Ramai orang mengaku pemimpin, tetapi mereka sebenarnya bukanlah pemimpin. Hanya kerana mendakwa diri sebagai pemimpin atau didakwa oleh orang lain sebagai pemimpin, tidak menjadikan seseorang itu sebagai pemimpin. Boleh sahaja dikarangkah biografi tebal menceritakan kepimpinannya, tetapi semua itu tidak menjadikannya sebagai pemimpin. Mungkin sahaja dia menjadi orang besar (kibar) tetapi bukan seorang pemimpin (imam).
Pemimpin adalah satu kedudukan yang dianugerahkan Allah SWT. Seorang syeikh sufi bernama Al-Qusyairi Abul Qasim menyebut bahawa kepimpinan bukanlah dengan dakwa tetapi kepimpinan adalah dengan doa. Kerana itu Allah SWT mengajarkan kita sepotong doa yang diabadikan dalam Al-Quran dan menjadi sifat hamba Ar-Rahman mengungkapkan doa tersebut:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
"Dan orang-orang yang (menjadi hamba Ar-Rahman) itu adalah mereka yang berkata (dalam doa) mereka, wahai Tuhan kami, berikanlah kami isteri-isteri dan anak-anak yang menyejukkan mata dan jadikan kami pemimpin kepada orang yang bertakwa".
(Surah Al-Furqan: Ayat 74)
Jika Allah makbulkan doa kita itu, kita akan menjadi pemimpin. Sungguhpun dalam kehidupan kita di dunia kita cuma orang biasa, jika kita menjadi ikutan dan tauladan orang lain dalam ketakwaan, kitalah pemimpin yang kepimpinan kita itu merupakan anugerah Allah SWT kepada kita. Menjadi pemimpin kepada orang bertakwa sangat menguntungkan. Tidak ada guna menjadi pemimpin kepada orang yang tidak bertakwa kerana kelak di akhirat, orang yang tidak bertakwa itu akan menjadikan pemimpin mereka sebagai kambing hitam di atas kederhakaan mereka kepada Allah SWT.
Pemimpin hendaklah diikuti. Sebaik-baik ikutan adalah ikutan dalam ketakwaan. Ada juga orang yang diikuti dalam kejahatan. Maka orang itu juga kita sebut sebagai pemimpin, tetapi pemimpin buat kaum pendosa (mujrimin). Apa yang kita harapkan adalah menjadi pemimpin kepada orang yang bertakwa kerana dengan menjadi pemimpin mereka, kita akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT atas ketakwaan mereka.
Orang-orang besar, sultan dan raja-raja serta kalangan orang yang dianggap pemimpin dalam dunia, jika tidak dikuti, mereka hanyalah para pembesar. Dalam Al-Quran, kelompok sebegitu disebut sebagai kubara' dan al-mala'. Mereka bukanlah pemimpin kerana mereka tidak ditauladani oleh orang lain.Kerana keturunan mereka bangsawan dan harta mereka banyak, mereka dihormati. Dihormati bukan bermakna diikuti. Tanpa ikutan, tidaklah mereka menjadi pemimpin.
Semoga Allah anugerahkan kita imamah. Sebaik-baik imamah adalah imamah kepada orang bertakwa...
0 comments:
Post a Comment