Menggemparkan...sejadah berdiri minta susu botol!
Kejadian ini berlaku di Taman Fajar di sebuah rumah yang tidak perlu dinyatakan identitinya agar tidak menimbulkan kegemparan kepada masyarakat setempat. Sejadah yang selama ini digunakan sebagai alas solat, tiba-tiba dilihat berdiri di hadapan botol susu. Melihat kepada gaya sejadah ini, adalah dianggarkan umurnya sekitar setahun atau 2 tahun kerana masih berminat kepada botol susu.
Adalah dipercayai bahawa dengan kejadian terbaru ini, ia adalah lebih pelik berbanding kejadian-kejadian sebelumnya. Besar kemungkinan akan banyak lagi sejadah berdiri selepas ini. Berdiri solat. Berdiri minta susu. Berdiri menari. Mungkin akan ada berdiri menari shuffle yang menjadi kegilaan anak muda hari ini.
Samada berdiri sendiri atau didirikan...siapa yang tahu?
Komentar Isu:
Sebelum ini, diberitakan berlaku kejadian sejadah berdiri di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Media massa melaporkan dan orang ramai, terutama yang berdekatan berduyun-duyun pergi menyaksikan perkara yang dikatakan pelik bin ajaib tersebut. Terbaru, media massa melaporkan lagi. 35 Sejadah berdiri serentak. kali ini di Pasir Mas Kelantan. 35 Sejadah tersebut dikatakan berdiri dalam bentuk seperti saf solat. Kali ini, masuk berita jam 8 TV3. Dua tiga malam isu itu diperkatakan. Pejabat agama turun tangan. Mufti beri komen. Ada yang kata ia adalah tanda kebesaran Allah kerana sejadah pun berdiri dan untuk solat.
Sebahagian dari 35 sejadah yang dikatakan bediri di Pasir Mas Kelantan.
Aku teringat zaman aku kecil dahulu. Banyak kejadian pelik dihebahkan. Sekali peristiwa, gempar orang mengatakan ada rambut dalam Quran. Ketika itu ramai yang membelek Quran di rumah, mencari-cari rambut. Habis Quran lama dibelek. Bukan dibaca, tapi cari rambut. Kewujudan rambut dalam Quran adalah satu yang ajaib di mata masyarakat.
Tanda Qiamat!kata sesetengah orang menambahkan lagi debar dan suspens di kalangan masyarakat.
Kemudian, sekali peristiwa, gempar pula berita mengatakan ada helaian mushaf yang terpadam. Macam-macam teori yang terbit.Tapi...untuk menambahkan debar dan suspens masyarakat, kejadian itu pun dilebelkan sebagai tanda Qiamat. Hebohnya isu itu, akhirnya padam juga. Kemudian senyap dan tidak timbul-timbul lagi.
Sehingga hari ini, banyak sudah perkara yang dipelikkan diketengahkan kepada masyarakat. Aku sudah tidak ingat berapa banyak. Pendeknya banyak sekali dan bermacam-macam pulak.
Tapi yang paling melucukan aku adalah pasal sejadah berdiri ini. Mulanya aku ingat sejadah berdiri betul-betul. Macam aku berdiri. Macam orang lain berdiri. Berdiri dalam keadaan luar biasa dan menakjubkan. Rupanya berdiri yang dibuat-buat, Sejadah dikeronyokkan lalu ditegakkan, ia pun dikatakan berdiri. Yang hairannya, saksi lokasi yang menonton kejadian itu mengatakan sejadah itu benar-benar berdiri dalam keadaan yang pelik.
Ini mainan budak-budak hinggusan.
Siapa yang mahu, ambil sejadah di rumah masing-masing. Anda boleh dirikan seratus malah seribu sekalipun. Kemudian panggil orang media suruh ambil gambar dan masuk akhbar. Biar semua orang tahu. Lalu orang luar negara melihat kita dan mentertawakan kebodohan kita
0 comments:
Post a Comment