Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Merekalah musuh dan waspadalah!

July 9, 2015

Kita tidak tahu siapakah yang menjadi munafik di kalangan ummat Islam pada hari ini. Tidak tahu siapa munafiq bukan bermakna munafiq telah tiada. Kita tidak boleh katakan bahawa munafiq itu hanya kelompok yang wujud pada zaman Nabi SAW. Tidak! Munafiq telah ada pada zaman Nabi SAW dan akan terus ada sehingga akhir zaman.

Allah menegaskan melalui firmanNya:


وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahwa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka Itulah musuh (yang sebenarnya) Maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?
(Surah Al-Munafiquun: Ayat 4)

Munafiq ialah mereka yang menyembunyikan kebatilan dan mendedahkan kebenaran. Mereka kata mereka sayangkan Isllam, tetapi buat kerja menjatuhkan Islam. Mereka tunjukkan cinta dan kasih kepada orang beriman, tetapi mereka sebaliknya menggali lubang perangkap untuk menjerumuskan orang beriman ke dalam bahaya dan kecelakaan.Mereka kata mereka memperjuangkan "islah" tetapi sebenarnya mereka berbuat "fasad".

Pendek kata, munafiq adalah pengkhianat. Munafiq adalah api dalam sekam. Lain dikata, lain yang dibuat. Sifat munafiq, kalau bicara, tidak boleh dipegang katanya. kalau janji, mungkir. Amanah, jika diberikan kepadanya, dia pecahkan. Kalau bergaduh dengan orang lain, dia jadi melampau. Sifat-sifat ini ada pada sebahagian orang. Dari kalangan pengikut maupun pemimpin.

Dulu pernah berjanji. Sekarang janjinya tinggal janji. Janji nak bela orang lemah. Bila diberi kuasa, dibela pula orang gagah. Orang lemah malah ditindas. Orang lemah bertambah susah. Diberi jawatan menjaga kepentingan awam. Mula-mula nampak ikhlas. Tapi, lama-lama mula culas. Amanah yang dipegang dipulas dan dikuras. Hak orang dibuat macam hak sendiri. Orang lawan dan bantah kejahatannya, dibalas dengan yang lebih teruk. Pencabar, penentang dan yang boleh membahayakan kepentingannya akan ditangkap, dipenjara atau direncanakan makar yang tidak terbayang dalam fikiran. Bahkan, kemelampauan dalam tindak balas terhadap penentang boleh membawa kepada mengatur pembunuhan terancang.

Kerana nifaq itu kutil dalam hati, tidak siapa nampak dengan jelas. Ia hanya ditandakan dengan tanda yang pelbagai. Melalui tanda itulah kita menyimpan waspada terhadapnya. Allah suruh kita waspada. Jangan bersahabat dengannya. Jangan mudah percaya omongannya. Jangan taruh harapan muluk bahawa dia akan bantu kita bila kita perlukan bantuan.

Kena waspada.' Hazar'lah jalannya. Kalau pernah kena kecoh kemudian dikecoh lagi, itu tandanya tidak 'hazar'. Dikecoh berkali-kali bukan sifat orang beriman. Orang beriman tidak begitu. Itu hina dan orang beriman tidak hina. Orang beriman sentiasa 'hazar' dan dengan 'hazar' itu, mereka selamat dari onar orang yang menyimpan nifaq.

Kita boleh ada sikap timbangtara dengan orang kafir. Mereka memang jelas tidak bersekutu dengan kita dan menentang kita dalam beberapa perkara yang mereka tidak setuju. Namun, para munafiquun sangat bahaya. Mereka selalu tunjukkan kebersamaan dengan kita sebab mereka sama warna kulit, sama agama dan sama serba serbi dengan kita. Kecuali hati mereka, ada kelainan yang kontradik dengan persamaan luaran. Hubungan dengan mereka adalah selamanya dalam keadaan "hazar".

Kita tidak boleh tuduh orang munafiq. Tapi kita perlu 'hazar' dengan orang tertentu yang mempunyai 'track record' yang yang buruk dengan kita.

AMAL SOLEH DIJELMAKAN SEBAGAI PEMBELA

June 27, 2013

Allah berfirman:

وَيُنَجِّي اللَّهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Dan Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dengan kemenangan mereka. Mereka tidak akan disentuh oleh azab sengsara dan tidak pula berduka”.

(Surah Az-Zumar: Ayat 61)

Mafaza
t ditafsir dalam Tafsir Ibnu kathir sebagai kebahagian dan kemenangan yang telah dicapai di sisi Allah SWT.

Imam Al-Qurtubi membawakan sebuah hadis ketika mentafsirkan ayat ini:

يحشر الله مع كل امرئ عمله فيكون عمل المؤمن معه في أحسن صورة وأطيب ريح فكلما كان رعب أو خوف قال له لا ترع فما أنت بالمراد به ولا أنت بالمعني به فإذا كثر ذلك عليه قال فما أحسنك فمن أنت فيقول أما تعرفني أنا عملك الصالح حملتني على ثقلي فوالله لأحملنك ولأدفعن عنك فهي التي قال الله} وينجى الله الذين اتقوا بمفازتهم ل يمسهم السوء ولا هم يحزنون}

Allah mengumpulkan setiap orang bersama amalnya. Maka amal orang mukmin tetap mendampinginya dalam bentuk yang amat indah dan bau sangat harum. Setiap kali orang mukmin menemui hal yang menakutkan atau mengkhawatirkan, maka amalnya itu berkata kepadanya: "Janganlah sekali-kali engkau merasa takut atau khawatir engkau yang yang dimaksudkan dengan ancaman itu dan bukan engkau yang dikehendakinya!". Apabila orang mukmin itu telah berkali-kali menghadapi bahaya itu, dia bertanya kepada orang yang mendampinginya itu: "Siapakah engkau ini? Alangkah baiknya budimu terhadapku". Amalnya itu menjawab: "Apakah engkau tidak kenal kepadaku. Aku ini adalah amal salehmu (di waktu di dunia). Engkau telah memikulku miskipun engkau merasa berat. Demi Allah aku tetap memikulmu dan membelamu".

Itulah maksud dan firman Allah yang artinya: "Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa karena kemenangan mereka tiada disentuh oleh azab (neraka) dan tidak pula mereka berduka cita".
 (H.R. Abu Hurairah)

Pada hari akhirat, amal soleh akan dijelmakan menjadi insan yang elok rupa dan harum bau. Ia menyenangkan orang yang memandangnya. Sebaliknya amal jahat pula akan dijelmakan menjadi kejadian yang buruk dan busuk. Ada yang ditukar menjadi ular Syuaja'ul Aqra' yang melengkari leher pelaku dosa sehingga membebankannya di akhirat.

Dalam Hadis banyak digambarkan personifikasi dan fugurasi perkara-perkara yang dalam dunia ini hanyalah sebuah abstrak. Mati diriwayatkan dalam hadis akan dijelmakan sebagai kibasy yang bakal disembelih. Al-Quran juga akan dijelmakan di alam kubur sebagai teman buat si pembacanya. Sesungguhnya alam sesudah hidup dunia ini tidak serupa dengan apa yang ada di dunia. Kita tidak akan mampu mentafsirkannya dengan menggunakan segumpal fikiran yang kita miliki.

Semoga kita akan mendapat teman pembela di akhirat yang kacak bergaya serta harum semerbak. Allahumma Amin.

Tidur malam sujud dan qiam

April 18, 2012

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً

" Dan orang-orang yang bermalam dalam keadaan sujud dan berdiri (beribadat kepada Allah)".
(Surah Al-Furqan: Ayat 64)

Menjadi salah satu ciri hamba Allah yang istemewa dan dinamakan Hamba Ar-Rahman, ialah tidur di malam hari dalam keadaan sujud dan berdiri kerana beribadat kepada Allah. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan tidur dalam keadaan sujud dan berdiri untuk beribadat kepada Allah SWT? Siapa yang begitu sabar untuk sujud dan qiam sepanjang malam? Kalaupun ada yang boleh melakukannya, tetapi berapa lama? Mungkin semalam atau dua malam sahaja. Justeru, tidur dalam keadaan sujud dan qiam tersebut bukanlah secara fizikalnya seseorang itu tidur dalam sujud dan qiam. 

Ibn Abbas menyebutkan:

 
من صلى ركعتين أو أكثر بعد العشاء فقد بات لله ساجدا وقائما

" Siapa yang solat dua rakaat atau lebih selepas solat fardhu Insya', maka sesungguhnya dia tidur malam itu dalam keadaan sujud dan qiam".
(Tafsir Al-Qurtubi)

 Al-Kalbi pula menambah:

من أقام ركعتين بعد المغرب وأربعا بعد العشاء فقد بات ساجدا وقائما

" Siapa yang solat sunat dua rakaat selepas  solat fardhu Maghrib dan enpat rakaat selepas solat fardhu Insya', maka sesungguhnya dia tidur malam itu dalam sujud dan qiam".
(Tafsir Al-Qurtubi)


Sungguhpun fadhilat bermalam dalam keadaan sujud dan qiam boleh didapati dengan mudah hanya melakukan solat sunat selpas maghrib dan insya, terdapat kelebihan yang amat besar jika seseorang itu bangun beribadat pada sebagaian akhir dari malamnya. Ia menjadi amalan Rasulullah SAW dan para salafus soleh.

Allah berfirman:

كانوا قليلاً من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون

" Mereka adalah orang yang tidur hanya sedikirt daripada malam mereka. Pada waktu sahur mereka bangun memohon keampunan dari Tuhan".
(Surah Adzariyat: Ayat 17-18)

Semoga kita tergolong dari kalangan orang yang bangun sedikit daripada malam yang menghampiri penghujungnya untuk beribadat kepada Allah SWT. Itulah da'bas solihin yang perlu dilazimi oleh mereka yang mencari redha ilahi. Terlebih penting bagi para pejuang yang mengaku memperjuangkan agama Allah SWT kerana ia juga menjadi faktor mempercepatkan kemenangan. 

Tetapi...kalau subuh tidak kelihatan di mana-mana masjid dan surau, usah berbicara mengenai bangun malam!

Mati bersama dosa

June 1, 2010



Ketika mendengar berita terbunuhnya seorang anggota Yayasan Amal Malaysia yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza lantaran diserang oleh soldadu zionis, aku mengatakan dalam hati kecilku:

"Subhanallah...dia mendapat syahid...Allah telah memilihnya...", 

Syahidlah sebaik-baik kematian. Marilah kita azamkan sebuah kesyahidan biarpun jalan kepadanya sukar. Namun, jika Allah mahu, Allah galurkan satu jalan buat kita sebagaimana telah Dia galurkan buat anggota Yayasan Amal Malaysia itu. Dia datang daripada sebuah negeri yang beribu batu jauhnya daripada Gaza, lalu gugur dibunuh soldadu Yahudi itu.

(Pembetulan: Berita yang saya dengar mengenai terbunuhnya seorang anggota Yayasan Amal Malaysia rupanya tidak benar. Saya cuma dimaklumkan oleh seseorang dan mempercayainya. Pengumuman Menteri Luar  melalui berita jam 8 malam ini memakllumkan bahawa semua warganegara Malaysia yang menyertai misi itu kini dalam tahanan Israil dan tiada kemalangan yang berlaku). 
 

Berkata Imam As-Syatibi dalam Al-Muwafaqat:
وطوبى لمن مات وماتت معه ذنوبه ،والويل الطويـــــــــــل  لمن يموت وتبقى ذنوبه مائة سنة ومائتي سنة  يعذب بها في قبره ويسال عنهاالى انقراضها
"Beruntunglah mereka yang mati lalu mati bersamanya dosanya. Celakalah secelakanya bagi mereka yang mati lalu kekal dosanya (di dunia) 100-200 tahun kemudian. Dia disiksa dalam kubur kerananya dan dia disoal tentangnya sehingga dosa itu sirna". 
Qabil yang membunuh Habil akan berkongsi dosa para pembunuh sepanjang zaman sehingga hari kiamat. Dialah yang merintis dosa pembunuhan. Demikianlah, siapa yang menanam badai, dialah yang akan menuai taufan.
Mereka yang mecipta bid'ah akan berkongsi dosa pelaku bid'ah yang mencontohinya sehingga bid'ah itu terpadam.
Mereka yang meneroka tauladan maksiat dalam satu masyarakat, akan berkongsi dosa semua pelaku maksiat yang dia mulakan.
Mereka yang merangka perlembagaan yang menafikan hak Allah dan Rasulnya dalam sebuah negara, akan berkongsi dosa semua pendokong perlembagaan kufur itu sehinggalah ia disirnakan.
Semua kejahatan ada pemulanya. Pemula itu akan berkongsi dosa kejahatan pelakunya sehingga pengakhirnya.
Demikian nestapa buat perintis kejahatan, demikianlah pula bahagia buat perintis kebaikan!

Wahai Allah...permudahkan kami ke syurga.

February 24, 2010


Sebuah Hadis riwayat Abu Abd Rahman Abdullah bin Mas’ud menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوماً نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح، ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه، وأجله، وعمله، وشقي أو سعيد، فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها، وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
(Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Wahai diri...janganlah merasa selamat dengan amal yang dibuat. Belum tentu kamu akan ke syurga!Kamu sudah ditentukan ke syurga atau ke neraka. Kamu hanya sedang menjalani satu jalan yang sedang dipermudahkan untukmu. Jika kamu sedang menjalani jalan orang baik-baik, yang melayakkanmu ke syurga, bersyukurlah dan kekal istiqamahlah. Alangkah takutnya jika kesudahanmu adalah noktah seorang ahli neraka.Janganlah pula kamu mencela dan menghina seorang yang sedang menjalani jalan ahli neraka, mana tahu kesudahannya dia akan menemui noktah ahli syurga. Lantas dia tergolong kalangan ahli syurga!
Sungguh...telah banyak terjadi dalam sejarah. Seorang yang dilihat beramal ahli syurga, rupanya dia ahli neraka. Kisah seorang 'abid Bani Israil bernama Barsisa adalah contoh masa lampau yang sangat tepat menjelaskan hakikat ini. Seorang yang beramal dengan amal ahli syurga, tetapi akhirnya menempah jalan ke neraka!
Sungguh...telah banyak pula terjadi dalam sejarah. Seorang yang dilihat beramal dengan  amal ahli neraka, rupanya dia ahli syurga. Kisah seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang  dan ingin bertaubat dan menggenapkannya menjadi 100 dengan membunuh orang yang menjawab bahawa tiada jalan taubat baginya adalah satu misal paling tepat menunjukkan bagaimana orang yang beramal dengan amal ahli neraka mencapai syurga akhirnya.
Subhanallah!
Siapalah yang boleh menyelamatkan kita kecuali Allah...
Dahulu...bukan alang kepalang baiknya si fulan. Solatnya,qiamullailnya,  zikirnya, semangat perjuangannya dan semuanya yang tercerna dalam dirinya, menampaknya bahawa sif ulan itu ahli syurgalah. Tapi...kini, ke mana semuanya? Mengapa dia berubah? Tidahkah dia takut bahawa maut datang menyambarnya di saat dia terumbang ambing dan meninggalkan istiqamah amal terdahulunya?
Sesungguhnya khatimah adalah penentu! Istaqamahlah adalah penawarnya.
Lain pula si fulan yang satu itu. Dulunya dia hidup bergelumang lagha. Solatnya...entah di mana. Ke masjid dan surau tak pernah menjengah muka. Perjuangan Islam tiada dalam kamus hidupnya. Baginya, perjuangan perut itulah yang utama. Ketika itu, ramai mata yang melihat mengatakan, itulah warganegara neraka. Tiba-tiba, di saat usia mencecah senja dan kematian makin hampir, dia menemui jalan kembali. Kemuddian dia mati atas jalan barunya yang sungguh membahagiakan. 
Dialah orang yang diberi keberuntungan!
Oh diriku...di mana nasibku akhirnya? Apakah kesudahanku akhirnya?Sungguh aku tidak tahu apa yang tertulis dalam catatan azali tentang aku. Aku amat jahil dan mustahil menggeledah apa yang ada dalam ilmu Allah. Buatku hanya beramal dan mencari yang terbaik dalam amal.
Rasulullah SAW telah menjawab pertanyaan sahabat yang mempersoalkan ketetapan takdir azali ini dengan katanya:

اعملوا فكل ميسر لما خلق له
“Beramallah, setiap orang dipermudahkan untuk apa yang diciptakan (ditakdirkan) untuknya”.

Wahai Tuhan, permudahkan aku jalan ke syurga!
Nafsu ingin sekali pergi berdansa di kelab malam di malam-malam minggu. Di sana boleh minum arak sepuasnya. Ada gadis-gadis molek menjadi penghibur. Boleh melampiaskan segala gejolak kepemudaan. 
Siapa tidak segan dan malu, pergilah! Jika dia sanggup pergi, itulah yang dipermudahkan buatnya. Dia sendiri yang mencari rasa mudah berbuat durjana itu. Maka jalanilah takdir itu. 
Ada seorang pencuri di zaman Khalifah Umar al-Khattab telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman potong tangan. Sebelum tangannya dipotong dia mencabar Khalifah dengan katanya:
" Apakah anda akan memotong tanganku sedangkan aku menjadi pencuri kerana telah ditakdirkan menjadi pencuri?
Umar dengan kebijaksanaan yang tinggi menjawab:
"Kami telah ditakdir untuk memotong tanganmu!",

Wahai Tuhan! hari ini kami mampu mengangkat takbir untuk solat menyembahMu. Kami mampu ke masjid menegakkan sunnah Rasulmu.Kami menyatakan tekad untuk berjuang di jalanMu. Tetapkanlah pendirian kami dan berikan kami husnul khatimah.


اللهم يامقلب القلوب والابصار ثبت قلوبنا على دينك اللهم امين امين

Dunia hanya sepele

May 13, 2009

Tulisan ringkas ini bukan satu apathy setelah gagal menakluk dunia yang terbentang kemewahan dan kekayaan. Ini bukan satu inferiority complex dalam menghadapi pencapaian hebat orang-orang kafir dalam hal-hal dunia.
Ini adalah satu sisi pandangan yang lain yang sewajarnya ditarbiah kepada setiap orang yang beriman.
Bahawa, kita wajar mendidik diri kita sebagaimana Rasulullah mendidik sahabatnya. Satu ketika apabila Umar Al-Khattab mengeluh simpati dan menangis melihat Rasulullah tidur atas tikar yang menimbulkan bekas di belakangnya, baginda menenangkan sahabatnya dengan bersabda:

أما ترضى أن تكون لهم الدنيا ولنا الآخرة


"Adakah tidak kamu reda bahawa bagi mereka dunia dan bagi kita akhirat?".
(Hadis Bukhari)

Pencapaian orang-orang kafir dalam soal keduaniaan membuatkan sesetengah orang Islam teruja. Mereka menguasai ekonomi dalam negeri. Negara-negara kafir seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah adalah negara-negara yang menguasai ekonomi dunia. Negara Cina yang dikatakan gergasi ekonomi baru dari timur juga bukanlah sebuah negara Islam biarpun ramai rakyatnya beragama ISlam. Ketenteraan dan persentajaan juga dikuasai oleh negara-negara kafir. Sukan dan kebuayaan juga berada di tangan negara-negara kafir.

Orang-orang kafir mempamerkan pencapaian dan corak kehidupan yang mempesonakan dari segi pengumpulan kekayaan, gedung-denung perniagaan, kenderaan yang mewah dan selesa, penampilan dan gaya, penjagaan kesihatan, sistem pengurusan dan pentadbiran dan sebagainya.

Pendek kata dunia dalam genggaman mereka.

Melihat keadaan ini, aku mengingatkan diriku dan semua sahabat agar mengenang pujukkan Allah dalam Al-Quran:

لا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلادِ ، مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, Kemudian tempat tinggal mereka ialah jahannam; dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.

(Surah Ali Imran: Ayat 196-197)


Apalah nak dirungsingkan tentang dunia ini. Dunia hanya sepele. Kita perlu rungsingkan akhirat. Kerana akhirat itulah kehidupan sebenar.