Malam ini, satu malam yang esoknya tanggal 12 Rabi'ul Awal. Surau Al-Fajar atas inisiatif pengerusinya menganjurkan majlis bacaan yasin dan tahlil.Sememangnya, bagi pihak aku sendiri tidak merencanakan apa-apa acara sambutan di peringkat surau Al-Fajar. Menyambut Maulidur Rasul bukan perkara penting bagiku. Walaupun aku bukan kalangan yang menentang keras kebiasaan tersebut, aku bukan pula penggiatnya. Aku mengerti bahawa menyambut maulidur Rasul berada di antara persimpangan pro dan kontra.
Aku ingatkan hanya bacaan yasin dan tahlil sahaja, rupanya pengerusi menjemputku untuk menyampaikan sedikit perkisahan yang sesuai dengan maulidur Rasul.
Dalam kesempatan itu, aku mengingatkan bahawa menyambut maulid pertama kali dilakukan oleh Abu Lahab, bapa saudara nabi Muhammad SAW. Ketika mendapat berita kelahiran nabi Muhammad SAW, Abu Lahab sangat gembira. Sememangnya dalam tradisi Arab Jahiliyyah, kelahiran anak lelaki adalah kebanggaan. Sebagai bapa saudara, Abu Lahab menumpang kegembiraan atas kelahiran nabi Muhamamd SAW. Dia dikatakan menumbangkan seratus ekor unta sebagai kenduri jamuan untuk orang ramai.
Kalau kita menyambut Maulidur Rasul hanya sekadar sambutan, kenduri, perarakan, bersolawat dan sebagainya, tidak benar-benar menghayati cintakan Rasul dan menegakkan sunnah baginda, kita lebih kurang sama sahaja dengan Abu Lahab. Tentunya Abu Lahab lebih hebat daripada kita kerana dia menumbangkan seratus ekor unta menyambut kelahiran Rasulullah SAW. Sedangkan kita hanya sekadar menyediakan mee goreng dan kuih muih sahaja.
Aku sebutkan bahawa ramai yang menyambut maulidurrasul tidak pun mencintai Rasulullah dan tidak berusaha mengikut sunnahnya. Sedangkan dalam sepotong hadis, Rasulullah SAW menyebutkan :
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku dicintainya lebih daripada cintanya kepada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya".
Pihak yang paling ghairah menyambut maulidurrasul, menganjurkan perarakan besar-besaran dengan poster dan acara-acara meriah, dengan sewenang-wenangnya meninggalkan sunah baginda. Malahan, ada yang dengan beraninya membelakangkan ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Manusia menggunakan fikirannya untuk menjustifikasikan bahawa dengan cara tersebut akan memperlihatkan syiar Islam kepada masyarakat bukan Islam. Akal manusia tidak dapat menentukan sesuatu itu baik atau tidak. Penentuan mutlak adalah petunjuk Allah dan RasulNya. Kita tidak perlu mempercayai logok-logik yang menyandarkan hasanah kepada amalan sambutan maulidurrasul ini. Hasanah itu cuma apa yang ditunjuki oleh Allah dan RasulNya.
Terdapat sebilangan ibu bapa, anak-anaknya seawal lima tahun sudah dihantar ke Tadika Cina atas alasan mahu mahir bahasa Inggeris, dapat bercakap bahasa cina dan seabgainya. Mereka lupa atau mungkin tidak tahu apa yang telah diingatkan oleh Rasululah SAW dalam hadisnya:
أدبوا أولادكم على ثلاث خصال : حبّ نبيكم ، وحب أهل بيته ، وقراءة القرآن
"Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: Cintakan nabi kamu, cintakan ahli baitnya dan membaca Al-Quran".
Cintakan nabi tak diajar di Tadika Cina. Cintakan Ahli Baitnya juga tidak diajar di tadika Cina. jauh sekali mengajar Al-Quran di Tadika Cina. Aku katakan, hantarlah anak-anak ke pusat asuhan yang mendidik tiga perkara asas tersebut. Pusat asuhan yang diasaskan dan diuruskan oleh orang-orang Islam (Seperti PASTI).
Itulah tanda cintakan nabi. Itulah yang membina generasi cintakan nabi.
Akhir sekali, kalau cintakan nabi, ikutlah nabi. Allah menegaskan dalam Surah Ali Imran, Ayat 31:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
. "Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
0 comments:
Post a Comment