فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُواْ الْكِتَابَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَـَذَا الأدْنَىَ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِن يَأْتِهِمْ عَرَضٌ مّثْلُهُ يَأْخُذُوهُ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِمْ مّيثَاقُ الْكِتَابِ أَن لاّ يِقُولُواْ عَلَى اللّهِ إِلاّ الْحَقّ وَدَرَسُواْ مَا فِيهِ وَالدّارُ الاَخِرَةُ خَيْرٌ لّلّذِينَ يَتّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ
Maka datanglah sesudah mereka generasi (yang jahat) yang mewarisi Taurat, yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini, dan berkata: "Kami akan diberi ampun". dan kelak jika datang kepada mereka harta benda dunia sebanyak itu (pula), niscaya mereka akan mengambilnya (juga). Bukankah perjanjian Taurat sudah diambil dari mereka, iaitu bahwa mereka tidak akan mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar, padahal mereka Telah mempelajari apa yang tersebut di dalamnya?. dan kampung akhirat itu lebih bagi mereka yang bertakwa. Maka apakah kamu sekalian tidak mengerti?
(Surah Al-A’raf: Ayat 169)
Sabda Rasulullah SAW:
لاتعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولالتماروا به السفهاء ولاتخيروا بالمجالس فمن فعل ذلك فالنار النار
“Janganlah kamu menuntut ilmu kerana hendak bermegah-megah di kalangan cerdik pandai, menunjuk-nujuk di kalangan orang-orang bodoh dan dipilih dalam sesuatu majlis. Sesiapa yang menuntut ilmu kerana tujuan tersebut, maka nerakalah…nerakalah”.
“Ustaz…kenapa apabila sesuatu bala bencana menimpa, termasuk yang dimusnahkan adalah para ulama? Bukankah para ulama adalah golongan yang baik-baik?”, Seseorang melontarkan persoalan itu di hujung Daurah Quran yang diadakan pada satu malam beberapa minggu yang lalu.
Lantas, aku bacakan firman Allah:
فَلَماّ نَسُواْ مَا ذُكّرُواْ بِهِ أَنجَيْنَا الّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنِ السُوَءِ وَأَخَذْنَا الّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُواْ يَفْسُقُونَ
Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik.
(Surah Al-A’raf: Ayat 165)
Terdapat satu cerita yang diketahui oleh kaum Yahudi tetapi mereka mkenyembunyikan cerita tersebut kerana ia memalukan bangsa mereka. Kisah itu adalah kisah ‘ashabus sabt’. Segolongan Yahudi yang menghuni sebuah negeri persisiran laut telah melanggar larangan Allah agar tidak bekerja pada hari Sabtu. Ini kerana, menurut ajaran Taurat, hari Sabtu adalah hari beramal. Pada hari itu, dkhusukan untuk beramal ibadat sahaja.
Allah telah menguji penduduk persisiran pantai tersebut yang mana menangkap ikan merupakan aktiviti utama mereka. Allah datangkan ikan yang banyak ke tepi pantai pada hari Sabtu dan pada hari-hari lain, ikan pun tiada. Keadaan ini telah menggoda kaum Yahudi tersebut menyebabkan mereka menggunakan ‘helah’ iaitu dengan menahan perangkap pada hari Jumuat dan memungut hasilnya pada hari Ahad. Perbuatan mereka dinasihati oleh sekelompok yang punyai kesedaran, bahawa apa yang mereka lakukan adalah satu kederhakaan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Sekelompok yang lain mengambil jalan menyisih dan berdiam diri.
Lalu, golongan Yahudi derhaka tersebut, lama kelamaan semakin melampau. Dari mencicipi rasa, mula melahap semua. Mereka dengan terang-terangan menceroboh kehormatan hari Sabtu. Lantas, Allah menimpa hukuman buat mereka. Mereka telah di’transform’ (masakh) menjadi kera-kera yang hina.Sesetengah ahli tafsir menyebutkan bahawa para pemuda menjadi kera manakala kalangan yang tua menjadi babi.
Transformasi itu berlaku secara fizikal. Ia merupakan satu azab yang menghina kerana dari manusia yang mulia, jatuh darjat menjadi kera yang hina.
Golongan pendakwah Allah selamatkan. Golongan yang tidak berdakwah Allah diamkan mengenai kesudahan mereka. Sebahagian ahli tafsir memahami bahawa mereka termasuk golongan yang dibinasakan dan sebahagian mengatakan mereka turut terselamat. Wallahu a’lam.
Justeru, menjelaskan persoalan kenapa ada kalangan ulama yang turut musnah dalam sesuatu bencana yang menimpa, pertamanya, kita srahkan kepada Allah hikmahnya. Namun, berdasarkan beberapa dalil yang boleh difahami, sesiapa yang menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar, dia akan diselamatkan oleh Allah. Bukan semua ulama menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Sebahagian ulama, ada yang dipanggil ulama’ suu’ (jahat). Hadis nabi menyebutkan bahawa mereka yang menuntut ilmu kerana hendak bermegah dai kalangan orang pandai, menunjuk-nujuk kepada orang bodoh dan supaya menjadi pilihan dalam sesuatu majlis, maka dia di dalam neraka. Dalam erti kata lain, menuntut ilmu dengan tujuan duniawi, akan memnbawa tuannya ke dalam neraka. Biarpun tuannya itu, dengan usaha menuntut ilmu telah lahir sebagai ulama yang hebat.
Sebahagian ulama sanggup menjual agama dengan harga yang murah. Demi memenuhi kehendak penguasa dan pamrih dunia buat diri sendiri, dia mempergunakan ilmunya untuk tujuan tersebut. Tuntutan agama diketepikan. Ulama jahat seumppama ini banyak sekali bergentayangan di merata tempat dan mudah dikenal.
Ulama yang tidak menjalankan tugas dakwah juga termasuk ulama yang jahat. Dengan sebab itu Allah binasakan mereka dalam sesuatu bencana. Maka jangan merasa hairan kalau ada ulama yang binasa dalam sesuatu bencana yang menimpa.
Renungkan sebuah firman Allah SWT:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. dan Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.
(Surah Al-Anfal: Ayat 25)
1 comments:
Post a Comment