Dunia ini penuh dengan kemelut yang tidak pernah habis. Aku telah hidup menjangkau lebih sepertiga abad. Ramai kawan-kawanku telah mencapai dunia setakat yang mereka telah capai. Pencapaianku tak seberapa kalau hendak dibandingkan dengan mereka. Ada kalangan sahabat sepengajianku dahulu, kini telah menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan. Tidak kurang juga yang berkerja sendiri dan berjaya dalam perniagaan.
Mungkin ada juga yang masih mengais-mengais mencari keberuntungan nasib dalam dunia yang sementara ini.
Aku? Setakat ini sekadar seorang guru biasa. Aku bersyukur dan setakat ini merasa puas menjadi seorang pendidik. Lebih-lebih lagi pendidik yang diamanahkan untuk melebarkan sayap kefahaman agama di kalangan generasi baru negeri di bawah bayu. Aku tidak menaruh harapan tinggi tentang dunia ini. Aku tidak bercita-cita untuk menjadi seorang jutawan. Aku juga tidak bercita-cita untuk menjadi orang besar yang menjawat pos penting dalam pemerintahan. Aku bercukupan dengan kehidupan serba sederhana yang aku miliki sekarang.
Aku membayangkan hari tuaku. Aku ingin sekali mencari satu daerah terpencil buat menetap dan berkampung halaman. Aku membayangkan, alangkah indah sekiranya aku dapat bermastautin di perkampungan berkabus di kaki banjaran titiwangsa. Aku membayangkan flora dan fauna serta sungai dan bau hutan bakaran huma. Jauh dari kesibukan kota dan sengketa manusia, aku menghabiskan hujung usia dalam taqarrub kepada Tuhan dalam satu koloni pendalaman sunyi dan bahagia.
Itu Cuma impian. Aku tidak pasti ke mana Allah akan lontarkan aku. Apakah amanah dan beban khilafah yang akan Allah pikulkan buatku. Malah, apakah aku berkesempatan mencicipi usia tua dalam kehdupan singkat ini.
Justeru, hari ini, dalam usia muda yang diberikan Allah SWT, aku cuba memanjat gunung tajalli. Merasai kebesaran Tuhan dalam hidup dan kehinaan dunia, adalah satu perjuangan nurani yang bukan sedikit memerlukan mujahadah. Kenangkan firman Allah SWT:
تلك الدر الآخرة نجعلها للذين لا يريدون علوا في الأرض و لا فسادا و العاقبة للمتقين
Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerusakan di (muka) bumi. dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-Qashas: 83)
Tanpa merasakan kebesaran Allah, akan berkaratlah rasa cinta kepada rumah sendiri melebihi rumah Allah. Akan bergelumanglah diri dalam cinta asmara dengan isteri melebihi cinta kepada perjuangan. Ketika azan dilaungkan, hati yang dipalit duniawi akan membisikkan, solatlah di rumah bersama isterimu. Ketika seruan perjuangan dikumandangkan, akan bersilih ganti alasan-alasan yang disandarkan.
Alangkah sukarnya memanjat gunung tajalli.
Di kemuncak gunung tajalli, akan merasai nikmat takhlli. Itulah kemanisan madu keimanan yang selama ini dituturkan di lidah tetapi jarang sekali dirasai dengan jiwa. Apalagi untuk dibuktikan dengan raga.
Bukan mudah mencicipi madu takhalli!
Bebahagialah mereka yang diberi nikmat mecicipinya. Mereka yang telah diberi nikmat takhalli akan terjun ke tengah masyarakat, menjadi contoh tauladan kepada ummat, sebagai qudwah yang akan berjalan di atas toriq nubuwwah. Mereka memperlihatkan keindahan tahalli, menjadi kekaguman buat orang yang menyaksi.
Bukan senang menyarungkan pakaian tahalli!
Bukan senang menyarungkan pakaian tahalli!
Wahai Tuhan…kurniakan kami tajalli…takhalli dan tahalli…
0 comments:
Post a Comment