juga tidak kenal Muhammad bin Abdul Wahab yang dikatakan sebagai dajjal dari Najad oleh musuh-musuhnya kerana aku tidak hidup sezaman dengannya. Mengenalinya berdasarkan catatan biografi, sering diwarnai dengan pro dan kontra. Senaraikan semua ulama yang dinista yang telah lalu, semuanya aku tidak cukup kenal mereka. Siapa boleh kata cukup mengenal ulama itu dan ini? Adalah naif jika dikatakan aku mengenali ulama ini berdasarkan biografinya. Itu, belum cukup untuk dikatakan kenal dan oleh itu tidak layak mengkritik peribadinya.
Tetapi aku bersangka baik dengan mereka.
Ulama-ulama sajungan bagi penduduk Haramain seperti Bin Baz, Uthaimin, Ibn Jibreen dan lain-lainnya turut dicela dengan sekeras-kerasnya. Syeikh Albani yang telah terkenal kemampuannya dalam ilmu hadis dipertikai pula oleh ilmuan-ilmuan sepele yang tidak pun menadingi kemahiran hadisnya. Beliau telah meninggal dan dikenali oleh setengah orang sebagai pakar hadis, manakala sang pencela juga akan mati dan mungkin namanya tidak akan pernah disebut orang dalam bidang apapun di lapangan ilmiah!
Sang pencela itu, juga bukan mengenali mereka. Pasti sekali. Mereka bukan hidup sezaman dengan yang dicela. Kalaupun hidup sezaman dengan ulama yang dicela, atas sandaran apa kita yang hidup kemudian hendak mempercayai omongannya. Kita sendiri menyaksikan, berapa ramai ulama hari ini yang dicemuh oleh manusia zaman ini kerana pendapat dan perjuangannya. Kelak, peredaran masa akan bersilih, mungkin golongan pencela akan memenangi pemikiran orang ramai, lalu ulama yang hari ini kita kenal penat jerih mereka dalam perjuangan agama akan dinista pula oleh orang-orang pada zaman yang akan datang tersebut.
Aku berlepas diri daripada para pencela ulama. Aku menggigit lidahku apabila membaca kisah pergaduhan antara Saidina Ali KW dengan Saidatina Aishah dan Saidina Mu’awiyah. Aku menjauhkan diri sejauh-jauhnya daripada melumuri lidahku dengan kumbahan celaan ke atas para sahabat. Demikian, sebagaimana aku menggigit lidahku daripada mencela mana-mana sahabat, aku juga menggigit lidahku daripada mencela Ibn Taimiyyah, Muhamamd bin Abdul Wahab, Al-Afghani, Muhammad Abduh, Hasan Al-Banna, Sayyid Qutub dan juga ulama-ulama sanjungan Arab Saudi seperti Bin Baz, Uthaimin, Ibn Jibrin, Aidh Al-Qarny dan semuanya.
Kalau kepada Si Kahar aku melemparkan Tuduhan 'Al-Kazzab" , itu adalah kerana Nabi pernah memberikan gelaran itu kepada si Musailamah yang mengaku sebagai rasul. Kepada Ayah Pin lebih patut dicela kerana dia jelas menyebarkan kesesatan dan celaan itu sebagai tahzir kepada orang ramai. Ironinya, manusia seperti ini selamat daripada cemuhan dan kutukan si pencela ulama. Mungkin dicela tetapi hebat lagi celaan kepada ulama berbanding manusia sesat dan menyesatkan itu. Atau apakah ulama disamakan dengan si Kahar dan Ayah Pin?
Apa untungnya kepada agama? Malah diri sendiri yang rugi. Kalau ingin berjuang untuk agama, banyak lagi lapangan yang boleh diterokai.
Kepada sang pencela, kukatakan:
“Nun di cerok rantau negaramu, ada orang asli yang dahagakan Islam, di pendalaman Sabah dan Serawak, kristianisasi sedang melebarkan sayapnya, di Selatan Mindanao para pejuang Islam bermandi darah dan tiada masa bermujadalah tentang apa yang anda mujadalahkan! Di Malaysia…berjuanglah sedaya yang kamu mahu, janganlah seperti ayam berkokok berderai-derai…sedangkan bontot berlumuran najis”.
Tulisan ini berhenti di sini dan tidak memerlukan jawapan balas. Ia cuma buat renungan bagi yang suka mencari kebaikan. Tiada response yang perlu dan telah kunoktahkan di penghujung ayat ini.
Serasakan aku tak mampu menulis apa-apa tentang gempa bumi yang meranapkan bandar Padang dan sekitarnya pada tanggal 29 September 2009. Peristiwa itu sangat tragis. Jemari menjadi gementar buat mencatat peristiwa yang menzahirkan sifat Jabbar, Qahhar dan Muntaqim Allah SWT. Terasa diri bertambah kerdil dalamkekerdilan yang telah sedia dirasai berdepan dengan pembuktian sebuah kuasa ketuhanan yang maha besar.
Gempa pada ukuran 7.6 pada skala Ritcher itu benar-benar sebuah mala petaka buat manusia khususnya yang menghuni bandar Padang dan sekitarnya. Sehingga kini,ribuan korban telah dilaporkan.Ramai lagi yang dibimbangi tertimbus.
Sesungguhnya manusia amat kerdil di depan kuasa Allah SWT. Itulah pengajaran terpenting daripada peristiwa yang berlaku di Padang, Indonesia, itu.
Mengamati kemusnahan yang terjadi, marilah kita tafakkur bagimanalah gempa terakhir yang akan terjadi menjelang kiamat kelak? Gempa yang terjadi di sana sini dewasa ini merupakan gempa kecil jika hendak dibandingkan dengan gempa yang akan mengkiamatkan dunia kelak.
Allahu Akbar..!
Sejurus...aku terkenang sepotong hadis nabi SAW yang diriwayat A'ishah mengenai kejadian gempa yang akan menimpa umat ini. Sabda baginda:
يكون في آخر هذه الأمة خسف ومسخ وقذفٌ. قالت: يا رسول الله ! أنهلك وفينا الصالحون؟ قال: نعم؛ إذا كثر الخبث
Akan terjadi pada kesudahan ummat ini ditelan bumi, ditukar rupanya dan difitnah! Berkata Aishah: Ya Rasulullah, adakah kami akan dibinasakan padahal kalangan kami ada orang soleh? Jawab baginda: Ya, apabila kejahatan menjadi banyak.
Ya...bila kejahatan menguasai sesebuah negeri, maka datanglah gempa yang memusnahkan. Allah berfirman,memberi peringatan dalam surah Al-Israk,ayat 16:
Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, Maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, Maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan kami), Kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.
Ummat ini perlu kembali bersimpuh memohon keampunan Allah SWT dengan meneladani kaum nabi Yunus.
Ada suara menyarankan agar melancarkan taubat nasional bagi menghentikan gejala bencana alam yang sering menimpa ummat Islam akhir-akhir ini.
Ya...taubat nasional, taubat kebangsaan, taubat perdana atau kalau boleh taubat internasional!
Abu Bakar bukan ceti dan Umar bukan penzina
-
Sesiapa yang banyak becakap, kalau tersalah cakap, hendaklah istighfar dan
minta ampun kepada Allah SWT. Kekadang kesilapan dalam percakapan itu
merupaka...