Kg. Perancangan terletak di Beluran, merupakan sebuah perkampungan yang dihuni oleh rata-rata penduduk yang berketurunan Dumpas, salah satu keturunan yang ada di Sabah. Keturunan Dumpas beragama Islam.
Ziarah kami ke sana pada hari ini telah menemukan kami kebudayaan permainan gasing yang cukup laku di kalangan penduduknya.Menurutnya pengerusi JKK kampung tersebut, En. Putera, permainan gasing sebagai sebuah kebudayaan warisan telah dihidupkan semula pada tahun 2009 dan kini ia telah dapat menarik minta ramai pemuda kampung untuk berkumpul mengisi masa lapang waktu petang dengan pertandingan gasing. Terdapat beberapa kaedah permainan gasing yang menjadi kesukaan mereka. Salah satu kaedah permainan tersebut adalah melibatkan pangkat pencapaian dengan gelaran seperti raja tua, raja muda dan hamba.
Sebelum adanya jalan Sapi Nagoh-Kudat yang beraspal dan selesa sekarang ini (walaupun sunyi dan lengang), penduduk Kampung Perancangan menggunakan jalan sungai untuk keluar ke Pekan Beluran. Namun, jalan raya yang merentas kampung tersebut telah memberikan kemudahan dan jalan darat kepada penduduk kampung.
Berbual dengan En. Putera mengenai permainan gasing ini, menurutnya gasing-gasing mainan mereka adalah dibuat sendiri dan kebanyakannya adalah dibuat dari kayu jenis bulian, iaitu kayu paling keras yang hanya boleh ditemui di tanah Borneo.
Berbeza dengan saiz gasing yang selalu di mainkan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, pada pengamatanku, gasing di kalangan masyarakat kampung Perancangan bersaiz lebih besar. Sekurang-kurangnya gasing bersaiz besar lebih diminati di sini, walaupun ada juga bersaiz kecil.
Percuabaanku untuk bermain gasing buatan seorang anak muda kampung kurang berjaya kerana ia tidak berpusing lama. Kadang-kadang leparanku tidak menjadi. Sudah lebih 20 tahun aku tidak memegang gasing walaupun zaman kanak-kanak dulu aku dan kampungku cukup rapat dengan gasing. Bermain gasing di Kampung Perancangan adalah satu pengalaman yang cukup nostalgik.
Di Kampung Perancangan terdapat sekolah rendah iaitu Sk. Perancangan. Terdapat juga sebuah masjid kampung dan dewan orang ramai. Apa yang menarik, rumah penduduk rata-rata diberikan nama yang tertulis pada kayu yang divarnish dan digantung di jalan masuk ke rumah.
Tegur sapa dengan penduduk kampung yang dilakukan oleh Ust Sukri Mat yang pernah berkhidmat di Sk. Perancangan mendedahkan satu fakta yang lebih menarik. Terdapat juga anak-anak Kampung Perancangan sedang melanjutkan pelajaran di PLD (Pusat Latihan Dakwah). Masa depan agama Islam di kampung Perancangan agak bersinar berdasarkan perkembangan ini. Sekurang-kurangnya itulah harapan yang tersimpan ketika mendapat tahu hal tersebut.
Tidak jauh daripada kawasan perkampungan itu, terletak air terjun Bakung-Bakung, yang menjadi lokasi tinjauan kami hari ini.
0 comments:
Post a Comment