Aku menerima jemputan daripada KD Sri Sandakan untuk menyampaikan ceramah agama pada hari ini. Menurut pegawai yang terlibat dalam menganjurkan ceramah tersebut, pihak KD Sri Sandakan menyedari bahawa masalah sosial di kalangan anggota tentera laut berada pada tahap yang membimbangkan. Ceramah-ceramah agama diadakan setiap minggu bagi menanamkan kesedaran agama di kalangan mereka.
Aku menyampaikan ceramah dengan tajuk "wahai para pemuda armada bangsa...".
Aku membawa cerita Muhammad Al-Fatih, khalifah Uthmaniyyah yang kelima. Baginda telah berjaya menawan kota Kostantinopel yang merupakan detik mulanya Islam masuk ke rantau Eropah. Pembukaan kota tersebut merupakan impian tentera ISlam sejak generasi pertama lagi. Abu Ayub Al-Ansari, seorang sahabat Rasulullah SAW, jasadnya bersemadi di luar kota tersebut. Dia berharap dapat menjadi tentera yang dapat menawan kota tersebut, namun pasukan yang disertainya tidak berjaya menawan kota itu.
Nabi SAW pernah bersabda:
لتفتحن القسطنطينية، فلنعم الأمير أميرها، ولنعم الجيش ذلك الجيش
"Kota kostantinopel itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik raja adalah raja yang membukanya. Sebaik-baik tentera adalah tenteranya".
(Hadis Riwayat Ahmad)
Kisah pembukaan kota Kostantinopel oleh Muhammad Al-fateh adalah cerita yang menakjubkan. Kepintaran dan kesungguhan Muhammad Al-Fatih dalam usaha menakluki kota tersebut telah menjadikan bagindalah raja yang dimaksudkan dalam hadis tersebut. Tenteranya adalah tentera terbaik yang dipuji oleh Rasulullah SAW.
Aku menceritakan kisah ini kepada para pemuda angkatan laut tersebut kerana Muhammad Al-Fatih adalah pemimpin armada bersejarah itu. Bahawa idola anda semua bukan Vasco Da Gama atau Christopher Columbus. Idola kalian adalah Muhammad Al-Fatih, peneraju armada pembuka kota kostantinopel.
0 comments:
Post a Comment