"Saya amat nakal masa muda saya...saya suka menyabung ayam, minum arak, main perempuan....sebab itu saya tak mahu pergi haji biarpun isteri saya sudah pergi....", lelaki itu menceritakan kisahnya.
Aku bersama beberapa pakcik bakal haji yang lain mendengar ceritanya.Cerita dia mengubah haluan hidupnya dengan menanamkan hasrat ingin melaksanakan haji pada tahun ini.
Kami sedang duduk bersantai sambil berbual di tangga masjid seusai solat zohor sementara menunggu sesi Kursus Perdana Haji yang akan bersambung semula jam 2 petang nanti.
"Sekarang saya sudah tinggalkan semua...segala dosa masa lalu itu, saya tak mahu lagi...pandang pun tak teringin lagi...", lelaki itu meluahkan isi hatinya.
"Biar sebanyak mana dosa kita...Allah maha pengampun...", pakcik yang seorang lagi memberi komen.
"Bersyukurlah...Allah pilih pakcik...", aku menambah ulasan."Allah akan memilih pakcik di antara sekian banyak jemaah haji jika hati ikhlas benar-benar untuk kembali kepadanya", sekadar memberi semangat tambahan kepada lelaki tersebut.
Sesungguhnya lelaki-lelaki tua dan muda yang bakal mengunjungi baitullah itu punya cerita peribadi yang pelbagai. Cerita-cerita itu kebanyakannya menjadi rahsia hati masing-masing. Semuanya berangkat menghadap Allah, menjadi tetamunya dengan harapan yang sarat dan niat yang berselirat.
Namun, hanya mereka yang ikhlas sahaja yang akan diterima Allah. Mereka yang datang mengharapkan keampunan akan diampunkan. Mereka yang datang mengharapkan islah, akan diislahkan oleh Allah swt.
0 comments:
Post a Comment