40 orang ulama muda yang masuk UMNO telah membuat satu keputusan yang cukup beresiko. Kata mereka, sebagaimana yang diutarakan oleh Fadhlan Mohd Othman, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kemasukkan ke dalam UMNO adalah bertujuan membina kerjasama dengan UMNO dalam perkara keagamaan dan kerohanian. Menurut Datuk Seri Shahidan Kassim, kemasukan tersebut adalah kumpulan pertama. Antara yang ikut serta dalam kumpulan pertama ini juga ialah Ust Fathul Bari Mat Jahaya, anak bekas mufti Perlis. Akan menyusul kumpulan kedua. Dr. Asri Zainal Abidin yang dibayangkan akan menyertai UMNO kemungkinan dari kumpulan kedua yang bakal menyusul.
Walaupun gagal melunaskan janji 100 orang ulama muda menyertai UMNO, sekurang-kurangnya apa yang diwar-warkan sebelum ini sememangnya bukan cerita kosong.
Penyertaan mereka ke dalam UMNO merupakan keputusan yang berisiko buat diri sendiri. Ia bakal menguji sikap dan meletakkan reputasi mereka dalam keadaan yang tidak menentu. Sebahagian daripada mereka sebelum ini dikenali sebagai pemuda-pemuda yang bercakap soal tajdid dalam agama. Mereka menamakan diri sebagai pejuang sunnah. Mereka jugalah yang banyak terpalit dengan lebel Wahabi.
Namun, jalan perjuangan telah mereka pilih. Mereka juga telah memilih UMNO untuk menjadi khalil mereka.Sabda Rasulullah SAW:
المرء على دين خليله، فلينظر أحدكم من يخالل
"Seseorang itu akan berada di atas jalan agama temannya, maka hendaklah kamu melihat kepada siapa yang jadikan teman".
(HadisRiwayat Abu Daud dan Tirmizi dengan sanad hasan)
Hidup memang penuh dengan pilihan. Pilihan bukan satu permaiman. Setiap derap langkah akan terhitung dan punya perhitungan. Jika langkah itu betul, berbahagialah. Jika langkah itu silap, malang dan rugilah. Yang namanya perjuangan Islam tidak rugi dengan kesilapan langkah dan kezaliman pejuangnya.
"Dan tidak mereka menzalimi kami, akan tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri". (Surah Al-Baqarah: Ayat 57)
Selamat berjuang dalam wadah pilihan! Kami sedang menyaksikan lenggok tari ulama muda. Ulama?
وَمَا ظَلَمُونَا وَلَكِنْ كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
0 comments:
Post a Comment