-->
Ketika matinya seorang sultan
Seluruh negara lalu disugulkan
Terungkap segala bicara kesedihan
Air mata bagai berhamburan
Rintihan sendu beruntai pilu
Madah berbisik menusuk kalbu
angin bertiup menghambur narwastu
Takziah datang bertalu-talu
Ketika matinya seorang hamba
Tiada siapa sudi bertanya
Hari berlalu seperti biasa
Hilang sirna tanpa nama
Tiada berita mencatat nama
Tiada madah sedih berseloka
Tiada rintihan rasa duka
Hamba mati matilah dia
Antara sultan juga hamba
Akhirnya kembali ke tanah semua
Dalam kubur tiada beza
Mungkar Nakir bertanya serupa
Jasad sultan juga hamba
Sama hancur luluh semua
Sama kembali ke tanah juga
Itulah asal semua manusia
Namun menjadi adat dunia
Sultan meninggal diratap jelata
Seluruh negeri bersenandung duka
Ada hakikat ada berpura
Bila meninggal seorang hamba
Tiada siapa meratap kata
Hidup mati sama sahaja
Tiada diendah muncul sirna.
Demikianlah adanya hidup di dunia
Antara manusia sama manusia
Ada darjat yang membeza
Antara bangsawan dan juga hamba
Namun di sisi Tuhan semesta
Bangsawan dan hamba sama sahaja
Hanya takwa pengukur saksama
Mana mulia mana hina
Sultan hidup sebagai aristokrat
Dipuja disanjung disandar daulat
Disokong oleh segala kerabat
Diangkat duli atas rakyat
Tinggal di istana berkeliling pagar
Seluruh halaman berbatu mar mar
Kawasan luas laksana bandar
Tinggal di dalam jarang keluar.
Sekali sekala keluar bersiar
Berkereta mewah tidak bercalar
Di jalan raya megah menjalar
Minyak dan tol tak perlu bayar.
Bila sultan direnggut malaikat
Secebis nyawa keluar disayat
Matinya sultan disebut mangkat
Agar dibezakan matinya rakyat
Sultan disebut berjiwa rakyat
Segala jasa habis dinobat
Dikikis dicari segala riwayat
Buat merangkai sanjungan hebat.
Sukan polo kesukaan Sultan
Bermotosikal besar jelajah watan
Itulah yang menjadi sebutan
Berjiwa rakyatnya seorang sultan.
Setelah mati sebutlah segala
Sebutan manusia tiadalah harga
Sebutan Allah itulah berguna
Itulah penentu di alam sana.
Ketika jenazah digiring ke kuburan
Mengiring bersama bintang kebesaran
Segala cokmar dan lambang kerajaan
Segala pusaka warisan keturunan
Sampailah jenazah di gerbang pusara
Diusung masuk ke maqam diraja
Tinggallah semua kebesaran dunia
Pergilah sendiri sebatang kara.
Sungguh kasihan melihat kesudahan
Penghujung hayat seorang sultan
Terpaksa meninggal segala kebesaran
Di dalam kubur tinggal sendirian
Betapa berat mahu berpisah
Dari segala hidup nan mewah
Tinggi kedudukan di istana indah
Akhirnya berpindah ke alam Barzah.
Di atas pusara tersergam maqam
Dijaga oleh segala khadam
Terang berlampu tak pernah padam
Di bawah sana gelap kelam
Andainya kekayaan bisa membeli
Pahala bacaan ulama dan wali
Untuk dikirim menyokong si mati
Beruntunglah Sultan di alam abadi.
Telah tersurat sabda nabi
3 perkara mengiring diri
Satu tinggal dua kembali
Hanya amal teman sejati.
Sudah ramai raja yang mangkat
Hanya di nesan nama tersurat
Dibaca oleh para pelawat
Tiada lagi dikenang rakyat.
Lebih beruntung menjadi ulama
Biar mati tak hilang nama
Nama disebut di mana-mana
Kitab karangan terus dibaca.
Bukanlah satu tragedi zaman
Bila mangkat seorang sultan
Usah diring dengan tangisan
Tiada apa yang kehilangan.
Namun kiranya mati ulama
Itulah tragedi buat dunia
Lantaran terpadam bintang kejora
Sungguh bersedih isi buana.
0 comments:
Post a Comment