Beberapa hari lalu, printerku berjenama Canon ip1800 mengalami masalah ketika mahu digunakan. Hasil yang keluar pada cetakkan kertas kelihatan terputus-putus. Aku telah banyak mencetak bahan dengan printer tersebut. Mungkin sudah beribu helai. Sejak teknologi modified printer dengan menjadikan dakwat diisikan dalam bekas di luar printer, ramai orang mencetak kertas tanpa terfikir masalah dakwat akan habis lagi. Paras dakwat dapat dilihat dan boleh ditambah pada bila-bila masa sahaja.
Aku hantarkan printerku ke sebuah kedai menjual alatan komputer dan servis peralatan komputer yang nama sudah popular di kalangan penduduk Sandakan iaitu Digital Wise. Setelah beberapa hari, hari ini, juruteknik yang ditugaskan membaiki masalah printerku itu menalifonklu dan mengatakan black cartridge sudah rosak dan perlu diganti baru. Aku suruh dia ganti sahaja. Harganya, menurutnya RM75 termasuk service charge. Aku setuju sahaja kerana padaku hasil yang dapat aku perolehi daripada printer itu kelak nilainya melebihi jumlah tersebut.
Petang ini, aku setelah habis tugas rutinku di sekolah, aku mengunjungi kedai tersebut untuk mendapatkan semula printerku. Setelah diuji dan aku berpuas hati dengan hasil cetakannya, aku mahu menjelaskan bayaran di kaunter. Pekerja kaunter bayaran mengambil resit yang ditampalkan di atas printer tersebut dan membuat keep in data kos perkhidmatan.
"RM15.00", kata pekerja kauter itu.
"Berapa?", aku terkejut dan bertanya semula.
Pekerja kaunter itu mengulangi sebutan kos tersebut. Terdetak dalam hati kecilku untuk bersetuju sahaja. Aku telah melihat resit yang ditampal atas printer itu sebelumnya. Angka 75 yang ditulis seperti 15 sahaja. Tak hairanlah kalau pekerja kaunter itu boleh tersilap baca.
Aku teringat bahawa printerku ini akan aku print banyak bahan ilmiah. Aku akan print juga tugasan yang berkaitan kerjaku sebagai guru. Tentunya semua itu menuntut keberkatan. Bagaimana hendak berkat kalau harga sebenar pembaikannya ialah RM75 tetapi disebabkan khilaf pandangan mata pekerja kaunter itu aku hanya perlu membayar RM15?
Aku menolak bisikan yang mengajak aku bersetuju sahaja harga yang disebutkan penjaga kaunter. Memang menguntungkan kalau aku hanya perlu membayar RM15. Aku dapat jimat RM55. Itulah congakan keuntungan berdasarkan matematik. Namun, congakan keuntungan berdasarkan nilai keberkatan tidak mengikut jalan congakan matematik. Lalu...
"Tadi saya dihubungi dan dinyatakan kos semua adalah RM75", akhirnya aku memaklumkan.
Biarpun aku memaklumkan begitu, dia mengatakan harganya tetap RM15. Aku suruh dia hubungi juruteknik yang sedang di tingkat atas bertanyakan harga sebenar. Kawannya menghubungi dan setelah mendapat pengesahan jurutekniknya, barulah dia bersetuju bahawa harganya adalah RM75. Resit bayaran untuk harga tersebut pun dikeluarkan.
Aku bukan menulis hal ini untuk mengatakan aku seorang yang jujur. Tetapi sekadar renungan tentang apa yang aku fikirkan. Aku berhadapan dengan dua pilihan saat itu. Mahu keuntungan harga atau mahu keberkatan penggunaan. Aku memilih keberkatan penggunaan kerana aku yakin di sana faedahnya besar dan lebar. Dari printer yang diberkati, aku akan mencetak lembaran bahan ilmiah. Aku akan membacanya dan menambahkan ilmu di dada. Ilmu menjadi berkat. Aku akan mencetak bahan-bahan berkaitan kerjaku seperti laporan, kertas soalan ujian dan peperiksaan dan sebagainya, lalu aku menyempurnakan tugasku dan cukup bulan mendapat gaji. Gaji menjadi berkat. Gaji itu perlu diberkati daripada pelbagai aspek termasuk printer yang mempermudahkan kerja bergaji itu.
Semoga Allah menjadikan kita muslim yang amanah dalam meniti jambatan hidup. Pamrih duniawi tak kekal tetapi kebaikan ukhrawi itulah yang kekal. Marilah kita bermujahadah melawan hawa yang mengajak kita mencicip lumut dunia dengan lahap. Dunia memang mempesona tetapi apalah ertinya keuntungan dunia kalau kita hilang kemuliaan diri sebagai muslim.
0 comments:
Post a Comment