Sebagai pemimpin yang mendapati dirinya tersesat jalan di satu masa dulu, Tan Sri Muhamad bin Mohd Taib dengan penuh keinsafan mengisytiharkan dirinya menyertai PAS. Perjuangannya selama puluhan tahun dalam UMNO merupakan satu kesilapan dan cara membetulkan kesilapan itu ialah dengan menyertai perjuangan Islam PAS. Tahniah dirakamkan kepada bekas Menteri Besar Selangor tersebut. Sudah tentu kemasukannya ke dalam PAS itu memberi tamparan yang bukan sedikit terhadap UBN.
Sesiapa sahaja boleh bertaubat. Namun taubat seorang pemimpin yang berbuat silap dalam kepimpinannya tidak sama dengan taubat seorang rakyat biasa. Kalau seorang penzina mahu bertaubat, cukuplah dengan menyempurnakan rukun taubat yang tiga dan kemduiannya hendaklah disusuli dengan amal soleh. Amal soleh untuknya adalah dengan amal-amal yang bersifat fardi. Dengan cara itu, dia telah melunaskan tuntutan taubat tersebut.
Namun, bagi seorang pemimpin, amal solehnya ialah membetulkan kepincangan yang berlaku akibat kepimpinannya. Pemimpin yang bertaubat perlu mengajak bekas pengikutnya untuk sama-sama bertaubat dan dengan melakukan demikian itu, pemimpin tersebut boleh melepaskan diri daripada tuntutan pengikut di akhirat kelak.
Seorang pemimpin yang mengobarkan asobiah lalu isme itu dianut oleh pengikutnya, maka apabila dia mahu bertaubat hendaklah diajak pengikutnya dulu kembali kepada perjuangan yang benar dan meninggalkan asobiah. Inilah yang kelihatan sedang dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO yang bertaubat. Antaranya Tamrin Gafar dan juga Tan Sri Muhamad bin Mohd Taib. Dengan mengajak bekas pengkut mereka meninggalkan perjuangan lama mereka, pemimpin tersebut telah cuba sedaya berbuat amal soleh bagi melangsaikan makna taubat mereka.Ianya tidak cukup untuk bertaubat lalu membuang diri dan meninggalkan pengikut dengan tanggapan bahawa jalan yang diambil mereka masih berpandukan dan bertauladankan pemimpin mereka itu.
Dahulu, Tengku Abd Rahman juga bertaubat dari kesilapannya berada dalam UMNO. Dia menghabiskan sisa akhir hayatnya dengan mengajak para pengikutnya untuk meninggalkan UMNO dan menyertai perjuangan baru waktu itu iaitu Semangat 46 yang bergabung dengan PAS dalam Perpaduan Ummah. Tengku telah melakukan amal soleh membuktikan taubatnya. Semoga Allah menerima taubatnya.
Pemimpin penasaran yang bertaubat itu, sesungguhnya mereka beratus kali ganda lebih beruntung daripada pemimpin yang telah berjuang dalam perjuangan Islam bertahun-tahun lalu kemudiannya menggelusur kepada perjuangan kebangsaan. Lihat sahaja bagaimana perjalanan malang Dr. hasan Ali, Zulkifli Nordin, Dr. Sidiq Baba dan sederet yang lain. Permulaan yang baik belum cukup menjamin kesudahan yang baik. Apa yang penting adalah khatimah dan bukan permulaan.
Tidak tahulah apakah benar Sayyid Ramadhan Al-Buti itu bertaubat dari sokongannya terhadap pemerintah buas Assad sebelum dia terbunuh. Ada cerita-cerita kedai kopi yang mengatakan sebelum beliau terbunuh, beliau telah menlepaskan dokongannya terhadap Basyar Al-Assad. Dikatakan kerana itu juga beliau dibunuh. Kalau benar, dia telah cuba melaksanakan amal soleh setelah taubatnya. Semoga Allah sahaja mengampuninya kerana mendokong pemimpin sezalim Basyar Assad itu.
Maka, para pemimpin yang mahu bertaubat, hendaklah ingat bahawa mereka perlu beramal soleh dengan menghabiskan sisa usia dengan mendakwahkan bekas pengikut mereka meninggalkan panutan bersamanya dulu.
0 comments:
Post a Comment