Petikan: Harakahdaily
Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan untuk meletakkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah bermesyuarat dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah.
“Atas cadangan Pakatan Rakyat Sabah, untuk pilihan raya kecil kawasan Batu Sapi mereka bersetuju dan kemukakan kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk Parti Keadilan meletakkan calon mewakili Pakatan Rakyat,” kata Anwar dalam sidang media di lobi Parlimen pagi ini.
Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ketua Pembangkang di Parlimen itu juga berkata, senarai calon akan diputuskan dalam masa terdekat ini.
“Pakatan Rakyat meletakkan calon-calon dari PKR dan kita akan letakkan nama dalam masa yang singkat setelah saya dan pimpinan PKR berunding dengan (Datuk Seri) Abdul Hadi dan Lim Kit Siang.
Tambah Anwar lagi, Pakatan turut berharap agar Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) tidak bertanding bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu.
“Kita harap SUPP tidak bertanding bagi membolehkan kita lawan satu lawan satu dengan Barisan Nasional,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu adalah pada 26 Oktober dan jika ada pertandingan pengundian diadakan pada 4 November.
PRK itu diadakan berikutan kematian wakil Parlimennya daripada Barisan Nasional (BN) Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Oktober lepas.
Ulasan:
Biarpun parlimen Batu Sapi menjadi sasaran PAS Sabah sebagai kawasan tanding dalam pilhanraya ke-13, keputusan meletakkan PKR untuk bertanding di parlimen Batu Sapi dalam PRK kali ini hendaklah diterima dengan hati terbuka oleh warga PAS Sabah. Pada tanggal 4 November, PAS terpaksa menumpukan perhatian di Galas, Kelantan. Adalah sukar malahan tidak cantik kalau pada tanggal yang sama PAS terpaksa berhempas pulas pulak di Batu Sapi. Dipandang dari skop nasional. adalah wajar PKR bertanding di Batu Sapi memandangkan Galas ditandingi oleh PAS. Justeru, tidak perlu menyemai kekecewaan.
Lagi pula, masa belum sampai untuk PAS difokuskan oleh seluruh negara untuk pertandingan di Batu Sapi. Jika PAS gagal memperlihatkan pengurusan cemerlang dalam PRK Batu Sapi (andainya PAS bertanding) ia akan memberi gambaran buruk kepada PAS. Kalau PRU, lainlah. Waktu itu tumpuan nasional tidak kepada satu kawasan sahaja.
Bagi warga PAS Sabah umumnya dan Sandakan dan Batu Sapi khasnya, tentunya dapat mengukur baju di badan sendiri. Hanya jauhari yang mengenal manikam.
0 comments:
Post a Comment