Pada mulanya berlainan agama. Yang satu Islam, manakala satu lagi kristian. Sama ada lelaki atau perempuan yang Islam atau kristian, masalahnya tetap sama. Peraturan mengenai perkahwinan di negara ini yang menghendaki mana-mana lelaki atau perempuan yang bukan Islam, apabila hendak berkahwin dengan orang Islam,hendaklah masuk Islam dahulu.Ramai juga yang masuk Islam secara ini. Mereka masuk Islam kerana berkahwin. Itu sahaja. Kalau bukan kerana peraturan perkahwinan yang menghendaki mereka berbuat begitu, tidaklah mereka akan memeluk Islam.
Perkahwinan pada mulanya selalu indah. Namun, banyak perkahwinan yang berakhir dengan penceraian. Cerah yang disangka sampai ke petang, rupanya mendung di waktu dhuha. Hujan turun di tengahari. Kilat sabung menyabung sesudah Zuhur. Ribut dan puting beliung memutar alam sebelum senja. Hari bahagia bertukar bencana.
Bagi pasangan yang berkahwin dan melakukan perpindahan agama kerana perkahwinan tersebut, bencana penceraian ditambah pula dengan bencana agama. Perkahwinan yang selama ini dibina atas tiang-riang rapuh percintaan, roboh menghempat dan membenam agama Islam yang dianut setahun jagung.
Murtad…Itulah hakikatnya. Mereka telah murtad biarpun mereka dahulunya masuk Islam menjinjing kekufuran dan keluar dari Islam pula memikul kekufuran. Namun, di mata masyarakat Islam, mereka telah murtad.
Mangsa kepada keadaan ini adalah anak-anak yang lahir dari perkahwinan kusut kusam tersebut. Anak-anak dihimpit dengan dilema, siapa yang patut diturutinya. Ibu atau ayah? Atau bukan kedua-duanya. Mungkin nenek atau bapa saudara. Anak-anak bercempera dan hilang kawalan hidup. Agama anak-anak?Itu jangan cakaplah. Agama sudah dipinggirkan di jemboran dan bila-bila masa sahaja akan jatuh bergelumang dalam acar.
“Awak Islam?”,persoalan itu ditanya kepada seorang budak lelaki dalam persekolahan peringkat rendah. Ibu ayahnya telah bercerai. Ibunya muslimah secara turun temurun. Almaklum,bangsa Bugis. Ayahnya pula Islam convert. Agama leluhur kristian. Almaklum, keturunan kadazan.
“ Aku kristian…tapi bila besar nanti nak masuk Islam”,olah kanak-kanak itu dalam kedungguannya mengenai persoalan agama.
“Ibumu Islam?”,
“Ya..”,
“Kakakmu?”
“Kakak, perempuan, ikut ibu, saya, lelaki, ikut ayah…”,akhinya kanak-kanak itu menceritakan fasafah agama panutan anak-anak mangsa perceraian ibu ayah yang kini berlainan agama.
Persoalan ini bertitik tolak dari kejahilan. Kejahilan ini bukan terhad pada kanak-kanak yang menjadi mangsa penceraian tersebut. Ia juga menjadi kefahaman sebilangan manusia dewasa yang bergelut dalam persoalan ini. Kata mereka, anak lelaki akan ikut ayah, anak perempuan akan mengikt ibu. Hukum ma’kul ciptaan siapa ini?
Inilah fenomena yang sering ditemui dalam kehancuran sebuah perkahwinan di bumi Sabah. Apabila ibu dan ayah memilih millah masing-masing,hukum didasari kepada gender anak-anak dan ditambat dengan kesamaan gender dengan ibu dan ayah!
Kejahilan yang sama juga pernah diterjemahkan melalui keputusan yang diputuskan oleh Jawatnkuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Mereka telah bersepakat bahawa agama bagi anak yang menjadi mangsa penceraian ibu ayah yang bertukar agama hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu ayahnya. Inilah kejahilan atau mungkin kelemahan dan kelumpuhan para umara’ dalam menangani isu agama.(Lihat Utusan Malaysia)
0 comments:
Post a Comment