Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

RISALAH RAMADHAN (SIRI 3)-SURAU AL-FAJR

August 31, 2010


Risalah Ramadhan (siri 3)
(Download)
Lailatul Qadar

Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada 1000 bulan. Ia menyamai kira-kira 83 tahun 3 bulan. Umur umat nabi Muhamamd manalah sampai begitu. Hanya antara 60 hingga 70 tahun. Lebih darpada itu, jarang-jarang. Para sahabat nabi mengadu kurangnya amal disebabkan kurangnya umur manusia akhir zaman ini berbading umur umat terdahulu. Lalu, Lailatul Qadar dianugerahkan sebagai gantinya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullh SAW menyebutkan:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
“Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari)


Bagaimana mencari Lailatul Qadar?

Bukan mencari tahu malam bila Lailatul Qadar itu. Apalah guna tahu malah apalah guna yakin Lailatul Qadar jatuh malam tertentu jika tidak mendapat manfaatnya. Kelebihan 1000 bulan itu hanya istimewa buat mereka yang menghidupkan malam itu dengan ibadah! Beribadatlah pada malam itu dan perbanyakkan doa.

Sebaik-baik doa adalah apa yang Nabi SAW ajar kepada isterinya Aishah r.a:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku”.

Pesanan buat mereka yang memburu Lailatul Qadar:


1. Tingkatkan kerajinan untuk hadir solat taraweh berjemaah pada sisa-sisa 10 yang terakhir Ramadhan. Jangan disibukkan dengan persiapan hari raya dan mengunjungi pusat membeli belah di malam hari kerana itu merugikan diri dan menghilangkan peluang mendapat Lailatul Qadar.

2. Hadirlah beriktikaf di masjid. Walaupun beriktikaf dalam keadaan tidur, pahala iktikaf akan diperlolehi.

3. Bangunlah di sepertiga malam untuk solat malam, sekurang-kurang tahajjud 2 rakaat.

4. Jangan mengabaikan solat Subuh berjemaah kerana sesiapa yang solat insya berjemaah, dia seperti menghidupkan separuh malam dan jika solat Subuh berjemaah, seolah-olah dia menghidupkan seluruh malam.(Al-Muwatta’ Imam Malik).

Perhatian: Menyalakan pelita pada malam 7 likur bukan amalan Islam dan bukan cara mencari Lailatul Qadar!.

Turun ke bawah menyebar risalah

August 30, 2010

Menyebar risalah di malam sambutan sempena kemerdekaan bukan mampu dilakukan oleh semua orang. Ramai pendakwah hebat berpidato, mampu menarik khalayak ramai pendengar, tetapi tidak betah turun ke kelompok pemuda pemudi yang rosak akhlak untuk menyampaikan dakwah. Seringkali pula kita mendengar cemuhan kalangan pendakwah terhadap kebejatan masyarakat yang dilakukan dalam lingkungan yang datang mendengar kuliah dan ceramahnya, tetapi untuk turunkan menyampaikan misi dakwah ke lapangan, berat dan buntu pula. Mencemuh kesalahan anak muda menyambut malam ambang merdeka dengan pelbagai kerosakan moral bukan jalan penyelesaian. Anak muda tersebut tidak pula tahu apa yang dikatakan tentang mereka.



Sebab itu, penyebaran risalah adalah satu mekanisme yang sangat baik membantu para pendakwah untuk turun ke lapangan. Bukan tahap kemampuan kebanyakan kita untuk melakukan sepertimana diriwayatkan mengenai Imam Hassan Al-Banna yang pergi ke kelab malam dan meminta ruang buat menyampaikan ceramah. Kalau tidak mampu menggunakan lisan, gunakan tulisan. Kalau tidak mampu menulis pun, cetak tulisan terbaik buat disebarkan kepada sasaran yang sedang penasaran dengan kemelut dunia akhir zaman itu.

Pendakwah yang hebat bukan dinilai berdasarkan berapa ramai yang datang mendengar ceramahnya atau kuliahnya. Tidak juga diukur setara mana dia mampu memukau para pendengar dengan oratornya. Tetapi, ukuran kehebatan seorang pendakwah ialah sejauh mana kerja yang dibuatnya menyampaikan mesej kepada khalayak dan merubah mereka. Jika dengan kerja dakwah yang biasa dan tidak dipandang orang boleh merubah khalayak, bermakna Allah memberkati kerjanya dengan membekalkan hidayah.

Menyebar risalah sesuai dengan pemuda. Demikian kalam para sesetengah pendakwah yang berumur. Menyebar risalah sesuai untuk mereka yang bukan figure terkenal dalam masyarakat. Demikian pula kalam ustaz-ustaz terkenal yang sering dijemput ceramah sana sini. Sebab itu, jarang kelihatan ustaz-ustaz maupun ulama terkemuka menjalankan kerja-kerja menyebarkan risalah.

Seharusnya, perlu disedari bahawa menyebarkan risalah bukan semata-mata menyampaikan risalah kepada orang ramai. Ia juga lebih merupakan latihan dan pengalaman buat kita. Ia adalah praktikal dakwah buat membuang mazmumah yang bersarang mengkarang dalam jiwa kita. Pendakwah hebat  mungkin merasakan dia adalah kasuari yang hanya layak terbang di angkasa. Ini adalah mazmumah. Ada ulama beranggapan bahawa mereka hendaklah didatangi dan bukan mendatangi. Sebab itu menyebar risalah tidak sesuai dengan taraf mereka. Ia adalah mazmumah dan perlu dibuang.

Dengan terjun melakukan kerja-kerja gurkha dalam dakwah, ia akan membersihkan mazmumah! Sekaligus ia mendedahkan kita kepada pengalaman sebenar berdepan dengan pelbagai krisis masyarakat.

Kalaulah para pendakwah sanggup turun merayap bersama masyarakat, banyak masalah yang boleh diselesaikan. Pendakwah yang bergaji yang menghuni badan-badan gama kerajaan yang kerjanya khusus dalam dakwah, amat selesa berada di kerusi empuk atau melaksanakan program berprotokol di tempat-tempat eksklusif. Bagaimana kebejatan sosial dapat ditangani?

"Mengapa tak ada pegawai dari pejabat agama yang menjalankan tugas di pintu kelab malam, tunggu dan periksa setiap pengunjungnya, kalau Islam halang dan kalau boleh ambil nama dan panggil ke sessi kaunseling", seseorang meluahkan idea bernasnya kepadaku satu hari.

"Dakwah apa di pejabat berhawa dingin!", lanjutnya.

Sebab tersasar dari kerja, itu sebabnya hari ini kita lihat tokoh-tokoh di pejabat agama disibukkan dengan  kerja menjelaskan hukum menyebut nama bukan Islam dalam khutbah jumuat dan hukum orang bukan Islam masuk dalam masjid. Penzinaan berleluasa tanpa ditangani dengan dakwah.Kerosakan anak muda melebar.Wang peruntukan jutaan yang diberikan kepada badan agama, ke mana dibelanjakan?

Nun...di ulu pedalaman, ada mubaligh kristian yang ditaja. Tetapi sayangnya tiada pendakwah agama Islam yang dibayar elaun atau gaji oleh badan agama bertanggungjawab!

Sebab itu, mari kita belajar turun ke khalayak. Malam ini malam ambang merdeka. Biarpun khabarnya sambutan ambang merdeka tidak dibuat di peringkat kerajaan, yang namanya hedonisme itu tak perlu diajar atau dianjur. Kita pergi menyebar risalah dakwah kepada pemuda-pemudi yang terumbang ambing itu.

Ayuhlah...

RISALAH RAMADHAN (SIRI 2)-SURAU AL-FAJR

August 26, 2010


KEMPEN INFAQ JARYAH 50


 Kad "JARYAH 50"
(Download)
Sempena Ramadhan 1431, kempen mengumpulkan dana untuk pembaikan surau Al-Fajar telah dilancarkan. Kempen tersebut menggunakan nama "JARYAH 50".  Setiap penyumbang mendermakan RM50.00 sebagai amal jariah membangunkan infrastruktur surau Al-Fajar. Jumlah sasaran untuk kempen kali ini RM20,000. 

Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia serta dijanjikan gandaan pahala setiap amal, maka kempen ini sebenarnya merupakan peluang kepada setiap "baghial khair" (pemburu kebaikan) untuk mendapat kebaikan di bulan Ramadhan. Nilai RM50 bukanlah besar berbanding kurniaan Allah SWT yang melimpah ruah buat kita. Ia adalah kecil jika hendaklah dinilai dengan fadhilat menderma di bulan Ramadhan lebih-lebih lagi derma yang menjadi amal jariah yang kekal di muka bumi, insya Allah.

Untuk melestarikan proses mengumpulkan dana tersebut, kad "JARYAH 50" telah dicetak dan diedarkan. Adalah diharapkan setiap yang menerima kad tersebut akan menginfaqkan minima RM50.00. Ini bermakna sebanyak 400 keping kad perlu dikeluarkan. Kad-kad ini telah diedarkan kepada wakil-wakil yang akan menyampaikannya kepada sasaran. Kepada rakan taulan, sahabat handai dan jiran tetangga yang ingin berkongsi pahala amal jariah. 

Risalah Ramadhan-siri 2 (Download)

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mensia-siakan setiap amal yang dilakukan. Infaq dalam keadaan senang atau susah akan diganjari Allah SWT. 

Bagi para sahabat yang tidak sampai kepadanya kad "JARYAH 50" dan berhasrat terlibat sama dalam amal jariah ini, boleh menyumbang terus kepada Akaun Surau Al-Fajr iaitu: No.Akaun: 560027000108 (MAYBANK)


Manusia itu zalim lagi kufur!

August 23, 2010

Krisis sosial yang melanda masyarakat kita ini seperti tidak dapat ditangani lagi. Ambil sahaja kejadian buang anak sebagai kayu ukurnya. Ia makin bertambah kian hari. Malah ia memperlihatkan kekejaman manusia yang sanggup membuang bayi yang dilahirkan diluar apa yang mampu kita bayangkan. Ada bayi yang baru dilahirkan dibuang ke dalam sungai, di tempat pembuangan sampah malah ke loji najis. Sesunguhnya apa yang kita dengar dan lihat ini menjadi petanda jelas kerosakan sosial yang kian parah.

Kini timbul cadangan-cadangan agar orang yang melakukan angkara ini diberikan hukuman yang berat hingga ke peringkat hukuman bunuh.

Manusia yang membuag anak ini tentunya dari jenis manusia yang sudah tidak menghormati peraturan. Peraturan bernegara tidak dihiraukan. Peraturan agama lebih-lebih lagi. Hubungan seks  haram tanpa rasa bersalah dan berdosa menatijahkan kandungan haram yang tidak diharapkan. Bayi yang tidak berdosa itu dilihatnya seperti tahinya sendiri. Akal waras tidak mampu lagi digunakan untuk menjadikan penilai untuk menghargai sebuah jiwa yang baru dilahirkan.

Sungguhpun begitu, apabila dicadangkan perlaksanaan hudud sebagai penyelesaian, masih ramai  orang yang meragui. Apapun yang melanda masyarakat, bagi orang-orang ini, hudud bukan penyelesaian.YB Karpal Singh, dalam cadangannya agar hukuman keras dikenakan kepada pelaku jenayah buang anak, dia masih enggan tunduk kepada usul hudud sebagai penyelesaian.

Pemimpin-pemimpin Islam yang hari ini menunggangi pemerintahan negara pun masih mencari-cari pilihan daripada Barat. Antaranya, terbaru dicadangkan penubuhan bank DNA bagi  menangani kes pembuangan bayi. Cadangan ini dari satu sudut mungkin baik untuk mengesan ibu  yang bertanggungjawab membuang bayi. Namun, apakah ia menyelesaikan masalah? Barat yang memiliki bank DNA menanggung masalah berlambaknya anak luar nikah. Satu kajian yang dilakukan di Inggeris, menjelang  lima mendatang  lebih 50 peratus kelahiran baru setiap negeri di Inggeris adalah anak luar nikah (Sumber: Times (8/04/2010). Ini akan menjurus kepada msalah lain yang lebih kronik disebabkan longgarnya institusi keluarga .

Di depan mata ada sistem Islam, tetapi sistem Barat juga yang dirindui. Cara barat juga yang difikirkan.  Benarlah kata Allah SWT:


و إن تعدوا نعمت الله لا تحصوها إن الإنسان لظلوم كفّار
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungkannya.  Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim lagi kufur kepada Allah.
(Surah Ibrahim: Ayat 34)



NOSTALGIA GENDANG SAHUR

August 20, 2010

Masya Allah! sudah jam 5.00 pagi. Sudah Subuh.  Aku terlepas waktu untuk bersahur kerana kelewatan sedar daripada lena yang membelit. Gara-gara lewat tidur disebabkan melayani kerenah anakku yang berjaga hingga lewat malam, aku terlewat bangun Sementelahan kemarin hari yang meletihkan dengan tugas persekolahan. Jam  lonceng yang aku kunci dan gantung di dinding atas kepala tidak berperanan. Entah di mana silapnya. Apakah mungkin ia tidak berbunyi atau aku sendiri yang tidak sedar. Handphoneku pula  walau telah aku setkan alarm jam 4.00 pagi, muziknya terlalu syahdu pula. Lagu  PNP murid-murid PASTI yang dinyanyikan serak-serak basah.


Aku terkenang waktu sahur di kampungku,  zaman remajaku dulu.


Pada zaman ramajaku,  terdapat satu cara untuk mengejutkan  orang sekampung untuk bangun bersahur. Caranya ialah dengan memukul 'gendang sahur' di awal dini. Ada gendang besar berkulit kerbau di masjid kampungku. Selain dipalu menandakan masuk waktu solat, pada bulan puasa ia juga sering dipalu buat mengejutkan orang bersahur. Di masjid kampungku itu, yang  selalunya yang suka memukul gendang sahur ini ialah Meli yang rumahnya hanya bersebelahan dengan masjid. Kadang-kadang Paklong Him (Paklong Ibrahim-Sudah Al-marhum) juga sering mengambil bahagian memalu gendang sahur. Gendang sahur dipukul dengan rentak tersendiri. 

Memang sesuai kalau gendang sahur dipukul buat mengejutkan orang bangun sahur pada waktu yang munasabah. Ia tentu memberi kelegaan kepada ramai orang yang bimbang tak terjaga tidur untuk bersahur.  Paluan gendang kulit kerbau memang melantun gemanya menerjah seluruh pelusuk kampung. Malah boleh sampai melangkau jarak beberapa kampung yang lain. Lebih-lebih lagi jika waktu paluannya adalah saat dini yang sunyi sepi. Sunyi sepinya dini di kampung zaman itu lebih sunyi daripada kesunyian di zaman kini. 
Namun, ada juga budak nakal yang suka bermain gendang sahur. Oleh kerana ghairah hendak memukul gendang sahur dan tak sanggup pula tunggu hingga lewat pagi, gendang sahur dipukul jam 12 malam. 

Inilah yang sering dilakukan oleh seorang remaja bernama Mat Toksin. Perbuatannya memukul gendang sahur sebelum waktunya menjadi masalah. Ia mengganggu tidur orang terutamanya yang rumahnya berjiran dengan masjid.Termasuklah rumah keluragaku yang hanya sepelaungan dari masjid.

Bapaku merupakan siak masjid. Mat Toksin takut kepada bapaku. Sekali dua bolehlah bapaku menyergah melarangnya memalu gendang sahur pada waktu yang tidak sesuai itu. Tapi, lama-kelamaan  tentu bapaku naik malas untuk mempedulikannya lagi. Dalam banyak keadaan, gendang sahur yang dipalunya itu dibuatnya sekadar melepas gian sebelum bapaku sempat melarangnya. Dia  bukan melakukan untuk menggerakkan orang bersahur. Sebab itu dipukulnya tak lama. Agak-agak sebelum sempat bapaku sampai ke masjid dan melarangnya.

Satu malam gendang sahur pukulan Mat Toksin berbunyi  jam 12 malam lebih. Bapaku ada di rumah. Dia baru pulang dari masjid selepas selesai tadarus. Bapaku sudah malas untuk ke masjid melarang perbuatan Mat Toksin itu. Aku tak senang duduk. Tak boleh tidur. Untuk menegur Mat Toksin manalah aku berani. Dia lebih tua daripadaku. Selain tubuhnya kekar, dia  juga dikenal  samseng di kalangan remaja sebayaku.

Aku pergi ke masjid dalam kegelapan malam. Dari luar pagar masjid, kelihatan kelibat Mat Toksin dan beberapa kawannya sedang rancak memalu gendang. Aku berfikir apakah cara untuk memberhentikan Mat Toksin. Aku mengambil seketul batu dan membaling ke arah pagar masjid yang dibuat daripada besi. Berdeting bunyi batu terkena pagar besi. Serta merta bunyi gendang berhenti dan kedengaran bunyi langkah seribu Mat Toksin dan kawan-kawannya. Aku membaling batu lagi beberapa kali lagi. mengenai bimbung masjid yang dibuat daripada zink dan beberapa tempat yang boleh menimbulkan bunyi.  Aku sedar mat Toksin dan kawan-kawannya lari jauh keluar pagar masjid. Mereka berkumpul di bawah  pokok jambu  batu pinggir jalan menuju Kg. Belukar Luas. Aku ketawa keras perut. Rupanya dengan mudah aku memperbodohkan Mat Toksin. 

Aku masuk ke kawasan masjid. Tiba-tiba dari tempat mereka berkumpul itu,  Mat Toksin dan kawannya memukul tin kosong pula. Mungkin belum puas mereka memukul gendang maka disambung gian itu pada tin kosong. Aku menanti di masjid dalam gelap malam itu. Lama-kelamaan paluan tin kosong itu pun berhenti. Mungkin Mat Toksin dan kawan-kawannya sudah kepenatan dan bosan. Bunyi paluan tin kosong manakan sama dengan paluan gendang kulit kerbau di masjid?


Sejak malam itu, Mat Toksin tidak lagi datang memukul gendang sahur jam 12 malam. Meli sahaja yang memukulnya jam 5 pagi. Kadang-kadang arwah Paklong Him. Sampai hari ini Mat Toksin bukannya tahu bahawa akulah yang mainkan dia malam itu.

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan mengandungi beberapa kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Berdasarkan nas-nas Al-Quran maupun hadis, mari kita renungkan kelebihan-kelebihan tersebut:-


1) Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran.

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)
(Surah Al-baqarah: 185) 

2) Dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai segala syaitan derhaka.
Sabda Rasulullah SAW:

إذا دخل رمضان فتحت أبواب السماء، وغلقت أبواب جهنم، وسلسلت الشياطين، وفي رواية: إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة

 "Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai segala Syaitan. Dalam sebuah riwayat: Bila datang bulan Ramadhan dibukakan pintu-pintu syurga".
(Riwayat Bukhari)

3) Pahala amal di bulan Ramadhan berganda. Ketika ditanya kepada baginda apakah sedekah yang paling afdhal, baginda menjawab:
صدقة في رمضان

" Iaitu sedekah dibulan Ramadhan".
(Riwayat Tarmizi dan Baihaqi)

4) Terdapat kelebihan bagi orang yang menjamu orang berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW:

من فطر صائماً فله مثل أجره من غير أن ينقص من أجر الصائم شيء

 
 " Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa maka baginya pahala sepertimana orang yang berpuasa itu tidak kurang pahalanya daripada orang berpuasa itu sedikitpun".
 (Hadis Hasan Saheh riwayat Tarmizi dan lain-lain)

5)  Terdapat satu malam padanya bernama malam Al-Qadar. Sabda Rasulullah SAW:

من قام ليلة القدر إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه

"Siapa yang mendirikanmalam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah maka diampunkan dosanya yang telah terdahulu".
(Muttafaq alaih)

6) Banyaknya malaikat turun padanya. Firman Allah SWT:

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا
"Turun pada malam itu malaikat dan Jibrail as".
(Surah Al-Qadar: Ayat 4)

7) Terdapat padanya amalan bersahur yang menjadi pembeza antara ummat Muhammad dengan yahudi dan nasrani serta mengandungi keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:

فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر
 " Beza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur".
(Hadis riwayat Muslim)

Dan sabda baginda lagi mengenai sahur:

تسحروا فإن في السحور بركة

 " Bersahurlah oleh kamu, maka sesungguhnya sahur itu berkat".
(Muttafaq alaih)

8) Pada bulan Ramadhan berlakunya perang Badar Al-Kubra. Dalam perang tersebut, Allah turunkan malaikat membantu tentera muslimin dan kemenangan yang sempurna menjadi milik tentera Islam.

9) Pada bulan ramadhan juga berlakunya peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah). Peristiwa tersebut merupakan titik penting kemenangan Islam. Ia merupakan permulaan kepada  perluasan empayar Islam ke Timur dan Barat pada zaman sesudah kewafatan Rasulullah SAW.

10) Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai haji. Sabda Rasulullah SAW:

عمرة في رمضان تعدل حجة

" Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai haji".
(Hadis Bukhari dan Muslim)

11) Menjadi sebab keampunan dosa. Sabda Rasulullah SAW:

الصلوات الخمس، والجمعة إلى الجمعة، ورمضان الى رمضان مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر
"Solat lima waktu, Jumuat hingga Jumuat berikutnya dan Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya menyucikan dosa antara keduanya selagi tidak melakukan dosa besar".
(Riwayat Muslim)
12) Pada malam bulan Ramadhan ada solat sunat taraweh dan tiada pada bulan yang lain.
13) Manusia menjadi bertambah pemurah di bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radiyallahu anhuma:

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون في رمضان
" Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah dan baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

14) Puasa bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam. Tidak sempurna Islam seseorang melainkan dengan menunaikan ibadah puasa. Sabda Rasulullah SAW:

بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله، وإقام الصلاة، وإيتاء الزكاة، وصوم رمضان، وحج البيت الحرام
" Terbinanya Islam itu di atas lima perkara: Syahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah, Mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa Ramadhan dan melaksanakan haji di Baitullahil Haram".
(Muttafaq Alaih)


15) Pada bulan Ramadhan terdapat banyak kebaikan dan ramai orang cenderung untuk berbuat baik. Sebab itu kita lihat ramai orang suka mendatangi masjid di malam-malam Ramadhan dan perkara yang sebegini kita tidak lihat di bulan-bulan yang lain.


Dipetik daripada: Islamway


Antara Puasa sebagai Ibadah dan Adat.

August 18, 2010

Saudara/i…Marilah kita merenung sejenak, puasa jenis apakah yang sedang kita lakukan. Apakah puasa atas tuntutan ibadah ataupun adat? Apakah kita berpuasa kerana menunaikan perintah Allah SWT atau kerana kebiasaan? Kerana sudah menjadi kebiasaan sejak aku kanak-kanak aku berpuasa, maka aku terus berpuasalah! Atau…kan ini bulan puasa? Aku puasalah!

Mari kita lihat perkara berikut dan muhasabah buat diri sendiri:

1. Berpuasa tetapi tidak solat!

Kalau puasa kerana ibadah, tentu kita akan mendirikan solat juga kerana solat itu pun ibadah. Malah solat rukun Islam kedua. Puasa pula rukun Islam ketiga. Solat tiang agama. Tanpa tiang, runtuhlah agama.

2. Berpuasa tetapi tidak menutup aurat!

Berpakaian seksi, sendat dan mendedahkan bentuk badan itu haram. Allah melarangnya. Kalau anda berpuasa kerana tuntutan ibadah tentu anda tak mendedahkan aurat. Anda akan berusaha menutup aurat sebagaimana anda menutup aurat dalam ibadah solat.

3. Menangguhkan maksiat di bulan puasa.

Sebelum masuk bulan puasa suka duduk lepak dengan couple di tembok berjam-jam. Minum arak, tikam nombor toto dan bermacam-macam maksiat dibuat tanpa rasa malu kepada Allah SWT. Masuk bulan puasa, berhenti buat maksiat. Kononnya hormati bulan puasa. Tinggalkan maksiat kerana Allah atau kerana bulan puasa? Sepatutnya, masuk bulan puasa kita bertaubat nasuha dan berazam tinggalkan maksiat itu buat selamanya.

4. Ke masjid hanya di bulan puasa.

Biasalah, bulan puasa ni kita pergi taraweh di masjid. Nanti bila sudah berlalu bulan puasa, tiadalah hendak dijenguk masjid. Datang masjid kerana siapa? Allah atau bulan puasa? Kalau puasa sebagai ibadah, masjid kita penuhkan sepanjang masa tak kira Ramadhan atau selepasnya.

5. Solat taraweh pada malam tertentu sahaja.

Kerana mendapat maklumat daripada hadis palsu yang banyak disebar dalam masyarakat, ada orang pilih malam tertentu sahaja untuk bertaraweh. Malam yang paling menarik ganjarannya. Ibadah tidak boleh sama sekali kepada hadis palsu!

6. Bulan puasa bukan bulan pesta makan.

Kekadang, melihat kepada ramainya orang mengerumuni bazaar Ramadhan, tergambar seolah-olah Ramadhan itu bulan makan-makan. Ditambah pula dengan pakej berbuka pelbagai juadah yang ditawarkan hotel dasn restoran. Kalau berpuasa kerana ibadah, masa berbuka bukannya masa membalas dendam perut berlapar seharian!

7. Karut marut bulan puasa.

Masih terdapat kepercayaan karut berkaitan puasa dan bulan Ramadhan. Mandi puasa dikatakan perlu dilakukan sebelum masuk Ramadhan. Ada pula yang puasa 3 hari sebulan sahaja. Ada pasang pelita malam 7 likur kononnya supaya malaikat nampak jalan ke rumahnya. Ada pula yang percaya ruh pulang di malam tersebut. Kalau puasa kerana ibadah, segala karut marut perlu dibuang. Menuntut ilmu Islam berdasarkan Quran dan Hadis adalah penawarnya.

8. Merungkai simpulan taqwa di hari raya.

Setelah sebulan berpuasa diharapkan mendapat taqwa. Memang nampak macam taqwa semasa Ramadhan. Bila sudah tiba hari raya, segala kesolehan hilang dan pantang larang semasa Ramadhan pun habis dilanggar. Didikan Ramadhan sebulan ternyata tidak membuahkan hasil.

Ibadahkah atau cuma adat kebiasaan puasa sebegitu? Puasa kerana adat cuma lapar dan dahaga.

Sama-samalah kita memperbaiki kualiti puasa kita agar lahir sebagai insan bertaqwa.


*Bahan ini telah diterbitkan untuk Risalah Ramadhan DPPKS

BONUS RAMADHAN

August 15, 2010

RISALAH RAMADHAN (SIRI 1)-SURAU AL-FAJR

August 11, 2010

Risalah Ramadhan-Siri 1 (Download)


Puasa: Usah diikut fatwa nenek moyang

"Kami bangsa Kagayan. Menurut nenekku, siapa yang puasa pada hari pertama, dia hendaklah berpuasa pada keseluruhan bulan Ramadhan. Jika tidak, dia berdosa besar...", demikian seorang muridku menceritakan.

"Jadi? siapa yang tidak berpuasa pada hari pertama, bolehlah dia ponteng pada hari-hari lain di bulan Ramadhan?", soalku.

"Ya, begitulah...", akui murid itu."Betul ke tu ustaz?", dia bertanya.

"Tentulah salah. Meninggalkan puasa pada mana-mana hari tanpa alasan yang dibenarkan adalah dosa besar....", jawabku.

Mengapa banyak kepercayaan dan pendapat karut dibuat berkaitan puasa oleh masyarakat terdahulu?Dari sumber manakah datangnya fatwa-fatwa sebegini? Islam yang aku pelajari tidak pernah menemukan aku dengan fatwa-fatwa aneh ini. Padahal, Islam yang aku pelajari adalah bersumberkan Al-Quran dan Hadis serta perbahasan para ulama dan kitab-kitab karangan yang pelbagai. Aku meyakini kebenaran ilmu Islamku dan penyimpangan fatwa-fatwa tersebut.

Dulu, sewaktu aku di kepulauan dalam masyarakat Suluk, aku diberitahu bahawa siapa yang tidak mandi puasa, maka puasanya tidak sah. Oleh itu, masuk sahaja bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah mandi puasa. Ada seorang memberitahuku bahawa puasa dalam sebulan hanya ada 3 hari iaitu puasa menghantar anak bulan, puasa menyalam matahari dan satu lagi istilah yang aku lupa namanya. Di samping itu, terdapat kejahilan dalam menanggapi perkara-perkara yang membatalkan puasa. Menelan air liur dikatakan batal puasa. Kalau puasa tak boleh mandi. Kerja nelayan tak boleh puasa sebab terlibat dengan aktiviti penyelaman. Terluka membatalkan puasa dan bermacam-macam lagi.

"Jangan merujuk hal agama dengan nenek moyang kamu...rujuklah kepada ustaz dan ustazah!", demikian aku menegaskan buat murid-murid yang sedang bersekolah di pedalaman ini.

Puasa hari syak

August 10, 2010

Hari syak adalah hari terakhir dalam bulan Sya'ban. Bulan dalam Islam samada 29 hari atau 30 hari. Oleh itu, hari syak adalah sehari atau 2 hari sebelum masuknya Ramadhan. Pada hari syak dilarang daripada puasa. Namun puasa yang dilarang itu ialah puasa sunat bagi mereka yang bukan kebiasaannya berpuasa pada hari yang kebetulan jatuh padahari syak. Seandainya, diumpamakan seseorang yang menjadikan kebiasaan berpuasa pada hari Isnin dan khamis, lalu hari syak itu bertepatan dengan hari di mana dia biasa berpuasa, maka dia tidaklah termasuk dalam larangan ini.

Larangan berpuasa pada hari syak adalah berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW. 

Sabda Rasulullah SAW: 



لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلا يَوْمَيْنِ إِلا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

Jangan kamu semua mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari, melainkan bagi seorang lelaki yang ia sentiasa dengan berpuasa, maka bolehlah dia berpuasa.” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam An-Nawawi menulis dalam Al-Majmu' (6/399):


قَالَ أَصْحَابُنَا : لا يَصِحُّ صَوْمُ يَوْمِ الشَّكِّ عَنْ رَمَضَانَ بِلا خِلافٍ . . . فَإِنْ صَامَهُ عَنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ كَفَّارَةٍ أَجْزَأَهُ ، لأَنَّهُ إذَا جَازَ أَنْ يَصُومَ فِيهِ تَطَوُّعًا لَهُ سَبَبٌ فَالْفَرْضُ أَوْلَى , كَالْوَقْتِ الَّذِي نُهِيَ عَنْ الصَّلاةِ فِيهِ , وَلأَنَّهُ إذَا كَانَ عَلَيْهِ قَضَاءُ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ , فَقَدْ تَعَيَّنَ عَلَيْهِ ; لأَنَّ وَقْتَ قَضَائِهِ قَدْ ضَاقَ اهـ


“Berkata sahabat-sahabat kami (dari mazhab al-Syafie) : “Tidak sah puasa pada hari syak dari masuknya Ramadhan tanpa khilaf…, Jika dilakukan padanya puasa qadha atau Nazar atau kafarah, ianya diterima, ini kerana apabila diharuskan puasa padanya (hari syak) dengan puasa sunat yang telah menjadi kebiasaan, maka puasa fardhu (seperti Qadha dan seumpamanya) adalah lebih utama (untuk dikatakan harus, ini seperti mana waktu-waktu yang diharamkan solat, kerana jika pada seseorang itu ada puasa qadha ramdhan sehari, maka sesungguhnya dia mesti mengqadhakannya, kerana waktu qadhanya telah menjadi sempit.”

Rujukan: Islamqa

Tahlil lepas solat maghrib

August 7, 2010

Majlis tahlil arwah dibuat selepas solat Maghrib. Ahli jemaah surau dan masjid sering dijemput. Sememangnya ahli jemaah surau dan masjidlah yang sering diharapkan oleh keluarga yang mengadakan majlis tahlil arwah untuk hadir. Sungguhpan yang mengadakan majlis tahlil arwah itu tak pernah menjejaki kaki ke surau dan masjid. Mungkin, kalau jejak kaki ke masjid pun sekali seminggu iaitu pada hari jumuat.

Bagi sesetengah orang, mengadakan majlis tahlil arwah itu semacam sudah wajib. Lebih-lebih lagi bila tibanya bulan Sya'ban, yang dikenali sebagai bulan arwah. Kekadang dalam satu masa ahli jemaah surau dan masjid menerima beberapa jemputan untuk ke majlis tahlil arwah. Jenuhnya majlis tahlil arwah ini ketara apabila Sya'ban menjelang penghujung dan Ramadhan mula mendekat.

Persoalan tahlil arwah memang terdedah kepada pro dan kontra. Terdapat kalangan masyarakat yang membela majlis tahlil arwah dan menyifatkannya sebagai amalan yang baik dalam masyarakat. terdapat pula kalangan yang menyifatkan tahlil arwah sebagai amalan yang tidak punya dasar dalam agama malah menghukumkannya sebagai bid'ah. Golongan yang memilih pendekatan konfrontasi dengan kebiasaan tahlil arwah ini selalunya dianggap sebagai golongan wahabi.

Sama ada pro dan kontra, masing-masing bersandarkan hujah dan keyakinan masing-masing. Memang sukar mempertemukan kedua-duanya pada satu titik yang sama. Pendokong tahlil akan terus mewariskan amalan itu kepada generasi seterusnya. Penentang tahlil akan mengambil pendekatan mengikisnya. Ada yang keras membabi buta dan ada yang berhikmah.

Apa yang ingin kutulis bukan pro kontra dua pandangan ini. Biarkan masa menentukan pihak mana yang akan mendominasi pemikiran masyarakat.

Apabila dijemput ke majlis tahlil, aku hadir. Aku tidak menolak secara total. Beberapa penyimpangan memerlukan masa untuk dibetulkan. Pembetulan itu memerlukan kita hadir bersama. Jika perlu dan berpeluang, kita hendaklah menerapkan pembetulan tersebut secara perlahan-lahan agar ia mudah diterima.

Namun, jemputan ke majlis tahlil selepas solat maghrib sukar untuk aku bertasamuh dan raikan. Aku mengambil pendirian tidak akan menghadirinya sekalipun anjuran jiran atau sahabat sendiri. Selepas maghrib seharusnya kita isi dengan program kuliah-kuliah di masjid atau setidak-tidaknya menunggu masuknya waktu insya. Walhasil, kalau menghadiri majlis tahlil sesudah solat Maghrib, alamatnya terlepaslah solat insya berjemaah.

Ahli masjid tidak harus melayani jemputan tahlil arwah sebegini. Masyarakat perlu diajar agar menghargai solat berjemaah. Biar masyarakat sedar apakah nilai majlis tahlil berbanding solat berjemaah. Sesungguhnya, antara solat berjemaah dengan majlis tahlil tidak boleh dibandingkan. Solat berjemaah adalah sunnah yang pasti dan tuntutannya tinggi sekali. Sementara majlis tahlil, tidak boleh diletakkan dalam neraca sunnah pun. Sesetengah memandangnya sebagai 'hasanah' dan sesetengah menyifatkannya bid'ah. Sebaliknya, belum pernah ada ulama yang meragui sunnahnya solat berjemaah!

Apakah penganjur majlis tahlil tidak boleh bersabar sehingga selepas solat insya? Tidak malukah khalifah majlis tahlil dan tetamu-tetamu yang datang berzikir memuji Allah sedangkan saat itu azan sedang dilaungkan disurau dan masjid? Allah sedang melayani tetamunya di masjid dan surau sedangkan orang-orang yang bertahlil di rumah pula berzikir menyebut nama Allah dan meminta kepadaNya. Mungkinkah Allah akan memakbulkan permintaan mereka yang dengan sengaja tidak hadir ke majlisNYa?

Ma'assalamah...saya tidak akan menghadiri majlis tahlil selepas solat maghrib.Titik.

Hamba Allah atau Hamba Ramadhan?

August 6, 2010

Ketika seorang penceramah hebat dari semberang bertandang menyampaikan ceramah di masjid-masjid Sandakan baru-baru ini, ramai orang yang berduyun-duyun mendatangi masjid untuk mendengar ceramahnya. Alhamdulillah. Rupanya penceramah agama juga boleh menarik ramai khalayak.Tentunya permandangan ini lebih menyenangkan hati kita berbanding melihat orang berbondong-bondong ke konsert dan pertunjukan artis-artis yang terkinja-kinja dengan pakaian tidak senonoh di atas pentas. Mendatangi majlis penceramah adalah petanda kesolehan manakala mendatangi majlis para artis adalah petanda ketolehan.

Namun, sebahagian besar mereka datang ke masjid bukan kerana menyahut seruan Allah. Mereka datang kerana menyahut seruan penceramah terbilang itu.

Ketika Ramadhan mula menyapa kita minggu hadapan, kita akan melihat orang ramai berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk solat sunat taraweh. Alhamdulillah. Rupanya orang yang mengunjungi masjid dan surau tidak kalah daripada ramainya orang yang mengunjungi pasaraya di hujung bulan sewaktu gaji sudah diterima. Wajah-wajah yang kita pernah saksikan Ramadhan musim lalu akan kita saksikan semula di Ramadhan musim ini. Kita wajar bersyukur. Pertamanya kerana kita sendiri masih sempat melihat mereka. Keduanya, kerana mereka masih diberi kesempatan untuk dilihat di masjid dan surau.

Setelah hampir setahun berkelana di muka bumi, jalan  ke masjid dan surau tidak ditemui. Seruan-seruan kalimah mengagungkan Allah tidak dapat menjadi panggilan yang memikat hati. Barangkali, sama sahaja antara laungan azan dengan lagu burung tukang di malam hari buat mereka yang penasaran tidak menemui jalan kembali ke masjid dan surau itu. Mujurlah seruan Ramadhan dapat memikat mereka.

Mereka yang hampir setahun meraba tidak menemui jalan pulang terpanggil dengan seruan Ramadhan seperti mana sebahagian orang terpanggil dengan kemasyhuran nama si penceramah terbilang.

Cuma, satu persoalan buat renungan kita semua. Mereka yang mengerumuni si penceramah, hamba siapakah mereka? Hamba si pencermah atau Allah? Mereka yang mengerumuni Ramadhan, hamba siapakah mereka? Hamba Ramadhan atau Allah?

Kalau tidak kerana ada penceramah di masjid, apakah kita tidak perlu datang ke masjid dan surau? Kalau tidak kerana Ramadhan, apakah kita tidak disuruh datang ke masjid dan surau. Siapakah pujaan hati kita. Kalau penceramah dan Ramadhan itu pujaan hati, ia pergi dan datang. Tetapi, kalau Allah itu pujaan hati, dia tetap ada di masjid dan Surau!

Si penceramah tak salah. Demikian juga Ramadhan. Malah semua yang disembah selain Allah itu tidak harus dipersalahkan. Mereka yang tidak pernah berkata 'sembahlah aku", tidak patut dikambinghitamkan lantaran disembah para pemujanya. Mereka yang tidak meredai dirinya disembah, tidak terpalit dengan dosa para penyembahnya. Sebagaimana pengikut kristian menyembah Jesus, bukan nabi Isa A.S yang salah! Yang salah adalah penyembah yang mengabdikan diri kepada yang lain selain Allah.

Ramadhan tahun ini, mari kita muhasabah diri. Hamba Allahkah kita atau hamba Ramadhan? Jika kita hanya rajin beribadat, mengunjungi masjid dan surau cuma pada bulan Ramadhan, itu tandanya kita hamba Ramadhan. Menginsafi hal ini, jadikan Ramadhan tahun ini sebagai bulan mengubah diri agar kembali memperhambakan diri kepada Allah. Lalu buktikannya dengan kelangsungan amal Ramadhan sesudah Ramadhan.

Allah yang menyatukan hati

August 3, 2010



لو أنفقت ما في الأرض جميعا ما ألفت بين قلوبهم ولكن الله ألف بينهم إنه عزيز حكيم
Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah Telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya dia Maha gagah lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Anfal: Ayat 63)

Dalam beberara minggu terakhir ini, isu perpaduan antara UMNO dan PAS kembali hangat diperkatakan.  Komen-komen daripada pelbagai pihak kembali muncul di media. Komen daripada sang mufti, tok guru pondok, tokoh akademik dan pimpinan masyarakat digali dan dipaparkan oleh media massa arus perdana bagi tujuan mewajarkan idea perpaduan UMNO-PAS. Namun, semua lontaran idea tersebut berpijak kepada idealisma yang naif politik dari kalangan yang bukan pemain laskar politik negara. Orang yang bukan perencana wajah politik ini, bukan mereka yang akan bertanggungjawab menanggung akibat daripada apa yang mereka lontarkan mengenai politik.

Lagak orang suci hati, mereka menyeru perpaduan demi ummat Melayu. Saya yakin, andainya perpaduan itu dibentuk lalu berlaku mainan politik dan ada pihak yang menanggung kerugian,  pemukul gendang perpaduan itu kelak akan cuci tangan dan akan berkhulwat di gua batu. Mereka akan mengatakan "aku tak tahu apa-apa".

Perpaduan politik UMNO-PAS, sejauh ini diwarnai dengan pengkhianatan.  



يا أيها النبي حسبك الله ومن اتبعك من المؤمنين

Cukuplah Allah buat kita dan pendokong yang beriman!