Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Tok Wan Li kembali kepada Rabnya

November 16, 2010

Takdir Allah telah menentukan bahawa ajal guru Al-Quranku, Tok Wan Li sampai setakat kelmarin sahaja. Kebetulan juga Allah mentakdirkan aku sempat bertemu dengannya di penghujung usianya biarpun pertemuan itu tidak mengizinkan lagi dia berbual atau bertanya khabar. Saat aku sampai di kampung, aku menziarahi setelah berehat seketika. Aku melihatnya sudah terbaring sakarat. Anak-anaknya dan kaum kerabat silih berganti menziarahinya. 

Petang itu, aku datang melihatnya. Dia terbaring dengan mata terpejam. Dia sedang sakit. Sakit dalam perut. Ibuku kata ada bisul dalam perutnya. Beberapa orang menyebutnya sebagai barah. Abangku kata sakit dalam perut itu kebiasaan untuk orang tua seusianya. Usia Tok Wan Li telah menjangkau lebih 90 tahun. Sungguhpun sebelum ini dia amat sihat tapi, kelmarin dulu yang kulihat, dia telah kurus dan cengkung. Kali terakhir aku dihubungi Tok Wan Li melalui telifon ialah pada bulan Ramadhan yang lalu.  Ketika itu aku masih di Sabah. Dia menceritakan kepadaku tentang puasanya satu hari yang ditinggalkan kerana sakit. Aku mengatakan bahawa Allah memaafkan puasa yang ditinggalkannya itu.

Beberapa minggu yang lalu, ibuku memberitahu tentang sakit Tok Wan Li. Ibuku membayangkan kemungkinan aku tidak akan sempat bertemunya lagi. Aku berserah kepada Allah. Allah yang menentukan ajal. Aku sudah pernah kematian Al-marhum bapaku sewaktu aku di perantauan. Bagiku, pertemuan terakhir tidak lebih penting berbanding pertemuan sebelumnya. Apa yang paling penting ialah pertemuan di hari akhirat. 

Aku pulang daripada ziarah Tok Wan Li petang itu dan merasakan saat dia dipanggil Rabnya tidak lama lagi. Tetapi aku tidak tahu bila saat dan jamnya. Itu adalah rahsia Allah SWT. Namun, dia benar-benar sudah berada di penghujung hayat. Apa yang merungsingkan aku ialah kedudukan baringan Tok Wan Li yang diletakkan oleh anak-anaknya tidak menghadap ke arah kiblat. Aku melihat perlakuan qiam seperti dalam solat dilakukan oleh Tok Wan Li ketika sakitnya itu. Aku mendapat tahu, kedudukan Tok Wan Li tidak dihadapkan ke kiblat oleh anak-anaknya yang menjaganya sejak beberapa lama. Itulah merisaukan aku.

Petang itu aku berdoa kepada Allah agar memberikan aku kekuatan untuk melaksanakan misi penting merentangkan jalan akhir yang berbahagia buat Tok Wan Li. Aku mahu biarlah Tok Wan Li berhijrah meninggalkan dunia ini dalam keadaan berwuduk dan selesai solat yang dilakukan dalam keadaan suci. Sungguhpun perlakuannya memperlihatkan dia seperti solat, dia tidak diwudukkan. 

Selepas solat Maghrib di masjid kampungku, aku terus menziarahi Tok Wan Li sekali lagi. Ketika itu hanya ada  anak beranaknya. Aku duduk di sebelah Tok Wan Li yang kelihatan lali. Aku memberanikan diri untuk meminta izizn mengambilkan wuduk untuknya. Aku minta semangkuk air daripada anaknya. Alhamdulillah, mereka membawakan air tersebut. Aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa aku akan mewudhukkannya. Lalu aku wudukkannya. Aku celupkan tanganku ke dalam air dan sapu di muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki. Aku bisikan kepada Tok Wan Li bahawa aku telah selesai wudukkannya dan meminta kebenaran anaknya untuk mengubah posisi Tok Wan Li agar menghadap kiblat. Setelah itu, aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa dia telah menghadap kiblat dan boleh solat maghrib kerana maghrib sudah masuk.

Kami duduk diam di sisinya, melihatnya menunaikan solat. Aku tidak pasti apakah dia solat atau tidak. Namun, beberapa kali tangannya diletakkan atas dada seperti orang qiam.

Setelah aku rasakan dia selesai solat, aku beritahu Tok Wan Li bahawa aku akan bacakan surah Al-Kahfi dan memintanya mendengar. Setahuku, Tok Wan Li hafal surah itu kerana pada satu ketika dahulu, sewaktu aku membacakan surah itu di sisi datukku yang sakit, dia menegur satu kesalahan baris yang kulakukan. Aku baca beberapa puluh ayat yang aku ingat sahaja. Aku ulang beberapa kali ayat yang menegaskan agar jangan mensyirikkan Tuhan. Mudah-mudahan tipu daya Iblis sirna di perjalanan akhir Tok Wan Li.

Setelah insya telah menghampiri, aku minta diri. Sebelum pergi aku sekali lagi mengingatkan Tok Wan Li tentang masa. Ketika itu jam 8 malam. Sebentar lagi akan masuk  insya. Nanti, kalau sudah masuk insya, solatlah. Aku ingin belikan beberapa keperluan untuk Tok Wan Li di Kuala Nerang.  Aku andaikan bahawa hayat Tok Wan Li ada beberapa hari lagi. Itulah harapanku. Aku mahu beli pampes agar pakaiannya boleh sentiasa dibersihkan. Dengan itu mudah untuknya solat. Solat amat penting terutama di penghujung hayat.

Aku pulang lewat. Sampai di rumahku, aku mendapat panggilan telefon daripada adikku yang berada di rumah Tok Wan Li, bahawa Tok Wan Li telah kembali bertemu Rabnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Jam menunjukkan 10.20 malam. Itulah noktah muktamad untuk hayat seorang Tok Wan Li. Pada usia lebih 90 tahun. Pada khatimah yang baik, insya Allah

Semoga Allah menempatkan Tok Wan Li pada tempat terbaik di akhirat. Dia adalah guruku yang amat berjasa. Mengajarkan aku mengenal Al-Quran. Di kampungku, berapa ramai anak muda sebayaku, lebih muda daripadaku, malah lebih tua daripadaku, pernah punya pengalaman belajar Al-Quran di rumah Tok Wan Li dan bergurukan Tok Wan Li. Dari zaman pelita minyak tanah hinggalah zaman lampu kalimantang. Aku rasa bilangan murid Tok Wan Li amat ramai dan tidak tahu aku menjumlahmnya. Bukan angka puluh malah angka ratusan. Mungkin tidak ribuan. Namun, jika dicampurkan dengan murid kepada murid-muridnya, seperti murid-muridku, mungkin sudah ribuan.

Pagi tadi selepas solat Subuh, dalam remang pagi berembun, aku menziarahi pusara Tok Wan Li. Tidak jauh daripada pusara bapaku. Aku berdiri di sisinya sambil berdoa di kepada Allah...

" Ya Allah, Engkau tahu bahawa hambaMu yang sedang terbujur dalam bumi ini adalah guru yang mengajarkan aku baca Al-Quran. Berama ramai pemuda dalam kempungku, dialah guru mereka. NabiMu bersabda bahawa sebaik-baik orang ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya. Jadikanlah Al-Quran sebagai temannya dalam kubur, pembelanya di hari akhirat. Jadikan kuburnya satu taman syurga dan jauhilah daripada menjadi lubang neraka...amin

Aku bersaksi atas zawahir yang aku kuasai, Tok Wan Li menjalani husnul khatimah. "Wallahu yatawallas sara ir"

Kesatuan hanya ada dalam Islam

November 11, 2010

Firman Allah SWT:


وَلَوْ شَآءَ رَبّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ  إِلاّ مَن رّحِمَ رَبّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ


Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka.

(Surah Hud Ayat 118-119)

Perselisihan di kalangan manusia sering berlaku. Perselisihan itu terjadi dalam pelbagai aspek samada agama, pegangan, mazhab, pendapat dan sebagainya. Ikrimah mengatakan bahawa perselisihan yang dimaksudkan adalah dalam aspek hidayah. Hasan Al Basri menambah, perselisihan itu juga berlaku dalam soal razeki yang tidak sama rata. Namun, dalam konteks ayat sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Kathir, perselisihan itu adalah dalam aspek agama.

Semua manusia berselisih kecuali mereka yang memilih untuk mengambil jalan para rasul dan berpegang dengan perintah agama. Merekalah golongan yang mendapat rahmat Allah SWT sebagaimana ditegaskan dalam ayat. 

Golongan tidak berada di atas landasan petunjuk Allah SWT, walaupun mereka mereka satu negeri, satu bangsa dan satu agama, mereka sebenar berpecah. Kesatuan yang mereka pamerkan kepada kita hanyalah palsu. Namun, golongan yang berada di atas landasan petunjuk Allah, biarpun mereka berbeza negeri, berlainan bangsa dan berbeza mazhab, mereka adalah bersatu. Merekalah golongan yang mendapat rahmat yang mana terkecuali daripada penyakit perpecahan sebagaimana dapat difahami daripada ayat.

Jika dilihat daripada aspek perjuangan, hanya mereka yang berjuang untuk Islam sahaja yang benar-benar bersatu. Perjuangan untuk selain Islam tidak bersatu. Jangan terpesona dengan penampilan bersatu yang ada pada perjuangan selain Islam. Selama perjuangan Islam menjadi manhaj perjuangan, maka selama itulah kesatuan sejati akan menyertai.

Penyatuan dalam Barisan Nasional yang menyerlahkan seolah-olah ada penyatuan yang teguh antara komponen di dalamnya adalah solekan sahaja. Di dalamnya, hakikatnya berbirat dengan retakan dalam segala bentuk rupa. Perlumbaan, dengki, prasangka, pesimis dan opurtunis bergentayangan dalam kesatuan palsu mereka. Ini kerana perjuangan kebangsaan tidak pernah boleh diasosiasikan dengan Islam.

Dengan rahmat Allah, mereka yang berjuang untuk Islam akan diselamatkan daripada perpecahan itu. Peliharalah perjuangan Allah, nescaya Allah akan memelihara perjuangan anda. Inilah renungan yang amat penting buat para pejuang yang bersenandung lagu perjuangan dalam Pas. Biarpun sudah bertahalluf siasi dalam Pakatan Rakyat, Pas tidak boleh mengambil sikap "mudahanah" kerana ia akan meleburkan istiqamah. Bila istiqamah telah lebur, tiadalah lagi karamah dalam perjuangan kerana istiqamahlah semulia-mulia karamah. Jika karamah istiqamah sering mengiringi, rahmat Allah akan sentiasa bersama. Kesatuan pun menjadi mantap.

Manusia tanpa istiqamah dengan perjuangan bukan wali Allah walau sederet khawariqul 'adah dapat dipamerkannya. Demikian juga sebuah jemaah atau parti Islam,  tanpa istiqamah, tidak bermakna siri-siri kemenangan yang diraih atau sokongan padu yang menakjubkan. Tanda sebuah jemaah atau parti Islam itu terpilih menjadi wali Allah di bumi adalah apabila ia kekal istiqamah dengan jalan-jalan hidayah yang digariskan nabi dalam perjuangan.

Kalau begitu, tak perlu minta maaf.

November 10, 2010

Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan “dinosaur-dinosaur” politik termasuk DSAI bersara. Surat terbuka saya jelas dalam hal ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau berkecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Tokyo, Japan
.

Demikianlah penegasan semula Dr. Asri Zainal Abidin terhadap pendapatnya sebelum ini supaya DS Anwar Ibrahim bersara daripada politik. Surat terbuka yang dipaparkan dalam blognya bukanlah bermaksud dia meminta maaf sekaligus menarik semula pendapatnya. Dia masih berpendirian sebagaimana pendapatnya yang mula.

Dengan kata lain surat terbukanya kepada DSAI hanyalah basa basi. Campur tolak darab dan bahagi jawapannya sama. Dia mahukan DSAI berundur daripada politik. Alasannya, itulah jalan untuk melahirkan pembangkang yang kuat. DSAI telah tidak menyengat. Kebangkitan rakyat telah tidak dapat dijana olehnya.

Aku berpendapat Dr. Asri khilaf. Pendapatnya juga mencurigakan banyak pihak. Dengan mudah, dia boleh ditanggap sebagai alat kepada UMNO-BN walaupun dia menafikannya. Ini kerana pendapatnya merupakan serangan kepada jantung Pakatan Rakyat. Tambahan pula, pendapatnya mengenai kerajaan UMNO-BN sebelum ini tidak pula pernah menyentuh jantung UMNO-BN. 

Sebahagian pengkagum Dr. Asri tentunya telah mula memicing mata buatnya. Jika DSAI dikatakan zamannya telah berakhir, maka siapa boleh menyalahkan seseorang yang mengatakan bahawa kembang Dr. Asri telah menjadi kuncup sebelum tengahari. Jika kita boleh menafikan keperluan berlangsungnya denyut nadi politik seorang figur, maka demikianlah orang juga boleh menafikan keperluan seorang ilmuan sepertinya dalam masyarakat. Jika kita senang memberi pandangan tentang orang lain, maka kita jika harus berlapang dada dengan kritikan orang terhadap kita.

Sekarang Dr. Asri telah bermain aci-aci dengan  kelas politik. Khalayak sedang menanti bilakah dia akan menerjuni politik dengan penuh tanggungjawab. Kehidupan seorang ilmuan tidak boleh terpisah daripada politik secara langsung. Ilmuan yang penuh tanggungjawab tidak muzabzab. La ila ha ula' wala ila ha ula'.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Jika tegas dengan pendapat, tidak perlu berbasa basi. Ya, katakan ya. Tidak katakan tidak. Jangan setelah melihat hujan lebat, baru mahu menampal atap. Meminta maaf tetapi menegaskan semula pendapat yang melukai orang yang diminta maaf adalah telunjuk lurus kelingking berkait.

Allah yang memegang hati pengundi

November 7, 2010


Tengku Razaleigh Hamzah mengucapkan terima kasih kepada Pas atas kemenangan bergaya BN di Galas. Orang Pas jangan seronok kerana mendapat ucapan terima kasih daripada Tengku Razaleigh Hamzah  itu. Jangan pula buat muka tak malu merasakan bahawa Pas telah memberi peluang kepada BN memenangi Dun Galas. Sebenarnya, ucapan terima kasih Tengku Razaleigh Hamzah itu perlu dipelajari malah ditiru juga oleh pemimpin politik yang lain. Itulah sikap seorang ahli politik yang baik dan dapat menakluk hati ramai orang. Jika kita lihat komen dan respons Tengku Razaleigh Hamzah sepanjang tempoh berkempen di Galas, dia telah berjaya mempamerkan watak dan penampilan bersihnya. Dengan komen dan respons  berhemahnya, telah memberikan mileage politik untuknya.

Ahli politik Pas perlu belajar berterima kasih walaupun kalah. Yang merubah hati rakyat bukan kempen. Kempen itu cuma usaha. Allah yang merubah hati rakyat. Dialah yang memegang semua hati para pengundi. Kalau mahu Allah membalikkan hati para pengundi agar menyokong perjuangan Islam, kitab hendaklah berakhlak dengan akhlak yang menjemput rahmat Allah. 

Ketika kita menang, kita bersyukur kepada Allah SWT dan tidak pula lupa mengucapkan terima kasih kepada manusia lain yang membantu kemenangan kita. Amat mulia pula kalau boleh ucapkan terima kasih kepada musuh atau lawan politik sebagaimana yang telah dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang berjuang dari pihak parti kebangsaan. Apabila kita kalah, kita hendaklah bersabar dan redha. Jauhkan diri daripada saling salah menyalahkan. Ingatlah bahawa kalah menang itu resam perjuangan. Nabi Muhammad yang menjadi utusan Allah itupun ada masa dia menang dan ada masa dia kalah. Apa lagi kita yang jauh daripada Allah sekalipun berjuang untuk agamanya. Amat mulia kalau masa kita kalah kita boleh menuturkan kata-kata yang baik dan berterimakasih pula kepada lawan politik kita. Kerja menakluk hati manusia itu bukan untuk hari ini tetapi untuk tahun-tahun mendatang.

Ahli politik Pas perlu sedar bahawa bukan ceramah mereka yang menukar hati manusia. Ceramah mereka cuma usaha dan sebab. Allahlah yang menukarkan hati manusia. Sebab itu ceramah perlu disucikan daripada cemuhan, kutukan dan humiliasasi. Itu semua akan menghambat rahmat Allah SWT. Kalau tiada rahmat Allah SWT, bagaimana hati manusia dapat ditakluki. Jangan rasa bosan untuk menceritakan sirah perjuangan Rasul dalam ceramah. Jangan jemu untuk menitipkan mutiara kata para nabi dan auliya dalam ceramah untuk khalayak. Jangan ghairah untuk menghentam BN kerana berapa banyak hentaman dibuat pun, ia bukan jalan untuk menakluk hati manusia yang setia dan mendokong BN.


Saat menang bersyukur. Saat kalah bersabar. Kata-kata yang keluar adalah kata-kata mulia dan penghargaan. Baik kalah maupun menang, rasa menghargai perlu ada. Jangan tersasar menjadi ahli politik yang merasakan kerja keras dan strategi mantap partinyalah yang menentukan kemenangan diraih. Ingatlah....ingatlah...bahawa Allah yang memegang hati manusia. Buatlah apa yang sesuai dengan sifat rahmat Allah SWT.

Kita lihat kedapatan individu tertentu dalam PKR tidak boleh mengambil sikap redha dan bersykur dengan kekalahan di Batu Sapi. Umpamanya Setiausaha Politik DS Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Yusuf dalam facebooknya mendakwa bahawa Pas dan DAP tidak cukup membantu PKR dalam pilihanraya kecil Batu Sapi. Tuduhan seperti ini tentunya menyakitkan hati rakan-rakan dalam PR yang telah berkerja keras siang dalan malam di lokasi. Mereka yang terlibat dengan kerja-kerja di peringkat grassroot sahaja yang mengerti penat lelah parti Pas dan DAP dalam membantu kempen memenangkan PKR.

Namun, Allah SWT belum mentakdirkan pengundi Batu Sapi beramai-ramai meyokong Pakatan Rakyat. Itu perlu diterima dengan redha. Jangan saling meyalahkan. Setelah berusaha, maka berserahlah. Jangan sekali-kali menyalahkan rakyat Batu Sapi. BN menghadiahkan sekalung perhargaan kepada rakyat Batu Sapi yang dikatakan telah membuat pilihan tepat. PR pula hendaklah menghadiahkan berkalung-kalung penghargaan dan pujian kepada rakyat Batu Sapi yang telah mengundi calon mereka. Inilah politik bijaksana dan berhemah yang akan mampu menakluk hati rakyat di masa depan. Bukan politik menyalahkan dan politik putus asa.

Oleh itu, para pejuang yang berjuang untuk memenangkan agama Allah perlu belajar hal ini. Pejuang agama Allah, dalam limpahan pejuang-pejuang politik yang bertali arus menerjunkan diri dalam perjuangan, perlu menunjukkan keunikan. Dengan menyedari penuh bahawa urusan menukarkan hati manusia agar menyokong perjuangan Islam adalah urusan Allah, para pejuang agama Allah SWT dalam politik perlu mengambil jalan paling berhemah. Dalam ceramah-ceramah tidak perlu memasukkan agenda kutuk mengutuk. Tidak perlu agenda serangan peribadi. Setiap yang dibentangkan kepada khalayak biarlah berdasarkan fakta dan biarkan masyarakat membuat kesimpulan. Biar masyarakat yang membuat pilihan sama ada hendak mengutuk pemimpin yang korup itu atau sebaliknya.

Pejuang agama Allah, kalau boleh biar 90 peratus ceramahnya adalah meceritakan tentang kebaikan perjuangan Islam. Mulakan dengan pujian buat Allah SWT dan sudahi dengan pujian kepada Allah SWT. Dalamnya pula penuh kata-kata mulia yang merungkai simpulan di hati manusia. Setelah itu, kalau ditakdirkan menang, ucapkan puji dan syukur. Jangan sekali-kali bongkak. Jangan dakwa inilah hasil kerja keras kita. Jangan bangga dan katakan bahawa rakyat telah menolak pemimpin lawan. Ingatlah bahawa kemenangan itu adalah ujian Allah SWT. Saat kalah pula sabar dan redhalah. Berkatalah yang baik atau diam sahaja. Jangan  tuduh musuh gunakan pelbagai tipu muslihat. Usah diulang sebut tentang penyalahgunaan jentera kerajaan  dan sebagainya. Sudah berapa banyak kemenangan yang Allah berikan dan menjadi bukti bahawa tipu muslihat dan penyalahgunaan jentera kerajaan tidak boleh mengatasi kehendak Allah SWT.

Kita hendaklah mengalahkan amarah yang bersiponggang dalam diri sebelum dapat memadamkan amarah dalam masyarakat. Mampukah kita mengambil sikap dan melakukan hal yang demikian? Inilah mujahadah yang panjang dan tidak ramai dapat meladeninya kecuali mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Batu Sapi: Jika Mereka Kaum Nuh

November 5, 2010

BN berjaya mempertahankan Batu Sapi dan merampas semula Galas. Demikianlah keputusan 2 pilihanraya kecil yang diadakan serentak pada tanggal 4 November, kelmarin. Di Batu Sapi, BN menang besar dengan majoriti 6,359 undi manakala di Galas majoriti BN bertambah iaitu 1,190 undi berbanding majoriti  646 undi yang diperolehi oleh PAS pada pilihanraya umum yang lalu. Fenomena ini tentunya memberikan motivasi kepada para pemimpin BN. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyifatkan ia sebagai petanda rakyat menaruh keyakinan terhadap agenda pembangunan kerajaan dan kedudukan kerajaan BN semakin mantap setelah berdepan dengan cabaran getir pada pilihanraya umum yang lalu.

Kemenangan BN di Batu Sapi sememangnya telah diduga banyak pihak. Kedudukan Sabah sebagai  "fix deposit " untuk mengekalkan BN memerintah Puterajaya tidak mudah digugat.  Keputusan Rakyat Batu Sapi menjadi gambaran tahap kesedaran politik rakyat sabah secara keseluruhannya menjelang pilihanraya umum yang berikutnya.

Isu-isu yang ditimbulkan sepanjang kempen PR di Batu Sapi tidak cukup untuk menggugah pendirian pengundi Batu Sapi. Isu seperti masa depan penempatan mereka yang terancam dengan rancangan pembangunan masa depan di kawasan Batu Sapi tidak dapat menakluk hati mereka. Demikian isu ketidakfasihan calon BN Linda Tsen Thau Lin berbahasa Malaysia juga tidak memberi kesan kepada para pengundi. Soal bangunan 100 tingkat yang dibentangkan dalam bajet kerajaan untuk tahun hadapan telah ditimbulkankan oleh sesetengah  pemimpin PR yang berceramah. Namun, rakyat Batu Sapi tidak sampai kepada memikirkan untung rugi buat mereka tentang projek tersebut.

Rakyat Batu Sapi bukanlah rakyat sebuah kota besar seperti Kuala Lumpur. Mereka adalah rakyat yang daif. Kebanyakan mereka tinggal di rumah-rumah  papan yang dibina di pinggir laut yang mana tidak mendapat hak milik penempatan yang terjamin pun di kawasan mereka. Bagi kampung-kampung tepi laut itu, kemungkinan nasib mereka  akan seperti penduduk kampung BDC yang dinafikan hak mereka. Sebahagian kecil sahaja warga Batu Sapi yang tinggal di perumahan dan memiliki hak milik tanah sendiri.

Di samping kedaifan prasarana kehidupan mereka, rakyat Batu Sapi juga umumnya tidak memiliki prasarana pemikiran yang daif. Kerana kedaifan hidup, undi mereka boleh dibeli dengan harga yang murah. Soal apakah nasib mereka lima tahun akan datang tidak menjadi kepedulian mereka. Yang menjadi persoalan mereka ialah siapa yang boleh memberikan apa yang mereka mahu untuk mengisi perut hari ini dan esok dan memberikan tempat berteduh untuk waktu terdekat ini.

Kerajaan telah datang pada masa tempoh berkempen dengan menawarkan projek bernilai jutaan ringgit. Kepada penduduk Batu Sapi, ditawarkan projek perumahan rakyat dan pecah tanah telah dilakukan beberapa hari menjelang pilihanraya kecil. SMK Batu Sapi 2 diluluskan segera pembinaannya. BN  juga telah memanfaatkan segala prasarana kerajaan untuk memenangi hati rakyat Batu Sapi. Bagi mereka yang bergentayangan di Batu Sapi dalam tempoh kempen dapat menyaksikan sendiri dengan mata kepala bagaimana program-program kerajaan dilaksanakan di Batu Sapi dan dijadikan medan kempen. Para pemimpin BN yang turun ke Batu Sapi dimestikan sambutan massa oleh kakitangan kerajaan. Di dalam kampung-kapung, balairaya telah bertukar menjadi bilik gerakan BN. Kawasan-kawasan lapang di Batu Sapi menjadi tempat BN memasang khemah sebagai tapak program pemimpin bersama rakyat. Bagi PR, untuk melaksanakan perhimpunan bersama rakyat Batu Sapi, terpaksa mencari dewan hotel ataupun dewan komuniti yang menjadi milik kaum Cina. Itu pun di luar kawasan Batu Sapi.

Ceramah-ceramah kelompok dilaksanakan di rumah-rumah penduduk yang boleh dianggap berani dan juga premis Pasti yang dimiliki Pas. Jumlahnya amat terhad dan kehadirannya tidak dapat diramaikan. Ini menyebabkan sebahagian besar warga Batu Sapi tidak tahu apa misi PR. Pergantungan maklumat mereka banyak kepada media TV. Risalah-risalah yang disebar tentunya tidak banyak mempengaruhi mereka kerana mereka, rata-ratanya bukan masyarakat pembaca.

Seorang pemimpin PR berkata, rakyat Batu Sapi lebih memahami bahasa benda lebih baik daripada bahasa minda. Kepada mereka, usah diterangkan falsafah politik, keadilan sosial dan kaitan politik dan agama. Semua itu tidak berbekas buat mereka. Hanya benda, yang menentukan pilihan mereka di penghujungnya. Mereka, membalas budi biarpun balasan yang mereka berikan itu mahal dan tidak setara dengan budi yang ditabur. Politik ala-Semenanjung masih jauh. Keberanian rakyat masih nipis.

Kalangan yang terpelajar, misalnya guru-guru yang menjadi pengundi warisan di Batu Sapi,  ada yang mengambil pendirian  bahawa sebagai kakitangan kerajaan, sokongan hendaklah diberikan kepada BN. Generasi baru tidak mendapat pendedahan politik nasional dan masih menerima petua politik generasi lama. Ini kerana tahap pendidikan yang rendah pada kebanyakan warganya. Perlu diingat juga bahawa kewujudan kilang yang agak banyak di Batu Sapi menjadikan anak muda yang lahir di Batu Sapi, membesar di sana dan bekerja di sana tidak cukup terdedah kepada arus perkembangan luar.

Melihat kepada keputusan  memberasangkan  buat PR di beberapa saluran mengundi di SMK Agama Sandakan, telah boleh dibuat bahawa kalangan yang terpelajar lebih mempunyai keberanian dan memiliki anjakan politik. Ia juga boleh ditafsirkan bahawa masyarakat bukan Melayu lebih cenderung untuk menolak BN dan memilih selain BN. Petanda arus Semenanjung sudah menampakkan riaknya tetapi selagi kawasan perkampungan di  Batu Sapi kekal dengan kedaifannya, selagi iti hagemoni BN sukar dipecahkan.

Sesungguhnya bejatnya kaum nabi Nuh ialah apabila kekufuran bapa diwariskan kepada anak dan cucu, sehingga tiada harapan lagi buat dakwah tegak berdiri. Bapa berpesan kepada anaknya agar menentang nabi Nuh dan berpesan pula kepada anaknya agar mengingatkan anak cucunya untuk menentang nabi Nuh. Jika pada generasi muda Batu Sapi tidak mengikut politik warisan nenek ibu bapa mereka, harapan untuk menang di masa depan tentu ada buat PR. Untuk itu, ilmu perlu dimantapkan. Jika anak-anak Batu sapi mencapai tahap persekolahan paling tidak menamatkan tingkatan lima, mereka akan lahir sebagai generasi baru yang berkesedaran. Namun, jika masih ramai berhenti sekolah pada tahap sekolah rendah, merekalah yang akan kekal menjadi kaum nabi nuh.

Jika mereka kaum Nuh, kekallah mereka dengan  keadaan sekarang sehingga kampung halaman mereka dimusnahkan pembangunan yang hanya mahu memperkayakan golongan kapitalis.Namun, jika mereka bukan kaum Nuh, akan lahir generasi berilmu dari zuriat mereka yang akan mempunyai kebijakan politik dan keteguhan agama buat menancap pendirian mereka. Mudahan saat itu akan tiba. Rancangan Allah itu hebat dan tidak difahami oleh akal kita hari ini!