"Kalau hati bersih, kebersihan itu akan terpancar di wajah. Demikian pula, jika hati kotor, kekotoran itu akan terpancar di wajah!", aku menegaskan buat murid-muridku hari ini. Aku sedang menerangkan tentang kesan-kesan solat pada air muka. Dengan nada mengancam, aku mendakwa aku dapat melihat tanda pada muka murid-murid yang tidak solat dan yang solat.
Kelihatan riak kebimbangan pada muka sesetengah murid.
Sebenarnya, tidaklah aku mengetahui perkara ghaib sedikit pun. Tidaklah aku mengetahui siapa yang solat dan siapa yang tidak solat. Tanda di wajah hanyalah sebuah sangkaan. Sangkaan, kebanyakkan adalah dosa.
Aku sekadar mendidik anak muridku agar mengerjakan solat dengan istiqamah. Meninggalkan solat akan mencemarkan wajah!
"Mas..awak punya wajah yang cantik....tapi ada satu yang kurang pada wajahmu...",aku membuat telahan terbuka kepada seorang murid perempuan yang mendahului ramai kawan-kawannya dalam personaliti dan pencapaian pelajaran.
Dia tersipu-sipu. Mungkin kerana dikatakan cantik.
"Tiada cahaya di wajahnya....", seorang murid lelaki membuat penghakiman. Aku tersenyum. Nampaknya mereka memahami pengajaranku yang membicarakan falsafah cantik wajah dan cahaya wajah.
Semoga muridku akan berlumba-lumba mengerjakan solat kerana memburu cahaya muka. Sekurang-kurangnya itulah buat permulaan sebuah ketaatan.
1 comments:
Post a Comment