Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Ahli Sihir Firaun

March 22, 2010

Ketika Firaun meminta kerjasama para ahli sihir untuk menongkat kerajaannya yang kian menghampiri saat keruntuhan, para ahli sihir itu menuntut ganjaran. Firman Allah menceritakan mengenai tuntutan para ahli sihir itu:



وجاء السحرة فرعون قالوا إن لنا لأجرا إن كنا نحن الغالبين، قال نعم وإنكم لمن المقربين
Dan beberapa ahli sihir itu datang kepada Fir'aun mengatakan: "(Apakah) Sesungguhnya kami akan mendapat upah, jika kamilah yang menang?"Fir'aun menjawab: "Ya, dan Sesungguhnya kamu benar-benar akan termasuk orang-orang yang dekat (kepadaku)".
(Surah Al-A’raf: Ayat 113-114)
Pada zaman Firaun, ahli sihir adalah puak yang menjadi menyokong kuat kerajaan Firaun. Sebenarnya, puak ahli sihir ini terus menjadi penyokong kuat mana-mana kerajaan yang zalim dalam dunia. Kerajaan zalim adalah kerajaan yang tidak menegakkan hak-hak Allah dalam bernegara.  Untuk mempertahankan kelangsungan pemerintahan kerajaan ini, para penguasanya mendapatkan khidmat ahli sihir. Para ahli sihir itu terpaksa samada paksa rela maupun memang benar-benar terpaksa.

Untuk menjadikan ahli sihir itu sentiasa menyokong pemerintahannya, maka Firaun menawarkan pangkat yang akan menjadikan mereka kalangan yang berkedudukan dalam pemerintahan Firaun. Barangkali kalau mahu diperincikan, antara pangkat yang ditawarkan adalah gelaran-gelaran seumpama, Tun,  Tan Sri,  Datuk, Datuk Sri, Panglima dan berbagai-bagai gelaran lagi.

Persoalan yang kita perlu fikirkan sama-sama, kalau zaman Firaun ahli sihirnya bermain silap mata menukar tali menjadi ular, maka di zaman kini siapakah pula ahli sihirnya dan bagaimana rupa sihir yang dimainkan?

Renung dan fikirkanlah. Yang pasti, biarpun zaman berputar, rentak irama kehidupan berkisar pada persoalan yang sama. Kalau zaman Firaun ahli sihir melemparkan tali menjadi ular untuk menakutkan manusia lain  supaya tunduk akur kepada kekuasaan Firaun, maka apakah pula yang dilemparkan oleh ahli sihir zaman kini buat menakutkan manusia lain agar tunduk mendokong pemerintahan yang dipertahankannya?

Renungan: Untuk apa aktiviti menyihatkan badan?

March 18, 2010

Apalah guna badan yang sihat? Apalah guna umur yang panjang? Setiap hari berjoging di taman rekreasi. Masuk gim, bina badan. Lincah menangkis bulu badminton. Cekap menampar bola pimpong. Segala sukan dapat ditarikan.Peluh keluar, badan sihat. Badan sihat umur panjang. Mudah-mudahan. 

Kemana pagi tadi? Tak nampak solat subuh di masjid?


Oh...sungguh penat. Semalam habiskan 5 game badminton dengan kawan-kawan.

Oh...sepulang dari gim petang kelmarin, terasa lenguh segala urat dan sendi.

Apalah guna memburu kesihatan jasmani kalau kesihatan jasmani itu tidak boleh membawa kepada bertambahnya amal, meningkatnya taqarraub? Apalah ertinya mengorbankan masa untuk menyimbahkan peluh di badan kalau simbahan peluh itu tidak dapat menyiram semangat perjuangan dalam agama?

Sememangnya seorang mukmin yang kuat itu lebih baik daripada mukmin yang lemah. Tetapi menjadi seorang yang kuat jasmani tetapi lemah iman tidaklah membawa apa-apa makna. Lebih baik menjadi seorang yang lemah jasmanni asalkan kuat iman. 

Beruntung sekali kalau jasmani pun kuat, iman pun mantap! 


Tapi kalau iman mantap, hendaklah selalu nampak solat subuh di masjid. Kalau tak nampak solat subuh di masjid, tidaklah mantap iman. Hanya dengan kekuatan iman, seseorang itu mampu bangun meninggalkan ranjangnya yang selesa. Dengan kekuatan iman, seseorang itu sanggup membelah dingin dini ke rumah Allah.

Para sahabat nabi, ramai kalangan mereka punya betis yang kecil kurus kerana selalu menghadapi susah dalam perjalanan jihad. Sementara, orang-orang kafir berbadan tegap yang bertubuh sasa.

Dalam Manaqib Ibn Mas'ud diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:


أتعجبون من دقة ساقيه والذي نفسي بيده لهم في الميزان أثقل من أحد
" Adakah kamu rasa hairan dengan kecil betisnya seseorang. Demi yang jiwaku ditangannya, bagi pemiliknya, ketika ditimbang ( di mizan), ia lebih berat daripada bukit Uhud".

Disebutkan bahawa nabi SAW bersabda:

يؤتى يوم القيامة بالرجل السمين فلا يزن عند الله جناح بعوضة
 "Akan dibawa datang pada hari kiamat, seorang lelaki yang gemuk, maka tidaklah memberatkan timbangannya di sisi Allah walau sesayap nyamuk".
(Sumber: Tafsir Ibn Kasir:Tafsir Surah Al-A'raf: Ayat 8-9)

Justeru, bagus sekali punya jadual-jadual aktiviti menyihatkan badan. Namun, jika jadual aktiviti yang padat itu tidak diselarikan dengan peningkatan amal dan pelestarian jalan para solehin dalam kehidupan harian, maka percuma dan sia-sialah keterlibatan itu. Betapapun anda bersungguh-sungguh menjaga kesihatan, maut pasti menjemput anda. Jika kehidupan di dunia dibina sedangkan ia sementara, padahal kehidupan akhirat yang kekal abadi dilayukan, dilonglaikan, sesungguhnya itu jalan hidup yang merugikan.
Alangkah baik...jika kita rajin bersukan, beraktiviti menyihatkan badan, kemudian ia tidak menjadi alasan pula untuk bermalasan dalam menambahkan amal. Amat baik kalau badan sihat digunakan untuk mujahadah meningkatkan syiar Agama Allah di muka bumi ini. 
Kalau badan yang sihat sekadar digunakan untuk meningkatkan daya kekuatan hubungan badan dengan isteri tercinta, maka  sekadar itulah yang akan diperolehi! Demikian, kalau ia cuma sekadar buat merasa selesa dan segar untuk melangsungkan kerja-kerja rutin harian anda, itulah sahaja hasil buat dituai di dunia!

Sesunguhnya...ramai kalangan manusia adalah yang merugikan diri sendiri.

Lucut Kewarganegaraan

March 15, 2010

Dakwah para nabi menghadapi pelbagai ancaman. Di antara ancaman tersebut adalah penyingkiran dari negeri tumpah darah sendiri. Nabi nabi seperti Hud, Soleh, Lut, Syuaib, Musa dan nabi Muhammad SAW adalah sebilangan contoh para nabi yang menghadapi penyingkiran ini.

Menceritakan kisah nabi Syuaib, Allah menyebutkan dalam Al-Quran bagaimana ancaman penyingkiran dari negeri tumpah darah ini ditujukan kepada nabi Allah tersebut. Firman Allah SWT:




قَالَ الْمَلاُ الّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ مِن قَوْمِهِ لَنُخْرِجَنّكَ يَشُعَيْبُ وَالّذِينَ آمَنُواْ مَعَكَ مِن قَرْيَتِنَآ أَوْ لَتَعُودُنّ فِي مِلّتِنَا قَالَ أَوَلَوْ كُنّا كَارِهِينَ
Pemuka-pemuka dan kaum Syu'aib yang menyombongkan dan berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusir kamu Hai Syu'aib dan orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami, atau kamu kembali kepada agama kami". Berkata Syu'aib: "Dan apakah (kamu akan mengusir kami), kendatipun kami tidak menyukainya?"
(Surah Al-A’raf: Ayat 88)



Penyingkiran dari negeri dalam bahasa hari ini "pelucutan kewarganegaraan".

Dengan angkuhnya, pemuka-pemuka jahiliyyah itu mengancam nabi Syuaib. 

Kalau tidak mahu tunduk kepada peraturan  negeri kami yang kami warisi dari nenek moyang kami, kamu tidak berhak mengaku sebagai rakyat negeri ini. Nyahlah kamu keluar dari negeri ini. Kalau tidak kami akan singkirkan kamu!

Nasib yang menimpa nabi Syuaib itu juga menimpa nabi-nabi yang lain. Mengancam untuk melucutkan kewarganeraan adalah mainan pemuka Jahiliyyah  sejak zaman dahulu. Jahiliyyah pada zaman mana sekalipun mempunyai watak yang sama. 

Beberapa waktu dahulu, suara-suara supaya melucutkan kewarganegaraan orang tertentu dikumandangkan berikutan sikap kederhakaannya kepada tata bernegara yang telah diletakkan. Dengan sewenangnya, seorang yang telah lahir dan menjadi rakyat negara ini diancam untuk dilucutkan kewargegaraan. Ini lah suara-suara kaum nabi Syuaib yang berkumandang sehingga ke zaman kini.

Hatimu laksana bumi

March 9, 2010


والبلد الطيب يخرج نباته بإذن ربه والذي خبث لا يخرج إلا نكدا كذلك نصرف الآيات لقوم يشكرون
Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya Hanya tumbuh merana. Demikianlah kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (kami) bagi orang-orang yang bersyukur.
(Surah Al-Araf: Ayat 58)
Manusia diciptakan berasal dari tanah. Sebagaimana tanah memerlukan air hujan untuk menjadi subur buat menumbuhkan tanaman-tanaman dan  menghidupkan ternakan, makan demikianlah manusia, sebagai satu makhluk yang komponen asalnya adalah datang dari tanah, memerlukan wahyu Allah sebagai bimbingan untuk menumbuhkan rasa takut kepada Allah Tuhan yang menciptakan mereka.
Dengan turunnya hujan dari awan, bumi menerimanya. Ada tiga jenis bumi yang melayani hujan dengan cara yang berbeza. Ada bumi yang menerima hujan lalu dengan hujan itu,ia menjadi subur. Lalu, tumbuhlah segala jenis tanaman. Terbentang pula padang ragut buat ternakan. Ada pula bumi yang hanya sanggup menakung air. Umpamanya kolam, tasik, sungai serta laut. Sungguhpun ia tidak subur dan tidak dapat menumbuhkan tanaman serta padang ternak, ia memberikan sumber air buat tanaman dan pernternakan. Sejenis bumi lagi adalah dari jenis yang tidak subur dan tidak menakung air. Apabila hujan menimpanya, air tidak meresap ke dalamnya dan  mengalir pula ke tempat lain.
Sebagaimana bumi terbahagi kepada tiga kategori ketika menerima hujan, maka demikianlah manusia.  Terdapat 3 jenis manusia yang punya sikap yang berbeza ketika mendapat peringatan dari wahyu Allah SWT. Satu jenis adalah yang menerima dan beriman serta beramal dengannya. Sejenis lagi adalah yang menerima tetapi tidak mahu beriman dengannya.



Manusia dipandu hatinya untuk melakarkan tiga jalan penerimaan wahyu. Manusia yang baik adalah yang beriman dengan wahyu Ilahi. Itu adalah kerana hatinya baik. Mereka adalah laksana bumi yang baik. 

Sementara  mereka yang enggan beriman dengan wahyu ilahi adalah manusia yang jahat. Itu kerana mereka dipandu oleh hati yang rosak. Mereka laksana bumi yang tidak subur dan tidak membuahkan hasil.

Subhanallah…Tuhan yang memberikan misalan indah buat renungan kita!

Renungan: Apa makna kutukan buat Abu Lahab?

March 7, 2010

Kita lahir dari satu keturunan. Kita akan menurun zuriat dan keturunan pula. Hubungkait kita dengan nenek moyang yang melahirkan kita dan dengan zuriat yang kita lahirkan, mewujudkan konsep "Syu'uban wa qabaila". Wujudnya kepelbagaian bangsa dan suku dalam dunia ini adalah lanjutan daripada peroses melahirkan dan dilahirkan ini.

Nabi Muhammad dilahirkan dari nenek moyangnya yang dipanggil bani Hasyim (suku hasyim). Kemudian, daripada nabi lahir keturunan dari puterinya fatimah Az-Zahraa' yang berkahwin dengan Saidina Ali kw. Keturunan nabi mendapat gelaran pelbagai di pangkal nama. Syed, Sayyid, Syarif dan Habib adalah serangkai gelaran yang dinisbatkan kepada keturunan nabi.

Entah satu masa nanti...mungkin beratus-ratus tahun lagi,  akan lahir satu bangsa baru dari keturunan nabi Muhammad itu.

Nenek moyang nabi ramai yang kafir. Dalam sebuah hadis, nabi menyebutkan bahawa bapanya adalah penghuni neraka. Ini bermakna bapanya kafir. Kaum kerabat nabi yang terdekat seperti Abu Talib dan Abu Lahab juga  adalah kafir. Dalam surah Al-Masad, Allah mencela Abu Lahab dengan satu celaan yang mengalir sepanjang zaman.

Nabi datang bukan untuk membela keluarganya. Kalau bapa sendiri pun nabi kata dia ahli neraka, apa lagi orang lain. Sesiapa yang tidak beriman dengan apa yang baginda bawakan, mereka ahli neraka semuanya. Nabi tidak dapat membelanya. Jauh sekali untuk memperjuangkan mereka di dunia ini.

Inilah yang perlu difahami oleh mereka yang berjuang atas nama bangsanya! 

Memperjuangkan bangsa, kalau itu perjuangan murni, tentu nabi sudah mendahului kita sebab nabi amat suka kepada segala kemurnian. Sudah tentu nabi akan mempertahankan nenek moyangnya yang kafir kerana merekalah yang telah membangsakan nabi. Kerana titih keturunan daripada mereka nabi jadi berbangsa Arab. Paling utama, tentu nabi akan membela bapanya sekalipun dia kafir. Membela mereka adalah perjuangan menegakkan sebuah bangsa. 

Tetapi...pernahkah nabi berjuang untuk keturunannya sama ada yang sebelumnya maupun sesudahnya?

Inilah dalil paling logika bahawa nabi tak pernah menampilkan satu garis perjuangan di atas nama keturunan dan bangsa. 

Perjuangan nabi adalah atas garis keimanan. Siapa yang beriman, merekalah yang berada dalam garis perjuangan nabi. Sebarang perjuangan lain adalah fatamorgana belaka dan di hari akhirat, para pejuangnya akan menanggung kerugian. Yang terkorban, tidak mendapat syahid dan yang menikmati kemenangan dunia, menanggung penyesalan di depan mizan amal.



قَدْ خَسِرُوَاْ أَنْفُسَهُمْ وَضَلّ عَنْهُمْ مّا كَانُواْ يَفْتَرُونَ

Siapa Mufti Negeri Itu?

March 6, 2010

Sejenak, tatkala melihat rancangan-rancangan agama yang diterbitkan di TV, artikal-artikal berkaitan agama dalam kolum khas dalam akhbar arus perdana, ceramah-ceramah, kuliah-kuliah umum, tazkirah dan sebagainya, timbul pertanyaan dalam diri, ke manakah perginya para mufti? Ke mana pergi para pegawai agama jabatan-jabatan agama yang memegang posisi dakwah? 

Ramai anak muda hari ini tidak mengenal para mufti. Malah ramai yang tidak peduli tentang wujudnya seorang yang bergelar mufti. Mufti menjadi insan yang amat sedikit faedahnya kepada masyarakat berbanding para ustaz da'i yang tidak punya jawatan apa-apa tetapi selalu keluar tv dan selalu tulis makalah dalam akhbar maupun internet. Buku-buku karangan mufti hampir tak ada dalam masyarakat. Kalau pun ada tidak diminati oleh khalayak. Mufti lebih banyak membicarakan fatwa-fatwa hukum nikah kawin dan hal-hal sepele yang boleh diselesaikan di kedai kopi.

Sang mufti... duduklah di atas kerusi empuk dan dalam bilik berhawa dinginmu!

Sesekali, keluar menjunjung sembah batu jemala sang sultan yang dirimu bernaung di bawah dulinya! Lalu, kumandangkan lagu perpaduan, demi agama, bangsa dan negara.Agar namamu tercatat sebagai patriot.

Siapa mufti negeri itu? Tanya seseorang. Aku tak tahu dan tak rasa perlu tahu. Jawabku. Aku memetik ilmu dan mutiara hikmah dari sifulan bin sifulan yang bukan siapa-siapa. Cuma seorang ulama tua yang sering dialpakan. Atau cuma seorang anak muda yang tidak berjawatan dan tidak berkedudukan.Mereka dekat dengan rumput rampai yang melata. Bukan bergemerlap laksana bintang di langit sana! Bukan megah laksana bulan purnama!

Lebih baik menjadi pelita 
Usah dimimpi menjadi purnama
Pelita menerang cahaya sentiasa
Bulan terbit sekali sekala.

Biar pelita asap berjelaga
Dalam rumah ialah pendeta
Menyebar cahaya menghalau gelita
Membuat penghuni rasa selesa.

Apa dilihat pada purnama
Pungguk merindu sebatang kara

Tatkala bulan ditutup awan 
Pungguk terkabil berhati rawan

Tatkala malam menjelang dini
Bulan hilang membawa diri.

Cahaya muka...

March 5, 2010

"Kalau hati bersih, kebersihan itu akan terpancar di wajah. Demikian pula, jika hati kotor, kekotoran itu akan terpancar di wajah!", aku menegaskan buat murid-muridku hari ini. Aku sedang menerangkan tentang kesan-kesan solat pada air muka. Dengan nada mengancam, aku mendakwa aku dapat melihat tanda pada muka murid-murid yang tidak solat dan yang solat. 

Kelihatan riak kebimbangan pada muka sesetengah murid.

Sebenarnya, tidaklah aku mengetahui perkara ghaib sedikit pun. Tidaklah aku mengetahui siapa yang solat dan siapa yang tidak solat. Tanda di wajah hanyalah sebuah sangkaan. Sangkaan, kebanyakkan adalah dosa.

Aku sekadar mendidik anak muridku agar mengerjakan solat dengan istiqamah. Meninggalkan solat akan mencemarkan wajah!

"Mas..awak punya wajah yang cantik....tapi ada satu yang kurang pada wajahmu...",aku membuat telahan terbuka kepada seorang murid perempuan yang mendahului ramai kawan-kawannya dalam personaliti dan  pencapaian pelajaran.

Dia tersipu-sipu. Mungkin kerana dikatakan cantik.

"Tiada cahaya di wajahnya....", seorang murid lelaki membuat penghakiman. Aku tersenyum. Nampaknya mereka memahami pengajaranku yang membicarakan falsafah cantik wajah dan cahaya wajah.

Semoga muridku akan berlumba-lumba mengerjakan solat kerana memburu cahaya muka. Sekurang-kurangnya itulah buat permulaan sebuah ketaatan.

Tazkiratul maut

"Aduh...",tiba-tiba terasa sakit dalam dadaku saat kutarik nafas. Aku mengaduh. 

Lailaha illallah!

Segera aku mengucapkan kalimah taiyyibah. Terlintas dalam fikiranku kematian. Aku mahu mati dalam husnul khatimah. Biar aku ke syurga Allah. Bimbang sekali kalau aku mengadap Tuhan dengan memikul beban sesal yang merugikan!

Selama ini aku sihat. Aku tidak pernah ada penyakit yang merungsingkan fikiran. Itulah sejauh yang aku tahu. Itulah yang ada dalam ilmuku. Dalam ilmu Allah, aku tak tahu.

Bukankah ramai orang yang merasa sihat, tiba-tiba disambar penyakit yang datang secara tiba-tiba?

Sedang dia menyampaikan ucapan, rebah dan terus mati!
Sedang sibuk untuk sesuatu persembahan, penyanyi itu mati!
Baru berkira-kira hendak pindah ke rumah yang baru siap dibina, tiba-tiba disambar maut, mati dia!
Sesungguhnya 'amrullah' itu seperti 'lamhul basor'!
Telah tertulis ajal dalam 'ummul kitab' yang tak akan dilanjutkan atau dipercepatkan walau sesaat!

Wahai Tuhan...panjangkan usiaku agar aku dapat mengumpul amal buat mendapat redhaMu. Aku ingin berjuang untuk menegakkan agamamu agar satu saat aku menemui jalan mati yang paling terhormat dan yang paling Kau redhai.

Barangkali permintaan  itu masih berbau rasa cinta dunia. Sayang meninggalkan dunia indah ini dan takut menghadapi akhirat!

Aku terkenang ayahku yang telah berpulang ke alam baqa'  beberapa tahun dulu. Aku terkenang mereka yang kukenal yang telah sirna dari hayat sementara ini. Aku pun pasti bahawa aku akan ke sana, berkumpul bersama mereka dan meraih nasib yang telah disemai.

Tetapi...kenapa aku sering lupa hari yang berpatah arang itu?

Emulsifier (E 471)

March 3, 2010

Hari ini, saya rasa kaget apabila saya membelek-belek bungkusan kopi 3 in 1 jenama Old Town White Coffee yang menjadi minuman sarapan pagi saya di sekolah, tercatat kod  E 471.  Sejenak saya tertekan dalam kehairanan. Tercatat jelas logo halal JAKIM di bungkusan itu.  Bukankah kod itu adalah kod lemak babi?


Saya mesti mencari satu kepastian yang meyakinkan! Demikian,  saya pun cuba mencari untuk  memahami makna sebuah perkataan. 

Emulsifier...kod E 471.

Saya pernah memaparkan tentang Kod-kod yang dikatakan mengandungi lemak babi di laman blog ini satu ketika dahulu. Kod-kod itu bersumberkan  artikal Dr. Amjad Khan dari Institut Penyelidikan Perubatan USA (Rujuk: Perenung Langit: 25 Julai 2009). Kod-kod tersebut sangat mengganggu fikiran saya. Saya amat bimbang ketika memilih makanan. Banyak makanan yang saya tolak daripada memasuki mulut saya dan keluarga saya.  Hanya kerana terdapat kod-kod tersebut, saya menyimpulkan makanan itu mengandungi ekstrak babi. Lebih malang, dalam banyak keadaan, apabila makanan itu dikeluarkan dari dalam negara Malaysia, tercatat pada bungkusannya kod-kod tersebut dan tercatat juga logo halal JAKIM.

Apa ini?Mana satu mahu pakai ini. Kenapa pihak JAKIM tidak mengambil tidakan syarikat-syarikat terkenal yang mengeluarkan makanan dan menggunakan logo halal JAKIM tetapi mengandungi lemak babi? Saya pernah menaggapi kebimbangan ini dengan menyalahkan pihak JAKIM.

Saya tidak pernah ambil tahu apa maksud kod-kod tersebut. Apa yang saya tahu, ada kod itu, ada lemak babilah.

Antara kod yang paling banyak ditemui adalah kod E 471. Sesetengah bungkusan makanan menulis emulsifier (E 471). Apakah emulsifier itu? 

Simplistik, saya pernah mempercayai ia adalah lemak babi. Rupanya bukan begitu. Emulsifier adalah bahan yang diproses daripada sumber tertentu untuk menjadi bahan aditif (tambahan) dalam makanan. Sumber tersebut sama ada haiwan maupun tumbuhan (Rujuk Wikipedia)

Bagi makanan-makanan keluaran dalam negara yang mengandungi logo halal JAKIM padahal tertera E 471 di bungkusannya, ia adalah emulsifier yang bersumberkan bahan yang halal iaitu tumbuhan (soya  atau kelapa sawit). Pihak JAKIM telah mengesahkannya dan memberikan logo halal untuk produk terbabit, justeru tidaklah perlu dibimbangkan.

Kecuali kalau kita ingin pergi periksa sendiri emulsifier apa yang digunapakai. 

Apa yang pasti, Kod E 471 tidaklah bermaksud lemak babi secara keseluruhannya. Kalaupun ia dari sumber haiwan tidak semestinya babi. Cuma mungkin  haiwan yang tak disembelih secara halal. Kalau produk itu berasal dari dalam negara, JAKIM punya bidang kuasa menyelia dan memberikan taraf halal kepadanya.

Tetapi kalau produk itu dari luar negara, ada kod E 471, tak ada pula logo  halal, anda mahu makan juga terpulanglah kepada anda. Mungkin ada emulsifier dari babi. Mungkin juga   dari lembu, biri-biri dan sebagainya. Mungkin dari tumbuhan dan itu tentulah tak jadi masalah. Sebaiknya kalau produk luar negara yang ada kod itu, janganlah dimakan.

__________________________________________________
Dari:http://fakarudinft.blogspot.com/

Pernah satu ketika kita dihebohkan ada sesetengah produk makanan tidak halal kerana dikatakan mengandungi E471 yang kononya adalah bahan berasaskan khinzir.

Ingin saya betulkan disini bahawa ini adalah tidak tepat sama sekali.

Sebenarnya E471 adalah merujuk kepada bahan emulsifier makanan yang bertujuan sebagai aditif makanan, biasanya digunakan untuk makanan yang melibatkan lemak dan air contohnya ais krim, kek, coklat dan lain-lain.

Berfungsi untuk memudahkan percampuran bahan yang berasaskan minyak dan air bergabung, kalau tidak kita tak dapat makan ais krim yang sedap, Kerana nanti susu dan air berpisah, sterusnya akan menjadi "ais krim Malaysia" yang keras tu..

Sumber untuk pembuatan E471 ini sama ada tumbuhan atau haiwan. Jika tumbuhan tiada masalah..tetapi jika haiwan (tidak semestinya khinzir) perlulah dipastikan haiwan yang halal atau tidak dan disembelih atau tidak..

untuk maklumat semua, produk yang telah mendapat sijil halal Jakim (Malaysia) / Produk Malaysia adalah menggunakan E471 yang diperbuat daripada tumbuhan iaitu dari minyak kelapa sawit, oleh itu tidak perlulah kita risaukan..

Moga artikel ini dapat membantu kita membuat pilihan untuk membeli produk makanan.



Kembali ke asal

March 2, 2010


مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى
Dari bumi (tanah) Itulah kami menjadikan kamu dan kepadanya kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.
(Surah Taha: Ayat 55)


Asal tanah pulang ke tanah. Aku mententeramkan diri tatkala melihat sandiwara manusia yang kini mula kembali ke perkampungan asal. Setelah beberapa tahun singkat berkelana dalam kepayahan dan tujuan yang tak menentu, tentu perkampungan asal yang menjadi igauan. 

Tatkala melihat seorang penzina yang menemui su'ul khatimahnya saat kematian, kubisikan buat sekeping hati yang terharu dan sendu, asal sabut timbul. asal batu tenggelam. 

Masakan sanggup landak bersarang di dahan kayu!
Manakan gagak kalau berjalan tidak melompat!

Katak melompat sesudah hujan!

Sudah menjadi perangai dubuk, tak pandai bersatu menumbang mangsa, hanya menumpang mangsa yang lain!