"Ustaz...kalaulah saya ada ilmu terbang...", seorang murid mengeluh. Matanya tepejam membayangkan. Mungkin bayangan tentang dirinya di saat memiliki ilmu terbang. Barangkali membayangkan untuk menjadi superti Superman,watak khayalan Barat.
"Ustaz..kalau saya ada ilmu menghilangkan diri...tentu best,"murid yang lain mencelah.
"Saya mahu ilmu kebal",
"Saya mahu ilmu jurus...",
"Saya mahu ilmu pandang tembus...",
Murid-murid yang lain melahirkan impian masing-masing. Impian menjadi insan luar biasa yang ada kuasa ajaib.
Memiliki kuasa ajaib bukan sukar. Tetapi,apalah ertinya memiliki kuasa ajaib kalau hidup di dunia tidak dapat menongkat langit. Seperti kecantikan, apalah maknanya kalau akhirnya menjadi tua dan saat itu wajah yang cantik sirna berganti wajah kedut seribu. Ramai orang mempunyai kebolehan luar biasa daripada ilmu yang dipelajarinya semasa hayatnya. Semasa muda, dia terkenal sebagai gagah perkasa, pahlawan, ditikam tidak lut, ditembak tak tembus, boleh ghaib, boleh bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat yang jauh dan pelbagai kepandaian luar biasa lagi.
Di kampungku dahulu, konon cerita orang tua-tua dahulu, ada seorang lelaki megah yang gagah perkasa. Tetapi dia dibenci oleh orang kampung disebabkan angkaranya dan akibat sifat megah serta bangga diri dengan kegagahannya. Orang-orang kampung telah berpakat mengenakan satu muslihat kepadanya. Lelaki itu diperdaya untuk membantu orang kampung menyelesaikan penggalian sebuah perigi. Tanpa prasangka dan ditambah pula dengan beraninya disebabkan yakin kegagahannya tidak terkalahkan oleh sesiapa, lelaki tersebut turun ke dalam pergi itu untuk menggali perigi. Waktu itulah orang-orang kampung menghumbankan dalam perigi segala macam batu, kayu dan tanah sehingga lelaki itu tak mampu menyelamatkan diri lagi. Menurut cerita, lelaki itu melompat untuk keluar dari perigi dan hampir-hampir dia dapat menggapai tebing atasnya. Tetapi orang-orang kampung memukulnya hingga jatuh dan di dalam perigi itu lelaki megah itu dibenamkan dan ditanamkan hidup-hidup. Kini perigi yang menjadi kuburnya itu boleh dilihat di sebuah bukit bernama Bukit Jarat.
Apalah ertinya kemegahan atas sebuah kegagahan kalau kesudahannya begitu!
Ada juga orang bercerita seorang lelaki lain di kampungku. Tok Janggut nama gelarannya. Dia hebat kerana tinggi ilmu persilatan dan mempunyai kemampuan menukarkan daun kayu menjadi duit. Dia juga pernah ditembak komunis tetapi tidak lut. Hanya baju yang koyak tetapi tidak terjejas. Kini, nama Tok Janggut tidak lagi disebut orang kampung. Jauh sekali memuji atau menyanjungnya. Tiada pun jasa Tok Janggut yang dikenangkan orang.
Apalah erti kehebatan kalau tidak memberi manfaat kepada orang lain dan kepada diri sesudah dunia ditinggalkan!
Ada pula seorang lelaki lain di kampungku. Dia hebat dalam bercanda dengan air. Kepandaiannya berenang sungguh luar biasa. Konon cerita yang diriwayatkan oleh orang-orang tua kampungku, dia mampu berenang sambil berdiri dan timbul separas pinggang sambil memikul beban di atas bahu. Pada satu ketika, banjir berlaku dan sawah bergenangan air bah. Dia dijumpai orang kampung mati terkapar di permatang sawah.
Apalah maknanya sebuah kehebatan kalau akhirnya mati dilahap kehebatan sendiri!
Kataku kepada murid-muridku hari ini....
"Alangkah baik kalau kita semua cuma menjadi insan biasa...insan yang jatuh, rebah,luka, berdarah dan penat serta berpeluh. Kalau ditembak tembus, kalau direndam lemas, kalau dibakar hangus, kalau dicincang putus, kalau ditangkap terpenjara....",
Hidup dunia hanya sementara. Nabi Muhamamad pernah patah gigi dalam perang Uhud. Nabi terpaksa berjalan menempuh ranjau berbatu selama berhari-hari untuk berhijrah. Nabi terpaksa bersembunyi dalam gua Tsur mengelak ditangkap musuh. Nabi diracun Yahudi dan mendapat kesan keracunan itu.
Semulia-mulia insan seperti nabi Muhammad, dia tidak memiliki kuasa ajaib yang mengawal dirinya. Hanya kepada Allah dia berserah. Kenapa kita bercita-cita mendapat kelebihan yang nabi Muhammad sendiri tidak miliki?
Sesungguhnya, ilmu-ilmu yang membolehkan kita ghaib, kebal, menukar daun jadi duit, terbang diudara, jurus jarakjauh dan sebagainya, adalah cebisan-cebisan sihir yang boleh dipelajari. Muslim yang beriman kepada Allah tidak akan sekali-kali mencicipi najis ilmu sihir sekalipun ilmu sihir itu menggunakan agama, Al-Quran dan zikir sebagai mediumnya.
0 comments:
Post a Comment