(Sentuhan isu peguam syar'i bukan Islam)
Ada dua jalan, imma syakur...imma kafur.
(Ini bukan dualisme)
Kita sering tertipu dengan konsep dualisme ini. Orang yang menolak sekularisme, kekadang menelan dualisme dan memperjuangkannya pula.Oleh itu, persoalan dualisme ini perlu dicermati.
Di Malaysia, ada dua aliran pendidikan. Pendidikan kebangsaan dan pendidikan agama. Anda dikenali daripada dua aliran ini. Sama ada anda aliran agama atau aliran kebangsaan. Jika anda aliran agama, anda dipanggil ustaz, biarpun miskin ilmu agama dan miskin amal agama. Jika anda aliran kebangsaan, anda tidak akan dipanggil ustaz biapun anda kaya ilmu agama dan kaya amal agama. Inilah mindset kebanyakan anggota masyarakat. Padahal, berapa banyak lulusan aliran agama tidak membawa wajah agama. Sesetengahnya dipanggil ustaz, tetapi tidak membawa ciri-ciri keustazan yang terbina dalam mindset masyarakat. Ironinya, ramai pula yang dikatakan lulusan kebangsaan, berjaya menampilkan wajah agama dalam kehidupan mereka. Biarpun mereka tidak dipanggil ustaz, mereka memiliki ciri-ciri ustaz. Malah, jika kita lihat dewasa ini secara nisbi, yang berjuang dalam gerakan Islam dan menjadi pimpinannya, tidak ramai dari kalangan ustaz. Sesetengah pertubuhan Islam, pemimpinnya adalah seorang yang bukan lulusan agama tetapi semangat, fikrah dan perjuangannya, masya Allah, melebihi apa yang ada pada kebanyakan ustaz yang lulus daripada fakulti pengajian Islam di Malaysia, pulang daripada Mesir, Jordan, Madinah, Ummul Qura dan sebagainya.
Siapa kalangan ustaz yang datang daripada lulusan agama berani mengatakan bahawa dia lebih faham Islam daripada Sayyid Qutb rahimahullah seorang lulusan kejuruteraan yang pernah memimipin Ikhwanul Muslimin?
Sebab itu, aku ingin menolak fahaman dualisme dalam pendidikan. Bidang apapun yang kita pelajari, ia tidak membawa erti apa-apa kalau ilmu yang diperolehi itu gagal diperhambakan untuk agama. Ilmu adalah satu, manusia yang memecahkanya untuk mudah dipelajari. Bersama dengan pemecahan itu, jangalah pula dipisah-pisahkan kerana ilmu, bila dipisahkan, muncullah sekularisme dalam ilmu!
Dalam sistem perekonomian, juga ada dualisme. Jika anda ke bank, anda boleh pilih mahu menggunakan sistem Islam atau konvensional. Satu bank, di kaunter yang sama menawarkan dua sistem perekonomian untuk kita pilih.
Dalam sistem perundangan, ada dua sistem. Islam dan Common Law. Maka lahirnya dua jenis mahkamah. Mahkamah syariah dan mahkamah sivil.
Dalam sistem sosial, kita didedahkan dengan konsep dualisme dalam pelbagai juzuknya. Dalam sebuah bandar, ada pusat maksiat dan ada pusat ibadat. Ada tempat perjudian ,ada tempat pengajian. Di pasaraya hatta kedai-kedai runcit, dijual minuma halal pembasah tekak, ada pula arak tersusun di rak. Persembahan nyanyian diadakan buat menghibur orang ramai. Ada nasheed ada pula dangdut inul gelek gerudi.
Malaysia mengamalkan dualisme. Kononnya, rakyat dibiarkan memilih. Para pendokong syaitan boleh membuat kempen menyeru rakyat agar memilih sisinya. Manakala para pendokong Allah menyeru rakyat agar memilih sisinya. Tapi...dalam banyak keadaan, pendokong syaitan itu mendapat ruang dan dokongan untuk menjalankan kempennya. TV dan media massa milik kerajaan menjadi agen yang mewar-warkan bahagian dan sisi syaitan. Manakala bahagian dan sisi Allah, dinafikan atau diminimakan.
Berbicara mengenai dualisme ini, aku ingin mengaitkan dengan satu isu yang berkaitan dengan perundangan iaitu cadangan agar peguam bukan Islam boleh menjadi peguam syar'i.
Hanya ada satu keadilan.
Beberapa pihak, termasuk kalangan peguam syar'i nampaknya melenting marah dengan cadangan ini. Cadangan ini dilihat sebagai satu cadangan yang mencabar hak dan prerogatif para peguam muslim. Tanpa sedar, pihak yang melenting dengan cadangan membenarkan peguam bukan Islam menjadi peguam syar'i ini telah terpengaruh dengan dualisme perundangan, secara khusus dualisme mahkamah. Lebih khusus lagi, dualisme guaman.
Islam hanya menerima satu sistem mahkamah sahaja. Inilah idealisme hukum dan perundangan dalam Islam. Permainan musuh telah menyebabkan lahirnya dua sistem mahkamah disusuli pula dengan dualisme dalam segala aspek yang berkaitan dengan kedua-duanya.
Oleh kerana Islam hanya menerima satu sistem mahkamah bagi menjamin keadilan rakyat dalam sebuah negara, maka tidak boleh kita menghalang orang bukan Islam untuk menjadi peguam dalam mahkamah. Masakan orang Islam yang membawa kesnya ke mahkamah mahu melantik peguam Islam? Sudah tentu mereka akan memilih peguam yang paling mereka percaya. Tugas peguam adalah menghujah dan penghujahan tidak tertambat dengan agama. Orang bukan Islam boleh berhujah sebagaimana orang Islam juga.
Cuba lihat bahasa yang Allah gunakan ketika mengungkapkan:
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
"Dan saling berhujjahlah dengan mereka dengan cara yang baik"
(Surah An-Nahlu: Ayat 125)
Perkataan "جادل" membawa konotasi penglibatan kedua-dua pihak dalam penghujahan. Ia tidak akan berlaku dari sebelah pihak sahaja maka satu pihak lagi cuma mendengar. Islam adil dalam hal dakwah yang berperanan menyampaikan mesej Islam, apatah lagi dalam soal keadilan menjadi kewajipan untuk ditegakkan.
Untuk melarang orang bukan Islam menjadi peguam syar'i, apakah dalilnya? Sebelum menyatakan dalil melarang orang bukan Islam menjadi peguam syar'i, ada baiknya dicari dalil bahawa ada peguam syar'i dan ada yang bukan syar'i.
Dalil-dalil yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam berhujah sebagai peguam (bukan atas nama profesion), ada berlaku di zaman Rasulullah dan Salafus Soleh. Maka, apa hujah yang boleh digunakan untuk mensyaratkan Islam untuk menjadi peguam.
Bukan menjadi peguam sivil. Cuma dilarang menjadi peguam syar'i. Mungkin itu yang akan dikata mereka yang melarang keterlibatan bukan Islam sebagai peguam syar'i.
Maaf...aku tidak mahu menerima dualisme. Dualisme adalah najis sekularisme. Aku sedang berusaha membersihkan pemikiranku dari dualisme yang banyak menghantui kehidupanku. Semoga Allah membantuku mengenal antara kerlipan bintang daripada kerdipan mata ular berbisa.
0 comments:
Post a Comment