Bulan Ramadhan mengandungi beberapa kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Berdasarkan nas-nas Al-Quran maupun hadis, mari kita renungkan kelebihan-kelebihan tersebut:-
1) Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran.
Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)
(Surah Al-baqarah: 185)
2) Dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai segala syaitan derhaka.
Sabda Rasulullah SAW:
إذا دخل رمضان فتحت أبواب السماء، وغلقت أبواب جهنم، وسلسلت الشياطين، وفي رواية: إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة
"Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai segala Syaitan. Dalam sebuah riwayat: Bila datang bulan Ramadhan dibukakan pintu-pintu syurga".
(Riwayat Bukhari)
3) Pahala amal di bulan Ramadhan berganda. Ketika ditanya kepada baginda apakah sedekah yang paling afdhal, baginda menjawab:
صدقة في رمضان
" Iaitu sedekah dibulan Ramadhan".
(Riwayat Tarmizi dan Baihaqi)
4) Terdapat kelebihan bagi orang yang menjamu orang berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW:
من فطر صائماً فله مثل أجره من غير أن ينقص من أجر الصائم شيء
" Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa maka baginya pahala sepertimana orang yang berpuasa itu tidak kurang pahalanya daripada orang berpuasa itu sedikitpun".
(Hadis Hasan Saheh riwayat Tarmizi dan lain-lain)
5) Terdapat satu malam padanya bernama malam Al-Qadar. Sabda Rasulullah SAW:
من قام ليلة القدر إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه
"Siapa yang mendirikanmalam Al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah maka diampunkan dosanya yang telah terdahulu".
(Muttafaq alaih)
6) Banyaknya malaikat turun padanya. Firman Allah SWT:
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا
"Turun pada malam itu malaikat dan Jibrail as".
(Surah Al-Qadar: Ayat 4)
7) Terdapat padanya amalan bersahur yang menjadi pembeza antara ummat Muhammad dengan yahudi dan nasrani serta mengandungi keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر
" Beza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur".
(Hadis riwayat Muslim)
Dan sabda baginda lagi mengenai sahur:
تسحروا فإن في السحور بركة
" Bersahurlah oleh kamu, maka sesungguhnya sahur itu berkat".
(Muttafaq alaih)
8) Pada bulan Ramadhan berlakunya perang Badar Al-Kubra. Dalam perang tersebut, Allah turunkan malaikat membantu tentera muslimin dan kemenangan yang sempurna menjadi milik tentera Islam.
9) Pada bulan ramadhan juga berlakunya peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah). Peristiwa tersebut merupakan titik penting kemenangan Islam. Ia merupakan permulaan kepada perluasan empayar Islam ke Timur dan Barat pada zaman sesudah kewafatan Rasulullah SAW.
10) Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai haji. Sabda Rasulullah SAW:
عمرة في رمضان تعدل حجة
" Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai haji".
(Hadis Bukhari dan Muslim)
11) Menjadi sebab keampunan dosa. Sabda Rasulullah SAW:
الصلوات الخمس، والجمعة إلى الجمعة، ورمضان الى رمضان مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر
"Solat lima waktu, Jumuat hingga Jumuat berikutnya dan Ramadhan hingga Ramadhan berikutnya menyucikan dosa antara keduanya selagi tidak melakukan dosa besar".
(Riwayat Muslim)
12) Pada malam bulan Ramadhan ada solat sunat taraweh dan tiada pada bulan yang lain.
13) Manusia menjadi bertambah pemurah di bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radiyallahu anhuma:
كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون في رمضان
" Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah dan baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
14) Puasa bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam. Tidak sempurna Islam seseorang melainkan dengan menunaikan ibadah puasa. Sabda Rasulullah SAW:
بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله، وإقام الصلاة، وإيتاء الزكاة، وصوم رمضان، وحج البيت الحرام
" Terbinanya Islam itu di atas lima perkara: Syahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah, Mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa Ramadhan dan melaksanakan haji di Baitullahil Haram".
(Muttafaq Alaih)
15) Pada bulan Ramadhan terdapat banyak kebaikan dan ramai orang cenderung untuk berbuat baik. Sebab itu kita lihat ramai orang suka mendatangi masjid di malam-malam Ramadhan dan perkara yang sebegini kita tidak lihat di bulan-bulan yang lain.
Dipetik daripada: Islamway
Dipetik daripada: Islamway
0 comments:
Post a Comment