Masya Allah! sudah jam 5.00 pagi. Sudah Subuh. Aku terlepas waktu untuk bersahur kerana kelewatan sedar daripada lena yang membelit. Gara-gara lewat tidur disebabkan melayani kerenah anakku yang berjaga hingga lewat malam, aku terlewat bangun Sementelahan kemarin hari yang meletihkan dengan tugas persekolahan. Jam lonceng yang aku kunci dan gantung di dinding atas kepala tidak berperanan. Entah di mana silapnya. Apakah mungkin ia tidak berbunyi atau aku sendiri yang tidak sedar. Handphoneku pula walau telah aku setkan alarm jam 4.00 pagi, muziknya terlalu syahdu pula. Lagu PNP murid-murid PASTI yang dinyanyikan serak-serak basah.
Pada zaman ramajaku, terdapat satu cara untuk mengejutkan orang sekampung untuk bangun bersahur. Caranya ialah dengan memukul 'gendang sahur' di awal dini. Ada gendang besar berkulit kerbau di masjid kampungku. Selain dipalu menandakan masuk waktu solat, pada bulan puasa ia juga sering dipalu buat mengejutkan orang bersahur. Di masjid kampungku itu, yang selalunya yang suka memukul gendang sahur ini ialah Meli yang rumahnya hanya bersebelahan dengan masjid. Kadang-kadang Paklong Him (Paklong Ibrahim-Sudah Al-marhum) juga sering mengambil bahagian memalu gendang sahur. Gendang sahur dipukul dengan rentak tersendiri.
Memang sesuai kalau gendang sahur dipukul buat mengejutkan orang bangun sahur pada waktu yang munasabah. Ia tentu memberi kelegaan kepada ramai orang yang bimbang tak terjaga tidur untuk bersahur. Paluan gendang kulit kerbau memang melantun gemanya menerjah seluruh pelusuk kampung. Malah boleh sampai melangkau jarak beberapa kampung yang lain. Lebih-lebih lagi jika waktu paluannya adalah saat dini yang sunyi sepi. Sunyi sepinya dini di kampung zaman itu lebih sunyi daripada kesunyian di zaman kini.
Namun, ada juga budak nakal yang suka bermain gendang sahur. Oleh kerana ghairah hendak memukul gendang sahur dan tak sanggup pula tunggu hingga lewat pagi, gendang sahur dipukul jam 12 malam.
Inilah yang sering dilakukan oleh seorang remaja bernama Mat Toksin. Perbuatannya memukul gendang sahur sebelum waktunya menjadi masalah. Ia mengganggu tidur orang terutamanya yang rumahnya berjiran dengan masjid.Termasuklah rumah keluragaku yang hanya sepelaungan dari masjid.
Bapaku merupakan siak masjid. Mat Toksin takut kepada bapaku. Sekali dua bolehlah bapaku menyergah melarangnya memalu gendang sahur pada waktu yang tidak sesuai itu. Tapi, lama-kelamaan tentu bapaku naik malas untuk mempedulikannya lagi. Dalam banyak keadaan, gendang sahur yang dipalunya itu dibuatnya sekadar melepas gian sebelum bapaku sempat melarangnya. Dia bukan melakukan untuk menggerakkan orang bersahur. Sebab itu dipukulnya tak lama. Agak-agak sebelum sempat bapaku sampai ke masjid dan melarangnya.
Satu malam gendang sahur pukulan Mat Toksin berbunyi jam 12 malam lebih. Bapaku ada di rumah. Dia baru pulang dari masjid selepas selesai tadarus. Bapaku sudah malas untuk ke masjid melarang perbuatan Mat Toksin itu. Aku tak senang duduk. Tak boleh tidur. Untuk menegur Mat Toksin manalah aku berani. Dia lebih tua daripadaku. Selain tubuhnya kekar, dia juga dikenal samseng di kalangan remaja sebayaku.
Aku pergi ke masjid dalam kegelapan malam. Dari luar pagar masjid, kelihatan kelibat Mat Toksin dan beberapa kawannya sedang rancak memalu gendang. Aku berfikir apakah cara untuk memberhentikan Mat Toksin. Aku mengambil seketul batu dan membaling ke arah pagar masjid yang dibuat daripada besi. Berdeting bunyi batu terkena pagar besi. Serta merta bunyi gendang berhenti dan kedengaran bunyi langkah seribu Mat Toksin dan kawan-kawannya. Aku membaling batu lagi beberapa kali lagi. mengenai bimbung masjid yang dibuat daripada zink dan beberapa tempat yang boleh menimbulkan bunyi. Aku sedar mat Toksin dan kawan-kawannya lari jauh keluar pagar masjid. Mereka berkumpul di bawah pokok jambu batu pinggir jalan menuju Kg. Belukar Luas. Aku ketawa keras perut. Rupanya dengan mudah aku memperbodohkan Mat Toksin.
Aku masuk ke kawasan masjid. Tiba-tiba dari tempat mereka berkumpul itu, Mat Toksin dan kawannya memukul tin kosong pula. Mungkin belum puas mereka memukul gendang maka disambung gian itu pada tin kosong. Aku menanti di masjid dalam gelap malam itu. Lama-kelamaan paluan tin kosong itu pun berhenti. Mungkin Mat Toksin dan kawan-kawannya sudah kepenatan dan bosan. Bunyi paluan tin kosong manakan sama dengan paluan gendang kulit kerbau di masjid?
Sejak malam itu, Mat Toksin tidak lagi datang memukul gendang sahur jam 12 malam. Meli sahaja yang memukulnya jam 5 pagi. Kadang-kadang arwah Paklong Him. Sampai hari ini Mat Toksin bukannya tahu bahawa akulah yang mainkan dia malam itu.
0 comments:
Post a Comment