Hari ini tanggal 7 Disember 2008. Aku berwukuf di Arafah bersama jutaan umat Islam seluruh dunia yang sedang melaksanakan ibadah haji. Aku bersama sekitar 2000 jema'ah haji Malaysia yang lain dalam kawasan khemah Maktab 76. Terdapat beberapa khemah lagi yang menempatkan jema'ah haji dari Malaysia seperti khemah Maktab 74,75 dan 78.Aku tidak hafal berapa banyak maktab yang melibatkan jema'ah haji Malaysia.
Sejak senja kelmarin iaitu 8 Zulhijjah, aku telahpun berada di Arafah. Keadaan di Arafah pada malam hari sangat sejuk. Cuaca sejuk itu berterusan dan semakin menggigit hingga ke pagi. Menjelang duha, keadaan semakin panas pula. Sementara menunggu matahari gelincir untuk dikira sebagai waktu bermulanya wuquf, aku lebih banyak menghabiskan masa dalam khemah.
Berbagai ragam para jema'ah haji. Ada yang tidur, bersembang, membaca quran, berzikir, berdoa dan sebagainya. Aku melakukan beberapa daripada aktiviti itu kecuali tidur. Mana mungkin tidur dalam saat dan kesempatan berharga di Arafah di mana terdapat saat mustajab berdoa.
Sebelah petang, cuaca panas sekali. Berada dalam khemah tidaklah selesa. Aku keluar berjalan-jalan keluar dari kawasan maktab 76. Aku menyusur jalan di depan khemah-khemah maktab jema'ah haji Malaysia. Aku bertemu sekumpulan Jema'ah haji dari Pakistan. Mereka sedang duduk di kaki lima jalan berteduh di balik teduhan dinding dan bayangan pokok.
Kelihatan mereka kumpulan orang-orang yang terpancar kesolehan di wajah mereka.
"Assalamu'alaikum...", aku melontarkan salam mesra menunjukkan semangat persaudaraan Islam.
"Wa'alaikumussalam...", mereka menjawab serentak
"Apa khabar kamu semua?", aku bertanya dalam bahasa Arab .
"Alhamdulillah...", jawab salah seorang daripada mereka dan kemudiannya bertanyaku dengan nada mesra, "mahu ke mana saudaraku?'.
"Saya berjalan-jalan...melihat gunung ganang dan merenung kebesaran Allah...di hari yang amat besar ini", balasku agak bersastera sambil tersenyum kepadanya sambil memberi isyarat tangan ke arah gunung berbatu di sebelah barat Arafah.
"Saudaraku dari Malaysia?", dia menduga.
"Ya...dan saudaraku ini dari mana pula?", aku pula bertanya ingin tahu.
" Pakistan",jawabnya.
Kami berbual-bual berbagai perkara. Dari hal ehwal latar belakang diri masing-masing kepada persoalan haji dan kesalahan-kesalahan haji yang diamalkan sebahagian jema'ah. Kami berbual mengenai ulama-ulama silam. Hanya seorang yang rajin bercakap. Namanya Habibur Rahman. Dia pengkagum Bin Baz yang dikatakannnya sebagai ulama besar yang menjadi gunung ilmu bagi ramai ulama lain sezaman dan sesudahnya.
Dia bertanya kenapa wanita Malaysia tidak berpurdah sedangkan purdah adalah wajib.
Aku sekadar mengatakan bahawa kami berpegang pendapat yang mengatakan bahawa muka dan tapak tangan wanita muslimah bukan aurat. Habibur Rahman amat tidak senang dengan sudut pandangan itu. Dia mengemukakan beberapa hujah. Aku kekurangan dalil dalam dhabitku untuk dihujjahkan kepada pemuda seperti Habibur Rahman. Aku hanya mendengar tanpa banyak respons.
Habibur Rahman memberitahuku bahawa dia dan kawan-kawannya itu baru tiba kelmarin dari Riyadh. Mereka tinggal di sana dan mengusahakan sebuah sekolah tahfiz Al-Quran di sana.
"Datang dengan isteri?", Habibur Rahman bertanya.
"Tidak, dengan ibu, isteri tinggal di Malaysia...",jawabku.
"Oh...anak yang baik, sudah punya anak?",tanya Habibur Rahman lagi.
"Sudah...satu...anak perempuan", aku memberitahu.
"Apa namanya", tanya Habibur Rahman.
"Zamila Salsabila", balasku.
"Masya Allah...nama yang cantik...kebiasaan para ulama memberikan nama yang mempunyai sebutan dan makna yang balighah pada anak-anak", Habibur Rahman memuji. Dia menggunakan istilah"da'bul ulama" untuk membawa maksud perkataan kebiasaan para ulama tersebut.
"Apakah bagimu juga ada anak?", aku pula bertanya kepada Habibur Rahman.
Aku mengesan ada bayang kemurungan di wajahnya walaupun dia menutupnya dengan senyuman.
"Tiada...belum dikurniakan razeki", jawab Habibur Rahman.
"Berapa tahun sudah berkawin?", soalku.
"5 tahun", balasnya.
Aku membacakan ayat Al-Quran kepadanya:
رَبِّ لا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
"Semoga Allah berikan anda cahaya mata...".lanjutku.
"Kita bukanlah dari kalangan orang yang berputus asa..." Habibur Rahman menjawab dengan waqar di hati.
0 comments:
Post a Comment