"Mengapa bercakap sambil memegang hidung, pegang mata dan menggeliat-geliat badan macam malu-malu?", aku menegur murid yang sedang bercakap dalam sesi taaruf bagi slot usrah pada tengahari itu.
Murid-murid lain ketawa.
"Yang lain jangan mentertawakan kawan, kalau ustaz suruh kamu bercakap, kamu pun sama juga...", aku menempelak sambil mengingatkan.
"bercakap adalah satu kemahiran. Ia adalah bakat yang perlu diasah...", lanjutku menerangkan kesimpulan dari sesi taaruf yang gagal berjalan sebagaimana yang aku kehendaki. Ramai murid yang enggan bercakap bagi memperkenalkan diri masing-masing dan kalaupun bercakap, rata-rata tak dapat menyampaikan dengan baik. Ada yang bercakap sambil ketawa, ada yang sambil menggaru-garu kepala, memegang mata, dahi, hidung, memegang kaki dan menggoyang-goyangkan, tunduk dan berpusing ke belakang dan sebagainya.
Demikianlah...bercakap bukan mudah. Walaupun setiap orang diberikan mulut, ada yang tidak dapat bercakap. Walaupun ramai yang boleh bercakap, ramai yang tidak dapat bercakap dengan baik. Ada sesetengah amat fasih bercakap dalam kumpulan kawan-kawan dalam bual kosong di kedai kopi tetapi apabila disuruh bercakap dalam kumpulan kawan yang sama dalam satu sesi LDK mengenai satu topik, dia mati kutu dan membisu. Ada yang bila disuruh bercakap dalam satu-satu majlis, gementar dan tak terkeluar suaranya.
Sebab itu, bercakap memerlukan kemahiran dan bakat yang diasah.
Aku teringat zaman persekolahanku dulu. Sewaktu di sekolah menengah agama rakyat, kami murid-murid diajar bercakap di depan khalayak. Satu program mingguan yang dinamakan "Muhadhorah" dicipta untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk menyampaikan "puclic speaking" atau mempersembahkan sesebuah persembahan. Ramai pelajar sekolah agama rakyat yang terajar kebolehan bercakapnya melalui slot-slot dalam program muhadhorah yang diadakan. Tidak hairan,ramai kalangan lepasan sekolah agamapetah berbicara.
Mungkin kita cukup mengenali priseden PAS Tuan Guru Hj. Hadi Awang. Sewaktu aku di sekolah menengah lagi, ceritanya melatih kemahiran bercakap disebutkan oleh kawan-kawan dan menjadi inspirasi buatku. Khabarnya,semasa muda remaja,TG Hj. Hadi selalu berpidato kepada pantai.
Aku cuba meniru dan berpidato kepada padi-padi di sawah. Tetapi, aku tidak dapat menjadi pemidato sehebat TG Haji Hadi Awang. Jauh sekali. Malah aku bukan seorang pemidato. Mungkin desiran daun padi tak dapat menandingi gemuruh deburan ombak!
Kata orang, Presiden Sukarno dari Indonesia, bila berpidato kepada rakyatnya, 3 jam menyampaikan pidato,rakyatnya yang mendengar tidak berganjak, lantaran terpesona dengan oratornya seorang presiden. Orang juga cuba meneladani bagaimana Hitler bercakap. Banyak pemimpin-pemimpin lahir daripada kebolehannya bercakap dan memukai rakyat dengan percakapannya.
Demikian...percakapan mempunyai keajaiban yang mempengaruhi manusia!
ٍSebab itu, dikatakan percakapan itu menyihirkan....
1 comments:
Yup... Lidah kadang-kadang lebih tajam dari mata pedang..mampu mendamaikan mimpi mungkin menyiat sekeping hati atau menguburkan sebuah negeri bergantung pada niat, tujuan dan bagaimana ia digunakan..
Post a Comment