Dalam sebuah kelas, tingkatan dua, di sebuah sekolah menengah agama rakyat...seorang ustaz leka mengajar mata pelajaran tafsir sehingga masa sudah habis. Kelibat guru mata pelajaran seterusnya yang sampai ke pintu kelas disedari oleh murid-murid. Agak lama guru itu menanti dan akhirnya dia pun hilang. Barangkali kembali semula ke bilik guru.
"Ustaz,masa dah habis...", tiba-tiba seorang murid mencelah. Ustaz itu terhenti mengajar dan matanya nyalang merenung murid berkenaan. Murid-murid yang lain diam. Kecut perut.
Bedebaaammm!
Ustaz itu melepaskan kemarahannya dengan menampar papan tulis berwarna hijau. Debu-debu tulisan kapur berhamburan.
"Inilah orang yang tak suka belajar agama...apa pulak masa dah habis? Orang tengah mengajar dengarlah...jangan menyampuk...", ustaz itu menghamburkan seranahnya. Serentak dengan itu digapainya sebuah meja paling hadapan dan dihentaknya keras.Marah amat dia dengan teguran murid tadi. Barangkali teguran itu benar-benar mencabar keustazannya.
Ustaz itu keluar sambil mulutnya terus marah-marah dan mengancam murid itu. Murid itu diam dan semua murid lain juga diam. Tak disangka bahawa ustaz itu benar marah dengan sebab peringatan masa itu.
Itulah sebuah cerita tentang kemarahan seorang ustaz. Murid yang menegur itu adalah aku. Kini ustaz itu telah pun almarhum. Semoga Allah menempatkannya di kalangan orang baik-baik.
Kisah ustaz marah ini amat biasa. Ia lebih kerap didengar berbanding kisah kemarahan cikgu geografi, sains, matematik,Bahasa Malaysia atau lain-lain subjek.
Pada satu ketika, seorang kawan menceritakan kepadaku dendam membaranya kepada ustaz Z. Katanya ustaz Z telah menamparnya kerana bersembang dalam kelas sewaktu dia sedang mengajar. Ustaz itu, tanpa amaran telah melayangkan pelempang ke pipinya. Kawan itu menceritakan hal itu kepada tok wannya dan kata tak wannya, belum pernah ada anak cucunya ditampar. Pantang keturunannya ditampar. Dibakar dengan semangat keturunan itu, kawan tersebut telah pergi bertemu bomoh ilmu hitam untuk mengenakan ustaz itu.
"Sanggupkah kamu membalas tamparan ustaz itu dengan meminta tolong kepada syaitan?', aku memberi nasihat kepada kawan itu sewaktu dia menceritakan bahawa dia telah mendapat 'barang' daripada bomoh itu untuk ditanam di tempat yang akan dilalui ustaz itu. Sebiji telur yang telah dijampi dan dapat berdiri sendiri.
Mujur Allah SWT telah membetulkan hati kawan itu dan dia tidak jadi meneruskan niatnya.
Mengapa ustaz selalu disinonimkan dengan kegarangan, hatta menghampiri gaya samseng dan gengster? Berita dalam Harian Metro yang melaporkan seorang ustaz sebuah Ma'ahad Tahfiz di Taman Melawati yang 'menggila' dengan memukul muridnya adalah satu tamparan kepada para ustaz. Ustaz dilihat sebagai individu yang panas baran, pemarah dan garang. Alangkah remuknya hati sang ayah yang menghantar anaknya ke Ma'had Tahfiz tersebut dengan harapan menjadi insan mulia yang tergolong kalangan 'huffaz'.Bagaimanalah akan lahir insan mulia dari insan hina yang bersultankan kemarahan dan panas baran menjadi mahkotanya.
Aneh sekali, ustaz yang membuka sebuah ma'had tahfiz, kemungkinan besar 'hafal' Al-Quran 30 juzuk, tapi tak meng'hafaz' Al-Quran dalam dirinya. Akhlaknya tersasar daripada akhlak Al-Quran.
Sebab itu, para ustaz perlu menyahut seruan ini:
Jangan marah!
Renungkan sebuah hadis...
عن أبي هريرة رضي الله عنه ، أن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم : " أوصني " ، فردّد ، قال : ( لا تغضب ) رواه البخاري
Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Berikan daku wasiat”, maka diulang-ulangkan (permintan itu), lalu baginda berkata: “Jangan Marah”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Mahkota orang baik-baik, antaranya adalah menahan kemarahan, sebagaimana firman Allah SWT:
الذين ينفقون في السراء والضراء والكاظمين الغيظ والعافين عن الناس والله يحب المحسنين
(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
(Surah Ali Imran: 134)
Ustaz yang pemarah,panas baran, pendendam, dan menjadikan kegarangan sebagai kebanggaanya, sepuluh kali lebih rendah daripada yang bukan dipanggil ustaz. Ini kerana sifat-sifat itu keji dan negatif pada pandangan orang. Dengan memakai pakain tersebut, ustaz terbabit mempalitkan cemar najis kekotoran kepada wajah bersih putih agama Islam.
0 comments:
Post a Comment