Semasa aku berada di Mina, berehat-rehat dalam khemah, bersama-sama dengan pakcik-pakcik dan abang-abang yang lebih berumur daripadaku, kami berbincang mengenai pekerjaan melontar Jumrah yang akan kami lakukan sebelah malamnya nanti. Seorang daripada kami kemudiannya menyebutkan tentang doa melontar jumrah yang telah dihafalnya.
بسم الله ألله أكبر رجما للشياطين وحزبه
Mendengar doa yang dibacakannya, aku berterusterang mengatakan ia bukan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Apa yang Rasulullah ajarkan hanya lafaz:
بسم الله ألله أكبر
"Melontar Jumrah bukan untuk merejam Syaitan. Melontar Jumrah hanya semata-mata mengikut sunnah baginda Rasulullah".kataku kepada kumpulan pakcik-pakcik dan abang-abang senior yang bersamaku dalam khemah di Mina.
"Mereka yang beriktiqad merejam syaitan semasa melontar Jumrah telah berbuat salah dalam ibadah haji...Kalau nak melontar Syaitan, kita gunakan batu yang lebih besar, biar syaitan benar-benar cedera...",demikian aku melontarkan logik.
"Betul tu ustaz...kita melontar ikut perintah Allah sahaja, bukan kerana yang lain...", seorang pegawai dari Mada menyatakan persetujuannya dengan apa yang aku utarakan.
Demikianlah, pelajaran yang bercapur baur dalam kursus haji dan dari pelbagai sumber telah menimbulkan kefahaman salah bagi sesetengah konsep amalan haji. Aku sendiri, sebelum menjejaki kaki ke Makkah, membeli buku doa-doa untuk amalan haji buat digantung dileher supaya mudah dibaca sepanjang mengerjakan haji. Namun, apabila aku tiba sahaja di Jeddah, pemuda-pemuda Arab yang bertugas mengedarkan risalah haji kepada bakal-bakal haji yang baru tiba, memberikan aku buku mengenai beberapa fakta menyimpang yang selalu diamalkan semasa haji, timbullah kesedaran dalam hatiku.
Sementelahan, dalam kunjunganku ke perkuburan Ma'la, aku telah mendapat banyak buku percuma mengenai ibadah haji. Aku membacanya dan memahami perlaksanaan ibadah haji menurut pandangan ulama-ulama Arab Saudi. Ia cukup mudah dan berdasarkan dalil daripada amalan Rasulullah.
Ada suara menasihatiku di Malaysia sebelum safar haji, bahawa aku perlu berhati-hati dengan buku-buku yang diedarkan percuama di Makkah dan Madinah. Kata mereka, itu buku-buku Wahabi.
Sebenarnya aku tak peduli tentang Wahabi. Aku bersikap terbuka dengan ilmu dan berpegang pula dengan satu prinsip bahawa sebarang ibadat dan akidah perlu bersandarkan dalil Hadis atau Quran.
Aku pernah berkata kepada seorang yang mencurigai karya ulama-ulama ArabSaudi tentang ibadat haji.
"Mereka adalah orang yang paling dekat dengan Ka'abah dan Masya'irul Haram, mereka paling tahu tentang haji berbanding kita yang tinggal beribu batu jauhnya dari Makkah. Mereka mengkaji tentang haji lebih kerap berbanding kita yang hanya mengkaji di musim-musim haji sahaja...dan mempelajari haji berdasarkan teori",
Aku telah melihat keperihatinan ulama-ulama masjidil haram, malah pengawal-pengawal Masjidil Haram mengawal penyimpangan dalam ibadah haji. Mereka melarang keras tamassuh dengan ka'abah, solat sunat di belakang Maqam Ibrahim dalam kesibukan manusia, ikhtilat lelaki perempuan dalam saf solat, merakamkan video dalam kawasan Hasjidil Haram dan sebagainya.
Kita hanya ajam yang berdatangan dari seluruh pelusuk dunia ke bumi di mana mereka adalah pemegang amanahnya. Sesungguhnya Allah tidak akan silap meletakkan amanah dua kota sucinya ke tangan orang yang merosakan agamanya. Justeru, kerana mereka boleh disandarkan menjaga dua kota suci Islam, maka Allah mentakdirkan apa yang sedang berlaku.
Ibadah haji akan menjadi berkecamuk dan berbaur khurafat dan penyimpangan sunnah jika ummat dibiarkan beribadah haji mengikut kehendak sendiri.
Aku sarankan untuk dibaca sebuah artikal Dr. Asri Zainal Abidin bertajuk : Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas.
1 comments:
Boleh juga kita beranggapan melontar syaitan atau membuangkan sifat-sifat mazmumah. Tapi itu fahaman individu atau niat peribadi. untuk sendiri sahaja, jgn disampaikan pada orang lain. Ada pun yg mengatakan melontarkan Syaitan semasa Jumrah itu pun dari kalangan ulama, tetapi itu peribadinya sahaja. Tidak pula dipaksakan menjadi ikutan dikalangan orang awam.
Post a Comment