Insan bernama guru
Telah berdiri sebagai gapura ilmu
Untuk manusia menggapai apa mahu.
Untuk membuang jahil menjadi tahu
Dari meraba-raba lalu pasti tempat tuju.
Mengajar lurus pasak nawaitu
Memercik semerbak harum gaharu
Membawa ke puncak ke atas awan biru.
Insan bernama guru
Telah mengalirkan sungai bijaksana
dari legeh para pendeta .
Telah menyemaikan sebendang saujana mata
ilmu warisan para cendekia
Telah menanam taman rimbun merimba
buat teduh musafir kelana di dunia.
Insan bernama guru
Telah membangunkan kota perkasa
untuk mengepung sejahtera pewaris citra.
Telah meluncurkan bahtera merdeka
agar generasi muka berdiri penuh maruah di dada
Telah mengajar para si buta
bangaimana mengenal semua panca indera
telah melukis sejarah bangsa dan nusa
Agar bangkit menguasai dunia.
Berkata bijak pendeta
ilmu lebih mulia daripada harta
ilmu menjaga kita
kita pula kalut menjaga harta
Ilmu bertambah jika disebar
Harta musnah bila terbiar
Ilmu mengangkatmu ke harkat malaikat
Harta menyaratkanmu ke karat bejat.
ilmu menggapai Sidratul Muntaha
sedang harta melata bersalut noda.
Tuan ilmu itulah guru
Tuan harta itulah juta
Guru bersila di langit pendeta
menghidu semerbak harum syurga
di atas dari angkasa raya
bargayut di bawah arasy mulia
Juta bergelut di kumbahan sengketa
Merebut harta membangun istana
Agar diri mewah ternama
Harta melimpah lanai berjela.
Tak akan sama guru tuan ilmu
Dengan si juta tuan harta!
Guru itu insan mulia
jiwa bersinar memancar citra
menyebar idealisma hidup berbangsa
mengangkat yang hina jadi mulia
memimpin yang mulia menyempurna karma
membuka jalan menuju syurga.
Harta mengalir melimpah dunia
legehnya datang dari ajaran guru
Empayar besar tegak beribu tahun
di garis pertama guru melakar
Manusia memanjat mikraj malaikat
gurulah meletak takah-takahnya
Guru terbenam di perut bumi
Nama didendang di sana sini
Walau jasad telah sirna
tidaklah makrifat hilang bersama.
Nama orang tertulis di nesan?
nama guru ditempa zaman.
Yang mati namanya dilupa
nama guru masih diwarta
Orang lain mati bergalang tanah
Guru mati didendang madah.
Wahai guru
pacakkan nesanmu di dada zaman
sebutir benih yang kau tanam hari ini
Kan tumbuh sebagai pokok sidrah
Akarnya mencengkam pucuknya mengawan
akan berjuntai dahannya berabad
Daunnya bertunas tertulis namamu
Buahnya tidak luak dimakan berzaman.
Biar ringgitmu sekeping cuma
dengannya kelak kau rantaikan pahala
Terbujur engkau di Barzah sana
Bertemali jariah engkau terima
sebagai kalung bahagia di hari muka.
Wahai murid
pencakkan tarimu dengan gemalai cinta
pada guru yang menuntun tulis baca
mengajar hitung kira
mencanai minda bijaksana
menghiaskanmu akhlak calon syurga
satu masa jangan kau lupa
di mana langkahmu bermula
sebelum kau berdiri di menara jaya
Itulah pada sabarnya guru mulia.
Gurumu tidak bernesan dua
Dia bernesan zaman
Selagi ada roda masa
Akan kau baca namanya
Yang ditempa pada nesannnya….
Hasil Karya: Ust Kama
Dideklamasikan pada 16 Mei 2016 Sempena Sambutan hari Guru Peringkat SKSS
0 comments:
Post a Comment