Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI


Waktu Malaysia

TUKAR PASWORD YES

Sinar Harian

LOGIN AKAUN YES

Sinar Harian

e-Operasi

Sinar Harian

LOGIN SPLG

Sinar Harian

SAPS NKRA

Sinar Harian

HRMIS

Sinar Harian

APDM

Sinar Harian

e-Penyata Gaji

Sinar Harian

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket

Rujukan

Lulus universiti, tapi belum cukup berakal.

January 31, 2011

Kebijaksanaan bukan terletak kepada kejayaan mencapai gelaran mahasiswa mana-mana universiti atau menamatkan pengajian dan disebut orang sebagai graduan. Bukan juga diukur kepada berapa banyak gulung ijazah yang dimiliki. Ia juga bukan diukur dengan kejayaan dalam pelajaran lanjutan pasca ijazah dan diletakkan gelaran dr. atau prof di pangkal nama. Tidak dinafikan bahawa ramai orang yang mencapai tahap pelajaran di peringkat iniversiti dan yang telah bergelar dr dan professor adalah orang bijak pandai. Namun, tidak harus dilupakan bahawa ramai juga yang berjaya sehingga ke universiti, malah ada gelaran dr. dan professor di pangkal nama, tetapi tidak menampakkan kebijakkan dan mensyarakat meragui kredibiliti ilmunya.



Sebab itu, seorang yang berakal bukanlah hanya seorang yang berjaya dalam pelajarannya. Hari ini, ramai wanita lebih berjaya dalam pelajaran berbanding lelaki. Di pusat-pusat pengajian tinggi, lebih ramai perempuan berbanding lelaki. Ironinya, ramai lelaki memenuhi pusat pemulihan dadah dan menghuni ruang-ruang bergerigi penjara seluruh negara. Namun, itu bukanlah satu justifikasi bahawa perempuan lebih berakal daripada lelaki. Memang ada sesetengah perempuan mempunyai tahap pemikiran yang mengatasi sekelompok lelaki. Malah, dia menjadi mahaguru pula kepada lelaki, sebagaimana halnya dengan Aishah r.a , ummahatul mukminin. Namun, itu adalah hal yang jarang-jarang. Kejarangan sesuatu perkara tidak boleh dijadikan justifikasi dalam agama. Lagi pula, sebagaimana yang telah dinyatakan, akal bukan diukur berdasarkan kebijakkan dalam menguasai pelajaran.


Nabi meyebutkan dalam sebuah hadis yang saheh sebagaimana diriwayatkan dalam Saheh Muslim, bahawa perempuan adalah kurang dari segi akalnya dan agamanya. Kurangnya akal perempuan itu menyebabkan kesaksian dua orang perempuan menyamai kesaksian seorang lelaki. Sementara kurangnya agama seorang perempuan, dapat dilihat daripada kerehatannya daripada perentah solat dan puasa Ramadhan disebabkan haid.

(Matan Hadis: Sabda nabi SAW):


يا معشر النساء ! تصدقن وأكثرن الاستغفار. فإني رأيتكن أكثر أهل النار فقالت امرأة منهن ، جزلة : وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار قال : تكثرن اللعن وتكفرن العشير وما رأيت من ناقصات عقل ودين أغلب لذي لب منكن. قالت: يا رسول الله ! وما نقصان العقل والدين ؟ قال: أما نقصان العقل فشهادة امرأتين تعدل شهادة رجل. فهذا نقصان العقل وتمكث الليالي ما تصلي وتفطر في رمضان فهذا نقصان الدين


Berakal itu bukan ertinya bijak. Berakal itu adalah kemampuan mengendalikan perasaan. Para ulama ada menyebutkan andaian bombastik bahawa jika seorang perempuan itu diberikan hak talak, maka dia akan menceraikan suaminya seratus kali dalam masa sehari. Demikian itu kerana dari segi fitrahnya, perempuan sering tewas dengan runtunan perasaan sendiri. Apabila perasaan berkuasa, fungsi akal akan menurun. Dalam banyak keadaan, kita tentu punya pengalaman, sama ada dialami sendiri atau menyaksikan kejadian sekeliling, perempuan diperdaya dengan ayat-ayat cinta dari lelaki. Ketika suami isteri bergaduh, keluar perkataan "ceraikan aku!", dari mulut sang isteri. Ramai suami boleh bertahan daripada mengungkapkan kata-kata talak di kala kemarahan memuncak biarpun dia gagal menahan kaki dan tangannya daripada melayang ke  tubuh sang isteri.

Aku bukan bermaksud untuk menghuraikan perbezaan akal antara lelaki dan perempuan. Tetapi, aku ingin menegaskan bahawa berakal itu bukan diukur dengan pencapaian unggul dalam pelajaran. Seorang yang telah mencapai tahap pendidikan kartaksis, jangan menyangka bahawa dia telah mendapat kunci kebijakkan  akal seluruhnya. Segulung ijazah yang tergenggam, bukan petanda kita telah mempunyai akal yang bertahta di langit. Ia perlu dibuktikan pada baki hidup yang ada selepas tamat zaman pengajian.

Segulung ijazah, gelaran dr. atau professor hanyalah alat untuk membuatkan orang meyakini kita dan memberi perhatian terhadap apa yang kita katakan. Satu isu yang sama dan ulasan yang sama, tetapi dinyatakan oleh dua orang yang berbeza. Seorang adalah pemuda buruh kasar yang tidak berkelulusan. Manakala seorang lagi adalah seorang pemuda  lulusan universiti atau berpangkalkan gelaran dr. dan professor pada namanya. Tentunya, dari segi hukum kemasyarakatan yang dianuti secara tidak sengaja, pendapat yang diluahkan oleh seorang berkelulusan universiti dengan gelaran dr. dan professor itulah yang akan dipegang dan dimasyhurkan. Sedangkan, sekadar pandangan, ia tidak pula berbeza dengan pandangan pemuda buruh kasar tanpa kelulusan tersebut.

Sebab itu, segulung ijazah hanya alat untuk memenuhi tuntutan dan hukum kemasyarakatan. Ia bukan jawapan muktamad. Seorang yang pulang daripada luar negara, (katakan daripada Timur Tengah) bertahun belajar  agama di universiti di negara Arab, tanggapan pertama masyarakat setempatnya(istimewa kalau di kampung), dia pulang dengan ilmu yang sarat dan dapat diharap sebagai permata di kampung dan menjadi rujukan dalam  hal-hal agama. Pada hari pertama dia tiba di kampung setlah bertahun berkelana di negara tersebut, satu kampung menyambutnya. Kenduri besar buat meraikan akan diadakan. Lalu, dengan penuh hormat dan ta'zim, warga tua desa akan mempersembahkan hajatnya untuk mendengar curahan ilmunya melalui sesi atau siri ceramah dan kuliah agama yang bakal diadakan di masjid. Bayangkan, tiba-tiba, graduan Timur Tengah tersebut boleh mengatakan :

"Aku tidak boleh memberikan kuliah...", 

Apakah sikap orang kampung sesudah itu? Apakah  kemuliaan dan kehormatan yang diberikan akan berterusan selamanya. Atau ia akan pudar bersama sirnanya harapan orang-orang kampung? Bukankah dia telah pulang dengan segulung ijazah? Tidak cukupkah ijazah itu sebagai bukti bahawa dia telah menjadi orang berilmu? Seharusnya orang berilmu dihormati selamanya.  

Sudah tentu, segulung ijazah itu kelak akan menjadi tidak bermakna. Segulung ijazah bukan ada nilai di mata orang lain jika kita tidak boleh menyumbangkan apa-apa buat mereka, sekalipun hanya sekadar sekelumit kata mengandungi mutiara atau sekilas bayang contoh teladan buat mereka. Bayangkan, apa akan jadi kepada graduan agama luar negara tersebut jika disamping keengganannya menyampaikan kuliah ilmu, dia tidak pula menjejaki kaki ke masjid untuk solat berjemaah. Tidak watak seorang ustaz sebagaimana yang diharapkan oleh warga kampungnya.

Oleh itu, buat para mahasiswa yang sedang meladeni dunia kartaksis, dan buat para graduan yang sudah mula mengagak-agak lapangan kerjaya dan khidmat sosialnya, janganlah merasa hebat dengan kepulangan membawa segulung ijazah.  Janganlah menjadi seperrti sehelai daun yang jatuh dipuput angin kemudian hancur tidak berbekas. Jadilah seperti biji getah yang terpelanting dari induknya lalu menumbuhkan pula pokok getah yang menjadi induk baru. Atau setidaknya jadilah seumpama sena melayang yang membawa bersamanya benih sena baru untuk ditumbuhkan di tempat yang jauh. Jangan jadi melukut di tepian gantang. Setidak-tidaknya jadilah seperti air hujan yang menambahkan kuantiti air sedia ada.

Banyak kemahiran luar bidang pengajian yang perlu diadun agar menjadi kemahiran diri sepanjang hayat di dunia. Kalau semasa di universiti belajar agama, keluar universiti belajarlah daripada dunia luar sana ilmu dan kemahiran sama ada formal atau tidak. Belajar secara tidak formal amat mudah. Ia bermula dengan proses cuba dan gagal sebelum berhasil membina kemahiran. Alangkah baiknya jika seorang ustaz atau ustazah mempunyai pelbagai kemahiran luar bidangnya. Dia bukan sahaja pandai mengaji dan mengaarkan orang lain mengaji. Bukan sekadar pandai berceramah dan menyampaikan kuliah. Bukan sekadar tahu menjadi guru agama. Itu adalah teras yang perlu dikuasainya. Kemahiran lain adalah tambah nilai. Demikian, kalau masa di universiti bidangnya adalah bukan agama, alangkah beruntung kalau setelah keluarnya dari universiti sebagai graduan,  kemampuan dan penampilannya dalam agama menyamai, malah mengatasi sebilangan lulusan agama.


Tidak perlu pakar, cukup sekadar asas-asas, memadailah. Jika pakar, tentunya lebih baik. Ilmu tentang komputer, internet, memandu kereta dan menyelenggarakanya, pertukangan (umpamanya buat rak kasut dan almari buku), pembinaan (seperti ikat bata tambah rumah atau buat tandas), berladang dan berkebuh (seperti menoreh dan menguruskan kelapa sawit atau sawah padi), pendawaian elektrik, piping dan bermacam-macam lagi. Dalam tugas-tugas dunia penyampaian ilmu amat molek jika disertai dengan kebolehan-kebolehan luar bidang seperti bernyanyi, berlakun, bersajak, bersyair, berpantun dan mengarang karya-karya. Bagus sekali kalau sampai dapat menerbitkan buku dan karya tulisan.

Menguasai semua itu ke tahap pakar mamang di luar kemampuan kita. Namun, mengetahui asas-asas dan dapat mempraktiskan pada tahap minima adalah memadai. Orang yang dapat melaksanakan ilmunya kepada masyarakat dan dapat melangsungkan survival di saat-saat payah dan sukar hasil kemahiran yang dipelajarinya, itulah tandanya dia memanfaatkan fungsi akalnya. Kekadang, seorang pemuda kampungan yang miskin dan tidak mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi lebih berakal dari pemuda kota yang kaya mewah dan belajar sehingga ke Amerika Syarikat. Tahap ta'akulnya akan terserlah bila diuji kedua-dua mereka bagaimana menguruskan survival di saat-saat sukar. 

Semoga kita dapat menggunakan fungsi akal kita untuk terus memantapkan kebolehan dan kemahiran dalam hidup. Biarlah kebolehan dan kemahiran itu membawa guna kepada diri dan masyarakat. Sejak dewasa, bukan lagi zaman kita memahirkan diri dengan permainan yang hanya menghiburkan diri. Bukan masanya lagi main lastik, bedil bambu, atau main aci-aci. Kebolehan dan kemahiran seumpama itu tidak memberi manfaat besar buat diri dan masayarakat. Masa yang dianugerahkan Tuhan kepada kita lebih sedikit daripada yang diperlukan untuk melakukan yang terbaik buat kehidupan dunia. Apa lagi  kalau untuk agama yang dianegrahkan kita perjuangkannya.


Kuasa bukan kekal.

January 30, 2011

Memerintah terlalu lama bukanlah baik untuk seseorang pemimpin. Seorang pemimpin yang hebat pun, jika memerintah terlalu lama akan dibenci oleh rakyatnya. Jika tidak semua rakyat membencinya, sebahagian akan membencinya. Tambahan pula kalau pemimpin tersebut dibalut dengan masalah korupsi, nepotisme dan pelbagai amsalah lain. Demikianlah yang sedang berlaku kepada Hosni Mubarak. Lebih 30 tahun dia memerintah Mesir dan meneruskan legasi pemerintahan sekular Anwar Sadat dan Jamal Abdul Nasir. Mungkin pemerintahan sekular bukan masalah bagi sebahagian rakyat Mesir jika jangka masa pemerintahan seseorang presiden tidak begitu lama sebagaimana Hosni Mubarak. Dengan kata lain, mungkin rakyat terbanyak Mesir boleh menerima corak sekular itu jika presidennya tidak terlalu lama bergayut di tampuk kekuasaan.

 Hosni Mubarak, harinya akan tiba.

Kini, sudah tentu Hosni Mubarak sedang mencicipi kepahitan hari-hari akhir pemerintahannya. Seorang yang telah lama berada di atas, memang sangat takut untuk turun ke bawah. Takut atau tidak, seorang pemerintah terpaksa turun. Sama ada turun sendiri atau diturunkan. Realitinya, pemerintah yang lama berkuasa sangat berat untuk turun sendiri. Di merata belahan dunia, rakyatlah yang menghumban jatuh pemerintah sebegitu. Kudrat pemerintah bukan seberapa. Dari segi hakikat kemanusiaan, keupayaanya tidaklah berbeza dengan lain-lain rakyat. Jika tidak kerana dia dipakaikan pakaian pemerintah, harakat dirinya sama sahaja dengan rakyat marahaen.

Namun, kerana dia dipakaikan pakaian pemerintahan, tandatangannya jadi berharga. Kata-katanya diperhatikan dan dipatuhi. Justeru, saat dia sudah terhumban keluar dari gelanggang pemerintahan, tiada siapa peduli tandatangannya. Kata-katanya tidak punya nilai arahan lagi. Malah, sesetengah pemimpin, dia menjadi buruan rakyat laksana banduan yang terlepas dari penjara menjadi buruan polis.

Para pemimpin tidak harus sayang kepada jawatannya. Tanpa dia sekalipun, negara akan tetap tegak berdiri. Negara tidak ketandusan pemimpin sebab yang mencipta pemimpin sebuah negara adalah Allah SWT. Sungguh angkuh kalau seorang pemimpin itu menyangka bahawa negara masih memerlukannya sedangkan rakyat telah menolaknya. Siapa sahaja yang datang kemudian akan punya kemampuan memerintah. Pergilah Hosni Mubarak, akan datang pemimpin ganti yang dapat memerintah Mesir. Boleh jadi dia seribu kali lebih baik daripada Hosni Mubarak. Boleh jadi juga lebih buruk. Allah yang menentukan.

Demikian, sungguh sombong orang yang mendakwa hanya satu parti sahaja yang tahu memerintah negara Malaysia. Sebelum ada parti itu, tanah ibu pertiwi ini telah ada dan telah ada pemerintahnya yang bersilih ganti. Parti mana yang akan memerintah Malaysia, ia adalah berkelayakan kerana parti-parti yang ada itu adalah ciptaan Allah juga. Allah memberikan kepimpinan kepada parti mana yang Dia mahu. 


Sesunguhnya, bila datang ketentuan Allah, ia pasti berlaku!

Mesir bergolak

January 29, 2011

(Sumber gambar: Al-Jazeera.net)

Tunjuk perasaan jalanan menuntut agar Presiden Hosni Mubarak berundur dilaporkan kembali aktif pagi tadi (Sabtu). Semoga tersungkurlah presiden yang telah berkuasa lebih 3 dekad itu. Mesir perlu dibebaskan dari tangan-tangan kuku besi agar maruah umat kembali berpersada. Itu juga merupakan jalan ke arah membela rakyat Gaza yang tertindas. Semoga bangkit pembela Timur Tengah yang ampuh.Di atas runtuhan kerajaan lama, kita bina jiwa merdeka. Kita ulangi daulah Yusuf As-Siddik!

Banjir di Sandakan: Taufan yang dituai.

Hujan yang berterusan sejak beberapa hari ini, sekejap lebat dan sekejap renyai dan berhenti seketika sebelum bersambung kembali kemudiannya, telah menyebabkan berlaku banjir di beberapa tempat di kawasan Sandakan. Satu rekod selama berpuluh tahun (menurut warga lama Taman Fajar), hari ini air naik tinggi sehingga beberapa rumah di lorong 15 di masuki air separas betis kering. Mengikut lontaran pandangan seorang warga Taman Fajar, En. Oting, pertembungan antara air pasang dengan pertambahan air sungai (sebenarnya parit besar) akibat hujan lebat pada waktu kemuncak air pasang, menyebabkan pengaliran menjadi tersekat. Itu sebabnya tempoh air naik tidak lama. Sekadar tempoh air pasang.

Buat pertama kali dalam sejarah pembinaan masjid Al-Fajr ( menurut En. Suradi), air dari saliran berdekatan naik sehingga memasuki ruangan lantai bahagian bawah masjid Al-Fajr. Separuh dari lorong 6 dan lorong 7, airnya mencapai ke kawasan garaj. Sumber-sumber warga setempat membuat komentar bahawa apa yang dialami oleh warga Taman Kenari lebih malang. Air naik mencapai paras pinggang. Sehingga catatan ini dibuat, mangsa banjir kawasan Taman Fajar merungut kerana ketiadaan perhatian  segera daripada pihak kepimpinan setempat maupun DUN dan Parlimen. Lawatan simpati sekalipun belum dilakukan.
Beberapa kawasan di Sandakan juga mengalami banjir kilat. Ada jalan terputus hubungan. Jalan Sibuga-Batu Sapi yang mempunyai 2 lorong, salah satunya ditutup kepada lalu lintas berikutan kenaikan air di kawasan paya berdekatan. Dengar khabar dari seorang sahabat, air naik di kawasan batu 1 1/2  berikutan saliran di BDC yang tidak lancar.

Sesungguhnya banjir di Sandakan bukan satu fenomena biasa. Sandakan adalah bandar pinggir pantai. Bandar-bandar baru yang muncul berceretek sekitar bandar Sandakan sepatutnya dapat menghantarkan simbahan air hujan dengan segera ke laut. Namun, itu tidak berlaku. Air hujan seperti bergerak perlahan dan tersumbat. Satu kajian perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti kesan pembangunan drastik yang berlaku ke atas alam sekitar.  Pertumbuhan kawasan penempatan di kawasan Sandakan dilihat mengabaikan pemiliharaan suasana natural'nya. Banyak kawasan hutan telah ditebang dan bukit-bukit ditarah. Penduduk Sandakan dapat merasakan pertambahan kepanasan berikutan kurangnya  kawasan yang punya 'density' hutan. yang memberikan kesan penyejukan.

Penjenamaan Sandakan sebagai Bandaraya Semulajadi beberapa tahun yang lalu hanyalah satu 'escapism' daripada kegagalan mendapat taraf bandaraya penuh. Sebenarnya, itu cuma sebuah retorik kerana untuk dinamakan bandaraya semulajadi pun Sandakan tidak layak. Banyak nilai semulajadinya telah dan sedang dirobek demi keuntungan sebahagian orang. 

Tentunya kita tidak bermaksud bahawa Sandakan perlu menjadi bandaraya dalam hutan untuk menyesuaikan dengan nama Bandaraya Semulajadinya itu. Bukan juga kita mahu bersikap 'anti establishment' yang menolak peluang-peluang pembangunan yang melengkapkan lagi prasarana di Sandakan. Namun, pembangunan di Sandakan kelihatan amat serakah. Dari bandar Sandakan, keserakahan itu melebar sehingga ke kawasan sejauh batu 12.  Dewasa ini, satu projek mega sedang berjalan di kawasan Sg. Batang batu 10. Projek yang mensasarkan terwujudnya sebuah kawasan yang menjadi Hub Pendidikan di masa akan datang. Kedengarannya amat memberangsangkan. Namun, kita belum tahu sejauh mana ia diselarikan dengan pelestarian nilai-nilai alam sekitar. Apa yang jelas, di musim hujan begini, air di kawsaan jalan Sungai Batang naik  dan memutuskan hubungan di beberapa tempat.

Seorang yang pernah tinggal di Kuala Lumpur akan merasakan bahawa pembangunan di Kuala Lumpur lebih menghargai alam sekitar berbanding di Sandakan. Di Kuala Lumpur, ada beberapa kawasan di dada kotarayanya masih ada hutan kecil. Taman-taman juga dibangunkan dengan pepohonan yang menyejukkan. Warga Kuala Lumpur, sekurang-kurang masih punya tempat untuk bersantai di hujung minggu  tanpa perlu pergi jauh. 

Aku percaya, kenaikan air banjir kilat kali ini ada hubungkait dengan keserakahan pembangunan yang berlaku. Serakah yang tidak disertai dengan kajian yang menyelesaikan masalah yang mungkin timbul, itulah yang menjadi masalah. Tanah digunakan semaksimanya. Terasa sayang kalau tanah digunakan untuk pembesaran parit. Yang sekangkang kera pun, kalau boleh mahu diselitkan beberapa lot rumah.

Sekarang, kita sedang menikmati apa yang diusahakan para peneraju "establishment" itu. Bak kata pepatah:" "Siapa yang menyemai badai, dia akan menuai taufan". Malangnya, rakyat marhaen yang menyemai harapan, mereka hanya dapat menuai keterkilanan.

Allah yang menjatuhkannya.

Bukan kuasa rakyat yang menumbangkan pemerintahan kuku besi selama 23 tahun presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali. Ia adalah kuasa Allah SWT yang mengangkat dan menjatuhkan sesiapa yang Dia kehendaki. Memang selayaknya presiden itu dijatuhkan kerana Allah SWT telah memberinya peluang labih 20 tahun untuk membuktikan keadilan dan kesaksamaan memerintah rakyatnya. Namun, dia menjadikan jawatannya sebagai landasan buatnya dan keluarganya untuk hidup mewah. Sedangkan, rakyat Tunisia hidup dalam kesempitan. Isterinya Leila Ben Ali dikatakan hidup mewah dengan meledeni nafsu membeli belah di luar negara. Dia dilebelkan seperti Imelda Marcos dari Filipina satu ketika dulu.


Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan isterinya Leila Ben Ali

Kejadian yang berlaku di Tunisia ini sebenarnya bermula dari kisah seorang pemuda bernama Mohamed Bouzizi dari pekan Sidi Bouzid, Tunisia. Pemuda tersebut adalah antara sekian ramai pemuda Tunisia yang menjadi mangsa kerajaan korup pimpinan presiden Ben Ali. Untuk menampung kehidupannya dan keluarganya, dia berniaga di tepi jalan. Dia berhutang untuk membeli sebuah gerai bergerak untuk menjual barangannya. Malangnya, sebaik sahaja beliau memulakan perniagaannya, pihak berkuasa merampas barang-barang perniagaannya termasuklah gerainya dengan alasan berniaga tanpa permit. Namun, menurut sumber tertentu, perniagaan jalanan adalah dilarang di Tunisia dan kerana itu Mohamed Bouzizi gagal mendapatkan permit. Walau bagaimanapun, ada juga yang menafikan keperluan permit untuk perniagaan jalanan.

Mohamed Bouzizi
(pembakar api kebangkitan rakyat Tunisia)

Menyita gerainya tidaklah lebih berat daripada tindakan penguatkuasa perbandaran yang telah memalukannya di depan orang ramai. Seorang pegawai wanita bernama F. Hamdi, 43 ,  yang mengetuai operasi tersebut telah  menamparnya dan  memukulnya dengan belantan. Kemudian gerainya diterbalikkan hingga buah-buahan dan sayuran yang dijualnya jatuh bersepah. Sementara dua orang bawahan pegawai wanita itu membelasahnya. Mohamed Bouzizi juga pernah menyaksikan pegawai wanita itu membelasah almarhum bapanya satu masa dulu ketika berniaga. Dibelasah oleh seorang wanita adalah satu penghinaan, terutama dalam kebudayaan Arab.

Mohamed Bouzizi yang marah dan terhina dengan tindakan kasar pegawai wanita tersebut telah pergi ke pejabat gabenor Sidi Bouzid. Namun, dia tidak dilayan. Dengan marah dia mengancam di depan pejabat gabenor untuk membakar dirinya jika tidak dilayan. Ancaman tidak diendahlan. Lalu dia menuangkan minya petrol ke atas tubuhnya dan menyalakan api yang membakar dirinya. Akibatnya, dia terbakar dan melecur. Namun tindakannya itu menarik perhatian ramai. Dia telah dibawa ke hospital dan peristiwa itu telah menarik perhatian orang ramai. Semasa di hospital, presiden Zine El Abidine Ben Ali sediri datang melawatnya. Lapan hari selepas kejadian itu, iaitu 4 Januari 2011, dia pun meninggal.

Kematiannya mendapat simpati ramai orang. Pada hari pengebumiannya, kira-kira 5 ribu orang berarak mengiringi jenazahnya dari pekan Sidi Bouzid sehingga ke kampungnya. Mereka melaungkan kata-kata bahawa kematian akan dituntut balas. Pihak kerajaan yang melihat perhatian rakyat terhadap isu Mohamed Bouzizi ini telah bertindak memecat pegawai wanita yang menampar Mohamed Bouzizi itu dan tidak lagi tinggal di Sidi Bouzizi. Ada juga khabar mengatakan dengan arahan presiden Tunisia, dia dipenjara di sebuah pekan yang tidak diketahui.

Selepas itu, bermula di Sidi Bouzid, tunjuk perasaan meletus. Tindakan polis yang cuba memadamkan tunjuk perasaan tersebut hanya seperti mencurah minyak petrol ke dalam api. Ia mengundang semakin ramai simpatisan. Dalam beberapa minggu berikutnya ia mula meletus di seluruh Tunisia. Ia menjadi tunjuk perasaan menentang kerajaan presiden Tunisia,  Zine El Abidine Ben Ali. Isu-isu ekonomi dan politik  sedia ada menambahkan kemarahan rakyat. 

Akhirnya, presiden Tunisia bersama keluarganya lari meninggalkan Tunisia dengan penerbangan peribadi menuju ke Perancis. Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy enggan menerima kehadiran presiden dan keluarganya itu. Lalu, penerbangan itu terpaksa melencong ke Arab Saudi, di mana pemerintah Arab Saudi sanggup menerimanya dan memberi suaka politik kepadanya.

Pemerintahan yang dijatuhkan Tuhan. Kebangkitan rakyat adalah sebabnya. Bermula di Tunisia, kita akan menyaksikan tersungkurnya satu demi pemerintah negara ummat Islam yang menjadi lumut kotor penghalang kebangkitan Islam. Allah akan menggantikan mereka dengan pemimpin yang lain. Semoga fajar kebangkitan Islam akan menyerlah di sebalik semua kejadian ini.

Kita mengharapkan Mesir akan mendapat tempiasannya. Sememangnya di sana sudah ada puputan angin kebangkitan rakyat. Berita-berita terakhir ini memperlihatkan negara Mesir  juga bakal menghadapi kebangkitan rakyat. Presiden Hosni Mubarak telah terlalu lama berteleku di atas kerusi pemerintahan tanpa berbuat banyak untuk rakyat. Padahal, dengan negeri Mesir yang diistilahkan Al-Quran sebagai "Khazainul Ard" dan jumlah penduduknya yang menjangkau 80 juta orang, sepatutnya ia menjadi kuasa Arab yang menggerunkan negara kafir. Tapi, ternyata dia lebih rela menjadi anjing suruhan Amerika Syarikat.

Khabarnya Hosni Mubarak telah memecat semua menteri kerajaannya dan berjanji akan menubuhkan kerajaan baru. Seramai 27 orang telah terbunuh sehingga catatan ini dibuat kerana bangkit melawan pemerintahannya. Selama ini pun, entah berapa ramai pejuang dan tokoh ikhwanul muslimin yang telah ditangkap, dipenjara, dihilangkan tak berkubur dan dibunuh. Sesungguhnya, masalahnya bukan pada menteri-menterinya, tetapi pada dirinya. Gantikan menteri kerajaan dan kerajaan bertukar 100 kali sekalipun, jika dia masih tercongok atas kerusi presiden, begitulah keadaannya. Kebangkitan rakyat tidak harus diredakan dengan perubahan artificial seperti itu.

Banyak lagi penyingkiran ketua negara di rantau Arab yang  kita nantikan. Algeria, Libya, Mesir, Syria, Jordan, Arab Saudi, Yaman, Oman dan Kuwait adalah negara yang di kerusi pemerintahnya  bertenggek melekat si siput sedut. Setelah itu, penggantian penguasa-penguasa di negara umat Islam seantero dunia akan berlaku.


Ia pasti berlaku kerana setiap yang tegak pasti rebah. Setiap yang di atas, akan ke bawah. Apabila datang kebenaran, kebatilan akan tersingkir.

Allahummasra'...

Peluh menyembuhkan katarak

January 28, 2011



Firman Allah SWT:

اذْهَبُواْ بِقَمِيصِي هَـَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىَ وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيراً

Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkanlah dia kewajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali…”.

(Surah Yusuf: Ayat 93)

Ketika ayat di atas dibincangkan dalam Daurah Al-Quran beberapa malam lepas, aku telah membaca satu penemuan yang telah dibuat oleh seorang saintis dari negara Mesir bernama Dr Abdul Basit Sayed Mohammed mengenai rahsia di sebalik suruhan nabi Yusuf agar bajunya dibawa kepada ayahnya nabi Ya’kob yang mengalami kegagalan fungsi penglihatan. Nabi Yaakob, sebagaimana telah diceritakan dalam Al-Quran menerusi surah Yusuf, telah menjadi putih kedua biji matanya lantaran sedih atas kehilangan nabi Yusuf dan kemudian disusuli dengan penahanan anaknya Bunyamin. Al-Quran tidak mengatakan bahawa nabi Yaakob buta kerana buta adalah satu kecacatan. Para nabi-nabi adalah bersifat ma’sum yang bermaksud bersih daripada dosa dan selamat daripada kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Buta mata merupakan satu kecacatan yang menjatuhkan martabat kenabian. Justeru, nabi Yaakob bukan buta. Dalam bahasa kedoktoran optik, ia disebut sebagai katarak (Cataract). 


Menurut ensiklopedia versi maya Wikipedia, katarak ialah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lewat, atau tidak dirawat. Masalah katarak berbeza dengan masalah mata yang disebut  glaukoma. 


Berbeza dengan katarak, glaukoma merupakan sejenis kerosakan mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlalu tinggi di dalam bebola mata. Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan sekitar seseorang itu menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.


Menurut  Dr Abdul Basit Sayed Mohammed, tanpa menafikan sisi mukjizat dari kisah baju nabi Yusuf memulihkan mata ayahnya,dia percaya terdapat unsur saintifik yang mendorong penyembuhan mata ayahnya itu. Itulah yang mendorongnya membuat kajian. Akhirnya, beliau menemui satu rahsia bahawa peluh dapat menyembuhkan katarak pada mata. Beliau berpendapat bahawa pada baju nabi Yusuf itu terdapat peluh. Peluh itu unsur yang bernilai saintifik yang boleh disandarkan sebagai ramuan penyembuhan masalah katarak mata nabi Yaakob. 


Hasilnya, beliau telah mencipta ubat titis katarak mata  daripada peluh dan kini hasil kajiannya itu telah mendapat paten antarabangsa.


Subhanallah!, sesungguhnya Al-Quran itu sangat kaya dengan rahsia yang belum dan tak akan pernah habis diteroka manusia.

Akal lelaki itu peti akal perempuan itu jala

January 18, 2011

Apa dah jadi?

January 17, 2011

Suara dari menara masjid

January 15, 2011

 
 
Di kampungku, setiap pagi jumuat akan kedengaran suara mengaji dari pembesar suara. Kadang-kadang, baru sahaja aku pulang dari solat Subuh dan duduk berehat di ruang tamu rumahku sambil minum kopi kampung bikinan ibu dan menyelak lembaran kitab dari simpanan kutubkhanahku, suara mengaji telah kedengaran. Dari suara mengaji berlagu oleh Mutawali, Al-Basit dan Dato' Ismail Hasyim hinggalah bacaan tartil oleh Sudaisi, Ghamidi, dan sebagainya. Kadang-kadang kedengaran juga suara ceramah oleh penceramah-penceramah agama yang pelbagai. Tempoh pemasangan kaset memperdengarkan suara-suara mengaji dan ceramah itu berlanjutan sehingga kadang-kadang hari sudah meninggi. Pendeknya, sepagi jumuat itu, riuh rendahlah suara mengaji dan ceramah dari corong pembesar suara di masjid.

Setiap pagi, sebelum subuh pula di pasang munajat Tarahim. Dulu, masa al-marhum Tok Wan Ali masih ada, dia datang awal dan mengaji sejam sebelum Subuh sebelum diakhiri dengan  munajat Tarahim dari kaset. Rumahku dekat dengan masjid. Dalam bahasa orang tua-tua, hanya sepelaungan dari masjid. Suara dari pembesar suara itu sudah menjadi kebiasaan kepada keluargaku. Cuma, kekadang ia menjadi gangguan apabila pada pagi Jumuat  jika ada tetamu yang datang ke rumah dan  berbual. Terkejut awal dini dengan suara mengaji dari masjid  mungkin membolehkan kita bangun solat tahajjud. Namun, suara dari pembesar suara yang berterusan itu menyebabkan lazat munajat di pagi dini tidak seberapa. Bagi kanak-kanak atau bayi yang payah ditidurkan, tentulah menyebabkan ibunya mengomel.

Ketika isu bantahan sesetengah individu dalam masyarakat Islam mengenai laungan azan di masjid, satu persoalan yang perlu diselidiki ialah apakah yang menyebabkan mereka terganggu. Apakah suara azan atau suara mengaji, kuliah dan tarahim subuh yang dipasang pada pembesar suara itu ditafsirkan sebagai azan? Umum di serata dunia, suara azan dikumandangkan. Jika suara-suara itu terbit dari  menara sebuah masjid di tengah kampung Melayu yang beragama Islam, tentunya masyarakatnya mampu diamkan sahaja. Namun, jika ia berada di kawasan yang majmuk, ditambah pula masyarakat kelas menengah atau elit, sudah tentu tanggapan dan sikap masyarakat berbeza. Bukan sahaja dari kalangan bukan Islam, malah daripada yang beragama Islam sendiri. Kebanyakan mereka bukan jenis manusia yang hanya menerima sahaja sebelum dihujahkan kewajaran sekalipun hal-hal berkaitan agama.

Suara-suara sampingan selain azan dari pembesar suara di menara masjid sememangnya menimbulkan gangguan kepada masyarakat sekeliling. Aku ingin sekali memberi teguran kepada pihak pengurusan masjid di kampungku agar meninggalkan kebiasaan memasangkan suara mengaji, ceramah maupun tarahim dari pembesar suara masjid. Secara tersirat, aku memberitahu kepada siak masjid di kampungku bahawa jika dipasangkan suara-suara mengaji dari corong pembesar suara masjid sedangkan orang-orang sekeliling tidak mendengar malah berbual sahaja, yang menanggung dosa tidak mendengar Al-Quran itu adalah orang yang memasang bacaan Al- Quran itu. Mungkin pada sangkaannya memasang suara mengaji Al-Quran adalah amalan mulia dan mendapat pahala. Namun, jika orang tak bersedia mendengar, itu sebenarnya mengundang dosa.

Bukankah Alllah telah berfirman:


وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan apabila dibacakan Al Quran, Maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.
(Surah Al-A’raf: Ayat 204)

Orang mahu bersembang, kita pasang Al-Quran. Mereka terus bersembang kerana perlu bersembang. Kepada siapa harus dipikulkan kesalahan pelanggaran hukum tersebut?

Dalam satu majlis kenduri kahwin, pembesar suara dipasangkan dan di kendalikan oleh seorang 'lebai 'di kampung. Sesuai dengan "lebainya", dia hanya memasang bacaan mengaji Al- Quran sahaja sepanjang acara majlis kahwin tersebut. Dalam kesibukan orang-orang kampung melakukan kerja gotong royong kenduri kahwin,  suara mengaji Quran berkumandang. Mereka tak beri perhatian pun kerana mereka sedang sibuk. Tetamu yang datang dan bejumpa satu sama lain pula berbual rancak. Aku pernah katakan kepada seorang sahabatku yang selalu dijemput menjadi juruhebah majlis kenduri kahwin ini bahawa lebih baik pasang lagu-lagu nasheed berbanding mengaji Al-Quran. Jangan disangka baik sesuatu amalan itu jika keadaan dan situasinya tidak sesuai.

Maka, perlu dicermati isu azan yang meletus sekarang ini. Apakah azan yang menimbulkan masalah ataupun bacaan selain azan.  Bacaan selain azan tidak ada keperluan dikumandangkan. Masjid tak perlu kumandangkan suara kuliah ke luar masjid. Suara kuliah di masjid cukup sekadar dalam masjid. Masyarakat sekitar tidak perlu didengarkan dengan kuliah itu. Jangan disangka bahawa memperdengarkan isi kuliah itu kepada mereka adalah wahana dakwah. Kalau mahu berdakwah, pergi kepada mereka dan ajak mereka ke masjid. Bukan memperdengarkan kuliah kepada mereka daripada corong pembesar suara masjid. Di luar masjid, ada pelbagai manusia dengan pelbagai keperluan.

Masjid adalah tempat beribadat. Solat, belajar, berdiskusi, bermesyuarat dan sebagainya. Namun, masjid bukan peti suara yang melantunkan suara ke angkasa. Selain azan, apakah rasionalnya suara-suara dikumandangkan di corong pembesar suara menara masjid? Jika itu dilakukan, wajar masyarakat bukan Islam membantah, malah oleh masyarakat Islam sekalipun.

Menegakkan ketauhidan tidak mudah.

January 13, 2011

Nabi Yusuf menerangkan kepada dua sahabat banduan dalam penjara bahawa ikutannya adalah kepada millah moyangnya nabi Ibrahim A.S, datuknya nabi Ishak A.S dan bapanya nabi Yaakob A.S. Millah mereka adalah millah yang menjauhkan daripada kesyirikan dan hanya kepada Allah mereka mentauhidkan. Sesungguhnya, keberadaan nabi Yusuf di atas garisan yang pernah dilalui moyangnya nabi Ibrahim itu merupakan satu kelebihan anugerah Allah kepadanya. Tidak ramai yang mengikuti jalan tersebut. Kebanyakan manusia adalah adalah mereka yang tidak bersyukur.

 Nabi Yusuf selanjutnya berhujah kepada dua sahabat banduannya itu tentang kepincangan agama yang dipegang oleh mereka yang menyembah pelbagai Tuhan. Adalah satu yang menghairankan bagi golongan kafir untuk menjadikan Tuhan itu satu sebagaimana yang pernah diucapkan oleh golongan kafir Makkah apabila nabi Muhammad saw mengajak mereka kepada ketauhidan. Ini sebagaimana yang dinyatakan Allah SWT dalam firmannya:



أجعل الآلهة إلها واحدا إن هذا لشيء عجاب
“Adakah dia (Muhammad) mahu menjadikan Tuhan hanya satu? Sesungguhnya ini adalah satu yang ganjil”.
(Surah Sood: Ayat 5)

Ketika mentafsirkan ayat ini para Mufassirun menyebutkan:


لما أسلم  عمر بن الخطاب  شق ذلك على قريش  وفرح المؤمنون . قال الوليد بن المغيرة  للملأ من قريش   - وهم الصناديد والأشراف - : امشوا إلى أبي طالب .  فأتوه ، فقالوا له : أنت شيخنا وكبيرنا قد علمت ما فعل هؤلاء السفهاء ، وإنا أتيناك لتقضي بيننا وبين ابن أخيك . فأرسل أبو طالب  إلى النبي - صلى الله عليه وسلم -  [ ص: 191 ] فدعاه ، فقال [ له ] : يا ابن أخي ، هؤلاء قومك يسألونك ذا السواء ، فلا تمل كل الميل على قومك . فقال : " وماذا يسألوني ؟ " قالوا : ارفضنا وارفض ذكر آلهتنا ، وندعك وإلهك ، فقال النبي - صلى الله عليه وسلم - : " أتعطوني كلمة واحدة تملكون بها العرب وتدين لكم بها العجم ؟ " فقال أبو جهل   : لله أبوك ، لنعطينكها وعشر أمثالها ، فقال النبي - صلى الله عليه وسلم - : " قولوا لا إله إلا الله " . فنفروا من ذلك ، وقاموا ، فقالوا : أجعل الآلهة إلها واحدا كيف يسع الخلق كلهم إله واحد
Ketika Umar Al-Khattab masuk Islam,orang-orang Quraisy merasa sempit dada sedangkan orang-orang beriman merasa gembira. Lalu Al-Walid bin Mughirah berkata kepada pembesar-pembesar Quraisy yang terdiri daripada orang-orang kaya dan bangsawannya: “Pergilah mengadu kepada Abu Talib”.Lalu mereka pun mendatangi  Abu Talib dan berkata kepadanya: “ Wahai Abu Talib, kamu adalah pemimpin kami dan orang yang tua di kalangan kami. Sesungguhnya kamu pun tahu apa yang dibuat oleh orang-orang bodoh itu (kaum muslimin). Kami datang kepadamu supaya kamu menyelesaikan masalah yang berlaku antara kami dan anak saudaramu”. Abu Talib telah menjemput nabi Muhammad SAW supaya datang bertemunya dan dia bertanya kepada nabi SAW:” Wahai anak saudaraku, kaummu itu meminta keadilan, maka janganlah berlebih-lebih sangat terhadap mereka”. Nabi SAW bertanya: “apakah yang mereka minta daripadaku?”. Mereka berkata:” Jangan ganggu kami dan jangan ganggu Tuhan kami, kami pun tidak akan ganggu kamu dan Tuhanmu”. Maka jawab nabi SAW:” Adakah kamu mahu memberikan aku satu kalimah sahaja yang mana dengannya kami akan memerintah bangsa Arab dan dipatuhi bangsa Ajam?”, Maka Abu Jahal berkata: “ Demi Allah dan demi bapamu, kami akan berikan kamu dan  sepuluh kali ganda daripada apa yang kamu minta”. Maka jawab nabi SAW:”Katakanlah Lailahaillalah”. Lalu mereka enggan mengatakannya dan bangun berlalu sambil mengomel: “Adakah patut Muhammad menjadikan Tuhan hanya satu? Bagaimana satu Tuhan akan mentadbir makhluk seluruhnya?”.
Kepelbagaian nama-nama Tuhan yang disembah oleh orang-orang kafir itu hanya rekayasa nenek moyang yang kemudiannya dipanut oleh anak cucu secara membuta tuli.  Bertaqlid kepada nenek moyang menjadikan mereka sesat dan Allah mengutuskan para nabi untuk mencabut keluar ikutan membuta tuli terhadap nenek moyang ini. Islam menggesa supaya digunakan akal untuk berfikir dan mencari hujah dan dalil.

Dengan sebab hilang fungsi akal, manusia kafir mempercaya wujudnya banyak Tuhan. Tuhan-tuhan sembahan mereka wujud dalam bentuk "syuraka" yang berkongsi sandaran keyakinan mereka. Meyakini ada sesuatu yang mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan selain Allah SWT adalah perbuatan syirik. Ia seolah-olah menyembah perkara tersebut miski secara fizikal ia tidak disembah.  Mereka yang percaya kepada tangkal azimat, pelaris, pengasih,susuk dan sebagainya yang diyakini sebagai sekutu dalam kuasa memberi manfaat dan menolak mudarat selain Allah adalah musyrikin sekalipun secara lahiriah mereka muslim dan menyembah Allah SWT.

Sebab itu, setiap yang bernama muslim jangan rasa selesa dengan keislamannya. Kalimah tauhid yang dituntut oleh nabi SAW itu tentu punya efek besar sehingga kafir Quraisy itu enggan mengucapkannya. Mengucap secara gambalang sedang diri terus bergelumang kesyirikan tidak ada gunanya. Kafir Quraisy mengerti makna mengucapkan kalimah tauhid lalu enggan mengucapkannya.

Hari Natal bukan hari kelahiran nabi Isa

January 1, 2011